Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 3

Kesusasteraan Melayu merujuk kepada sebuah hasil karya dan juga satu ciptaan seni

yang telah lama berkembang dalam kalangan masyarakat Melayu ia juga dianggap sebagai
satu bidang yang tidak pernah hilang walaupun zaman telah berganti zaman. Menurut Harun
Mat Piah (2006) beliau menyatakan bahawa perkataan sastera ini berasal daripada Sanskrit
iaitu castra bermaksud kitab suci. Manakala, kesusasteraan pula bermaksud penghasilan
sastera yang indah dan boleh disampaikan melalui tulisan dan pembacaan. Ini dapat
disimpulkan bahawa kesusasteraan Melayu ialah sebuah karya masyarakat Melayu yang
mempunyai kata-kata yang indah dan mampu menggambarkan perasaan mengenai diri
sendiri ataupun keadaan sekeliling seseorang penulis.

Menurut Safian Hussain dan rakan-rakan (1981: 3) mereka mengusulkan bahawa


perkembangan kesusasteraan Melayu ini mula berkembang kerana kedatangan penjajah
barat ke Alam Melayu. Hal ini bermakna sejarah dan perkembangan kesusasteraan Melayu
dimulai dalam bentuk sastera lisan kemudian diikuti dengan sastera tulisan pada zaman Islam.
Pada dasarnya terdapat empat peringkat perkembangan kesusasteraan namun selepas dikaji
megikut sejarah perkembangan hanya tiga sahaja peringkat perkembangan sastera. Namun,
hasil kesedaran dan juga keyakinan daripada ajaran Islam telah berlaku perubahan dalam
sastera yang berunsur Hindu seperti perubahan dari segi tajuk karya, nama-nama watak yang
terlibat dan penggunaan ayat al-Quran. Tuntasnya, berdasarkan tahap perkembangan
sastera Melayu ini sastera yang berbentuk tulisan merupakan sastera Melayu tertua dalam
masyarakat Melayu.

Seterusnya, genre didefinisikan sebagai kategori ataupun jenis karya sastera yang
dicirikan dengan sesuatu gaya, bentuk, atau kandungan tertentu (Kamus Dewan, 2014).
Kesusasteraan Melayu ini juga dibahagikan kepada dua bentuk iaitu bentuk prosa dan puisi
kemudian dikategorikan mengikut zaman kemunculannya sama ada tradisional mahupun
moden. Menurut Harun Mat Piah (1986) puisi tradisional terdiri daripada pantun, syair, nazam,
gurindam, dan sebagainya. Manakala puisi moden pula terdiri daripada sajak. Jika dilihat dari
segi prosa tradisional pula boleh terbahagi kepada dua jenis iaitu naratif dan bukan naratif.
Prosa tradisional berbentuk naratif ini terbahagi kepada dua pecahan kecil iaitu lisan dan juga
tulisan. Naratif lisan ini terdiri daripada mitos, legenda dan cerita rakyat manakala naratif
tulisan terdiri daripada sastera sejarah, hikayat, agama dan lain-lain. Selain itu, prosa
tradisional bukan naratif pula terdiri daripada empat genre iaitu sastera undang-undang, kitab,
ketatanegaraan dan kepustakaan ilmu tradisional.

Selanjutnya, prosa moden pula terdiri daripada cerpen, novel dan juga drama. Menurut
Hashim Awang cerpen ditakrifkan sebagai satu cereka pendek yang membawa persoalan
untuk menghasilkan sesuatu kesan yang indah dan memusatkan diri kepada watak dalam
sesuatu situasi yang sesuai. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011) pula cerpen ini bermula
ketika kegiatan persuratkhabaran Melayu mencapai era kegemilangannya pada tahun 1930-
an. Cerpen ini bukan sahaja mencerminkan mengenai sikap dan perasaan pengarang Melayu
malah ia juga sebagai satu hasil sastera yang menggambarkan tentang sesuatu zaman yang
mempunyai peristiwa berhubung dengan masalah sosial, politik dan ekonomi. Novel pula
dianggap sebagai satu bentuk sastera yang terdiri daripada karangan prosa panjang ditulis
oleh seorang penulis yang dikenali sebagai novelis. Hal ini kerana sesebuah novel itu
mempunyai rangkaian cerita kehidupan mengenai seseorang watak dengan orang
sekelilingnya yang boleh menonjolkan perwatakan atau sifat setiap pelaku dalam kisah yang
diceritakan.

