Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 13

ISU 2: MENGINTEGRASIKAN PENDIDIKAN NILAI DALAM AKTIVITI KOKURIKULUM

1.0 PENGENALAN

KOKURIKULUM

Kokurikulum merupakan satu aktiviti luar dan pengalaman pendidikan yang dilaksanakan di
luar atau di dalam bilik darjah (Nor Azah 2007). Kamus Dewan Edisis Ketiga (2002),
mendefinisikan kokurikulum sebgai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang
diajarkan dalam bilik darjah tetapi dianggap sebagai sebahagian daripada kursusu
pendidikan pelajar di sekolah. Kokurikulum meliputi aktiviti kegiatan sukan,badan
beruniform, serta persatuan atau kelab. Menurut Fadzil (2010), misi kokurikulum adalah
untuk melahirkan seramai mungkin pelajar yang cemerlang dalam kokurikulum di semua
peringkat. Visi kokurikulum pula adalah untuk membimbing dan melibatkan pelajar secara
proaktif dalam pelbagai program sama ada ko-akademik, unit beruniform, sukan dan
permainan melalui strategi perancangan yang mantap sehingga mencapai standard yang
tertinggi. Aktiviti kokurikulum adalah jelas boleh menambah pengalaman penting dan
kemahiran kepada pelajar (Reaves & et al, 2010). Ilmu dan kemahiran yang di peroleh dapat
diaplikasikan pasa masa hadapan. Ia juga dapat menyemai sahsiah diri yang mulia agar
pelajar memiliki keteguhan dalam mendepani cabaran dan rintangan. Jelaslah bahawa
aktiviti serta kegiatan kokurikulum mempunyai matlamat yang jelas dalam membantu
menghasilkan modal insan yang unggul.

2.0 AKTIVITI KOKURIKULUM DI SEKOLAH

Terdapat tiga jenis aktiviti kokurikulm yang terdapat di sekolah iaitu sukan dan permainan,
persatuan dan kelab, dan pasukan pakaian seragam.

Kelab dan persatuan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kelab dan persatuan
yang berasakan mata pelajaran dan berunsurkan hobi. Menurut Laporan Kabinet 1979,
matlamat penubuhan sesebuah kelab atau persatuan di sekolah adalah untuk
menggalakkan pelajar-pelajar berkenalan sesama sendiri, memberi perkhidmatan kepada
masyarakat di samping pelajar dapat memperoleh kemahiran dalam sesuatu lapangan atau
hobi. Antara contoh kelab dan persatuan berasaskan mata pelajaran ialah Persatuan
Bahasa Malaysia, Persatuan Sains, Persatuan Matematik, Persatuan Geografi dan
sebagainya. Manakala, contoh persatuan dan kelab yang berasaskan hobi ialah kelab dan
persatuan pertahanan diri seperti silat, taekwondo, kelab muzik dan lain-lain.
Dalam Laporan Kabinet 1979, adalah dicadangkan agar semua pelajar sekolah
digalakkan mengambil bahagian sekurang-kurangnya salah satu pasukan pakaian seragam
(Mok Song Sang, 2011). Pelajar-pelajar boleh menyertai pasukan pakaian seragam sama
ada yang berbentuk badan sukarela (NGO) atau yang lebih terarah kepada pertubuhan
kerajaan. Antara pertubuhan badan sukarela atau bukan kejayaan (NGO) ialah Persatuan
Pengakap, Persatuan Puteri Islam, Pandu Puteri, Persatuan Bulan Sabit Merah dan lain-
lain. Selain itu, pasukan seragam yang menjurus kepada pertubuhan kerajaan pula
merangkumi Kadet Polis, Kadet Bomba dan sebagainya. Di samping itu, terdapat dua unit
pakaian seragam di bawah kementerian Pelajaran Malaysia iaitu Tunas Kadet Remaja
Sekolah (TKRS) bagi sekolah rendah manakala Kadet Remaja Sekolah (KRS) untuk
sekolah menengah.

