Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 13

Kebebasan Beragama Menyumbang Ke Arah

Perpaduan Kaum Di Malaysia.

Disediakan oleh
Mohd Rizal Bin Abdul Rahman (2011684062)

Disediakan untuk
En. Khairul Faezi Bin Mohd Said
Pensyarah Hubungan Etnik (CTU553)
Program Pensiswazahan Guru
UiTM, Shah Alam

4hb Jun 2011


KEBEBASAN BERAGAMA MENYUMBANG KE ARAH
PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Pengenalan

Malaysia ialah sebuah negara berbilang bangsa dan agama yang menerapkan nilai-nilai sejagat
dalam usaha mempertingkatkan perpaduan antara kaum. Etnik-etnik yang menjadi tunjang kemakmuran
Malaysia ini sentiasa berusaha merealisasikan perpaduan demi menyumbang kepada kesejahteraan
negara pada masa akan datang. Masyarakat Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India,
Kadazan, Iban, Asli, Bajau, Dusun, Murud dan beberapa etnik yang menetap dan seterusnya menguatkan
fakta mengenai Malaysia berbilang kaum dan agama. Beberapa agam juga diangkat sebagai agama
utama yang dianuti oleh rakyat Malaysia walaupun agama Islam dimartabatkan sebagai agama rasmi
Negara.

Agama Islam telah dimeterai sebagai agama rasmi sejak dari penubuhan Negara Malaysia
sebagai negara yang merdeka dan berdaulat. Hal ini dipersetujui dalam rundingan penubuhan Malaysia
sejak dari perbincangan kemerdekaan serta rombongan delegasi menuntut kemerdekaan pada tahun 1955
yang diterajui oleh Almarhum Perdana Menteri pertama, Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman
Putra Al-Hajj. Namun begitu, kebebasan untuk menganut agama lain juga dimeterai tanpa sebarang
syarat atau alasan. Perpaduan ini telah menyebabkan pihak British tidak dapat berdolak-dalih untuk
menangguhkan kemerdekaan Tanah Melayu dari jajahan British yang pada ketika itu bimbang akan
pepecahan dan peperangan antara kaum akan meletus disebabkan perkara ini.

Perlembangaan juga digubal selepas mengambil kira pendapat dan sensitiviti kaum yang dikira
bakal memberi impak yang besar terhadap kebebasan memilih agama yang dianut oleh masyarakat.
Wakil-wakil dari setiap etnik di Malaysia jelas bersepakat untuk menubuhkan Negara multiracial unggul
yang menerapkan perpaduan demi mencapai kemerdekaan dan pengorbanan kepada negara. Dalam
Perlembagaan Negara, Perkara 11 menyatakan, “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan
agamanya”. Ini memberi kuasa mutlak kepada rakyat Malaysia untuk bebas menganut agama yang
mereka inginkan. Justeru, rakyat Malaysia yang pelbagai budaya, adat resam, agama dan kepercayaan
dapat disepadukan dalam agenda negara untuk terus maju dan makmur.
Piagam Madinah

Sejarah membuktikan bahawa pada zaman Rasulullah s.a.w. telahpun menubuhkan Negara Islam
yang bebas menganut agama masing-masing tanpa sebarang syarat yang dikenakan. Piagam Madinah
menyebut dalam Fasal 25 berbunyi “Bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu ummah bersama
orang-orang mukmin, mereka bebas dengan agama mereka sendiri (Yahudi) dan orang Islam dengan
agama mereka (Islam), begitu juga orang-orang yang sekutu mereka dan begitu juga diri mereka sendiri,
melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan
keluarganya sendiri”. Ini menunjukkan amalan sebuah negara Islam yang membenarkan rakyatnya bebas
menganut agama dari keturunan mereka tanpa halangan walaupun berlainan bangsa dan agama demi
mewujudkan negara yang harmoni dan bersatu-padu.

