Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 9

KURSUS: GGGA6243 PERANCANGAN KURIKULUM

TUGASAN B:

ANALISIS KEPERLUAN KURIKULUM BERDASARKAN MASALAH KERAJAAN


TEMPATAN (DARO, MUKAH, SARAWAK)

1.0 PENGENALAN

Daro ialah sebuah daerah dan pekan di Bahagian Mukah, Sarawak, Malaysia.
Keluasan kawasan Daro sekitar 1225.74km 2. Struktur geografinya adalah bertanah
rendah dan salah satu jalan perhubungannya dengan menggunakan sistem air.

Rajah 1.0 Daro, Bahagian Mukah, Sarawak

Nama daerah Daro berasal dari “Dao Aro” yang membawa maksud “Bagus Ke”
menjadi singkatan Daro. Daro terdiri daripada beberapa buah kampung seperti kampung
Saai, kampung Penipah, kampung Sebako, kampung Bruit, kampung Semop, kampung
Nangar dan kampung-kampung lain (Majlis Daerah Matu Daro, 2021). Permukaan bumi
Daro yang luas membahagikan Daro kepada dua bahagian utama iaitu di bahagian
tanah besar dan bahagian pulau yang dikenali sebagai Pulau Bruit. Majoriti penduduk
Daro berjumlah sekitar 25000 orang yang terdiri daripada kaum Melanau. Kegiatan
ekonomi utama penduduk di Daro merangkumi aktiviti pertanian dan nelayan.

Terdapat beberapa kemudahan yang berkhidmat di daerah ini termasuk sekolah,


hospital, balai polis dan balai bomba. Di jeti Daro, replika ikan terubuk melambangkan
ikan yang popular di Daro. Daerah Daro juga mempunyai sebuah sekolah yang unik di
Malaysia yang di mana Sekolah Kebangsaan Camporan Daro mempunyai dua aliran
iaitu aliran Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina tetapi belajar di bawah satu bumbung
sekolah dan di bawah satu pentadbiran.

2.0 MASALAH-MASALAH TEMPATAN

Berdasarkan perjumpaan dan data yang diberikan oleh Pejabat Daerah Matu Daro
serta ketua kampung yang berada dalam daerah ini, berikut merupakan hasil dapatan
mengenai masalah-masalah tempatan bagi kawasan daerah Daro. Data-data ini
merupakan aduan dan kes yang diterima sepanjang 3 tahun sahaja iaitu dari 2019-2022
dan ia sebenarnya konsisten dengan tahun-tahun sebelumnya.

Kekurangan
bekalan air
bersih

Masalah
Daerah Daro
Capaian
internet yang
lemah

Rajah 1.1 Kategori masalah tempatan di daerah Daro bagi tahun 2019-2022

Berdasarkan rajah 1.1, masalah tempatan di daerah Daro terbahagi kepada dua iaitu
masalah utama kekurangan bekalan air bersih dan masalah kedua iaitu capaian internet
yang lemah.

Melalui pertemuan dengan pegawai Pejabat Derah Daro dan ketua kampung di
kawasan Daro ini, mendapati masalah kekurangan bekalan air bersih merupakan
masalah utama yang selalu menggangu pengurusan aktiviti seharian penduduk. Malah
masalah capaian internet yang lemah menjadi masalah kedua penduduk pada zaman
sekarang yang kian banyak bergantung dengan urusan dalam talian.

Masalah utama bagi kawasan daerah Daro ialah masalah kekurangan beklalan air
bersih. Masalah gangguan bekalan air dan air kurang bersih sering berlaku di kawasan
Daro terutamanya di kampung Nangar, kampung Tebaang, kampung Patray dan
kampung Lemang Pek. Pihak kerajaan telah bercadang untuk membina loji perawatan
air baru dan kini masih sedang dalam fasa pelaksanaan.

Satu rangkaian pembangunan iaitu Jambatan Muara Lassa akan memberi impak
sosioekonomi besar kepada kawasan Daro ini. Setelah rangkaian jalan pesisir di
kawasan Tanjung Manis dan Daro ini telah siap, grid bekalan air utama jangka panjang
bakal disambung melalui jambatan ini. Hal ini merupakan satu penjimatan kerana tidak
lagi mengguna dasar laut dan sungai yang berkos tinggi dan paipnya sentiasa bergerak
untuk grid bekalan air (utusan borneo online, 2019).

Namun begitu, penduduk daerah Daro masih dipengaruhi oleh gangguan masalah
tersebut pada masa sekarang. Antara punca-punca gangguan air adalah seperti paip
pecah, tekanan air rendah dan pencemaran air.