Sukan dan permainan merupakan salah satu saluran yang penting untuk menanam
kesukanan, memupuk persefahaman serta perpaduan dalam kalangan pelajar. Oleh kerana
itu diwujudkan kelab-kelab permainan di peringkat sekolah untuk dilaksanakan pada waktu
aktiviti kokurikulum. Menurut Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 16 bagi tahun 2010, dasar
pelaksanaan Satu Murid Satu Sukan (1M1S) telah diperkenalkan yang mewajibkan setiap
pelajar mengambil bahagian sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan. Melalui
dasar, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah
sepanjang tahun. Ini selaras dengan dasar sukan Negara untuk membudayakan sukan
dalam kalangan masyarakat. Antara sukan atau permainan yang boleh dijalankan ialah bola
sepak, bola jaring dan sebagainya.

KEPENTINGAN KOKURIKULUM DALAM PEMUPUKAN NILAI

Bidang kokurikulum telah mula diperkenalkan sekitar 1952 iaitu semenjak penggubalan
Undang-undang Pelajaran Negara (Rosmadi 2012). Kokurikulum merupakan sebahagian
daripada kurikulum pendidikan yang tidak boleh dipinggirkan. Ia selaras dengan hasrat
kurikulum sekolah dalam memenuhi keperluan fikiran, akal, fizikal dan sosial pelajar.
Pelaksanaan kokurikulum dapat memberi impak yang positif kepada diri pelajar itu sendiri.
Lokman &Osmayati (2010), membahagikan faktor keperluan aktiviti kokurikulum (uniform)
kepada tiga bahagian iaitu kepimpinan, nilai integrasi dan dan disiplin.
Kepentingan 1: Kepimpinan

Omardin Ashari (1996) menyatakan bahawa aktiviti kokurikulum yang di adakan di sekolah
bertujuan melahirkan pemimpin dalam kalangan masyarakat murid untuk menjadi pengganti
kepimpinan pada masa akan datang. Kajian ini di sokong oleh Lokman dan Osmayati (2010)
yang membuat kajian mengenai keperluan aktiviti kokurikulum (beruniform) kepada pelajar
tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan di daerah Langkawi. Hasil kajian ini
mendapati aspek kepimpinan berada pada tahap yang tinggi diikuti dengan nilai integrasi
kaum dan aspek disiplin.

Bil Item Min


1 Kepimpinan 4.46
2 Nilai integrasi 4.39
3 Disiplin 4.31

Jadual 1: Item keperluan aktiviti kokurikulum


kepada pelajar tingakatan empat sekolah
kebangsaan derah Langkawi

Hal ini menunjukkan aspek kepimpinan menjadi aspek yang mempengaruhi


seseorang pelajar dalam pemilihan menyertai aktiviti kokurikulum. Proses kepimpian
terbentuk apabila seorang ketua mampu untuk mengemudi kumpulan atau orang yang di
pimpin dengan baik (Gary Yulk, 2001). Dalam konteks kokurikulum, kemahiran memimpin
merupakan aspek yang ditekankan apabila melibatkan gerak kerja yang memerlukan
sesorang pemimpin yang bertindak sebagai ketua mengemudi ahli dalam kumpulannya bagi
menjamin tugasan yang dilaksanakan akan berjaya. Kenyataan ini disokong dengan kajian
yang telah dijalankan oleh Rosmadi (2012) dalam kajian yang bertajuk hubungan aktiviti
kokurikulum unit beruniform dengan pembentukan daya kepimpinan pelajar. Hasil kajian
beliau mendapati terdapat perkaitan yang signifikan antara aktiviti kokurikulum dengan
pembentukan daya kepimpinan pelajar. Pengkaji telah mengkaji 5 item daya kepimpinan
yang meliputi dimensi karismatik, dimensi keyakinan diri, dimensi kemampuan
menyelesaikan masalah, dimensi sikap kejujuran dan dimensi kepuasan menjalankan tugas.
Dimensi daya N Min Sisihan piawai
kepimpinan
Karismatik 252 4.2196 0.44341
Keyakinan diri 252 4.0013 0.51321
Kemmapuan 252 4.0542 0.47250
menyelesaikan
masalah
Sifat kejujuran 252 4.3234 0.44185
Kepuasan 252 4.2989 0.44049
menjalankan tugas

Jadual 2: Analisis Dekriptif Min Dimensi Daya Kepimpinan

Dapatan kajian bagi analisis kolerasi telah menolak hipotesis berkenaan tidak terdapat
hubungan antara aktiviti kokurikulum dengan pembentukan dalam kepimpinan pelajar
dimensi karismatik, dimensi keyakinan diri, dimensi kemampuan menyelesaikan masalah,
dimensi kejujuran dan dimensi kepuasan menjalankan tugas. Jelas sekali dapatan kajian ini
dan sokongan yang kuat daripada kajian sebelumnya menujukkan kegiatan kokurikulum
mampu membina daya kepimpinan kepada pelajar.

