Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 6

Teks Ucapan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan)

Tema : Bekerja Sebagai Satu Pasukan


Majlis : Perhimpunan Setia dan Mesra
Tarikh : 22 Mac 2012

Dan salam sejahtera.


Saudara-saudari pengacara majlis,
Yang Berbahagia Dato‟ Sri Hj. Mohamed Khalid b Yusuf,
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia,
Yang Berbahagia Dato‟ Matrang bin Suhaili,
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan)
Yang Berbahagia Dato‟ Haji Shaharuddin bin Ibrahim,
Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman)
Yang Berbahagia Dato‟ Zainul Abidin bin Taib,
Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan)
Yang Berbahagia Pengarah- Pengarah Bahagian dan Negeri,
Yang Berbahagia Dato‟-Dato‟, Datin- Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan warga KASTAM
yang dikasehi sekelian,
1. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya,
kita dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini, sempena Perhimpunan Setia JKDM
bagi bulan Mac 2012. Kita sama-sama berharap agar Perhimpunan Setia ini dapat terus
merapatkan ukhwah sesama kita.
2. Di samping itu, perhimpunan ini juga dapat mengukuhkan lagi semangat setiakawan
dalam kalangan ahli keluarga Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Saya juga ingin
merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberi
penghormatan kepada saya untuk berucap pada perhimpunan kali ini.
Para Hadirin Yang Dikasihi Sekalian,
3. Saya suka untuk memulakan ucapan saya pada pagi ini dengan satu kisah menarik
mengenai Manchester United. Saya percaya dalam kalangan tuan-tuan dan puan-puan
yang hadir pada hari ini ramai yang meminati sukan bola sepak. Sudah tentu ramai
juga yang meminati pasukan Manchester United.
4. Kalau kita telusuri sejarah, Manchester United ini asalnya pasukan yang biasa-biasa
sahaja. Malah, Manchester United pernah berhadapan dengan penyingkiran daripada
Liga Perdana Inggeris pada tahun 1986 sehingga membawa kepada pemecatan Ron
Atkinson selaku Pengurus Pasukan dan digantikan dengan Sir Alex Ferguson.
5. Ferguson memerlukan hampir empat tahun untuk membina semula pasukan
Manchester United, sebelum memenangi piala pertama Manchester United di bawah
seliaannya iaitu Piala FA pada tahun 1990. Seterusnya, Manchester United memenangi
Piala UEFA Super Cup pada tahun 1991, Piala Liga pada tahun 1992, dan meraih
kemenangan Juara Liga Perdana Inggeris buat pertama kali dalam tempoh 26
tahun. Selepas tahun 1993, Manchester United terus mengukir nama selaku pasukan
terhebat di Liga Perdana Inggeris sehinggalah ke hari ini. Kekuatan dan keunggulan
pasukan ini pada waktu ini , tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.
6. Kisah jatuh bangun Manchester United ini memberikan satu inspirasi kepada saya
untuk dikongsikan bersama dengan Warga Kastam Diraja Malaysia pada hati ini.
Para Hadirin Yang Dikasihi Sekalian,
7. Sesuatu yang boleh kita pelajari daripada kisah ini ialah, betapa pentingnya unsur
„Tiga K‟ dalam usaha kita meraih kejayaan, khususnya dalam konteks Pengurusan
sebuah organisasi besar seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia ini. Tiga K yang saya
maksudkan ialah “Komitmen, Kerjasama, dan Kesatuan”
8. Dalam sesebuah organisasi, Tiga K ini merupakan aspek terpenting yang
menentukan jatuh bangun sesebuah organisasi itu. Apabila berbicara soal komitmen,
soal kerjasama, soal kesatuan, maka kita tidak boleh lari daripada membincangkan
mengenai konsep „Work As A Team” atau “bekerja dalam satu pasukan‟.
9. Almarhum Pendeta Za‟aba pernah mengungkapkan satu gurindam yang cukup indah
tatkala menyentuh mengenai semangat dan muafakat:

“Kelebihan nabi dengan mukjizat


Kelebihan umat dengan muafakat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia dengan muafakat
Air melurut dengan bandaraya
Benar melurut dengan muafakatnya.”

10. Dalam sesebuah organisasi, seperti pasukan Manchester United yang saya
sebutkan tadi mahupun Jabatan Kastam Diraja dalam konteks kita hari ini, kita
mempunyai beberapa ciri persamaan.

