Nur Riduwan Bin Haji Muhamad Ali Dan Satu Lagi LWN Nur

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 14

Date and Time: Thursday, 10 March 2022 10:40:00 AM +08

Job Number: 166229015

Document (1)

1. Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
[2019] MLJU 485
Client/Matter: -None-
Search Terms: nur riduwan haji muhamad ali
Search Type: Natural Language
Narrowed by:
Content Type Narrowed by
MY Cases -None-

| About LexisNexis | Privacy Policy | Terms & Conditions | Copyright © 2022 LexisNexis
NUR RIDUWAN BIN HAJI MUHAMAD ALI DAN SATU LAGI v NUR
SUHAILA BINTI MOHAMAD

CaseAnalysis
| [2019] MLJU 485

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
[2019] MLJU 485
Malayan Law Journal Unreported

MAHKAMAH TINGGI (KUALA LUMPUR)

AHMAD BIN BACHE, H

GUAMAN SIVIL NO: DA-23CY-1-03/2017

30 March 2019

Shamsul Baharin bin Abdullah (Rozma Baharin & Co) bagi pihak plaintif.
Mohd Murtadza bin Mohd Mokhtar (Zayumi Murtadza & Co) bagi pihak defendan.

Ahmad bin Bache H:


ALASAN PENGHAKIMANA. LATAR BELAKANG

[1]Plaintif telah memfailkan tindakan ini kerana menurutnya Defendan telah memfitnahnya bahawa Plaintif-Plaintif
berhutang dengannya melalui tulisan di dalam laman sosial “facebook” dan juga aplikasi “whatsapp” dan menuntut
gantirugi sewajarnya dengan perintah-perintah lain termasuk perintah memohon maaf. Setelah perbicaraan penuh
dijalankan, Mahkamah memutuskan untuk menolak tuntutan Plaintif dengan kos.

[2]Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Plaintif telah memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

[3]Ini merupakan alasan-alasan tersebut.


B. FAKTA KES

[4]Plaintif Kedua dan Defendan adalah adik-beradik di mana Plaintif Kedua adalah kakak dan Defendan adalah
adik. Plaintif Pertama adalah suami kepada Plaintif Kedua dan abang ipar kepada Defendan. Mereka berdua
Page 2 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

merupakan ahli perniagaan. Defendan adalah pemilik akaun laman sosial facebook “Suhaila Hj. Mohamad”
(https://www.facebook.com/pemborongkosmetik termurah.79).

[5]Di dalam kes ini, Plaintif-Plaintif telah memfailkan tindakan ke atas Defendan atas suatu tuntutan kononnya
Defendan telah melakukan suatu perbuatan fitnah ke atas kedua-dua Plaintif melalui 2 medium seperti berikut:

Di dalam laman/posting facebook (‘selepas daripada ini dirujuk sebagai ‘FB’) bertarikh 27 Februari 2017,
selepas Defendan meminta maaf, dan menuntut kembali hutang bayaran kereta yang beliau tolak semula
namun enggan dipedulikan kedua-dua Plaintif dan selepas Plaintif Kedua mencabar beliau,
pernyataan/kata-kata yang dikatakan berbentuk fitnah seperti berikut:

Dimuka surat 3, Ikatan B, ianya berbunyi seperti berikut:

“Salwani Aida

Riduan mat ali

Tolong bayar duit saya balik sebanyak 20k. Hutang wajib dibayar walaupun tak dituntut tapi bila kita
tuntut pun masih tak nak bayar, malu sikit dengan rumah mewah kereta mewah. Mewah di atas
penderitaan orang lain.

Kalau saya tak halalkan macam mana ya? Tenang hidup anda?

Dah mintak cara baik tapi masih berkeras tak nak bayar. Ko nak malu dulu biar semua orang tahu.
Jangan sampai bisnes anda pon down sebab kes hutang.

(Ianya bersambung sehingga ke muka surat 6, Ikatan B).

Melalui aplikasi “whatsapp” pula bertarikh 22 - 25 Februari 2017, melalui mesej PERIBADI/PERSONAL
MESSAGE oleh Defendan kepada Plaintif Kedua yang mana kemudiannya Plaintif Kedua sendiri
menaikkan mesej yang sama tersebut ke dalam whatsapp keluarga untuk tatapan seluruh ahli keluarga
yang sedutannya berbunyi seperti berikut:

“Salam kakaku. Ore mitak maaf byk deh byk nyusoh ko adk bradik. Ore akan gi letak kete rumah ma pahni. V
duit balik ko ma 20k. Mulai arini kita xdok pertalian gapo2 dah. Trima kasih byk atas hinaan.