Kepentingan 2: Nilai integrasi

Selain itu, penglibatan pelajar dalam kokurikulum mampu mengukuhkan perpaduan dan
kerjasama antara pelajar. Kokurikulum merupakan pelengkap ke arah pendidikan holistik
bukan sahaja dari segi peningkatan dan pengembangan kemahiran sosial, afektif dan
psikomotor sahaja malah untuk mengukuhkan lagi interaksi, toleransi dan integriti antara
kaum (Jamaludin, 2009). Azmi dan Hamsiah (2000) juga bersetuju dengan fungsi
kokurikulum dalam membina kemahiran bersosial dan berpendapat bahawa kegiatan
kokurikulum yang mantap dapat memperkukuh interaksi antara murid dan sekali gus
memupuk interaksi antara kaum dan masyarakat majmuk di negara kita. Hal ini kerana
interaksi banyak berlaku melalui aktiviti kokurikulum. Misalnya, melalui sukan dan permainan
berlaku pembentukan pasukan atau team building yang memupuk semangat menyumbang
secara kolektif atau berkumpulan. Aktiviti persatuan dan kelab serta pasukan badan
beruniform pula memberi penekanan kepada pergaulan dan khidmat masyarakat. Melalui
interaksi sosial sebegini dapat menyemai nilai murni di samping dapat menanamkan
perasaan kekitaan antara pelajar pelbagai kaum yang mempunyai latar belakang cara hidup
dan budaya yang berbeza.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Ahmad & Hisham (2009) dalam kajian
mengenai peranan kokurikulum di universiti dalam membentuk keterampilan mahasiswa
mendapati elemen kemahiran bekerja dalam kumpulan menjadi eleman kedua tertinggi
berdasarkan min penguasaaan responden.

Elemen keterampilan Min penguasaan Tafsiran


Penampilan diri yang 4.27 Tinggi
kemas
Kemahiran bekerja dalam 4.21 Tinggi
kumpulan
Kemahiran komunikasi 4.15 Tinggi
Kemahiran kepimpinan 4.11 Tinggi
Nilai min keseluruhan 4.19 Tinggi

Jadual 3: Elemen keterampilan dan min penguasaan mahasiswa

Ini bertepatan dengan pandangan Syarifah Mariam (2007) yang menyatakan bahawa
melalui aktiviti kokurikulum, pelajar dari pelbagai lapisan bangsa dan agama bersatu dan
membantu antara satu sama lain dalam menjalankan aktiviti kokurikulum secara bersama.

Kepentingan 3: Disiplin

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Lokman dan Osmayati (2010), seramai 261 orang
pelajar (86.7%) daripada 301 orang pelajar bersetuju bahawa aktiviti kokurikulum dapat
menjauhkan diri mereka dengan masalah disiplin pelajar. Pelajar yang berakhlak atau
mempunyai nilai moral yang tinggi akan sentiasa mematuhi peraturan sekolah dan tidak
akan melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terjebak dengan masalah sosial seperti
buli, melepak dan ponteng sekolah. Menurut Lokman dan Osmayati (2010), masalah disiplin
berlaku berikutan pelajar tiada ruang untuk melepaskan perasaan mereka, jadi dengan
bergiat aktif dalam kokurikulum dapat membantu pelajar daripada terjebak dengan masalah
disiplin. Dapatan kajian ini juga turut disokong oleh kaijan Turner & Newman (2007), dalam
kajian Sahara & Jamil (2010) yang mendapati penglibatan aktif murid dalam kokurikulum
berupaya mengurangkan masalah salah laku dalam kalangan murid seperti merokok,
minum arak, menghisap dadah dan melepak. Kajian yang dijalankan oleh Syaza & Sharini
(2014) menujukkan bahawa 44% responden yang terdiri daripada pelajar Sekolah
Menengah Sains Tapah sangat bersetuju bahawa aktiviti kokurikulm amat berguna untuk
pembentukan sahsiah, akhlak dan mengisi masa lapang. Selain itu, 60% orang pelajar juga
sangat bersetuju bahawa aktiviti kokurikulum dapat mengelakkan diri daripada terjebak
dalam masalah sosial seperti melepak, penyalah gunaan dadah dan gangsterisme.

