Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Baiah kepada Rasulullah untuk muncul umat

terbaik
Oleh Dandrawi S

SAIDATINA Aishah menceritakan bahawa Asma’ binti Abu Bakar keluar


sewaktu hijrah, ketika beliau sedang sarat mengandungkan Abdullah
bin Az-Zubair. Beliau melalui Quba', ketika sampai di Quba' beliau
melahirkan Abdullah.

Selepas melahirkannya beliau keluar menemui Rasulullah supaya


baginda meletakkan sesuatu pada lelangit anaknya. Lalu Rasulullah
mengambil anak itu daripadanya dan baginda meletakkannya dalam
pangkuan baginda, kemudian baginda meminta buah kurma.

Aisyah berkata: “Kami harus mencarinya dulu sebelum diberikan


kepada baginda. Baginda meludahkannya ke dalam mulut anak itu,
sehingga yang pertama masuk ke perutnya adalah ludahan Rasulullah.

“Selanjutnya Asma' berkata: Kemudian Rasulullah mengusap kepala


anak itu, lalu mendoakan dan menamakannya dengan nama Abdullah,
kemudian apabila anak itu berumur tujuh atau lapan tahun, beliau
datang untuk berbaiah kepada Rasulullah kerana ayahnya Az-Zubair
yang memerintahkan beliau berbuat demikian. Rasulullah tersenyum
ketika melihat anak itu menghadapnya, kemudian beliau berbaiah
kepada baginda.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Salah satu sunnah yang lama dilupakan ialah baiah atau janji taat setia
kepada Rasulullah yang diamalkan sama ada oleh sahabat ketika hayat
Rasulullah atau tabi'in dan tabi' tabi'in selepas ketiadaan baginda.

Oleh kerana dalam akidah Islam menggariskan bahawa fungsi Nabi


Muhammad sebagai rasul terakhir dan sebagai sumber penyatuan
ummah tidak berakhir dengan berakhirnya hayat baginda, maka
Rasulullah dianggap hidup dalam jiwa dan pemikiran umatnya hingga
hari kiamat.

Justeru, janji taat setia kepada Rasulullah diteruskan hingga hari


kiamat.

Janji dan taat setia kepada Rasulullah ini dibuat melalui penyaksian dan
pengakuan yang ikhlas, lagi murni terhadap Nabi Muhammad sebagai
rasul atau utusan Allah yang datang bersama mukjizat yang kekal
hingga hari kiamat, iaitu al-Quran. Ia yang diturunkan melalui
perantaraan Jibril mengandungi ajaran Islam yang sejagat, rasional dan
relevan untuk semua zaman dan keadaan.
Janji dan taat setia inilah yang terkandung dalam dua kalimah
syahadah yang menjadi syarat sah untuk seseorang menjadikan dirinya
sebagai seorang Islam.

Seseorang yang sempurna akal dan sampai umur baligh dengan tidak
mengira lelaki atau perempuan, diwajibkan sekurang-kurangnya
melafazkan dua kalimah syahadah sebagai janji dan taat setia kepada
Allah dan rasul-Nya.

Janji taat dan setia kepada Allah melalui penyaksian bahawa tiada
Tuhan yang diabdikan diri selain Allah.

Tuntutan kepada janji dan taat setia kepada Allah yang dilafazkan ini
ialah dua perkara. Pertama, iman dalam enam perkara, iaitu meyakini
dan mempercayai Allah; malaikat-Nya; rasul-Nya; kitab-Nya; ketentuan-
Nya sama ada baik atau tidak dan hari akhirat.

Kedua, Islam dalam lima perkara, iaitu pelaksanaan lafaz dua kalimah
syahadah, menunaikan solat lima waktu, usaha yang bersungguh
hingga boleh mengeluarkan zakat, berpuasa pada Ramadan dan
menunaikan haji ke Baitullah bagi yang mampu.

Kedua-dua tuntutan iman dan Islam ini akan sempurna sekiranya ia


bertunjangkan sifat ihsan. Iaitu, meletakkan diri dalam keadaan menjadi
hamba Allah yang seolah-olah melihat Allah di hadapannya atau
meyakini bahawa setiap tindak tanduknya sebagai hamba sentiasa
diperhati dan diawasi oleh Allah yang mengetahui setiap yang zahir dan
tersembunyi di sudut hati.

Janji taat dan setia kepada Rasulullah pula menuntut dua perkara.

Pertama, penyatuan iaitu bersatu dalam kepemimpinan Rasulullah yang


hidup dalam sanubari setiap umatnya.

Selain itu, penyatuan yang menuntut empat perkara iaitu menyingkirkan


halangan kerjasama kerana sempadan geografi, memecahkan tembok
yang menyekat kasih sayang disebabkan kasta, status dan darjat.
Meleburkan pertikaian kerana berlainan latar belakang dan ideologi
serta akhirnya meleraikan sekatan kerana berlainan warna kulit dan
keturunan.

Kedua, kawalan iaitu mengawal diri melalui sifat Rasulullah yang terpuji,
iaitu benar, amanah, sopan dan berani. Ini menuntut tiga perkara, iaitu
mencegah diri daripada melakukan kemungkaran dan kerosakan;
menghalang diri daripada bersifat keji dan ketandusan adab susila serta
akhirnya mempertahankan kemuliaan diri daripada kehinaan bodoh
dengan menimba ilmu dan kehinaan miskin dengan kuat bekerja.

Kedua-dua tuntutan ini pula hanya akan terlaksana sekiranya


dilaksanakan sifat mahabbah, iaitu kasihkan Rasulullah mengatasi
kasihkan diri sendiri, ibu bapa dan sesiapa saja.

Sekiranya janji taat dan setia kita kepada Allah dan rasul-Nya dapat kita
perbaharui setiap hari dan sedaya upaya cuba memenuhi tuntutannya
akan lahirlah khairu ummah atau umat terbaik. Ia seperti generasi
sahabat dan tabi'in di tiga kurun keemasan yang disebut Rasulullah
“kurun yang terbaik ialah kurunku, kemudian yang selepasnya dan
kemudian yang selepasnya.” (Hadis riwayat Ibn Hibban)

Namun Rasulullah juga ada mengatakan: “Tidak diketahui umatku


manakah yang paling terbaik awalnya, pertengahannya atau akhirnya.”
(Hadis riwayat Ibn Majah)

You might also like