Masalah bekalan air tidak bersih secara tidak langsung boleh mengakibatkan
pelbagai penyakit kepada penduduk setempat. Hal yang demikian berlaku disebabkan
penduduk menadah air hujan secara terbuka. Air yang tidak dirawat dan kurang bersih
boleh menyebabkan penduduk terdedah kepada penyakit kulit dan masalah kesihatan.
Misalnya, akibat daripada kekurangan sumber air bersih untuk diminum akan
menyebabkan berlakunya dehidrasi yakni kekurangan air dalam badan. Untuk kegunaan
memasak dan meminum, penduduk setempat bergantung kepada air mineral. Hal ini
menunjukkan penduduk perlu membiayai kos yang lebih tinggi untuk mendapatkan
sumber air yang bersih bagi makan dan minum. Masalah kekurangan bekalan air bersih
ini memberikan banyak kekangan kepada penduduk daerah Daro dalam menguruskan
aktiviti seharian.

Melihat kepada kesan-kesan yang dihadapi oleh penduduk kawasan daerah Daro,
kesedaran awal tentang keperluan memelihara dan memulihara sumber bekalan air
adalah penting bagi memastikan penduduk sentiasa memperoleh bekalan air bersih
untuk menjamin kualiti hidup yang baik bukan sahaja pada hari ini tetapi juga pada hari-
hari yang mendatang.
Melalui data yang diperoleh, liputan internet di kawasan Daro selalu menunjukkan
3G atau 4G, tetapi kelajuannya masih lemah dan kadangkala langsung tiada capaian
internet. Penduduk Daro yang tinggal di kampung terpaksa keluar ke tengah pekan
untuk mendapatkan akses internet. Segala aktiviti yang perlu menggunakan capaian
internet semua terjejas dan hal ini menyebabkan kecekapan seseorang itu menjadi
rendah dan tidak efisien.

Gangguan masalah capaian internet ini menyukarkan golongan pelajar terutama bagi
mereka yang perlu menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Masalah capaian internet yang lemah sangat memberi kesan kepada proses PdPR
memandangkan internet adalah perkara asas untuk tujuan pembelajaran dalam talian.
Meskipun pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah
menaik taraf, namun masih tidak memenuhi hasrat penduduk di Daro.

Tambahan pula, masalah capaian internet yang lemah ini memberi kesan kepada
golongan yang bekerja. Misalnya, mereka berdepan gangguan internet semasa
mesyuarat, pengahantaran dokumen, menjalankan jualan dan panggilan semasa dalam
talian. Hal ini telah dipastikan mengganggu urusan harian. Lebih-lebih lagi dalam masa
pendemik Covid-19 sekarang yang mana kebanyakan urusan dilakukan melalui dalam
talian.

Masalah capaian internet yang lemah ini berkait rapat dengan bidang teknologi
maklumat dan telekomunikasi di negara kita. Integrasi elemen teknologi maklumat dan
komunikasi dalam kurikulum amat penting bagi murid-murid untuk menguasai dan
mengawal hampir semua perkara di hujung jari sahaja (A. Razak Ahmad, 2011) dan
seterusnya dapat menggembleng tenaga dalam menyelesaikan masalah ini.

3.0 ELEMEN DALAM KURIKULUM BEDASARKAN MASALAH TEMPATAN

3.1 KEKURANGAN BEKALAN AIR BERSIH

Masalah kekurangan air bersih merupakan masalah utama dan kerap dialami
oleh penduduk daerah Daro. Aktiviti seharian seperti makan dan minum bagi
penduduk daerah ini telah diganggu dan dipengaruhi oleh masalah ini. Hal ini
menunjukkan banyak kesan buruk yang didepani oleh penduduk setempat. Air
merupakan anugerah Tuhan yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat.
Justeru, usaha dalam mengurus dan memulihara sumber air adalah sangat penting
untuk menyelesai masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat.

3.1.1 Elemen kesedaran dalam pengurusan dan pemeliharaan sumber air dalam
mata pelajaran Bahasa

Pencemaran akibat daripada pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik


atau kegiatan ekonomi seperti pertanian di ladang-ladang kawasan daerah Daro
ini menyebabkan sisa kimia tersebut mengalir ke sungai-sungai dan
menyebabkan air tercemar dan air bersih menjadi semakin berkurang. Kesedaran
dan pendidikan yang bertujuan untuk pembabitan penduduk dalam usaha
menangani masalah kekurangan bekalan air bersih dipercayai dapat membentuk
sikap dan amalan yang positif. Dengan ini, penerapan elemen kesedaran dalam
pengurusan dan pemeliharaan sumber air amat penting dalam kurikulum mata
pelajaran Bahasa. Hal demikian dapat membantu murid-murid mengenal pasti
dan mempertimbangkan kepentingan bekalan air bersih dan seterusnya
mengamalkan sikap dan amalan yang baik dalam pemeliharaan sumber air.

