Pemakaian Doktrin Duluan Mengikat Dalam Mahkamah Di Malaysia Suatu Perbandingan

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 9

1

PEMAKAIAN DOKTRIN DULUAN MENGIKAT (STARE DICISIS) DALAM


MAHKAMAH DI MALAYSIA: SUATU PERBANDINGAN

Oleh Noorhana Tukiran

Abstrak

Mahkamah-mahkamah di Malaysia terbentuk kepada beberapa hierarki hasil daripada


kesan penjajahan British. Kebanyakan sumber-sumber penghakiman di Malaysia
mengikut konsep yang diperkenalkan oleh penjajah. Mengikut hierarki mahkamah di
Malaysia, mahkamah syariah adalah mahkamah khas yang lebih kecil statusnya
berbanding mahkamah sivil, namun mahkamah syariah mempunyai bidangkuasa
khusus di dalam perlembagaan yang menghalang dari campur tangan mahkamah sivil.
Perbezaan yang wujud dalam sistem kehakiman telah menyebabkan berlaku perbezaan
dalam pengendalian kes dan penghakiman oleh kedua-dua mahkamah, sivil dan
syariah. Oleh itu di dalam artikel ini akan membincangkan tentang persoalan berkenaan
mahkamah-mahkamah dan sumber undang-undang di Malaysia. Selain itu, isu
mengenai pengamalan doktrin duluan mengikat dalam mahkamah di malaysia turut
dibincangkan dalam artikel ini. Seterusnya, artikel ini juga membincangkan mengenai
justifikasi terhadap pemakaian dan penolakan doktrin duluan mengikat. Berikutan
daripada itu, beberapa pandangan serta cadangan terhadap pemakaian doktrin duluan
mengikat diberikan bagi menangani masalah perbezaan pada sistem kehakiman di
Malaysia. Artikel ini menggunakan metod kajian seperti analisa buku-buku
perundangan, artikel, akta dan enakmen. Hasil daripada penulisan artikel ini mendapati
bahawa kajian terhadap pembaikan sistem undang-undang terhadap pemakaian doktrin
duluan mengikat adalah perlu bagi memastikan hak pihak-pihak yang bertikai diadili
dengan sebaik-baiknaya.
Kata kunci : sumber penghakiman, doktrin duluan mengikat, mahkamah di malaysia.

PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem kabinet berparlimen. Sistem
kabinet berparlimen ini telah dibahagi kepada tiga iaitu badan perundangan (legislatif), badan
kehakiman (judisiari), dan badan eksekutif. Badan-badan tersebut mempunyai bidangkuasa yang
tersendiri yang telah ditetapkan oleh kabinet negara. Tujuan badan-badan ini diasingkan adalah
untuk mengelak berlakunya pertindihan bidangkuasa. Badan kehakiman di Malaysia adalah
badan yang mengawal badan eksekutif dan badan perundangan supaya tidak melampaui batas.
Badan kehakiman di Malaysia terdiri daripada mahkamah-mahkamah yang menjalankan fungsi-
fungsinya yang tersendiri. Mahkamah di Malaysia terpisah kepada dua bidangkuasa yang
berasingan yang dijalankan di mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Pemisahan bidangkuasa
ini telah menyebabkan berlaku beberapa perbezaan dalam pengendalian kes dan penghakiman
oleh kedua-dua mahkamah tersebut. Antara perbezaan yang dapat dilihat secara umumnya,
seperti sumber penghakiman yang digunapakai dalam penghakiman dan secara khususnya
2