ISU DAN CABARAN


Dalam mendepani isu penerapan nilai dalam kokurikulum, terdapat beberapa cabaran yang
dihadapi dalam melaksanakan kokurikulum. Antara masalah yang dihadapi adalah dari
sudut pelajar, guru dan juga sekolah.

Isu 1:Pelajar

Satu kajian yang dilakukan oleh R . Ravichanthiran (2007) mengenai meningkatkan


kehadiran kokurikulum pelajar melalui ‘Program Magnet’. Kajian ini dijalankan di Sekolah
Menengah kebangsaan kemunting (SMKK) yang merupakan sekolah gred A, kategori luar
Bandar dan mengamalkan sekolah dua sesi.

Bil Tidak hadir kegiatan kokurikulum kerana Min


1 Banyak kerja rumah 3.06
2 Membantu keluarga 2.80
3 Masalah pengangkutan 2.74
4 Kegiatan kelab membosankan 2.56
5 Tidak banyak dipelajari 2.48
6 Kokurikulum membebankan 2.40
7 Tuisyen 2.34
8 Membuat kerja sambilan 2.34
9 Berada di cybercafe 174

Jadual 4: Dapatan nilai min bagi sebab pelajar Sekolah Menengah


Kebangsaan Kemunting (SMKK) tidak hadir dalam kegiatan
kokurikulum
Dapatan kajian mendapati sebab tidak kehadiran pelajar bergantung kepada banyak
faktor. Faktor banyak kerja sekolah menjadi punca utama dengan nilai min paling tinggi
sebanyak 3.06 dikuti oleh faktor membantu keluarga (2.80) dan juga masalah
pengangkutan. Kerja rumah sekolah dilihat mendominasi dapatan kajian ini. Kerja rumah
yang terlalu banyak dalam usaha memperkasa dan mempertingkat keupayaan pelajar
dalam bidang kokurikulum telah menjadi satu beban yang menyebabkan pelajar tidak
berupaya menangani atau menguruskan dengan efisyen. Senario yang berterusan ini boleh
menyebabkan pelajar menjadi tertekan dan akhirnya hilang minat untuk belajar. Akibatnya
pelajar akan terjebak dalam gejala sosial yang negatif. Kenyataan ini di sokong oleh satu
kajian dijalankan oleh Jeawasddy dan Emy Fedelia (2012), dalam mengenal pasti punca
aktiviti kokurikulum kurang mendapat sambutan dalam kalangan pelajar tingkatan enam
atas Sekolah Menengah Kebangsaan Narinang.
Punca aktiviti kokurikulum tidak mendapat sambutan

3%

Masalah kenderaan 27%


Sibuk Malas Aktiviti kokurikulum tidak menarik
37%

33%

Rajah 1: Punca aktiviti kokurikulum tidak mendapat sambutan pelajar


tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebnagsaan Narinang
Hasil kajian mendapati bahawa 35.5% pelajar sibuk dan 27.7 % pelajar mempunyai sikap
malas. Hasil dapatan ini menunjukkan bahawa pengaruh akademik mempengaruhi masa
pelajar. Kesibukan pelajar dengan komitmen sebagai pelajar yang akan menduduki Sijil
Tinggi Pelajaran Malaysia memberi kesan kepada pengurusan masa pelajar. Kesibukan ini
menimbulkan perasaan malas yang menyebabkan pelajar tidak menghadiri perjumpaan.

