Yunus TaburanKerandaKayuBalakDiSabah

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 36

TABURAN PENGEBUMIAN KERANDA KAYU BALAK DI SABAH

Oleh,
Yunus Sauman Sabin,1 Nor Samihah Nordin,2 Siti Aliaa Hahsim,2 Norazian Abdul Razak,2
Norhashikin Bardan2 dan Sakinah Shahrul Ariffin2
1
Pensyarah di Jabatan Sejarah, FSK, UPSI, Tanjong Malim, Perak
2
Pelajar Sarjana di Jabatan Sejarah, FSK, UPSI, Tanjong Malim, Perak

Abstrak:
Kajian dan penulisan mengenai tradisi pengebumian keranda kayu balak di Sabah telah
banyak dilakukan oleh para pengkaji. Namun kajian dan penulisan yang melihat secara
menyeluruh mengenai tradisi ini masih belum ada. Kajian terdahulu hanya melihat tradisi
tersebut mengikut tapak yang terpisah-pisah. Justeru kertas kerja ini akan memaparkan
taburan tradisi pengebumian keranda kayu balak di Sabah supaya pembaca mendapat
gambaran yang menyeluruh terutamanya dari aspek demografi, jumlah, pentarikhan dan ciri-
ciri umumnya. Secara umumnya, tradisi ini hanya terdapat di sebahagian pantai timur Sabah
sahaja iaitu di Lembah Kinabatangan, Lembah Segama, Lahad Datu dan Semporna. Ia terdiri
daripada dua jenis pengebumian iaitu pengebumian di dalam gua dan pengebumian di
kawasan terbuka. Sehingga ke hari ini lebih daripada 600 buah keranda kayu balak kuno telah
ditemui dan ini tidak termasuk keranda yang dikebumikan di kawasan terbuka dan keranda
yang digunakan secara berterusan pada hari ini. Kebanyakan keranda diletakkan di dalam gua
batu kapur di sepanjang Sungai Kinabatangan dan Segama dan juga di beberapa ceruk
peneduh di Lahad Datu dan Semporna. Peletakan secara terpisah-pisah ini dilakukan
mengikut kumpulan masyarakat ataupun keluarga masing-masing selain ia juga menjadi
tanda kepada pemilikan sesuatu tempat terutamanya lubang gua yang mempunyai hasil
ekonomi seperti sarang burung layang-layang. Hasil kajian ini juga mendapati bahawa
taburan keranda kayu balak yang paling banyak di Sabah adalah tertumpu di dua lembah iaitu
Kinabatangan dan Segama.
Kata kunci:Keranda Kayu Balak, Sabah
Pengenalan

Tradisi pengebumian keranda kayu balak kuno di Sabah ini amat sinonim dengan kehadiran
singkapan batu kapur. Ini kerana kebanyakan lokasi penemuannya berada di lubang-lubang
gua batu kapur atau gua batu kukup yang kebiasaannya pula terletak berhampiran dengan
sungai ataupun pesisiran pantai seperti di sepanjang Sungai Kinabatangan, Sungai Kuamut,
Sungai Segama dan di kawasan berhampiran pantai antara Lahad Datu hingga ke Semporna.
Jika dibandingkan antara kawasan pantai timur dan pedalaman dengan kawasan pantai barat
Sabah, kawasan pantai timur mempunyai lebih banyak singkapan batu kapur dan dengan itu
taburan keranda kayu balak kuno di Sabah hanya terbatas di Residensi Sandakan, Lahad Datu
dan Semporna sahaja. Secara khususnya ia terdapat di Kinabatangan, Segama, Madai-
Baturong, Kunak dan Semporna. Dalam artikel ini, pengkaji akan memberi tumpuan kepada
keseluruhan kawasan taburan keranda kayu balak di Sabah. Pentarikhan keranda kayu balak
yang lebih tua di Kinabatangan juga memungkinkan bahawa tapak ini merupakan pusat
kepada tradisi yang dimaksudkan.

Secara umumnya, jumlah keranda kayu balak mengikut tapak adalah seperti pada
Jadual 1 di bawah. Jumlah sebenar keranda di sesetengah tapak pengebumian mungkin
berbeza daripada jumlah yang pengkaji nyatakan dalam jadual tersebut. Ini berpunca daripada
beberapa keadaan seperti berikut;

i) Terdapat keranda yang tertimbus dalam lapisan guano seperti di Gua Gomantong dan
Agop Talaie 1.
ii) Terdapat keranda yang tertindih oleh runtuhan stalagtik dan siling batu kapur yang
besar sehingga merosakkan dan menutup keranda kayu balak seperti di Agop Samang
Buat 2.
iii) Keranda yang diletakkan secara bertindih-tindih menyebabkan kesukaran untuk
mengira jumlah sebenar keranda seperti yang berlaku di Agop Sarupi, Kinabatangan
dan Agop Batu Balos, Segama. Justeru itu, jumlah yang pengkaji nyatakan itu
hanyalah merujuk kepada jumlah keranda yang dapat dilihat untuk tapak Agop Sarupi
sementara jumlah keranda untuk tapak Agop Batu Balos hanyalah berdasarkan kepada
jumlah yang diberikan oleh Tom dan Barbara Harrisson (1969-70) semata-mata. Pada
pengamatan pengkaji sewaktu melawat tapak tersebut, jumlah keranda tidak melebihi
150 buah. Walau bagaimanapun oleh kerana penduduk setempat juga mengakui
bahawa sememangnya terdapat banyak keranda yang telah pecah dan reput kerana
terlalu lama dan bertindih-tindih maka pengkaji menerima kemungkinan jumlah yang
diberikan oleh Harrisson.
iv) Kemungkinan masih terdapat banyak lubang gua dan batu kukup yang masih belum
ditemui tetapi mengandungi keranda kayu balak seperti di kompleks Batu Supu dan
kompleks Tapadong.
v) Terdapat tapak pengebumian yang tidak sempat ditinjau oleh pengkaji seperti
Segarong. Oleh itu pengkaji hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh
penyelidik terdahulu seperti Peter Bellwood yang tidak menyatakan jumlah keranda di
tapak tersebut.

Jadual 2.1: Jumlah keranda kayu balak mengikut tapak pengebumian gua di Sabah.

Bil. Tapak Jumlah

1 Lembah Kinabatangan

Gua Gomantong 7

Batangan 8

Batu Tulug 129

Kompleks Batu Supu 68

Miasias 18

Sarupi 111

Malog 1

Jumlah 342

2 Lembah Segama

Batu Balos 250

Samang Buat 1

Samang Buat 2 27

Kuala Danum 1

Kuala Sg. Kalisun 8

Mandag Awan 10
Jumlah 297

3 Kompleks Madai Baturong

Madai Atas 1

Samang Alag 3

Samang Tas 1

Kabunatok 2

Hagop Bilo 4

4 Gua Sipit 3

5 Melanta Tutup 1

6 Segarong 1

Jumlah 16

JUMLAH KESELURUHAN 655

Daripada Jadual 1 di atas, jelas menunjukkan bahawa Lembah Kinabatangan


mempunyai lebih banyak tinggalan keranda kayu balak kuno berbanding Lembah Segama.
Jumlah sebanyak 297 buah keranda di Lembah Segama itu adalah dengan mengambil kira
jumlah 250 buah keranda yang terdapat di Batu Balos yang secara relatifnya merupakan
keranda baharu berbanding dengan keranda kayu balak di tapak lain di Kinabatangan dan
Segama. Sekiranya jumlah tersebut tidak diambil kira maka keranda kayu balak kuno di
Lembah Segama tidak melebihi 50 buah keranda. Jumlah 250 buah keranda di Batu Balos itu
adalah anggaran pengkaji setelah melawat dan meninjau tapak pengebumian tersebut pada
tahun 2008. Jumlah tersebut pengkaji anggap lebih tepat dan realistik walaupun sebelum ini
Harrisson (1969/70) pernah mencadangkan bahawa jumlah keranda di tapak tersebut adalah
melebihi 1000 buah. Ini adalah kerana berdasarkan kepada saiz gua dan cara penyusunan
keranda kayu balak yang diletakkan di dalam gua tersebut, tidak memungkinkan bahawa ia
mencapai 1000 buah keranda.

