Tahap Perkembangan Bahasa Melayu Moden Pasca Merdeka

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 19

TAHAP PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU MODEN PASCA MERDEKA

PERKARA 152 PERLEMBAGAAN

Perkara 152 dalam perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Bahasa Melayu

adalah bahasa kebangsaan di negara ini. Namun, perlembagaan tidak melarang bahasa lain

digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajian kecuali atas tujuan-tujuan yang rasmi.

Antara tujuan-tujuan rasmi termasuklah apa-apa urusan kerajaan, sama ada urusan peringkat

negeri mahupun negara, termasuk juga urusan penguasaan awam. Penguasaan awam dapat

difahami sebagai bahasa Melayu haruslah digunakan dalam apa-apa tujuan yang melibatkan

prosiding mahkamah, dokumen-dokumen parlimen serta mesyuarat-mesyuarat rasmi.

Melalui perlembagaan ini, dapat difahami bahawa bahasa Melayu mendapat

keistimewaan dan kelebihan berbanding bahasa-bahasa lain di Malaysia. Keistimewaan ini

termasuklah bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi kebangsaan di samping menjadi bahasa

perpaduan bagi menyatupadukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan

agama. Bahasa Melayu juga turut menjadi identiti kepada masyarakat di Malaysia yang

majoritinya berbangsa Melayu kerana mereka sudah menuturkan bahasa ini sejak sekian

lama. Disamping itu juga, pengenalan dasar ini adalah sangat penting bagi memastikan tidak

timbul salah faham di antara satu penutur dengan penutur yang lain selain untuk

mengelakkan masalah komunikasi berlaku semasa berinteraksi sesama mereka.


AKTA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA 1959 (PINDAAN DAN PELUASAN 1995)

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah ditubuhkan ketika Tanah Melayu sedang

membuat persiapan untuk menyambut kemerdekaan. justeru , akta yang telah diperkenalkan

ini bertujuan untuk memenuhi beberapa objektif seperti:

● Untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk

bidang sains dan teknologi;

● untuk memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan;

● untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan

buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam

bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain;

● untuk membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah-istilah yang sesuai

dalam bahasa kebangsaan;

● untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul; dan

● untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan

secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat

kuasa.

Melalui objektif yang telah disenaraikan dalam akta Dewan Bahasa dan Pustaka ini,

dapat dilihat bahawa DBP memegang peranan yang besar dalam memperkasa dan

memperluaskan lagi bahasa Melayu sehingga ke hari ini. Pemerkasaan bahasa merupakan

satu usaha yang penting untuk memelihara bahasa agar tidak dianggap ketinggalan zaman

disamping masih lagi relevan untuk digunakan pada masa ini. Atas tanggungjawab dan

peranan yang telah diberikan kepada DBP, mereka sebagai sebuah institusi telah merangka

pelbagai projek dan program untuk mengembangkan lagi bahasa dan sastera Melayu. Selain

daripada pelbagai program, DBP juga mengambil inisiatif lain dengan menerbitkan pelbagai
jenis bahan bacaan seperti buku, majalah dan jurnal terutamanya buku-buku sekolah dan

buku ilmiah dengan menggunakan laras dan susunan ayat yang sesuai dan tepat.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh DBP ini dikembangkan lagi dengan penggunaan

teknologi dan internet melalui pelbagai platform digital seperti laman web dan media sosial.

Mereka telah mewujudkan beberapa platform seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu

(PRPM), kamus Online DBP dan posting di media sosial berkenaan penjelasan peribahasa,

simpulan bahasa dan sebagainya. Usaha-usaha ini dilakukan untuk mendekatkan lagi

masyarakat yang majoritnya kini menggunakan platform digital dengan penggunaan bahasa

dan tafsiran sastera Melayu yang tepat agar bahasa Melayu tidak disalahguna dan

disalahertikan.
AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (dikenali juga sebagai Akta 32) adalah suatu akta

yang ditubuhkan bagi menyatukan undang-undang berhubungan dengan penggunaan bahasa

kebangsaan. Ia mengandungi 9 seksyen iaitu dari tajuk ringkas, pemakaian dan mula berkuat

kuasa hinggalah ke seksyen terakhirnya iaitu borang. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67

terbentuk daripada gabungan dan penyesuaian antara akta 1963 dengan akta 1967

sebelumnya..Akta ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 1971, tetapi telah dipinda pada tahun 1983.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 juga terbahagi kepada beberapa seksyen iaitu seperti

Seksyen 2 yang menyatakan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud-maksud

rasmi. Selain itu, mengikut Seksyen 8, segala prosiding di mahkamah hendaklah

menggunakan bahasa kebangsaan atau dalam bahasa Inggeris, atau sebahagian-sebahagian.

