Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 10

See

discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.net/publication/319351769

KARTUN AKHBAR SEBAGAI WADAH


PENYAMPAIAN SUARA MASYARAKAT: SUATU
KRITIKAN TERHADAP ISU-ISU...

Conference Paper · December 2016

CITATIONS READS

0 19

16 authors, including:

Shaliza Dasuki Liza Marziana


Universiti Teknologi MARA Melaka Malaysia University Kebangsaan Malaysia Bangi
5 PUBLICATIONS 1 CITATION 4 PUBLICATIONS 0 CITATIONS

SEE PROFILE SEE PROFILE

Fazlina Radzi
Universiti Teknologi MARA, Melaka
1 PUBLICATION 0 CITATIONS

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

ANIMATION View project

SOCIO-CULTURE View project

All content following this page was uploaded by Shaliza Dasuki on 30 August 2017.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


KARTUN AKHBAR SEBAGAI WADAH PENYAMPAIAN SUARA
MASYARAKAT: SUATU KRITIKAN TERHADAP ISU-ISU SEMASA
*Shaliza Dasukia, Liza Marziana Mohammad Noha, Nurkhazilah Idrisa, Fazlina Mohd Radzia, Musaddiq
Mohd Khalila, Nur Hasliza Abdulahb
a
Jabatan Pengajian Budaya Visual, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA, 78000 Alor Gajah,
Melaka, Malaysia
a
Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA, 78000 Alor Gajah, Melaka,
Malaysia

*Pengarang: shahmd@melaka.uitm.edu.my

Abstrak—Kartun akhbar sama ada berbentuk lerang atau karikatur mempunyai peranan tersendiri dalam
menyampaikan mesej kepada pembaca. Hasil seni lukisan kartun ini boleh dianggap sebagai lukisan lawak
jenaka yang menghiburkan namun boleh mempunyai fungsi yang lebih besar dalam mempengaruhi
pemikiran manusia lebih dari sekadar hiburan. Kaedah apresiasi yang menjurus kepada pemahaman makna
berdasarkan konteks budaya, agama, ekonomi dan politik akan diterjemahkan mengikut teori kritikan seni
Feldman. Kartun, tidak kisah sama ada dihasilkan secara konvensional menggunakan pena dan dakwat
mahupun dengan cara teknologi digital terkini, mempunyai kuasa sebagai wadah yang mampu mengubah
persepsi dan tanggapan pembaca, sekaligus memberi didikan dan kesedaran terhadap isu-isu semasa yang
berlaku disekitarnya.

Kata kunci: Kartun Akhbar, Isu Semasa, Kritikan Seni, karikatur, kartun Lerang.

1. PENGENALAN
Seni lukisan kartun itu adalah sebahagian daripada cabang seni yang lain seperti catan, arca, installasi,
animasi, termasuk juga cabang seni dalam kategori rekaan seperti grafik, fesyen, seramik, rekaan indusri,
tekstil, dan sebagainya. Penghasilan karya seni seperti ini mengandungi apa sahaja mesej yang ingin
disampaikan oleh artis sama ada ia memberi mesej yang baik, mesej berbentuk peringatan yang boleh jadi
dalam bentuk yang sinikal, semuanya telah ditentukan oleh artis-artis pada peringkat awal proses
penghasilan karyanya (idea).

Sejarah awal penerbitan kartun di Tanah Melayu berdasarkan penulisan Muliyadi Mahamood dikesan
seawal 1930an ketika era sebelum kemerdekaan dengan penerbitan kartun-kartun editorial diakhbar-
akhbar seperti Warta Jenaka, Majlis dan Utusan Zaman. Kartun-kartun yang diterbitkan pada masa itu
banyak dikirimkan oleh pembaca-pembaca akhbar yang bereaksi terhadap isu-isu sosial dan politik Tanah
Melayu pada masa itu [4].

