Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

Fakulti Syariah Dan Undang-Undang

(LLA 7033) Undang-Undang Pentadbiran Harta Islam

HIBAH BERSYARAT MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG MALAYSIA

Nama Pensyarah : Dr Mustafa ‘Afifi bin Ab Halim

Ahli :

Bil Nama No Matrik


1 Aida Amirah bt Badiuzzamani 2201150
2 Nur Fazlin binti Mohd Fadzil 2201377
5 Zaida Anatasha binti Zuarkhanain 2201237
6 Alya Nadhira Binti Mahamad Pizom 2201363
7 Fathanah Ridwan 2201365
8 Nurfatin Nadia bt Mohd Azahari 2201242

Kelas : Kumpulan 2

Sesi akademik 2020/2021


PENGENALAN

Kini, hibah semakin mendapat sambutan selepas berlaku kes kematian artis di mana
adik beradik dan isteri si mati berebut harta si mati, di sebabkan kes itu, kesedaran orang
awam mula meningkat terhadap faraid dan bidang- bidang harta orang islam yang lain seperti
hibah, wasiat, waqaf dan lain-lain. Oleh itu, untuk kajian kali ini, hibah bersyarat menurut
perspektif undang-undang Malaysia akan dibincangkan.

Secara asas, hibah adalah pemberian kepada seseorang semasa si pemberi masih
hidup dan ia akan berkuat kuasa serta merta. Dalam kamus al-munawwir, hibah ini
merupakan masdar dari kata wahaba yang bererti pemberian (Andayani, 2009, p. 9).
Mengikut artikel Analisis Kes Amalan Hibah Bersyarat di Malaysia, ia akan berkuat kuasa
sepenuhnya dan tidak memerlukan proses yang rumit, tambahan pula sekiranya lengkap
rukun hibah, ia akan dikira sebagai sah oleh jumhur fuqaha’ (Othman, 2017, p. 1).

Antara rukun hibah ialah pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan dan
sighah. Hibah juga boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang si pemberi ingin hibahkan
hartanya, sekalipun orang itu adalah orang bukan islam. Oleh itu, tiada had untuk si pemberi
dalam memberi hartanya kepada sesiapa yang dia mahukan. Artikel Masalah dan Kaedah
Penyelesaian Pewarisan Harta Pusaka Mualaf di Malaysia, tidak mengecualikan sekumpulan
orang yang lain bagi mendapatkan haknya seperti mana dalam wasiat yang mengecualikan
waris sebagai penerima wasiat (Baharudinin, 2017, p. 53).

Dengan adanya, ia mampu berlaku adil kepada mana-mana pihak yang tiada hak
sebagai waris dan ia memberi kesan yang positif kepada penerima hibah tersebut. Sebagai
contoh, Ahmad dan Ali adalah kawan baik akan tetapi mereka tidak mempunyai tali
persaudaran yang kukuh sehingga boleh berlakunya perwarisan harta antara satu sama lain,
maka Ahmad berhak dan boleh memberi hibah kepda Ali sekiranya Ahmad ingin dan ini
adalah salah satu cara untuk bukan waris menerima haknya. Firman Allah tentang hibah,

ً ‫صد ُٰقتِ ِهنَّ نِحلَةً ۚ فَِإن ِطبنَ لَ ُكم عَن شَي ٍء ِّمنهُ نَف‬
‫سا فَ ُكلوهُ هَنيًئا َّمريًئا‬ َ ‫َوءآتُوا النِّسا َء‬

Maksud : Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka


sebagai pemberian yang penuh kerelaan. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya
memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah)
pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya. (Surah an-
nisa ayat 4)

Berdasar lkan ayat dia atas, mengenai pemberian kepada penganti perempuan dengan rela
hati, dalam keadaan kita kita dapat lihat bahawa hibah itu dibenarkan didalam islam selagi
mana ia tidak memudaratkan. Ijmak fuqaha juga mengiktiraf hibah sebagai hibah (Zakaria,
Ahmad Zaki Salleh, & Yasmin Hanani Mohd Sufyan, 2017, p. 203).

1.0 KELEBIHAN HIBAH BERSYARAT

Sejak dahulu lagi, hibah mempunyai keistimewaan yang tersendiri di mana, ia


terpulang kepada pemilik harta tersebut. Sekiranya harta itu ingin di hibahkan
keseluruhannya, maka ia harus untuk di lakukan, seperti yang dibincangkan pada
pendahuluan .