Isu 2: Guru

Guru merupakan antara insan yang memainkan peranan yang besar terhadap
perkembangan diri pelajar. Kejayaan atau keberkesanan aktiviti kokurikulum bergantung
kepada tahap kesediaan guru, penasihat atau jurulatih tersebut. Guru seharusnya
melakukan persediaan yang rapi dari sudut aktiviti kokurikulum yang akan dijalankan,
tempat dan alatan yang sesuai serta bilangan alatan yang diperlukan. Guru perlu kerap
memasuki bilik sukan atau bilik kokurikulum untuk mengenal pasti jenis alatan sukan dan
bilangannya terlebih awal sebelum aktiviti dilaksanakan agar guru dapat menjimatkan masa.
Satu kajian tinjauan mengenai pengetahuan, kemahiran dan sikap setiausaha sukan di
dalam mengurus sukan sekolah telah dijalankan oleh Mohd Anuar dan Md Yusof (2011).
Kajian ini dijalankan ke atas 80 orang guru dari 16 buah sekolah kebangsaan di Zon Bandar
Pontian. Kajian ini menggunakan soal selidik yang dibina berdasarkan senarai tugas
setiausaha sukan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Bil Item Min


1 Pengetahuan 3.8896
2 Sikap 3.7295
3 Kemahiran 3.6275

Jadual 5: Nilai min mengenai pengetahuan, kemahiran dan sikap


setiausaha sukan di dalammengurus sukan sekolah

Dapatan kajian menunjukkan pengetahuan dan sikap setiausaha sukan berada


pada tahap yang tinggi manakala kemahiran berada pada tahap sederhana. Perbandingan
min menunjukkan kemahiran setiausaha sukan sekolah berada pada tahap paling rendah
dengan nilai min 3.6275 diikuti oleh sikap dengan nilai min 3.7295 manakala pengetahuan
berada pada tahap paling tinggi dengan nilai 3.8896. Hasil kajian menunjukkan bahawa
setiausaha sukan mempunyai kemahiran yang rendah dalam menjadi jurulatih dalam
permainan sukan, kurang berkemahiran dalam undang-undang permainan serta kurang
berkemahiran dalam pengurusan stok peralatan sukan. Kesan daripada kurang kemahiran
guru ini juga akan mempengaruhi tahap kemahiran membimbing pelajar dalam sesuatu
aktiviti kokurikulum. Kajian ini telah disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Mohamad
Najib & Jamaliah (2011) mengenai komitmen guru-guru terhadap pengurusan kokurikulum di
sekolah-sekolah kebangsaan negeri Johor.

Bil Item Min


1 Tahap kemahiran guru melaksanakan 4.24
kokurikulum
2 Tahap kemahiran guru membuat penilaian 4.02
pelajar dalam aktiviti kokurikulum
3 Tahap kemahiran membimbing pelajar dalam 3.75
aktiviti kokurikulum

Jadual 6: Nilai min mengenai komitmen guru-guru terhadap pengurusan


kokurikulum di sekolah-sekolah kebangsaan negeri Johor
Dapatan kajian ini menunjukkan nilai min bagi tahap kemahiran guru membimbing
aktiviti kokurikulum adalah paling rendah dengan nilai min 3.75. Tahap kemahiran guru
membuat penilaian pelajar dalam aktiviti kokurikulum menunyai nilai min paling tinggi
sebanyak 4.02 dan tahap kemahiran guru melaksana aktiviti kokurikulum berada pada
tahap dengan nilai min 4.24. Kemahiran guru perlu ditingkatkan agar dapat menarik minat
pelajar untuk menyertai aktiviti kokurikulum.

CADANGAN DAN PENAMBAHBAIKAN

Dalam mengatasi isu dan halangan yang berlaku terhadap masalah penglibatan pelajar
dalam aktiviti kokurikulum, beberapa alternatif dan tindakan harus diambil. Pihak yang
terlibat adalah pihak kerajaan, pihak sekolah dan komuniti guru-guru.

Terdapat dua alternatif yang telah dicadang dan mula diperkasakan oleh pihak
kerajaan. Antaranya ialah program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).
Program RIMUP sebenarnya telah lama dipekenalkan sejak tahaun 1986. Namun bagitu,
pelaksanaannya masih di peringkat yang rendah akibat pelaksanaan tidak menyeluruh.
Program RIMUP telah di beri jenama semula dalam Pelan Induk Perpaduan Pendidikan
(PIPP) 2006-2010. Dalam PIPP (2006-2010) telah menggariskan enam teras utama dan
antarannya ialah teras membina Negara bangsa. Dalam teras membina Negara bangsa,
program Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) dijadikan agenda utama
dalam menyemai semangat perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan pelajar
sekolah. Matlamat RIMUP adalah untuk melahirkan generasi nasionalyang kukuh serta
dapat menerima, menghormati dan mengurus kepelbagaian. Program RIMUP mempunyai
enam kegiatan khas seperti jadual di bawah:

