Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 15

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/344899130

Zuraini Ramli - Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kedua

Chapter · November 2018

CITATIONS READS
0 1,753

5 authors, including:

Zuraini Ramli
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
15 PUBLICATIONS   7 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Pengukuran.COrT utk pengajaran.BM View project

Amalan Kesantunan Berbahasa di Sekolah View project

All content following this page was uploaded by Zuraini Ramli on 27 October 2020.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


1

Psikolinguistik Dalam Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kedua


Zuraini Ramli

Pengenalan
Hampir di seluruh dunia, fokus utama program pendidikan bahasa sebagai bahasa kedua, ketiga,
malah bahasa asing adalah untuk menyediakan pelajar bagi berhadapan dengan suasana
pembelajaran di sekolah dalam bahasa yang baharu. Pendidikan bahasa pula merupakan satu
proses pengayaan bahasa dalam kalangan penutur bahasa pertama (selepas ini akan digunakan
B1), serta aspek penguasaan biasaan berbahasa yang baharu dalam kalangan penutur bahasa
kedua (selepas ini akan digunakan B2) (Hamid, 2011). Proses pengayaan bahasa merujuk proses
penambahbaikan kemahiran dan pengetahuan bahasa yang sedia ada, iaitu satu proses
mengeksplisitkan pelbagai kemahiran dan pengetahuan bahasa yang dikuasai secara tasit pada
peringkat awal kehidupan. Kanak-kanak menguasai B1 secara tidak formal sehingga berusia
sekitar empat ke lima tahun dalam persekitaran keluarga. Pengetahuan berbahasa pertama itu
kemudiannya diperkukuh dalam sistem yang lebih formal dan bersistematik apabila kanak-kanak
mula masuk ke alam persekolahan.
Walau bagaimanapun, matlamat pengajaran bahasa sebagai B2 adalah untuk membina biasaan
bahasa yang baharu, iaitu membina tabiat berbahasa dalam B2. Seringkali, proses ini berlaku
ketika pelajar sudah mempunyai tabiat berbahasa B1, iaitu setelah pelajar menguasai bahasa
ibunda mereka dengan agak baik. Pembentukan biasaan bahasa yang baharu juga biasanya
berlaku dalam situasi pendidikan yang bersifat formal. Biasaan bahasa yang baharu ini pula
bergantung kepada beberapa pemboleh ubah, seperti dorongan, sikap, motivasi, serta hubungan
kekerabatan B1 dan B2. Tegasnya, pengajaran bahasa sebagai B1 dan pengajaran bahasa sebagai
B2 mempunyai perbezaan yang besar.
Konsep Pemerolehan dan Pembelajaran Bahasa Kedua
Dalam disiplin ilmu psikolinguistik, terdapat beberapa istilah yang berbeza tentang status sesuatu
bahasa terhadap seseorang individu, khususnya dalam dunia tanpa sempadan yang menjadikan
masyarakat berbilang bahasa dan budaya. Bahasa yang pertama kali dikuasai dalam kehidupan
seseorang dipanggil B1 atau bahasa ibunda. B1 merujuk bahasa yang didedahkan kepada kanak-
kanak semenjak lahir sehingga berakhirnya tempoh usia kritikal, iaitu menjelang usia baligh.
Kedudukan B1 sangat istimewa dalam kehidupan seseorang manusia, kerana dengan bahasa
itulah dia belajar kebanyakan konsep asas dan utama dalam kehidupannya. Konsep bahasa
ibunda pula sering kali dikaitkan dengan bahasa si ibu, yang menggambarkan keakraban
hubungan seseorang kanak-kanak dengan ibunya, sehingga ibu itu menjadi model dalam
pemerolehan bahasa pertamanya. Bahasa ibunda selalunya digunakan untuk berhubung dengan
keluarga dan lingkungan kanak-kanak.
Bahasa yang dikuasai setelah seseorang manusia menguasai bahasa pertamanya dipanggil B2.
Malah hal ini bukan sahaja terhad kepada B2, tetapi juga boleh diaplikasikan kepada bahasa
ketiga, keempat dan seterusnya (Ellis, 1997). Hal ini bertepatan dengan situasi dunia kini yang
bersifat pelbagai bahasa dan bangsa yang memungkinkan seseorang belajar sesuatu bahasa itu
sebagai bahasa ketiga, keempat atau seterusnya. Penguasaan B2 selalunya diperoleh melalui
pembelajaran, bukannya pemerolehan. Proses ini dilakukan dalam keadaan yang lebih formal,
2

