Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 8

Pemerkasaan Sistem Zakat di Malaysia: Permasalahan dan Cadangan

Pelaksanaan

Muhammad Nur Aiman Zulkifli, Nur Fatihah Lockman & Filzah Farah Zainoddin

Abstrak

Zakat adalah rukun Islam keempat yang wajib ditunaikan oleh umat Islam serta
mempunyai dalil-dalil yang qat’ie tentang pensyariatannya. Zakat merupakan satu
wadah pemangkin ekonomi Islam. Zakat berpotensi mengurangkan jurang kemiskinan
di samping mengukuhkan kedudukan ekonomi umat Islam setempat. Pelbagai
permasalahan telah dikaji dan beberapa faktor telah dikesan. Antara faktor utama ialah
masyarakat itu sendiri tidak mempunyai kefahaman yang mendalam mengenai zakat
seperti yang termaktub dalam syariat Islam. Kini dengan adanya pelbagai teknik
pembayaran zakat, namun masih belum memberi impak yang memuaskan kepada
masyarakat dan negara. Objektif kajian ini dibahagikan kepada dua. Pertama ialah
untuk menyelaraskan sistem kutipan zakat di setiap negeri. Kedua, menguatkuasakan
undang-undang kepada golongan yang enggan membayar zakat. Soal selidik bagi
kajian ini telah dilakukan untuk mengumpul data dan sampel yang dijalankan secara
menemubual masyarakat yang terdiri daripada pelbagai strata. Soal selidik ini bertujuan
untuk mengetahui sejauh manakah kefahaman masyarakat mengenai pelaksanaan
sistem zakat yang merupakan tunjang utama dalam usaha memperkasakan sistem zakat
di Malaysia.

Kata Kunci: Zakat; pemerkasaan zakat; sistem zakat; permasalahan; cadangan.

Pengenalan

Taraf kehidupan umat Islam yang melibatkan lapan golongan yang disebut dalam al-
Quran iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fi sabilillah dan ibnu sabil
dapat ditingkatkan dengan pelaksanaan zakat kerana ia merupakan salah satu hasil
kewangan Islam yang telah disyariatkan. Jasni Sulong dan Anwar Mohd Ali (2012)
menyatakan bahawa zakat dapat membasmi kemiskinan antara sesama komuniti,
menerap budaya tolong-menolong dan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat
daripada sudut ekonomi melalui sistem penggiliran atau tampungan kewangan.

Perintah kewajipan zakat mempunyai ketertinggian sama seperti perintah kewajipan


solat. Oleh itu, zakat merupakan rukun Islam keempat yang menjadi satu kewajipan
kepada umat Islam untuk membayarnya setelah mencapai kadar dan syarat-syarat
tertentu seperti yang telah ditetapkan. Antara syarat wajib zakat ialah Islam, memiliki
nisab, cukup haul setelah setahun atas pemilikan nisab, merdeka dan sempurna milik.
Pembayaran zakat dapat menyucikan diri seseorang daripada sikap tamak dan sikap
dengki sesama manusia. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan surah al-Tawbah ayat
103 yang bermaksud “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah
(zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan
menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).
Pengenalan zakat di Malaysia telah wujud setelah datangnya Islam ke Tanah Melayu.
Namun, maklumat secara terperinci mengenai zakat agak kurang. Ini kerana
pentadbiran zakat itu sendiri tidak berlaku secara tersusun di bawah bidang kuasa
kerajaan atau pemerintah (Shofian Ahmad & Amir Husin Mohd Nor 2002). Menurut
Muhsin Nor Paizin (2014) pelaksanaan dan pengurusan zakat adalah dilakukan secara
tradisi kampung iaitu masyarakat menyerahkan harta zakat kepada guru-guru agama
yang bertindak sebagai amil bagi sesuatu kawasan dan mengagihkannya kepada asnaf
mengikut keperluan yang ada. Kini, pelaksanaan dan pengurusan zakat telah diuruskan
oleh Pusat Kutipan Zakat di bawah pengawasan Majlis Agama Islam Negeri. Oleh yang
demikian, setiap negeri mempunyai pengurusan dan enakmen yang berbeza kerana
pentadbiran zakat diletakkan di bawah kuasa negeri. Hal ini menyebabkan berlaku
beberapa faktor terhadap permasalahan yang timbul dalam konteks kutipan. Antara
faktor yang dapat dikesan adalah sistem pentadbiran yang tidak selaras dan
penguatkuasaan undang-undang. Objektif dan tujuan penulisan ini adalah untuk
mengkaji keberkesanan sistem zakat yang telah diamalkan di Malaysia kini. Selain itu,
penulisan ini juga bertujuan untuk melihat pemerkasaan kepada undang-undang
mengenai zakat itu sendiri.