terhadap pemakaian doktrin duluan mengikat yang berbeza antara kedua-dua mahkamah.
Perbezaan ini telah menyebabkan kepada kepelbagaian dalam sistem undang-undang di
Malaysia. Hal ini terjadi adalah berdasarkan kepada latar belakang bagaimana sesuatu undang-
undang itu ditubuhkan. Berdasarkan kepada situasi tersebut, pemakaian doktrin duluan mengikat
merupakan salah satu perbezaan yang ketara yang dapat dilihat dalam sistem undang-undang
yang dilaksana di mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Oleh itu untuk memahami perbezaan
di dalam pemakaian doktrin duluan mengikat antara kedua-dua mahkamah tersebut maka
rujukan dapat dibuat melalui pelbagai sumber seperti analisa buku-buku perundangan, artikel,
akta dan enakmen.
Artikel ini memfokuskan kepada perbincangan berkenaan mahkamah-mahkamah dan
sumber undang-undang di Malaysia. Seterusnya, isu mengenai pengamalan doktrin duluan
mengikat dalam mahkamah di Malaysia. Selain itu turut dibincangkan berkenaan justifikasi
terhadap pemakaian dan penolakan doktrin duluan mengikat. Pandangan serta cadangan
terhadap pemakaian doktrin duluan mengikat juga diberikan bagi menangani masalah perbezaan
pada sistem kehakiman di Malaysia, serta isu yang berbangkit mengenainya.
Artikel ini penting ditulis kerana terdapat keperluan untuk menilai semula pandangan
undang-undang Islam terhadap ketiadaan pemakaian doktrin duluan mengikat dalam sistem
kehakiman syariah serta pandangan pakar perundangan Barat di atas penerimaan pemakaian
doktrin duluan mengikat dalam sistem kehakimannya. Selain itu, perbezaan terhadap doktrin
duluan mengikat penting bagi menyelesaikan pertikaian di mahkamah bagi tujuan memberi
keadilan kepada semua pihak.

MAHKAMAH-MAHKAMAH DAN SUMBER UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA


Seperti yang telah dijelaskan, mahkamah di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu Mahkamah
Sivil dan Mahkamah Syariah. Kedua-dua mahkamah ini mempunyai hierarki yang sama iaitu
mahkamah tinggi dan mahkamah rendah. Meskipun begitu, makamah-mahkamah yang berada
dalam hierarki mahkamah tinggi dan rendah berbeza di antara kedua-duanya. Perbincangan
tentang kedua-dua mahkamah ini telah dijelaskan dalam perlembagaan persekutuan. (ILBS
2009)
Mahkamah sivil di Malaysia dibahagikan kepada dua iaitu mahkmah tinggi dan
mahkamah rendah. Mahkamah yang berada dalam hierarki mahkamah tinggi ialah mahkamah
tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan manakala mahkamah-mahkamah yang
berada dalam hierarki mahkamah rendah pula ialah mahkamah penghulu, mahkamah majistret
dan mahkamah sesyen. Setiap mahkamah ini bertanggungjawab untuk menyelesaikan kes-kes
yang telah ditetapkan mengikut kadar pertikaian.
Mahkamah Syariah di Malaysia adalah seperti mana mahkamah sivil juga, mahkamah
syariah turut terbahagi kepada dua iaitu mahkamah tinggi dan mahkamah rendah. Meskipun
begitu, tidak terdapat mahkamah-mahkamah lain yang berada di bawah mahkamah rendah
manakala bagi mahkamah tinggi pula terdiri daripada mahkamah tinggi syariah dan mahkamah
rayuan syariah. Maka, dapat kita lihat bahawa mahkamah syariah terbahagi kepada tiga untuk
membicarakan kes-kes yang berkaitan dengan orang Islam sahaja.
3

Dari sudut sumber undang-undang di Malaysia ketika menjalankan sesuatu penghakiman,