0162222696
Page 3 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

wasap dia sediri

xpola ore sruh abah kecek doh

Pkul 1 toklaki mu x mari ata duit ak 16k ak akan g wat report

Kalu toklaki mu tu kedaroh sgt ptih ak 16k

Mu suap la ank mu duit haram tu deh.

Sbb meme niat sek mu doh tpu ptih ak

Segala tok laki mu g ugut ak semua ak akan report Jd gapo2 ko keda ak atah palo tok laki…”

(ianya bersambung ke muka surat 14 hingga 18 Ikatan B).

[Bagi mesej yang sama yang Plaintif Kedua muatnaik ke dalam whatsapp keluarga, sepertimana di
dalam Ekhsibit P 7B, muka surat 47 - 50 dan muka surat 53 - 55, Ikatan B.]

[6]Menurut Plaintif, perkataan-perkataan tersebut adalah kata-kata fitnah kerana ianya tidak benar kerana
Defendan tidak menceritakan perkara yang sebenar. Justeru itu, Plaintif menuntut daripada Defendan supaya
memohon maaf secara terbuka kepada Plaintif tanpa syarat, menyiarkan permohonan maaf terbuka di dalam
laman sosial facebook, permohonan maaf atas mesej-mesej melalui whatsapp, mengiklankan permohonan maaf di
dalam akhbar harian Bahasa Melayu dan juga gantirugi sebanyak RM1,000,000.00 selain daripada gantirugi
teladan, melampau dan punitive. Plaintif juga memohon satu injunksi agar Defendan atau ejennya dihalang dari
memberi komen atau mengulangi penerbitan yang berunsur fitnah kepada Plaintif.
C. HUJAHAN PLAINTIF

[7]Plaintif menghujahkan bahawa ayat “tolong bayar balik sebanyak RM20,000.00” ini menunjukkan Defendan
menuntut hutang dari Plaintif. Defendan sebenarnya tidak memasukkan cerita sebenar, kerana sebenarnya wang
tersebut adalah wang pendahuluan yang dibayar oleh Defendan untuk membeli kereta milik Plaintif.

[8]Defendan kemudiannya telah mengembalikan kereta tersebut dan meminta semula wang tersebut. Defendan
telah memfitnah apabila tidak memasukkan cerita sebenar berkenaan hutang yang dimaksudkan ke atas Plaintif-
Plaintif.
Page 4 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

[9]Plaintif menghujahkan bahawa Defendan memfitnahnya dengan mengatakan Plaintif berhutang dengannya
sedangkan dia tidak menerangkan dengan jelas apakah hutang itu. Malahan Defendan telah menggunakan ayat-
ayat “malu sikit dengan rumah mewah kereta mewah” seolah-olah menunjukkan bahawa Plaintif menggunakan
wang Defendan itu untuk membeli rumah dan kereta mewah.

[10]Plaintif menghujahkan bahawa kereta tersebut diambil semula dari Defendan kerana dia tertekan dan dia juga
bersetuju untuk bayar balik namun bukan dengan jumlah RM20,000.00 tapi atas budi bicaranya. Defendan
bagaimanapun tidak bersetuju dengan jumlah budi bicara tersebut.

[11]Plaintif menghujahkan bahawa elemen untuk kes fitnah telah berjaya dipenuhi iaitu, kata-kata yang dikeluarkan
oleh Defendan ialah satu fitnah, keduanya ianya merujuk kepada Plaintif-Plaintif dan ketiganya ialah disebarkan
kepada pihak Ketiga.

[12]Seterusnya bagi elemen kedua, Plaintif menghujahkan bahawa ianya jelas kerana Defendan menggunakan dan
merujuk kepada nama Plaintif-Plaintif di dalam posting/laman facebooknya. Oleh itu elemen ini juga dipenuhi.