Permasalahan Sistem Pentadbiran Zakat

Permasalahan utama yang menjadi penghalang kepada keberkesanan zakat terhadap


ekonomi umat Islam ialah sistem zakat itu sendiri. Sistem zakat di Malaysia masih jelas
kelemahannya dari sudut pentadbirannya. Hal ini kerana, setiap negeri mempunyai
sistem pentadbiran yang berbeza-beza. Oleh itu, dapat dilihat setiap negeri mempunyai
nisab zakat yang berbeza. Hal ini mengakibatkan masyarakat mengambil kesempatan
untuk memilih negeri yang mempunyai nisab yang lebih rendah kerana setiap negeri
tidak memperuntukkan pekeliling kepada masyarakat untuk membayar zakat di tempat
asalnya. Justeru, kutipan zakat di negeri-negeri tidak teratur. Selain itu, prosedur zakat
yang banyak menyebabkan masyarakat kurang gemar untuk memohon zakat.
Masyarakat juga perlu mengisi borang untuk memohon zakat. Perkara sebegini
menyebabkan masyarakat yang buta huruf mengalami kesukaran untuk mengisi
borang-borang tersebut.

Kurang Pendedahan Terhadap Zakat

Seterusnya, kesedaran dan pendidikan mengenai zakat kurang diaplikasikan kepada


masyarakat Islam di Malaysia. Kesedaran dan pendidikan yang menjadi permasalahan
dalam kajian ini bukanlah tertumpu kepada zakat fitrah. Namun, kajian ini lebih
menekankan kesedaran dan pendidikan masyarakat terhadap zakat harta seperti zakat
emas dan perak, zakat perniagaan dan zakat pertanian. Ini kerana, zakat fitrah secara
umumnya masyarakat tidak akan ketinggalan untuk membayarnya pada bulan
Ramadan kerana sering diuar-uarkan dalam media massa dan media cetak.
Permasalahannya zakat harta ini sering dilupakan kerana masyarakat beranggapan
zakat hanyalah tertakluk kepada zakat fitrah sahaja. Perkara ini dapat dibuktikan
melalui soal selidik yang telah dijalankan kepada masyarakat mengenai zakat yang
mereka ketahui.

Dapatan Kajian

Kajian ini telah dilakukan dengan menggunakan borang soal selidik yang telah
diedarkan ke seluruh negeri di semenanjung Malaysia. Sebanyak 1000 helai borang

190
selidik telah diedarkan. Namun, borang soal selidik yang telah dipulangkan adalah
sebanyak 700 helai. Setelah ditapis borang soal selidik yang diterima, sejumlah 200
borang selidik telah rosak kerana tidak mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Oleh
itu, jumlah keseluruhan soal selidik yang digunakan untuk analisis adalah 500 orang
responden.

Kemudian profil responden dibentuk untuk melihat ciri-ciri responden dalam kajian ini.
Ia adalah untuk mengenal pasti dan memberi gambaran secara jelas mengenai
responden. Jadual satu menunjukkan profil responden melalui hasil kajian yang
diperolehi.

Berdasarkan jadual 1 sebanyak (47.5%) orang responden lelaki dan (52.5%) orang
responden perempuan. Lingkungan umur bagi 30 tahun sehingga 40 sebanyak (20.5%),
41 hingga 50 tahun seramai (40.8%) dan 51 dan keatas (38.7%). Merujuk kepada jadual
satu, didapati responden terdiri daripada empat tahap pendidikan iaitu bermula pada
tahap yang paling rendah kepada tahap yang paling tinggi. Pada tahap yang terendah
iaitu sebanyak (14.5%) responden mempunyai pendidikan pada tahap SPM/SPMV.
Katogeri yang seterusnya menunjukkan secara majoriti responden mempunyai
pendidikan di peringkat IPT dengan (56.4%) responden yang mempunyai tahap
pendidikan di tahap STAM/Diploma/STPM/ASASI dan yang setaraf. Sebanyak
(19.7%) orang pemegang Ijazah Sarjana Muda dan sebanyak (9.4%) responden
pemegang Sarjana/PHD. Bagi profil pekerjaan pula hasil analisis menunjukkan
sebanyak (57.3%) responden penjawat kerajaan, sebanyak (20.2%) responden penjawat
swasta, sebanyak (22.5%) orang bekerja sendiri,