Seksyen 9 pula menyatakan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi tetapi

penggunaan tulisan Jawi tidak dilarang serta Seksyen 11 iaitu terjemahan borang dalam

bahasa Melayu boleh diguna-pakai. Oleh itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 Pindaan

1983 memartabatkan bahasa Melayu untuk kegunaan dalam urusan penting meskipun

terdapat pengecualian tertentu yang melibatkan penggunaan bahasa lain. Berikut merupakan

Undang-Undang Malaysia yang merangkumi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) :

TAJUK RINGKAS, PEMAKAIAN DAN PERMULAAN KUAT KUASA

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan hendaklah,
tertakluk kepada subseksyen (2), dipakai di seluruh Malaysia.

(2) Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa di Negeri Sabah dan Sarawak pada tarikh
yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri masing-masing, melalui enakmen Badan
Perundangan Negeri masing-masing dan tarikh yang berlainan boleh ditetapkan bagi
permulaan kuat kuasa peruntukan yang berlainan dalam Akta ini di Negeri-Negeri itu.

BAHASA KEBANGSAAN HENDAKLAH DIGUNAKAN BAGI MAKSUD RASMI

2. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada
perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1) Perlembagaan
berhubung dengan manamana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain di
Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

PENGGUNAAN TERJEMAHAN

3. Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh menyentuh hak Kerajaan Persekutuan atau
hak Kerajaan mana-mana Negeri untuk menggunakan apa-apa terjemahan dokumen
atau perutusan rasmi dalam mana-mana bahasa lain bagi apa-apa maksud yang
difikirkan perlu demi kepentingan awam.

PENGGUNAAN BERTERUSAN BAHASA INGGERIS BOLEH DIBENARKAN

4. Yang di-Pertuan Agong boleh membenarkan penggunaan berterusan bahasa


Inggeris bagi apa-apa maksud rasmi sebagaimana yang difikirkan patut.

PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS BOLEH DIBENARKAN DALAM PARLIMEN


DAN DEWAN UNDANGAN

5. Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua
Dewan Undangan mana-mana Negeri, atau seseorang lain yang sedang menjalankan
fungsi mana-mana jawatan itu, boleh membenarkan seseorang anggota mana-mana
satu Majlis Parlimen atau seseorang anggota Dewan Undangan menggunakan bahasa
Inggeris apabila memberikan ucapan kepada, ataupun apabila mengambil bahagian
dalam kerja, Majlis Parlimen atau Dewan Undangan itu, mengikut mana-mana yang
berkenaan.

TEKS SAHIH UNDANG-UNDANG

6. Teks
(a) bagi segala Rang Undang-Undang yang akan dikemukakan atau pindaan
kepadanya yang akan dicadangkan dalam Parlimen atau mana-mana Dewan
Undangan Negeri;

(b) bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan
oleh Kerajaan Persekutuan;

(c) bagi segala Enakmen dan perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh mana-
mana Kerajaan Negeri; dan

(d) bagi segala Ordinan yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, hendaklah
dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa Inggeris, dan teks dalam bahasa
kebangsaan itu adalah sahih melainkan jika Bahasa Kebangsaan 7 Yang di-Pertuan
Agong menetapkan sebaliknya sama ada secara am atau bagi mana-mana undang-
undang atau jenis undang-undang yang tertentu.

UNDANG-UNDANG BERTULIS YANG DIPERBUAT SEBELUM 1 SEPTEMBER


1967

7. (1) Jika mana-mana undang-undang bertulis yang diperbuat sebelum satu hari bulan
September 1967 telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan
Agong boleh menetapkan terjemahan undang-undang itu sebagai sahih.

(2) Tiada apa-apa jua dalam seksyen 6 boleh dipakai bagi pindaan mana-mana undang
undang bertulis yang diperbuat sebelum satu hari bulan September 1967, sehingga
undangundang bertulis itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan dan
terjemahan itu telah ditetapkan sebagai sahih.

