Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Q17. Huraikan sumbangan Khalifah Umar al-Khattab sepanjang pemerintahannya.

(2015)
Khalifah Umar al-khattab berasal daripada bani Adi, salah satu kabilah Quraisy yang
paling berpengaruh dan dipandang mulia. Umar al-khattab merupakan khalifah al-Rasyidin
yang kedua dan memerintah selama 10 tahun. Beliau adalah khalifah pertama yang digelar
Amirul Mukminin. Terdapat beberapa sumbangan khalifah Umar sepanjang
pemerintahannya.
Antara sumbangan khalifah umar al-khattab ialah memperkasakan fungsi majlis
syura. Bagi memastikan segala polisi dan dasar pentadbiran negara berjalan lancar, khalifah
umar telah memperkasakan peranan Majlis syura yang merupakan badan perundangan
tertinggi negara. Majlis syura terdiri daripada dua bahagian iaitu majlis syura tertinggi dan
majlis syura am. Ahli majlis syura terdiri daripada khalifah dan para sahabat-sahabat yang
berpengalaman seperti Ali bin Abi Talib. Semua perkara berkaitan politik, ekonomi dan
sosial dibincangkan dalam kedua-dua majlis syura berkenaan. Melalui amalan syura ini,
khalifah umar membuka seluas-luasnya peluang dan kebebasan semua rakyat untuk
mengemukakan usul dan pandangan demi kebaikan dan keutuhan ummah dan negara.
Sumbangan beliau yang seterusnya ialah memantapkan system pentadbiran wilayah.
Semasa era pemerintahan beliau, negara islam mencakupi wilayah yang luas iaitu meliputi
dari sempadan negara China di sebelah timur hingga ke Eropah di sebelah barat. Untuk
melicinkan pentadbiran, khalifah umar telah membahagikan negara islam kepada beberapa
wilayah. Madinah menjadi pusat pentadbiran bagi seluruh empayar islam. Khalifah umar
telah meningkatkan kecekapan pentadbiran di setiap wilayah dengan menambah beberapa
jawatan pegawai tinggi kerajaan. Para pegawai terdiri daripada seorang gabenor, ketua
setiausaha dan dibantu para pegawai di jabatan tertentu seperti jabatan percukaian dan
perbandaharaan negara.
Khalifah umar turut memberi sumbangan dalam dasar pelantikan pegawai kerajaan.
Pada era pemerintahan khalifah umar, pelantikan para pegawai termasuk gabenor melalui
surat perintah yang menyenaraikan semua tugas dan kuasa mereka. Sebelum seorang
pegawai itu dihantar ke wilayah-wilayah berkenaan, rakyat terlebih dahulu dimaklumkan
tentang kuasa dan tugas-tugas pegawai tersebut supaya tidak timbul kekeliruan semasa
mereka menjalankan tugas. Sebelum pelantikan, harta pegawai akan direkod sebagai
langkah pencegahan penyalahgunaan kuasa. Setiap pegawai perlu membuat ikrar untuk
hidup secara sederhana seperti tidak memakai pakaian mahal dan tidak menggunakan kuda
Turki yang cantik. Pada musim haji, para pegawai tertinggi kerajaan diminta hadir ke kota
Makkah untuk mendengar taklimat dari khalifah, menyampaikan laporan pentadbiran
wilayah masing-masing dan mendengar aduan-aduan dari orang awam.
Seterusnya beliau memberikan sumbangan yang besar dalam reformasi pentadbiran
ketenteraan. Tentera islam dibahagikan kepada dua iaitu tentera tetap dan tentera
sukarela. Perubahan ketara dalam bidang ketenteraan ialah dari segi pengambilan tentera.
Pada zaman beliau, bilangan tentera islam semakin ramai disebabkan perubahan dasar iaitu
mengambil bekas murtad sebagai tentera. Tujuannya untuk memerkukuhkan kedudukan
tentera islam bagi menghadapi ancaman musuh dan menyatupadukan umat islam tanpa
mengira asal usul mereka. Beliau turut mewajibkan latihan ketenteraan kepada tentera
seperti menunggang kuda dan berjalan kaki tanpa memakai kasut. Beliau tidak
membenarkan para tenteranya melibatkan diri dalam kegiatan pertanian. Khalifah umar
telah mengadakan pakaian seragam tentera untuk membezakan mereka dengan orang
awam.