memerlukan banyak latihan dan pengulangan sehingga menjadi satu tabiat. Dalam senario dunia
kini, hampir sukar menemui individu yang ekabahasawan atau hanya menguasai satu bahasa
sahaja. Menguasai dan menggunakan B2 atau bahasa asing merupakan satu keperluan dalam
abad ke-21, menjadikan bidang ini penting dan semakin relevan sebagai memenuhi tuntutan
zaman ini. Keperluan menguasai lebih daripada satu bahasa pula didorong oleh pelbagai faktor,
bergantung kepada tuntutan kehidupan individu itu sendiri.
Antara faktor paling besar yang menyebabkan manusia berusaha mempelajari B2 ialah motivasi.
Gardner dan Lambert (1972) membezakan dua jenis motivasi untuk belajar B2, iaitu motivasi
integratif dan motivasi instrumental. Motivasi integrasi melibatkan individu yang belajar B2
kerana minat mereka terhadap penutur dan budaya bahasa sasaran, atau kerana ingin
berkomunikasi dengan penutur bahasa sasaran tersebut (Khasinah, 2014). Motivasi instrumental
pula merupakan motivasi dalam kalangan individu yang belajar B2 untuk mendapatkan
pengiktirafan sosial, manfaat ekonomi, atau keperluan pendidikan dan pekerjaan (Abu Bakar &
Subramaniam, 2012). Kelihatannya, motivasi instrumental lebih berkaitan untuk konteks
pembelajaran B2, manakala motivasi integrasi lebih menjurus kepada pembelajaran bahasa
asing.
Pengajaran dan pembelajaran (PdP) bahasa Melayu sebagai B2 banyak melibatkan motivasi
bersifat keperluan pendidikan, iaitu pelajar perlu mempelajari bahasa Melayu sebagai tuntutan
dalam program pendidikan mereka. Misalnya, pelajar bukan Melayu di Malaysia mesti belajar
dan lulus mata pelajaran Bahasa Melayu bermula daripada tahun satu di sekolah rendah,
hinggalah ke tingkatan lima di sekolah menengah. Seseorang itu perlu lulus dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan utama di sekolah untuk membolehkannya diterima
masuk ke peringkat universiti bagi seluruh universiti tempatan di Malaysia. Oleh itu, desakan
untuk belajar dan lulus dalam Bahasa Melayu memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi,
khususnya dalam kalangan pelajar bukan natif bahasa Melayu.
Sungguhpun begitu, mempelajari dan menguasai B2 bukanlah satu proses yang mudah. Setiap
pelajar yang mempelajari bahasa Melayu sebagai B2sudah pun mempunyai B1 masing-masing.
Disebabkan oleh penerimaan dan penguasaan B1 wujud terlebih dahulu sebelum B2, maka
pengaruh dalam B1 akan menjadi cabaran kepada pembelajaran B2. Jarak perbezaan atau darjah
kelainan antara dua bahasa adalah bergantung kepada darjah kekerabatan antara dua bahasa
tersebut (B1 dan B2), dan semakin besar jarak perbezaannya, semakin tinggilah cabaran untuk
menguasai B2 tersebut. Darjah kekerabatan antara dua bahasa merupakan salah satu pemboleh
ubah yang penting dalam proses merancang dan melaksana sesuatu program pendidikan bahasa
(Hamid, 2011:184).

Teori Pemerolehan dan Pembelajaran B2


Beberapa teori dikemukakan oleh sarjana dalam bidang psikolinguistik untuk menjelaskan
bagaimana sesuatu bahasa itu dikuasai. Dalam konteks pemerolehan dan pembelajaran B2, dua
tokoh utama yang mengetengahkan teori masing-masing ialah Stephen Krashen (1981, 1982) dan
Selinker (1972, 1992). Berikutnya akan diperincikan kedua-dua teori tersebut sebagai landasan
menentukan prinsip yang sesuai digunakan untuk pengajaran B2.
3

Teori Input Hipotesis – Stephen Krashen


Teori ini diperkenalkan menerusi buku dan artikelnya yang diterbitkan dari tahun 1977 hingga
1997. Teori ini merupakan gabungan daripada lima hipotesis, iaitu:
i. Hipotesis Urutan Semula Jadi

Asas kepada hipotesis ini ialah pandangan bahawa pemerolehan struktur dan rumus
tatabahasa oleh pelajar B2 berlaku secara semula jadi, iaitu proses itu boleh diramal. Ada
rumus yang dipelajari lebih awal manakala ada rumus yang dipelajari lebih lewat. Urutan
awal atau lewat sesuatu rumus itu biasanya tidak bergantung semata-mata kepada urutan
rumus yang diajarkan di dalam kelas secara formal. Beberapa faktor seperti umur, latar
belakang, dan tahap pendedahan pelajar kepada B2 merupakan penentu kepada proses
tersebut. Krashen menegaskan bahawa implikasi daripada hipotesisnya ialah
ketidaksesuaian pembelajaran tatabahasa secara terpisah.

ii. Hipotesis Pemerolehan – Pembelajaran

Menurut Krashen, kecekapan berbahasa kedua dipupuk melalui dua cara, iaitu
pemerolehan dan pembelajaran. Proses pemerolehan bahasa berlaku dalam fikiran separa
sedar manusia, seolah-olah proses kanak-kanak memperoleh B1nya. Pelajar tidak
menyedari bahawa mereka sedang belajar bahasa sebaliknya berasakan mereka sedang
berkomunikasi. Proses tersebut berterusan dan berlaku secara semula jadi tanpa berfokus
kepada peraturan tatabahasa. Hal ini biasanya melibatkan aktiviti tidak formal pelajar
seperti mendengar lagu, berbual dengan jiran, atau menonton filem. Krashen juga
menegaskan bahawa proses pemerolehan boleh terus berlaku walaupun seseorang itu
sudah melepasi usia kritikal (baligh), malahan proses itu menjadi semakin giat apabila
seseorang itu dewasa1.

Proses pembelajaran bahasa pula berlaku dalam minda sedar manusia, apabila pelajar
perlu menguasai rumus tatabahasa B2 sehingga bahasa itu dikuasai sepenuhnya. Bahasa
dikuasai melalui kaedah pembelajaran di dalam kelas atau kursus tertentu apabila pelajar
mempelajari aspek peraturan tatabahasa dan belajar secara kontekstual. Pelajar akan
melakukan latihan dan pelaziman untuk membentuk tabiat bahasa bagi B2.

iii. Hipotesis Pemantau (Monitor)

Hipotesis ini menjelaskan bahawa penguasaan B2 berlaku hanya melalui proses


pembelajaran, bukannya pemerolehan. Setiap manusia dikatakan mempunyai pemantau
dalam proses internal bahasanya yang berfungsi sebagai alat pemantau pertuturan
(output) dan bertujuan memperbaiki ujaran yang dihasilkan. Keupayaan seseorang
menghasilkan ujaran dalam bahasa lain datang daripada keupayaan yang diperoleh secara
luar sedar. Pembelajaran yang merupakan keupayaan yang diperoleh secara sedar akan

1
Hal ini bertentangan dengan pandangan Golongan Mentalis, khususnya Lenneberg yang mengemukakan Hipotesis
Usia Kritikal (Critical Period Hypothesis), yang menekankan usia pemerolehan B1 yang optimum adalah dari tiga
tahun sehingga akil baligh.
4

bertindak sebagai pemantau. Hanya pemantau yang digunakan secara optimum sahaja
dapat meningkatkan tahap kecekapan komunikasi seseorang pelajar dalam B2.

