Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 3

Panduan Menulis Perenggan Lengkap Rumusan

Petikan membincangkan ( idea utama ). Antaranya ialah ( idea sokongan 1 ). Selain itu, ( idea
sokongan 2 ). Seterusnya, ( idea sokongan 3 ). Tambahan pula, ( idea sokongan 4 ). Selanjutnya, ( idea
sokongan 5 ). Akhir sekali, ( idea sokongan 6 ). Kesimpulannya, ( kesimpulan ) supaya / agar /
untuk ( penjelasan ).

LATIHAN 1
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu rumusan yang
panjangnya hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan
ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kemalangan jalan raya kerap berlaku di negara kita. Kadar kemalangan meningkat setiap kali musim
perayaan walaupun pelbagai kempen dan tindakan dijalankan oleh pihak berkuasa. Peningkatan
jumlah kematian merupakan suatu kerugian yang melibatkan nyawa, harta benda, wang, tenaga
manusia, dan masa. Memandangkan bilangan kematian terus meningkat, maka pelbagai usaha perlu
diambil untuk mengatasi kemalangan jalan raya. Antara usahanya ialah pengeluaran lesen memandu
diperketat demi membendung kejadian yang menyayat hati terutamanya pada musim perayaan.

Para pemandu perlu menjalani ujian kecekapan atau latihan memandu yang teliti sebelum
diberi lesen bagi memastikan mereka mengamalkan gaya pemanduan yang positif. Antara penyebab
peningkatan kadar kemalangan jalan raya termasuklah sikap pengguna yang cuai. Hal ini dibuktikan
melalui kajian yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menunjukkan bahawa 90
peratus daripada kes kemalangan jalan raya berlaku kerana kecuaian pemandu. Dalam memastikan
kemalangan sifar dicapai, hukuman yang lebih tegas sebagai pengajaran terhadap pemandu perlu
dikenakan. Pemandu-pemandu baharu yang melakukan kesalahan dalam tempoh dua tahun pertama
perlu dikenakan tindakan perlanjutan tempoh percubaan sebelum mendapat lesen sepenuhnya.

Orang ramai masih belum belajar daripada kesilapan-kesilapan masa lalu, malah pengalaman
pihak lain juga dipandang rendah. Sejajar dengan itu, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengkaji
secara mendalam aspek-aspek yang sesuai dalam sistem pembelajaran dan pendidikan pemanduan di
negara kita. Sistem pemanduan yang dikendalikan oleh pihak JPJ umpama sistem peperiksaan
akademik yang diduduki oleh para pelajar. Sewajarnya, elemen sivik dipupuk pada jiwa seseorang
pelajar sehingga amalan tersebut tersemai dengan mendalam dan menjadi amalan apabila dewasa
nanti.

Di samping itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, sekolah, dan masyarakat menyemai nilai-nilai
murni dalam usaha melahirkan generasi pemandu yang berhemah. Penguatkuasaan undang-undang
dan denda yang dikenakan perlu diketatkan supaya mereka yang bersalah dihukum sewajarnya.
Selain itu, penetapan had laju di lebuh raya dan di jalan-jalan biasa perlu dikekalkan kerana banyak
kemalangan yang berlaku berpunca daripada kenderaan yang tidak dapat dikawal sebagai akibat
dipandu terlalu laju. Para pengguna perlu disedarkan bahawa jalan raya bukanlah tempat untuk
berlumba dan mereka perlulah memandu secara berhemah supaya tidak mengakibatkan nahas yang
membabitkan orang lain.

Jelaslah bahawa banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun
negara pelbagai pihak dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak perlu
menggemblengkan tenaga secara lebih efektif untuk mengatasi kemelut ini, janganlah sudah
terhantuk baru hendak tengadah kerana apabila sesuatu kecelakaan sudah berlaku, tiada guna
menyesalinya lagi, kerana nasi sudah menjadi bubur. Tragedi kemalangan boleh berlaku kepada
sesiapa sahaja dan bila-bila masa kerana malang tidak berbau.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Budayakan Hargai Nyawa”


oleh G. Manimaran, Utusan Malaysia, Disember 2003)
LATIHAN 2
Baca petikan di bawah dengan teliti.Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu rumusan yang
panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa
mengubah maksud asal petikan.