CIRI RESPONDEN KATEGORI RESPONDEN PERARUSAN


JANTINA LELAKI 47.50%
PEREMPUAN 52.50%

30-40 TAHUN 20.50%


UMUR 41-50 TAHUN 40.80%
> 51 TAHUN 38.70%

SPM / SPMV 14.50%


PENDIDIKAN Diploma / STAM/ ASASI dan yang setaraf 56.40%
IJAZAH SARJANA MUDA 19.70%
IJAZAH SARJANA DAN PHD 38.70%

PENJAWAT KERAJAAN 57.30%


PEKERJAAN PENJAWAT SWASTA 20.20%
BEKERJA SENDIRI 22.50%

Jadual 1: Profil Responden

Berdasarkan jadual dua, satu analisis mengenai keterangan responden yang diuji
berdasarkan jumlah soal selidik telah dijalankan. Keterangan yang pertama ialah
mengenai kepercayaan masyarakat mengenai amil-amil zakat di Malaysia. Sebanyak

191
29.50% masyarakat mempercayai amil-amil zakat tetapi, sebanyak 70.50% masyarakat
tidak mempercayai amil-amil zakat. Hal ini menyumbang kepada pembayaran zakat
terus kepada asnaf berlaku berterusan sehingga kini. Berdasarkan analisis yang telah
dijalankan, didapati 59.20% responden membayar zakat terus kepada asnaf tanpa
melalui pusat kutipan zakat. Seterusnya, terdapat 64.70% masyarakat meragui sistem
pentadbiran zakat. Perkara ini juga telah menyumbang kepada cadangan perubahan
yang perlu dilakukan oleh pihak pengurusan zakat dalam mentadbir zakat. Berdasarkan
analisis yang telah dijalankan, sebanyak 79.80% masyarakat inginkan perubahan yang
drastik dilakukan. Akhir sekali, terdapat 79.30% masyarakat tidak mengetahui undang-
undang mengenai zakat. Hal ini juga turut menyumbang kepada ketidakpatuhan
masyarakat mengenai enakmen yang telah ditetapkan oleh setiap negeri.

KETERANGAN JUMLAH
UNDIAN
YA TIDAK
KEPERCAYAAN TERHADAP AGEN-AGEN ZAKAT 29.50% 70.50%
PEMBAYARAN TERUS KEPADA ASNAF 59.20% 40.80%
KEWAJARAN MERAGUI SISTEM ZAKAT 64.70% 35.30%
PERUBAHAN DALAM PENTADBIRAN SISTEM ZAKAT 79.80% 20.20%
PENGETAHUAN UNDANG-UNDANG MENGENAI 20.70% 79.30%
ZAKAT

Jadual 2: Analisis Keterangan Responden

Melalui hasil penyelidikan terhadap responden, didapati bahawa rakyat kini kurang
pendidikan mengenai zakat itu sendiri. Hasil daripada borang selidik yang dijalankan,
didapati bahawa ilmu mengenai zakat ini kurang dalam kalangan individu. Namun, jika
dilihat semula kepada dasar pensyariatan zakat adalah wajib dan merupakan fardu ain.
Di sini tidak seharusnya berlaku pengecualian dalam pengetahuan mengenai zakat. Isu
tanggungjawab kepada agama seharusnya tidak berlaku sebarang pengecualian tanpa
alasan yang kukuh dan dibenarkan syarak. Berbalik kepada hasil kajian yang
menunjukkan bahawa majoriti 500 responden mengetahui zakat fitrah, zakat
pendapatan 326 responden, zakat emas dan perak seramai 170 responden, zakat
ternakan seramai 185 responden, zakat pertanian seramai 291 responden, zakat
perniagaan seramai 395 responden, zakat wang simpanan seramai 240 orang responden,
zakat saham seramai 379 orang responden, zakat rikaz seramai 86 orang responden dan
zakat KWSP hanya 127 responden sahaja. Statistik ini menunjukkan bahawa
masyarakat tidak terdedah secara menyeluruh tentang ilmu mengenai jenis-jenis zakat
yang terdapat di Malaysia. Perkara ini membantutkan keberkesanan mekanisma zakat
di negara kita.

