Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 1

Ringkasan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan
tentang khasiat-khasiat daun kari. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi
100 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa
mengubah maksud asal petikan.

Pokok kari atau nama saintifiknya Murayya koenigil merupakan tumbuhan herba yang
terdapat di hutan dan tanah tandus di sekitar negara India. Namun kini, pokok yang daunnya
sering digunakan dalam masakan ini amat mudah didapati di negara-negara Asia Tenggara
termasuklah Malaysia. Penggunaan daun kari dalam pelbagai cara memberikan seribu satu
kebaikan kepada kita.

Walaupun daun kari dikatakan sinonim dengan masakan, namun sebenarnya daun
kari berkhasiat untuk merawat kecederaan pada kulit seperti lecur, lebam dan luka. Di
samping itu, daun kari segar yang dimakan begitu sahaja dapat dijadikan sebagai ubat bagi
orang yang dijangkiti penyakit bawaan air seperti taun dan disenteri. Orang yang mengalami
kekurangan kalsium dalam badan dan menghidapi osteoporosis disarankan untuk
menambahkan daun kari dalam diet mereka kerana kandungan kalsiumnya yang tinggi.

Daun kari tidak hanya digunakan dalam bentuk daun segar, malah boleh dijadikan jus
bersama dengan perahan lemon dan gula bagi mengurangkan kesan mabuk bagi wanita
hamil. Manakala daun kari yang dididihkan dengan minyak masak dapat dijadikan tonik
rambut untuk merangsang pertumbuhan rambut yang sihat.

Berdasarkan kajian, daun kari mengandungi banyak nutrien yang penting bagi tubuh
seperti protein, kalsium, serta kaya dengan asid oksalik dan pelbagai jenis fitokimia.
Kandungan pelbagai nutrien ini menjadikan daun kari berupaya untuk merawat penyakit
kencing manis dan mengurangkan kadar kolesterol dalam badan.

Jelaslah bahawa pokok kari mempunyai pelbagai manfaat. Namun, kajian yang
mendalam perlu dijalankan untuk mengoptimumkan potensi pokok kari agar produk yang
terbaik dapat dihasilkan seterusnya memberikan manfaat kepada manusia sejagat.

Dipetik dan diubah suai daripada


‘Pelbagai Khasiat Daun Kari’
Dewan Kosmik bil. 2, 2017

You might also like