Pada masa yang sama, tapak pengebumian Batu Balos juga masih digunakan sehingga
ke hari ini. Semasa lawatan pengkaji ke tapak tersebut pada tahun 2008 juga terdapat satu
kematian yang kerandanya diletakkan di tapak pengebumian Batu Balos. Justeru itu,
sekiranya jumlah keranda di Batu Balos adalah melebihi anggara 250 buah keranda maka
yang selebihnya itu merupakan keranda yang baharu. Ia adalah sama dengan keranda yang
diletakkan di tapak pengebumian terbuka di Tongod, Pinangah, Masaum, Langga dan Inarad
di Ulu Kinabatangan yang tidak dianggap sebagai keranda kayu balak kuno.

Tapak pengebumian di Lembah Kinabatangan

Secara umumnya di sepanjang Sungai Kinabatangan, keranda kayu balak kuno dapat dikesan
di 7 tempat iaitu di Batangan, Materis, Batu Tulug, Kompleks Batu Supu, Miasias dan Agop
Sarupi di Kuala Sungai Kuamut. Sementara di lembangan Sungai Kuamut pula iaitu cabang
kepada Sungai Kinabatangan, keranda kayu balak dapat di kesan di Malog. Selain daripada
itu, keranda kayu balak kuno juga dikesan di Gua Gomantong khususnya di Agop Kala
Bugir. Pada tahun 2002, pengkaji sendiri (Yunus sauman Sabin, 2002) membuat
kemungkinan bahawa terdapat juga keranda kayu balak di Batu Timbang iaitu salah satu
tapak gua di Ulu Kuamut berdasarkan kepada sumber lisan daripada penduduk kampung di
Batu Putih dan Bukit Garam. Walau bagaimanapun, survei pengkaji ke tapak tersebut pada
November 2010 mendapati bahawa tidak ada keranda di sana dan ia hanya digunakan sebagai
tapak pemungutan sarang burung layang-layang dengan kadar hasil yang sederhana. Secara
khususnya, keranda kayu balak yang ditemui di setiap kawasan ini adalah secara bertaburan
mengikut lubang gua atau batu kukup. Ini terutamanya bagi tapak kompleks Batu Supu
kerana kawasannya yang luas. Untuk memudahkan pemahaman, berikut adalah ringkasan
kepada tapak-tapak lokasi penemuan keranda kayu balak kuno di Lembah Kinabatangan dan
Kuamut.

i) Gua Goamntong

Walaupun Gua Gomantong tidak terletak di tebing Sungai Kinabatangan tetapi ia masih
dalam kawasan Lembah Kinabatangan dan boleh dilihat dengan jelas dari puncak cenuram
Agop Batu Tulug. Gua Gomantong mempunyai banyak lubang gua dan menjadi tempat
pemungutan sarang burung yang utama di Sabah selain daripada Gua Madai tetapi keranda
kayu balak kuno hanya dijumpai di Kala Bugir. Berdasarkan kepada laporan Lord Medway
yang melawat tapak ini pada tahun 1958 mendapati bahawa terdapat 7 bilah keranda di tapak
ini dan sebilah lagi telah dibuang atau terjatuh ke bawah cenuram (Medway, 1960).
Bermakna sekurang-kurangnya terdapat empat pasang kesemuanya. Berdasarkan kepada
penemuan sebatang tiang pangkin yang masih tertegak di tapak tersebut menunjukkan
bahawa cara peletakan keranda ialah dengan cara berpangkin tetapi ia telah terganggu.
Medway melaporkan seperti berikut;

”The remains of 7 coffins of a similar style are scattered about, and one more
has been thrown down the cliff. They have evidently been deliberatly broken.
Two remain fairly intact... Fragmented human bone, earthenware sherds, and
food shell are scattered over the whole deposit. From one support still
standing it appears that the coffins here were once deposited above ground.
The coffins are of hardwood (Merbau) and in good condition, without saw
cuts, only with adze marks. Two halves fitted as trough and lid without nails
or pegs. The trough appears as a simple rectangular box, its fitting lid has
adecorated flange fore and aft.”

Medway juga telah membuat ekskavasi ujian di tapak ini sedalam 30 inci dan
menemui serpihan tembikar tanah, fragmen tulang manusia dan binatang. Tapak Kala Bugir
ini sebenarnya terdiri daripada 3 buah gua yang berangkai dan masing-masing dikenali
sebagai Kala Bugir Besar, Kala Bugir Kecil dan Kala Bugir atau dikenali juga sebagai Agop
Lungun mengambil sempena kehadiran keranda di tapak tersebut yang dipanggil sebagai
lungun oleh masyarakat Sungai.

ii) Agop Batu Tulug

Sebelum tapak ini dipanggil sebagi Agop Tulug, ia pernah juga dikenali sebagai Agop Suluk
(Harrisson dan Harrisson, 1969/70). Nama tersebut digunakan kerana ia pernah dikuasai oleh
orang Suluk sewaktu kegiatan memungut sarang burung layang-layang giat dilakukan.
Namun pada hari ini, tapak tersebut tidak lagi dihuni oleh burung layang-layang kerana
gangguan oleh manusia. Tapak ini juga pernah dikenali sebagai Gua Batu Putih bersempena
warna cenuram batu kapur yang putih. Daripada nama Gua Batu Putih inilah maka wujudnya
nama Kampung Batu Putih yang menjadi lokasi tapak gua ini. Kajian arkeologi oleh Yunus
Sauman (2002) pada tahun 1998 di tapak ini telah menggunakan nama Agop Batu Tulug
untuk menggantikan nama-nama sebelumnya. Nama tersebut dianggap lebih sesuai
berdasarkan kepada maklumat daripada masyarakat setempat (Orang Sungai) yang
menyatakan bahawa dalam kalangan Orang Sungai, ia lebih dikenali sebagai Agop Tulug.
Istilah ’Tulug’ bermaksud ’tidur’ dalam bahasa mereka dan ini sangat sesuai dengan fungsi
tapak tersebut sebagai tempat ’tidur’ kepada roh-roh nenek moyang mereka. Bermula dari
tahun tersebut maka nama Agop Batu Tulug digunakan sehingga pada hari ini.