Penulisan lain Muliyadi Mahamood juga banyak membincangkan perkembangan kartun editorial era
sebelum merdeka sehingga 1990an. Kerancakan penerbitan kartun editorial pada era tersebut berkait
rapat dengan isu sosio masyarakat Malaysia yang ketika itu popular dengan kartun-kartun yang dilukis
oleh Lat. Begitu juga isu-isu semasa politik tanahair yang pada ketika itu terkesan dengan pemecatan
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kabinet dan UMNO [5],
penubuhan parti alternatif baharu sebagai parti pembangkang kerajaan yang dilihat berterusan sehingga
ke hari ini. Banyak kartun-kartun editorial yang bertemakan politik diterbitkan dalam akhbar-akhbar seperti
New Straits Times, Berita Harian, dan lain-lain.

Kajian ini menumpukan kepada penerbitan kartun-kartun editorial yang diterbitkan dalam akhbar-akbar
seperti Mingguan Malaysia, KOSMO!, Berita Harian dan Harian Metro.
2. ANALISIS TEMA SOSIAL DAN POLITIK DALAM KARTUN EDITORIAL MELAYU
Asas penghayatan karya seni adalah menumpukan kepada analisa formalistik dan penterjemahan maksud
subjek yang dilukiskan. Apresiasi karya yang menggunakan pendekatan kritikan seperti yang disarankan
oleh Edmund Burke Feldman dalam bukunya Practical Theory of Criticism, 1994, menumpukan empat
perkara asas apresiasi iaitu diskripsi (description), analisa (analysis), terjemahan (interpretation) dan
pertimbangan (judgement). Pertimbangan yang dilakukan setelah penganalisian aspek-aspek elemen dan
prinsip yang dihayati serta penterjemahan setiap maksud yang bersandarkan kepada konteks tertentu,
perlu berteraskan kepada kritikan yang berasas dan jelas. Pengkritik juga harus mempunyai pendirian
yang neutral dalam membuat kritikan yang bukan bersandarkan kepada kepentingan peribadi, isu
sentimen atau bersifat emosi.

Analisis kartun-kartun editorial adalah ditumpukan kepada pengkajian tema sosial dan politik semasa yang
berlaku di Malaysia. Penumpuan pemilihan kartun secara rawak adalah daripada penerbitan kartun
editorial selepas era 1990an yang diterbitkan dalam akhbar perdana seperti Utusan Malaysia, Mingguan
Malaysia, dan Berita Harian. Pemilihan kartun editorial juga diambil daripada tabloid-tabloid yang popular
seperti KOSMO!, Harian Metro, Harakah dan Suara Keadilan. Pemilihan kartun-kartun editorial adalah
yang bersesuaian dengan tema sosial,dan politik tempatan. Kartun dianggap sebagai cerminan pemikiran
masyarakat yang bereaksi terhadap persekitarannya.

Pandangan Muliyadi Mahamood juga menekankan tentang etika dan prinsip dalam berkarya. Penghasilan
karya orang-orang Melayu dibatasi oleh wujudnya agama yang dipegang, adab kebudayaan serta undang-
undang [5]. Ini mengikut pandangan ahli-ahli sejarawan lain seperti Marcia Pointon yang menyatakan
bahawa penghasilan seni ini boleh memberikan kesan dan akibatnya. Seseorang pelukis kartun mungkin
mengandaikan maksud-maksud tertentu dalam pada ia berkarya, tetapi sebaik karyanya terhasil, seni itu
mampu berkomunikasi dengan penonton kerana mereka boleh membuat andaian makna yang berlainan
daripada artis itu sendiri.