seorang hakim perlu meneliti beberapa perkara yang menjadi asas keadilan. Hal ini bertujuan
supaya kes-kes yang diputuskan dapat dihakimi dengan adil dan saksama. Memandangkan
mahkamanah di Malaysia terbahagi kepada mahkamah sivil dan mahkamah syariah, maka
sumber undang-undang bagi kedua-dua mahkamah terdapat perbezaan disamping adanya
beberapa persamaan. Secara am, sumber undang-undang yang diguna pakai di mahkamah-
mahkamah di Malaysia boleh dikatogerikan kepada tiga iaitu undang-undang bertulis, undang-
undang tidak bertulis dan undang-undang Islam.
Undang-undang bertulis terbahagi kepada empat iaitu, perlembagaan persekutuan,
perlembagaan negeri, statut dan perundangan. Perlembagaan persekutuan merupakan undang-
undang utama persekutuan. Hal ini bermaksud semua undang-undang yang digubal yang
bertentangan dengan perlembagaan akan terbatal setakat mana yang bertentangan itu.
Perlembagaan negeri seperti yang telah disenaraikan dalam jadual kelapan mesti mengandungi
“peruntukan perlu”, sekiranya tidak berlaku, parlimen persekutuan boleh membuat undang-
undang yang member negeri itu kuasa untuk mengadakan peruntukan perlu atau mengenetepikan
apa-apa peruntukan yang bercanggah dengannya. Selain itu, statut merupakan salah satu dari
undang-undang bertulis yang terdapat di Malaysia. Statut mempunyai sumber-sumbernya yang
tersendiri seperti akta dari zaman penjajahan British, perintah dalam majlis (Order in council),
akta-akta India, ordinan negeri-negeri selat, ordinan dan akta singapura, enakmen Pulau Pinang
dan Melaka serta lain-lain. Seterusnya sumber undang-undang bertulis termasuk perundangan.
Pelembagaan persekutuan memberi kuasa perundangan kepada parlimen dan dewan undangan
negeri. Walaubagaimanapun hanya sebahagian kecil perundangan yang dibuat secara langsung
oleh perundangan. Sebahagian besar perundangan kini dibuat oleh pihak eksekutif. Pihak
eksekutif membuat perundangan-perundangan tersebut melalui kuasa yang diberikan kepada
mereka oleh badan perundangan. (Noor Aziah 2005)
Bagi sumber undang-undang tidak bertulis di Malaysia adalah terdiri dari common law,
prinsip-prinsip ekuiti, keputusan kehakiman dan adat.common law adalah undang-undang
inggeris yang dibawa ke semenanjung tanah Melayu untuk pertama kali melalui piagam pertama
pada tahun 1807. Common law adalah satu sistem undang-undang buatan manusia yang berasal
dari adat istiadat lama yang seterusnya dijelaskan, dikembangkan dan disejagatkan oleh para
hakim. Sementara ekuiti wujud kerana rasa tidak puas hati orang ramai dengan sistem common
law. Oleh yang demikian mereka yang tidak puas hati akan membuat pengaduan kepada majlis
raja yang mendengar kes mereka. Lama kelamaan majlis raja mewakilkan kuasanya kepada
canselor untuk mendengar aduan-aduan ini dan akhirnya semua petisyen dialamatkan kepada
canselor. Antara lain, keputusan kehakiman juga merupakan salah satu undang-undang tidak
bertulis. Doktrin ini disebut doktrin duluan mengikat. Ia membawa maksud keputusan
mahkamah yang lebih tinggi dirujuk oleh keputusan mahkamah yang lebih rendanh dalam
memutuskan kes. Seterusnya, sumber undang-undang tidak bertulis adalah adat. Undang-undang
adat ini terdiri daripada adat dan tradisi bangsa melayu yang memperolehi sifat undang-undang
secara beransur-ansur. Adat boleh dikuatkuasakan oleh ketua-ketua daerah. Sebagai undang-
undang yang hidup dalam satu masa dan pada suatu tempat. Undang-undang adat boleh dipinda
atau diubahsuai dengan kehendak masyarakat. Dalam hal ini undang-undang adat itu menyerupai
common law inggeris yang juga berdasarkan kepada keputusan undang-undang kes. (Noor Aziah
2005)
4

Sebelum kedatangan British, undang-undang Islam merupakan undang-undang negara di


tanah melayu. Mazhab yang diikuti adalah mazhab Syafie, akan tetapi, selepas kedatangan
British beberapa undang-undang yang diambil dari india telah digubal dengan mengambil
prinsip-prinsip undang-undang inggeris. Hal ini memberi kesan terhadap undang-undang Islam
yang telah mengubahsuai adat melayu. Akhirnya, undang-undang Islam ini hanya terpakai dalam
undang-undang keluarga, warisan dan beberapa aspek undang-undang jenayah. Dari segi amalan
pentadbiran, perkara-perkara tersebut juga telah menerima campurtangan oleh British. Hal ini
mengakibatkan kuasa-kuasa mahkamah syariah dihadkan dan tarafnya menjadi lebih rendah
berbanding mahkamah sivil. Sejak tahun 1952, iaitu tarikh penguatkuasaan enakmen pentadbiran
undang-undang Selangor yang merupakan enakmen yang pertama diluluskan untuk mengatur
pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia telah menghadkan pemakaian undang-undang
kepada orang Islam sahaja dan dalam tiga bidang sahaja iaitu, kekeluargaan, warisan dan
beberapa kesalahan matrimoni dan kesalahan takzir. (Noor Aziah 2005)