Tapak ini berada pada kedudukan garis bujur 50 25’ 06.6” utara dan garis lintang 1170
56’41.7” timur di Kampung Batu Putih. Ada empat lokasi peletakan keranda iaitu di Agop
Sawat, Agop Lintanga 1, Agop Lintanga 2 dan Agop Lintanga 3 (Agop Dimunduk).
Sebanyak 54 buah keranda ditemui di Agop Sawat dan masing-maisng 52 di Agop Lintanga
1, 8 di Agop Lintanga 2 dan 15 di Agop Lintanga 3. Berdasarkan kepada pemerhatian
pengkaji, kebanyakan keranda pada asalnya diletakkan secara berpangkin tetapi pangkinnya
telah runtuh dan sebahagian keranda ditemui bertaburan di atas lantai gua. Tapak ini
merupakan contoh susunan hirarki sosial yang paling jelas dalam masyarakat Dusun Sungai
kerana keranda antara Agop Sawat dengan Agop Lintanga mempunyai perbezaan yang jelas
dari segi bentuk dan polahiasnya.

Laporan dalan British North Borneo Herald pada tahun 1903 (BNBH, 1903)
menyatakan keadaan dan penemuan di Agop Sawat seperti berikut;

”The discovery of the above caves is atributed to Mr. P. Breitag, the then
manager of Batu Putih Estate in the beginning of this century. The first
exploration was made in company with another well known planter in 1894,
when in the top cave were found numerous bilian coffins, artistically carved
with figures of buffaloes, crocodiles, lizards and snakes, containing skeletons
of man, women and children, also valuable gongs, sumpitans, spears and
articles of Chinese and other pottery, with brass ornaments of native and
foreign workmanship... The carvings and scroll-work on some of the coffins,
of which the finest is in a vault at the rear of the cave, are even superior to
those now executed by native craftsmen. The edges of the tracery too, are
almost as sharp and clear as upon the day they left the carver’s hands. All the
subjects are cut from solid heart of bilian and the heads are splendid
examples of archaic handi-work. It is believed that the coffins ornamented
with the protruding heads of buffaloes or cows contained male skeletons,
while figures of snakes, lizards and crocodiles appear to have been used for
the decoration of those of the women and children.”

Sementara di Agop Lintanga 1 pula dinyatakan seperti berikut;


”The lower cave is inferior to the upper one in as much as nauseous by the
swarm of bats that infest the place. The coffins stored therein have nothing
about them attractive and are especially crude, proving beyond doubt that the
remains contained in them were those of common people.”

Kajian ekskavasi arkeologi telah dijalankan di tapak ini pada tahun 1998 oleh Yunus
Sauman dan mendapati bahawa terdapat kesinambungan dalam penggunaan gua, tetapi ia
terbatas sebagai tapak pengebumian sahaja. Ia bermula daripada pengebumian tempayan
kemudian digantikan dengan pengebumian keranda kayu balak. Tinjauan dan kajian pengkaji
terhadap tapak ini seawal 1998 dahulu sehingga kini mendapati bahawa keadaannya telah
banyak berubah jika dibandingkan dengan laporan oleh BNBH pada tahun 1903 dan juga
laporan akhbar Sabah Times pada tahun 1960. Dalam tahun 60an, sekurang-kurangnya masih
terdapat beberapa jenis objek pengebumian yang disertakan bersama keranda (N.B.N. &
Sabah Times, 1960) tetapi ia telah hilang pada penghujung 90an.

Tapak ini menjadi sangat popular dalam kalangan masyarakat tempatan kerana
beberapa sebab. Pertamanya ia mudah untuk dilawati kerana ia terletak di tepi jalan utama
yang menghubungkan antara Sandakan dan Lahad Datu. Dengan itu ia mudah untuk
dikunjungi. Keduanya, terdapat beberapa penulisan yang kemudiannya mempengaruhi
tanggapan generasi baru yang tidak membuat kajian bahawa keranda di tapak ini merupakan
warisan orang Cina yang diketuai oleh Ong Sum Ping pada kurun ke-15 (Herman, 1998).
Malah ada yang mengaitkannya dengan keranda yang terdapat di China seperti tinggalan
masyarakat Yue-yue di Fujian dan Jiangxi yang turut mengebumikan golongan bangsawan
mereka dengan cara yang sama pada era Srping dan Autum dan Warring States (770BC-
221BC) (Borneo Travel News, 1993). Cara pengebumian seperti ini juga terdapat di
Schizuan.
Gambar 1: Singkapan batu kapur Gua Batu Tulug pada hari ini.

iii) Kompleks Batu Supu

Kompleks batu kapur ini berada pada kedudukan memanjang sejauh 3.85 km dan lebar
sehingga 450 meter mengikut arah aliran sungai Kinabatangan. Bacaan koordinat di bahagain
paling utara ialah 50 29’ 42.53” utara dan 1170 55’ 36.91” timur sementara di bahagian
selatan, bacaannya ialah 50 27’ 43.69” utara dan 1170 55’ 20.74” timur. Terletak 16 kilometer
ke tenggara pekan Kota Kinabatangan dan 400 kilometer dari bandar Kota Kinabalu,
kawasan kompleks ini boleh dicapai melalui dua cara iaitu sama ada menyusuri Sungai
Kinabatangan dari Kampung Batu Putih ataupun melalui jalan darat dengan cara berjalan
kaki dari jalan besar yang menghubungkan bandar Sandakan dengan Lahad Datu sejauh 4
kilometer. Penjagaan kawasan ini diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Hidupan Liar
Sabah kerana beberapa lubang gua mempunyai potensi sarang burung layang-layang yang
sangat berharga. Walau bagaimanapun, memandangkan kawasan ini juga mempunyai
tinggalan sejarah iaitu sebagai tempat persemadian roh-roh nenek moyang Orang Sungai
maka penduduk setempat di kawasan ini bebas untuk keluar masuk asalkan tidak mengusik
sumber ekonomi tersebut. Justeru untuk memasuki kawasan ini, boleh hanya dengan
mendapatkan kebenaran daripada ketua kampung, Kampung Batu Putih ataupun daripada
ketua kampung Kampung Perpaduan Datu Ugih iaitu 2 buah kampung yang paling
berhampiran dengan kompleks batu kapur tersebut.
Secara umumnya kompleks Batu Supu ini terbahagi kepada 3 bahagian yang utama
iaitu Supu Kecil dan Supu Besar, Sapa Tareng dan Talaie. Ketiga-tiga bahagian ini
mempunyai beberapa lubang gua yang mempunyai nama tersendiri selain daripada nama
yang pengkaji berikan kerana masih belum mempunyai nama. Dalam tesis ini, pengkaji
hanya akan memaparkan tapak-tapak yang mempunyai potensi arkeologi sahaja sementara
tapak yang hanya mempunyai potensi sarang burung tidak akan disentuh.

Supu Kecil 1

Tapak ini merupakan sebuah tapak batu kukup atau rock shelter yang kecil dan berada pada
kedudukan yang tinggi dan curam serta tidak sesuai untuk tempat tinggal. Selain berada di
tengah-tengah cenuram batu kapur yang tinggi dan laluannya juga yang curam, saiznya hanya
sekadar boleh memuatkan beberapa buah keranda kecil sahaja. Keluasannya hanya sekadar 5
kaki lebar, 10 kaki panjang dan 4 kaki tinggi. Di tapak ini, hanya terdapat 6 bilah keranda
yang datangnya daripada 3 pasang keranda yang lengkap. Walau bagaimanapn, hanya 3 bilah
sahaja yang masih sempurna sementara 3 bilah lagi dalam keadaan rosak iaitu tidak
mempunyai bahagian lidah dan pecah di bahagian badannya. Ketiga-tiga belahan yang masih
elok itu berada di dalam sebuah lubang yang kecil dan sempit. Dua daripadanya terletak di
atas lantai sementara sebilah lagi dalam keadaan menegak. Manakala 3 bilah yang rosak itu
kesemuanya berada di bahagian mulut lubang gua dan terdedah kepada hujan dan panas.
Gambar 2: Keadaan keranda kayu balak di Supu Kecil 1.