Antara kelebihan hibah bersyarat ialah menjaga kepentingan dan keharmonian kedua-
dua pihak.Hal ini kerana, barang atau harta yang dihibahkan hanya boleh dipindahkan
kepada penerima hibah setelah kematian pemberi hibah. Perkara ini dapat mengelakkan
berlakunya perebutan harta semasa pemberi hibah masih hidup.

Keduanya, hibah bersyarat tidak perlu melalui proses pembahagian harta pusaka. Hal
ini kerana hibah bersyarat tidak dianggap sebagai harta pusaka. Dengan melakukan hibah
bersyarat, ia tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka iaitu pembahagian faraidh.
(Faiz Adnan, 2020)

Tambahan pula, pemilik juga bebas untuk menamakan penerima hibah bersyarat
tanpa sekatan semasa hayatnya. Hal ini kerana hibah dari suduh bahasa adalah pemberian.
Maka, ianya terpulang kepada pemberi hibah untuk memberikannya kepada sesiapa
sahaja yang dikehendaki. Ia berbeza dengan faraidh kerana jika mengikut kaedah faraidh
maka yang layak untuk menerima harta-harta tersebut adalah ahli waris si mati sahaja.
Hibah juga berbeza dengan wasiat. Hal ini kerana wasiat dibuat kepada bukan ahli waris
sedangkan hibah tidak langsung meletakkan sebarang sekatan bagi golongan penerima.
Seterusnya, kaedah bagi pihak pemberi hibah dalam menyediakan wang tunai segera
kepada waris untuk meneruskan kelangsungan hidup.Wang tunai segera ini seumpamanya
sebagai kos sara hidup setelah kematian ketua keluarga. Penerima hibah tidak perlu untuk
melalui proses pembahagian harta pusaka yang rumit dan mengambil masa yang lama
semata-semata untuk mendapat bahagian harta si mati.

Hibah juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama manusia disamping dapat


memupuk perasaan kasih sayang. Penerima hibah boleh terdiri dari sesiapa sahaja
terutamanya mereka yang mempunyai hubungan yang dekat dengan pemberi hibah
seperti suami, isteri, anak kandung, anak angkat dan sebagainya. Maka ini akan dapat
memupuk perasaan berkasih sayang tidak kira sama ada penghibah masih hidup atau
meninggal dunia kerana kasih sayang dapat membuatkan seseorang tersebut mendoakan
seorang yang lain.

Malahan, penerima hibah juga boleh terdiri dari orang berlainan agama. Maka, ianya
dapat memupuk hubungan kasih sayang sesama pemberi dan penerima hibah jika diberi
semasa hidup dan juga memupuk perasaan berkasih sayang walaupun ianya hibah
bersyarat kerana pemberi akan menguruskan pemberian hibah semasa hayatnya seperti
memberitahu kepada penerima hibah.

Tiada sekatan terhadap kadar harta yang dihibah. Kadar harta yang ingin dihibahkan
tiada langsung ditetapkan sekatan, bermaksud pemberi hibah boleh mengikut
kehendaknya dan kemampuannya. Jika Faraidh maka perlu mengikut ketetapan yang
telah ditetapkan oleh hukum syarak dan wasiat pula tidak boleh lebih dari 1/3 jumlah
harta pemberi wasiat. Maka dapat dilihat disini, hibah merupakan satu kaedah pemberian
harta yang sangat mudah.

Pemberian harta hibah boleh dilakukan tanpa melakukan pindah milik harta secara
dokumen hakmilik iaitu geran. Hibah sudah dianggap sah jika telah memenuhi rukun-
rukun dan syarat-syaratnya. Maka perlulah untuk dibezakan antara al-qabd dan pindah
milik harta atau pertukaran nama pada dokumen hakmilik iaitu geran. Hal ini kerana
terdapat segelintir masyarakat yang menjadikan dokumen hakmilik sebagai syarat sah
hibah padahal ia tidaklah sedemikian.
Al-Qabd ini adalah penyerahan harta hibah (mauhub) daripada pemberi kepada
penerima hibah. Maka, berlaku sahaja al-qabdu ini maka penerima hibah boleh
menguruskan dan menguasai harta hibah setelah berlakunya syarat-syarat penerimaan
hibah. Iaitu seperti jika Hibah Ruqba maka penerima akan menerima harta setelah salah
seorang meninggal dunia. Dengan sebab kematian tersebut maka bolehlah penerima hibah
menguasai harta tersebut. Namun, melihat kepada suasana masyarakat sekarang, adalah
digalakkan jika penerimaan hibah itu dibuat dengan pertukaran hakmilik. Dokumen hibah
perlu dibuat secara jelas supaya tidak berlaku pertikaian setelah kematian pemberi hibah.