PENGAMALAN DOKTRIN DULUAN MENGIKAT DALAM MAHKAMAH DI


MALAYSIA
Doktrin duluan mengikat merupakan salah satu daripada sumber penghakiman yang diguna
pakai. Doktrin ini juga turut diaplikasikan dalam mahkamah di Malaysia.
Doktrin duluan mengikat diterjemahkah sebagai satu doktrin yang menuntut para hakim
untuk menggunakan kaedah yang sama dalam suatu tuntutan undang-undang seperti yang telah
digunakan dalam kes-kes yang sama sebelum ini. Selain dari itu, duluan mengikat ditakrifkan
sebagai suatu kaedah yang menggunakan prinsip keputusan sesuatu mahkamah yang lebih tinggi
terpaksa diikut oleh mahkamah bawahan tanpa mengambil kira sama ada keputusan tersebut itu
betul atau tidak. (Oxford fajar 1995) . Stare decisis (duluan mengikat) adalah berasal dari istilah
latin yang secara harfiahnya bermakna mematuhi atau mematuhi kepada kes-kes yang telah
diputuskan. Mahkamah secara amnya mematuhi stare decisis apabila mahkamah telah meletak
prinsip undang-undang yang terpakai dalam satu fakta bagi suatu set tertentu.oleh itu keputusan
akan mengikut prinsip itu dan diguna pakai kepada semua kes-kes pada masa akan datang yang
mana sama fakta dan hal keadaannya. Amalan kehakiman stare decisis ini membawa kepada
duluan kehakiman yang bermaksud bahawa keputusan mahkamah mempunyai nilai sebagai
duluan bagi kes-kes akan datang dan juga bergantung kepada hal keadaan tertentu. Istilah ini
juga sering digunakan secara berganti kerana mereka berbeza hanya sedikit sahaja dalam makna.
Prinsip stare decisis ini memastikan kebolehramalan keputusan yang akan dikeluarkan oleh
mahkamah, di mana kehakiman terdahulu berkemungkinan juga dibuat melalui stare decisis.(
V.Rolando 2010) Oleh yang demikian dapat disimpulkan bahawa doktrin duluan mengikat
adalah satu doktrin dalam tradisi undang-undang inggeris yang dikembangkan untuk
menerangkan amalan yang mahkamah-mahkamah ikuti berhubung dengan duluan mengikat.
Doktrin ini memerlukan seorang hakim itu menghormati duluan malah hakim juga dalam
keadaan tertentu terikat untuk mengikut duluan dalam kes-kes yang telah diputuskan semasa
memutuskan isu yang sama atau yang berkaitan. Hakim dekehendaki menerima dan mengikut
prinsip dalam duluan yang berkenaan walaupun beliau tidak bersetuju dengan prinsip tersebut
(Ahmad Ibrahim 2007)
5