iv. Hipotesis Input

Hipotesis ini menjelaskan bahawa pembelajaran B2 akan berlaku sekiranya pelajar


menerima input atau pengetahuan satu tahap lebih tinggi daripada pengetahuan sedia
adanya. Hal ini bermaksud pelajar perlu didedahkan kepada pengetahuan baharu yang
belum dikuasainya. Dalam hipotesis ini, rumus (i + 1) diperkenalkan, iaitu ‘i’ bermaksud
input, manakala ‘1’ ialah kecekapan yang satu tingkat melebihi keupayaan semasanya.
Jika berlaku ‘i + 2’, pelajar akan mendapati pembelajaran sebagai sukar, manakala jika
situasi ‘i + 0’ pula boleh membuatkan pelajar menjadi malas disebabkan oleh input yang
diberi sudah diketahui pelajar. Oleh itu, guru perlulah memastikan bahawa input yang
diperkenalkan kepada pelajar sentiasa sesuai dengan aras pengetahuan sedia ada
pelajarnya.

v. Hipotesis Penapisan Efektif

Dalam hipotesis ini, Krashen menekankan beberapa faktor afektif yang berkaitan dengan
tetapi bukan penyebab kepada proses penguasaan B2 seseorang pelajar. Motivasi yang
tinggi, keyakinan diri, penampilan yang baik, serta tahap kerisauan yang rendah
merupakan faktor yang boleh membantu seseorang pelajar menguasai B2. Walau
bagaimanapun, jika pelajar kurang bermotivasi, mempunyai keyakinan diri yang rendah,
serta tahap kerunsingan yang tinggi, kesemua faktor itu akan meningkatkan tapisan
afektif seterusnya membentuk halangan mental yang boleh menghalang pelajar
memahami input bahasa yang diperoleh.

Hipotesis Bahasa Antara (Interlanguage Hypothesis) – Larry Selinker

Bahasa Antara merupakan satu idiolek yang merujuk tahap peralihan daripada B1 kepada B2.
Bahasa ini bersifat tidak kekal, sentiasa berubah, dan dihasilkan oleh pelajar B2 dalam proses
penguasaan bahasa sasarannya. Istilah ‘bahasa antara’ yang mula diperkenalkan pada tahun 1972
merujuk satu sistem linguistik khusus pelajar B2 yang berusaha untuk menghasilkan ujaran
dalam bahasa sasaran. Sistem ini merupakan sistem yang terhasil secara sementara antara sistem
B1 dan sistem B2 seseorang pelajar. Menurut Selinker (1972),

"The process of learning a second language (L2) is


characteristically non-linear and fragmentary, marked by a mixed
landscape of rapid progression in certain areas but slow
movement, incubation or even permanent stagnation in others.
Such a process results in a linguistic system known as
'interlanguage'.

Secara metaforanya, bahasa antara merupakan sebuah rumah separuh siap antara B1 dan B2.
B1 bertindak sebagai bahasa sumber yang membekalkan bahan binaan, yang akan digabungkan
secara sedikit demi sedikit dengan bahan yang diambil daripada B2, menghasilkan satu binaan
5

yang bukan B1 mahupun B2. Kebiasaannya, binaan yang terbentuk bergantung kepada
pengalaman pelajar sendiri semasa menguasai B2. Hal ini menyebabkan, bahasa antara boleh
melalui fenomena fosilisasi, yang kemudiannya dirujuk sebagai ‘incompleteness’ oleh Schachter
(1988)). Menurut Firth (1975), butiran fosilisasi ini didefinisikan sebagai fitur morfologi,
sintaksis, fonologi, dan leksikal yang hadir dalam pertuturan pelajar bahasa kedua yang berbeza
dengan peraturan bahasa kedua walaupun telah bertahun-tahun pelajar didedahkan kepada
peraturan tersebut. Walaupun pelajar dipengaruhi oleh B1 yang sudah dikuasai lebih awal dan
B2 yang sedang dipelajarinya, sistem bahasa antara bersifat dinamis serta tidak dapat dihuraikan
oleh mana-mana sistem B1 atau kedua.

Fearch (1984) menjelaskan bahawa fenomena bahasa antara boleh diteliti berdasarkan dua sudut
pandangan, iaitu (a) sebagai satu sistem linguistik yang mempunyai sistem dan peraturan
tersendiri dan (b) boleh ditinjau dari aspek fungsian, iaitu digunakan untuk tujuan komunikasi.
Hal ini disebabkan oleh ketidakupayaan pelajar mencapai matlamat komunikasi sewaktu bertutur
dalam bahasa kedua kerana keterhadan pengetahuan linguistik dan penguasaan kosa kata mereka.
Hipotesis bahasa antara ini memberi implikasi penting terhadap teknik pengajaran bahasa pada
akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an. Pengajaran bahasa menggunakan pendekatan
komunikatif mula diberi tumpuan dalam pengajaran bahasa di kelas. Setiap ujaran pertuturan
pelajar memberi refleksi kepada sistem bahasa antara pelajar tersebut dan setiap kesilapan bahasa
pertuturan pelajar bukan disebabkan faktor guru, bahan pengajaran atau pelajar itu sendiri, tetapi
hal tersebut merupakan proses semula jadi pembelajaran.