Supu Kecil 2

Juga merupakan sebuah tapak batu kukup dengan lantainya yang tidak rata. Panjang ruang
lindungannya menjangkau 17.5 meter, 6.2 meter lebar dan 15 meter tinggi. Terdapat 4
belahan keranda di tapak ini. Sepasang masih dalam keadaan insitu tetapi ditindih oleh
bongkahan batu besar. Di dalamnya terdapat serpihan tulang dan gigi manusia. Sementara
sepasang lagi telah terganggu. Lubang air mayat dikesan pada bahagian belahan bawah
keranda dan ini menunjukkan bahawa amalan pengebumiannya adalah dengan cara primer.
Belahan keranda yang satu lagi juga ditindih oleh runtuhan siling batu kapur.
Gambar 3: Keadaan di Supu Kecil 2 dan kerandanya.

Supu Besar

Tapak ini juga dikenali dengan nama Agop Hujung kerana terletak paling hujung dalam
kompleks Batu Supu. Ia merupakan sebuah gua yang dalam dan cerun menghala ke bawah.
Lantainya merupakan runtuhan batu kapur dan berbonjol-bonjol. Kedalamannya menjangkau
30 meter sementara bahagian mulut gua mencapai ketinggian 2.33 meter dan 4.6 meter lebar.
Hanya terdapat sebuah keranda di dalam gua ini dan ia mempunyai figura kepala seladang.
Walau bagaimanapun tidak dikesan sebarang tinggalan tulang manusia kecuali beberapa
serpihan seramik dari jenis tembikar batu. Berdasarkan kepada penemuan tiang dan batang
pangkin yang berkeadaan separuh reput, menunjukkan bahawa teknik peletakan keranda yang
digunakan ialah dengan cara berpangkin. Kesemua ciri-ciri tersebut menunjukkan bahawa si
mati mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Gambar 2.4: Keadaan keranda di Supu Besar yang telah rosak bersama
beberapa keping serpihan seramik.

Talaie 1

Merupakan tapak batu kukup dan yang paling besar dalam kompleks ini. Ruang
lindungannya mencapai sehingga 17 meter tinggi, 7.4 meter dalam dan 42 meter panjang.
Walau bagaimanapun keadaan lantai guanya telah terganggu dengan teruk dan ketika
pengkaji melawatinya ia telah terhakis oleh hujan, binatang dan mungkin manusia. Orientasi
gua ialah utara selatan dan memanjang dari timur ke barat. Bacaan altitudnya ialah 195 meter
dari paras laut. Jumpaan utama di tapak ini ialah keranda, tiang dan batang pangkin serta
objek seramik yang diduga sebagai sebahagian daripada objek iringan pengebumian. Keranda
didapati bertaburan tanpa orientasi yang jelas kerana terganggu dan tidak kurang juga yang
tertimbus sebahagiannya dan mungkin ada juga yang tertimbus sepenuhnya dan tidak dapat
dikesan. Jumlah keseluruhan keranda di tapak ini ialah 44 bilah dan mungkin datang daripada
lebih 30 pasang keranda. Daripada jumlah tersebut, 6 daripadanya mempunyai ukiran
sementara selebihnya adalah tidak berukir dan tidak dapat dikesan. Hanya sebuah keranda
sahaja yang mempunyai figura kepala seladang dan merupakan keranda yang terpanjang di
tapak ini iaitu mencapai sehingga 565sm atau 18.54 kaki termasuk bahagian badan utama dan
figura kepala seladangnya.

Selain keranda, sebanyak 9 batang tiang pangkin telah dikesan. Empat batang
daripadanya masih terpacak sementara yang selebihnya telah rebah tersungkur. Daripada 9
batang tiang tersebut, 3 daripadanya mempunyai keratan rentas berbentuk bulat, 5 berbentuk
segiempat tepat dan 1 berbentuk segi empat sama. Tiga daripada batang tiang tersebut
mempunyai figura wajah manusia sementara yang lain tidak dapat dikesan kerana tertimbus
dan terhakis. Selain daripada 9 batang tiang tersebut, ditemui juga 3 tunggul tiang yang telah
patah. Batang pangkin juga telah ditemui iaitu sebanyak 9 batang. Empat daripadanya berukir
dan selebihnya tidak berukir.

Gambar 5: Pengkaji bersama keranda yang berselerak di Agop Talaie 1.

Talaie 2

Tapak ini terletak tidak jauh daripada Agop Talaie 1 iaitu kira-kira 50 meter ke bahagian atas
bukit dan mengandungi hanya sebuah keranda sahaja. Ini kerana ruang teduhannya kecil.
Meskipun begitu, kerandanya dipenuhi dengan ukiran polahias tetapi tidak sempurna kerana
telah reput dek kelembapan hujan yang begitu lama.

Talaie 3

Tapak ini juga merupakan tapak batu kukup dengan kepanjangan 16.3 meter, 5.1 meter dalam
dan 4.67 meter tinggi. Walaupun ruang teduhannya boleh dianggap luas berbanding Supu
Kecil 1 tetapi hanya sebuah keranda sahaja ditemui di tapak ini. Ini mungkin berpunca
daripada keadaan lantainya yang tidak rata akibat daripada runtuhan siling batu kapur.
Keadaan fizikal kerandanya juga tidak sempurna. Pada jarak 50 meter ke selatan dan 20
meter lebih tinggi dari tapak ini terdapat sebuah batu kukup kecil yang mengandungi sebuah
keranda kanak-kanak yang tidak lengkap iaitu hanya bahagian belahan bawah sahaja. Lubang
air mayat masih jelas kelihatan dan saiz bahagian badannya hanya 93sm panjang.

Gambar 6: Agop Talaie 3 dan keranda kanak-kanak yang mempunyai lubang


air mayat.
Talaie 4

Tapak batu kukup ini mempunyai kepanjagan sehingga 16 meter dan bukannya 167 meter
seperti yang dilaporkan oleh Stephen Chia dan Peter Molijol (2010). Tingginya mencapai
hampir 10 meter sementara kedalamannya sehingga 5 meter. Walaupun keadaan lantainya
rata dan baik tetapi ia sangat merbahaya kerana bahagian bawahnya yang tergantung setinggi
40 meter. Jumlah keranda di tapak ini ialah 8 buah dan hanya sebuah sahaja yang mempunyai
tanda ukiran polahias di bahagian hujung sementara yang lain adalah tidak berukir dan
terhakis. Terdapat kesan pangkin tetapi telah runtuh menyebabkan kerandannya juga
bertaburan. Antara jumpaan penting yang lain ialah kehadiran serpihan tulang manusia yang
masih banyak serta sisa-sisa tengkorak kepala di dalam keranda.

