1 Kritikan Karya Seni

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 12

JABATAN SOSIO-BUDAYA DAN KESENIAAN MELAYU

SEMESTER 5 SESI 21/22

JIA3004
PENULISAN KRITIKAN KESENIAN

TUGASAN:
KRITIKAN KARYA SENI

17203443/1
MUHAMMAD FITRI BIN HAIRUDIN

DISEDIAKAN UNTUK:
DR. SHAFA'ATUSSARA SILAHUDIN
Pengenalan

Setiap kumpulan bangsa di Malaysia mempunyai bentuk tarian mereka yang tersendiri,
setiap tarian tersebut boleh dikategorikan melalui budaya bangsa tersebut. Tarian-tarian ini boleh
diidentifikasikan dengan kepercayaan agama masing-masing yang sering dipersembahkan di
majlis perkahwinan, pertunjukan kebudayaan, atau sambutan-sambutan awam yang lain. Tarian
tradisional di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga bangsa utama yang terdapat di Malaysia,
iaitu tarian tradisional Melayu, tarian Cina, dan tarian India. Tarian tradisional melayu
menggambarkan adat resam dan kehidupan harian masyarakat Melayu. Menurut (Norfadilah
Kamaruddin, 2019) secara umumnya, tarian melayu terbahagi kepada dua iaitu tarian asli
Melayu yang asalnya daripada Sumatra ataupun kepulauan nusantara Melayu, dan kedua tarian
melayu yang dipengaruhi unsur budaya luar sama ada melalui pengaruh politik ataupun kesan
perubahan sejarah. Tarian tradisional Melayu merupakan satu dari pelbagai aspek kesenian dan
kebudayaan Melayu yang dibahaskan telah banyak melalui perubahan di era globalisasi kini.
Latar Belakang Seniman

Tertarik dengan keindahan dan kesantunan tarian tradisional Melayu, maka saya seronok
untuk mengulas tentang karya-karya tarian hasil garapan daripada seorang seniman yang
semakin mendapat nama di persada tarian ini iaitu Encik Khairulazhar bin Mohtar atau lebih
mesra dikenali sebagai Abang Kerol. Pemuda berusia 37 tahun ini merupakan anak ke-2
daripada 5 orang adik beradik yang berasal dari Kampung Ladang, Gelang Patah, Johor Bahru,
Johor. Selain itu beliau juga merupakan seorang koreografer bebas serta pengasas kepada
kumpulan tariannya iaitu Nyala Dance Theatre. Beliau sudah terlibat di dalam dunia seni ini
semenjak tahun 1959 lagi sebagai seorang penari kanak-kanak yang aktif. Cinta terhadap
kesenian tarian, beliau telah menyambungkan pengajian dalam Diploma Seni Lakon, Fakulti
Seni Persembahan di UiTM, seterusnya lagi menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda
Seni Persembahan Tari Universiti Malaya, dan sekarang sedang mengikuti pengajian peringkat
Sarjana Tari (koreografi) di Universiti Malaya.
https://www.instagram.com/p/CLszBo-Jq6k/

Rajah 1: Gambar Encik Khairulazhar yang dipetik dari akaun Instagram miliknya Pada

sudut kerjaya pula, Encik Khairulazhar pernah menjadi Artis Budaya


Kumpulan Kesenian Petronas di KLCC selama 4 tahun dan juga merupakan bekas pensyarah tari
dan lakon di Fakulti Filem Teater dan Animasi Uitm Puncak Perdana selama 8 tahun. Setelah itu,
beliau berjaya mewujudkan syarikat persendiriannya iaitu kumpulan tarian Nyala Dance Theater.