Kebolehan melakukan tugas harian menyebabkan ramai orang menyangka bahawa mereka
cergas. Sesetengah orang menyatakan bahawa mereka jarang-jarang sakit dan tidak kerap
mendapatkan rawatan perubatan tetapi hal ini tidak bermakna keadaan fizikal mereka itu baik. Dari
segi kesihatan, strategi yang berkesan untuk seseorang berada kekal dalam keadaan cergas dan sihat
adalah dengan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Walaupun fakta ini diketahui umum,
namun aktiviti yang berkait dengan kesihatan masih berada di tangga terbawah dalam senarai
keutamaan yang perlu dilakukan pada setiap minggu.
“Tubuh yang sihat membawa kepada akal yang sihat.” Bagaimanakah senaman menyumbang
kepada akal yang sihat? Senaman dalam jangka panjang akan melancarkan perjalanan darah ke otak.
Peningkatan tekanan darah akan menyalurkan darah ke otak yang kurang mendapat darah,
seterusnya meningkatkan keperluan oksigen kepada otak. Hal ini menyebabkan kita akan menjadi
lebih segar dan tidak mengantuk. Senaman aerobik pula mampu meningkatkan proses pembelajaran
walaupun kepada golongan dewasa. Kita juga akan kelihatan hebat dan berkeyakinan setelah
melakukan senaman kerana wujudnya kepercayaan dalam diri. Selain itu, senaman juga mampu
menangani masalah kemurungan.
Dari segi teori perubatan apabila seseorang bersenam, hormon adrenaline akan dibebaskan dan
menyebabkan salur darah mengecil. Dengan itu tekanan darah akan meningkat dan darah sampai
kepada organ dalam masa yang singkat. Sebagai kesannya, salur darah di otot pula dilebarkan untuk
memenuhi keperluan oksigen kepada bahagian otot berkenaan. Senaman menjadikan jantung
berfungsi dengan lebih baik kerana darah perlu dipam cepat untuk memenuhi badan yang
bermetabolisme tinggi. Hasilnya, seseorang akan sentiasa gembira dan tenang.
Bersenam secara konsisten dan mengamalkan diet seimbang membantu mengawal berat badan
yang berlebihan. Obesiti meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, penyakit
jantung dan batu karang. Satu fakta menarik faedah bersenam ialah jangka hayat lebih panjang dalam
kalangan orang yang dikategorikan mempunyai kecergasan sederhana berbanding dengan mereka
yang tidak cergas. Hal ini terbukti melalui satu kajian yang mendapati kadar kematian kumpulan orang
yang tidak cergas adalah sekali ganda lebih tinggi berbanding dengan mereka dalam kumpulan
sederhana cergas. Tuntasnya, jadikanlah bersenam sebagai satu budaya hidup kita supaya kita kekal
sihat sepanjang masa.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Faedah-faedah Senaman’,


oleh Ziauddin Sharuddin, dalam Berita Minggu, 12 Mac 2010)
LATIHAN 3
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu rumusan yang
panjangnya tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda
sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Industri inap desa sememangnya mempunyai potensi yang tidak kurang pentingnya kepada
pembangunan negara. Sebenarnya, terdapat beberapa potensi industri inap desa dan cabaran-
cabaran yang dihadapinya.
Antara kepentingan industri inap desa adalah mampu membantu meningkatkan ekonomi
negara. Apabila inap desa ditubuhkan dengan giat, maka keuntungan yang diperoleh daripada sektor
ini akan menyumbang kepada pendapatan negara. Hal ini akan membantu negara memperoleh
keuntungan yang berlipat kali ganda serta dapat memajukan negara.
Di samping itu, industri inap desa dapat memperkenalkan sektor pelancongan Malaysia di
mata dunia.Pelancong yang menginap di inap desa dapat melakukan pelbagai aktiviti terancang yang
disediakan oleh pihak inap desa.Hal ini dapat memperkenalkan pelbagai budaya Malaysia yang
terdapat di kawasan inap desa tersebut.Selain itu, industri inap desa juga mempunyai potensi dalam
memajukan sektor pelancongan negara.Penubuhan industri inap desa di kawasan luar bandar mampu
menarik minat ramai pelancong ke kawasan tersebut. Hal ini akan menyebabkan penduduk setempat
memperoleh pendapatan yang lumayan berikutan kehendak pelancong untuk menyewa inap desa.
Oleh itu, para pelancong yang ingin melawat ke kawasan pedalaman tidak perlu bimbang tentang
tempat penginapan kerana terdapat inap desa.
Seterusnya, potensi inap desa juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan. Apabila industri
inap desa dibina di kawasan luar bandar maka terdapat banyak peluang pekerjaan yang tersedia. Hal
ini akan membantu penduduk setempat untuk bekerja di inap desa. Contohnya, bekerja sebagai
tukang cuci, tukang kebun, pengawal keselamatan dan sebagainya. Industri inap desa ini walaupun
tidak membuka peluang pekerjaan yang banyak namun mampu membantu golongan penganggur
bagi mencari sumber rezeki.
Antara cabaran yang dihadapi oleh industri inap desa ialah masalah kekurangan modal.
Pengusaha inap desa sering berhadapan dengan masalah mendapatkan modal untuk kos pengurusan
dan membayar gaji pekerja. Hal ini dikatakan demikian kerana pengusaha industri inap desa sukar
mendapatkan pinjaman daripada bank berikutan faktor ekonomi mereka yang kurang kukuh. Situasi
ini akan menyebabkan perkembangan inap desa agak perlahan dan terbatas. Selain itu, kedudukan
inap desa yang jauh dari bandar menyukarkan para pelancong untuk mendapatkan kemudahan-
kemudahan yang lain. Contohnya perkhidmatan bank, liputan talian dan pasar raya. Oleh hal yang
demikian, semua pihak perlu berganding bahu dalam memajukan industri inap desa agar terus
berkembang dan menjadi salah satu sektor yang menyumbang kepada pendapatan negara kita.

You might also like