[13]Bagi elemen ketiga, Plaintif-Plaintif menghujahkan dengan memuatnaik ke laman facebook untuk paparan
umum jelas menunjukkan berlakunya sebaran kepada pihak Ketiga. Oleh itu elemen fitnah telah berjaya dibuktikan
oleh Plaintif.
D. HUJAHAN DEFENDAN

[14]Defendan menghujahkan bahawa dia bukan memfitnah Plaintif- Plaintif namun hanya menuntut semula wang
yang dibayarnya daripada Plaintif sebanyak RM20,000.00 bagi tujuan membeli kereta. Plaintif sememangnya
mempunyai hutang kerana Defendan telah memulangkan semula kereta yang dibelinya daripada Plaintif.

[15]Malahan menurut Defendan, Plaintif-Plaintif yang mencabar Defendan untuk menularkan perkara ini dan
menyatakan dia tidak kisah jika ianya ditular.

[16]Justeru, Defendan menghujahkan bahawa status yang dimuatnaik olehnya ialah sesuatu yang “justified”
(mempunyai justifikasi) memandangkan Plaintif mengakui wujudnya hutang kereta tersebut. Oleh itu ianya bukan
fitnah lagi.

[17]Seterusnya Defendan menghujahkan bahawa tidak terdapat penyebaran kepada pihak Ketiga. Defendan juga
menghujahkan bahawa Plaintif bukanlah dikenali dan tiada siapa yang mengenali Plaintif. Plaintif bukanlah “public
figure” yang dikenali. Justeru, Defendan mempersoalkan bagaimana hendak dikatakan bahawa posting tersebut
telah mencemarkan maruah dan reputasi Plaintif serta mengaibkannya.
Page 5 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

[18]Menurut Defendan, Plaintif tidak mengemukakan mana-mana saksi yang menunjukkan bahawa reputasinya
tercemar.

[19]Berkenaan dengan gantirugi yang dituntut, Defendan menghujahkan bahawa Plaintif gagal membuktikan
“damages” yang dialaminya dan bagaimana status tersebut telah menyebabkan kerugian kepada perniagaannya.
E. PENGANALISAAN DAN DAPATAN MAHKAMAH

[20]Mahkamah telah menilai keterangan dan hujahan dari kedua-dua belah pihak secara “judicial appreciation of
evidence” dan akan membincangkannya dari sudut elemen-elemen yang perlu dibuktikan di dalam kes fitnah.

[21]Di dalam membuat penilaian dan penganalisaan, Mahkamah ini telah berpandukan kepada prinsip undang-
undang yang diputuskan oleh otoriti-otoriti tersohor di bawah untuk membuat dapatan sewajarnya.

[22]Di dalam kes Syed Husin Ali v. Sharikat Penchetakan Utusan Melayu Berhad & Anor. [1973] 2 MLJ 56
diputuskan bahawa adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa di dalam kes fitnah Plaintif perlu
membuktikan 3 elemen seperti berikut:

1. Kata-kata/pernyataan yang diadukan (artikel) seperti mana yang diterbitkan adalah satu kata-kata fitnah
atau bersifat memfitnah terhadap Plaintif;

2. Kata-kata/pernyataan fitnah tersebut merujuk kepada Plaintif;

3. Terdapat penerbitan terhadap pihak Ketiga.

[23]Di dalam kes Ayob Saudi v. TS Sambanthamurthi [1989] 1 CLJ (Rep) 321, Mahkamah berkata:

“In our law on libel which is governed by the Defamation Act 1957 the burden of proof lies on the Plaintiff to show:

(i) The words are defamatory.

(ii) The words refer to the Plaintiff.

(iii) Those words were published.”

[24]Justeru itu, isu-isu yang perlu dibincangkan ialah:

(i) Adakah kata-kata atau pernyataan Defendan bersifat fitnah?

(ii) Adakah kata-kata atau pernyataan Defendan merujuk kepada Plaintif?

(iii) Adakah pernyataan atau kata-kata Defendan tersebut telah disiarkan atau disampaikan (published)
kepada pihak Ketiga?
Page 6 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

[25]Mahkamah akan membuat penganalisaan dan penelitian mengenai elemen kedua dan ketiga dahulu.

[26]Bagi elemen kedua dan ketiga, iaitu pernyataan tersebut ditujukan kepada Plaintif dan ianya telah disiarkan
kepada pihak Ketiga, Mahkamah berpendapat ianya bukanlah isu yang rumit. Bagi elemen kedua, ini adalah ketara
kerana nama Plaintif- Plaintif dinyatakan dan tertera di dalam posting/status facebook dan whatsapp tersebut.

