Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 5

STRATEGI PDP DALAM KELAS

Strategi pengajaran inklusif merujuk sebarang pendekatan pengajaran yang bertujuan


menangani keperluan murid-murid yang pelbagai latar belakang, stail pembelajaran dan
kebolehan. Strategi-strategi ini menyumbang kepada persekitaran pembelajaran inklusif
secara keseluruhan yang murid-muridnya dapat merasakan diri mereka dihargai sama seperti
rakan-rakan yang lain.

Guru kepada murid-murid dalam kelas inklusif merupakan seorang guru yang kreatif,
penyayang, sabar, inovatif, berstruktur dan fleksibel. Guru ini sentiasa bertindak mengikut
kesediaan murid yang ada pada satu-satu masa serta mata pelajaran dan topik yang diajar.
Pihak sekolah dan keluarga murid-murid pula perlu berkolaboratif untuk membantu murid
yang mempunyai pelbagai tahap kebolehan untuk mendapat banyak kemahiran, sementara
guru-guru dan kakitangan lain bekerjasama untuk mengajar dan mendampingi setiap murid.

Perancangan untuk kejayaan inklusif merangkumi peruntukan masa, sumber, strategi,


intervensi dan sokongan yang berpatutan kepada murid dengan berbekalkan sikap bahawa
semuanya boleh dicapai dan dijalankan. Guru-guru yang terlibat dengan inklusif boleh
membuat pilihan untuk bekerja dengan seluruh kelas, kumpulan kecil dan individu.

Pada peringkat asas, guru perlu mengenal pasti murid yang memerlukan pengajaran secara
langsung, latihan, pemulihan dan pengayaan. Inklusif melibatkan guru-guru aliran perdana,
guru-guru pendidikan khas serta kakitangan lain dalam membentuk kerjasama yang
menghormati semua murid. Walau bagaimanapun, jangkaan yang tinggi terhadap murid serta
kemampuan guru menyerlahkan kekuatan mereka amat penting.

Strategi-strategi berguna untuk menjalankan pendidikan inklusif dengan baik adalah seperti
berikut:

a) Membentuk pengetahuan sedia ada.


b) Prarancang, rancang dan pasca rancang pengajaran dengan objektif-objektif berstruktur,
c) Mara daripada yang mudah kepada yang kompleks dengan menggunakan analisis tugasan
yang memecahkan pembelajaran kepada bahagian-bahagian yang mudah difahami dan
diikuti.
d) Gunakan pendekatan langkah demi langkah, dan ajar dalam bahagian yang kecil.
Banyakkan latihan dan ulangan.
e) Buat peneguhan konsep-konsep abstrak dengan contoh-contoh konkrit, contohnya
meneliti peta sambil mempelajari arah kompas atau berjalan di kawasan sekeliling sekolah
untuk belajar membaca papan tanda yang ada di jalan raya.
f) Fikir tentang semua akomodasi dan modifikasi yang mungkin akan diperlukan, contohnya
mengguna perakam digital untuk merekod nota, mengurangkan ejaan perkataan-perkataan
dan membanyakkan penyediaan aktiviti pengayaan.
g) Gabungan elemen-elemen sensori: visual, auditori dan kinestatik seperti menulis surat di
atas dulang berisi pasir atau membentukkan sudut dengan menggunakan lidi atau straw.
h) Gunakan kekuatan murid untuk mengajar mereka. Contohnya, jika murid tersebut tidak
suka nombor dan lemah dalam matematik tetapi suka bergerak atau melompat, benarkan
murid tersebut melompat sambil belajar matematik.
i) Tumpukan perhatian terhadap individu murid dan bukan sindrom mereka.
j) Wujudkan peluang untuk kejayaan supaya dapat membina esteem kendiri.
k) Bincangkan tentang segala yang positif sebelum berbincang tentang yang negatif.
l) Gunakan modeling untuk guru-guru dan rakan sebaya.
m) Pelbagaikan jenis pengajaran dan pentaksiran dengan pembelajaran kecerdasan pelbagai
dan koperatif.
n) Kaitkan pembelajaran dengan kehidupan murid-murid melalui minat mereka.
o) Ingat kepada perkara asas seperti mengajar murid tentang kebersihan, kemahiran sosial,
menghormati orang lain, mendengar dengan efektif atau membaca arahan pada helaian
latihan di samping 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.
p) Mewujudkan persekitaran bilik darjah yang menyenangkan yang akan mendorong murid
untuk bertanya dan melibatkan diri mereka dalam pembelajaran secara aktif.
q) Meningkatkan kesedaran kendiri murid terhadap peringkat dan kemajuan.
r) Berkomunikasi dan berkolaborasi secara efektif dengan keluarga, murid dan rakan sekerja.
s) Sentiasa senyum.
Kanak-kanak berkeperluan khas merupakan kanak-kanak yang menghadapi masalah tingkah
laku, emosi dan perkembangan sosial memerlukan modifikasi kaedah dan teknik dalam
pengajaran dan pembelajaran terutamanya kanak-kanak ADHD (Attention deficit
hyperactivity disorder) yang mengalami kesukaran berkaitan dengan kurang menumpukan
perhatian, hiperaktiviti dan bertindak mengikut kehendak hati (American Psychological
Association, 1994)