JENIS-JENIS ZAKAT YANG DIKETAHUI OLEH RESPONDEN


JENIS ZAKAT JUMLAH
ZAKAT FITRAH 500
ZAKAT PENDAPATAN/ GAJI 326
ZAKAT EMAS DAN PERAK 170
ZAKAT PERNIAGAAN 395
ZAKAT PERTANIAN 291

192
ZAKAT TERNAKAN 185
ZAKAT WANG SIMPANAN 240
ZAKAT SAHAM 379
ZAKAT RIKAZ 86
ZAKAT KWSP 127

Jadual 3: Pengetahuan Responden

Cadangan

Menyelaraskan Sistem Zakat

Dewasa ini terdapat beberapa masalah dihadapi oleh institusi zakat di setiap negeri.
Masalah ini berpunca daripada pengurusan zakat yang efisyen. Justeru, bagi
menyelesaikan masalah yang timbul maka setiap pusat kutipan zakat di setiap negeri
perlulah diselaraskan dengan menggunakan satu sistem yang sama. Hal ini dapat
memastikan semua pusat zakat yang terdapat di setiap negeri lebih terurus dan efisyen.
Perkara pertama yang harus dilaksanakan adalah menyelaraskan nisab zakat di seluruh
negeri. Perkara sebegini dapat memudahkan masyarakat untuk membayar zakat seperti
yang telah disyariatkan. Menyelaraskan nisab zakat dapat mengelakkan pengusaha-
pengusaha syarikat yang mempunyai cawangan di setiap negeri keliru mengenai nisab
zakat yang telah ditetapkan dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk tidak
membayar zakat. Justeru, pihak-pihak yang berkuasa seperti majlis agama Islam,
jabatan agama Islam dan pusat kutipan zakat setiap negeri perlulah berganding bahu
untuk menyelaraskan nisab tersebut.

Selain itu, dicadangkan agar pusat zakat di negeri-negeri mengurangkan prosedur untuk
memohon zakat. Hal ini kerana, ia akan membuatkan masyarakat berasa terbeban
kerana terpaksa menunggu masa yang agak lama untuk pengesahan kelulusan
permohonan tersebut. Perkara sedemikian akan menjadikan masyarakat tidak mahu
untuk memohon zakat kerana proses yang membebankan terutamanya masyarakat di
kawasan luar bandar kerana segelintir di antara mereka buta huruf. Perkara sebegini
akan menyukarkan masyarakat untuk mengisi borang-borang tersebut. Oleh itu, pihak
zakat perlulah bekerjasama dengan penghulu kampung untuk mendapatkan maklumat
mengenai penduduk yang memerlukan zakat. Ini akan memudahkan masyarakat yang
memerlukan bantuan zakat untuk memohon zakat kerana pihak zakat sendiri telah
mempunyai maklumat pemohon. Pihak zakat juga perlulah menyediakan seorang
pegawai untuk membantu golongan yang buta huruf untuk mengisi borang-borang
zakat.

Memperkasakan Kualiti Perkhidmatan

Institusi zakat yang ditubuhkan perlulah mempunyai kakitangan dan pegawai yang
berpendidikan dan mempunyai bidang kuasa yang khusus supaya kerja yang dilakukan
akan menjadi lebih proaktif dan efektif. Oleh itu, latihan perlulah diberikan kepada
kakitangan kerana penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar
prestasi kerja dapat diperbaiki dari semasa ke semasa. Setiap institusi zakat perlu
mengaturkan program dan kursus berkenaan zakat dan pengurusannya kepada setiap
kakitangannya supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan daya produktiviti.