Peranan psikologi dan sosio-budaya juga dilihat penting dalam menghasilkan sesuatu karya [5] kerana
secara psikologinya seni adalah luahan emosi artis. Ia adalah satu ekspressi dalaman jiwa artis terhadap
suatu isu yang berlaku dalam masyarakat tempat ia duduk dan persekitarannya. Sosiologi masyakat
setempat pula dipengaruhi oleh pegangan agama,

3. PENGHAYATAN KARYA-KARYA KARTUN EDITORIAL PRA HINGGA PASCA MERDEKA


3.1 Kartun-kartun Editorial Melayu Sebelum Merdeka.

Seperti yang dinyatakan diawal perbincangan, kartun-kartun editorial terawal yang diterbitkan dalam
akhbar-akbar Warta Jenaka, Utusan Zaman dan Majlis pada tahun 1930an. Tema-tema kartun yang
banyak diterbitkan pada masa itu berkait rapat dengan isu kedatangan bangsa asing ke Tanah Melayu,
sindiran terhadap kerajaan British di Tanah Melayu dan kelemahan bangsa Melayu sendiri serta
propaganda perjuangan menuntut kemerdekaan daripada pihak British.

Memetik karya Abd. Manan yang diterbitkan dalam Warta Jenaka, jelas menyindir orang barat yang
menjajah kawasan timur dalam karikaturnya “Barat Tinggal di Barat, Timur Tinggal di Timur” (ilustrasi 1).
Kartun ini menggunakan pendekatan analogi dengan menggambarkan orang barat sebagai monyet jelas
menunjukkan perasaan orang-orang Melayu yang tidak senang dengan kehadiran penjajah. Penjajah
disifatkan sebagai golongan yang mempunyai kepercayaan dan pegangan yang berbeza dengan orang
Melayu. Kepercayaan orang barat yang berpaksikan teori evolusi nyata bercanggah dengan fahaman
agama Islam yang dianut oleh orang-orang Melayu.

Selain menyindir dan mempersendakan orang putih di Tanah Melayu, orang-orang Melayu yang
mempunyai kesedaran telah menghasilkan kartun-kartun yang sinikal bertemakan sosio-budaya orang-
orang Melayu yang pada masa mula terpengaruh dengan pemodenanisasi dan pembaratan budaya.
Kehiduapan dan keadaan orang-orang Melayu ketika itu, kebanyakannya adalah jauh ketinggalan jika
dibandingkan dengan bangsa Cina yang mendapat banyak kelebihan daripada orang-orang British. Orang-
orang Melayu dipinggirkan ke kawasan kampung, hidup dalam keadaan buta huruf, daif, dan tidak berdaya
saing. Kehidupan mereka miskin dan selalu berhutang, seperti yang digambarkan dalam karya Abu Bakar
Mohd Nor (ilustrasi 2).

Ilustrasi 1 Ilustrasi 2 Ilustrasi 3

Ilustrasi 1: Abd. Manan, ”Barat Tinggal di Barat, Timur Tinggal di Timur”, Warta Jenaka, 7 September 1936.
Ilustrasi 2: Abu Bakar Mohd Noh, “Himpitan Hutang”, Warta Jenaka, 21 September 1936.
Ilustrasi 3: “Kehendak-kehendak Orang Melayu Hari Ini”, Majlis, 23 November 1948.

Berdasarkan kartun-kartun yang dikarikaturkan oleh Abu Bakar Mohd Nor ini, orang-orang Melayu
berbanding India dan golongan Melayu-Arab pada masa itu adalah bangsa yang dipandang rendah dan
mudah diperkotak-katikkan oleh bangsa-bangsa lain. Kartun-kartun yang dihasilkan pada era ini walaupun
tampak sinikal, keras dan sarkastik, tetapi sebenarnya mengandungi unsur-unsur peringatan dan
pengajaran yang ingin disampaikan dengan tujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu. Antara isu-
isu yang dibangkitkan pada masa itu adalah sikap buruk orang Melayu yang boleh menyebabkan
kemunduran antaranya, sikap suka berhutang, malas berusaha, mudah terpengaruh dengan budaya asing,
dan tidak boleh berdikari adalah antara perkara-perkara yang perlu diubah demi kemajuan bangsa Melayu
[4].