BAHASA MAHKAMAH

8. Segala prosiding (selain pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dalam


Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana
Mahkamah Rendah hendaklah dalam bahasa kebangsaan: Dengan syarat bahawa
Mahkamah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-
mana pihak dalam mana-mana prosiding dan selepas menimbangkan kepentingan
keadilan dalam prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu (selain pemberian
keterangan oleh seseorang saksi) dijalankan sebahagiannya dalam bahasa kebangsaan
dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.

TULISAN BAGI BAHASA KEBANGSAAN

9. Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak
melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi,
bagi bahasa kebangsaan.

BENTUK ANGKA

10. Bentuk angka dalam bahasa kebangsaan ialah bentuk angka Arab.

BORANG

11. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dengan nyata, apabila sesuatu
borang dalam bahasa Inggeris ditetapkan oleh mana-mana undang-undang bertulis,
terjemahan borang itu dalam bahasa kebangsaan oleh orang atau pihak berkuasa yang
ditetapkan dari semasa ke semasa dengan perintah oleh Perdana Menteri boleh
digunakan bagi segala maksud yang baginya borang itu boleh digunakan jika borang
itu dalam bahasa Inggeris.
AKTA PENDIDIKAN 1996 (AKTA 550)

Akta pendidikan 1996 merupakan suatu akta yang ditubuhkan untuk mengadakan

peruntukan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Pengenalan akta ini

adalah lanjutan dan pembaharuan daripada Akta Pelajaran 1961. Akta pendidikan 1996 ini

terbahagi kepada 16 bahagian dan 17 peraturan yang berkaitan dengan pendidikan. Antara

intipati akta ini adalah bahasa kebangsaan yakni Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar

utama di semua institusi pendidikan dalam semua peringkat pengajian kecuali sekolah jenis

kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain

oleh menteri daripada subseksyen ini. Sekiranya bahasa pengantar utama dalam institusi itu

adalah selain daripada bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu, maka subjek Bahasa Melayu

adalah mandatori ataupun wajib untuk diajarkan di institusi tersebut.

Akta pendidikan 1996 ini mempunyai beberapa kepentingan untuk memelihara

Bahasa Melayu disamping menjadikan sistem pengajaran dan pembelajaran di negara kita

menjadi lebih sistematik dan teratur. Dalam Seksyen 15 dan Seksyen 16 telah menjelaskan

tentang Sistem Pendidikan Kebangsaan yang meliputi semua peringkat dan jenis sekolah

ataupun institusi pendidikan kecuali sekolah ekspatriat. Sekolah ekspatriat merupakan satu

institusi pendidikan yang menawarkan program pendidikan peringkat tadika, sekolah rendah

dan sekolah menengah dengan menggunakan kurikulum dari negara asal serta menggunakan

bahasa rasmi negara masing-masing sebagai bahasa pengantar untuk memberikan pendidikan

kepada warganegara masing-masing.

Selain itu, akta Pendidikan 1996 juga turut memperkenalkan kurikulum kebangsaan

dan sistem peperiksaan yang sama dimana kesemua jenis dan kategori sekolah wajib
menggunakan kurikulum yang telah disediakan itu. Penyelarasan ini dilakukan bertujuan

untuk menyeragamkan kaedah penilaian dan pengukuran tahap pencapaian murid-murid dari

pelbagai sekolah dan institusi bagi melestarikan lagi pendidikan di negara kita. Selain itu,

akta ini juga menumpukan perhatian kepada kemahiran dan teknikal selaras dengan

perkembangan sains dan teknologi, selain daripada pembangunan pesat negara Malaysia

melalui sektor perindustrian dan keperluan ekonomi yang semakin mencabar. Akta

Pendidikan 1996 telah menukar taraf sekolah Vokasional kepada sekolah Teknik yang

membolehkan politeknik untuk mengadakan pelbagai program dan kerjasama dengan mana-

mana organisasi, perbadanan dan institusi perindustrian untuk mengendalikan kursus teknik

atau vokasional, program pertukaran pelajar mahupun penyediaan tempat latihan industri.
PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berperanan untuk menggalakkan masyarakat

menggunakan bahasa kebangsaan secara meluas serta menggalakkan penggunaan bahasa

kebangsaan yang betul bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat

kuasa serta . Dalam usaha memperkembangkan bahasa Melayu, DBP telah melaksanakan

pelbagai program melalui fungsi pengukuhan dasar bahasa kebangsaan, pemupukan

penyebaran, penataran, pemantauan dan pekhidmatan. Pelbagai kegiatan dilaksanakan

melalui fungsi-fungsi ini bagi memastikan kedudukan bahasa Melayu terus menjadi mantap

sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan yang paling penting adalah sebagai bahasa

perpaduan negara Malaysia. Di sinilah peranan yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan

Pustaka (DBP) sangat penting ke arah memasyarakatkan secara meluas penggunaan bahasa

Melayu dengan pendekatan dan kaedah yang menarik dan selaras dengan perkembangan

teknologi info-telekomunikasi. Sepertimana yang sedia maklum, tidak ramai atau hanya

segelintir sahaja daripada rakyat Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu dengan betul..

Oleh hal yang demikian, DBP perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk

mengatasi masalah yang telah berleluasa hingga ke hari ini dengan mewujudkan buku-buku

dan risalah-risalah dan akhbar-akhbar yang menggunakan dan memperbetulkan penggunaan

Bahasa Melayu yang tidak betul di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun DBP menggalakkan

penggunaan bahasa kebangsaan namun setelah masa beredar melangkaui peredaran zaman

kini banyak pecampuran bahasa seperti bahasa rojak yang sedang menular dalam masyarakat

masa kini. Disamping itu, keaslian bahasa kebangsaan ini tidak dicemar. Begitu juga dengan

penggunaan bahasa singkatan. Contohnya, singkatan bagi sungai, bukit, jalan, dan

sebagainya. Penggunaan singkatan ini memudahkan penulis surat bagi alamat dan kawasan.
Seterusnya, DPB juga berperanan dalam mencetak atau menerbitkan atau membantu

usaha percetakan atau penerbitan buku-buku, risalah-risalah dan lain-lain bentuk persuratan

dalam bahasa kebangsaan. Pihak DBP merupakan sebuah organisasi yang begitu penting

dalam industri percetakan dan penerbitan buku-buku, risalah-risalah, kamus-kamus, serta

pelbagai bentuk bahan ilmiah kerana ia merupakan salah sebuah organisasi penerbitan yang

terbesar di Malaysia. Pihak DBP telah banyak mencetak dan menerbitkan buku-buku untuk

sekolah-sekolah seperti buku teks dan buku rujukan yang merupakan bahan ilmiah yang

sangat penting bagi pelajar-pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Tambahan

pula, DBP juga bergiat aktif dalam menerbitkan buku-buku kesusasteraan Bahasa Melayu

mahupun dalam Bahasa Inggeris. Ini bermakna peranan yang dimainkan oleh DBP adalah

sangat penting dan ia juga memberi impak yang baik dalam bidang kesusasteraan,

pendidikan, dan juga industri percetakan Negara.

Selain itu, membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang

termasuk sains dan teknologi juga adalah salah satu peranan DPB. Secara umumnya, dalam

bidang sains dan teknologi, hanya perkataan-perkataan daripada Bahasa Inggeris yang

digunakan untuk membina atau menghasilkan sesuatu penemuan atau penciptaan yang baru

khususnya dalam bidang perubatan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, pihak Dewan

Bahasa dan Pustaka telah berusaha dan memainkan peranan yang sangat penting bagi

memperkaya bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Melayu supaya lebih banyak perkataan

daripada Bahasa Melayu dihasilkan di dalam bidang-bidang yang pesat berkembang sperti

bidang sains dan teknologi. Oleh itu, DPB juga ingin memastikan bahawa Bahasa Melayu

juga turut berkembang maju seperti Bahasa Inggeris dimana mempunyai kosa kata yang luas

dalam pelbagai bidang yang khusus.