193
Seterusnya, pegawai-pegawai zakat yang terlatih dan diiktiraf oleh setiap negeri
perlulah menghadirkan diri ke syarikat-syarikat untuk memberi maklumat mengenai
zakat dari segi pengiraan dan pembayaran. Hal ini juga diperlukan pegawai-pegawai
zakat yang mahir dalam bidang perakaunan dan kewangan. Dengan adanya ilmu
pengetahuan secara langsung, para usahawan dapat menyediakan peruntukan syarikat
untuk membayar zakat yang mana bukan hanya kepada pemilik syarikat tetapi kepada
pekerjanya sekali. Oleh itu, kewajipan terhadap zakat pendapatan ke atas individu telah
dilaksanakan. Memberi kaunseling kepada masyarakat yang ditangkap kerana tidak
membayar zakat. Kaunselor mestilah mempunyai fahaman yang jelas mengenai zakat
itu sendiri. Antara kaedah kaunseling yang boleh dijalankan adalah kaedah pemulihan.
Kaedah pemulihan ini lebih kepada memperbetulkan persepsi dan kefahaman
masyarakat mengenai kewajipan membayar zakat. Oleh yang demikian kaunselor
perlulah menyediakan satu terapi untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Memperkasakan dan Menambah Enakmen berkaitan Zakat

Undang-undang dan penguatkuasaan zakat merupakan suatu instrumen yang digunakan


bagi memastikan kutipan zakat (Kamil Md. Idris 2006).Cadangan seterusnya adalah
dengan mewujudkan satu enakmen mengenai pembayaran zakat di negeri-negeri. Hal
sebegini dapat memastikan masyarakat yang sepatutnya melunaskan zakat dapat
menunaikannya setelah cukup syarat. Hal ini kerana, dapat dilihat bahawa setiap negeri
mempunyai undang-undang zakat tersendiri. Kebanyakan undang-undang yang
terdapat di negeri-negeri hanyalah mengenai kuasa memungut zakat dan fitrah. Namun,
kesalahan mengenai masyarakat yang tidak membayar zakat dan penyelewengan zakat
tidak diperuntukkan sama sekali. Oleh yang demikian, badan perundangan perlulah
mewujudkan satu enakmen di negeri masing-masing mengenai kesalahan tidak
membayar zakat.

Melihat kepada bidang kuasa mahkamah syariah yang terhad, dicadangkan agar
mahkamah syariah berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan perkara
mengenai penyelewengan wang zakat. Hal ini kerana, secara amnya dapat dilihat
bahawa mahkamah hanya memperuntukkan hukuman bagi perkara-perkara yang
berkaitan pemungutan atau penyerahan hasil pungutan zakat dan fitrah. Justeru itu,
dapat dilihat melalui kes seorang bekas amil dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan
empat sebatan oleh Mahkamah Majistret kerana melakukan pecah amanah
membabitkan RM19,510. Redzuan, sebagai amil yang dilantik oleh Majlis Agama
Islam Negeri Johor, didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang hasil kutipan
zakat fitrah dan kutipan derma anak yatim sebanyak RM19,510 dengan
menyalahgunakan wang itu untuk kegunaannya sendiri (UTUSAN 1/11/2011). Oleh
itu, dapat dilihat dengan jelas bahawa perkara sebegini perlu diambil berat dan tindakan
segera oleh badan-badan perundangan kerana masalah yang berlaku adalah berkaitan
dengan kewangan orang Islam itu sendiri.

Kesimpulan

Daripada kajian yang telah dibuat dapat disimpulkan bahawa undang-undang mengenai
pentadbiran zakat perlulah diletakkan secara keseluruhannya dan selaras di antara
kerajaan negeri agar pentadbiran zakat di Malaysia menjadi lebih mantap dan efisyen.
Selain itu, pelaksanaan zakat tidaklah hanya tertakluk kepada institusi-institusi di
bawah Majlis Agama Islam sahaja malah kita perlulah melibatkan organisasi yang lain
seperti SSM, LHDM, KASTAM, PDRM dan sebagainya. Selain itu pengaplikasian

194
undang-undang tersebut hendaklah dilaksanakan dengan cekap, telus dan tegas.
Undang-undang tersebut tidak seharusnya hanya satu penulisan di atas lembaran tanpa
ada pelaksanaan yang sewajarnya seperti yang berlaku di Malaysia. Oleh itu, tampuk
kepimpinan pentadbiran negara harus sedar kepentingan penguatkuasaan undang-
undang dalam memperkasakan sistem zakat di Malaysia. Justeru, institusi pengurusan
zakat pada masa kini juga memerlukan pengurus yang mempunyai ilmu-ilmu lain
seperti pengurusan, keusahawanan, teknologi dan sebagainya.

Rujukan

al-Quran.