Reformasi dalam pentadbiran tanah juga merupakan sumbangan besar khalifah
umar al-khattab semasa pemerintahannya. Beliau telah memperbaharui undang-undang
pentadbiran tanah wilayah islam semakin luas. Antaranya, tanah awam di Iraq yang dikuasai
tentera islam dan tanah yang tidak bertuan dijadikan hak kerajaan tempatan dan segala
hasil yang dikutip akan digunakan untuk membiayai prasarana awam. Khalifah umar tidak
membenarkan tentera islam memiliki tanah yang ditakluki kerana kebanyakan tentera tidak
biasa dengan kerja-kerja pertanian. Tanah-tanah yang dikuasai tentera islam dikategorikan
kepada dua jenis iaitu tanah dhimmah yang ditadbir oleh pemilik-pemilik asal dan tanah
safawi yang ditadbir oleh pemegang-pemegang amanah yang dilantik daripada golongan
ahl-ayyam. Khalifah umar memperkenalkan cukai tanah (kharaj). Kadar cukai yang
dikenakan tidak tetap iaitu bergantung pada jenis tanaman dan kesuburan tanah.
Beliau turut memantapkan pengurusan baitulmal. Khalifah umar telah memantapkan
fungsi baitulmal secara sistematik berikutan harta kerajaan semakin bertambah seiring
pertambahan wilayah islam. Pada zaman beliau, harta-harta negara yang begitu banyak dan
tidak dapat diagihkan dengan segera dan terpaksa disimpan di dalam baitulmal. Sebuah
buku kira-kira negara disediakan di baitulma untuk merekod segala sumber dan
perbelanjaan negara. Sumber-sumber kewangan negara berpunca daripada zakat,
ghanimah, jizyah, kharaj, usyur dan sebagainya. Antara perbelanjaan negara yang diuruskan
oleh baitulmal ialah bayaran gaji tentera, pegawai kerajaan dan kebajikan masyarakat.
Sumbangan khalifah umar al-khattab yang seterusnya ialah memantapkan system
percukaian tanah. Beliau telah memperkenalkan kadar dan system pungutan cukai baharu.
Cukai dikenakan mengikut kualiti tanah dan jenis tanaman. Ladang-ladang pertanian yang
mempunyai tanah yang lebih subur dikenakan cukai lebih tinggi. Khalifah umar sentiasa
memantau pelaksanaan pungutan cukai. Kesannya, system pungutan cukai menjadi lebih
cekap dan perbendaharaan negara meningkat. Cukai sebanyak 10% dikenakan ke atas tanah
kepunyaan orang islam dan bukan islam di semenanjung tanah arab, tanah orang kafir
zimmi yang dibeli oleh orang islam dan tanah yang baru diterokai oleh orang islam.
Sumbangan yang selanjutnya ialah dalam aspek pemberian pencen. Khalifah umar
memberikan pencen tahunan berdasrkan sumbangan dan jasa seseorang itu terhadap islam.
Golongan muhajirin dan ansar yang menyertai perang badar diberikan pencen tahunan 5000
dirham. Usamah bin zaid diberi pencen sebanyak 4000 dirham. Semua orang islam yang
berjasa mendapat bahagian pencen masing-masing.
Beliau turut memainkan peranan dalam perkembangan pendidikan. Khalifah umar
mengambil berat tentang kemajuan dalam bidang pendidikan berdasrkan ajaran al-quran
dan hadis. Pendidikan islam dan kelas-kelas al-quran diadakan di seluruh wilayah islam.
Ramai guru-guru islam dihantar ke wilayah-wilayah islam untuk mengajar ilmu agama.
Khalifah umar melaksanakan pengumpulan al-quran bagi menyumbang usaha yang telah
dilakukan oleh khalifah abu bakar as-sidiq.
Selain itu, beliau memberikan sumbangan besar dalam kemajuan prasarana dan
kebajikan. Kemudahan prasarana awam turut disediakan. Beliau telah membina beberapa
buah terusan seperti Terusan Musa al-asy’ari di Iraq sepanjang 14.4 km untuk membekalkan
air minuman kepada setiap rumah di sepanjang sungai tigris hingga ke Basrah. System pos
dipertingkatkan untuk kemudahan rakyat mengirim surat antara wilayah. Melalui
perkhidmatan pos ini, pekerja pos bukan menguruskan penghantaran surat-surat rasmi
kerajaan malah mereka juga bertanggungjawab menghantar surat-surat orang awam. Beliau
turut membina penjara yang lebih baik di kota-kota besar untuk menghukum dan mendidik
pesalah serta menjaga kebajiakan pesalah. Dalam aspek kabajikan pula, khalifah umar
mengarahkan para pegawai di peringkat wilayah untuk menghantar senarai nama golongan
kafir miskin yang memerlukan bantuan untuk tindakan lanjutan.
Kesimpulannya, terdapat beberapa sumbangan khalifah Umar sepanjang
pemerintahannya. Pembaharuan dalam bidang pentadbiran, ekonomi dan sosial adalah
mengikut keperluan semasa dan telah memberi impak positif terhadap umat dan negara
islam. Kejayaan beliau ini adalah kecekapan dan kebijaksanaannya mengendalikan
pentadbirang negara di samping kestabilan dan keamanan yang diwarisi dari khalifah abu
bakar.

You might also like