Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 13

GGGC6213 TEORI ASAS PENTADBIRAN

PENDIDIKAN

PENSYARAH :
DR. AZLIN NORHAINI BINTI MANSOR

TUGASAN INDIVIDU:

TEORI KEPATUHAN (COMPLIANCE THEORY)

NAMA : MUHAMAD BIN NORDIN


NO.MATRIK : P83127
PROGRAM :IJAZAH SARJANA PENTADBIRAN PENDIDIKAN
FAKULTI : FAKULTI PENDIDIKAN

TEORI KEPATUHAN (COMPLIANCE THEORY)

ABSTRAK

Penulisan ini bertujuan memahami konsep teori kepatuhan (Compliance


Theory) dan melihat isu-isu dalam organisasi sekolah yang berkait rapat dengan
teori kepatuhan. Menurut teori kepatuhan, organisasi boleh dikelaskan mengikut
jenis kuasa yang mereka gunakan untuk mengarahkan tingkah laku ahli-ahli
mereka dan jenis penglibatan para peserta. Jenis kuasa dan penglibatan berkait
dengan tiga kombinasi yang dijangka iaitu kuasa paksaan menyebabkan
penglibatan alienative, kuasa utilitarian menyebabkan penglibatan calculative,
dan kuasa normatif menyebabkan penglibatan moral. Dalam organisasi sekolah,
penggunaan kuasa paksaan seperti hukuman rotan adalah tidak sesuai kerana
berdasarkan hasil kajian lepas menunjukkan pelajar lebih cenderung kearah
negatif. Manakala menggunakan jenis kuasa seperti normatif adalah lebih sesuai
dilaksanakan di sekolah kerana pelajar lebih cnderung kearah positif. Contohnya
mengadakan aktiviti kokurikulam menggantikan hukuman rotan kepada pelajar
melanggar peraturan dan melakukan kesalahan disiplin. Pendekatan ini
menunjukkan pelajar lebih berminat, dan menunjukkan penglibatan yang positif
(penglibatan moral), justeru mengelakkan pelajar terjebak dengan kes disiplin
sekolah. Teori kepatuhan memandu guru menggunakan kuasa yang sesuai dalam
melaksanakan kurikulum dan kokurikulum di sekolah.

1.0 PENGENALAN
Pengetahuan tentang teori sangat penting bukan sahaja untuk pentadbiran pendidikan, tetapi
untuk golongan pekerja lain seperti ahli sosiologi, psikologi, sejarah, bahasa, dan sebagainya.
Teori boleh diertikan sebagai kerangka, pengetahuan asas untun membentuk pengetahuan
dalam sesuatu bidang. Kerangka konsep atau lebih dikenali conceptual framework adalah titik
tolak daripada pengetahuan mengenai pelbagai teori yang terdapat dalam sesuatu bidang ilmu
itu.

Teori adalah permulaan atau hasilan sesuatu kajian jenis saintifik. Ia dianggap sebagai
asas bagi seseorang penyelidik membuat hipotesis. Dalam bidang pentadbiran seperti
pentadbiran pendidikan, kajian saintifik cuba menghuraikan tentang tingkah laku yang lazim
berlaku atau dilakukan oleh anggota-anggota dalam organisasi pendidikan seperti sebuah
sekolah, jabatan pendidikan atau Kementerian Pendidikan. Penyelidik saintifik boleh
menghuraikan mengenai tingkah laku seseorang individu ataupun mengenai kelompok
individu. Dalam bidang pentadbiran pendidikan, menurut Hoy dan Miskel (2005), teori ialah
satu konsep, yang kait-mengait andaian-andaian dan generalisasi yang menerangkan secara
sistematik kebiasaan tingkah laku dalam organisasi pendidikan. Jadi melalui teori tertentu,
pentadbir boleh menggunakannya sebagai asas untuk mendapatkan jawapan atau mencari
jalan untuk bertindak semasa menghadapi tugas-tugas di dalam situasi tertentu.