Piagam Madinah mengajar kita tentang pentingnya perpaduan kaum dalam negara untuk
kesejahteraan dan keharmonian. Rasulullah s.a.w. sentiasa menganjurkan dialog ketika pemerintahan
Baginda selama lebih 10 tahun. Keadaan ini mewujudkan persefahaman di kalangan kabilah arab dan
yahudi yang pada ketika itu tidak mempercayai satu sama lain. Riwayat juga menyatakan ketika
peperangan menceroboh Madinah, kaum Yahudi bersepakat dengan pihak musuh dengan memberikan
maklumat risikan sistem pertahanan Madinah yang ketika itu hanya berjumlah 800 orang berbanding
2000 orang. Ia disebabkan jumlah yang terlalu berbeza berbanding tentera Islam yang jauh lebih sedikit,
maka kaum Yahudi berpakat bersama musuh dalam risikan. Namun, perpaduan yang ditunjukkan oleh
masyarakat Madinah ketika itu berjaya dalam peperangan menentang Quraisy dalam menawan Madinah
walaupun ketika itu rakyat Madinah terdiri daripada berbagai kabilah yang berlainan fahaman, hirarki
dan kepercayaan. Justeru, konsep yang digunapakai ini boleh diadaptasikan dalam pembentukan negara
bebas beragama di dalam pemerintahan sekular boleh menyumbang ke arah membentuk perpaduan
rakyat pelbagai kaum dan agama.

Kesultanan Melayu Melaka dan Kebebasan Beragama.

Pada zaman pemerintahan kesultanan Melayu Melaka, pedagang-pedagang luar negara seperti
Cina dan India telah datang dan berniaga di muara Melaka dengan membawa hasil-hasil dari tempat asal
mereka. Perjalanan yang mengambil masa lebih 3 bulan dan berlabuh selama lebih 1 bulan
membolehkan pedagang-pedagang belajar dan mengadaptasi kehidupan pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka pada ketika itu. Pengasas pemerintahan Melaka, Parameswara, serta pembesar-pembesar negeri
yang pada ketika itu telah membuka muara Melaka sebagai pusat perlabuhan dan perniagaan yang maju
dan bebas dari ancaman jenayah. Adat dan resam dari negara luar dibenar memasuki Melaka walaupun
pada ketika itu, agama anutan Sultan Melaka ialah Hindu. Apabila Melaka maju dengan kedatangan
pedagang-pedagang dari Gujerat, India, Arab dan Parsi, agama Islam tersebar dengan luasnya sehingga
ke istana yang pada ketika itu, Parameswara memeluk Islam dengan nama Raja Iskandar Syah.

Agama Islam diangkat sebagai agama rasmi ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Namun
begitu, pedagang yang berdagang bebas menyebarkan agama mereka kepada rakyat. Walau
bagaimanapun, penduduk Melayu Melaka yang beragama Islam masih terikat dengan Hukum Kanun
Melaka yang mengharamkan mereka untuk melakukan Murtad. Selain Hukum Kanun Melaka yang
menjaga kepentingan dan hak rakyat Melaka serta adat istiadat kerajaan Melayu Melaka, Undang-
undang Laut Melaka juga digubal untuk menjaga kepentingan pedagang-pedagang yang berniaga dan
berlabuh di Melaka. Hukum Kanun Melaka ialah undang-undang yang ditulis berdasarkan syariat Islam
atau lebih dikenali sebagai undang-undang Islam di negeri Melaka yang bertujuan memperkuatkan
sistem menyeluruh pemerintahan Melaka mengikut syariat Islam. Undang-undang laut ialah undang-
undang yang digunapakai oleh semua nakhoda dalam menyelesaikan isu dalam kapal yang membabitkan
rakyat luar mahupun rakyat tempatan yang bekerja di dalam kapal.

Di sini kita lihat bahawa perpaduan kaum yang diwujudkan di Melaka sehingga berlakunya
migrasi adat atau asimilasi sahsiah keturunan Melayu yang kemudian membentuk perpaduan kaum
dalam negeri pemerintahan Sultan Melayu Melaka pada ketika itu. Keharmonian penduduk dan
persefahaman di antara pedagang-pedagang dan rakyat Melaka sedikit-sebanyak menyumbang ke arah
perpaduan membentuk negara yang bersatu dan berpadu.

Titik Hitam Penjajahan British dan Jepun di Tanah Melayu serta Pemerintahan Pasukan Bintang
Tiga.

