Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 8

Tajuk : Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam

pendidikan

PENGERUSI:

Bismillahhirrohmanirrahim..Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur kepada Ilahi, kerana dengan izin-Nya, dapat kita bersua kali ini di dalam satu forum ilmiah,
bagi membincangkan berkenaan salah satu isu yang berlaku di dalam bidang penididikan pada masa
kini. Sebelum itu saya ingin mengalukan kehadiran tuan puan pada majlis kita pada hari ini. Semoga
kita semua akan memperoleh manfaat yang berguna daripada forum ini. InsyaAllah.

Tajuk forum kita pada hari ini berkisar mengenai isu dan cabaran pendidikan semasa, yang
berfokuskan kepada pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam
pendidikan. Sebagai pembuka bicara, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun.

Pergi ke Ipoh membawa ketupat,

Membawa bersama keropok roka,

Teknologi maklumat banyak manfaat,

Mari bincangkan buruk baiknya.

Tanpa melengahkan masa lagi saya ingin memperkenalkan 3 orang ahli panel yang tidak asing lagi.

Baiklah di sebelah kanan saya, ahli panel yang pertama,saudara Farid Safran. Saudara Farid Sarfan
merupakan guru pakar it di sebuah Sekolah Kebangsaan Tok Uban. Beliau telah berkhidmat lebih
kurang 3 tahun di dalam bidang perguruan. Selamat datang saya ucapkan.

Seterusnya ahli panel kedua, segak dan tampan, saudara Khairul Azam. Saudara Khairul Azam
merupakan Pengarah Pelajaran Negeri Selangor. Beliau telah berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri
selama 5 tahun. Selamat datang kami ucapkan.

Dan di hujung sana, orang lama dalam bidang pendidikan, guru veteran yang telah berkhidmat
selama 20 tahun di dalam bidang pendidikan. Selamat datang kami ucapkan kepada saudara Tuan
Haji Simi Zul.

Baiklah sebelum kita pergi dengan lebih jauh, izinkan saya menerangkan terlebih dahulu berkaitan
tajuk forum kita pada hari ini. Seperti yang kita semua tahu, kita telah pun memasuki era globalisai
moden di mana, teknologi maklumat dan komunikasi telah pun berkembang dengan sangat pesat.
‘Maklumat di hujung jari’ merupakan frasa yang sangat popular bagi menggambarkan situasi ini.
Kemajuan teknologi maklumat ini juga turut mempengaruhi bidang pendidikan. Jadi pada hari ini
kita akan membincangkan sejauh manakah pengaruh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi
di dalam bidang pendidikan dan apakah kesannya kepada pendidikan negara kita.

Jadi, sebagai pembuka forum kita pada kali ini, saya ingin bertanyakan soalan kepada guru pakat it
kita, saudara Safran. Baik cikgu, apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan teknologi
maklumat dan komunikasi ini?
Panel Pertama:

Terima kasih kepada moderator, saudara Ridzuan di atas soalan yang diajukan. Assalamualaikum dan
salam bahagia saya ucapkan kepada semua hadirin dan hadirat yang saya hormati. Terima kasih
kerana sudi meluangkan masa untuk hadir dan turut serta dalam forum kita pada pagi yang mulia ini.

Berbalik kepada soalan tadi, sebenarnya Teknologi Maklumat dan Komunikasi mempunyai pelbagai
takrifan yang bersifat global. Sebelum saya lanjutkan lagi penerangan saya eloklah kiranya kita
melihat satu per satu definisi teknologi, maklumat dan komunikasi.

Definisi Teknologi menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia (1990 : 1158), Teknologi adalah ; 1)
Metode ilmiah untuk mencapai tujuan praktis ilmu pengetahuan terapan 2) Keseluruhan sarana
untuk menyediakan barang- barang yang diperlukan bagi kelangsungan dan kenyamanan hidup
manusia.