Terdapat beberapa teori dalam bidang pentadbiran pendidikan. Kebanyakan teori ini
berasaskan ilmu daripada bidang-bidang lain seperti psikologi, sosiologi, antrapologi,
ekonomi, dan sains politik. Secara umumnya boleh dikatakan bahawa setakat ini masih belum
mempunyai suatu teori yang lengkap dan menyeluruh bagi pentadbiran pendidikan, walaupun
beberapa teori telah mengemukakan corak pemikiran tertentu. Kebanyakan teori dalam
pentadbiran pendidikan menerangkan tentang struktur, tugas, prestasi atau perjalanan
pentadbiran dalam organisasi, tingkah laku di kalangan anggota-anggota organisasi sama ada
pekerja mahupun sebagai pentadbir dan pemimpin.

Salah satu teori dalam bidang pentadbiran pendidikan ialah Teori Kepatuhan atau
Compliance Theory. Teori ini memberi gambaran tentang hubungan yang dimainkan antara
pemimpin dengan subordinat atau orang bawahan dalam pelaksanaan pentadbiran atau
organisasi. Menurut teori kepatuhan pemimpin merupakan orang atasan dan berkuasa ke atas
orang bawahan dalam melaksanakan tugas. Teori Kepatuahan menjelaskan tiga kuasa yang
digunakan oleh orang atasan untuk memastikan orang bawahan menjalankan tugas seperti
mana yang diarahkan. Manakala jenis kuasa yang digunakan berkait rapat dengan jenis
penglibatan peserta. Berdasarkan teori ini, di sekolah guru boleh dianggap sebagai orang
atasan yang menggunakan kuasa untuk mengarahkan pelajar mengikut dan mematuhi arahan.
Manakala pelajar pula adalah dianggap sebagai orang bawahan atau peserta yang akan
melibatkan diri dalam arahan yang diberikan oleh orang atasan.

2.0 LATAR BELAKANG

Dalam pentadbiran pendidikan, pendekatan teori kepatuhan boleh diaplikasikan oleh guru-
guru dengan menggunakan jenis kuasa untuk mengarahkan tingkah laku pelajar dalam
memastikan pelajar mematuhi dan mengikut arahan yang diberikan oleh guru tersebut.
Namun setiap penglibatan pelajar memberikan penglibatan yang berbeza-beza sama ada dari
segi positif atau negatif berdasarkan jenis kuasa yang digunakan oleh guru tersebut dalam
memastikan pelajar mematuhi arahan yang diberikan. Jika guru tidak menggunakan kaedah
yang betul dalam melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran di sekolah,
berkemungkinan besar guru berhadapan dengan masalah yang akan ditimbulkan oleh pelajar
tersebut. Oleh itu, pelbagai isu yang timbul dalam organisasi sekolah yang tiada kesudahan
seperti masalah disiplin pelajar yang sering berlaku sehingga sekarang. Teori kepatuhan
berperanan penting dalam mendasari pelaksanaan tugas guru-guru di sekolah. Teori ini
seharusnya dijadikan pendekatan kepada semua guru-guru dalam menjayakan matlamat dan
visi sekolah.

Teori kepatuhan merupakan pendekatan inovatif kepada struktur organisasi dan


diklasifikasikan berdasarkan jenis kuasa yang mereka gunakan untuk mengarahkan tingkah
laku ahli-ahli mereka dan jenis penglibatan para peserta ( Etzioni, 1997). Etzioni mengenal
pasti tiga jenis kuasa organisasi iaitu kuasa paksaan, kuasa utilitarian, dan kuasa normatif.
Manakala jenis kuasa tersebut berkait dengan tiga jenis penglibatan iaitu alienative,
calculative dan moral. Rajah 2.1 menjelaskan corak hubungan antara komponen.