[27]Tambahan dari itu, Defendan mengakui bahawa semasa disoal balas bahawa, orang yang dimaksudkan di
dalam posting facebooknya ialah Plaintif-Plaintif. Oleh itu, bagi elemen kedua, Mahkamah berpendapat Plaintif
telah berjaya membuktikannya.

[28]Berkenaan dengan elemen ketiga Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan Defendan bahawa tidak berlaku
penerbitan kepada pihak Ketiga. Mahkamah berpendapat, apabila Defendan memuatnaik status ke facebooknya
yang ditetapkan untuk tatapan umum, maka anggapan boleh dibuat bahawa ianya telah disebarkan kepada pihak
Ketiga. Tambahan lagi di dalam kes ini, ada komen-komen yang dibuat di status tersebut. Bagi aplikasi whatsapp
elemen ketiga ini gagal dibuktikan kerana ianya disebarkan oleh Plaintif sendiri setelah Plaintif memuatnaik sendiri
ke group ahli keluarganya iaitu “Keluarga Mohamad”. Oleh itu, bagi status atau posting facebook jelas pada
pandangan Mahkamah bahawa, sebaran kepada pihak Ketiga telah berlaku. Justeru, elemen ketiga ini juga telah
berjaya dibuktikan.

[29]Mengenai aplikasi whatsapp, apabila salah satu elemen gagal dibuktikan iaitu penerbitan kepada pihak Ketiga,
oleh Defendan (memandangkan Plaintif sendiri yang menyebarkan kepada “whatsapp” ahli keluarga), maka
tuntutan fitnah gugur. Maka Mahkamah tidak bercadang untuk menyentuh pernyataan- pernyataan yang dikatakan
fitnah yang disebarkan melalui medium tersebut.

[30]Kini Mahkamah ingin menyentuh mengenai isu utama iaitu elemen pertama iaitu sama ada perkataan yang
digunakan oleh Defendan di dalam posting/laman facebook tersebut itu membawa maksud Defamatory/fitnah. Ke
arah itu, Mahkamah ingin merujuk kepada kes Chok Foo Choo [1999] 1 MLJ 371 di mana Mahkamah Rayuan
menyatakan sebagaimana berikut:

“In my judgment, the test which is to be applied lies in a question: do the words published in their natural and ordinary
meaning impute to the Plaintif any dishonourable or discreditable conduct or motives or a lack of integrity on his part? If the
question invites an affirmative response, then the words complained of are defamatory.”

[31]Seterusnya, di dalam kes yang sama dijelaskan lagi perkara ini seperti berikut:

“The ordinary and natural meaning of words may be either the literal meaning or it may be an implied or inferred or an
indirect meaning any meaning that does not require the support of extrinsic facts passing beyond general knowledge but it
is a meaning which is capable or being detected in the language used can be part of ordinary and natural meaning of words
(see Lewis v. Daily Telegraph Ltd [1963] 2 All ER 151). The ordinary and natural meaning may therefore include any
Page 7 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

implication or inference which a reasonable reader, guided not by any special but only by general knowledge and not
fettered by any strict legal rules of construction, would draw from the words.”

[32]Mahkamah juga menggunakan pendekatan yang diguna pakai di dalam kes Tun Datuk Patinggi Haji Abdul
Rahman Ya’Kub v. Bre Sdn Bhd & Ors [1996] 1 MLJ 393 di mana dinyatakan dan ditegaskan bahawa:

“As to whether the words complained of in this case were capable of being, and were, in fact, defamatory of the plaintiff, the
test to be considered is whether the words complained of were calculated to expose him to hatred, ridicule or contempt in
the mind of a reasonable man or would tend to lower the plaintiff in the estimation of right thinking members of society
generally”.

[33]Oleh itu, perkataan yang dikatakan membawa fitnah itu perlu dilihat di dalam makna semulajadi dan makna
lazim perkataan tersebut. Selain itu ia juga boleh dilihat secara inferen atau tersirat, dengan mengambil kira
keadaan sekeliling iaitu ianya berlaku di kalangan adik-beradik yang sama-sama berbalah di antara mereka
(exchange of arguements) mengenai isu yang mana faktanya adalah memang benar.