Perkara yang patut menjadi kepentingan bagi orang Melayu pada masa itu adalah usaha meningkatkan
taraf kehidupan dan pendidikan. Dengan ilmu pengetahuan, dan kebijaksanaan barulah dapat
membebaskan tanahair daripada belenggu penjajah. Itu merupakan antara agenda kartun-kartun editorial
yang banyak diterbitkan dalam akhbar Majlis. Kartun-kartun yang bertemakan patriotik dan semangat
perjuangan bangsa (ilustrasi 3) diterbitkan sebagai satu cara mengajak orang-orang Melayu bersatu padu
menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan. Melayu pada masa itu digesa bersatu dibawah satu parti
pergerakan UMNO.

3.2 Kartun Editorial Melayu Selepas Merdeka: 1957 – 1990an.


Kartun-kartun editorial yang bertemakan semangat patriotik dan penyatuan bangsa masih berlanjutan pada
peringkat awal kemerdekaan. Tema-tema kartun seperti bertujuan memupuk nilai keharmonian antara
kaum. Ini dapat dilihat dalam karya Peng yang diterbitkan dalam akhbar Berita Harian (ilustrasi 4).
Penggunaan elemen kontras hitam dan putih dalam karya Peng menunjukkan dua fahaman yang berbeza
antara demokrasi dan komunis dan bagaimana kesatuan mampu menghalang anasir jahat menyusup
masuk dalam pemikiran rakyat Malaysia. Beberapa kartun editorial lain yang dihasilkan oleh Peng juga
menjurus kepada kutukan terhadap fahaman komunis. Karya Peng bersifat bersifat ideal kerana tampak
mudahnya kesatuan antara kaum dalam memerangai idea komunis, tetapi hal bersatu hati dalam kalangan
orang Melayu, Cina dan India serta etnik-etnik lain, tidaklah semudah melukisnya kerana Malaysia masih
menghadapi krisis antara kaum diperingkat awal kemerdekaan.

Ilustrasi 4: Peng, Berita Harian, 19 Julai 1958.

Beberapa dekad selepas negara menerima kemerdekaan iaitu antara lewat 1950an sehingga 1970an,
memperlihatkan krisis antara kaum di Tanah Melayu. Akhbar-akhbar perdana yang diterbitan pada masa
itu seperti Berita Harian (Berita Minggu), Utusan Melayu (Utusan Zaman), Utusan Malaysia (Mingguan
Malaysia) dan juga New Straits Times [4] telah memberikan peranan besar dalam penerbitan-penerbitan
kartun editorial yang disifatkan sebagai senjata politik. Ini kerana selepas menerima kemerdekaan
daripada British, Malaysia menerima ancaman anasir komunis yang merupakan satu ancaman terbesar
kepada negara walaupun selepas mendapat kemerdekaan pada tahun 1957, diikuti konfrantasi “Ganyang
Malaysia” yang dilancarkan oleh Indonesia antara 1963 sehingga 1966, setelah gagal memujuk dan
menyakinkan Malaysia untuk membina Gagasan Indonesia Raya [ibid]. Akhbar-akhbar aliran perdana ini
adalah pro kerajaan semestinya menyokong kerajaan dalam menyampaikan propaganda negara.

Kesan daripada peristiwa-peristiwa penting ini, polisi akhbar yang sebelumnya tidak sehaluan telah
bertukar demi mencapai kesepakatan dan keharmonian sejagat. Antara polisi-polisi akhbar Malaysia pada
masa itu berpegang kepada beberapa prinsip. Penekanan adalah untuk menghindari daripada
menerbitkan kartun-kartun editorial yang;

1. Menyentuh isu sensitiviti agama, kaum dan politik.


2. Menghina Agong, Sultan atau Raja, atau badan-badan kerajaan yang tertentu.
3. Mengkritik dengan berunsurkan fitnah (tanpa bukti).
4. Menghina mana-mana individu berdasarkan ras, kaum, agama atau kecacatan.
5. Kes-kes yang masih berlangsung dalam mahkamah.