Dalam menangani kanak-kanak yang mengalami masalah sedemikian, guru boleh


menggunakan teknik pengurusan tingkah laku melalui pemantauan oleh rakan sebaya atau
intervensi berorientasikan rakan sebaya (contohnya, buddy system). Mengikut Hoza et al.
(2000), terdapat penambahbaikan dalam kemahiran sosial dan penurunan dari segi
penolakan rakan sebaya. Teknik ini boleh dilaksanakan dalam bentuk kerja kumpulan, iaitu
kanak-kanak berkeperluan khas ini dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan rakan
sebaya dalam kerja projek dan aktiviti perbincangan yang dijalankan.

Di samping, kaedah pengajaran secara langsung, strategi seperti kawalan kendiri, pengurusan
kemarahan dan kemahiran peneguhan kendiri digalakkan untuk memodifikasikan tingkah
laku kanak-kanak berkenaan peningkatan kadar penglibatan dalam tugasan serta
pengurangan dalam tingkah laku antisosial (Miranda dan Presentacion, 2000). Selaras dengan
pendekatan behaviouris mengenai peneguhan positif, strategi mengurangkan tingkah laku
tidak diingini (teguran dan tuju hala semula) serta hukuman dan dendaan amat penting
sebagai teknik untuk meningkatkan penglibatan kanak-kanak berkeperluan khas dalam
aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Fabiano dan Pelham, 2003)

Pengajaran murid-murid bermasalah pembelajaran merupakan satu cabaran yang unik.


Pengajaran murid-murid tersebut akan memerlukan lebih banyak masa dan kesabaran guru.
Guru juga perlu menggunakan strategi pengajaran yang specialize dalam persekitaran
berstruktur yang boleh menyokong dan meningkatkan potensi pembelajaran mereka. Perlu
diingat bahawa murid bermasalah pembelajaran bukan murid yang tidak boleh belajar tetapi
mereka hanya memerlukan pengajaran differentiated yang pengajaran itu dirancang untuk
disesuaikan kepada keupayaan pembelajaran mereka yang khusus. Strategi-strategi yang
sesuai digunakan dengan murid-murid bermasalah pembelajaran adalah seperti yang berikut:
a) Sediakan arahan lisan untuk murid bermasalah dalam bacaan. Kemukakan bahan ujian dan
bacaan format dalam lisan supaya pentaksiran tidak dipengaruhi oleh kekurangan kebolehan
membaca.
b) Sediakan semakan kemajuan yang kerap untuk murid bermasalah pembelajaran. Beritahu
mereka bahawa mereka mempunyai kemajuan kea rah matlamat individu atau kelas.
c) Berikan maklum balas serta-merta kepada murid bermasalah pembelajaran. Mereka perlu
lihat dengan cepat perhubungan antara apa yang diajar dengan apa yang dipelajari.
d) Aktiviti-aktiviti perlu tepat dan singkat. Mereka mudah hilang fokus dan menghadapi
kekecewaan jika projek terlalu panjang dan mengambil masa yang panjang untuk
diselesaikan.
e) Murid bermasalah pembelajaran menghadapi masalah semasa mempelajari isitilah dan
konsep abstrak. Sebaik-baiknya sediakan objek dan peristiwa yang konkrit iaitu bahan-bahan
yang mereka boleh sentuh, dengar, hidu dan sebagainya. Gunakan sebanyak deria yang boleh
semasa PdP.
f) Murid-murid bermasalah pembelajaran perlu dan sepatutnya diberi banyak pujian yang
spesifik. Jangan hanya berkata, “Kamu melakukan ini dengan baik” atau “Cikgu suka hasil kerja
kamu”. Sebaliknya, berilah komen yang spesifik yang dikaitkan dengan aktiviti tersebut.
Contohnya, “Cikgu suka cara kamu hasilkan buku skrap bersama-sama dengan Siti dan Dolah.
g) Ulang arahan atau sediakan maklumat dalam formar bertulis dan verbal mengikut
keperluan. Adalah penting bagi murid bermasalah pembelajaran menggunakan seberapa
banyak mod sensori yang mungkin.
h) Berikan galakan aktiviti kooperatif. Rancang supaya murid kelainan keupayaan bekerja
bersama-sama untuk menyiapkan sesuatu projek atau ke arah matlamat yang sama.
Wujudkan keadaan yang keadaan komuniti pembelajarannya dimudahkan dan dapat
ditingkatkan.
Rujukan

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2016). Siri Pendidikan Guru: Pengurusan Bilik

Darjah dan Tingkah Laku Edisi Kedua. Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Oxford Fajar.

Noriati A. Rashid, Boon, P. Y. & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). Siri Pendidikan

Guru: Murid dan Pembelajaran. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar.

You might also like