Kedua-duanya mempunyai kepimpinan;


Kedua-duanya mempunyai pasukan;
Kedua-duanya mempunyai objektif untuk dicapai; dan
Kedua-duanya memerlukan kerjasama untuk maju kehadapan.
Para Hadirin Yang Dikasihi Sekalian,
11. Setiap organisasi mempunyai matlamat untuk dicapai. Organisasi juga memerlukan
kerjasama yang utuh untuk memastikan matlamat itu, sama ada dicapai dengan
cemerlang, ataupun dicapai secara biasa-biasa sahaja. Tanpa kerjasama yang kukuh,
segala-galanya hanya menjadi satu ilusi: ia boleh dibayang, tetapi tak boleh dipegang.
12. Sejarah membuktikan kerjasama menjadi asas kepada kejayaan sesebuah
organisasi atau pasukan. Sejarah juga membuktikan, tanpa kerjasama dan
persefahaman, organisasi atau pasukan mampu runtuh.
13. Mari kita imbas cara masyarakat Jepun membina empayar sewaktu Pemerintahan
Maharaja Meiji di bawah lembayung Pemulihan Meiji pada pertengahan kurun ke 19,
dengan meletakkan elemen kerjasama dan kesatuan sebagai asas melalui “Pengasasan
perhimpunan perbincangan” dan “Penglibatan semua darjat dalam melaksanakan hal
ehwal negara”.
14. Kita juga melihat Sejarah Empayar Melaka yang jatuh pada tahun 1511. Semuanya
berpunca hanya kerana sifat mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan
dan masalah bersama. Watak Raja Mendeliar, Si Kitul dan Laksamana Khoja Hassan
cukup sinonim dengan sifat antagonis yang memecah-belahkan Empayar Kesultanan
Melayu Melaka sehingga membawa kepada kejatuhan Melaka ke tangan Portugis.
Para Hadirin Yang Dikasihi Sekalian,
15. Dalam dunia persaingan yang semakin sengit, kualiti dan kecemerlangan tidak lagi
suatu pilihan tetapi syarat mutlak untuk survival atau kelangsungan hidup sesebuah
organisasi. Dalam suasana sedemikian, mereka yang terus terusan di takuk mediocrity
akan segera terpinggir. Kualiti seringkali dikaitkan sebagai character with respect to
fineness or grade of excellence, manakala kecemerlangan berhubung dengan satu
dimensi a high degree or the highest of good qualities. Kecemerlangan organisasi
boleh dicapai melalui gandingan antara budaya dengan strategi atau strategy plus
culture equals excellence.
16. JKDM boleh memperkasa kecemerlangan melalui kerja berkualiti dan mencipta
kegemilangan dengan menjadikan bekerja sebagai satu pasukan sebagai budaya
organisasi. Tamadun hebat dunia dibangunkan melalui strategi penyerapan nilai-nilai
kebersamaan dan digerakkan melalui usaha bekerja sabagai satu
pasukan. Sesungguhnya, belum pernah dibuktikan dalam gaya pengurusan moden
yang bekerja secara persendirian, atau budaya silo berupaya mencapai kejayaan yang
fantastik atau mempersonakan. Oleh sebab itulah, bekerja sebagai satu pasukan
menjadi seruan bersama pasukan pengurusan tertinggi JKDM.
Para Hadirin Yang Dikasihi Sekalian,
17. Sebagai agensi pemungut hasil dan menguatkuasakan perundangan, JKDM antara
agensi perkhidmatan awam yang sangat sensitif. Apa juga yang dilakukan oleh
pegawai-pegawai JKDM sentiasa diperhatikan oleh masyarakat. Dalam masa yang
sama, JKDM harus memenuhi tuntutan pelanggan atau meeting customers‟ needs and
reasonable expectation. Stake holders juga mempunyai jangka harap yang tinggi
terhadap JKDM. Contoh yang paling klasik ialah peristiwa tsunami yang melanda JKDM
pada awal tahun 2011 dalam operasi 3B menunjukkan bahawa JKDM merupakan agensi
yang sangat kritikal yang sentiasa mendapat perhatian masyarakat, media dan
stakeholders.
18. Sekalipun pelbagai cabaran dan badai melanda organisasi JKDM, JKDM mampu
memberikan sumbangan kepada kemakmuran negara melalui kutipan hasil sebanyak
lebih RM30 bilion ringgit. Ini menunjukkan betapa JKDM dengan semangat jitu untuk
bekerja sebagai satu pasukan dalam organisasi, kita boleh mencapai kejayaan yang
boleh dibanggakan.
Para Hadirin Yang Dikasihi Sekalian,
19. Tahun 2012 adalah tahun yang amat mencabar kepada Jabatan kita kerana sekali
lagi akan diuji dengan cabaran-cabaran baru. YAB Perdana Menteri telah memutuskan
supaya pembangunan sistem My GST hendaklah disiapkan selewat-lewatnya pada
Oktober 2013. YAB PM juga memutuskan supaya Sistem baru yang dikenali sebagai
U-Customs hendaklah dibangunkan segera bagi menggantikan SMK. Pembangunan
kedua-dua sistem elektronik ini memerlukan pengorbanan yang besar daripada warga
Jabatan. Penentuan kejayaan kedua-dua projek ini tidak seharusnya
dipertanggungjawabkan kepada pengurusan atasan sahaja tetapi juga hendaklah
dikongsi bersama oleh semua warga JKDM.
20. Apapun, pada pendapat saya, cabaran terbesar kepada kita semua adalah
bagaimana untuk meningkatkan jumlah pungutan hasil melebihi kutipan lepas dan
menepati unjuran hasil pada tahun semasa. Tiada jalan mudah, semua cabaran ini
harus dihadapi dengan dada yang lapang dan minda yang terbuka.
21. Bagaiamanapun, cabaran ini boleh kita hadapi dengan adanya semangat kekitaan
yang utuh, bekerja sebagai satu pasukan dan berusaha sedaya upaya mencapai semua
program atau tindakan yang terkandung dalam pelan strategik yang ditetapkan. Saya
menyeru supaya kita semua sentiasa merapatkan ukhwah untuk sama-sama
berganding bahu bagi mengharungi cabaran-cabaran yang mendatang.
Para Hadirin Yang Dikasihi Sekalian,
22. Sesungguhya, Budaya organisasi (Togetherness, Respect, Understanding,
Spiritual, Totality) yang telah kita terapkan di Jabatan kita ini sudah cukup realistik
untuk disasar bersama. Jika kita amati sedalamnya, semuanya hanya
memerlukan faktor komitmen, kerjasama dan kesatuan dalam satu pasukan.
23. Kita mempunyai kapasiti dan fasiliti yang sudahpun mampu dinobatkan bertaraf
dunia, tetapi, saya suka berkongsi apa yang pernah disebutkan oleh leganda bola
keranjang dunia, Michael Jordan:
“Talent wins games, but teamwork and intelligence wins championships”
(“Dengan bakat, kita boleh memenangi perlawanan; tetapi kerjasama dan
kebijakan membolehkan kita memenangi kejohanan”)
24. Begitu juga dengan satu madah indah daripada seorang penyair Jepun, Ryunosuke
Satoro:
“Individually, we are one drop. Together, we are an ocean.”
(Berseorangan, kita ibarat titisan air. Bermuafakat, kita ibarat lautan)