Prinsip Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai B2

Prinsip-prinsip yang digunakan untuk mengajar bahasa Melayu sebagai B1 dan B2 adalah
berbeza. Hal ini berkait rapat dengan cara B1 dan B2 dikuasai, serta perbezaan dari aspek
penutur. Berikut dikemukakan beberapa prinsip asas untuk pengajaran bahasa Melayu sebagai
B2.

a. Pembelajaran B2 merupakan satu proses mekanis

Pembelajaran B2 adalah satu proses mekanis yang membentuk lakuan baharu, iaitu
lakuan kemahiran bahasa. Pelajar perlu membuat banyak latihan untuk melazimkan dan
meneguhkan tabiat berbahasa yang dipelajari.

b. Bentuk lisan perlu dipelajari terlebih dahulu

Pengajaran B2 mestilah dimulakan dengan aktiviti bertutur. Hal ini bermakna,


kemahiran yang didahulukan ialah kemahiran mendengar, kemudian bertutur, diikuti
dengan membaca, menulis, dan menaakul. Dalam proses pengajaran B2, kanak-kanak
perlu diajar menyebut sesuatu perkataan sebelum aspek tulisannya diperkenalkan.
6

c. Pelajar belajar dengan membuat analogi

Kaedah ini membolehkan pelajar belajar dengan cara melihat persamaan dan hubungan
bentuk-bentuk yang diajar. Analogi digunakan untuk menghasilkan penguasaan struktur
bahasa tanpa menghabiskan masa dan tenaga untuk menerangkan aspek tatabahasa.

d. Makna dipelajari dalam konteks

Aspek makna perlulah diajar mengikut konteks sebenar yang boleh menjelaskan makna
tersebut. Sebagai contoh, mengajar makna perkataan berdasarkan konteks kebudayaan.
Oleh itu, kanak-kanak boleh mengaitkan pemahamannya terhadap sesuatu makna dengan
melihat konteks penggunaan perkataan itu.

Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai B2


Pelbagai kaedah boleh dipilih oleh guru untuk mengajarkan bahasa Melayu sebagai B2. Menurut
Okmen dan Kilic (2016), terdapat 14 kaedah pengajaran bahasa yang boleh diguna pakai dalam
pengajaran B2 atau bahasa asing. Antara kaedah yang sering digunakan ialah Kaedah Nahu
Terjemahan, Kaedah Langsung, Kaedah Semula jadi, Kaedah Audio-Lingual, Kaedah Kognitif
Kod, Kaedah Komunikatif, dan Kaedah Eklektik. Selain itu, terdapat juga kaedah-kaedah yang
boleh digunakan secara alternatif seperti Kaedah Suggestopedia, Kaedah Pembelajaran Bahasa
Komuniti, Kaedah Senyap, Kaedah Gerak Balas Fizikal Sepenuhnya, Kaedah Pandang Dengar,
Kaedah Berasaskan Tugasan dan Kaedah Berasaskan Kandungan. Beberapa kaedah yang utama
dan sesuai digunakan untuk PdP bahasa Melayu di sekolah dibincangkan dalam segmen
berikutnya.

1. Kaedah Nahu Terjemahan

Kaedah in merupakan antara kaedah paling lama digunakan untuk pengajaran B2.
Kaedah ini menekankan kemahiran menulis pelajar, oleh itu kemahiran bertutur tidak
dipentingkan. Perkara yang diberi perhatian ialah ejaan dan penulisan dalam B2.
Penjelasan berfokus pada aspek tatabahasa yang menyebabkan penggunaan bahasa secara
aktif kurang diberi perhatian. Oleh sebab kosa kata diberi kepada pelajar pada peringkat
awal pengajaran, terjemahan merupakan satu cara yang penting untuk mempelajari kosa
kata. Kosa kata didedahkan kepada pelajar dalam bentuk terasing daripada konteks.
Pelajar menguasai nahu dengan cara hafalan dan membuat latihan serta menterjemahkan
ayat daripada bahasa sasaran. Seterusnya kata-kata disusun dalam ayat melalui hukum
tatabahasa, dan hukum-hukum ini dihafal oleh pelajar untuk membolehkan mereka
menguasai B2 tersebut (Husin, Yusof, & Shaari, 2011).

Antara kelebihan kaedah ini adalah tidak menggunakan masa yang panjang untuk
diaplikasikan, malahan tidak memerlukan bahan yang banyak dan membebankan. Guru-
guru yang tidak begitu fasih juga boleh mengajar B2 menggunakan kaedah ini. Namun
begitu, beberapa kelemahan juga dilihat dalam penggunaan kaedah ini. Antaranya,
penterjemahan adakalanya sukar dilakukan kerana tidak terdapat dua perkataan yang
7

benar-benar sama ertinya dalam dua bahasa. Seringkali makna tidak dapat dipisahkan
dengan aspek budaya yang mendasari kedua-dua bahasa tersebut. Selain itu, kaedah ini
boleh menimbulkan tanggapan yang kurang tepat dalam kalangan pelajar kerana
menganggap pembelajaran struktur bahasa itu kurang penting berbanding hafalan
tatabahasa sahaja.

2. Kaedah Terus

Kaedah yang mula diperkenalkan pada tahun 1900-an oleh Michell West dan Harald
Palmer ini menekankan prinsip mengajar bahasa berasaskan psikologi kanak-kanak.
Pembelajaran aspek bahasa seperti makna, frasa, atau bahasa kiasan dilakukan terus
dalam bahasa sasaran. Kaedah ini dilihat dapat membantu pelajar memahami bahasa
sasaran mereka kerana hubungan langsung antara konteks yang dapat membantu
pemahaman dengan perkara yang didengari dan dibaca oleh pelajar dapat menghalang
bentuk gangguan (linguistic interference) daripada B1 pelajar (Salehuddin, 2018). Bahasa
pertuturan menjadi fokus dalam kaedah ini, iaitu digunakan setiap hari untuk
membolehkan pelajar mengaitkan makna secara langsung dalam bahasa sasaran. Pelajar
tidak dibenarkan sama sekali menggunakan B1 dalam proses pembelajaran, dan bahasa
sasaran digunakan sepenuhnya.

Dalam kaedah ini, pelajar disarankan agar melalui sendiri pengalaman menggunakan
bahasa sepertimana pengalaman mereka memperoleh B1. Pengajaran banyak berfokus
pada pengajaran konsep dan kosa kata dengan menggunakan pantomim, objek sebenar
serta bahan-bahan visual. Selain itu pengajaran nahu dilakukan secara induktif, iaitu
pelajar mendapatkan sendiri hukum nahu melalui pendedahan kepada bentuk-bentuk
linguistik bahasa sasaran yang mencukupi. Kaedah ini juga menggalakkan pelajar
menguasai bahasa lisan (termasuk sebutan seperti penutur natif) serta kemahiran corak
soal jawab dalam pembelajaran (Salehuddin, 2018).