[34]Ujian yang patut digunakan oleh Mahkamah ialah seperti yang diputuskan dalam kes Keluarga Communication
Sdn Bhd v. Normala Samsudin & Another Appeal [2006] 2 CLJ 46;; [2006] 2 MLJ 700 yang menjelaskan di muka
surat 58 (CLJ); muka surat 708 (MLJ) seperti berikut:

“At the outset we would state that the test to be applied when considering whether a statement is defamatory of a plaintiff is
well settled in that, it is an objective one in which it must be given a meaning a reasonable man would understand it and for
that purpose, that is, in considering whether the words complained of contained any defamatory imputation, it is necessary
to consider the whole article.”

[35]Setelah meneliti kenyataan yang dikemukakan di laman/posting “facebook” dan dibaca secara keseluruhan di
dalam konteks kes ini, Mahkamah berpandangan bahawa, kenyataan itu tidak merupakan satu fitnah kepada
Plaintif seperti yang diplidkan di dalam plidingnya.

[36]Melalui keterangan, Plaintif sebenarnya bersetuju wujudnya satu hutang dan Plaintif sanggup untuk membayar
hutang tersebut namun dengan budibicaranya. Oleh itu, Mahkamah berpendapat secara tidak langsung Plaintif-
Plaintif sebenarnya mengakui bahawa wujudnya hutang yang dimaksudkan namun jumlahnya bukanlah seperti
yang dituntut oleh Defendan. Dengan pengakuan Plaintif ini bahawa memang benar Plaintif ada berhutang dengan
Defendan, maka Defendan tidak boleh dikatakan memfitnah Plaintif.
Pembelaan

[37]Di dalam kes fitnah ada 3 jenis pembelaan yang terbuka kepada Defendan iaitu Pembelaan Justifikasi,
Pembelaan Perlindungan Bersyarat dan Ulasan Saksama.
Page 8 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

[38]Defendan nampaknya telah memilih pembelaan justifikasi di mana pernyataan di dalam posting/laman facebook
tersebut adalah fakta yang benar iaitu permintaan hutang oleh Defendan terhadap Plaintif yang Plaintif akui sendiri
belum dibayar.

[39]Di dalam kes Irene Fernandez v. Utusan Melayu (M) Sdn Bhd & Anor [2008] 2 CLJ 814 Mahkamah ada
menyatakan seperti berikut:

“In a defamation action, the defence of justification is complete defence if it succeeds. And the question of malice or bad
faith does not arise. But in order to succeed in the defence of justification a Defendant must establish the truth of all the
material statements in the words complained of which may include defamatory comments made therein. And in order to
justify such comments, it is necessary to show that the comments are the correct imputations or conclusions to be drawn
from the proved facts. However the plea of justification does not fail by reason only that the truth of every charge is not
proved if the words not proved to be true do not materially injure the Plaintiff’s reputation having regard to the truth of the
remaining charges (see s.8 of the Defamation Act 1957 and Abdul Rahman Talib v. Seenivasagam & Anor [1966] 2 MLJ
66). It also to be noted that partial justification may be useful in the mitigation of damages.”

[40]Di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v. Utusan Melayu (M) Bhd & Anor [2013] 3 MLJ 534 pula, Mahkamah
memutuskan seperti berikut:

“For defence of justification, the Defendants failed to provide that the articles published were true in substance and effect.
In other words, the defence of justification requires the Defendants to prove the same to be true in substance or materially
different from the truth.”

[41]Bersandarkan otoriti-otoriti di atas, Mahkamah kini akan membuat dapatan sewajarnya memandangkan
pembelaan justifikasi terpakai di dalam kes ini.

[42]Ada baiknya Mahkamah menyentuh latar belakang bagaimana pernyataan-pernyataan yang dikatakan fitnah ini
berlaku kerana ianya adalah penting sebab berdasarkan otoriti-otoriti di atas, tiap-tiap kes bergantung kepada fakta
kes masing-masing untuk menentukan sama ada pernyataan-pernyataan tersebut boleh dikatakan sebagai fitnah
atau tidak. Otoriti Abdul Rahman Talib v. Seenivasegam [supra] sendiri menyatakan “... and in order to justify such
comments, it is necessary to show that the comments, are the correct imputation or conclusion to be drawn from
the proved facts”.