Selain isu-isu politik yang serius, Berita harian juga menerbitkan kartun-kartun yang bersifat hiburan seperti
siri-siri kartun-kartun lerang yang dilukis oleh Raja Hamzah, antaranya “Raja Bersiong”, “Melati Pujaan
Temasik” dan antara yang paling digemari ialah siri kartun lerang “Keluarga Mat Jambul” dan “Dol Keropok
dan Wak Tempeh”. Kartun-kartun lerang juga mula mendominasi akhbar-akhbar dan banyak kartunis-
kartunis yang meningkat naik namanya seperti Lat, Zunar dan Zoy.

Kartun-kartun lerang dan editorial sekitar 1970an sehingga 1980an banyak berkisarkan kepada isu sosio-
budaya masyarakat Malaysia seperti yang dilukiskan oleh Lat dalam “Keluarga Si Mamat” dalam Berita
Minggu. Kartun-kartun Lat banyak memaparkan corak kehidupan masyarakat dengan menampilkan isu-isu
semasa seperti fenomena budaya lepak, merempit yang semakin berleluasa dikalangan generasi muda.
Kesan daripada perkembangan teknologi, Lat juga menggambarkan isu pertembungan budaya
kontemporari yang diminati generasi muda dengan elemen-elemen budaya tradisional yang ingin
dikekalkan oleh generasi lama. Dapat juga dilihat dalam siri kartun lerang “Keluarga Si Mamat” ini,
imbauan kenangan zaman kanak-kanak yang begitu tradisional dan konservatif.

Ilustrasi 5. Ilustrasi 6.

Ilustrasi 5: Lat, “Lat was here”, 1995.


Ilustrasi 6: Nan, “Din Teksi”, Mingguan Malaysia, 1992.

Kartun editorial era 1990an juga tidak lari dari daripada membincangkan isu-isu politik. Zoy antara kartunis
yang aktif berkarya pada era ini dan menggambarkan situasi politik wang Malaysia pada masa itu.
Walaupun begitu kecenderungan kartunis pada masa itu tidak menjurus kepada bentuk penghinaan
langsung malah dilihat sebagai satu peringatan kepada pemimpin-pemimpin bahawa kerajaan serius
dalam menangani isu politik wang ini (Ilustrasi 8).

Ilustrasi 7 Ilustrasi 8

Ilustrasi 7: Zoy, Berita Minggu, 7 November 1993.


Ilustrasi 8: Rossem, The Sun, 9 November 1993.
Kartunis-kartunis Malaysia pada masa itu seperti Zoy (Berita Minggu), Nan (Utusan Malaysia), Rossem
(The Sun), dan Lat (New Straits Times) antara kartunis yang popular. Zoy dan Rossem misalnya banyak
menghasilkan kartun-kartun editorial, namum penumpuan tema kartun-kartun mereka adalah kritikan
terhadap keganasan rejim askar Israel dan Serbia untuk memaparkan kekejaman mereka dan
kesengsaraan yang dialami oleh penduduk-penduduk Islam Palestin dan Bosnia. Lat juga dalam
kartunnya, sinis menggambarkan bagaimana reaksi masyarakat Barat apabila berurusan dengan orang-
orang Islam (Ilustrasi 10).

3.3 Kartun Editorial Melayu: Era Millenial.

Kartun-kartun editorial yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar aliran perdana selepas era 1990an tidak
begitu mempunyai impak besar suram dalam membawa arus perubahan dan memberi kesan mendalam
kepada pembaca. Halatuju penerbitan kartun-kartun editorial yang bertujuan mewujudkan keharmonian
dan merapatkan jurang antara kaum dilihat mula berubah lewat era 1990-an, terutamanya selepas
peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menimbulkan
kontroversi dan pelbagai spekulasi menyebabkan kemunculan akhbar-akhbar tabloid seperti Keadilan dan
akhbar Harakah mula mendapat perhatian rakyat.