Di samping itu, peranan atau usaha lain yang dilaksanakan oleh DPB ialah dengan

membakukan ejaan dan sebutan, serta membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa

kebangsaan; Pelaksanaan dasar bahasa yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa

pengantar di sekolah rendah, menengah dan hinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi

menggerakkan kegiatan peristilahan yang didukung oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Banyak Jawatankuasa Istilah (JKI) telah ditubuhkan oleh DBP dengan kerjasama institusi

pengajian tinggi awam untuk mengumpul, membentuk dan menyebar luas istilah bahasa

Melayu dalam bidang sains asas dan sains gunaan. Perubahan ini menyaksikan perancangan

korpus bahasa Melayu berkembang dengan cepat sekali. Oleh yang demikian, DPB juga ingin

memajukan bakat kesusasteraan, terutama dalam bahasa kebangsaan. Menurut Berita

Harian(2021 ), DBP mengiatkan program dari semasa ke semasa iaitu Minggu Penulis

Remaja dengan motif melahirkan dan memupuk penulis muda. Program ini juga bertujuan

melahirkan pewaris ilmu kesusasteraan pada masa depan. Dalam usaha memperkasakan ilmu

kesusasteraan ini, DBP sekali lagi menggunakan kaedah penganugerahan bagi menggalakkan

sasterawan-sasterawan menceburi bidang ini. Kepentingan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

adalah begitu penting sehingga ia diiktiraf oleh jabatan kerajaan sebagai Badan Berkanun

melalui Akta Parlimen pada tahun 1959 dalam memantapkan lagi pengembangan bahasa

sastera. Begitu juga dengan pengaturan rancangan memupuk bahasa sastera dengan baik.
PERANCANGAN TARAF BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

BAHASA RASMI BAHASA ILMU

Perancangan taraf bahasa dapat dikaitkan kepada usaha untuk memartabatkan bahasa

Melayu menjadi satu bahasa yang diguna pakai sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi,

bahasa ilmu dan sebagainya. Bahasa yang telah diiktiraf akan menjadi lambang kemajuan

bagi sesuatu tamadun. Hal ini demikian kerana bahasa sangat penting untuk digunakan

sebagai alat berkomunikasi antara satu tamadun dengan tamadun yang lain.

Perancangan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dilihat melalui

kerjasama kebahasan antara Malaysia dan Indonesia pada 1959. Sebagai sebuah negara yang

baru merdeka, Tanah Melayu telah memeterai perjanjian persahabatan dengan Republik

Indonesia bertujuan untuk membantu perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa

kebangsaan. Misalnya, Perkara 6 yang terkandung dalam perjanjian tersebut ialah kedua

pihak harus saling bekerjasama untuk memantapkan bahasa Melayu dan Indonesia dalam

perkembangan dan penggunaannya. Usaha ini dapat dilihat apabila Indonesia menubuhkan

Panitia Pelaksanaan Kerjasama Bahasa Melayu-Indonesia. Manakala, Tanah Melayu pula

menubuhkan Jawatankuasa Bersama Tentang Soal Bahasa Persekutuan Tanah Melayu-

Indonesia.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga dapat dikenal

pasti melalui peranan individu atau pertubuhan-pertubuhan dalam negara yang bergiat aktif

memperjuangkan taraf bahasa Melayu. Individu yang terlibat adalah dari golongan

intelektual, pensyarah universiti, pegawai kerajaan, guru dan penulis. Sebagai contoh, Ustaz

Zulkifli Muhammad, iaitu Pengetua Kolej Islam Malaya telah berusaha untuk

memperluaskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan cara

menghantar surat kepada Za’ba untuk memohon silibus subjek bahasa Melayu diajarkan
dalam pengajian tinggi. Pertubuhan seperti PENA pula bertanggungjawab untuk

mengembangkan lapangan bahasa, kesusateraan dan ilmu pengetahuan sejajar dengan

kepentingan negara. Pertubuhan ini memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai

bahasa pengantar utama dalam sistem pelajaran kebangsaan.

Seterusnya, perancangan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mula

diperjuangkan setelah pembentukan negara Malaysia yang merdeka. Bahasa Melayu telah

diisytiharkan sebagai bahasa rasmi negara pada tahun 1967 apabila Parlimen telah

meluluskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan. Taraf bahasa Melayu semakin

berkembang apabila termaktub sebagai Perkara 152 dalam perlembagaan negara sebagai

bahasa rasmi yang digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam urusan pemerintahan dan

pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan, kehakiman dan sebagainya.

Kedaulatan bahasa Melayu semakin terlihat apabila Dasar Pelajaran Kebangsaan

menetapkannya sebagai bahasa rasmi dan pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah dan

institusi pengajian tinggi melalui Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960.

Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 telah memperjuangkan

pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan yang mengakui bahasa Melayu sebagai

bahasa pengantar utama. Selain itu, Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran juga

mencadangkan untuk mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua pelajar tanpa

mengira bangsa. Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 pula memberi penegasan

terhadap pendidikan asas “3M”, iaitu membaca, menulis dan mengira. Laporan Rahman Talib

turut mencadangkan pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, iaitu akademik dan

vokasional. Peluang untuk melanjutkan persekolahan turut ditingkatkan dari 9 tahun kepada

11 tahun.
Perancangan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pula dapat dilihat melalui

kewujudan karya-karya atau buku-buku yang bersifat ilmiah. Bahasa Melayu banyak

digunakan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan berbanding bidang-bidang yang lain.

Hal ini demikian kerana bahasa Melayu telah lama digunakan dalam bidang tersebut. Bahasa

Melayu ilmiah dapat dikenal pasti melalui beberapa ciri seperti peristilahan, laras, tatabahasa

dan sebagainya. Istilah kosa kata bahasa Melayu dapat dikumpulkan dalam Kamus Dewan

Bahasa dan Pustaka yang diterbitkan pada tahun 1970. Penyenaraian dan usaha membina

istilah baru telah bermula sejak tahun 1957 apabila bahasa Melayu menerima kemasukan

bahasa Latin dan Yunani yang dipinjam melalui bahasa Inggeris. Dalam usaha

memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka memainkan

peranan yang penting dalam melakukan penterjemahaan buku-buku atau karya-karya yang

ditulis dalam bahasa inggeris kepada bahasa Melayu. Pihak DBP juga banyak menerbitkan

buku teks yang digunakan di sekolah peringkat rendah dan menengah.

PERANCANGAN KORPUS BAHASA (EJAAN, ISTILAH, PERKAMUSAN)

Perancangan korpus bahasa merupakan satu usaha untuk mengembangkan bahasa

Melayu terutamanya melibatkan pembinaan ortografi, iaitu pembakuan atau pemiawaian

bahasa termasuklah sistem ejaan dan tulisan. Menurut Asmah Haji Omar (1985),

perancangan korpus bahasa hanya fokus terhadap pembinaan bahasa kerana ia meliputi

penciptaan istilah-istilah baharu, perubahan dalam sistem morfologi dan ejaan,

pengambilalihan sistem tulisan baharu dan sebagainya.

Peristilahan dalam kerangka perancangan bahasa Melayu dapat dilihat melalui usaha

Dewan Bahasa dan Pustaka yang menubuhkan jawatankuasa istilah bagi menghasilkan istilah

dalam bidang pentadbiran dan urusan kerajaan. Terdapat tiga pedoman pembentukan istilah
yang wujud sepanjang tahun 1959-1975 seperti Pedoman Membentuk Istilah Baharu yang

diterbitkan pada tahun 1961, Pedoman Membentuk Istilah Baharu Bahasa Melayu DBP dan

Pedoman Pembentukan Istilah Universiti Malaya yang diterbitkan pada tahun 1971.

Peristilahan yang dilakukan lebih banyak memfokuskan subjek bidang khusus yang mengkaji

ilmu tentang unit, representasi, struktur, pemerolehan pengetahuan dan evolusi. Pemiawaian

dilakukan mengikut tahap tertentu seperti lima tahun sekali bagi memastikan proses kemas

kini yang dinamik dalam peristilahan.

Menurut Antia (2000), Perancangan bahasa yang berorientasikan peristilahan amat

penting kerana peristilahan dan Bahasa Untuk Tujuan Khusus (BUTK) sebagai komuniti

akademik mempunyai hubungan yang terhad. Ketentuan pembentukan istilah dirujuk melalui

Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPI) yang telah digunakan pada

tahun 1975. Pedoman ini juga turut digunakan oleh Jawatankuasa Istilah (JKI) di dalam DBP

untuk membentuk istilah khusus.

Seterusnya, perancangan korpus bahasa berdasarkan sistem ejaan. Sistem ejaan dalam

bahasa Melayu telah mengalami beberapa perubahan yang sangat ketara. Pada peringkat

awal, sistem ejaan tertua ialah Sistem Ejaan Marsden iaitu huruf jawi versi Melayu yang

menggunakan huruf vokal seperti “Alif” dan “Wau”. Kemudian, diikuti oleh Sistem Ejaan

Ophuijsen (1901) dan Sistem Ejaan Wilkinson (1902). Sistem Ejaan Wilkinson menggunakan

pendekatan transliterasi daripada jawi kepada rumi, iaitu kaedah perumian bunyi-bunyi

Melayu sama ada berdasarkan perumian secara harfiah atau secara fonetik. Sistem ejaan ini

terus berkembang kepada Sistem Ejaan Za’ba (1904), Sistem Ejaan Fajar Asia (1943), Sistem

Ejaan Suwandi (1947), Sistem Ejaan Kongres (1956 dan 1957), Sistem Ejaan Malindo (1959)

dan yang terakhir adalah Sistem Ejaan Rumi Bersama 1967.