[43]Antara “Fakta-Fakta Yang Dipersetujui” berbunyi:

“Telah berlaku perselisihan dalaman yang melibatkan adik- beradik yang berpunca daripada salah faham dan perselisihan
keluarga berkenaan urusan pembelian tiket percutian keluarga ke Guanzhou China.”
Page 9 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

[44]Ianya berlaku apabila pihak Plaintif telah mendahulukan membayar tiket percutian keluarga ke China yang turut
disertai oleh keluarga Plaintif dan keluarga Defendan dan Defendan telah lewat membayarnya selama 1 hari dan
itupun bukan disengajakan. Pada 22 Februari 2017 (esoknya) Defendan (SD1) telah meminta adik iparnya, Faiz
untuk membayarnya kepada Plaintif. Menurut Defendan (SD1), kerana kecil hati kononnya pembayaran tersebut
dibuat lewat dan juga defendan sendiri tidak membuat bayaran tersebut kepada pihak Plaintif maka Faiz telah
dihalau oleh Plaintif Pertama sedangkan Plaintif Kedua sendiri yang bersetuju pembayaran boleh di buat pada hari
tersebut. (Lihat Pernyataan SD1 - PSD1 soalan dan jawapan 15)

[45]Ketika ini, isu hutang kereta tersebut telah wujud dan ini menjadikan perhubungan semakin keruh. (Mengenai
hutang kereta akan disentuh kemudian)

[46]Sementara itu, menurut SD1, dia terasa terhina dengan tindakan pihak Plaintif. Dipersoalan 15, 16 dan 17
Penyata Saksi (PSD1), SD1 ditanya dan menjawab:

“15. ...........

Saya dan suami juga telah dihina dengan kata-kata yang membawa maksud jika tidak ada wang, janganlah pergi
“berderat” (berjalan.)

16. Apa perasaan Puan?

Saya sangat berkecil hati dengan sikap mereka tersebut walhal saya tidak lewat atau sengaja melewat-lewatkan
pembayaran harga tiket tersebut yang asal tujuannya boleh mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga.

Saya turut berasa sedih, kecil hati dan terhina atas kata- kata tersebut terhadap saya sedangkan saya ini adik kandung
Plaintif Kedua sendiri. Sedangkan di waktu beliau susah dahulu, saya dan suami membantu termasuklah dengan cara
membeli kenderaan beliau pada harga RM20,000.00. Dengan cara itu, beliau mendapat bantuan tunai pada ketika mereka
memerlukan.

17. Apakah kesannya akibat perbuatan tersebut?

Saya berasa sangat sedih, kecil hati dan terhina dan pada 22/2/2017 pada sebelah petang itu saya menghantar pesanan
secara peribadi kepada Plaintif Kedua, kakak kandung saya itu melalui aplikasi whatsapp memohon maaf kepada beliau
kerana banyak ‘menyusahkan’ adik-beradik. Saya berasa sangat sedih dan mahu memulangkan kembali kenderaan yang
saya beli daripada pihak beliau dan meminta dipulangkan wang pembelian sebanyak RM20,000.00 tersebut.”

[47]SD1 dan dipersetujui oleh suaminya seterusnya telah membuat keputusan muktamad untuk memulangkan
kereta tersebut seperti berikut:
Page 10 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

“16. Apalagi yang Puan lakukan selain menghantar pesanan whatsapp peribadi kepada Plaintif Kedua pada 22 Februari
2017 itu?

Juga pada sebelah petang hari yang sama, suami saya menghantar pesanan secara peribadi kepada Plaintif Pertama
pula, abang ipar saya itu melalui aplikasi whatsapp memohon maaf kepada beliau kerana banyak ‘menyusahkan’ beliau
dan menyatakan hasrat mahu memulangkan kembali kenderaan tersebut.

17. Bagaimana dengan reaksi pihak Plaintif?

Pihak Plaintif terus bersetuju menerima kembali kenderaan tersebut.

18. Bilakah Plaintif Pertama mengambilnya dan di mana beliau mengambil kenderaan tersebut?

Plaintif Pertama mengambilnya di rumah saya TANPA TANGGUH-TANGGUH LAGI, pada keesokannya pada kira-kira
pukul 8 pagi pada 23/2/2017. Pihak kami serahkan kenderaan tersebut secara baik. Namun wang pembelian yang mereka
kini terhutang dengan saya langsung tidak dipulangkan sehingga ke hari ini.