Menurut Rogers (dalam Seels, Richey, 1994 : 12) pula, teknologi adalah suatu rancangan langkah
instrumental untuk memperkecil keraguan mengenai hubungan sebab akibat dalam mencapai hasil
yang diharapkan.

Menurut Iskandar Alisyahbana seperti dikutip Yusufhadi Miarso (2007 : 131), teknologi adalah cara
melakukan sesuatu untuk memenuhi kebutuhan manusia dengan bantuan alat dan akal, sehingga
seakan-akan memperpanjang, memperkuat, atau mebuat lebih ampuh anggota tubuh, pancaindra,
dan otak manusia.

Namun, takrifan teknologi yang diguna pakai di sekolah-sekolah dan institusi-insitusi pengajian tinggi
di Malaysia ialah aplikasi pengetahuan sains yang boleh memanfaatkan serta menyelesaikan
masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian.

Seterusnya adalah maklumat. Maklumat merupakan cetusan idea, pendapat pengertian, fakta atau
pengetahuan baru yang dikemukakan untuk kegunaan pengguna semua. Maklumat juga merujuk
kepada sebarang data yang telah dimanipulasikan oleh komputer yang boleh disimpan, dikongsi dan
boleh dicapai pada bila-bila masa dan di mana jua.

Komunikasi pula ditakrifkan sebagai komunikasi dapat ditakrifkan sebagai perhubungan (secara
langsung atau dgn perantaraan surat, radio, telefon, dll); ~ massa komunikasi atau perhubungan dgn
atau yg sampai kpd orang ramai amnya; berkomunikasi berhubungan (secara langsung atau dgn
perantaraan surat, radio, telefon, dll), mengadakan perhubungan (bercakap, berbincang, bertukar-
tukar pendapat, dll). Takrifan ini adalah menurut Kamus Dewan Edisi Empat. Secara ringkasnya
komunikasi adalah proses bertukar-tukar maklumat dengan menggunakan peranti dan
perkhidmatan komunikasi seperti internet, e-mel, telesidang video, dan telefon.
Berdasarkan definisi-definisi yang sayang terangkan tadi, teknologi maklumat dan komunikasi-TMK
(ICT_Information and Communication Technology) boleh didefinisikan sebagai satu set ilmu
teknologi yang merangkumi alat dan sumber untuk membina, menyebar, menyimpan, membawa
nilai tertentu, dan menguruskan maklumat. Teknologi ini mampu merapatkan jurang penyebaran
ilmu antara yang kaya dengan yang miskin, yang berpendidikan dengan yang tidak berpendidikan,
antara yang di bandar dan di luar bandar, dan di antara golongan wanita dan lelaki.

Pengerusi :

Terima kasih panel pertama kita. Pendefinisian yang sangat padat dan jelas. Hadirin sekalian,
sememangnya kita akui penggunaan alat-alat teknologi maklumat dan penggunan internet banyak
membantu dalam kehidupan seharian kita. Malahan penggunaannya sudah dianggap sebagai satu
keperluan bagi sesetengah pihak terutamanya masyarakat bandar. Persoalan saya kepada Encik
Khairul, adakah dasar pendidikan negara kita seiring ataupun menyokong pengaruh penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan, dan apakah contoh penggunaannya di dalam
bidang pendidikan masa kini.

Panel Kedua:

Terima kasih tuan moderator. Pertamanya terima kasih kerana menjemput saya bagi berkongsi
maklumat berkaitan forum kita pada hari ini.

Berbalik kepada soalan tadi.untuk makluman, kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-9
(2006-2010) telah menyatakan bahawa prasarana ICT yang mencukupi akan diagihkan kepada semua
institusi pendidikan di negara ini termasuklah pelaksanaan kurikulum ICT dalam pembelajaran,
pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, menaik taraf pengetahuan dan kemahiran
ICT, pengaplikasian ICT dalambsistem pengurusan sekolah serta memperbaiki kemudahan dan
kelengkapan ICT daribsemasa ke semasa.

