Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 7

922/1 STPM 2020

KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF


KERTAS 1
(DUA JAM)

JABATAN PENDIDIKAN NEGERI KELANTAN

SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA


(MALAYSIA HIGHER SCHOOL CERTIFICATE)

Arahan kepada calon:


JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA ANDA DIBENARKAN
BERBUAT DEMIKIAN.
Jawab tiga daripada enam soalan, iaitu satu soalan daripada Bahagian A, satu soalan
daripada Bahagian B, dan satu soalan daripada Bahagian C.
Anda boleh menjawab semua soalan daripada setiap bahagian tetapi hanya satu jawapan
pertama bagi setiap bahagian yang akan diperiksa.

Kertas soalan ini terdiri daripada halaman bercetak dan halaman kosong.
Bahagian A : Puisi ( 25 markah )

Jawab satu soalan sahaja

1. Baca gurindam di bawah ini dan jawab soalan yang mengikutinya.

Taat Setia Raja dan Rakyat

Raja muafakat dengan Menteri,


Seperti kebun berpagarkan duri,

Betul hati kepada raja,


Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,


Tanda raja beroleh Inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,


Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang pandai,


Tanda mengenal kasa dan cindai.

(dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia[peny,], 2012.


Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur: DBP, hlm 13)

Bincangkan nilai-nilai yang dapat menjamin hubungan yang baik antara pemerintah dan rakyat.
[25]
2. Baca sajak di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Pahlawan Ialah Dia


Abdul Ghafar Ibrahim

Pahlawan ialah warga yang mengalirkan keringat


demi menyuburkan ladang negara sayang
Pahlawan ialah warga yang menitiskan darah
demi menghidupkan simponi negara berbilang.

Dialah pahlawan yang mengumpulkan tenaga


siap sedia
atas nama negara yang tidak dibiarkan leka
Dialah pahlawan yang menghimpunkan setia
tahan uji
atas nama negara yang tak dibiarkan mati.

Siang-siang berjaga-jaga kerana tak rela


masa depan bangsanya lena
malam-malam waspada kerana tak sanggup
peluang bangsanya tertutup.

Khidmat cemerlangnya mengapung


pada permukaan bahang puji dan keji
Semangat wajarnya kental membara
di udara kaji dan uji.

Mentari waktu menyambar kasih-sayangnya


pada keluarga semasa bertugas jauh
Bulan masa merebut tidurnya
dari sisi dikasihi oleh jadual cemas.

Dialah laskar pelindung kota penyokong desa


warga yang tekadnya disimpulmatikan
oleh jawapan sejahtera aman
Dia nadi ketahanan industri
teknologi kembangan
memikul amanah tak berkesudahan
demi mencari jawapan makmur raya.

Tubuhnya perisai tembus peluru.


Bom-bom-boom-bamm
dia tak gentar
Tum-tam-tum-tammm
dia tunggu
tret-tet-tret –tettt
dia terus maju.

Baktinya bunga harum mewangi warna-warni


dia tak peduli
dia tak terpegun
dia terus tugas tekun.
Sebagai warga bangga bermaruah
dia terus gemakan gunung hasrat:
Selamat negara
Besar bangsa
Pelihara agama
Daulat bahasa
Cemerlang budaya

Kerana dialah anak watan pewaris keselamatan


Kerana dialah kelompok rakyat
penjunjung amat
yang bersandar pada sinar takwa
yang pernah mengalami erti sengsara:

Cedera di bukit
tangis di laut
jerit di udara

tempang di sempadan
buta di ladang
lemas di sungai
lesu di sawah
parah di lembah

Yang menjadikan kematian bukti hidupnya


pahlawan
bukti zaman yang pernah dilindungi
zaman yang menjadi saksi
kepada nilai kemanusiaan yang megah
dipertahankan
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia. [peny.],
2012.Permata Sastera Melayu. Kuala Lumpur;
Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 29-31)

(a) Dengan mengemukakan contoh, huraikan tiga unsur perulangan dan kesan pada nilai estetik
sajak di atas. [9]

(b) Bincangkan empat sikap pahlawan yang dikemukakan oleh penyajak dalam sajak di atas.
[16]
Bahagian B : Prosa Tradisional ( 25 markah )

Jawab satu soalan sahaja

3. Bincangkan syarat-syarat yang perlu dipelihara oleh menteri yang boleh diterapkan dalam
kehidupan sebagaimana yang terdapat dalam “ Tajus Us- Salatin “ seperti yang termuat dalam
Permata Sastera Melayu . [25]

4.. Baca petikan di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

”Hai segala sidang jumaah, maka katakan pada hamba jikalau ada cela hamba kepada tuan
hamba ini hampirkan pulang ke rahmatullah dan jika ada hamba mengambil harta tuan hamba
sekalian, maka tuan hamba dan jikalau ada hamba memukul tuan hamba katakanlah, maka
palulah hamba kembali kerana janganlah kita berkira-kira pada hari kiamat di hadapan kadhi
RabbulJalil kerana hamba hendak membayar hutang sekaranglah hamba kira-kira.” Maka
seorang daripada mereka itu tiadalah menjawab sabda Rasullullah itu melainkan menundukkan
kepalanya dengan masyghul dan nangis.
Maka sabda Rasullullah kepada sidang jumaah itu, “Kerana Allah apalah kiranya tuan-
tuan hendaklah berkata-kata dengan sebenarnya, janganlah tuan-tuan malu kepada hamba ini,
malu pada hari kiamat kelak di hadapan rabbul jalil.” Maka setelah sudah Rasulullah bersabda
yang demikian itu maka adalah seorang daripada penjuru masjid yang bernama Akasyah.