Selanjutnya pengamalan doktrin duluan mengikat dalam mahkamah sivil di Malaysia


secara amnya boleh dikatakan berfungsi dengan dua cara. Cara-cara itu adalah meliputi cara
menegak dan cara melintang. berfungsi secara menegak iaitu bermaksud mahkamah atasan
mengikat semua mahkamah-mahkamah di bawahnya. Secara umumnya, satu sistem common law
mempunyai mahkamah perbicaraan, mahkamah rayuan dan mahkamah tinggi. Mahkamah-
mahkmah rendah mentadbirkan keadilan seharian. Mahkamah-mahkamah ini juga dikehendaki
mengikut duluan yang diputuskan mahkamah rayuan sebagai bidang kuasa mereka begitu juga
hal keadaannya dalam mahkamah tinggi. Namun mahkmah rayuan hanya dikehendaki mengikut
keputusan mahkamah tinggi. Maka hal yang demikian ini yang disebut sebagai duluan mengikat
secara menegak. Manakala fungsi secara melintang berpandukan sistem kehakiman persekutuan
Amerika Syarikat. Di mana mahkamah rayuan sebagai peantaraan yang dibahagikan mengikut
litar. Setiap panel hakim mesti mengikut capaian keputusan dalam kes rayuan yang terdahulu.
Duluan mahkamah rayuan Amerika Syarikat hanya boleh ditolak oleh mahkamah en banc, iaitu
satu persidangan bagi kesemua hakim rayuan yang aktif litar berkenaan atau mahkamah agung
Amerika Syarikat. Apabila satu mahkamah mengikat dirinya, aplikasi doktrin duluan ini
kadangkala dipanggil stare decisis secara mendatar. Negeri New York mempunyai struktur
rayuan yang serupa kerana ia terbahagi dalam empat jabatan rayuan yang diselia oleh mahkamah
rayuan tertinggi negeri New York. Keputusan satu jabatan rayuan tidak mengikat jabatan lain
dan dalam sebahagian kes jabatan-jabatan berkenaan mempunyai perbezaan secara signifikasi
dalam perkara-perkara asas undang-undang. Bagi Malaysia, hal ini bermaksud, mahkmah rayuan
terikat dengan keputusan dirinya sendiri, mahkamah yang digantinya dan mahkamah yang
mempunyai bidangkuasa koordinasi. Hakikatnya, pemakaian doktrin duluan mengikat di
mahkamah-mahkamah di Malaysia menyerupai pemakaian di mahkamah-mahkamah di England.
Oleh itu, kes-kes di Malaysia yang membincangkan pemakaian doktrin ini telah membuat
rujukan luas kepada kes-kes inggeris. (R. Jonathan 2004)
Mahkamah di Malaysia tidak menolak pemakaian doktrin duluan mengikat ini. Malah
dalam beberapa keadaan mahkamah-mahkamah di Malaysia berdasarkan kepada prinsip-prinsip
undang-undang yang ditetapkan oleh Privy Council dalam rayuan dari negara-negara lain
meskipun keputusan-keputusan tersebut adalah melibatkan tafsiran tentang undang-undang yang
tidak sama dengan undang-undang di Malaysia. Hal ini dapat dilihat di dalam kes Tengku
Mariam lwn Commissioner for religious Affair, Terengganu & Ors, Mahkamah persekutuan
merasa terikat dengan keputusan Privy Council dari India dalam kes Abdul Fatah Mohamed
Ishak lw. Rasamaya Dhur Chowdhri dan Afrika Timur dalam kes Fatuma lwn Mohammed Bin
Salim. Kes ini membincangkan tentang kesalahan sebuah wakaf khas walaupun dalam undang-
undang Islam seperti yang ditadbir di Malaysia (Ahmad Ibrahim 2007). Walau bagaimanapun,
tidak dapat dinafikan bahawa terdapat tiga juga kes yang diputuskan oleh para hakim tanpa
mengikut keputusan mahkamah yang terdahulu atau diputuskan oleh para hakim tanpa mengikut
keputusan mahkamah yang terdahulu atau mahkamah yang lebih tinggi, hal ini dapat dilihat
dalam kes di depan mahkamah rayuan iaitu rayuan dua beradik, Au Meng Nam dan Ming Kong
yang kehilangan tanah mereka selepas dokumen pemilikannya dipalsukan oleh dua lelaki dan
menjualnya kepada seorang yang dikenali sebagai Ung Yak Chew 11 tahun lalu. Mahkamah
Tinggi Johor Bharu menolak kes dua beradik itu dengan alas an Ung adalah pembeli Bona fide,
walaupun diketahui pemindahan dibuat secara palsu kerana terikat dengan prinsip duluan
mengikat (Stare decisis) iaitu semua mahkamah terikat dengan keputusan mahkamah yang lebih
tinggi daripadanya. Dalam kes ini dapat dilihat dengan jelas bahawa Hakim Sri Ram yang
6