Jenis kuasa

Paksaan Utilitarian Normatif


Jenis Alienative X
penglibatan Calculative X
peserta Moral X
Rajah 2.1 Teori Kepatuhan Etzioni

2.1 Jenis-jenis Kuasa


2.1.1 Kuasa Paksaan

Kuasa paksaan adalah kuasa yang menggunakan kekerasan dan ketakutan untuk mengawal
peserta peringkat yang lebih rendah. Contoh organisasi yang bergantung kepada kuasa
paksaan termasuk penjara, hospital mental dalam tahanan, dan latihan asas dalam tentera.

2.1.2 Kuasa Utilitarian

Kuasa utilitarian menggunakan imbuhan atau ganjaran ekstrinsik untuk mengawal peserta
peringkat yang lebih rendah. Firma-firma perniagaan yang paling menekankan ganjaran
ekstrinsik tersebut. Ganjaran ini termasuk gaji, merit gaji, faedah sampingan, keadaan kerja
dan keselamatan kerja. Selain daripada firma-firma perniagaan, organisasi lain yang
menggunakan kuasa utilitarian termasuklah kesatuan sekerja, koperasi petani, dan pelbagai
agensi kerajaan.

2.1.3 Kuasa Normatif

Kuasa normatif mengawal melalui peruntukan ganjaran intrinsik, seperti kerja-kerja yang
menarik, pengenalan kepada matlamat, dan membuat sumbangan kepada masyarakat.
Pengurusan kuasa dalam kes ini bergantung pada keupayaan untuk memanipulasi ganjaran
yang diberikan dengan mempengaruhi penerimaan dan sambutan positif pekerja dalam
organisasi itu.

Kebanyakkan ahli profesional yang bekerja dalam organisasi normatif. Contoh


organisasi seperti gereja-gereja, organisasi politik, hospital, universiti, dan persatuan
profesional. Sekolah-sekolah awam mungkin sesuai dengan kategori ini bagi sebahagian
besar, walaupun terdapat perbezaan yang luas dalam penggunaan kuasa untuk mendapatkan
pematuhan ahli, terutamanya kawalan murid (Lunenburg, 2012).

2.2 Jenis-jenis Penglibatan

Ketiga-tiga jenis kuasa boleh membantu dalam mendapatkan kerjasama orang bawahan dalam
organisasi. Walau bagaimanapun, keberkesanan relatif setiap pendekatan bergantung kepada
penglibatan peserta organisasi itu (Lunenburg & Ornstein, 2012). Penglibatan merujuk kepada
ciri-ciri dari segi kekuatan dan keinginan individu terhadap organisasi tersebut. Oleh itu,
individu tersebut boleh diletakkan dalam julat penglibatan antara yang sangat negatif kepada
yang sangat positif. Etzioni menunjukkan bahawa penglibatan peserta boleh dikategorikan
seperti alienative, calculative, atau moral (Etzioni, 1997).

2.2.1 Penglibatan Alienative

Penglibatan alienative merupakan penglibatan yang berorientasikan negatif. Contoh tahanan


di penjara, pesakit di hospital-hospital mental, dan kakitangan didaftarkan dalam latihan asas
ketenteraan yang semuanya cenderung untuk terasing daripada organisasi masing-masing.
Walau bagaimanapun, dalam hal anggota tentera menjalani latihan asas, matlamat utama
adalah kepatuhan kepada nilai-nilai organisasi (Champoux, 2011). Pengenalan kepada nilai-
nilai yang mendasari membantu rekrut tentera mententeramkan ketidakselesaan peribadi yang
disebabkan oleh keahlian mereka dalam organisasi semasa dalam kem (Lalor, 2011). Individu
belajar untuk menerima nilai-nilai organisasi dan meletakkan kepercayaan dalam organisasi
bahawa organisasi tidak menyakiti mereka. Ini akhirnya boleh membawa kepada peralihan
graduan yang bermoral (Goldish, 2011).