Ianya turut dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2001-2010) dimana
pembangunan ICT dalam pendidikan akan dilaksanakan dengan tujuan utamanya adalah untuk
mempertingkatkan pembangunan infrastruktur ICT selain daripada meluaskan akses dan ekuiti
kelengkapan ICT, mewujudkan kurikulum berasaskan ICT (ICT-based), meningkatkan sistem penilaian
menggunakan ICT, menggalakkan integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran ICT di kalangan pelajar, guru-guru dan staf-staf lain, mengaplikasi ICT
dalam sistem pengurusan, memperbaiki kemudahan dan kelengkapan ICT, mempertingkat usaha
dalam kajian dan pembangunan ICT, serta usahasama antara institusi pendidikan dan komuniti sosial
haruslah diterapkan bagi menggalakkan penggunaan ICT dalam pendidikan.

Menurut Yuen, Law, & Wong (2003), sejak beberapa dekad lalu, peningkatan positif dalam
penggunaan dan pengintegrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah memberikan
impak yang besar kepada kehidupan masyarakat dan aktiviti seharian mereka. Maka, tidak mustahil
jika terdapatnya peningkatan pada minat, tumpuan serta pelaburan yang besar dilaburkan untuk
pengintegrasian ICT dalam pendidikan di seluruh dunia. Beberapa ‘masterplans’ untuk
mengintegrasikan ICT dalam pendidikan telah dilaksanakan di beberapa buah negara (Pelgrum dan
Anderson, 1999). Antara objektif yang ingin dicapai dalam perancangan ini termasuklah membentuk
kebolehan pelajar dalam menyelesaikan masalah, memahami konsep ‘self-learning’,menganalisis
maklumat yang dicari dan berfikir secara kritis.
Penggunaan dan pengaplikasian ICT dalam konteks pendidikan di Malaysia adalah faktor utama yang
menyumbang kepada cabang ilmu baru dalam era informasi kini (Salbiah, n.d). Dalam sistem
pendidikan di Malaysia, ICT membantu dari aspek pembelajaran dan pengajaran serta sistem
pengurusan di sekolah. Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membentuk
tiga polisi utama dalam pendidikan iaitu: kemudahan ICT disediakan kepada semua pelajar sebagai
langkah untuk mengurangkan jurang digital antara sekolah, ICT dalam pendidikan sebagai medium
bantuan pengajaran dan pembelajaran, menjadikan ICT sebahagian daripada matapelajaran di
sekolah serta menggunakan kemudahan ICT untuk meningkatkan produktiviti dan keberkesanan
dalam sistem pengurusan sekolah.

Pengerusi :

Terima kasih kepada panel kedua kita. Berdasarkan penerangan tadi, dapat kita lihat di sini bahawa
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi telah pun digunakan dan diterapkan di dalam
pendidikan negara kita. Pada pandangan Cikgu Zul, sebagai orang lama di dalam bidang pendidikan,
apakah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi ini akan memberikan faedah atau kesan
yang positif kepada bidang pendidikan? Atau ianya lebih mendatangkan kesan negative berbanding
kesan yang positif?

Panel Ketiga :

Terima kasih kepada moderator, terima kasih juga kerana telah memberi kesempatan kepada saya
untuk bersama-sama dalam forum ini. Berbalik kepada soalan yang ditujukan kepada saya.
Sepertimana yang kita sedia maklum pada masa kini, perkembangan pesat dalam bidang teknologi
telah membawa kebaikan kepada pelbagai sektor, terutamanya sektor pendidikan. Walau
bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang berpendapat bahawa teknologi juga membawa kesan
yang buruk kepada sektor pendidikan. Isu ini juga merupakan isu yang hangat diperbincangkan pada
masa kini. Pada pandangan saya sebagai guru lama yang berada dalam bidang pendidikan ini,
penggunaan teknologi maklumat dapat meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian ilmu
kepada pelajar dan kedua, menjimatkan kos.