bersidang bersama Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Hasan Lah tidak menjatuhkan hukuman
berdasarkan kes Andorna Properties Sdn Bhd v Boonyanit (Zainul Rijal 2007)
Manakala Mahkamah Syariah di Malaysia doktrin duluan mengikat tidak diaplikasikan
dan tidak diterima pakai. Namun hal ini bukanlah bermaksud seorang hakim tidak boleh merujuk
kes-kes terdahulu. Selain itu juga, seorang hakim syar’ie mahkamah yang lebih rendah perlu
menghormati keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi.
Walaubagaimanapun, keputusan tersebut tidak mencapai tahap mewajibkan mahkamah yang
lebih rendah untuk mengikutinya. Keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah yang lebih tinggi
itu sebagai rujukan bagi mahkamah yang lebih rendah. Konsep penghormatan ini dapat dilihat
dalam surat oleh Saidina Umar al-Khattab kepada Abu Musa as-Sya’ri iaitu berbunyi seperti “
Dan sesiapa yang mendakwakan sesuatu hak yang tidak ada di tempatnya, tau suatu bukti maka
berilah tempoh kepadanya sampai dia dapat membuktikan dakwaannya. Kemudian jika dia dapat
membuktikan dakwaannya maka berilah haknya itu tetapi jika dia tidak mampu
membuktikannya maka dia berhak dikalahkan kerana yang demikian itu lebih mantap bagi
kegagalannya dan lebih menampakkan barang yang tersembunyi. Dan jangan sesekali
menghalangi kepadamu sesuatu keputusan yang sudah engkau putuskan hari ini, kemudian
engkau tinjau kembali lalu engkau memperoleh petunjuk supaya engkau kembali kepada
kebenaran kerana sesungguhnya kebenaran itu harus di dahulukan, tidak dapat dibatalkan oleh
apapun sedangkan kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada terus berada dalam
kebatilan.” Justeru itu kandungan surat berikut menjelaskan bahawa keputusan salah yang
dibuat oleh seorang hakim tidak harus diikuti oleh hakim yang lain walaupun hakim yang
memutuskan keputusan tersebut berada di mahkamah yang lebih tinggi. Hal ini kerana
kehakiman syar’ie memartabatkan tujuannya untuk mementingkan keadilan. (Zainul Rijal 2007)

JUSTIFIKASI PEMAKAIAN DAN PENOLAKAN DOKTRIN DULUAN MENGIKAT


DALAM MAHKAMAH DI MALAYSIA
Doktrin duluan mengikat (Stare decisis) amat penting kegunaannya bagi sistem perundangan
inggeris begitu juga ia penting dan menjadi sumber perundangan di dalam mahkamah sivil di
Malaysia. Satu duluan merupakan kenyataan yang dibuat oleh seorang hakim dalam membuat
sesuatu keputusan. Doktrin ini menyatakan bahawa satu keputusan yang dibuat oleh satu
mahkamah atasan akan mengikat mahkamah-mahkamah bawahan. Ini bermakna apabila para
hakim membicarakan satu kes mereka akan cuba mencari sama ada satu kes yang mempunyai
fakta yang sama telah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi atau sama statusnya terlebih
dahulu dan sekiranya ada maka hakim berkenaan harus mengikuti kata putus dalam kes itu
sebagai duluan dalam mahkamah yang lebih rendah, hakim berkenaan tidak perlu mengikutinya
akan tetapi mungkin menimbangkannya. House of Lords di England tidak perlu mengikut
daluannya sendiri dan begitulah juga keadaannya dengan mahkamah persekutuan di Malaysia,
yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia. Pada masa kini, stare decisis tidak lazim
digunakan dalam sistem perundangan sivil kerana dianggap melanggar prinsip yang hanya
legislatif sahaja boleh membuat undang-undang. Dalam teori, mahkamah rendah tidak terikat
dengan duluan yang ditetapkan mahkamah tinggi. Walau bagaimanapun dalam realiti keperluan
untuk kesinambungan dalam undang-undang memerlukan pengaplikasian duluan oleh
mahkamah-mahkamah rendah dan dalam bidang kuasa undang-undang sivil mahkamah
tingginya sebagai contoh Cour de Cassation dan Conseil d’Etat di Prancis diiktiraf sebagai
7