Bil Kegiatan khas Contoh


1 Aktiviti kecemerlangan Kuiz bina bangsa dan seminar menghadapi
akademik peperiksaan
2 Aktiviti sukan dan permainan Permainan tradisionalseperti Ti Jian Zi, sepak bulu
ayam dan perahu undur
3 Aktiviti kokurikulum Aktiviti kesenian dan kebudayaan seperti tarian
zapin
4 Aktiviti khidmat masyarakat Gotong-royong dan melawat rumah orang tua
5 Aktiviti patriotisme Pertandingan mencipta lagu patriotik dan kem jati
diri
6 Aktiviti melalui e-integrasi Penggunaan ICT daam kalangan pelajar pelbagai
aliran sebelum pertemuan fizikal

Jadual 7: Kategori kegiatan khas dan contoh

Pihak kerajaan juga telah memperkenalkan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) serta
diwar-warkan oleh kerajaan pada tahun 2010. Pelaksanaan dasar ini dirasmikan pada 2
Julai 2011 di Taiping, Perak dan mula dikuakuasakan sepenuhnya pada tahun tersebut.
Dasar ini menyokong kepada penekanan yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (1988) yang memberi tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara
yang menekankan Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Dasar ini
memfokuskan kepada murid yang kurang aktif supaya melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
Selain itu, murid yang mempunyai bakat dan potensi dalam bidang sukan akan digilap
seterusnya diasah kelebihannya melalui Suakn Prestasi Tinggi sekolah (SPTS). Prinsip
pelaksanaan dasar 1M 1 S adalah mewajibkan murid tahap dua iaitu murid tahun 4 hingga
tahun 6 di sekolah rendah serta tingkatan peralihan, tingkatan satu hingga tingkatan 6 di
sekolah menengah. Bagi murid pra sekola shingga tahun 3 digalakkan menyertai program
ini berdasarkan kemampuan sekolah. Antara program yang dicadangkan untuk pengurusan
sepanjang setahun ialah program sukan umum yang merangkumi latihan rumah sukan,
merentas desa dan sukantara. Bagi aktiviti kelab, sukan dan permainan dianjurkan 90 minit
untuk sekolah menengah dan 60 minit untuk sekolah rendah. Seterusnya, bagi pertandingan
dalaman dicadangkan mengadakan antara rumah sukan, kelas atau kelab. Dengan adanya
buku panduan pengurusan 1M1S diharap dapat membantu guru untuk melaksanakannya.

Dalam mengatasi isu yang berlaku ini, pihak sekolah memainkan peranan yang
penting dalam membantu pelajar. Antara inisiatif yang boleh dilakuakan oleh pihak sekolah
ialah pihak sekolah harus merancang bilangan kerja rumah bagi setiap subjek supaya tidak
membebankan pelajar hingga tidak dapat menghadiri kegiatan kokurikulum dan
seumpamanya kerana ingin menyiapkan tugasan. Selain itu, antara langkah lain yang boleh
dilakukan ialah menyediakan bas sekolah sekiranya pelajar mengalami masalah kenderaan.
Pihak sekolah juga boleh menyediakan makanan tambahan kepada pelajar setiap kali
perjumpaan diadakan. Ini dapat membantu mengelakkan pelajar kurang mampu tidak
berasa lapar semasa perjumpaan tesebut. Pihak sekolah perlu menyusun dan
memperkemaskan penyusunan takwim sekolah agar semua secara sistematik bagi
memudahkan pelajar hadir ke setiap aktiviti sekolah.

Sebagai seorang guru, guru perlu mempersiapkan diri dengan ilmu yang pelbagai
dan menyeluruh. Halini bertepatan dengan Abdullah Sudin dalam Mohd FUad (2008) yang
menyatakan tiga perkara asas yang pelu dimiliki oleh guru yang cemerlang adalah memiliki
pengetahuan, kemahiran dan mempunyai sikap yang betul. Selain itu, guru perlu kreatif dan
sentiasa mempelbagaikan aktiviti persatuan agar pelajar berasa teruja dan bersemangat
untuk menghadiri perjumpaan. Terdapat empat aktiviti yang menarik minat pelajar untuk
hadir ke aktiviti kokurikulum iaitu pertandingan berunsur permainan seperti explorace (luar
bilik darjah), kuuiz (permainan bilik darjah), lawatan sambil belajar dan tayangan video atau
dokumentasi (Ravichanthiran, 2007) .Guru juga perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan
dan kemahiran yang dimiliki dengan menghadiri kursus atau bengkel termasuk anjuran luar
sekolah kemahiran guru sentiasa dapat dipertingkat selain memberi keyakinan kepada guru
untuk menguruskan aktiviti kokurikulum.