British telah datang di Tanah Melayu sekitar tahun 1740 ketika kedatangan Nakhoda Inggeris
bernama Captain Francis Light ke Pulau Pinang. Pada asalnya bertujuan membantu Kerajaan Kedah
untuk menentang dan menghapuskan kezaliman Raja Siam yang dikatakan mencengkam pemerintahan
Kedah pada ketika itu. British menguasai sepenuhnya Tanah Melayu selepas perjanjian Pangkor yang
dimeterai di Perak menggantikan sistem beraja kepada sistem Resident. Selepas dari itu Institusi
Kesultanan Melayu jatuh ke tangan British satu persatu dan bermulalah perpecahan kaum.

British mengamalkan pemerintahan yang diberi nama Pecah dan Perintah. Sistem ini
memecahkan kaum mengikut aliran ekonomi dan kepakaran yang dimiliki oleh sesuatu kaum. Orang-
orang melayu diletakkan di Kampung Baru yang didirikan seluruh negara bertujuan untuk bercucuk
tanam dan mengusahakan ladang. Kaum Cina ditempatkan di bandar bagi mengusahakan kegiatan
ekonomi dan industri. Kaum India diletakkan sebagai buruh binaan membina jalan raya dan jalan
keretapi. Ini membolehkan British mengurus tadbir dengan mudah dalam menyediakan kerahan tenaga
kerana penempatan seperti ini mudah diurus dan diselenggara. Namun begitu, usaha ini gagal
membentuk perpaduan antara kaum kerana kaum india yang dikumpulkan dalam satu penempatan
dibawa dari India yang tidak mengenal adat dan resam rakyat tempatan. Generasi Cina lebih
mengutamakan perniagaan antara mereka kerana perdagangan melibatkan urusan-urusan di negara Cina
seperti Hong Kong, Shang Hai, dan beberapa bandar-bandar besar yang pesat dengan aktiviti
perniagaan. Kaum Melayu yang ketika itu amat mundur hanya mengusahakan ladang dan ternakan untuk
kegunaan persendirian sahaja.

Kedatangan Tentera Jepun di Tanah Melayu telah menguatkan pepecahan antara kaum apabila
Tentera Jepun mengamalkan Anti-Cina Pro-Melayu dalam 3 tahun penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Konflik Kerajaan Jepun dan Cina ketika itu telah menyebabkan masyarakat Cina di Tanah Melayu
dihukum dan dianiaya sewenang-wenangnya oleh tentera Jepun ketika itu. Jepun mengamalkan dasar
“Asia untuk Orang Asia” yang pada prinsipnya menghapuskan penjajahan British di Tanah Melayu..
Namun begitu, kedatangan Tentera Jepun bertujuan untuk memajukan Tanah Melayu. Hal ini
meruapkan perasaan dendam oleh masyarakat Cina terhadap orang-orang Melayu ketika itu.

Pasukan Bintang Tiga mengambil alih pemerintahan selama dua minggu bertukar tragedi apabila
orang-orang Melayu yang dituduh sebagai agen kepada Jepun dihukum bukan hanya pesalah, malah
keluarga mereka dihukum sekali. Konfrontasi menentang pihak Bintang Tiga giat dijalankan oleh
pasukan Rejimen Askar Melayu DiRaja bagi memburu komunis Bintang Tiga yang bersembunyi di
hutan di Malaysia. Ini adalah titik permulaan perpecahan kaum yang dilihat lebih kepada dendam
berbanding bersifat radikal. Kaum Melayu yang bersekongkol dengan Jepun menjadi mangsa
penganiayaan pihak Bintang Tiga, ia bersifat lebih kepada ketidakpuasan hati terhadap layanan pihak
Tentera Jepun terhadap kaum Cina.

Zaman Pra-Merdeka

Demi menuntut kemerdekaan dari pihak British, masyarakat Melayu bersatu-padu dan
membentuk satu pakatan yang menyatukan semua persatuan-persatuan Melayu di Tanah Melayu dengan
nama UMNO (United Malay National Organisation) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.
Pertubuhan ini ditubuhkan bertujuan untuk mendesak British menggugurkan Malayan Union yang
dilihat berat sebelah dan tidak adil terutama penentuan taraf kewarganegaraan yang cenderung kepada
orang luar berbanding orang-orang Melayu sementara hak Raja-raja Melayu digugurkan. Hal ini telah
menyebabkan dendam di kalangan kaum semakin membara, namun atas sebab menuntut kemerdekaan
kita lihat bahawa masyarakat boleh berkompromi bagi membentuk satu pakatan yang membolehkan
Tanah Melayu membentuk negara sendiri tanpa campur tangan dari Pihak British. Rombongan
kemerdekaan kali pertama pada tahun 1954 menyaksikan kegagalan menuntut kemerdekaan atas
pertimbangan hak orang Cina dan India yang mempertikaikan kerakyatan mereka.