Abdul Hamid Mohd Hassan. 1998. Antara Zakat dan Cukai Pendapatan: Satu Analisis
Penyelarasan. Kertas Kerja dibentang dalam Seminar Zakat dan Cukai Pendapatan
di Pusat Matrikulasi USM, 5-6 November 1998.

Eza Ellany Abdul Lateff & Mohd Rizal Palil. 2011. Faktor-faktor yang mempengaruhi
pembayaran zakat pendapatan di Malaysia. Prosiding Perkem VI. Jilid 1(2011)
148-159: 12.

Hairunnizam Wahid, Mohd Ali Mohd Nor & Sanep Ahmad. 2005. Kesedaran
Membayar Zakat: Apakah penentuannya? IJMS 12 (2), 171-189.

Kamil Md. Idris. 2006. Kesan Persepsi Undang-Undang dan Penguatkuasaan Zakat
terhadap Gelagat Kepatuhan Zakat Pendapatan Gaji. Journal of ethics, legal and
governance, Vol. 2, hlm. 32-36.

Muhammad Azam Hussain & Zuryati Mohamed Yusoff. 2005. Undang-undang Zakat
di Negeri Kedah. The Malaysian Jurnal of Islamic Sciences. Vol 4.

Muhsin Nor Paizin. 2014. Amalan Dakwah Zakat di Wilayah Persekutuan Malaysia:
Satu Pemerhatian. Proceeding of the International Conference on Arabic Studies
and Islamic Civilization iCasic 2014. Hlm. 482-489.

Muhsin Nor Paizin. 2013. Perlaksanaan Zakat di Wilayah Persekutuan: Satu


Pemerhatian Terhadap Operasi Kutipan dan Agihan Zakat. Jurnal Hadhari 6(2).
97-11:15.

Nuruul Hidayah Mansor, Asmak Ab. Rahman & Nurzahidah Haji Jaafar. 2014.
Memperkasa Zakat Pertanian Sebagai Pelan Pembanggunan Masyarakat Melayu.
Proceeding of the International Conference on Masjid, Zakat and Waqf (IMAF
2014) 1-2 December 2014, Kuala Lumpur, MALAYSIA.

Sanep Ahmad, Hairunnizam Wahid, Adnan Mohamad. 2006. Penswastaan Institusi


Zakat dan Kesannya Terhadap Pembayaran Secara Formal di Malaysia. IJMS, 13
(2). hlm. 175-196

Shofian Ahmad & Amir Husin Mohd. Nor. 2002. Zakat: Membangun Ummah. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Ishak Din, Haron Din & Abu Hassan Din al-Hafiz. 1995. Soal Jawab Fiqh Harian.
Shah Alam: Penerbitan Hizbi.

195
Mohd Yusuf Islahi. 1994. Everyday Fiqh. Terj. Abdul Aziz Kamal. Ed ke-3. Jil II.
Delhi: Maktaba Zikra.

Muhammad Sharif Chaudhry, M.A., LLB., Ph.D. 2012. Sistem Ekonomi Islam Prinsip
Dasar. Terj. Suherman Rosyidi. Bil.20. Jakarta: Kencana Prenada Media Group.

Mustafa Al-Khin, Mustafa Al-bugha & Ali Al-Syarbaji. 2003. Manhaj Fiqh Al-Syafi’i.
Terj : Mohd Yusof bin Ahmad, Abdul Kudos bin Othman, Jamil bin Abdul Wahab
& Zulkifli bin Muhammad al-Bakri. Jil II. Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri
Sembilan.

Nur Azura Sanusi. 2015. Aplikasi Zakat Dalam Ekonomi Islam. Kuala Lumpur: DBP

Surtahman Kastin Hasan ar-Rajaie. 2013. Ekonomi Islam Perlakuan Pengguna,


Pengeluar dan Pasaran. Edisi Pertama. Petaling Jaya: DBP.

Syaikh Abdul Rahman Al-Jazairi. 2013. Fiqh 4 Mazhab. Terj. H.M. Yusuf Sinaga
Lc.MA, H.M. Abdurrahman Saleh SIregar Lc, MA & H. Muhammad Zuhirsyan
Lc. MA. Edisi ke-4t. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.

Bekas amil pecah amanah dipenjara dan disebat. (1 November 2011). Utusan
Malaysia.

You might also like