Ilustrasi 9 Ilustrasi 10

Ilustrasi 9: Miki, “Menggamit Memori”, Utusan Malaysia, 26 September 2011.

Wadah akbar menjadi senjata serangan politik antara parti-parti pimpinan kerajaan dengan Barisan
Alternatif. Kartun editorial “Menggamit Memori” (ilustrasi 7) menyifatkan pemimpin-pemimpin kerajaan
sebagai tidak sensitif dengan isu agama dan menghina undang-undang hudud Islam oleh pemimpin-
pemimpin Barisan Alternatif yang antara propaganda politik mereka adalah memperjuangkan syiar Islam
termasuk melaksakan hukum hudud di Malaysia.

Akhbar-akhbar aliran perdana seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, dan New Straits Times adalah
akhbar yang pro-kerajaan, oleh yang demikian pemikiran dalam kartun juga terkawal supaya tidak
kelihatan menentang kerajaan sebaliknya membawa imej baik pemerintah-pemerintah negara. Penerbitan
kartun dalam akhbar-akhbar perdana juga dilihat suram dengan menampilkan isu-isu yang kurang
menonjol dan memberi impak kesedaran kepada masyarakat. Penerbitan akhbar mengikut polisi kerajaan
adalah sebagai cara kawalan terhadap perkara-perkara yang boleh menjurus kearah hasutan dan
pemberontakan yang akan menjejaskan ketenteraman dan keharmonian negara.
Sekatan terhadap kebebasan mengkritik kerajaan secara terbuka menjadikan ramai kartunis beralih arah
dan mula menjadikan media sosial seperti facebook, tweeter, blog, web dan lain-lain sebagai saluran
alternatif meluahkan ekspresi ketidak-puasan hati terhadap penyelewengan dan korupsi pemimpin-
pemimpin kerajaan. Dengan teknologi terkini, kartun alaf baharu tidak lagi dihasilkan secara konvensional
lagi tetapi secara digital, lebih memudahkan hasil kartun dimuat-naik ke internet melalui media-media
sosial tersebut.

Idea karikatur yang berunsurkan politik oleh kartunis-kartunis seperti Zunar dan Rossem bersifat ekstrem,
pedas, dan keras. Zunar juga dianggapkan sebagai kartunis yang menyerlah dan berani menengahkan
pemikiran yang disifatkan sebagai pro-pembangkang serta menghasut orang ramai bagi tujuan
membangkitkan kemarahan rakyat terhadap pemerintah dan menolak kepimpinan parti kerajaan UMNO.
Kartun-kartun Zunar dilihat banyak merendah-rendah, mempersenda dan menghina pemimpin secara
jelas dan jelek. Walaupun Zunar telah beberapa kali ditahan dibawah akta hasutan, itu tidak menghentikan
perjuangan beliau menuntut keadilan rakyat.

Ilustrasi 11. Ilustrasi 12.

Ilustrasi 11: Zunar, 10 Feb 2015.


Ilustrasi 12: Zunar, 17 Mac 2015.

Begitu juga dengan kartunis Rossem yang memfokuskan kepada penghasilan kartun-kartun bertemakan
politik. Sebagaimana Zunar, penyampaian subjek kartun-kartun Rossem secara jelas dan langsung
memaparkan unsur-unsur kritikan yang keras dengan melabelkan ahli-ahli parti politik UMNO sebagai
samseng yang membawakan transformasi politik kotor (ilustrasi 10). Barisan parti pimpinan kerajaan juga
dipersendakan kerana masih mengutarakan isu-isu lama yang tidak lagi relevan dan bermain dengan
politik wang bagi meraih sokongan rakyat.
Ilustrasi 13. Ilustrasi 14.

Ilustrasi 13: Rossem, “Samseng Politik”, 4 Januari 2013.


Ilustrasi 14: Rossem, “Lawan Isu”, 4 Januari 2013.

Ilustrasi 15. Ilustrasi 16

Ilustrasi 15: Maro, KOSMO!, Khamis, 23 Julai 2015.