Walau bagaimanapun, atas dasar menuntut kemerdekaan dan menghapuskan Malayan Union,
UMNO bergandingan dengan MCA (Malayan Chinese Association) untuk membentuk pakatan yang
dinamakan sebagai PERIKATAN. Pada tahun 1955, atas permintaan kuasa-kuasa politik yang ada di
Tanah Melayu maka bermulalah Pilihanraya pertama yang menyaksikan parti Perikatan memenagi 51
kerusi berbanding 52 yang dipertandingkan. Ini telah menguatkan alasan kemerdekaan yang bakal
dituntut bahawa gandingan kaum boleh membentuk pakatan yang bersepadu yang seterusnya membidas
anggapan pihak British bahawa Tanah Melayu akan mengalami krisis perkauman jika merdeka. Parti
Perikatan seterusnya memasukkan MIC (Malayan Indian Congress) dalam usaha menuntut kemerdekaan
dari Ratu Elizabeth bagi menuntut kemerdekaan. Perbincangan dilakukan dengan teliti oleh wakil-wakil
dari setiap parti supaya sebarang alasan untuk menangguhkan kemerdekaan dapat dibidas dengan baik.
Antaranya tentang isu perkauman yang ditanya tentang status kerakyatan dan polisi beragama. Perkara
ini telahpun dipertimbangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Teramat Mulia Tengku
Abdul Rahman Putra ketika di dalam kapal selama 2 minggu sebelum menaiki kapal terbang dari Delhi
menuju ke England. Strategi ini dilihat berkesan kerana wakil-wakil dari setiap etnik pelbagai bangsa
dan agama duduk dan bermesyuarat serta dipersetujui oleh semua wakil kaum yang hadir ketika itu.

Atas pakatan yang baik antara pemimpin, usaha menuntut kemerdekaan buat kali kedua berhasil
dengan beberapa penambahbaikan semula yang melonggarkan syarat kewarganegaraan mengikut sistem
Jus soli dan hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu dikekalkan sebagai pemerintah dan secara
bergilir-gilir mengikut penggal dilantik sebagai Yang DiPertuan Agong Malaysia. Hal ini juga
dipersetujui oleh semua kaum yang menghadiri delegasi menuntut kemerdekaan kali kedua.

Kebebasan Beragama Selepas Pengisytiharan Kemerdekaan

Walaupun Tanah Melayu telah merdeka, perasaan curiga tentang sistem kerakyatan masih
dipersoal. Kaum yang dianggap minoriti merasakan mereka tertekan dengan prinsip yang diamalkan. Ini
kerana rakyat Tanah Melayu ketika itu terdiri dari 80% orang Melayu dari seluruh Tanah Melayu,
manakala Cina 15% dan India 5%. Tekanan ini wujud kerana wujudnya prasangka bahawa mereka akan
dihalau ke negara asal atas alasan orang Melayu tidak mempercayai kaum lain. Namun begitu, jaminan
yang diberi oleh Tengku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama bahawa rakyat bebas
beragama dan melakukan adat resam, kelegaan dapat dirasakan oleh setiap kaum ketika itu. Walau
bagaimanapun, ini tidak meredakan dendam penjajah yang hampir meletus.
Selepas pengisytiharan kemerdekaan, kalendar pentadbiran kerajaan diubahsuai supaya perayaan
keagamaan diambil sebagai cuti umum bagi menjaga hati orang-orang Cina dan India ketika itu.
Wujudlah kepercayaan terhadap kebebasan agama yang diterap di dalam Perlembagaan Malaysia
Perkara 11 menyatakan, “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya”. Kebebasan
menganuti mana-mana agama tanpa halangan telah menyebabkan penyebaran agama Islam kepada
masyarakan bukan Melayu cukup hebat. Malah dengan tertubuhnya pejabat agama Islam negeri, ia
dilihat sebagai faktor yang mendorong ke arah perpaduan kaum di Malaysia.