1.1 PROSEDUR HIBAH

Antara prosedur hibah ialah penerima mestilah bersetuju untuk melantik pemegang
amanah dan meletakkan syarat. Bagi pemegang amanah, perkara pertamanya,
meletakkan syarat sama ada hibah ruqba atau hibah umra. Seterusnya, syarat
dimaktub dalam surat ikatan amanah. Kemudian membuat skim pembahagian aset.
Seterusnya, apabila berlaku apa yang disyaratkan maka penerima akan mendapat aset
tersebut. Akhir sekali penghibah bersetuju untuk melantik pemegang amanah.

1.2 PROSES HIBAH AMANAH.

1) Penerimaan permohonan: Pemberi dan penerima hibah perlu mendapatkan nasihat.


Seterusya melakukan pengesahan penghibah, penerima dan aset penghibah. Pemberi
dan penerima hibah kemudiannya akan berbincang tentang Skim Pembahagian,
Perletakan Syarat dan lain-lain hal yang berkaitan.

2) Penyemakan Skim Pembahagian, syarat dan juga pembatalan: Iaitu dengan mendapat
persetujuan kedua-dua pihak, kemudian sesi tandatangan pada dokumen berkaitan,
membayar fi trustee atau pemegah amanah dan seterusnya melaksanakan borang
pindah milik.

3) Matikan stem dan daftar aset hibah: Pendaftaran harta alih adalah dilakukan di
institusi berkaitan manakala jika harta tidak alih makan perlu dilakukan pendaftaran
di Pejabat Tanah.
4) Pemegang amanah bertindak sebagai tuan punya aset hibah: Dokumen berkaitan
perlulah disimpan dengan selamat dan surat ikatan amanah, salinan sighah perlu
dihantar kepada penghibah.

5) Kematian penghibah iaitu mengikut syarat: Apabila berlaku kematian pemberi hibah,
pihak pemegang amanah akan menerima arahan daripada penerima dan seterusnya
akan melakukan pindahmilik barang atau harta yang dihibahkan kepada penerima.

6) Kematian penerima mengikut syarat ruqba: Menerima arahan daripada penghibah dan
kemudiannya melaksanakan pindahmilik kepada penerima hibah.

1.3 PROSEDUR PENGURUSAN HIBAH AMANAH DAN HIBAH BIASA DI


PEJABAT TANAH

Pemohon atau pemberi hibah perlu untuk menyediakan dokumen-dokumen yang


berkaitan terlebih dahulu seperti geran, resit cukai tanah, kad pengenalan pemohon, sijil lahir
pemohon dan kad pengenalan penerima hibah. Kemudian, pemohon perlu mengisi borang
14A iaitu borang pindahmilik tanah dan perlu juga menyediakan surat ikatan dokumen.
Seterusnya, pemohon iaitu pemberi hibah dan penerima hibah perlu ke Pejabat tanah bagi
membuat penyaksian iaitu dengan tandatangan atau cop jari di hadapan pegawai di Pejabat
Tanah. Namun, ini jika tanah tersebut adalah rezab melayu. Adapun jika sebaliknya,
penyaksian boleh dibuat di hadapan Peguamcara.

Setelah selesai membuat penyaksian, maka langkah seterusnya adalah dengan


membayar cukai taksiran di Lembaga Hasil Dalam Negeri, mematikan setem dan seterusnya
membuat pendaftaran di Pejabat Tanah. Proses dalam melakukan hibah amanah mengambil
masa minimum 6 bulan manakala proses bagi hibah biasa mengambil masa kurang daripada
sebulan. (Adnan, 2019, p. 5)

2.0 JENIS HIBAH

Hibah terbahagi kepada dua iaitu hibah mutlak dan hibah bersyarat. Hibah mutlak adalah
kontrak hibah yang dibuat semasa hidup dan pemilikan harta berpindah dari pemberi hibah
kepada penerima hibah secara serta-merta. Fungsi hibah mutlak adalah jika penerima hibah
mati terlebih dahulu, maka mengikut hukum faraid, harta yang dihibahkan akan menjadi
milik mutlak pewaris penerima hibah. Meskipun pemberi masih hidup, dia mesti melepaskan
harta itu untuk diserahkan kepada pewaris penerima hibah.

Contoh hibah mutlak adalah apabila si ayah menghibahkan 10 ekar tanah kelapa sawit
kepada tujuh orang anaknya. Pindah milik dibuat Ketika si ayah masih hidup. Selepas pindah
milik, ayah akan kehilangan penguasaan ke atas 10 ekar tanah tersebut. Ini bermaksud
walaupun pada ketika itu si ayah masih hidup, tujuh anaknya boleh melakukan apa sahaja ke
atas tanah itu termasuklah menjualnya.