badan-badan kuasa legislatif. Doktrin Stare decisis juga mempengaruhi bagaimana keputusan
mahkamah disusun. Secara amnya, keputusan mahkamah dalam bidang kuasa common law amat
panjang dan menerangkan secara terperinci bagaimana satu keputusan dicapai. Ini berlaku untuk
menjustifikasikan satu keputusan berdasarkan undang-undang kes terdahulu di samping
menyenangkan penggunaannya sebagai duluan dalam kes-kes masa depan. Selain itu juga,
pemakaian doktrin duluan kehakiman ini adalah bertujuan untuk memberi keseragaman dalam
sesuatu majlis penghakiman. Antara lain, doktrin ini juga bertujuan bagi memastikan mahkamah
yang lebih rendah mengikut keputusan mahkamah yang lebih tinggi. (Thomas, Clarence 1991)
Di mahkamah syariah di Malaysia melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ada
menetapkan Arahan Amalan No 1 Tahun 2002. Hal ini bertujuan untuk memastikan
kelangsungan keadilan bagi sesuatu kes itu. Arahan Amalan tersebut adalah seperti “ mesyuarat
telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai keputusan berhubung isu, fakta dan
undang-undang yang sama atau ada persamaan yang sudah diputuskan oleh mahkamah yang
lebih tinggi hendaklah dihormati oleh mahkamah yang lebih rendah.” Pada masa yang sama,
Arahan Amalan ini turut tidak menafikan kebolehan hakim untuk mengeluarkan penghakiman
tanpa mengikut keputusan mahkamah yang lebih tinggi. Selain itu juga, perbezaan dari segi
penghakiman bukanlah sesuatu yang negatif. Hal ini perlu dilihat dari sudut yang positif.
Keputusan yang dikeluarkan oleh seorang hakim syar’ie mestilah melihat kepada maslahah-
maslahah ammah bagi sesuatu kes tersebut. Meskipun keputusan yang dikeluarkan oleh hakim
tersebut bertentangan dengan keputusan mahkamah yang lebih tinggi. Oleh itu dapat
disimpulkan di sini bahawa antara peranan hakim adalah untuk berijtihad dalam sesuatu kes
tersebut. Seseorang hakim itu tidak boleh terikat dengan keputusan hakim yang lain. Dengan
cara itu, hakim dapat memperkayakan ilmu mereka dan membuat perbandingan kes yang
dibicarakan di hadapan mereka. Dalam hal ini kita perlu mengakui bahawa tiada satu kes pun
fakta dan persoalannya sama dengan kes yang lain. Dalam hal demikian, memang wajarlah ada
sedikit perbezaan antara keputusan mahkamah itu. Perbezaan seperti itu perlu dilihat daripada
sudut yang positif. Ia membuka ruang kepada ijtihad dan mengelakkan ketidakadilan di samping
menyesuaikan sesuatu penghakiman dengan fakta kes dan sebagainya. Meskipun begitu,
keputusan hakim di mahkamah yang lebih tinggi boleh dijadikan rujukan bagi sesuatu kes.
Perbezaan pandangan sebenarnya bukanlah kelemahan di kalangan umat Islam. Ia adalah
manifestasi keanjalan undang-undang Islam yang boleh disesuaikan berdasarkan keperluan dan
perubahan masa dan tempat. Tidak salah berbeza pandangan dalam hal cabangan tetapi
perbezaan itu mestilah ditangani dengan cara penuh hikmah. Dalam Islam terdapat adab yang
digariskan apabila kita berbeza pandangan. Adab itu atau apa yang dipanggil sebagai adab al-
ikhtilaf mestilah dihayati bagi mengelakkan kita terjerumus ke lembah perpecahan. (Zainul Rijal
2007)

PANDANGAN SERTA CADANGAN MENGENAI PEMAKAIAN DOKTRIN DULUAN


MENGIKAT DALAM SISTEM KEHAKIMAN DI MALAYSIA.
Doktrin duluan mengikat merupakan sumber undang-undang dalam sistem perundangan di
Malaysia. Oleh yang demikian hakim-hakim di mahkamah yang lebih rendah tidak mempunyai
kuasa yang luas dalam mengeluar keputusan kerana mengikut keputusan dari kes-kes yang telah
diputuskan di mahkamah yang lebih tinggi walaupun situsinya mungkin ada sedikit berbeza. Ini
menyebabkan keadilan sedikit demi sedikit semakin tidak dapat dicapai dengan sebaiknya. Apa
8

yang dinyatakan sebelum ini bukanlah bermakna menolak penggunaan duluan mengikat secara
total. Doktrin duluan mengikat perlu dipertimbangkan penggunaannya melalui satu usaha
menyediakan tafsiran yang menjelaskan justifikasi mengapa perlu kepada penggunaan doktrin
duluan mengikat ini. Walaubagaimanapun doktrin duluan mengikat perlulah dihormati kerana
status keputusan tersebut dikeluarkan oleh mahkamah yang lebih tinggi namun tidaklah sehingga
menafikan hak seorang hakim lain untuk membuat keputusan yang adil. Dengan itu, hakim tidak
akan mengambil jalan mudah dengan berkata beliau terikat dengan keputusan mahkamah lebih
tinggi. Hakim sebagai seorang yang arif dalam hal berkaitan undang-undang dan kehakiman
perlulah membuat penghakiman yang beliau yakin tentang keputusannya, dengan alasan
penghakiman yang tepat dan bukan dihadkan oleh mana-mana keputusan lain. Dengan cara itu,
hakim dapat meluaskan ilmu mengenai cara menilai sesuatu kes seterusnya membuat keputusan
yang setimpal malah hakim akan menjadi lebih kreatif dalam mengeluarkan sesuatu hukuman.