Peristiwa 13 Mei.

Pada 13hb Mei 1969, tercetus pergaduhan antara kaum yang menyaksikan kaum Cina berperang
dengan kaum Melayu. Ia berpunca selepas kemenangan Dr. Tan Chee Khoon (Ketua Pembangkang)
yang bertanding di Parlimen Batu, Kuala Lumpur. Pilihanraya 10 Mei 1969 menyaksikan kekalahan
parti Perikatan untuk merebut majority 2/3 kerusi Parlimen ketika itu. Ketika meraikan kemenangan Dr.
Tan Chee Khoon, permit polis untuk memohon perarakan secara aman sepanjang Chow Kit hingga ke
Dataran Merdeka dikeluarkan tetapi perarakan ini melencong ke Kampung Baru di mana penduduk di
sana terdiri dari 20,000 orang Melayu. Peserta perarakan membawa penyapu sebagai simbol menghalau
orang-orang melayu keluar dari Kuala Lumpur. Diceritakan bahawa kata-kata kesat serta pernyataan
“Siapa Untung Siapa Rugi?” juga dihamburkan ke arah orang-orang Melayu yang telah menyebabkan
kemarahan orang-orang tempatan terhadap penunjuk perasaan. Maka bermulalah pertumpahan darah
yang meragut lebih 85 nyawa, pembunuhan di tempat awam termasuk di panggung Odeon yang
mengorbankan hampir seluruh penonton ketika itu yang terdiri dari orang-orang Melayu. Kenyataan
menyebut, ketika itu dendam orang-orang Cina sudah sampai ke tahap meletus terhadap orang-orang
Melayu. Namun begitu, Tengku Abdul Rahman menganggap kes tersebut sebagai krisis politik
menjatuhkan beliau dan bukannya perkauman walaupun ketika itu ditentang oleh Tun Abdul Razak dan
Datuk Harun. Menurut Tengku, jika ini krisis perkauman, sudah tentu permusuhan telah berlaku
lamanya semenjak penjajahan Bintang Tiga menggantikan kerajaan British lagi.

Asas dari dakwaan ini adalah, rusuhan tersebut berlaku hanya di sekitar Kuala Lumpur dari
Setapak ke Brickfields, Kepong ke Keramat dan ia tidak merebak di negeri-negeri lain, dan pasukan-
pasukan dari Muar, Batu Pahat dan Sungai Manik, Perak juga menghantar tentera untuk berperang
menolong orang-orang Melayu di Kampung Baru tetapi ditahan oleh polis di Cheras atas alasan
keselamatan. Malaysia selepas itu diisytihar darurat oleh Tengku pada jam 7.00 malam 13 Mei 1969
yang meletakkan pemerintahan Malaysia berada di bawah kuasa Yang DiPertuan Agong di bawah
undang-undang tentera. Dengan perintah ini maka Parlimen digantung setahun atas perkenan Yang
DiPertuan Agong.

Walaupun peristiwa ini dianggap sebagai krisis etnik antara Melayu dan Cina atas faktor-faktor
dendam lama yang pernah dicetuskan sebelum ini, kita harus lihat bahawa rusuhan ini bermula selepas
kemenangan parti Pembangkang. Ini menunjukkan salah tanggapan tentang punca sebenar peristiwa
yang mengelirukan sesetengah pihak berkenaan isu perkauman.

Rukun Negara dan Usaha-usaha Memperkuatkan Perpaduan Antara Kaum.

Ideologi membentuk satu kesetiaan bagi membendung masalah perkauman yang meletus pada 13
Mei 1969 mendorong pembentukan satu ikrar kesetiaan yang diberi nama Rukun Negara. Diperkenalkan
pada 31 Ogos 1970 dan mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong ketika itu, prinsip Rukun Negara
dibaca dan diikrar secara langsung di Kuala Lumpur. Rukun Negara ini terdiri daripada 5 isi kandungan
utama yang menerapkan unsur-unsur keagamaan, kesetiaan, kepatuhan, dan kepentingan hidup harmoni.
Salah satu objektif pembentukan ideologi Rukun Negara ialah untuk membentuk satu sikap yang liberal
terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak. Masyarakat negara ini bebas
mengamalkan agama, adat resam dan kebudayaan masing-masing sesuai dengan matlamat perpaduan
negara. Negara kita sesungguhnya mempunyai kekayaan dari segi kebudayaan dan adat resam yang
diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum. Walaupun ada perbezaan, semua anggota masyarakat
hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat di mana keadaan berlainan kebudayaan itu
boleh menguntungkan dan menjadi sumber kekuatan kepada Bangsa dan Negara Malaysia.