Perancangan korpus bahasa juga dapat dilihat melalui usaha perkamusan. Penerbitan

kamus-kamus sangat penting bagi meningkatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa

yang moden. Menurut Kridaklasana (1984), perkamusan sebagai ilmu merupakan

leksikografi, iaitu cabang ilmu linguistik terapan yang memusatkan perbahasannya kepada

kaedah dan teknik penyusunan kamus. Dipercayai bahawa usaha perkamusan sudah berlaku

sejak dahulu lagi, iaitu antara 1403M sehingga 1511M. Hal ini sejajar dengan pendapat

Asmah Haji Omar (1987) bahawa kamus Melayu yang paling awal dikenal pasti ialah senarai

kata Melayu-Cina yang terdiri daripada 482 kata entri berdasarkan karangan C.O.Blagden

yang bertajuk “A Chinese Vocabulary of Malacca Words and Phrases Collected Between

A.D. 1403 and 1511”. Usaha perkamusan di Malaysia telah dimajukan oleh pertubuhan

Dewan Bahasa dan Pustaka dengan menyusun dan menerbitkan Kamus Dewan ekoran

penerbitan Kamus Umum Bahasa Indonesia yang telah disusun oleh W.J.S Poerwadaminta

pada tahun 1952 yang memuatkan 20 ribu entri. Jelasnya, penerbitan kamus yang bersifat

kekinian sangat membantu bagi menambah ilmu pengetahuan para pembaca dengan cara

mengenal pasti perkataan baharu yang dapat digunakan dalam komunikasi lisan atau tulisan.
Rujukan

Antia, B.E. (2000). Terminology and language planning: An alternative framework of

practice and discourse. Amsterdam: John Benjamins.

Asmah Haji Omar. (1985). Susur Galur Bahaa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. (1987). Bahasa Malaysia Saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Cetakan, S., & Malaysia. (2006). UNDANG-UNDANG. Retrieved from

https://statics.scnu.edu.cn/pics/southeastasia/2020/0623/1592899077137008.pdf

Dewan Bahasa dan Pustaka AKTA. (2020). Dbp.gov.my.

http://lamanweb.dbp.gov.my/index.php/pages/view/58?mid=38

Dr. Awang Sariyan. (none). Perancangan Taraf Bahasa Melayu. Diakses pada 2 Januari

2022, dari http://klikweb.dbp.my/?p=491.

Gopal, V. (2020). AKTA PENDIDIKAN 1996 (KPF - UPSI). Blogspot.com.

https://kpf-aktapendidikan1996.blogspot.com/

Hafizzudin Zainudin. (2010). Perkembangan Bahasa Melayu Moden. Diakses pada 2

Januari 2022, dari https://www.slideshare.net/HafizzudinZainudin/perkembangan-

bahasa-melayu-moden.
Hanga. (2018, July 29). SEJARAH DAN PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Retrieved January 3, 2022, from pdfslide.tips website:

https://pdfslide.tips/documents/sejarah-dan-perkembangan-bahasa-melayu-

perkembangan-bahasa-melayu-moden-.html

Kridaklasana. (1984). Pesona Bahasa. Solo: Tiga Serangkai Pustaka Mandiri.

Mohd Iskandar Ibrahim. (2021, June 22). Pinda Akta DBP 1959 untuk daulatkan

bahasa Melayu. Retrieved January 3, 2022, from Berita Harian website:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/830707/pinda-akta-dbp-

1959-untuk-daulatkan-bahasa-melayu

Rogayah binti Osman. (2012). Perancangan Bahan Ejaan dan Sebutan, Peristilahan dan

Perkamusan Dalam Bahasa Melayu di Malaysia. Diakses pada 2 Januari 2022, dari

http://ilmubahasamelayu.blogspot.com/2012/09/perancangan-bahan-ejaan-dan-

sebutan.html.

You might also like