3.1.2 Elemen kesihatan dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan

Sumber air yang tercemar dan kotor dapat menyebabkan pelbagai penyakit.
Penggunaan air yang tidak bersih dalam aktiviti seharian seperti memasak dapat
membawa kepada penyakit kronik dan hal ini dapat menganggu kesihatan badan
kita. Oleh yang demikian. elemen penjagaan kesihatan ini boleh diterapkan ke
dalam kurikulum Pendidikan Kesihatan bagi memberikan maklumat untuk murid-
murid mengenali punca, kesan dan cara mengatasi masalah yang berlaku.
Misalnya, maklumat mengenai rawatan terbaik jika menghadapi penyakit-penyakit
tersebut. Tambahan pula, murid-murid boleh mengetahui cara-cara menjaga
kesihatan dan kebersihan diri seperti menapis air dengan alatan penapis dalam
penggunaan bekalan air yang sedia ada.

3.1.3 Elemen teknologi dalam mengatasi kekurangan bekalan air bersih dalam
mata pelajaran Sains dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT)

Beberapa inisiatif pelaksanaan telah dilakukan di kawasan daerah Daro untuk


mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih. Antara usaha pihak kerajaan
bagi mengatasi masalah ini adalah membina loji rawatan air mentah dan
memperbanyakkannya bagi menampung penggunaan air oleh penduduk
setempat untuk kegunaan harian. Selain itu juga, penggunaan jenis paip yang
sesuai juga dipertimbangkan dalam mengatasi masalah ini. Hal ini amat penting
bagi memastikan keperluan dan kebaikan penduduk dapat dijamin kerana air
merupakan keperluan utama dalam aktiviti harian manusia.

Dengan ini, elemen pengetahuan, kemahiran dan teknologi yang berkaitan


dengan masalah ini boleh dimasukkan dalam kurikulum mata pelajaran Sains dan
Reka Bentuk dan Teknologi. Kemahiran asas dan pengetahuan yang dirancang
dan disediakan dapat memberi gambaran awal dan murid boleh menerokainya
dengan lebih mendalam bersama guru semasa pengajaran dan pembelajaran
dijalankan.

3.2 CAPAIAN INTERNET YANG LEMAH

Pada era globalisasi ini, penggunaan Intenet semakin meluas dan ia


memainkan peranan penting dalam urusan kehidupan kita. Masalah capaian
internet yang lemah menyebabkan pelbagai urusan dalam talian penduduk daerah
Daro diganggu. Internet adalah antara pekara asas pada zaman ini namun jika
masalah capaian internet masih lemah, pakai peranti apa sekali pun tidak
bermakna. Oleh itu, masalah ini perlu diselesaikankan bagi menjamin kehidupan
berkualiti penduduk.

3.2.1 Elemen integrasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam semua mata
pelajaran

Integrasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembelajaran dan


pengajaran bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal,
mengukuh dan menambah kemahiran. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia
(2013), teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) telah diterapkan dalam Elemen
Merentas Kurikulum (EMK) sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan
kualiti pelaksanaan KSSR. Secara umum TMK dapat menukarkan data-data
mentah yang tidak memberi makna kepada maklumat yang tersusun dan berguna
apabila ianya diproses, disimpan dan boleh dikemaskinikan dengan mudah dan
cepat dengan menggunakan pelbagai perisian computer (Beauchamp, G., 2012).
Perkara yang penting dalam integrasi teknologi maklumat dan komunikasi ialah
setiap strategi itu harus menjurus kepada keperluan pengajaran dan
pembelajaran dan sebagai satu cara untuk guru dan murid menyelesaikan
masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang tepat
dengan isi kandungan (Rusmini Ku Ahmad, 2012). Dengan ini, pihak sekolah
perlu mengambil berat tentang penerapan elemen integrasi teknologi maklumat
dan komunikasi yang dijalankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
dengan efisian serta bercekap terutamanya sekolah-sekolah yang bukan di
bandar. Hal ini boleh memastikan semua murid dapat mengenai dan mendapati
ilmu pengetahuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya dapat
melahirkan murid yang lebih berkemampuan dalam bidang teknologi maklumat
dan komunikasi.