Pada waktu ini, Kaedah Terus semakin kurang digunakan kerana tidak mementingkan
bahasa tulisan. Selain itu, kosa kata abstrak tidak banyak didedahkan menyebabkan sukar
mengaitkan sesetengah perkataan dengan maksudnya secara langsung.

3. Kaedah Audio-Lingual
Juga dikenali sebagai kaedah ‘dengar dan sebut’ yang mula diperkenalkan pada sekitar
tahun 1950-an. Pencetus kaedah ini, iaitu Charles C. Fries menegaskan bahawa
pembelajaran bahasa sepatutnya bermula dengan struktur bahasa, iaitu tatabahasa. Asas
kepada kaedah ini ialah ‘rangsangan dan gerak balas’, iaitu didasari oleh paradigma
golongan Behaviorisme. Rangsangan yang diberikan dalam kaedah ini adalah dengan
memperdengarkan pelajar bentuk ayat yang betul, manakala pelajar akan memberikan
tindak balas dalam bentuk peniruan sebutan. Pengulangan merupakan satu daripada
prinsip utama dalam kerangka pembelajaran Behavioris, dan pelajar akan melakukan
proses pengulangan untuk memperkukuh struktur bahasa yang dipelajari. Pelajar juga
tidak perlu didedahkan dengan struktur bahasa yang salah supaya mereka tidak meniru
bentuk bahasa yang tidak diingini.
8

Kaedah ini mempunyai beberapa persamaan dengan Kaedah Terus, dari segi fokus
terhadap bahasa lisan, serta pengelakan penggunaan B1. Melalui latih tubi, pelajar
mempelajari B2 untuk membina dan mengukuhkan kemahiran tatabahasa B2 mereka.
Aktiviti yang sering dilaksanakan melalui Kaedah Audio-Lingual ialah aktiviti menghafal
dialog, membuat latih tubi, menggunakan pasangan minimal dan menyertai permainan
bahasa berasakan tatabahasa (Salehuddin, 2018). Struktur B2 yang didedahkan kepada
pelajar hanya memadai untuk membolehkan aktiviti PdP dijalankan.
Seterusnya, kaedah ini lebih sesuai dilaksanakan dalam suasana lebih kondusif seperti di
makmal bahasa untuk membolehkan guru menyediakan model B2 untuk ditiru dan
diulangi oleh pelajar. Sebagaimana proses pembelajaran disarankan dalam kerangka
pemikiran Behavioris, kaedah ini mengamalkan konsep pemberian hukuman kepada
pelajar. Pengajaran tatabahasa selalunya berbentuk implisit, dan pelajar diminta
menghafal sistem tatabahasa B2. Sekiranya pelajar tidak menunjukkan tindak balas yang
diharapkan oleh guru, pelajar boleh dikenakan hukuman supaya tingkah laku tersebut
tidak diulangi dan tidak membentuk tabiat.
Walau bagaimanapun, kaedah Audio-Lingual masih boleh dijalankan dalam suasana bilik
darjah dengan cara guru lebih berperanan sebagai model B2 yang betul. Guru akan
membantu pelajar memberikan tumpuan kepada aspek yang masih kurang tepat atau
bermasalah kepada pelajar, seperti meminta pelajar mengulang-ulang tingkah laku
tersebut. Pelbagai cara latih tubi boleh dilaksanakan, seperti pengulangan (pelajar
mengulangi ujaran apabila mendengar rangsangan), infleksi (pelajar menggantikan
sesuatu perkataan dalam ayat yang dijadikan rangsangan dengan bentuk infleksi yang lain
apabila diulang), penggantian (pelajar menggantikan sesuatu perkataan dalam ayat yang
dijadikan rangsangan dalam perkataan yang lain), dan penyataan semula (pelajar
mengolah semula ayat yang diperdengarkan sebagai rangsangan.

4. Kaedah Analisis Perbandingan


Kaedah ini berpaksikan pandangan sarjana Behavioris, iaitu bahasa merupakan satu
tabiat. Disebabkan pembelajaran bahasa kedua dianggap sebagai sistem tabiat, kesalahan
dalam pembelajaran B2 boleh diramal serta sebolehnya dielakkan supaya pembelajaran
tidak terganggu. Proses pengulangan juga diberi perhatian yang besar, iaitu pelajar
diminta membuat latih tubi untuk memupuk tabiat yang sesuai di samping cuba
menghindari kesilapan. Kesilapan pula dilihat sebagai satu tindakan pelajar bahasa kedua
apabila wujud perbezaan antara B1 dan B2.
Terdapat beberapa andaian untuk kaedah ini (James, 1980), iaitu:
a. bahasa boleh dibandingkan.
b. kesukaran mempelajari bahasa kerana gangguan bahasa pertama
c. kesukaran boleh diramal menerusi analisis perbandingan
d. kaedah ini boleh mengurangkan kesan gangguan

Antara kelebihan kaedah ini ialah guru boleh menjalankan analisis perbandingan sebelum
bertemu dengan pelajar, menerusi empat prosedur. Pertama, guru perlu memperincikan
9

sistem dan bentuk B1 dan B2 pelajar. Kedua, guru memilih item berdasarkan sistem yang
terdapat dalam kedua-dua bahasa tersebut, untuk mengenal pasti persamaan dan
perbezaannya. Dalam tahap ini, guru boleh meramalkan item-item yang berpotensi untuk
dilakukan kesalahan. Dua konsep dicetuskan daripada situasi ini, iaitu pemindahan positif
dan pemindahan negatif. Pemindahan positif merupakan proses yang memudahkan proses
pembelajaran bahasa kedua berlaku yang terhasil daripada persamaan B1 dan B2,
manakala pemindahan negatif melibatkan perbezaan antara B1 dan B2 yang boleh
menyebabkan berlakunya gangguan. Seterusnya, guru meramalkan jika terdapat
perbezaan antara B1 dan B2, dengan andaian bahawa lebih besar jurang perbezaan, lebih
banyak kesalahan boleh dilakukan. Akhir sekali, aspek bahasa kedua yang perlu diajar
hanyalah jika terdapat perbezaan antara kedua-dua bahasa tersebut. Kesimpulannya,
mudah atau sukarnya sesuatu B2 itu bergantung kepada persamaan dan perbezaan B1 dan
B2 pelajar. Berikut dikemukakan Jadual 1 untuk menggambarkan bagaimana analisis
perbandingan dibuat.