25. Inilah yang harus kita jadikan satu pegangan dalam kehidupan kita
berorganisasi. Tanpa mengira apa jua kedudukan kita, sama ada kita di bawah
ataupun kita di atas, kerjasama dalam satu pasukan adalah asas kepada kejayaan yang
hendak dicapai.
Ambillah resmi lidi,
jika sebatang mudah dipatah,
jika seikat sukar dikerat.
Yang berat sama dipikul,
yang ringan sama dijinjing.
Hati gajah sama kita lapah,
hati kuman sama kita cecah.
Gunung sama kita daki,
lurah sama kita turuni.

26. Sekiranya muafakat seumpama ini kita sematkan di dalam sanubari kita, insyaAllah,
matlamat, misi dan visi Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan mudah direalisasikan
bersama.
Para Hadirin Yang Dikasihi Sekalian,
27. Sebelum saya akhiri ucapan, suka saya berkongsi Gurindam Dua Belas yang
dikarang oleh Almarhun Raja Ali Haji, seorang Ulamak, Sejarawan dan Pejangga Melayu
– Riau pada abad ke 19. Saya hanya ingin memetik Gurindam Fasal Kelima dan Ketujuh
yang menarik untuk kita sama-sama renungkan;-
Gurindam V
Ini gurindam pasal yang kelima:
Jika hendak mengenal orang berbangsa,
Lihat pada budi bahasa,

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,


Sangat memelihara yang sia-sia,

Jika hendak mengenal orang yang mulia,


lihatlah kepada kelakuan dia,

Jika hendak mengenal orang yang berilmu,


bertanya dan belajar tiadalah jemu,
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
Di dalam dunia mengambil bekal,

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,


Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Guridam VII
Apabila banyak berkata- kata,
Disitulah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebih suka,


Itulah tanda hampirkan duka.

Apabila kita kurang siasat,


Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,


Jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,


Itulah tanda dirinya kurang.

Apabila mendengar akan khabar,


Menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan,


Membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah lembut,


Lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar,


Lekaslah orang sekelian gusar.

Apabila Pekerjaan yang amat benar,


Tidak boleh orang berbuat onar.

Sekian, terima kasih.


Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

You might also like