Kumpulan Nyala Dance Theater secara rasminya telah ditubuhkan pada tahun 2010.
Meskipun begitu, kumpulan ini sudah bergerak aktif semenjak tahun 2009 lagi dibawah naungan
Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA) dan kemudian diubah kepada Nyala Dance
Theatre seperti sekarang kerana KESUMA adalah khusus bagi kelab tari di Universiti Malaya.
Pada awal penubuhannya, kumpulan ini hanya mempunyai seramai 12 orang penari yang terdiri
daripada rakan-rakan rapat Encik Khairulazhar yang juga mahasiswa-mahasiswi Universiti
Malaya. Kini kumpulan ini sudah mempunyai lebih kurang 60 orang penari aktif.
Kumpulan ini semakin dikenali kerana aktif dalam pertandingan tarian di seluruh
Malaysia. Walaupun sudah berkecimpung dalam dunia seni tari lebih dari 10 tahun dan sudah
dikenali, kumpulan ini tidak pernah sombong untuk bersaing dengan kumpulan-kumpulan baru
di Malaysia. Menurut Encik Khairulazhar, pertandingan adalah medan menguji kreativiti,
kemahiran dan bakat, dalam pertandingan kita akan berusaha untuk menjadi pemenang dan kita
juga bersedia untuk menerima kekalahan disitu lah disiplin penari terbentuk dan kemahiran
mereka diasah. Selain itu, Nyala Dance Theatre juga antara kumpulan yang aktif menerbitkan
produksi persembahan tari seperti Tentang Cinta (kontemporari), Dramatari Puteri Cemara
Jingga (dramatari), Temu (tradisi & kreasi), Rampai Tari Warisan (tradisi) dan yang terbaru
Gemilang (tradisi & kreasi) atas kerjasama bersama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara
untuk Colour of Malaysia 2021 .

Kegigihan dan tekadnya menyertai pelbagai pertandingan tarian sama ada di dalam
negara mahupun luar menjadikan beliau dan kumpulan tariannya disegani di dalam dunia tari.
Kumpulan ini juga pernah menerima jemputan persembahan mewakili Malaysia ke luar negara
seperti Bahrain, Indonesia, Thailand, China, dan Singapura.

Kaedah Mengumpul Maklumat

Sebelum saya mengulas lebih lanjut berkenaan karya, disini ingin saya kongsikan
kaedah ataupun dimana saya mendapatkan pengisian bagi ulasan ini. Secara jujurnya saya telah
lama meminati karya hasil garapan Encik Khairul ini tetapi tidak pernah berkesempatan untuk
menyaksikannya secara fizikal, saya juga tidak pernah bersemuka atau menghadiri mana-mana
bengkel tarian yang dianjurkannya. Meskipun begitu, ramai diantara rakan-rakan penari saya
yang sudah pernah bekerjasama dengan beliau. Karya-karya beliau juga sering dikagumi oleh
setiap penari atas dasar kehalusan dan kelincahan gerak-gerak tarinya. Bagi mengumpulkan
maklumat mengenai Encik Khairulazhar Mohtar ini saya telah menonton satu temubual beliau di
laman web Youtube yang telah dimuat naik oleh akaun BE.TVChannel.
Rajah 2: Temubual antara BE.TVChannel bersama Encik Khairulazhar Mohtar

Seterusnya, untuk menghasilkan ulasan ini saya telah menonton video tarian rampaian
Melayu daripada Nyala Dance Theater yang telah dimuat naik di laman sesawang Youtube.
Karya ini merupakan tarian rampaian Melayu yang menggabungkan seni tarian Inang dan
juga Joget di dalam satu medley lagu, ianya telah dipersembahkan dan dipertandingkan di
Festival Tari Malaysia pada tahun 2017. Karya ini telah berjaya merangkul gelaran Naib Johan
Kategori Rampaian Tradisional Festival Tari Malaysia 2017.
Rajah 2: Video tarian rampaian Melayu daripada kumpulan Nyala Dance Theatre

Untuk ulasan seterusnya pula, saya telah menonton video tarian Kreasi Asli & Inang
bertajuk Di Batas Masa. Karya ini dipetik dari Produksi Gemilang yang menampilkan tujuh
karya berbeza termasuk Di Batas Masa seperti Inang Cemara, Joget Sapu Tangan, Zapin Candak,
Temasya, Endang Ya Maulai, dan Aneka Warna. Produksi Gemilang ini merupakan himpunan
rangkaian tari kreasi baru yang dicipta oleh Encik Khairulazhar dengan berlatarkan lagu-lagu
gemilang Irama Malaysia suatu ketika dulu.
Rajah 3: Video bahagian tari kreasi Di Batas Masa