3.2.2 Elemen teknologi maklumat dan telekomunikasi dalam mata pelajaran Sains

Pembinaan menara komunikasi merupakan penyelesaian terbaik bagi


mengatasi isu liputan internet di kawasan daerah Daro. Menurut data yang
diterima, masalah internet di kawasan ini adalah berpunca daripada radius
jaringan jalur lebar yang tidak cukup meluas dan ia boleh diselesaikan dengan
adanya menara komunikasi yang mempunyai radius liputan yang lebih meluas.
Elemen pengetahuan, kemahiran dan teknologi yang berkaitan dengan masalah
dan cara penyelesaian ini boleh diterapkan dalam mata pelajaran Sains. Sebagai
contoh, ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan teknikal telekomunikasi,
keadaan bentuk muka bumi dalam pencapaian frekuensi internet dan lain-lain
yang sesuai. Dengan ini, murid dapat mengenai ilmu pengetahuan dalam bidang
teknologi maklumat dan telekomunikasi serta mengkajinya dengan lebih terinci.

3.2.3 Elemen pembangunan teknologi maklumat dan telekomunikasi negara


dalam mata pelajaran Sejarah

Sejajar dengan perkembangan internet dunia, sistem telekomunikasi negara


kita turut berkembang. Tetapi kawasan liputan internet di negara kita ini masih
perlu diperluaskan lagi dan capaian internet perlu dinaik taraf terutamanya di luar
bandar dan pendalaman.

Masalah capaian internet yang lemah di kawasan daerah Daro perlu


diselesaikan dengan kerjasama pihak kerajaaan dan syarikat telekomunikasi.
Dalam kurikulum pendidikan, murid-murid sepatutnya perlu didedahkan dengan
maklumat atau sejarah tentang pembangunan telekomunikasi dan teknologi
maklumat di negara kita. Hal ini dapat membantu murid mengenai sejarah dan
mendapat satu gambaran awal tentang keadaan dahulu dan semasa di negara
kita. Dengan ini, elemen pembangunan teknologi maklumat dan telekomunikasi ini
boleh diterapkan dalam mata pelajaran sejarah bagi membantu murid mendapat
maklumat-maklumat berikut. Oleh itu, murid dapat berbincang dengan kawan,
berfikir dengan kritis dan meneroka bidang teknologi maklumat dan
telekomunikasi ini dengan mendalam dan seterusnya boleh mengemukakan idea
bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar supaya memperluaskan
kawasan liputan internet yang berkualiti di negara kita.

4.0 RUMUSAN

Hasil dapatan menunjukkan masalah yang dihadapi oleh penduduk daerah Daro ini
dapat disimpulkan isu-isu tersebut melibatkan aduan keperluan sosial. Keperluan sosial
dalam kehidupan penduduk perlu diselesaikan bagi menjamin kehidupan yang berkualiti.

Pihak berkenaan perlu mengambil tindakan bagi memastikan masyarakat setempat


mampu menikmati kehidupan yang baik dan berkualiti. Semua pihak perlu memainkan
peranan masing-masing dalam usaha mengatasi kekangan tersebut. Kurikulum
pendidikan di sekolah merupakan satu elemen yang penting dalam mengubah struktur
corak pemikiran dan tindakan bagi menghadapi cabaran semasa. Pelengkapan
pembangunan insan murid dengan keperluan semasa dalam kurikulum pendidikan
negara dapat memberi kecenderungan kecemerlangan dalam pembangunan negara.
5.0 RUJUKAN

A. Razak Ahmad. (2011). Kepentingan Kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.


Dicapai daripada http://www.flashkitech.com/?p=501

Gary Beauchamp. (2012). ICT in the Primary School. London: Routledge.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran.


Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Majlis Daerah Matu Daro. (2021). Latar Belakang Matu dan Daro. Dicapai daripada
https://matu-darodc.sarawak.gov.my/page-0-203-113-Latar-Belakang-Matu-dan-
Daro.html#

Rusmini Ku Ahmad. (2012). Integrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam


Pengajaran dan Pembelajaran. Dicapai daripada
http://www.iab.academia.edu/RusminiKuAhmad/Papers/524734/Integrasi_Teknologi_M
aklumat_dan_Komunikasi_Dalam_Pengajaran_dan Pembelajaran

Utusan Borneo Online. (2019). Jambatan Muara Lassa Jambatan “Emas” Penduduk Daro
dan Sekitar. Dicapai daripada https://www.utusanborneo.com.my/2019/09/08/jambatan-
muara-lassa-jambatan-emas-penduduk-daro-dan-sekitar

You might also like