Penggunaan teknologi dalam pendidikan sememangnya boleh mendapat perhatian daripada pelajar
dan memudahkan mereka menyerap ilmu yang disampaikan oleh seseorang pengajar. Pada masa
kini, boleh dikatakan peralatan teknologi seperti komputer telah menjadi sebahagian daripada
kehidupan generasi muda. Oleh itu, penggunaannya dalam bidang pendidikan dapat menjamin hasil
yang memuaskan. Hal ini kerana penyampaian dapat dipersembahkan dalam bentuk visual yang
menarik, animasi, 3D dengan suara yang dapat menarik perhatian pelajar terutamanya pelajar
sekolah rendah. Ia juga dapat meringankan beban pelajar yang terpaksa mengalas beg yang penuh
dengan buku ke sekolah sekiranya dapat digantikan dengan hanya beberapa keping CD-ROM pada
masa hadapan.

Penggunaan teknologi dalam pendidikan juga dapat menjimatkan masa pelajar dan memupuk sikap
suka membaca dalam kalangan pelajar. Dengan adanya teknologi, apa-apa maklumat dapat
diperoleh dengan mudah hanya dengan satu klik pada tetikus. Berbanding dengan pelajar pada masa
lalu yang terpaksa mencari maklumat dengan cara manual dan bahan bercetak hanyalah satu-
satunya harapan untuk mereka memperoleh maklumat yang diingini, pelajar sekarang mempunyai
kelebihan dengan adanya kemudahan internet. Hal ini kerana selain daripada bahan bercetak,
pelajar juga dapat memperoleh maklumat yang diingini melalui internet dengan cepat. Penggunaan
media elektronik juga dapat meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar. Sebagai bukti,
untuk membolehkan kita mengikuti perkembangan semasa dan menimba ilmu pengetahuan melalui
internet, kita perlu membaca. Segala maklumat yang dipaparkan melalui laman web adalah dalam
bentuk tulisan dan untuk mengetahui maklumat tersebut, kita perlu mahir membaca. Secara tidak
langsung, ia dapat memupuk sikap membaca dalam kalangan mereka.

Dengan adanya teknologi yang canggih, segala tugas dapat dilaksanakan dengan cepat dan betul.
Sebagai contoh, proses mencari maklumat, menyelesaikan tugasan yang diberi oleh pengajar dan
lain-lain lagi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ini merupakan kebaikan daripada
perkembangan teknologi. Adanya teknologi multimedia menjadi semakin menarik kerana teknologi
ini baru diperkenalkan pada tahun 1990-an walaupun sebelumnya sistem CAL (Computer Aided
Learning) dan hiperteks masih terbatas dalam media yang terpisah-pisah belum digabungkan seperti
multimedia yang memiliki makna gabungan pelbagai media; teks, suara imej, animasi dan video
dalam satu perisian (Jacobs, 1992).

Apabila semakin banyak teknologi diperkenalkan dalam bidang pendidikan, pendidikan jarak jauh
menyediakan satu cara untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan secara global. Kini, pelbagai
pengetahuan terkini dapat disalurkan melalui internet. Internet merupakan khazanah ilmu yang
membantu berjuta-juta pelajar untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan
penyelidikan

Pengerusi:

Terima kasih kepada Cikgu Zul atas penjelasan yang cukup baik saya kira. Seperti yang kita semua
sedia maklum, guru memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak murid di sekolah.
Persoalannya, adakah pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi ini akan memudahkan atau
lebih membebankan guru? Dan apakah pula peranan guru dalam menjayakan penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi ini dalam pendidikan? Saya tujukan soalan ini kepada panel kedua kita, En
Khairul. Silakan.

Panel Kedua:

Pada pendapat saya, ianya sememangnya membantu dan memudahkan guru. Tidak timbul soal
membebankan guru kerana kewujudannya serta fungsinya lebih kepada untuk membantu dan
memudahkan tugas guru. Bagaimana ianya dapat membantu? Guru dapat menggunakan
kemudahan ini bagi melaksanakan pnp dengan lebih menarik dan berkesan serta ianya
memudahkan untuk mencapai objektif pnp yang telah ditetapkan.