Hibah bersyarat pula terbahagi kepada dua keadaan. Pertamanya, hibah dalam bentuk
al-‘Umra. Al-‘umra merujuk kepada pemberian yang dibuat semasa tempoh hidup penerima
hibah atau pemberi hibah dengan syarat harta itu dikembalikan setelah kematian penerima.
Al-‘umra juga merujuk kepada pemberian sementara yang merujuk kepada hayat salah
seorang sama ada pemberi hibah atau penerima hibah. Sekiranya penerima hibah meninggal
dunia, harta yang dihibahkan akan dikembalikan kepada pemberi hibah. Sebaliknya, jika
pemberi hibah meniggal dunia, harta hibah akan dikembalikan kepada pewaris pemberi
hibah.

Contoh lafaz hibah al-‘umra ialah seperti pemberi hibah berkata: “aku berikan tanah ini
kepadamu semasa kamu masih hidup. Sekiranya kamu mati, harta itu kembali kepada aku
jika aku masih hidup dan jika aku telah mati harta itu adalah milik waris aku.”

Status kontrak hibah yang disyaratkan al-‘umra adalah sah disisi kebanyakan ahli fuqaha.
Namun, disisi mazhab Zahiri dan pandangan lama Shafie menyatakan bahawa syarat tersebut
adalah batal.

Keduanya hibah dalam bentuk al-Ruqba. Al-ruqba adalah pemberian yang syaratnya
adalah kematian salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebagai syarat
pemilikan kepada salah satu pihak yang masih hidup. Al-ruqba juga menyatakan bahawa
pemberian bersyarat ditentukan oleh pemberi hibah. Jika pemberi hibah meninggal dunia,
harta yang diberikan akan menjadi milik penerima hibah. Walau bagaimanapun, jika
penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah, harta yang dihibahkan akan
kembali kepada pemberi hibah.
Contoh lafaz hibah al-ruqba seperti pemberi hibah berkata: “aku berikan tanah ini kepada
kamu sebagai ruqba dan sekiranya kamu mati dahulu, harta itu akan kembali kepada aku dan
sekiranya aku mati dahulu, harta itu milik kamu.”

Hibah yang disyaratkan al-ruqba adalah sah disisi majoriti fuqaha. Namun, hibah ruqba
adalah batal disisi mazhab Zahiri, Abu Hanifah dan Muhammad al-Shaybani.

2.1 PERANAN HIBAH BERSYARAT

Antara peranan hibah adalah hibah mampu memupuk perasaan kasih sayang antara
pemberi dan penerima. Selain itu, hibah merupakan salah satu cara pengurusan harta yang
digalakkan oleh Islam. Islam memberi peluang kepada pemilik harta semasa hidupnya untuk
melakukan perancangan harta dengan baik selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Di
samping itu, hibah bersyarat akan berlaku permindahan hak milik selepas si pemberi
meninggal dunia. Bahkan, hak permilikan juga masih di atas si pemberi. (Muda, 2008)

2.2 KES-KES BERKAITAN

Rafizah binti Ab Karim dan Kamar bin Ab Karim dan Empat Defendan yang lain

Dalam kes ini, ibu kepada plaintif yang bernama Lamah binti Sa’at telah meninggal dunia
pada 15 Mei 2011. Plaintif dalam tuntutannya menyatakan bahawa semasa ibunya hidup,
beliau telah membuat hibah secara bertulis melalui satu dokumen perisytiharan harta pada 20
Januari 2011. Dalam dokumen tersebut, ibu plaintif menyatakan bahawa harta yang
dihibahkan akan menjadi kepunyaan plaintif selepas beliau meninggal dunia.

Dalam kes ini, plaintif memohon agar mahkamah mengesahkan hibah yang dibuat oleh
ibunya. Mahkamah mendapati bahawa terdapat isu berkaitan hibah ruqba kerana di dalam
lafaz yang diucapkan oleh ibunya ketika akad hibah dikaitkan dengan kematian salah satu
pihak.

Mengikut kepada hujah yang telah dibuat, merujuk kepada Keputusan Majlis Penasihat
Suruhanjaya Syariah Sekuriti yang mengharuskan hibah ruqba dilaksanakan dalam
pelaksanaan borang akuan hibah untuk transaksi yang membabitkan akaun bersama tabung
unit amanah bgi akaun yang dipegang oleh orang Islam. Jadi, hakim telah memutuskan
adalah sah hibah yang berkonsepkan hibah ruqba yang berlaku antara pemberi dengan
penerima hibah melalui dokumen pengisytiharan hibah.