Jadual 1 Cara analisis perbandingan dijalankan dan bagaimana penentuan item dilakukan
untuk tujuan pengajaran (Diubah suai daripada Salehuddin, 2018)

Item yang dianalisis: Kata kerja (kala kini)


1. mufrad 2. mufrad/ 3. jamak 3. mufrad
jamak
Bahasa Saya makan Awak makan Mereka makan Ayu makan
Melayu nasi. nasi. nasi. nasi.
Bahasa I eat rice. You eat rice. They eat rice. Ayu eats rice.
Inggeris
Analisis [kedua-dua [kedua-dua [kedua-dua [satu bahasa
bahasa tiada bahasa tiada bahasa tiada tiada infleksi;
infleksi] infleksi] infleksi] satu bahasa ada
infleksi
Perlu diajar? Tidak Tidak Tidak Ya

5. Kaedah Pengajaran Bahasa Komunikatif

Kaedah ini mula terkenal pada sekitar tahun 1970-an apabila ahli linguistik menyedari
bahawa pelajar mungkin mengetahui kegunaan linguistik tetapi tidak berkemampuan
untuk menggunakannya. Jelas bahawa pelajar perlu mengetahui penggunaan beberapa
fungsi dalam bahasa seperti menjemput, menolak, memuji atau meminta dalam konteks
sosial (Raju, 2017). Hal ini bermakna, untuk berkomunikasi dengan baik, pelajar tidak
begitu memerlukan kecekapan linguistik, tetapi perlu menguasai kecekapan komunikasi
yang membolehkan mereka menggunakan bahasa mengikut masa, tujuan, situasi dan
tempat yang sesuai. Dalam kaedah ini, peranan guru adalah untuk mencipta situasi yang
boleh menggalakkan komunikasi berlaku. Pelajar berinteraksi sesama mereka dengan giat
dalam konteks yang ditentukan oleh guru. Kaedah ini bertujuan untuk membiasakan
pelajar bercakap dengan yakin sekiranya situasi ditentukan oleh guru berbanding hanya
menguasai bentuk bahasa semata-mata. Menerusi kaedah ini, tumpuan kurang diberikan
10

kepada struktur bahasa. Kaedah ini juga berpusatkan pelajar dan banyak bergantung
kepada keupayaan pelajar itu sendiri, sehingga mencetuskan motivasi dalam kalangan
pelajar untuk menguasai B2 dengan lebih baik.

6. Pendekatan Berasaskan Tugas

Pendekatan Berasaskan Tugas memberikan tumpuan kepada penggunaan bahasa yang


autentik melalui tugas yang bermakna seperti melawat doktor atau membuat panggilan
telefon. Kaedah ini juga berpusatkan pelajar, serta menggalakkan komunikasi yang
bermakna. Selain itu, kaedah ini juga memberi dorongan kepada pelajar untuk
meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, kreativiti, dan kespontanan. Antara
contoh pelaksanaan kaedah ini ialah mengadakan aktiviti simulasi main peranan, kuliah,
mengadakan temu bual, permainan, menonton filem dan menulis esei.

Oleh sebab latar pelajar berbeza dari segi keperluan, pengalaman belajar, tahap keintelektualan,
latar budaya, dan sikap terhadap pembelajaran, sukar untuk menentukan kaedah yang paling
sesuai untuk digunakan dalam sesebuah bilik darjah. Adakalanya, guru perlu mengadaptasi lebih
daripada satu kaedah untuk mencapai tingkah laku yang diinginkan dalam kalangan pelajar
mereka.

Isu-isu Berkaitan Pengajaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kedua di Malaysia

a. Perbezaan Keperluan Penutur Natif dan Bukan Natif dalam Program Pendidikan

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa, budaya, dan bahasa dengan tiga kaum
terbesar mendominasi jumlah kaum di negara ini, iaitu Melayu, Cina, dan India. Pada tahun
2018, penduduk di Malaysia berjumlah 32.4 juta orang dengan komposisi 69 peratus bumiputera,
23 peratus Cina, hampir tujuh peratus India, dan satu peratus bangsa lain (“Jumlah Penduduk di
Malaysia tahun 2018 - Perbandingan Kaum, Umur dan Jantina,” 2018). Berdasarkan data
tersebut, jumlah bukan bumiputera adalah seramai 31 peratus daripada jumlah seluruh rakyat
Malaysia. Golongan bukan bumiputera ini merupakan golongan yang mempelajari bahasa
Melayu sebagai B2, B3 atau mungkin B4. Tidak mustahil juga ada dalam kalangan mereka
belajar bahasa Melayu sebagai bahasa asing.

Oleh sebab jumlah penduduk bukan bumiputera yang kebanyakannya penutur bukan natif bahasa
Melayu agak besar, keperluan untuk mempelajari bahasa Melayu dalam sistem yang tepat perlu
diberi perhatian sewajarnya. Menurut Hamid (2011: 185), pemboleh ubah bangsa atau aspek
kenatifan merupakan pemboleh ubah yang penting yang harus dikenal pasti kesannya ke atas sesuatu
program pendidikan bahasa. Ini membawa maksud, para pelajar Melayu dan bukan Melayu melalui
proses penguasaan pengetahuan bahasa Melayu dengan cara yang berbeza. Sebagai B1, pelajar
Melayu telah menguasai bahasa Melayu dengan agak baik sebelum mereka mengikuti pembelajaran
formal di sekolah, pada usia sekitar lima atau enam tahun. Namun demikian, pada usia sebaya kanak-
kanak Melayu mula belajar di sekolah, pelajar bukan Melayu baru memulakan pembelajaran bahasa
Melayu mereka, iaitu semasa mereka mula belajar secara formal di sekolah. Keadaan ini
membayangkan bahawa garis mula dalam pemerolehan dan pembelajaran bahasa Melayu adalah
berbeza untuk pelajar B1 dan B2. Pada waktu pelajar natif telah dapat menggunakan bahasa
11

Melayu secara berpada dalam komunikasi bersama-sama orang di sekelilingnya, pelajar bukan
natif baru memulakan perjalanannya untuk menguasai bahasa Melayu sebagai B2.