Ulasan Karya: Tarian Rampaian Inang Joget

Beberapa perkara dapat diulaskan setelah menonton rakaman persembahan ini. Secara
umumnya atau dari mata kasar sudah dapat dilihat keseragaman yang boleh dikatakan sempurna
ditonjolkan oleh penari-penari tersebut. Koordinasi gerak yang seiring diantara sesama penari
dengan muzik menunjukkan keserasian yang baik diantara penari-penari. Keseragaman juga
dapat dilihat dari segi postur ataupun letak tubuh penari semasa menari, kelihatan jelas bahawa
perkara ini dititikberatkan Encik Khairulazhar dimana para penarinya tampak sama tinggi
berdiri dan sama rendah ketika duduk. Ketinggian diantara penari wanita juga berbeza dengan
penari lelaki, ini menjelaskan lagi elemen tari Melayu itu dimana penari lelaki mengacah atau
mengusik penari wanita manakala penari wanita mengekalkan keayuan dengan penuh malu dan
santun.
Perkara yang paling saya kagumi adalah susunan ataupun rekaan pola lantainya yang
kompleks tetapi sangat kemas dan teratur. Jika dilihat pola lantai bagi tarian rampaian ini boleh
dikatakan “sibuk” ini kerana setiap satu kali lapan (1X8) kiraan gerak pola lantainya akan
berubah. Meskipun begitu, penari-penari berjaya merealisasikan pola lantai tersebut dengan
begitu kemas dan mampu menambahkan unsur kekaguman di dalam karya ini.

Dari segi penyampaiannya pula, tari rampaian hasil garapan Encik Khairulazhar ini
berjaya di persembahkan dengan baik sekali. Makluman, tari melayu tradisional sebenarnya
adalah permainan jadi dapat dilihat bahawa persembahan ini dilakukan bukan sekadar
mempersembahkan tetapi dapat dirasai keseronokan bermain diantara mereka. Meskipun ada
teknik dan cara tarian itu ditarikan tetapi secara keseluruhannya dapat dilihat seolah penari-
penari tersebut sedang bercanda sesama mereka. Ditambah dengan senyuman dan kemesraan
dari pandangan mata sesama pasangan penari lelaki dan wanita menjadikan persembahan itu
lebih hidup.

Jikalau dibaca ruangan komen video ini, ramai yang menyatakan rasa seronok melihat
persembahan ini dan tak kurang juga yang mengucapkan tahniah kepada koreografer atas
kejayaannya menggarap persembahan ini. Sebanyak 95 komen daripada penikmat lain semuanya
memberikan kata-kata yang positif, disini dapat dinilai meskipun masa terus beredar dan berubah
tetapi tarian tradisional Melayu ini masih tetap relevan dan diterima oleh masyarakat. Komentar
juga bukan sahaja dari Malaysia malahan juga dari negara jiran seperti Indonesia.

Secara keseluruhannya, tarian rampaian hasil garapan Encik Khairulazhar merupakan


yang terbaik antara yang terbaik, kerana ianya berjaya menimbulkan unsur kekaguman
disamping mewujudkan rasa seronok ketika melihat persembahan ini seolah-olah melihat orang
bermain bercanda. Selain itu juga, rekaan pola lantai yang menarik dan peletakan emosi penari
yang ceria menjadikan tarian ini tidak bosan dan relevan meskipun di zaman millenium ini.
Rajah 3: Antara komen-komen penikmat di video rakaman persembahan

Ulasan Karya: Di Batas Masa (Tari Kreasi Asli dan Inang)

Persembahan ini merupakan salah satu persembahan daripada Produksi Gemilang hasil
kerjasama antara Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara bersama Nyala Dance Theater.
Tarian ini dipersembahkan dengan bergantung konsep kepada lagu yang digunakan iaitu Di
Batas Masa nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dimana ia menceritakan tentang rasa kesedihan
diatas kehilangan ataupun pemergian insan yang tersayang. Menurut video persembahan ini,
tarian ini digarap dengan menghasilkan gerakan secara lirikal bagi menonjolkan rasa kesedihan.

Pada permulaan persembahan ini dapat dilihat sekumpulan wanita sedang meratapi
pemergian seorang lelaki, pada saat ini sudah dapat dilihat momentum emosi sedih itu dibina.
Momentum membentuk perasaan sedih itu diteruskan dengan gerak tari yang pantas tetapi
mengalir, disini dapat dirasai perasaan geram hendak melepaskan rasa sedih itu dengan gerakan
yang bersemangat. Riak wajah penari juga membantu dalam menaikkan lagi emosi tarian ini,
dimana jelas dapat dilihat penari menampilkan wajah sedih seakan hendak menangis.