Salmah Binti Osman v CIMB Islamic Trustee

Fakta kes ini ialah Som binti Abdullah telah menghibahkan hartanya kepada
pemohon yang bernama Salmah binti Osman dan anak angkatnya iaitu Minah binti Osman
melalui satu sighah hibah yang berkonsepkan hibah ruqba ydan telah ditandatangani oleh
pemberi hibah dan juga telah diakui oleh penerima-penerima hibah. Namun begitu, salah
seorang penerima hibah iaitu Minah binti Osman meninggal dunia sebelum pemberi hibah
meninggal dunia. Berdasarkan konsep hibah ruqba, jika berlaku kematian salah seorang
daripada pihak-pihak, maka harta hibah perlu diserahkan kembali kepada pihak yang masih
hidup. Setelah itu, pemberi hibah dalam kes ini mengambil semula harta tersebut dan
menyerahkannya kepada pemohon iaitu Salmah binti Osman.

Isu yang timbul dalam kes ini adalah sama ada hibah yang berkonsepkan hibah ruqba
itu sah atau tidak dan adakah sah harta hibah tersebut diberikan kepada pemohon? Hakim
Syarie telah berhujah bahawa pengaplikasian hibah ruqba haruslah menggunakan pendapat
jumhur fuqaha yang tidak mengharuskan hibah yang mensyaratkan pemilikannya pada suatu
masa akan datang. Hakim telah mengambil pendapat jumhur fuqaha yang berpandangan
bahawa hibah umra dan ruqba adalah sah tetapi syaratnya batal kerana jika syarat itu diterima
pakai maka ia bertentangan dengan kehendak akad itu. Jika mengikut pandangan jumhur
fuqaha, harta itu sepenuhnya menjadi milik waris-waris Minah binti Osman dan tidak
dikembalikan kepada ibu angkatnya itu.

Namun, mengikut penghujahan hakim dalam kes ini, harta hibah itu dikira harta
wasiat disebabkan berlakunya kematian kerana syarat itu terikat dengan perpindahan harta
selepas berlakunya kematian Minah bint Osman. Oleh sebab itu, Som binti Abdullah
mendapat harta wasiat daripada anak angkatnya iaitu Minah binti Osman dengan kadar satu
pertiga daripada bahagian yang diperolehnya itu daripada harta yang dihibahkan itu dan dua
pertiga lagi menjadi milik waris-waris Minah binti Osman mengikut pembahagian secara
pusaka. Maka, hibah yang diberikan kepada kepada Salmiah Binti Osman oleh Som binti
Abdullah hanya setakat satu pertidga bahagian sahaja.
Hakim Syarie berpendapat bahawa terdapat kesan positif jika harta tersebut mengikut
wasiat iaitu dengan hanya memperoleh satu pertiga bahagian daripada harta peninggalan itu.
Hal ini kerana berkemungkinan sama ada secara sedar atau tidak pewasiat akan menafikan
harta peninggalannya kepada waris-waris yang berhak dengan melepaskan semua hartanya
atau mengurangkan bahagian mereka sehingga menjejaskan kadar bahagian.

Rujukan

Al-quran

Adnan, M. F. (2019). Hadiah dan Hibah: Hukum dan Prosedure Pengalaman di Malaysia.
Kertas Kerja yang disampakian dalam Kursus Asas Kaedah Pengurusan Harta
Keluarga Islam, 5.

Andayani, S. (2009). Waris dan Hibah. 7.

Baharudinin, N. '. (2017). Masalah dan kaedah penyelesaian pewarisan harta pusaka mualaf
di malaysia. Islamiyyat, 53.

Muda, M. Z. (2008). Instrumen hibah dan wasiat: Analisis hukum dan aplikasi di Malaysia .
Bangi: UKM cetak.

Othman, N. S. (2017). Analisis kes amalan hibah bersyarat di malaysia. Islamiyyat, 1.

Zakaria, M. Z., Ahmad Zaki Salleh, & Yasmin Hanani Mohd Sufyan. (2017). al-Madkhal ila
al-Fiqh al-Muamalat al-Maliyyah. Bangi: UKM Cetak.

Syuhadah, N. (2016, December). Keputusan Hakim Syarie Dalam Kes-Kes Pengesahan


Hibah Ruqba. Retrieved from
https://www.researchgate.net/publication/322289832_Keputusan_Hakim_Syarie_Dal
am_Kes-Kes_Pengesahan_Hibah_Ruqba

You might also like