Namun ini berbalik kepada sikap guru juga. Ada sesetengah guru yang mungkin mempunyai ideologi
yang berbeza, dan meletakkan pengaruh negatif terhadap penggunaan ICT dalam pendidikan ini.
Contohnya apabila seorang guru yang tidak berminat dengan penggunaan ICT, ataupun tidak
mempunyai kemahiran dalam penggunaannya, guru tersebut akan merasa terbeban dan sukar.
Berbanding guru yang mempunyai kemahiran, mempunyai pengetahuan, mengetahui kebaika
penggunaan ICT ini, guru-guru ini tidak akan merasa terbeban malahan berasa lebih lega kerana
mempunyai alat bantuan yang efektif bagi menjayakan pengajaran mereka.
Pengerusi:

Mungkin cikgu Safran ingin membuat sedikit penambahan?

Panel Pertama:

Terima kasih saudara Ridzuan. Pada masa kini, TMK sepatutnya dilihat sebagai satu keperluan. Kita
tidak boleh lagi menafikan keguaannya sangat penting dan meluas dalam kehidupan seharian kita.
Sistem pendidikan kita juga perlu selari. Kita tidak boleh ketinggalan dan masih ditakuk lama.

Seperti yang telah disebut oleh Encik Khairul tadi, semuanya berbalik kepada guru itu sendiri. Oleh
itu, guru-guru seharusnya melengkapkan diri dengan memantapkan lagi pengetahuan dan kepakaran
dalam bidang ini, seiring dengan peredaran masa dan kecanggihan teknologi yang kian pesat
membangun. Hal ini sangat penting kerana sebagai seorang guru, tugas kita bukan hanya mengajar
murid menulis dan membaca. Kita juga bertanggungjawab dalam menentukan kemajuan pendidikan
di Malaysia yang tercinta ini.

Pengerusi:

Jawapan yang sangat mantap telah diberikan oleh kedua-dua panel kita. Namun begitu, pastinya
penggunaan teknologi maklumat ini ada batasannya. Terutamanya di negara kita, di mana sekolah
telah terbahagi kepada sekolah di kawasan bandar dan luar bandar. Bagaimana Cikgu Zul melihat
keadaan ini?

Panel Ketiga:

Setiap perkara tentunya ada pro dan kontra seperti penggunaan ICT dalam pendidikan. Kebanyakan
berfikir sepertinya sukar untuk mengaplikasikan penggunaan ICT bagi kawasan luar bandar kerana
kekurangan bekalan elektrik dan internet. Namun, menurut Konvensyen Nasional PIPP Kedua (2008)
berkenaan marapatkan jurang pendidikan telah menyarankan beberapa program serta projek
infrastruktur ICT di luar 3 bandar. Ini adalah bertujuan supaya dapat membina kesediaan
pembelajaran awal di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun khususnya murid-murid luar
bandar dan juga anak-anak Orang Asli.

Sementara itu, kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) turut menyatakan
bahawa prasarana ICT yang mencukupi akan diagihkan kepada semua institusi pendidikan di negara
ini termasuklah pelaksanaan kurikulum ICT dalam pembelajaran, pengintegrasian ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran, menaik taraf pengetahuan dan kemahiran ICT, pengaplikasian ICT
dalam sistem pengurusan sekolah serta memperbaiki kemudahan dan kelengkapan ICT dari semasa
ke semasa. Kementerian Pelajaran juga berusaha untuk merapatkan jurang pendidikan di antara
muridmurid sekolah-sekolah bandar dengan murid-murid sekolah-sekolah luar bandar seperti mana
yang terkandung di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Oleh hal demikian, keterbatasan yang wujud pada masa sekarang akan dilupuskan secara
berperingkat dari semasa ke semasa. Sebagai seorang guru, saya menyokong seratus peratus
penggunaan ICT dalam pendidikan di negara kita untuk mewujudkan negara yang berfikiran minda
kelas pertama pada masa akan datang.