Hal ini juga dijelaskan oleh tokoh Mentalis, Chomsky menerusi Hipotesis Nurani. Oleh sebab
kanak-kanak dilahirkan bersama-sama Alat Pemerolehan Bahasa (Language Acquisition Device)
yang tersedia dalam mindanya, proses pemerolehan B1 berlaku secara semula jadi dan
melibatkan proses penyesuaian, bukannya pembelajaran. Kanak-kanak bukan natif
kebanyakannya mula belajar bahasa Melayu secara formal pada usia lima ke enam tahun. Pelajar
bukan natif juga perlu berhadapan dengan kesukaran menguasai bahasa Melayu sebagai B2
kerana berlakunya gangguan B1. Oleh yang demikian, pelajar Melayu dan bukan Melayu
seharusnya diajar dengan pendekatan, kaedah, dan bahan yang berasingan. Walaupun kelas
peralihan diwujudkan untuk memberi peluang kepada pelajar bukan Melayu meningkatkan
penguasaan bahasa Melayu mereka ketika memasuki sekolah menengah, hanya sebilangan kecil
pelajar sahaja yang berjaya menguasai bahasa Melayu dengan baik. Sebahagian besar pelajar
bukan Melayu yang lain masih gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik walaupun diberi
peluang belajar bahasa Melayu selama satu tahun dalam kelas peralihan.

Selain itu, terdapat juga isu ketidakseimbangan komponen bahasa yang diberi penekanan dalam
kelas bahasa. Pelajar bukan Melayu menguasai bahasa Melayu secara formal, sama ada di
sekolah mahupun di pusat-pusat pembelajaran persendirian. Melalui sistem pembelajaran yang
formal tersebut, penekanan lebih banyak diberikan kepada penguasaan aspek tatabahasa jika
dibandingkan dengan aspek kecekapan berbahasa seperti kesantunan berbahasa. Kesannya,
pelajar bukan Melayu cemerlang dalam aspek tatabahasa, tetapi kurang mahir dalam aspek
kecekapan berbahasa khususnya yang berkaitan dengan aspek sosial dalam bahasa. Terdapat
kajian yang menunjukkan kurangnya pemahaman pelajar bukan Melayu dalam aspek kata ganti
nama diri sehingga dilihat sebagai kurang santun dalam berbahasa, walhal dari aspek tatabahasa,
mereka telah menggunakannya dengan betul. Oleh sebab pelajar bukan natif tidak mempunyai
intuisi bahasa, mereka lebih cenderung memilih bentuk yang kurang tepat dalam berbahasa
kerana banyak dipandu oleh pengetahuan struktur dan tatabahasa sahaja.

Untuk memperbaiki situasi ini, beberapa langkah perlu dilaksanakan untuk memastikan pelajar
B2 melalui proses PdP yang bersesuaian dengan keperluan mereka yang merupakan penutur
bukan natif. Antaranya ialah mengubah fokus pengajaran kepada melatih pelajar B2 untuk
menggunakan bahasa seperti mana penutur natif berbahasa. Selain daripada aspek tatabahasa,
keseluruhan korpus lakuan bahasa seperti keupayaan memberi tindak balas yang bersesuaian
mengikut situasi, menggunakan kata sapaan yang sesuai dan santun, kesusilaan dalam berbahasa,
serta hal-hal yang berbentuk larangan atau taboo dalam berbahasa perlu dikuasai dengan
sebaiknya.

b. Alih Kod
Gejala alih kod bukanlah satu gejala yang asing dalam pengajaran dan pembelajaran B2. Gejala
ini melibatkan sama ada pelajar yang sudah mahir dalam B2 mahupun pelajar yang baru
memulakan pembelajarannya. Alih kod dilihat sebagai gejala peralihan daripada satu bahasa
kepada satu bahasa yang lain secara bertukar ganti, seringkali dipandang sebagai negatif,
walaupun kajian terkini mempersoalkan orientasi kurang tepat sebegini (García & Wei, 2013).
12

Hal ini kerana gejala alih kod boleh dieksploitasi oleh guru untuk dijadikan sebahagian daripada
kaedah pengajaran. Apabila seseorang guru itu boleh berbahasa seperti bahasa pelajarnya, kelas
itu sendiri menjadi satu situasi alih kod. Seringkali, B1 digunakan untuk memulakan PdP,
menegur pelajar, atau yang berkaitan dengan perbincangan yang kurang formal antara pelajar
dengan guru atau sesama pelajar. Kelas yang menggunakan alih kod kini dilihat sebagai kelas
yang komunikatif, berbanding beberapa dekad yang lalu. Oleh itu, gejala alih kod seharusnya
dilihat sebagai gejala yang semula jadi berlaku dalam kelas yang melibatkan penutur B2.