RUJUKAN :

Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din (2010). Inspirasi Ke Arah 1 Malaysia. Kokurikulum
Asas Pembentukan Perpaduan dan Modal Insan yang Terunggul. Jilid 1. Selangor. PNI
Neuron (M) Sdn. Bhd

Salina binti Murteza. 2012. Penilaian program rancangan integrasi murid unutk perpaduan
(RIMUP). Fakulti Pendidikan . Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi
Rosmadi bin Dollah . 2012. Hubungan aktiviti kokurikulum unit beruniform dengan
pembentukan daya kepimpinan pelajar. Fakulti Pendidikan . Universiti Kebangsaan
Malaysia. Bangi

Mohd Jaflus Bahari. 2008. Faktor-faktor yang mengahalang penglibatan pelajar dalam
kegiatan kokurikulum sukan di kalangan pelajar sekolah menengah kebangsaan Seremban.
Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Maktab Perguruan Islam. dalam
http://www.ipislam.edu.my/uploaded/file/jaflus.pdf (19 Mei 2015)

Mohd Anuar b. Abd. Rahman & Mohd Yusof b. Md Yunos . 2011. Pengetahuan , kemahiran
dan sikap setiausaha sukan di dalam mengurus sukan sekolah. Fakulti Pendidikan.
Universiti Teknologi Malaysia. UNSPECIFIED (2011): 1-5.

Nor Suhara bt Fadzil & Jamil bin Ahmad . 2010. Kepentingan kokurikulum dalam pendidikan
di sekolah menengah. Proceedings of the 4th International Conference on Teacher
Education. Bandung, Indonesia: 8-10 November

Ravichanthiran a/l Retnam . 2007. Meningkatkan kehadiran kokurikulum melalui ‘Program


Magnet’. Porgam kajian tindakan negeri Perak peringkat sekolah. Unit Kokurikulum Jabatan
Pelajaran Perak

Mohd Najib bin Abdul Ghafar & Jamaliah bt Jalaludin . 2011. Komitmen guru-guru terhadap
pengurusan kokurikulum di skeolah-sekolah kebangsaan negeri Johor. unspecified (2011):
1-11.

Ahmad bin Esa & Hisham Jamaluddin. 2009.Peranan kokurikulum di universiti dalam
membentuk keterampilan mahasiswa. In: International Conference on Teaching and
Learning in Higher Education 2009 (ICTLHE09), 23-25 November 2009, Kuala Lumpur.

Lokman b. Mohd Tahir & Osmayati Othman. 2010. Keperluan aktiviti kokurikulum
(beruniform) kepada pelajar tingkatan empat di sekolah menengah kebangsaan di daerah
Langkawi. Universiti Teknologi Malaysia Institutional Repository. Artikel: pp. 1-8.
(Unpublished)

Mohd Fazli Hassan, Suhaida Abdul Kadir,& Soaib Asimiran. 2013. Hubungan persekitaran
sekolah dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah menengah. Jurnal
Pendidikan Malaysia, 38 (2): 1-9

Jeawasddy Saupi & Emy Fedelia Sanan. 2012. Mengenalpasti punca aktiviti kokurikulum
kurang mendapat sambutan dalam kalangan pelajar tingakatn enam atas sekolah
menengah kebangsaan Narinang. Atas talian. http://omisay.blogspot.com/2013/01/contoh-
kajian-prauniversiti.html [dicetak 18 Mei 2015]

Mohd Anuar Bin Abd. Rahman & Md Yusof Bin Md Yunos . 2011. Pengetahuan, kemahiran
dan sikap setiausaha sukan di dalam mengurus sukan sekolah. UNSPECIFIED . pp. 1-5.
(Unpublished)

You might also like