2.2.2 Penglibatan Calculative

Penglibatan calculative menunjukkan keinginan atau niat yang rendah ke arah negatif atau
positif. Penglibatan ini sering wujud dalam hubungan peniaga yang mempunyai pelanggan
tetap di pelbagai jenis persatuan perniagaan. Begitu juga, banduan di penjara yang telah
mewujudkan hubungan dengan pihak berkuasa penjara sering mempunyai sikap
kebanyakannya calculative ke arah mereka yang berkuasa (Etzioni, 1997).

2.2.3 Penglibatan Moral

Penglibatan moral menunjukkan keinginan atau niat yang tinggi ke arah positif. Contoh
penglibatan jenis moral seperti jemaah gereja di gereja atau rumah ibadat, anggota yang setia
kepada parti politik, dan pengikut setia kepada pemimpin (Etzioni, 1997).

2.3 Hubungkait Antara Kuasa dan Penglibatan

Menurut Etzioni, apabila sesebuah organisasi menggunakan kuasa paksaan, peserta biasanya
bertindak balas kepada organisasi dengan permusuhan, iaitu penglibatan alienative. Kuasa
utilitarian biasanya menyebabkan penglibatan calculative, iaitu peserta berkeinginan untuk
memaksimumkan keuntungan peribadi. Manakala kuasa normatif pula kerap mewujudkan
penglibatan moral misalnya peserta komited dengan ciri-ciri sosial yang bermanfaat kepada
organisasi mereka.

Sesetengah organisasi menggunakan ketiga-tiga jenis kuasa, tetapi yang paling


cenderung untuk ditekankan hanya satu, dan kurang bergantung kepada dua yang lain.
Pengkhususan kuasa berlaku kerana apabila dua jenis kuasa ditekankan pada masa yang sama
dengan kumpulan peserta yang sama, mereka cenderung untuk meneutralkan satu sama lain
(Lunenburg, 2012).

Menggunakan kuasa secara kekerasan, ketakutan, atau langkah-langkah paksaan lain,


sebagai contoh, biasanya akan mewujudkan darjah pengasingan yang tinggi dan ia menjadi
mustahil untuk menggunakan kuasa normatif dengan jayanya (Lunenburg, 1983). Ini mungkin
salah satu sebab mengapa menggunakan kawalan paksaan dalam mendapatkan pematuhan
pelajar di sekolah-sekolah sering membawa kepada perubahan atau anjakan matlamat
pendidikan. Begitu juga, ia mungkin merupakan sebab mengapa guru-guru di sekolah-sekolah
progresif cenderung untuk menentang hukuman sebat (Bulach, Lunenburg, & Potter, 2008).

3.0 ISU-ISU

Isu yang dibincangkan adalah isu yang berkaitan sistem pentadbiran yang dibawa atau
digunapakai oleh guru-guru di sekolah dalam pengurusan kurikulum dan kokurikulum. Di
sekolah, guru-guru atau pihak pentadbir berperanan dalam memastikan pelajar mematuhi
peraturan sekolah dan juga memastikan pergerakan kurikulum atau kokurikulum berjalan
dengan lancar. Oleh itu, setiap guru mempunyai pendekatan masing-masing atau pendekatan
yang berbeza-beza dalam memastikan pelajar mengikut dan mematuhi arahan atau peraturan
sekolah. Pelbagai pendekatan yang digunapakai oleh guru dalam memastikan pelajar
mengikut dan mematuhi kehendak sekolah. Pendekatan tersebut termasuklah secara paksaan
atau inisiatif-inisiatif lain yang membolehkan pelajar mematuhi kehendak atau perturan
sekolah. Berdasarkan teori kepatuhan, jenis kuasa yang digunakan bagi menarik minat dan
keinginan peserta mematuhi arahan atau peraturan adalah berkait rapat dengan jenis
penglibatan peserta. Dalam hal ini, berdasarlan teori kepatuhan guru adalah dianggap orang
atasan yang berkuasa dalam mengarahkan tingkahlaku pelajar supaya mematuhi arahan dan
peraturan sekolah. Manakala pelajar pula adalah sebagai peserta yang merupakan individu
terlibat. Pelajar akan berkemungkinan terlibat mengikut tiga jenis penglibatan yang
diklasifikasikan dalam teori kepatuhan.

