Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 1

Laporan Temasya Sukan Tahunan Sekolah Tahun 2022

Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Meranti

Pada hari Sabtu yang lalu iaitu pada 22 Oktober 2022, Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Meranti telah
menganjurkan Temasya Sukan Tahunan Sekolah yang bertempat di padang sekolah. Semua murid
daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 telah hadir ke sekolah pada hari tersebut dengan lengkap
berpakaian sukan. Pada jam 8.00 pagi, acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri
Selangor dan lagu sekolah. Kemudian, Encik Yaacob bin Tajuddin telah menyampaikan sedikit ucapan
sebelum semua murid bergerak ke padang sekolah.

Di padang, semua murid berkumpul di khemah mengikut rumah sukan masing-masing. Terdapat
pelbagai hiasan rumah sukan dipamerkan seperti bunga manggar, belon, bendera dan sebagainya. Semua
peserta perbarisan rumah sukan bersiap sedia dengan maskot dan pakaian yang berwarna-warni. Acara
perbarisan dimulai dengan rumah Biru, diikuti dengan rumah Merah, Kuning dan Hijau. Seramai 33 orang
murid telah mewakili kontigen perbarisan rumah sukan masing-masing.

Acara diteruskan lagi dengan acara padang seperti lompat tinggi, lompat kijang, lompat jauh,
lontar peluru dan sebagainya. Semua atlet yang terlibat diminta melakukan aktiviti pemanasan badan
terlebih dahulu sebelum bertanding. Kemudian, semua atlet perlu mengesahkan kehadiran di meja
pengurus pasukan. Persembahan daripada semua atlet amat menakjubkan sehingga menerima sorakan
penuh semangat daripada penonton yang berada di sekitar padang.

Setelah tamat semua acara padang, acara balapan seperti larian 100 meter, 400-meter, 800-
meter dan larian berganti-ganti telah dipertandingkan. Olahragawati sekolah iaitu saudari Faezah binti
Hamdan telah menyempurnakan larian dan memecah rekod peribadinya buat kali ketiga. Kehebatannya
dalam acara balapan memang sukar untuk ditandingi. Tepukan yang gemuruh diberikan kepada semua
atlet setelah semua acara habis dipertandingkan.

Kegamatan temasya sukan sekolah diteruskan lagi dengan acara sukaneka yang disertai oleh
warga guru. Gelagat guru-guru berlawan tarik tali dan berlari dalam guni amat melucukan. Pada jam 12.00
tengah hari, semua murid diminta berkumpul untuk acara penyampaian hadiah. Johan bagi temasya sukan
kali ini dimenangi oleh rumah Biru manakala naib johan disandang oleh rumah Kuning. Rumah Merah dan
Hijau pula masing-masing mendapat tempat ketiga dan keempat. Anugerah olahragawan diberikan
kepada saudara Ahmad Nasir bin Johari manakala olahragawati diberikan kepada saudari Faezah binti
Hamdan. Temasya sukan sekolah tamat pada jam 12.45 tengah hari.

Laporan disediakan oleh, 25 Oktober 2022.


Suzana binti Mohd Ali
(SUZANA BINTI MOHD ALI)
Setiausaha Persatuan Olahraga Sekolah,
Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Meranti.

You might also like