Ilustrasi 16: Maro, KOSMO!, Khamis, 2 Julai 2015.

4. KESIMPULAN
Sejak dari awal, akhbar telah digunakan sebagai salah satu wadah penyampaian suara masyarakat
mengenai isu-isu semasa yang berlaku pada zamannya. Nama-nama akhbar mungkin berubah tetapi
fungsi akhbar sebagai penyampai maklumat masih berkekalan sehingga kini. Akhbar menjadi senjata
orang awam dalam meluahkan isu-isu semasa berkaitan politik, sosio-budaya dan sosio-ekonomi orang-
orang Melayu.

Penerbitan kartun editorial dalam akhbar bercetak selepas dekad 1990an kelihatan hambar walaupun
begitu rancak isu-isu semasa yang kontroversi. Ruang kartun kreatif begitu terhad dan

Kartunis-kartunis di Malaysia semenjak berlakunya perubahan dalam politik Malaysia lewat 1990an mula
bergerak lebih ekstrem untuk menghasilkan karya-karya yang lebih bersifat bebas dan tidak dinafikan
Kebebasan berkarya atas nama seni, “art for art sake”, dari semenjak era kesenian kontemporari banyak
terpengaruh daripada pemikiran kebaratan yang mementingkan fahaman liberalism. Rakyat Malaysia juga
mula menegaskan tentang hak kebebasan bersuara, ini termasuklah bebas berkarya secara kritikan tanpa
berselindung.
Pentas akhbar dan internet dalam menerbitkan kartun editorial merupakan wadah yang sangat berkuasa
dan seharusnya digunakan secara manfaat. Kebebasan berkarya tidak seharusnya menjadi alasan untuk
menerbitkan sesuatu yang berunsurkan penghinaan kerana teguran atau menegakkan kebenaran dengan
berasaskan penghinaan adalah sikap biadap yang tidak sesuai dengan terma budaya orang-orang Melayu
serta mengaibkan dan menjatuhkan maruah seseorang. Bukan sekadar menjatuhkan maruah malah,
merendahkan taraf kemuliaan orang yang menghina.

Pena seharusnya menjadi senjata mulia jika ingin digunakan dalam menyedarkan atau mendidik
masyarakat termasuk pemerintah kerana pena adalah simbolik kepada ilmu dan ilmu ada lah sesuatu yang
mulia. Pena untuk menghasilkan penulisan mahupun lukisan seharusnya menghasilkan kayra-karya yang
boleh memartabatkan ketinggian dan kemuliaan ilmu itu dengan menghasilkan sesuatu yang boleh
dinilaikan sebagai berbudaya, terhormat dan tinggi nilainya.

RUJUKAN BIBLIOGRAFI
[1] A. Aziz Deraman. (2003). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kuala Lumpur.
[2] E. B. Feldman. (1994). Practical Art Criticism. Prentice Hall. New Jersey.
[3] Mohd. Johari Ab. Hamid. (2013). Falsafah dan Kritikan Seni. Penerbit UPSI, Tanjong Malim, Perak.
[4] Muliyadi Mahamood. (2004). The History of Malay Editorial Cartoons (1930s – 1993). Utusan
Publication & Distributors Sdn. Bhd.. Kuala Lumpur.
[5] Muliyadi Mahamood. (2010). Kartun Editorial Melayu Sejak 1990. Pusat Penerbitan Universitu
UiTM. Shah Alam.
[6] Muliyadi Mahamood. (2010). Dunia Kartun: Menyingkap Pelbagai Aspek Seni Kartun Dunia dan
Tempatan. Creative Enterprise Sdn. Bhd.. Kuala Lumpur.
[7] Muliyadi Mahamood. (2015). Kartun dan Kartunis di Malaysia. Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia. Kuala Lumpur.

RUJUKAN JURNAL/ARTIKEL
[8] A. Aziz Deraman. (2003). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kuala Lumpur.

View publication stats

You might also like