3.1 Isu 1 : Kesan hukuman rotan terhadap sikap pelajar yang pernah menjalaninya.

Masalah disiplin yang semakin merosot serta mencari punca-punca yang menyebabkan
berlakunya masalah tersebut perlulah dilakukan secara berhati-hati. Ini adalah kerana
hukuman rotan kepada pelajar boleh mencetuskan pelbagai reaksi khususnya dikalangan ibu
bapa, pelajar itu sendiri, termasuklah bantahan terbuka sehingga kepada mengambil tindakan
mahkamah (Khairina, 2003).

Merotan atau memukul sebagai satu cara mendidik sebenarnya bukanlah perkara baru.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh S.Maswan, J.Din, & R.Osman (2008) yang bertajuk
“Konsep Kendiri Pelajar Yang Telah Menjalani Hukuman Rotan di Sekolah Menengah Di
Daerah Kerian” mendapati 56.1 peratus daripada pelajar yang pernah menjalani hukuman
rotan mengatakan bahawa hukuman tersebut menambah kebencian mereka terhadap guru dan
sekolah, 36.6 peratus mengatakan mereka sedar dan insaf akan kesalahan mereka, 4.9 peratus
mengatakan mereka tidak merasa apa-apa dan 2.4 peratus mengatakan diri mereka rasa
teraniaya. Sebahagian besar pelajar yang pernah menjalani hukuman rotan, mengatakan
bahawa hukuman tersebut menambahkan kebencian mereka terhadap guru dan sekolah.

Ini menunjukkan bahawa hukuman rotan tidak semestinya akan dapat menyelesaikan
masalah disiplin di sekolah yang semakin meningkat seperti yang telah dibincangkan sebelum
ini. Lebih daripada separuh responden yang pernah menjalani hukuman rotan tidak ada tanda-
tanda akan berubah dan menyesali perbuatannya bahkan menambahkan kebencian mereka
kepada guru dan sekolah. Hanya 36.6 peratus daripada responden yang pernah menjalani
hukuman rotan mengatakan bahawa mereka menginsafi kesalahan yang telah mereka lakukan.
Kumpulan ini berpotensi untuk lebih ke arah negatif seperti melahirkan sifat kebencian.

Berdasarkan teori kepatuhan apabila sesebuah organisasi tersebut menggunakan kuasa


paksaan, peserta biasanya bertindak balas kepada organisasi dengan permusuhan (penglibatan
alienatif). Dalam kajian tersebut, guru menggunakan jenis kuasa paksaan yang mana guru
mengenakan hukuman rotan kepada pelajar yang tidak mematuhi peraturan sekolah dan
pelajar yang melakukan masalah disiplin di sekolah. Hasil dapatan daripada kajian tersebut
adalah bertepatan dengan konsep yang dibawa dalam teori kepatuhan bahawa penggunaan
kuasa jenis paksaan akan menyebabkan penglibatan peserta ke arah negatif iaitu penglibatan
alienatif. S.Maswan, J.Din, & R.Osman (2008) menunjukkan hasil dapatan kajiannya pelajar
bersikap ke arah negatif, ramai pelajar merasakan rasa benci terhadap guru dan sekolah
setelah mereka dikenakan hukuman rotan. Ini menunjukkan penglibatan pelajar adalah
alienatif setelah dikenakan hukuman rotan (kuasa paksaan) untuk memastikan pelajar tidak
melanggar peraturan dan melakukan disiplin.