Persamaan unsur yang terdapat dalam cerpen dan novel ialah tema, plot, watak, dan
perwatakan serta latar. Namun, terdapat perbezaan dari segi pengolahannya misalnya cerpen
hanya mengandungi 500 hingga 15 000 patah perkataan manakala novel tidak mempunyai
patah perkataan yang maksima kerana ia dikira berdasarkan jumlah muka surat. Hal ini
demikian kerana jumlah perkataan yang terhad di dalam cerpen menyebabkan cerpen tidak
membincangkan mengenai persoalan yang banyak dan latar masa yang terlalu lama
berbanding dengan novel. Akhir sekali, drama yang didefinisikan sebagai karangan prosa dan
puisi yang menyajikan dialog, pantonim ataupun cereka yang konflik. Hal ini kerana drama
bukan hanya untuk dibaca oleh para pembaca malah ia juga dilakonkan di atas pentas dengan
menggunakan penghayatan yang berbeza. Tegasnya, drama ialah sebuah naskhah skrip
yang boleh dibaca oleh seseorang individu tanpa memerlukan bantuan seni yang lain.

Seterusnya, antara kriteria pemilihan Sasterawan Negara ialah seseorang calon


tersebut mestilah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan
kesusasteraan tanah air. Hal ini ditegaskan kerana seseorang calon tersebut mestilah
menghasilkan sebuah karya yang kreatif atau tidak kreatif dan bermutu tinggi agar ia mampu
memberi sumbangan signifikan kepada kemajuan dalam bidang kesusasteraan dan
ketamadunan bangsa. Sebagai contoh, Sasterawan Negara yang telah terpilih pada tahun
1982 iaitu Shahnon Ahmad beliau mula menulis novel pada tahun 1956 dan antara novel
pertamanya ialah Rentong. Melalui novel Rentong ini beliau telah cuba untuk menganalisis
mengenai masyarakat desa yang memerlukan pembangunan.

Manakala syarat pemilihan bagi S.E.A. (SEA Write Award) pula ialah seseorang calon
itu semestinya warganegara Malaysia yang masih hidup dan menghasilkan karya kreatif
dalam bahasa Melayu secara berterusan tanpa henti. Antara tokoh SEA Write Award yang
terpilih ialah Shamsudin Othman yang dilahirkan di Tangkak Johor. Sepanjang penglibatan
beliau dalam dunia sastera beliau pernah memenangi beberapa sayembara. Antaranya,
Hadiah Puisi Remaja DBP (1986), Hadiah Cerpen Hari Guru Wilayah Persekutuan (1987)
manakala pada tahun 2007 kumpulan puisinya Taman Percakapan (2006) dan Tanah Nurani
(2010) serta Kudus Kasturi (2016) telah menerima anugerah Buku Puisi Terbaik Hadiah
Sastera Darul Takzim. Oleh itu, pada tahun 2019 beliau telah dinobatkan sebagai penerima
anugerah SEA Write Award dari Malaysia.

Akhir sekali peranan pertubuhan pengembangan sastera yang pertama ialah Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP merupakan sebuah jabatan kerajaan Malaysia yang telah
ditubuhkan pada 22 Jun 1956 yang berfungsi untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan bagi negara yang akan merdeka. Antara matlamat utama penubuhan
DBP ini ialah untuk memajukan dan memperkayakan bahasa kebangsaan, memajukan bakat
kesusasteraan, menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan sebagainya.
Seterusnya, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), GAPENA ini ditubuhkan pada
23 Oktober 1970 di Kuala Lumpur. Antara tujuan penubuhannya ialah untuk menyatupadukan
penulis tanah air yang menulis dalam bahasa kebangsaan, mempertahankan hak dan
kepentingan penulis dan memberi sumbangan moral serta material secara positif kepada
tujuan dan cita-cita gabungan.

Selain itu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sebuah organisasi yang
ditubuhkan di Universiti Malaysia pada 12 Februari 1961. Tujuan penubuhan PENA ini pula
ialah untuk menyatukan penulis-penulis tanah air daripada semua peringkat dan segala aliran
pendapat serta berusaha dalam lapangan bahasa, kesusasteraan dan juga ilmu pengetahuan.
Akhir sekali ialah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang bertanggungjawab
untuk melaksanakan aktiviti kesenian dan juga kebudayaan di Malaysia. Oleh itu, tujuan
utama JKKN ini ialah untuk menyemarakan seni budaya warisan negara serta menggalakkan
aktiviti seni budaya yang inovatif agar peningkatan pendapatan pemain industri dapat
ditingkatkan.

Kesimpulannya ialah kesusasteraan Melayu itu telah lama wujud dalam diri bangsa
Melayu itu sendiri dan kita dapat melihat keindahan pada gaya bahasa dan digambarkan
dengan cukup menarik. Perkembangan budaya yang sedia ada pada masa kini juga
merupakan asas dari budaya silam. Oleh itu, sastera ini berfungsi untuk mewujudkan
pemikiran yang bijaksana agar ia mampu memimpin manusia untuk mencapai kemajuan bagi
kesempurnaan hidup.

You might also like