Prinsip Rukun Negara yang menerangkan tentang kebebasan beragama ialah “Kepercayaan
Kepada Tuhan” yang didefinisi sebagai tafsiran “Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas
kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan”. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa
dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-
kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam
Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah
dilarang sama sekali. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan
kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan
keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan
pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai
prinsip pertama dalam Rukun Negara.
Dalam proses membentuk perpaduan, tiga organisasi baru ditubuhkan iaitu Majlis Muhibbah
Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara bertujuan untuk merancang dan
melaksana program-program perpaduan dan integriti antara kaum dalam semua Kementerian dan Sektor
Awam. Ini termasuk hal-hal berkaitan agama dan soal sensitiviti kaum yang melibatkan perundangan
juga diambilkira dalam proses menghasilkan program integiriti di kalangan masyarakat Malaysia. Di sini
kita lihat usaha berterusan oleh Kerajaan dalam membentuk integriti dapat direalisasikan.

Rumah-rumah ibadat di bandar rancak dibina bagi memperkukuhkan perpaduan kaum demi
kesejahteraan rakyat. Pemilikan rumah-rumah kos rendah yang dibuka kepada rakyat di bandar-bandar
misalnya menyebabkan migrasi penduduk berbilang kaum dari luar ke bandar dan menyaksikan rumah
ibadat dibina di kawasan bertumpu, seperti contoh Pekeliling, Jalan Tun Razak yang mempunyai surau,
kuil dan rumah berhala, bertujuan untuk menyatukan rakyat berbilang kaum.

Kesimpulan

Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 telah menyaksikan penubuhan negara pelbagai
kaum dan agama yang unik. Malaysia diiktiraf sebagai negara yang aman dengan pelbagai amalan
keagamaan tanpa rusuhan dan kecaman dari dalam mahupun luar. Uniknya Malaysia kerana pelbagai
kaum dan adat tanpa sebarang diskriminasi terhadap kaum minoriti. Kemerdekaan yang diperoleh hasil
rundingan dengan pihak British tanpa perlu berkonfrontasi menyaksikan cara unik yang sekali lagi
diterajui oleh Malaysia dengan tidak ada sebarang pertumpahan darah ketika menuntut kemerdekaan.
Uniknya Malaysia juga kerana persefahaman kaum yang berbilang bangsa dan adat serta kesedaran
tentang sensitiviti sesuatu kaum sentiasa dititik-beratkan. Ini bererti, amalan dan kebebasan beragama di
kalangan rakyat Malaysia juga dibenarkan walaupun agama rasmi negara ialah agama Islam. Hal ini
tidak mengancam mana-mana agama lain yang juga berkepentingan menjaga kaum dan adat mereka.

Sejarah hitam Malaysia telah menyaksikan pembentukan badan-badan bertindak dengan lebih
efisyen. Peristiwa 13 Mei adalah titik tolak perpaduan di kalangan kaum walaupun ketika itu sebenarnya
penentangan berlaku atas alasan politik. Sejarah penjajahan Tanah Melayu juga mengajar rakyat
Malaysia bahawa adalah penting menghormati adat dan agama kaum lain dan perihal sensitiviti yang
harus ditekankan dalam usaha membentuk perpaduan di Malaysia. Pembentukan Rukun Negara sebagai
ikrar dan pegangan masyarakat telah meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya hak menganuti
agama dan kepercayaan.

Anjuran dialog bagi mengekang salah faham terhadap agama dan pegangan dianjurkan sejajar
dengan tuntutan Islam. Ini dapat membantu meningkatkan perpaduan kaum dan integriti serta merungkai
salah faham yang sering menjadi isu. Pergerakan NGO yang berkaitan dengan perihal agama di
Malaysia juga memainkan peranan penting bagi mengekang kekusutan isu perkauman.