KESIMPULAN
Doktrin duluan mengikat merupakan salah satu daripada sumber undang-undang yang
digunapakai dalam sistem kehakiman Malaysia. Melalui persoalan yang pertama mengenai
mahkamah-mahkamah dan sumber undang-undang di Malaysia maka jika kembali kepada tajuk
perbincangan mengenai doktrin duluan mengikat, maka huraian mengenainya dapat membantu
kita mengenalpasti cara pengaplikasian doktrin duluan mengikat di mahkamah-mahkamah serta
dapat mengetahui autoritinya dalam sumber undang-undang di Malaysia. Seterusnya mengenai
isu kedua membincangkan berkenaan pengertian, perkembangan dan fungsi dari pengamalan
doktrin duluan mengikat yang terbentuk dalam mahkamah di Malaysia. Hasil yang dapat dilihat
dalam huraian mengenai isu kedua ini dapat mengenalpasti bahawa doktrin duluan mengikat
sebenarnya berasal dari tradisi undang-undang Inggeris yang dikembangkan untuk menerangkan
amalan yang mahkamah-mahkamah ikuti berhubung dengan duluan mengikat. Doktrin ini
memerlukan seorang hakim menghormati duluan malah hakim juga dalam keadaan tertentu
terikat untuk mengikut duluan dalam kes-kes yang telah diputuskan semasa memutuskan isu
yang sama atau yang berkaitan. Persoalan ketiga berkenaan justifikasi terhadap pemakaian dan
penolakan doktrin duluan mengikat. Huraian isu tersebut telah memberikan pengetahuan tentang
apakah alasan-alasan terhadap penerimaan dan penolakan kepada doktrin duluan mengikat ini
yang mana mereka berusaha memperkuatkan pendapat tersebut secara munasabah dengan
memberikan contoh-contoh yang releven. Manakala dalam isu yang keempat adalah berkenaan
cadangan terhadap pemakaian doktrin duluan mengikat yang mana cadangan tersebut
dinyatakan adalah untuk penambahbaikan dalam sistem kehakiman di Malaysia. Oleh itu penulis
berpendapat bahawa doktrin ini boleh dijadikan dalam rujukan undang-undang namun tidaklah
mengikat mahkamah yang lebih rendah secara pengertian yang menyeluruh. Hal ini bermaksud
para hakim boleh merujuk kes-kes terdahulu. Namun pada yang sama para hakim tidak terikat
dengan keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam kes-kes yang terdahulu. Kedudukan
sebagai hakim sebenarnya memegang tanggungjawab yang besar terutamanya dalam
memastikan keputusan yang diputuskan adalah bersifat saksama. Meskipun kadangkala hakim
tersilap membuat perhitungan tetapi usaha beliau untuk mencari kebenaran dalam sesuatu kes itu
adalah lebih utama.
9

RUJUKAN
Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned. 2007. Sistem Undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor). 2009. Petaling Jaya: International Law Book
Service.

Kamus Undang-undang bahasa Inggeris- bahasa Melayu. 1995. Kuala Lumpur: Oxford Fajar.

Noor Aziah Mohd Awal. 2003. Pengenalan Kepada Sistem Undang-undang di Malaysia.
Petaling Jaya: International Law Book Service.

Perlembagaan Persekutuan. 2009. Petaling Jaya: International Law Book Service.

Ringel, Jonathan.2004.The Bombshell in the Clarence Thomas Biography. USA: Fulton Country
Daily.

Rolando v. Del Carmen. 2010. Criminal Procedure: Law and Practice. Edisi ke-8. USA:
Wadsworth Cengage learning.

Thomas Clarence. 1991. Senate Confirmation Hearings. USA: Crawford Greenburg.

Zainul Rijal. 2007. Mahkamah Syariah Tidak Menggunakan Stare Decisis. Berita Harian. [2 Mac
2011]

You might also like