Pada pendapat saya tarian ini berjaya menyampaikan rasa sedih kehilangan itu, dimana
sejujurnya saya juga beremosi menonton persembahan ini. Pada pandangan saya, tarian ini
menceritakan tentang derita kehilangan seseorang yang disayangi itu
bercampur dengan rasa geram dan sedih kerana tiada apa yang mampu dilakukan. Tiada daya
untuk menghalang sesuatu yang bukan di dalam kawalan kita, ini adalah penafsiran saya secara
ringkas terhadap persembahan tarian ini.

Tidak berbicara dari segi teknikal tetapi pada pendapat saya tarian ini berjaya dalam
menonjolkan keayuan wanita dan berjaya menyerlahkan konsep sedih tetapi meredhai. Meskipun
gerakannya pantas daripada Tari Asli yang tradisional tetapi ia berjaya meletakkan elemen
kelembutan di dalam geraknya. Kreativiti koreografer jelas dapat dilihat dalam penghasilan
kreasi baru ini, kerana kebiasaanya tarian asli ini berunsurkan ceria meskipun lagunya berkonsep
sedih tetapi tariannya ceria. Suatu kelainan yang ditonjolkan tetapi berjaya menarik minat
penikmat yang lain.

Rajah 4: Komen dari penikmat lain di laman Youtube

Secara Keseluruhannya, Encik Khairulazhar berjaya dalam menghasilkan satu tarian


kreasi baru yang masih mengekalkan elemen tradisional tetapi kekal relevan untuk tontonan
masyarakat masa kini. Sesuatu yang lain daripada yang lain ditonjolkan, dimana konsep dan
gerak persembahan berdasarkan bait-bait lirik lagu yang menonjolkan rasa sedih. Unsur
kekaguman dari peletakkan emosi penari di dalam persembahan ini juga berjaya memukau saya
dan beberapa penikmat seni tari Melayu yang lain.
Penutup

Kegigihan dan rasa cinta Encik Khairulazhar Mohtar terhadap seni persembahan terutama
sekali tarian jelas dapat dilihat dalam setiap hasil karya beliau, dimana ketelitian dalam
koreografi gerak sehinggalah prop dan pola lantai dititikberatkan. Setelah lebih 10 tahun dalam
industri, hasil karya beliau terus menjadi kaguman dan sumber inspirasi bukan hanya kepada
saya sahaja tetapi juga kepada penikmat lain. Nafas baru yang dihasilkan seperti kreasi-kreasi
tarian tradisional baru menjadikan tarian ini kekal malar segar dan sentiasa diterima masyarakat
sejagat. Untuk berada di tempat beliau berada sekarang bukanlah sesuatu yang mudah dan ianya
menjadi cita-cita saya.
Rujukan

BE.TVChannel (Producer). (2021). Festival Tari Malaysia 2017 - Nyala Dance Theatre (Naib
Juara kategori Rampaian Tradisional). Retrieved from
https://www.youtube.com/watch?v=-isYTvOUKyA
Norfadilah Kamaruddin. (2019). Augmented Reality Book for Preserving Malay Traditional
Dances: A Case Study. Journal of Computer Science Research, 1(1).
doi:https://doi.org/10.30564/jcsr.v1i1.491
Nyala Dance Theatre (Producer). (2021). Colour Of Malaysia 2021 - Nyala Dance
Theatre. Retrieved from https://www.youtube.com/watch?v=bAkexBw496s
Nyala Dance Theatre (Producer). (2017). Festival Tari Malaysia 2017 - Nyala Dance
Theatre (Naib Juara kategori Rampaian Tradisional). Retrieved from
https://www.youtube.com/watch?v=-isYTvOUKyA
Yayasan Warisan Johor. Bahagian Seni Persembahan. Retrieved from
http://www.ywj.gov.my/seni-persembahan/
Yayasan Warisan Johor. Tarian Joget. Retrieved from
http://www.ywj.gov.my/tarian-joget/
Yayasan Warisan Johor. Tarian Inang. Retrieved from
http://www.ywj.gov.my/tarian-inang/

You might also like