Ramai dikalangan guru dan pentadbir percaya bahawa disipilin yang baik ialah apabila
pelajar-pelajar mematuhi semua peraturan dan wujud pengawalan sosial. Menurut Power
(1999) dalam S.Maswan, J.Din, & R.Osman (2008), disiplin di anggap sebagai satu topik
pengurusan tingkahlaku dalam kurikulum pengurusan. Apabila pelajar melakukan kesalahan
melanggar peraturan sekolah, maka hukuman akan diberikan. Salah satu hukuman yang
digunakan ialah dengan merotan. Tujuannya ialah untuk memberi kesedaran kepada pelajar
tersebut supaya tidak mengulangi semula kesalahan tersebut. Walau bagaimanapun sekarang
ini, kebanyakkan sekolah telah mempunyai seorang guru kaunselor sepenuh masa. Melalui
sesi kaunseling mereka akan lebih mengetahui punca-punca yang mendorong pelajar-pelajar
melanggar peraturan sekolah. Dengan mengetahui punca masalah sebenar, tentunya ‘rotan’
bukanlah satu-satunya ubat yang paling berkesan untuk mengubati semua jenis penyakit.

3.2 Isu 2 : Penyertaan murid dalam Kokurikulum Dapat Meningkatkan Tahap Dan
Mutu Disiplin Pelajar Dengan Lebih Berkesan.

Sejak kebelakangan ini pelbagai cerita tentang isu yang berkaitan tentang masalah disiplin di
sekolah telah ditimbulkan seperti pelajar merokok, melawan guru, kurang ajar, ponteng dan
sebagainya. Sikap para pelajar sekarang ada yang menjangkau fikiran kita. Masalah disiplin
pelajar sekolah bukanlah masalah baru dalam dunia globalisasi dan moden hari ini. Oleh itu,
guru merupakan pemimpin dan sebagai tauladan kepada pelajar perlulah menggunakan
pendekatan-pendekatan yang lebih berkesan bagi memastikan pelajar mematuhi arahan dan
peraturan sekolah.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Hehsan & Muhamad (2010) yang bertajuk
“Tahap Disiplin Pelajar Sekolah Masa Kini: Satu Kajian Di Maahad Ahmadi Tanah Merah”
mendapati pelajar lebih bersetuju bahawa kegiatan kokurikulum mempunyai banyak faedah
kepada pelajar dan ia dapat meningkatkan tahap dan mutu disiplin pelajar. Oleh itu, pelajar
bersedia memikul tanggungjawab apabila dilantik menjadi pengerusi persatuan atau kelab.
Guru-guru juga akan mengambil tindakan apabila pelajar tidak menghadiri aktiviti
kokurikulum untuk memastikan pelajar tidak terjebak dengan perkara yang tidak berfaedah.
(Hehsan & Muhammad, 2010)

Penglibatan murid dalam kokurikulum dilihat sebagai satu daripada kaedah yang
berkesan untuk mengatasi masalah disiplin pelajar dan merupakan pendekatan yang
menggunakan kuasa normatif serta sesuai dilaksanakan di sekolah. Berdasarkan teori
kepatuhan kuasa normatif kerap mewujudkan penglibatan moral misalnya peserta komited
dengan ciri-ciri sosial yang berfaedah kepada organisasi mereka.

4.0 TUJUAN

Penulisan ini adalah bertujuan untuk memahami konsep yang diketengahkan oleh Etzioni
(1997) berkenaan teori kepatuhan dalam organisasi. Ia juga bertujuan untuk melihat
hubungkait teori kepatuhan dengan isu-isu yang timbul dalam organisasi pentadbiran
pendidikan seperti sekolah. Selain itu, penulisan ini membincangkan jenis kuasa yang sesuai
dan berkesan untuk digunakan dalam pertadbiran organisasi di sekolah berdasarkan isu yang
dikemukakan.