(Dipetik dariapda Majlis Peperiksaan Malaysia [peny] 2012.


“Inilah Hikayat Peri Menyatalkan Nabi Wafat” dalam Permata Sastera Melayu.
Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.93-94)

(a). Berdasarkan petikan daripada Inilah Hikayat Peri Menyatakan Nabi Wafat, huraikan
peristiwa penting yang berlaku selepas petikan di atas. [16]

(b). Huraikan tiga sifat Rasululah yang terdapat dalam petikan boleh dijadikan panduan
dalam kehidupan [9]
Bahagian C : Prosa Moden ( 25 markah )
Jawab satu soalan sahaja

5. Baca petikan di bawah dan jawab soalan yang mengikutinya.


Bebas lepas daripada tangisan kaum kerabat dan sahabat handai. Bebas lepas daripada kotoran
kaki para penghisap dadah yang mencari tempat terlindung dan terasing untuk hisap dadah.
Bebas lepas daripada najis para pasangan penzina yang takut hendak berzina di hotel dan di
rumah atau di taman rekreasi. Pasangan penzina ini tentu akan pilih tanah pekuburan untuk
melakukan penzinaan mereka supaya terlepas daripada Pegawai Pencegah Maksiat. Juga bebas
lepas daripada para penggemar nombor ekor yang datang ganggu daerah ini untuk meminta
nombor ekor. Tentu sekali tidak ada juga hantu jebalang yang mahu keluar dari kubur masing-
masing di sebelah menyebelah daerahku ini. Oh alangkan sejahteranya, ya Ilahi Rabbi-ku

Yang amat penting sekali,bebas lepas daripada para pemfitnah. Apabila para pemfitnah ini
sedar ak sudah tidak ada lagi di rumah tentu mereka akan mencari mangsa yang lain untuk
difitnahkan. Tidak tahu sampai bilakah para pemfitnah ini akan sedar bahawa dosa memfitnah
itu lebih berat daripada dosa membunuh manusia. Tidakkah mereka sedar bahawa membunuh
manusia itu kafir. Dan mengaibkan sesama Islam itu fasiq? Mereka tidak tahu,ya Ilahi Rabbi-
ku!

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia(peny), 2012


Cerpen “Melankoli Atas Rumput” dalam Permata Sastera Melayu
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka hal 151)

(a). Jelaskan unsur negatif yang terdapat dalam petikan di atas [9]

(b). Jelaskan mesej yang terdapat dalam cerpen “Melankoli di Atas Rumput”
[16]
6. Baca petikan di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

PAK LEH LAK LAK: Kami tak ada anak, Siah. Kau macam anak kami
sendiri. Mujurlah kami dapat tumpang berteduh di bawah rumah ayah dan
mak kau. Kalau tidak entah di manalah kami merempat. Ayah kau, Tuan
Setiawan Tanjung, mahu kau mendapat segala-galanya. Nasib kau baik, nak.
Ingat Siah, dari entah beribu anak, kau seorang yang bernasib baik!

ASIAH SAMIAH MUDA: Ingat, Pak Leh.

SITI BUNIRAH: Kata orang, membela seorang anak dara lebih susah
daripada menjaga kambing sekandang. Kami sayang kau, Siah. Kami mahu
kau bahagia. Nasib kita manusia, bukan kita yang menentukan, Siah. Ada
kuasa yang lebih besar. Kita hanya boleh berusaha, yang lainnya Allah juga
yang menentukan. Kauingat tu, Siah!

ASIAH SAMIAH MUDA: Ingat, Mak Rah.

PAK LEH LAK LAK: Memang banyak lelaki di sekeliling kau. Macam
bunga yang sedang mekar, banyaklah kumbang yang menghurung. Kumbang
macam-macam kumbang, Siah. Ada kumbang gatal. Ada kumbang miang.
Kautahu itu,kan?

ASIAH SAMIAH MUDA: Saya tahu, Pak Leh.

SITI BUNIRAH: Pandai-pandailah membawa diri!

ASIAH SAMIAH MUDA: Saya ingat pesan Mak Rah dan Pak Leh. Saya
semat dalam hati. (Menyanyi)

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.],2012


Permata Sastera Melayu Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
halaman 209)

(a). Huraikan tiga citra positif masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas [9]

(b). Bincangkan empat citra negatif masyarakat dalam drama tersebut. [16 ]

-SOALAN TAMAT-

You might also like