Rasa hormat terhadap pandangan dan adat serta kepercayaan penganut berlainan agama juga
membantu dalam mewujudkan asimilasi di dalam masyarakat. Ini boleh diamalkan jika rakyat Malaysia
sendiri menghormati pandangan orang lain dari perspektif yang berlainan dan mencapai kata sepakat
dalam sesi dialog atau forum. Rakyat Malaysia seharusnya bersikap positif berlandaskan agama dan
kepercayaan masing-masing dalam membuat keputusan untuk komuniti seterusnya untuk negara. Hal
ini telah dilihat oleh negara-negara luar tentang pentingnya persefahaman antara berlainan agama bagi
mewujudkan negara berbilang bangsa. Malaysia sendiri telah menjadi model bagi penerimaan agama
dan kepercayaan berbilang dengan mengambil berat soal sensitiviti masyarakat.

Kita seharusnya tidak terpengaruh dengan ancaman luar yang dilihat memecah-belahkan
masyarakat dan perpaduan yang telah kita bina. Dengan adanya persefahaman dan pakatan di kalangan
masyarakat Malaysia, sudah tentu anasir-anasir yang ingin meruntuhkan integriti demi kepentingan diri
sendiri dapat dihapuskan. Komitmen dari setiap kaum bagi membentuk negara bebas beragama dan
bersatu-padu diperlukan bagi merealisasikan kebebasan beragama yang menyumbang ke arah perpaduan
kaum di Malaysia.
Bibliografi

1. Sh. Muhammad Ashraf. 1968. The First Written Constitution in the World. Lahore, India.

2. Tun Suzana Tun Othman. 2008. Tun Seri Lanang, Sejarah dan Warisan Tokoh Melayu
Tradisional. Media Satria, Kuala Lumpur.

3. Ramlah Adam. 2004. Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra. Dewan Bahasa Dan
Pustaka, Kuala Lumpur.

4. Leon Comber. 1981. 13 May 1969, A Survey of Sino-Malay Relations. Heinemann Asia Ltd.,
Kuala Lumpur.

5. Zahid Emby dalam Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan. 1997. Kenegaraan Malaysia.
Serdang. Penerbit Universiti Putera Malaysia, Bangi, Selangor.

6. http://dwenpuyau.blogspot.com/2011/01/konsep-kebebasan-agama-antara-sahifah.html

7. http://bahasa.malaysia.usembassy.gov/root/pdfs/irf_09_bm.pdf

8. http://www.scribd.com/doc/13947808/Rukun-Negara

9. http://www.islam.gov.my/sites/default/files/kebebasan_beragama_antara_universal_islam_dan_p
luralisme_agama.pdf
Rangka Kerja

Bincangkan sejauh mana kebebasan beragama di Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan oleh
Perlembagaan menyumbang ke arah perpaduan kaum.

Pengenalan
1. Terdapat berbagai kaum di Malaysia dan agama yang dianuti
2. Akta atau perlembagaan kebebasan beragama mengikut undang-undang Malaysia