5.0 PERBINCANGAN

Berdasarkan isu yang diketengahkan ia menunjukkan adanya hubungan yang berkait rapat
dengan konsep yang dibawa dalam teori kepatuhan. Jenis kuasa yang sesuai digunakan seperti
normatif dan utilitarian membantu guru-guru dalam mengawal tingkah laku pelajar untuk
mematuhi arahan dan peraturan sekolah. Teori ini dapat memberi panduan kepada guru-guru
ataupun pihak pentadbir dalam mengawal organisasi secara berkesan. Hal ini kerana, jenis
kuasa seperti utilitarian dan normatif akan menyebabkan penglibatan peserta ke arah positif,
manakala jenis kuasa paksaan akan lebih tercederung penglibatan peserta ke arah negatif
(Lunenburg, 2012).

Berdasarkan isu merotan pelajar bagi memastikan pelajar mematuhi peraturan sekolah
dan tidak melanggar disiplin sekolah merupakan jenis kuasa paksaan yang tidak sesuai
digunakan kerana ianya tidak memberikan kesan yang positif, namun lebih kepada kesan yang
negatif yang mana pelajar akan melahirkan sikap kebencian terhadap guru dan sekolah.
Manakala mengadakan aktiviti kokurikulum akan memberikan kesan yang positif di mana
pelajar melahirkan rasa minat dan memberikan banyak faedah kepada dirinya. Hal ini adalah
lebih berkesan bagi mengelakkan pelajar daripada melakukan masalah disiplin dan dapat
membantu pihak sekolah dalam memastikan pelajar mematuhi peraturan sekolah. Pendekatan
berbentuk kuasa normatif ini sangat sesuai di gunakan oleh pentadbir di sekolah khususnya
guru-guru semasa melaksanakan aktiviti kurikulum dan kokurikulum dalam memastikan
pelajar mematuhi arahan dan peraturan sekolah.

Hukuman rotan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah


disiplin yang dikatakan semakin membimbangkan itu. Guru-guru sebagai pendidik dan ibu
bapa secara amnya boleh berperanan untuk mengubah tahap disiplin pelajar melalui cara yang
betul dan sesuai bagi memastikan mereka mendengar dan mematuhi arahan yang diberikan.
Pelajar akan memberikan tindak balas yang positif (penglibatan calculative atau penglibatan
moral) sekiranya guru menggunakan jenis kuasa yang betul dan sesuai seperti utilitarian atau
kuasa normative, berdasarkan teori kepatuhan jenis kuasa ini akan menyebabkan pelingbatan
pelajar kearah positif iaitu penglibatan calculative dan penglibatan moral (Lunenburg, 2012).

Berdasarkan kajian lepas, hukuman rotan merupakan pendekatan yang menggunakan


kuasa paksaan dan ia dilihat sebagai satu kaedah yang tidak menyumbang kepada perubahan
disiplin pelajar. Oleh itu, penglibatan pelajar dalam kokurikulum dilihat sebagai satu daripada
kaedah yang berkesan bagi menggantikan hukuman rotan untuk mengatasi masalah disiplin
pelajar dan merupakan pendekatan yang menggunakan kuasa normatif serta sesuai
dilaksanakan di sekolah.