Talaie 5

Bentuk tapak batu kukup ini agak unik iaitu berbentuk V dan kerandanya diletakkan secara
dua kelompok. Dua kelompok tersebut pengkaji namakan sebagai kelompok A dan B. Lantai
lindungan kelompok A berada 10 meter lebih tinggi berbanding kelompok B. Jumlah
kerandanya masing-masing 3 di kelompk A dan 5 di kelompok B. Apa yang menarik pada
penemuan di tapak ini ialah kehadiran beberapa jenis butiran manik yang diduga sebagai
objek perhiasan dan menjadi objek iringan kepada simati. Selain daripada itu terdapat juga
perhiasan wanita seperti gelang dan subang daripada logam tembaga. Kesemua perhiasan diri
ini ditemui di kelompok A dan tiada di kelompok B. Kesemua keranda juga telah terganggu
melainkan sebuah keranda yang mungkin masih dalam keadaan insitu tetapi bahagian
tengahnya telah ditumbuhi busut dan tidak dapat dialihkan. Justeru pengkaji tidak dapat
memastikan sama ada ia masih mengandungi rangka manusia ataupun tidak.
Gambar 7: Keadaan sebahagian keranda di Agop Talaie 5 yang terganggu dan
rosak.

Talaie 6

Tapak ini terletak tidak jauh daripada Agop Talaie 5 iaitu kira-kira 50 meter ke bahagian
bawah bukit. Di sini juga terdapat 2 kelompok peletakan keranda yang disebutkan sebagai 6a
dan 6b oleh Chia (Chia dan Peter Molijol, 2010). Hanya terdapat sebuah keranda sahaja di 6a
sementara di 6b, sebanyak 7 bilah keranda ditemui dan mungkin ia datang dari 4 pasang
keranda. Daripada 7 bilah keranda tersebut, hanya 2 bilah sahaja yang masih dalam keadaan
baik sementara yang lain telah rosak dan mempunyai kesan bakar sama seperti yang berlaku
di Sapa Tareng Luar. Selain daripada keranda, ditemui juga serpihan seramik China dan
sebatang sumpitan yang mempunyai kesan terbakar dan tidak sempurna. Di tapak ini juga
ditemui kesan pangkin berdasarkan kepada 2 sisa tiang pangkin.
Gambar 8: Sebahagian daripada keranda di Agop Talaie 6.

Talaie 7

Gua ini merupakan penemuan terbaru dan belum pernah dilaporkan oleh mana-mana
penyelidik sebelum ini. Ia berada pada kedudukan N 05 0 30.308’ utara dan E 1170 55.564’
timur. Elevationnya ialah 38.3 meter dari aras laut. Tapak ini juga merupakan sebuah batu
kukup kecil dan telah terganggu. Sewaktu lawatan pengkaji ke tapak ini, masih kelihatan
kesan penggalian di bawah timbunan keranda. Ini mungkin berpunca daripada kepercayaan
bahawa terdapat harta karun yang tertanam di kawasan tersebut. Beberapa orang informan
dari kalangan pencari dan pengumpul barang-barang purba di Kinabatangan menunjukkan
yang mereka sangat mempercayai bahawa tapak pengebumian keranda di sepanjang Sungai
Kinabatangan dan Segama malah sehingga ke Lahad Datu mempunyai tinggalan harta karun.
Sebab itulah kegiatan antikuarian di tapak pengebumian keranda sangat giat dijalankan dan
merupakan salah satu gangguan yang dahsyat kepada tinggalan arkeologi tersebut.

Sebanyak 13 bilah keranda ditemui di tapak ini dan mungkin ia datang dari 8 atau 9
buah keranda yang lengkap. Keranda di tapak ini juga tidak sempurna dan sangat terganggu.
Berdasarkan kepada kehadiran tiang dan batang pangkin, cara peletakan keranda pada
asalnya adalah secara berpangkin tetapi telah runtuh. Hanya 3 buah keranda sahaja yang
mempunyai kesan ukiran dan tiada keranda yang mempunyai figura kepala seladang. Di
tapak ini juga terdapat sisa rangka manusia yang separuh lengkap masih berada di dalam
salah sebuah keranda seperti pada gambar 10 di bawah.

Gambar 9: Keadaan tapak Agop Talaie 7 dan kerandanya yang berselerak.


Juga kelihatan lubang kesan penggalian pencari harta karun.
Gambar 10: Sisa rangka manusia yang masih berada di dalam salah sebuah
keranda di Agop Talaie 7.

Sapa Tareng Dalam

Tapak Sapa Tareng merupakan rangkaian beberapa buah batu kukup dalam kompleks Gua
Batu Supu. Ia terdiri daripada 4 buah tapak peletakan keranda iaitu Sapa Tareng, Sapa Tareng
Luar, Sapa Tareng Tinggi dan Agop Pungit. Untuk menjadikan nama-nama ini jelas berbeza,
tapak Sapa Tareng ini pengkaji namakan sebagai Sapa Tareng Dalam. Sebenarnya ada 2 buah
keranda ditemui di tapak ini dan bukannya sebuah seperti yang dilaporkan oleh Chia (Chia
dan Peter Molijol, 2010). Ia terdiri daripada sebuah keranda dewasa dan sebuah keranda
kanak-kanak. Keranda dewasa ditemui di atas lantai gua yang gelap dan dipercayai
berpangkin tetapi telah runtuh. Ini berdasarkan kepada kehadiran beberapa tiang dan batang
pangkin berhampiran dengan keranda. Secara keseluruhannya keranda ini telah terganggu
dan tidak sempurna. Walau bagaimanapun masih dapat dikesan sebuah lubang air mayat di
bahagian belahan bawah keranda. Sementara keranda kanak-kanak terletak di celah dinding
gua kira-kira 3.8 meter dari paras lantai. Kesemua keranda tidak mempunyai sebarang ukiran
polahias mahupun sebarang bentuk figura.
Gambar 11: Keadaan salah sebuah keranda yang telah terganggu di Sapa
Tareng Dalam.

Sapa Tareng Luar

Kira-kira 30 meter di sebelah kanan pintu masuk Sapa Tareng Dalam, terdapat sebuah batu
kukup kecil yang mengandungi 6 bilah pecahan keranda yang diduga datang daripada 3
pasanag keranda. Kesemuanya merupakan keranda dewasa dan dua daripadanya mempunyai
polahias ukiran dan salah satunya mempunyai figura kepala seladang tetapi telah dipotong
oleh pengunjung baharu dan diletakkan beberapa meter dari tempat asalnya. Keranda yang
mempunyai figura kepala seladang ini mempunyai ukiran bermotifkan pucuk rebung dan
motif seperti ini tidak ditemui di tapak lain. Terdapat keranda di tapak ini yang mempunyai
kesan terbakar dan menurut informan (Johari bin Kadir), ia berpunca daripada kebakaran
sewaktu musim kemarau melanda kawasan tersebut.
Gambar 12: Keadaan sebahagian keranda di Sapa Tareng Luar.

Sapa Tareng Tinggi

Tapak ini berada pada kedudukan melebihi 40 meter lebih tinggi daripada Sapa Tareng
Dalam pada jarak lebih kurang 100 meter. Keadaan fizikal gua sangat baik kerana saiznya
yang luas dan lantainya juga rata. Walau bagaimanapun hanya terdapat 2 bilah keranda sahaja
di tapak ini dan ia adalah sepasang. Keranda yang diperbuat daripada kayu belian ini telahpun
terganggu; terpisah antara belahan atas dan bawah, terhakis dan sebahagiannya reput.
Laporan sebelum ini (Chia dan Peter Molijol, 2010) menyatakan bahawa terdapat 5 batang
pangkin ditemui di tapak ini. Ini merupakan satu kesilapan kerana pengkaji juga ada telah
meninjau tapak tersebut dan tiang pangkin yang disebutkan sebenarnya merujuk kepada tiang
pangkin yang terdapat di Sapa Tareng Dalam.
Gambar 13: Keadaan gua di Sapa Tareng Tinggi dan kedudukan salah satu
bilah keranda.