20. Apa terjadi selepas itu?

Bukan sahaja mereka berkeras tentang bayaran, Plaintif Pertama sebaliknya menunjukkan bahawa isu ini sesuatu yang
sangat BESAR dengan mengatakan sudah jadi kes Polis dan apa-apa tuntutan perlu dibincang di Balai.

21. Apa perasaan Puan?

Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku. Kenapa perlu jadi kes Polis sedangkan ia hanya isu hutang yang mana saya
sudah sanggup bertolak ansur.

Lebih-lebih lagi ia hanya berpunca daripada soal tiket sahaja. Saya sedih. Saya dihina, berbalah hanya kerana isu tiket
pergi melancong, sebagai adik yang tidak mahu perbalahan di dalam keluarga, saya sudah meminta bayaran walaupun
saya tidak lewat membayar. Saya juga sudah memulangkan kenderaan kepada mereka. Namun pihak Plaintif berkeras
tentang bayaran walaupun saya sudah mengalami kerugian. Sudahnya pihak saya pula ditunjukkan oleh pihak Plaintif
kononnya ia sudah jadi kes Polis.

[48]Seterusnya Defendan telah menghubungi pihak Plaintif untuk meminta duit kereta tersebut. Berikut adalah apa
yang terjadi seperti di dalam PSD1 (Pernyataan Bertugas) SD1:

20. Apa yang berlaku selepas itu?

Saya menghubungi Plaintif Kedua melalui aplikasi whatsapp pada 23 Februari 2017 memohon agar bayaran dibuat namun
tetap tidak berhasil.
Page 11 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

21. Apa berlaku selepas itu?

Saya sengaja menyatakan mahu meviralkan keengganan mereka membayar hutang saya dengan harapan mereka mahu
melunaskannya. Saya menyebut “ok metar ako nak viral” (Ok. Sekejap lagi ako nak viral) namun tetap hampa.

Plaintif Kedua malah menyebut “viral lah. Ako tak kisah pun. Kalu rasa tu boleh puah hati mu viral lah... Buat la nak buat
gapo pon” (viral lah. Ako tak kisah pun. Kalu rasa itu boleh membuatkan kamu puas hati kamu viral lah... Buat lah nak apa
nak buat apa pun).

22. Apakah kamu terus bertindak sedemikian? Apa berlaku?

Tidak. Saya tidak viralkan apa-apa. Kerana saya memang tiada niat langsung untuk membuatnya. Malahan saya
menghubungi Plaintif Pertama pula menyatakan permohonan maaf saya atas apa yang saya ucapkan dan lakukan. Namun
katanya beliau akan berbincang dengan Peguam, sedangkan saya tidak membuat apa-apa pun sehingga perlu kepada
urusan guaman. Namun saya tetap sekian kalinya meminta maaf.

23. Apakah isu antara Puan dan pihak Plaintif selesai?

Tidak. Bukan sahaja mereka tidak mahu menerima permohonan maaf saya atas mesej peribadi saya kepada Plaintif
Kedua itu dan walaupun mereka berhutang dengan saya, Plaintif Kedua pula yang bertindak memuat naik mesej peribadi
saya dengan beliau ke dalam whatsapp keluarga.

[49]Mengenai kereta yang dimaksudkan, Plaintif Pertama telah menjualkan kepada pihak Defendan dengan harga
RM20,000.00 dan seterusnya disambung bayar setiap bulan terus kepada Bank di bawah akaun Plaintif.
Pembayaran RM20,000.00 ini telah dibayar oleh pihak Defendan dan diterima oleh Plaintif diikuti dengan Defendan
“sambung bayar kepada bank tiap-tiap bulan”. Pihak Defendan juga tidak pernah gagal membayar kepada Bank
selama 8 bulan sebanyak RM1,000.00 sebulan (ie RM1,000.00 x 8 = RM8,000.00). Jadi jumlah yang dibayar oleh
Defendan ialah RM20,000.00 + RM8,000.00 = RM28,000.00.

Keterangan lanjut mengenai kereta tersebut adalah seperti Pernyataan Bertulis SD1 (PSD1) seperti berikut:

“18. Apakah jenis kenderaan berkenaan dan bila tarikh pembelian daripada pihak Plaintif?

Kenderaan utiliti pelbagai guna Toyota Mark X ZiO bernombor pendaftaran BDQ 6666. Kalau tak silap saya, di beli
daripada Plaintif pada 3/07/2016 dengan harga RM 20,000.00 dibayar secara terus kepada pihak Plaintif dan baki jumlah
pinjaman saya buat sambungan pembayaran kepada pihak bank.