Radolp Jacobson telah memperkenalkan satu kaedah pengajaran yang dikenali sebagai
Pendekatan Sejajar Baharu (Cook, 2001). Dalam pendekatan ini, guru menyeimbangkan
penggunaan dua bahasa dalam satu PdP. Guru hanya boleh menggunakan alih kod pada bahagian
tertentu dalam pengajaran sahaja, iaitu sewaktu menjelaskan sesuatu konsep penting, apabila
perhatian pelajar terganggu oleh perkara di luar topik pembelajaran, ataupun semasa pelajar
menerima pujian.

c. Rentas Bahasa (Translanguaging)


Rentas bahasa merupakan istilah yang diterjemah daripada istilah bahasa Inggeris, iaitu
translanguaging. Istilah ini agak baru muncul dalam disiplin pendidikan dwibahasa, dan kini
semakin sering digunakan oleh sarjana-sarjana terkemuka. Menurut Garcia (2009b), rentas
bahasa merupakan tindakan dwibahasawan dalam mengakses ciri linguistik yang berbeza atau
pelbagai mod dalam bahasa yang berautonomi, dalam usaha untuk memaksimumkan potensi
komunikasi mereka. Oleh itu, rentas bahasa membawa pengertian yang jauh lebih luas daripada
alih kod, tukar kod atau pinjam kod.
Istilah translanguaging berasal daripada bahasa Wales trawsieithu dan dicipta oleh Cen
Williams (1994, 1996 dalam García & Li, 2014). Pada asalnya, istilah itu digunakan untuk
merujuk amalan pedagogi yang meminta pelajar untuk menukar bahasa bagi tujuan pemahaman
dan penghasilan bahasa yang digunakan dalam pembelajaran, contohnya pelajar boleh diminta
untuk membaca dalam bahasa Inggeris dan menulis dalam bahasa Wales, dan sebaliknya (Baker,
2011).
Menurut Baker (2001), terdapat empat potensi manfaat rentas bahasa dalam pendidikan, iaitu:
i. Rentas bahasa boleh menggalakkan pemahaman yang lebih baik dan mendalam
terhadap sesuatu perkara.
ii. Rentas bahasa boleh membantu perkembangan bahasa yang lebih lemah.
iii. Rentas bahasa memudahkan pautan dan kerjasama untuk persekolahan di rumah.
iv. Rentas bahasa boleh membantu integrasi antara penutur yang fasih dengan penutur
baru sesuatu bahasa.
Dalam PdP bahasa kedua, fenomena rentas bahasa boleh dipertimbangkan memandangkan
masyarakat di seluruh dunia semakin berbilang bahasa dan bangsa. Fenomena ini dilihat
memberi sedikit kebebasan kepada pelajar untuk bertindak lebih responsif dalam proses PdP.
Dalam PdP bahasa Melayu sebagai B2, pelajar boleh terdiri dari bangsa yang berbeza yang
menguasai B1 yang berbeza. Oleh itu, rentas bahasa boleh memberi jalan keluar kepada pelajar
dan guru untuk melakukan PdP yang lebih bermakna dan difahami.
13

Kesimpulan
Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sebagai B2 memerlukan penelitian khusus dari
aspek pembinaan kurikulum, serta pemilihan kaedah, pendekatan, dan bahan. Pelbagai kaedah
dan pendekatan pengajaran boleh digunakan, namun pemilihan haruslah mengambil kira
keperluan pelajar yang rencam dan pelbagai.

Rujukan
Abu Bakar, S. S., & Subramaniam, S. (2012). Pengaruh Motivasi Instrumental dan Integratif
dalam Pemilihan Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Penutur Asing.
Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2(2), 54–61. https://doi.org/10.1088/0953-
8984/21/4/042202
Cook, V. (2001). Second Language Learning and Language Teaching. London: Arnold.
Ellis, R. (1997). Second Language Acquisition. England: Oxford University Press.
Firth, R. (1975). An Appraisal of Modern Social Anthropology.
García, O., & Li, W. (2014). Translanguaging: Langugae, Bilingualism and Education.
https://doi.org/10.1057/9781137385765
García, O., & Wei, L. (2013). Translanguaging: Language, bilingualism and education.
Translanguaging: Language, Bilingualism and Education. UK: Palgrave MacMillan.
https://doi.org/10.1057/9781137385765
Gardner, R. C., & Lambert, W. E. (1972). Motivational variables in second language acquisition.
In R. C. Gardner & W. Lambert (Eds.), Attitudes and motivation in second language
learning (pp. 119–216). Rowley, MA: Newbury House.
Hamid, Z. (2011). Peranan Teori Psikolinguistik Dalam Pemurnian Dan Pemerkasaan
Pendidikan Bahasa Melayu Di Malaysia. Jurnal E-Bangi, 6(2), 183–192.
https://doi.org/10.1017/CBO9781107415324.004
Husin, K., Yusof, A., & Shaari, M. R. (2011). Pedagogi Bahasa: Amalan Bilik Darjah. Tanjong
Malim: Emeritus Publications.
James, C. (1980). Contrastive Analysis. London: Longman.
Jumlah Penduduk di Malaysia tahun 2018 - Perbandingan Kaum, Umur dan Jantina. (2018).
Retrieved from https://www.gcarian.com/statistik-penduduk-malaysia.jsp
Khasinah, S. (2014). Factors Influencing Second Language Acquisition. Englisia, 1(2), 256–268.
https://doi.org/10.22373/ej.v1i2.187
Krashen, S. (1981). Second Language Acquisition and Second Language Learning. University of
Southern California: Pergamon Press Inc.
14

Krashen, S. (1982). Principle and Practise of Second Language Acquisition. University of


Southem California: Pergamon Press Inc.
Okmen, B., & Kilic, A. (2016). A Research about the Level of Using Language Teaching
Methods and Its Effect on Some Variables : in Turkey, 4(9), 1994–2001.
https://doi.org/10.13189/ujer.2016.040909
Raju, B. (2017). Effective Methods of Teaching and Learning English. In P. Scott (Ed.),
Language Teaching: Techniques and Principles (pp. 73–78). New York: Magnum
Publishing LLC.
Salehuddin, K. (2018). Psikolinguistik: Penerokaan Minda Berlandaskan Bahasa. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Schachter, J. (1988). Second Language Acquisition and Its Relationship to Universal Grammar.
Applied Linguistics, 9(3), 219–235.
Selinker, L. (1972). Interlanguage. International Review of Applied Linguistics, 10, 209–231.
Selinker, L. (1992). Rediscovering Interlanguage. London: Longman.

View publication stats

You might also like