Agop Pungit

Tapak pengebumian ini termasuk dalam kawasan Sapa Tareng. ’Agop Pungit’ bermaksud
’Gua Kelawar.’ Nama ini bersempena kehadiran kelawar yang banyak di gua ini. Tapak ini
merupakan tapak gua dan bukannya batu kukup sama seperti Sapa Tareng Tinggi. Tapak ini
mempunyai ruang yang luas tetapi terlalu banyak runtuhan batu kapur menjadikan lantainya
agak sempit. Hanya sebuah sahaja keranda ditemui di tapak ini dan ia tidak lengkap kerana
tidak mempunyai bahagian belahan bawah. Hanya bahagian penutup yang dijumpai dan ia
mempunyai sedikit ukiran polahias di bahagian hujung badan keranda tetapi tidak jelas
kerana terhakis.
Gambar 14: Keadaan di Agop Pungit dan kerandanya.

iv) Agop Sarupi

Tapak ini terletak di tebing Sungai Kinabatangan kira-kira 800 meter ke hulu dari Kampung
Tulang-Tulang Besar dan 2 kilometer ke hulu dari Kampung Kuala Kuamut. Ia merupakan
singkapan batu kapur kecil dan mempunyai 4 lokasi pengelompokan keranda kayu balak
yang dikenali sebagai Agop Sarupi 1, 2, 3 dan 4 (Yunus Sauman Sabin, 2010a dan Yunus
Sauman Sabin dan Wan Noorlizawati Wan Mat Ali, 2013) walaupun Harrisson menyatakan
bahawa hanya 3 tapak sahaja pada tahun 60an dahulu (Harrisson, 1969-70). Ini kerana salah
satu lokasi iaitu Agop Sarupi 1 tidak ditemui oleh Harrisson dalam tinjauannya itu. Jumlah
keseluruhan keranda di Agop Sarupi ini tidak dapat dipastikan kerana cara peletakan keranda
secara bertindih-tindih dan banyak keranda yang telah rosak dan reput terutamanya di
bahagian bawah timbunan keranda. Walau bagaimanapun Harrisson mencadangkan bahawa
sekurang-kurangnya ada 40 buah keranda di tapak ini tetapi berdasarkan kepada pemerhatian
pengkaji pada tahun 2008 yang lalu, jumlahnya lebih daripada 100 buah walaupun amalan
meletakkan keranda ke gua ini telahpun dihentikan pada penghujung tahun 60an (komunikasi
dengan K.K Puas bin Musa). Keranda di tapak ini juga secara relatifnya adalah baharu kerana
bentuk dan tipologinya adalah sama dengan keranda yang masih digunakan oleh penduduk
Ulu Kinabatangan pada hari ini. Kenyataan oleh Harrisson hasil daripada temuramahnya
dengan penduduk kampung pada tahun 60an dahulu bahawa kawasan Agop Sarupi telah
dibersihkan pada tahun 1923 termasuk membuang tinggalan keranda kayu balak yang lama
menyokong kenyataan ini. Ini bermakna bahawa keranda yang terdapat di tapak tersebut
hanyalah keranda yang tidak melebihi 100 tahun.

Selain daripada keranda, beberapa elemen pengebumian yang lain turut ditemui
termasuk objek pengebumian seperti beberapa buah tepak sirih tembaga, pinggan mangkuk,
parang, mata tombak dan barang perhiasan seperti anting-anting tembaga dan gelang.
Kesemua objek ini secara relatifnya juga adalah baharu. Apa yang menarik dan juga
merupakan bukti bahawa keranda-keranda di Agop Sarupi ini adalah baharu ialah kehadiran
beberapa ’nisan’ kayu yang mempunyai catatan nama si mati secara berukir dan juga tarikh
kematiannya.

Gambar 15: Keadaan keranda yang berterabur di Agop Sarupi 3.


(a) (b)

Gambar 16: Contoh kayu pasak keranda yang mempunyai rekod nama si mati.

Tapak Pengebumian Di Lembah Segama

Dari segi ciri-ciri fizikal, Lembah Segama mempunyai persamaan dengan Lembah
Kinabatangan. Ia mempunyai singkapan batu kapur yang terletak di tebing-tebing sungai dan
telah digunakan oleh orang Dusun Subpan sebagai tapak pengebumian keranda kayu balak
mereka semenjak 700 tahun dahulu. Antara lokasi pengebumian keranda kayu balak mereka
ada seperti berikut;

i) Kompleks Gua Tapadong

Laporan awal berkaitan dengan Bukit Tapadong ialah pada tahun 1931. Ia disebutkan sebagai
mempunyai sekurang-kurangnya 40 buah gua termasuk 2 buah gua yang digunakan sebagai
tapak pengkebumia keranda kayu balak (Fernandez, 1991). Walau bagaimanapun
penjelajahan pengkaji ke kawasan ini mendapati bahawa terdapat 3 buah gua yang
mempunyai tinggalan keranda kayu balak kuno iaitu Mandag Awan, Samang Buat dan
Samang Buat 2. Secara keseluruhannya, keranda yang terdapat di tapak ini mempunyai
sedikit perbezaan dengan keranda yang terdapat di lembah Kinabatangan terutamanya dari
segi bentuk penutup dan polahias keranda. Cara peletakan keranda di tapak ini juga adalah
pelbagai, ada yang diletakkan secara berpangkin dan ada juga yang diletakkan di atas
bongkahan batu kapur. Walau bagaimanapun, ketika tinjauan pengkaji ke tapak ini, semua
keranda berada dalam keadaan berselerak dan sangat terganggu.

Terdapat juga keranda yang tertindih oleh runtuhan siling batu kapur menjadikan
keranda tersebut rosak binasa. Dengan mengambil kira keluasan ruang dalam gua, ia
sepatutnya boleh menampung lebih banyak keranda. Namun, fenomena alam seperti runtuhan
batu kapur ini menjadi sebab tapak pengebumian ini ditinggalkan kerana masyarakat
animisme sangat percaya kepada tanda-tanda yang datang daripada alam semulajadi
termasuklah runtuhan siling gua yang merosakkan keranda. Keadaan seperti itu boleh sahaja
ditafsirkan sebagai membawa petanda yang buruk kepada komuniti mereka.

Gambar 17: Pengkaji bersama beberapa buah keranda di Agop Samang Buat 2.

ii) Kuala Danum

Tapak ini merupakan sebuah tapak batu lindungan dan terletak di tebing Sungai Segama di
Kuala Danum. Hanya terdapat sebuah sahaja keranda di tapak ini tetapi mempunyai bentuk
yang unik dan berbeza dengan tapak-tapak lain di Kinabatangan mahupun di Lahad Datu dan
semenanjung Semporna. Uniknya keranda di tapak ini ialah pada bahagian bentuk hujung
pemegangnya yang berbentuk dan berukir pusaran. Gaya seperti ini hanya terdapat di
Mandag Awan di Tapadong dan tidak ditemui di tempat lain. Oleh itu, ada kemungkinan
perhubungan antara pengamal tradisi antara kedua-dua tempat adalah sangat rapat ataupun ia
sememangnya datang daripada satu komuniti yang sama.