19. Bagaimana cara bayaran tersebut dilakukan?

a. Pihak saya membayar kepada Plaintif sejumlah RM20,000.00 dengan cara tiga kali bayaran.
Page 12 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

b. Selain RM20,000.00 tersebut pihak saya juga TANPA GAGAL membuat ‘sambung bayaran’/meneruskan bayaran
pinjaman Plaintif kepada pihak bank setiap bulan daripada tarikh kenderaan diambil pada bulan Julai tersebut
hinggalah tarikh kenderaan diserah semula kepada Plaintif Pertama pada 23/2/2017. Jumlahnya adalah
RM1,000.00 sebulan selama 8 bulan menjadikan jumlahnya ansuran bulanan kepada pihak pembiaya adalah
sebanyak RM8,000.00.

c. Maka jumlah keseluruhan yang saya keluarkan adalah RM28,000.00.”

[50]Oleh kerana Plaintif telah mengambil balik kereta tersebut, maka Defendan telah berpendapat Plaintif perlu
kembalikan sekurang- kurangnya RM20,000.00 semula kepada Defendan segera dan bukannya mengikut “budi
bicara” seperti yang dituntut Plaintif. Namun Plaintif masih gagal membayarnya kepada Defendan sehingga hari ini.
Di dalam masa yang sama Plaintif masih menjadikan tiket kapal terbang yang hanya berjumlah RM3,500.00 itu
sebagai isu. Keterangan SD1 mengenai perkara ini di dalam PSD1 adalah relevan seperti di bawah.

“19. Berapa jumlah yang pihak Puan minta kembali?

Saya telah mengeluarkan wang sebanyak kira-kira RM28,000.00 bagi membeli kenderaan tersebut termasuklah wang
ansuran bulanan kepada pihak bank sebagai bayaran pinjaman pembiayaan kenderaan tersebut yang dibuat Plaintif
Pertama dahulu tanpa gagal. Namun saya hanya minta dipulangkan kembali RM20,000.00 sahaja. Malangnya pihak
Plaintif tidak bersetuju membayarnya walaupun saya sudah bertolak ansur. Bahkan Plaintif Pertama turut mengatakan
pembayaran itu jika mahu dibuat pun atas budi bicara beliau sahaja.”

[51]Menurut Defendan, apa yang menyebabkan Defendan terkilan, geram dan marah ialah apabila Plaintif-Plaintif
enggan membayar wang RM20,000.00 tersebut apabila diminta berkali-kali tanpa mendapat apa-apa respon dari
Plaintif-Plaintif, sehinggalah hari ini.

[52]Justeru, dari keterangan-keterangan, Mahkamah berpendapat Defendan bukanlah memfitnah Plaintif berhutang
dengannya sebanyak RM20,000.00 kerana fakta mengenai hutang ini adalah benar dan diakui Plaintif. Hanya
Plaintif tidak bersetuju dengan jumlah hutang sebenarnya, yang pada pendapat Plaintif adalah kurang dari
RM20,000.00 dan hanya bersetuju untuk membayar mengikut budi bicaranya. Malahan Plaintif tidak membayar
hutang ini sehingga hari ini. Sewajarnya Defendanlah yang sepatutnya memfailkan tuntutan terhadap Plaintif.
F. KESIMPULAN

[53]Dari keseluruhan keterangan yang ada, Mahkamah berpuashati di atas imbangan kebarangkalian bahawa,
Plaintif gagal membuktikan bahawa pernyataan/kata-kata di laman facebook kepunyaan Defendan tersebut di
dalam konteks kes ini mempunyai kata-kata/pernyataan berbentuk fitnah, (walaupun ianya bersifat kasar) kerana
pernyataan-pernyataan tersebut adalah benar berkaitan dengan keberhutangan Plaintif dengan Defendan sehingga
hari ini. Defendan pula telah berjaya membawa pembelaan yang bermerit iaitu pembelaan justifikasi
Page 13 of 13

Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad
....

kerana pernyataan-pernyataan tersebut walaupun mungkin tidak semuanya benar namun sebahagian besarnya
adalah benar.

[54]Di atas alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah memutuskan bahawa tindakan/tuntutan Plaintif
ditolak dengan kos sebanyak RM5,000.00.

End of Document

You might also like