6.0 RUMUSAN

Berdasarkan keseluruhan perbincangan boleh dirumuskan bahawa teori kepatuhan adalah satu
pendekatan untuk struktur organisasi melaksanakan pentadbiran dan pengurusan yang
berkesan dalam mengawal orang bawahan. Teori ini memberi gambaran penglibatan peserta
terhadap organisasi sama ada ke arah positif atau negatif berdasarkan jenis kuasa yang
digunakan dalam organisasi tersebut. Dalam pentadbiran pendidikan, guru adalah dianggap
orang yang berkepentingan atau sebagai pemimpin kepada pelajar dalam memastikan pelajar
mematuhi arahan dan peraturan. Guru perlulah bijak dalam menggunakan kuasa semasa
melaksanakan sesuatu aktiviti di sekolah bagi memastikan pelajar mengikuti aktiviti tersebut
dan menbuatkan pelajar melahirkan sifat yang positif dalam diri mereka terhadap aktiviti yang
disertainya.
Berdasarkan teori kepatuhan, jenis kuasa dan penglibatan adalah berkait dengan tiga
kombinasi yang dijangka seperti kuasa paksaan menyebabkan penglibatan alienative, kuasa
utilitarian menyebabkan penglibatan calculative, dan kuasa normatif menyebabkan
penglibatan moral (Lunenburg, 2012). Beberapa organisasi menggabungkan dua atau ketiga-
tiga jenis kuasa tersebut dalam mendapatkan pematuhan daripada ahli mereka, contohnya
organisasi ketenteraan. Namun pendekatan tersebut, tidak sesuai bagi organisasi seperti
sekolah. Hal ini dibuktikan berdasarkan kajian lepas yang mana kuasa jenis paksaan seperti
mengenakan hukuman rotan kepada pelajar yang tidak mematuhi peraturan sekolah
menimbulkan sifat yang negatif dan hukuman rotan juga tidak dapat menyelesaikan masalah
disiplin pelajar.

Walau bagaimanapun, sekolah lebih sesuai mengamalkan jenis kuasa ulitarian atau
kuasa normatif. Kuasa ulitarian adalah kuasa yang menggunakan ganjaran ekstrinsik untuk
mengawal dan medapatkan pematuhan daripada para peserta. Manakala kuasa normatif
menggunakan ganjaran yang berbentuk intrinsik bagi mengawal dan mendapatkan pematuhan
daripada para peserta. Kedua-dua jenis kuasa ini memberikan imbuhan ganjaran yang
ekstrinsik dan intrinsik kepada diri pelajar dan hal ini akan membuatkan pelajar lebih kearah
sikap yang positif iaitu penglibatan calculative dan moral.

Sekolah yang cuba menggunakan jenis kuasa yang tidak sesuai untuk organisasinya
boleh mengurangkan keberkesanan terhadap organisasi. Sekolah adalah sesuai untuk menjadi
organisasi yang normatif dan ulitarian.

RUJUKAN

A.Hehsan & S.N. Muhamad. (2010). Tahap Disiplin Pelajar Sekolah Masa Kini : Satu Kajian
Di Maahad Ahmadi Tanah Merah. Universiti Teknologi Malaysia

Bulach, C., Lunenburg, F. C., & Potter, L. (2008). Creating a culture for high-performing
schools: A comprehensive approach to school reform. Lanham, MD: Rowman &
Littlefield.

Champoux, J. E. (2011). Organizational behavior: Integrating individuals, groups, and


organizations. New York, NY: Routledge.

Etzioni, A. (1997). Modern organizations. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall.


Goldish, M. (2011). Marine Corps: Civilian to marine. New York, NY: Bearport Publishing
Company.

Hoy, W. & Miskel, C. (2005). Educational Administration: Theory, Research and Practice.
McGraw-Hill: New York, NY.

Khairina Yassin (2003) Rotan: Kuasa, kesan psikologi, tanggungjawab antara isu utama
http://www.geocities.com/mykaunselor/rotan.htm : Dicapai pada 1 Disember 2015

Lalor, K. M. (2011). This recruit: A firsthand account of Marine Corps boot camp: Written
while knee-deep in the mayhem of Parris Island. Bloomington, IN: iUniverse.

Lunenburg, F. C. (2012). Compliance Theory and Organizational Effectiveness. International


Journal of Scholarly Academic Intellectual Diversity. vol 14 (1).

Lunenburg, F. C. (1983). Conceptualizing school climate: Measures, research, and effects.


Berkeley, CA: McCutchan.

Lunenburg, F. C., & Ornstein, A. O. (2012). Educational administration: Concepts and


practices. Belmont, CA: Wadsworth Cengage.

S.Maswan, J.Din, & R.Osman. 2008. Konsep Kendiri Pelajar Yang Telah Menjalani
Hukuman Rotan di Sekolah Menengah Di Daerah Kerian. Universiti Putra Malaysia.

You might also like