Pengerusi:

Terima kasih diucapkan kepada Cikgu Zul atas penjelasannya sebentar tadi. Soalan terakhir saya
pada hari ini, dan saya ingin mendengar dari ketiga-tiga panel kita pada hari ini. Berikan sedikit
rumusan berkaitan pengaruh penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di dalam pendidikan
di negara kita. Kita mulakan dengan panel pertama, Cikgu Safran.

Panel Pertama:

Pada pendapat saya, pengaruh dan sumbangan TMK sangat besar dalam bidang pendidikan tidak
kira dari sudut pengurusan dan pentadbiran mahupun pengajaran di sekolah. Oleh itu, guru-guru
seharusnya bersedia untuk menghadapi kemajuan TMK yang dilihat semakin pesat saban hari.

Pada hari ini, kita sedia maklum bahawa sebahagian besar murid tidak kira di kota mahupun desa
mempunyai akses yang cukup mudah kepada ICT. Situasi ini cukup berbeza dengan apa yang kita
alami sekitar 10-20 yang lepas di mana akses kepada kemudahan ICT ini terhad. Oleh itu, adalah
menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang guru untuk membimbing dan memastikan murid-murid
menggunakan ICT untuk tujuan-tujuan yang berfaedah dan ilmiah. Sekiranya guru sendiri “buta IT”,
bagaimana pula untuk membimbing murid yang sememangnya dilahirkan dalam dunia yang maju
dan moden ini. Sekian, terima kasih.

Pengerusi:

Panel kedua kita, Encik Khairul.

Panel Kedua :

Kesimpulannya, dunia tanpa sempadan ini memaksa industri pendidikan di Malaysia untuk melalui
era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Selain itu, perkembangan pendidikan di
Malaysia yang semakin pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap
perkembangan pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat pra sekolah,
pendidikan rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi.

Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi
memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit. Oleh itu, peranan-
peranan daripada pihak pendidik, ibubapa, dan pelajar itu sendiri amatlah penting bagi menghadapi
transformasi dunia tanpa sempadan ini. Akhir sekali, pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-
isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah
secara runcitan dan memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada
aspek lain akan menghalang pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah
Pendidikan Kebangsaan itu sendiri.

Pengerusi:

Dan yang terakhir, silakan Encik Zul

Panel Ketiga :

Penggunaan teknologi dalam pendidikan semakin meluas pada masa kini. Ia akan memberi kesan
terhadap apa yang dipelajari dan bagaimana pelajar belajar sama ada baik ataupun buruk. Oleh itu
kesan baik dan buruk penggunaan teknologi dalam pendidikan harus dipertimbangkan sebelum
perlaksanaannya. Persoalan seperti di mana dan bagaimana kita menggunakan teknologi maklumat
harus dijawab dan bukannya kita harus atau tidak harus menggunakannya.
Pengerusi:

Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita pada hari ini kerana sudi hadir dan sudi
menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini memberikan sedikit
pencerahan dan input yang bermanfaat kepada kita.

Nampaknya masa amat mencemburui kita. Jadi, sedikit rumusan yang dapat kita buat pada hari ini
ialah, ICT atau teknologi maklumat bukanlah sesuatu yang baru atau asing lagi dalam kehidupan
seharian kita, begitu juga di dalam bidang pendidikan. Namun, ianya masih lagi boleh dikategorikan
sebagai salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh para guru. Yang pasti, kita tak akan dapat lari
dari peredaran kemajuan dan globalisasi dunia yang semakin berkembang pesat. Justeru, sebagai
pendukung falsafah pendidikan negara, para guru haruslah bersiap sedia bagi menghadapi cabaran
ini.

Baiklah, sebelum kami mengundur diri, terimalah serangkap pantun nan indah daripada saya.

Tuailah padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intailah kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Salam hormat. Sehingga kita bertemu lagi. Akhir kata,

Orang putih, orang Pakistan,

Terima kasih syukran jaziilan.

Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh

You might also like