Gambar 18: Keranda di Kuala Danum, di seberang Sungai Danum,


bersetentang dengan Borneo Rainforest Lodge pada hari ini.

iii) Kuala Sungai Kalisun

Tapak ini dinamakan sebagai Kuala Sungai Kalisun kerana ia terletak di sebelah seberang
kuala Sungai Kalisun yang masuk ke Sungai Danum (Yunus Sauman Sabin, 2001). Asalnya
ia dinamakan sebagai tapak DVFC sahaja mengambil sempena nama kawasan tapak ini
ditemui (Marsh, 1996). Tapak ini juga merupakan sebuah tapak batu lindungan yang kecil
dari jenis batu pasir dan bukannya batu kapur. Lawatan kali pertama pengkaji ke tapak ini
pada tahun 1999 mendapati sebanyak 8 pasang keranda diletakkan di atas lantai gua bersama-
sama sebuah tempayan. Namun lawatan pada tahun 2008, mendapati bahawa tempayan
tersebut telahpun hilang entah ke mana. Istimewanya tapak ini ialah hanya tapak ini sahaja
yang mempunyai tinggalan keranda kayu balak bersama-sama dengan tempayan yang
digunakan sebagai wadah pengebumian terutama jenis sekunder berdasarkan kepada
keberadaan sisa rangka manusia yang terdapat di dalamnya. Terdapat sebuah keranda di
tapak ini yang menunjukkan ciri-ciri yang sedikit berbeza daripada keranda di lembah
Kinabatangan, Madai-Baturong dan Semporna, khususnya bentuk keratan rentas bahagian
penutup keranda. Ia berbentuk seperti bumbung rumah, menyerupai bentuk keratan rentas
keranda yang digunakan pada hari ini oleh masyarakat hulu Kinabatangan dan Segama.
Bezanya ialalah ia mempunyai ukiran polahias.

Gambar 19: Tapak pengebumian di Kuala Sungai Kalisun bersama keranda


yang bertaburan di atas lantai.

iv) Batu Balos

Tapak ini digunakan sebagai tapak pengebumian keranda kayu balak oleh masyarakat Dusun
Subpan di sekitar Segama dan merupakan satu-satunya tapak yang masih digunakan sehingga
ke hari ini. Tidak dapat dipastikan sejak bilakah tapak ini dijadikan sebagai tapak
pengebumian tetapi berdasarkan kepada bentuk dan tipologi keranda yang terdapat di tapak
ini, ia adalah keranda yang baharu dan tidak lebih daripada 300 tahun yang lalu. Fernandez
menyatakan kemungkinan bahawa ia telah bermula semenjak kurun ke-18 (Fernandez, 1991).
Jumlah keranda di tapak ini juga tidak dapat dipastikan kerana ia bertambah dari masa ke
semasa. Keadaan keranda di tapak ini juga bercampur-campur antara yang masih elok dan
rosak. Walaupun masyarakat pengamalnya sangat menghormati roh simati dan kerandanya
serta tapak ini sebagai tapak suci tetapi setelah sekian lama, keranda yang terdahulu tidak
dipulihara dan dibiarkan rosak. Ini juga mungkin merupakan kaedah semulajadi untuk
memberi ruang kepada peletakan keranda yang baharu. Kerandanya mempunyai persamaan
dengan keranda yang terdapat di Agop Sarupi dan sebahagian daripada keranda di Miasias,
Kinabatangan. Bentuk keranda seperti ini juga masih digunakan oleh masyarakat Ulu
Kinabatangan dalam pengebumian mereka (Yunus Sauman Sabin, 2010c).

Gambar 20: Tapak pengebumian Batu Balos. Kelihatan keranda diletakkan


secara bertindih-tindih kerana ruang yang terhad.

Tapak Pengebumian Gua Madai

Formasi batu kapur Madai ini juga merupakan sebuah kompleks gua. Justeru terdapat
beberapa lokasi pengebumian keranda kayu balak kuno di sini. Antaranya ialah Agop Atas
atau juga dikenali sebagai Madai Atas (Bellwood, 1985), Pusu Samang Alag, Pusu Samang
Tas (Harrisson, 1969-70) dan gua Kabunatok (Orolfo, 1965). Bezanya tapak-tapak ini dengan
tapak pengebumian lain di Kinabatangan dan Segama ialah jumlah kerandanya yang sedikit
sahaja. Sebagai contoh, di Madai Atas hanya terdapat sebuah keranda sahaja dan tidak
mempunyai sebarang ukiran. Keranda ini kemudiannya diberi pentarikhan 1000 +/- 70 BP
(Bellwood, 1988). Menariknya keranda kayu balak di Madai Atas ini kerana sewaktu
ekskavasi dilakukan di tapak ini oleh Peter Bellwood bersama pasukan daripada Jabatan
Muzium Sabah pada tahun 1987, mereka telah menemui sebuah tempayan batu di bawah
keranda dan diduga sebagai bukti amalan pengebumian tempayan. Mungkin ia adalah
pengebumian sekunder.

Tapak pengebumian di Pusu Samang Alag pula terdiri daripada 3 unit keranda yang
diduga datang daripada 3 pasang tetapi tidak kesemuanya lengkap. Purata saiznya adalah
sederhana iaitu 7 kaki 5 inci. Di tapak Pusu samang Tas pula terdapat hanya satu keranda
sahaja walaupun dari segi keadaan gua ia sangat sesuai untuk tapak pengebumian. Ekskavasi
percubaan oleh Harrisson berhampiran dengan keranda mendapati objek seperti serpihan
tembikar tanah yang masih insitu, serpihan tulang manusia, pelbagai jenis manik dan 2 bilah
pisau besi (Harrisson, 1969-70). Menariknya ialah tidak ditemui sebarang bukti kehadiran
tembikar batu yang diimport.

Pengetahun kita terhadap kehadiran keranda di Gua Kabunatok pula hanya


berdasarkan kepada catatan yang dibuat oleh Pastor Orolfo (Orolfo, 1961). Menurut beliau;

”Kabunatok Cave. This is located three chains east of Lawag-Lawag Cave at


the foot of a cliff. This cave is 130 yards long, running north-eastward for a
distance of 65 yards and then southward for the rest of the distance. The
entrance is wide. The ceiling is high. The floor is almost level. On both sides
of the entrance there are dilapidated coffins, which show that this cave was
once used as graveyard. The inhabitants are bats, common white nest
swiftlets, and white-bellied swiftlets. This cave is said to have produced about
40 katis of nests (white) 20 years ago but now it only produces about three
katis.”

Ada beberapa aspek yang menarik terhadap penemuan keranda kayu balak di Kompleks Gua
Madai ini. Pertamanya tidak ada satupun daripada keranda tersebut yang diletakkan di atas
pangkin dan tidak ada satupun juga keranda yang mempunyai ukiran di bahagian penutupnya
apatah lagi sebarang bentuk figura. Keduanya dan yang paling menarik ialah penemuan
keranda di Pusu Samang Tas yang tidak mempunyai sebarang bukti penemuan tembikar batu
tetapi mempunyai alatan besi. Ini menjadikan usaha meletakkannya ke dalam kronologi
pengebumian keranda kayu balak menjadi sukar. Apatah lagi tidak ada pentarikhan
kronometrik terhadapnya. Walau bagaimanapun, ia mungkin keranda yang paling awal
kerana tapak pengebumian keranda yang lain kesemuanya mempunyai tinggalan serpihan
tembikar batu import. Hubungan antara masyarakat Idahan yang tinggal di kawasan tersebut
dengan keranda kayu balak di gua-gua tersebut juga tidak jelas. Hanya keranda di Madai Atas
sahaja yang mereka kenali sebagai milik Aki Apoi iaitu nenek moyang keturunan mereka.