Isi penting

1. Sejarah kebebasan beragama sejak kemunculan Negara pertama Islam


a. Piagam Madinah (Sahifah Madinah) adalah perlembagaan Negara bertulis pertama di
dunia yang menetapkan tentang kebebasan beragama di dalam Madinah.
b. Digubal oleh Rasulullah s.a.w. dengan berpandukan Allah s.w.t.
2. Sejarah kebebasan beragama pada zaman pemerintahan Melaka.
a. Agama asal yang dibuktikan sejarah oleh kesultanan melayu.
b. Kedatangan Islam di Melaka.
c. Perpaduan kaum dalam sistem pemerintahan melayu Melaka.
3. Sejarah kebebasan beragama ketika zaman penjajahan British.
a. Sistem pemerintahan British hanya memonopoli fizikal dan idealisme tetapi tidak kepada
sistem urus tadbir agama Islam yang meletakkan sistem syariah di bawah kuasa Sultan
Melayu.
b. Sistem pecah dan perintah serta pandangan identiti etnik menerusi agama menyebabkan
pecah belah antara kaum di Tanah Melayu.
4. Sejarah kebebasan beragama ketika pra merdeka
a. Sistem pengajaran agama hanya diamalkan di dalam rumah ibadat sahaja.
b. Sistem pendidikan tidak diserap di dalam kurikulum sekolah kerana kurikulum yang
diterapkan hanyalah untuk membaca, menulis dan mengira.
5. Sejarah kebebasan beragama selepas merdeka
a. Agama di Malaysia dibenar menganjurkan perayaan agama dan diberi hak keistimewaan
cuti umum untuk menyambut hari-hari kebesaran agama masing-masing.
b. Rakyat Malaysia dibenar untuk menukar agama selagi bukan di bawah tanggungan
ibubapa atau berumur kurang dari 18 tahun.
c. Perlembagaan Malaysia. Pertama, Fasal 11 menetapkan bahawa setiap orang mempunyai
hak untuk menyatakan dan menjalankan agama nya dan (tunduk pada undang-undang
yang berlaku menyekat penyebaran agama-agama lain untuk umat Islam) untuk
menyebarkannya. Kedua, Perlembagaan juga menetapkan bahawa Islam adalah agama
negara, tetapi agama-agama lain boleh dipraktikkan dalam damai dan harmoni (Perkara
3)
6. Kisah 13 Mei, pembentukan Rukunegara dan kebebasan beragama
a. Punca utama keretakan perpaduan bermula sejak zaman pecah dan perintah oleh British
yang menyebabkan anggapan terhadap kaum seperti berkekalan miskin, sentiasa dibantu
dan sentiasa kaya.
b. Peristiwa Penjajahan Jepun yang mengamalkan anti-cina pro-melayu mencetuskan
kebencian kaum cina terhadap melayu seakan-akan dendam yang hampir meletup.
c. Peristiwa 13 mei bermula dari ungkapan “siapa untung siapa rugi?” yang dicetuskan oleh
warga cina di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan tersebar di seluruh Semenanjung
Malaysia.
d. Rukunegara yang dicetus dari perbincangan Majlis Perundingan Negara (MPN)
menegaskan rukunegara pertama ialah Kepercayaan kepada Tuhan yang mewajibkan
rakyat Malaysia untuk beragama, tetapi agama yang dianuti adalah bebas selagi tidak
diwartakan sebagai ajaran sesat.
7. Ideologi Rukunegara dan Kebebasan beragama membentuk perpaduan
a. Selepas pengisytiharan Rukunegara 31 Ogos 1970, konsep kebebasan beragama di
Malaysia telah menyumbang ke arah perpaduan dan integriti di dalam sistem
pemerintahan Malaysia dengan penubuhan Majlis Muhibbah Negara, Jabatan Perpaduan
Negara dan Majlis Perundingan Negara.
b. Penerapan tema Hari Kemerdekaan yang berlandaskan perpaduan Negara turut
membantu memupuk perpaduan antara kaum.
c. Penglibatan kaum lain terhadap pembangunan ekonomi serta pembinaan beberapa rumah
ibadat di Bandar dan desa menyemarakkan perpaduan kaum yang berbilang agama dan
bangsa.
d. Beberapa upacara keagamaan yang diamalkan di Malaysia dirayakan oleh seluruh kaum
tidak membataskan agama lain untuk meraikannya juga menyumbang kepada perpaduan.
Kesimpulan

a. Kemerdekaan telah menjadikan Malaysia unik sejak dari awal penubuhan kerana masyarakatnya
berbilang kaum dan agama
b. Walaupun beberapa peristiwa hitam yang melanda serta keraguan tentang hak beragama di
kalangan penganut agama lain selain Islam, ini tidak menghalang perpaduan kaum kerana
kebebasan ini tidak disekat oleh perlembagaan dan pemerintahan sedia ada.
c. Melalui pergerakan-pergerakan kerajaan dan NGO beridentitikan agama, perpaduan boleh
direalisasikan dengan baik dan harmoni.
d. Rasa hormat terhadap agama lain dikalangan rakyat Malaysia sedikit sebanyak telah
menyebabkan Malaysia menjadi model kepada Negara-negara lain yang ingin menerima agama-
agama lain ke dalam Negara masing-masing.
e. Seharusnya kita tidak mudah terpengaruh dengan ancaman-ancaman dari anasir-anasir luar yang
jelas ingin memecah-belahkan kaum dan melaga-lagakan agama di dalam Negara.

You might also like