Tapak Pengebumian Baturong

Survei pada tahun 1930an oleh Orolfo mendapati sekurang-kurangnya 36 buah gua di
kompleks Baturong (Orolfo, 1961) tetapi seperti yang dilaporkan oleh Harrisson dalam survei
mereka pada tahun 1966 (Harrisson 1969-70), kebanyakannya tidak mempunyai potensi
arkeologi. Ini adalah kerana keadaan gua yang berada di kedudukan rendah dan berair, lantai
yang tidak rata, banyak runtuhan batu kapur dan sebagainya. Hanya ada dua gua sahaja yang
mempunyai tinggalan keranda kayu balak iaitu di Pusu Bakas dan di Hagop Bilo. Di tapak
Pusu Bakas, terdapat sekurang-kurangnya dua pasang keranda berdasarkan kepada kehadiran
2 belahan bahagian bawah dan satu belahan bahagian penutup. Bentuk penutupnya juga agak
berbeza dengan yang terdapat di Kinabatangan dan Segama kerana bahagian lidah
kerandanya terletak di bahagian paling atas penutupnya dan bentuknya seakan-akan seperti
ekor. Meskipun, bahagian ini terdapat pada sebahagian keranda di Gua Batu Tulug dan Batu
Supu, Kinabatangan tetapi ia disertai dengan lidah keranda yang lebar. Keranda di Pusu
Bakas ini juga tidak mempunyai sebarang ukiran polahias.

Di Hagop Bilo pula, tinggalan pengebumian keranda kayu balak bukan hanya terbatas
kepada keranda itu sendiri tetapi juga tiang pangkin. Sebanyak 2 pasang keranda telah
ditemui dan masing-masing diletakkan berjauhan kira-kira 40 kaki. Peletakan keranda ini
seiring dengan kehadiran tiang pangkin. Berdasarkan kepada tiang pangkin sebanyak 4
batang, kemungkinan jumlah keranda juga lebih daripada 2 pasang tetapi seperti yang
dilaporkan oleh Harrisson, mungkin keranda yang lain itu telah digunakan oleh pemungut
sarang burung yang datang kemudian sebagai alat dalam pekerjaan mereka (Harrisson, 1969-
70). Ciri-ciri kerandanya adalah sama seperti yang ditemui di Pusu Bakas dan saiznya juga
lebih kurang sama iaitu antara 7 hingga 8 kaki. Keranda di sini juga diperbuat daripada jenis
kayu keras iaitu kayu belian (Eusideroxylon Zwageri sp). Untuk kawasan ke selatan daripada
Sungai Segama, hanya di Hagop Bilo dan Pusu Bakas ini sahaja telah ditemui tiang pangkin
keranda. Ia tidak ditemui di Melanta Tutup, Segarong, Sipit mahupun di Madai. Cuma
bezanya antara tiang pangkin di Hagop Bilo dan Pusu Bakas ini ialah dari segi kehadiran
ukiran berbentuk figura di Hagop Bilo dan tidak ada ukiran di Pusu Bakas.

Gambar 21: Keranda kayu balak di tapak Baturong (Harrisson dan Harrisson,
1969-70).

Tapak Pengebumian Gua Sipit

Tapak ini terletak berdekatan dengan muara Sungai Sipit dan Sungai Segarong ke selatan
pekan Lahad Datu. Selain nama Sipit, ia juga dikenali dengan nama Semobong atau Pillolo
(Harrisson, 1969-70). Formasi batu kapurnya adalah kecil dan begitu juga dengan saiz batu
lindungannya. Ketinggiannya tidak lebih daripada 30 kaki dari paras laut. Walau
bagaimanapun, berdasarkan kepada penemuan 10 serpihan keranda oleh Harrisson pada
tahun 1968, menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya terdapat 3 pasang keranda diletakkan
di tapak ini. Salah satunya mempunyai ukiran figura kepala seladang dan menyerupai bentuk
figura yang ditemui di Melanta Tutup. Selain daripada serpihan keranda, beberapa artifak lain
juga telah ditemui sewaktu lawatan oleh Lord Medway ke tapak ini pada tahun 1958 seperti
serpihan tembikar tanah dan satu serpihan seramik jenis seladon Sawankhalok kurun 14-15
Masihi (Medway, 1960).

Gambar 22: Tapak Gua Sipit dan kerandanya (Harrisson dan Harrisson, 1969-70).

Tapak Pengebumian Melanta Tutup

Tapak ini merupakan sebuah tapak batu pelindung. Terletak di atas bukit Melanta Tutup (600
kaki dari paras laut) berhampiran dengan Teluk Tagasan di Semporna dan menghadap ke
arah Laut Sulu. Kajian pertama yang dijalankan di sini dilakukan pada tahun 2002 hingga
2003 oleh penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (Chia dan Peter Koon,
2003), kini dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Arkeologi Global dan mendapati sebuah
keranda kayu balak kuno terletak di atas lantai gua dalam keadaan terganggu. Panjang
keseluruhan keranda dijangkakan lebih daripada 240sm dan 52sm lebar. Pemerhatian
permukaan di tapak tersebut menemui beberapa objek dan artifak yang dipercayai berasosiasi
dengan keranda kayu balak tersebut seperti serpihan tulang manusia, loceng logam kecil dan
manik. Keranda kayu balak ini kemudiannya diberi pentarikhan antara 1070 BP hingga 840
BP setelah mengambil kira usia kayu sebelum dijadikan sebagai keranda kayu balak. Keranda
kayu balak di Melanta Tutup ini mempunyai ukiran figura kepala seladang tetapi buatannya
lebih kasar berbanding yang terdapat di Lembah Kinabatangan dan Segama. Ini merupakan
satu lagi variasi bentuk figura mengikut tempat.

Kesimpulan

Daripada penjelasan di atas, penduduk pribumi pantai timur Sabah boleh dikategorikan
kepada satu suku kaum sahaja iaitu suku kaum Kadazandusun. Suku kaum ini mempunyai
pertalian yang sangat erat dari segi bahasa dan sosioekonomi yang sama. Mereka bercucuk
tanam secara kecil-kecilan, menjadi nelayan sungai, pemburu dan penternak binatang secara
kecil-kecilan, pemungut hasil-hasil hutan, pemungut sarang burung layang-layang dan
mereka juga berkongsi adat kematian iaitu mengebumikan mayat ke dalam gua dengan
menggunakan keranda kayu balak. Kesemua persamaan ini berpunca daripada keadaan
persekitaran yang serupa iaitu sungai dan lembahnya, singkapan batu kapur di sekeliling
mereka dan flora serta fauna yang sama. Inilah ciri penting yang membezakan mereka dengan
suku kaum Kadazandusun di pantai barat Sabah kerana di sana tidak terdapat singkapan batu
kapur. Justeru idea meletakkan mayat ke dalam gua tidak berlaku.

Berdasarkan kepada kewujudan tapak pengebumian keranda kayu balak yang lebih
banyak di Lembah Kinabatangan dan Segama, memungkinkan bahawa kedua-dua lembangan
itu merupakan pusat kepada tradisi ini.
Bibliografi

Bellwood

Bellwood

Chia, Stephen and Peter Koon

Chia, Stephen and Peter Molijol

Harrisson dan Harrisson

Medway

Orolfo

Yunus Sauman Sabin

You might also like