Artikel Menangani Masalah Penguasaan Kemahiran Asas Matematik

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 9

MENANGANI MASALAH PENGUASAAN KEMAHIRAN ASAS MATEMATIK

MELALUI PEMBELAJARAN KOPERATIF

GAN TECK HOCK


MAKTAB PERGURUAN SARAWAK, MIRI
esgan@tm.net.my

Kertas ini bertujuan menghuraikan pengalaman saya menggunakan kaedah pembelajaran


koperatif untuk menangani masalah penguasaan kemahiran asas matematik di sebuah sekolah
rendah luar bandar. Kaedah Teams-Games-Tournaments (TGT) dan Numbered Heads
Together (NHT), yang menggunakan pertandingan kumpulan sebagai teknik memperkuatkan
saling pergantungan positif, telah digunakan dengan meluas dalam pengajaran matematik
yang disampaikan kepada 31 orang pelajar Tahun Lima yang majoritinya lemah dalam
matematik. Beberapa masalah pelaksanaan dua kaedah ini telah dikenalpasti dan seterusnya
telah diselesaikan dengan pengubahsuaian yang patut. Hasil penyelidikan tindakan ini
menunjukkan bahawa kaedah TGT dan NHT sesuai sekali untuk kelas matematik yang terdiri
daripada pelajar-pelajar pelbagai tahap pencapaian.

Pendahuluan

Salah satu masalah yang sering dihadapi oleh para guru matematik ialah kegagalan
pelajar-pelajar menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam matematik. Bergabung dengan
masalah kelas yang terdiri daripada pelajar-pelajar pelbagai tahap pencapaian, keadaan
menjadi semakin rumit untuk ditangani guru-guru yang masih memegang kepada kaedah
mengajar yang berpusatkan guru. Justeru itu, wujud keperluan yang genting untuk mencari
kaedah-kaedah pengajaran yang berbeza dengan apa yang lazim dilakukan dalam bilik darjah.

Pembelajaran koperatif telah dikenalpasti sebagai salah satu kaedah pengajaran yang
berjaya membawa pelbagai kesan positif di kalangan pelajar-pelajar (Kagan, 1992). Namun
demikian, dalam konteks Malaysia, kaedah ini boleh dikatakan belum lagi mendapat
perhatian yang meluas. Tambahan lagi, pembelajaran koperatif juga sering disalah tafsirkan
oleh golongan pendidik yang kurang mengetahuinya secara mendalam. Justeru itu, kertas ini
bertujuan berkongsikan pengalaman saya tentang dua teknik pembelajaran koperatif yang
saya dapati sangat sesuai untuk menangani masalah penguasaan kemahiran asas matematik
dalam kelas yang terdiri daripada pelajar-pelajar pelbagai tahap pencapaian.

Apakah Pembelajaran Koperatif ?

Kadang-kadang, pembelajaran berlaku dengan berkesan sekali apabila pelajar-pelajar


membuat kerja secara berkumpulan, tetapi pada masa yang lain pula hasil pembelajaran
kumpulan adalah sangat mengecewakan. Walaupun pembelajaran koperatif bertujuan
menambah keberkesanaan pembelajaran dalam kumpulan, namun bukan semua pembelajaran
kumpulan boleh dianggap sebagai pembelajaran koperatif (Johnson, Johnson & Holubec,
1990; Smyser, 1998). Sebagai contoh, pembelajaran koperatif bukannya memberi tugasan
kumpulan kepada pelajar-pelajar, tetapi hanya seorang pelajar sahaja yang bekerja keras
untuk menyiapkan tugasan, manakala pelajar-pelajar yang lain hanya menumpang nama
sahaja. Secara umum, pembelajaran koperatif boleh didefinisikan sebagai kaedah-kaedah
pengajaran yang mana pelajar-pelajar dari semua peringkat pencapaian bekerjasama dalam
kumpulan kecil untuk mencapai matlamat bersama (Slavin, 1982; Johnson, Johnson &
Holubec, 1990; Kagan, 1992).

Ciri-Ciri Pembelajaran Koperatif

Tokoh-tokoh telah mengenal pasti beberapa ciri yang berhubung kait dengan
pembelajaran koperatif yang berkesan (Johnson, Johnson & Holubec, 1990; Kagan, 1992).
Dua daripada ciri-ciri ini yang utama ialah saling pergantungan positif (positive
interdependence) dan akauntabiliti individu (individual accountability).

Saling pergantungan positif. Cogan kata "bersatu kita berjaya; bercerai kita gagal"
membayangkan maksud saling pergantungan positif (SPP) dengan padat sekali. Secara
spesifik, SPP ialah persepsi bahawa nasib ahli-ahli sekumpulan adalah serupa dan mereka
adalah saling bergantung di antara satu sama lain untuk mencapai sesuatu matlamat bersama.
Apabila wujudnya SPP di dalam sesuatu kumpulan, semua ahli kumpulan akan sedar bahawa
mereka "hidup sama-sama hidup", atau "mati sama-sama mati". Jadi, kejayaan seseorang
ahli kumpulan akan membantu rakan-rakan lain untuk mencapai kejayaan dalam
pembelajaran masing-masing. Di sebaliknya, jika seseorang ahli kumpulan gagal, seluruh
kumpulan akan gagal.

Akauntabiliti individu. Akauntabiliti individu (AI) bermaksud setiap orang ahli


kumpulan perlu melibatkan diri secara aktif untuk membantu kumpulan mencapai
matlamatnya. Jadi setiap orang ahli kumpulan mempunyai tanggungjawab untuk belajar. Ini
bermaksud setelah menyiapkan sesuatu tugasan kumpulan secara berkoperatif, setiap orang
ahli kumpulan mesti berupaya membuat tugasan yang serupa secara bersendirian.

Jacobs (1993) mengumpamakan SPP dan AI sebagai madu lebah untuk kerja
kumpulan. Sifat melekit madu lebah adalah seperti SPP yang membantu pelajar-pelajar
melekit sebagai kumpulan. Pada masa yang sama, madu lebah juga merupakan glukosa yang
boleh membekalkan tenaga yang tinggi, seperti AI yang menjadi sumber dorongan untuk
semua ahli kumpulan bekerja secara aktif.

Dua lagi aspek lain yang penting tentang pembelajaran koperatif ialah (a) latihan
kemahiran koperatif dan (b) pemprosesan kumpulan. Huraian lanjut tentang dua aspek ini
boleh dirujuk dalam buku Johnson, Johnson dan Holubec (1990) dan buku Jacobs, Gan, dan
Ball (1995).

Dua Kaedah Pembelajaran Koperatif

Terdapat banyak kaedah pembelajaran koperatif yang spesifik, dua kaedah yang
merupakan fokus kertas kerja ini ialah Teams-Games-Tournaments dan Numbered Heads
Together.

Teams-Games-Tournaments

Slavin (1982) menghuraikan langkah-langkah untuk melaksanakan kaedah Teams-


Games-Tournaments (TGT) seperti berikut:

2
1. Guru mengajar seperti biasa.
2. Pelajar-pelajar belajar dalam kumpulan heterogen yang terdiri daripada pelajar
pelbagai tahap pencapaian.
3. Pelajar-pelajar pergi ke meja pertandingan masing-masing untuk bertanding.
Setiap meja pertandingan terdiri daripada seorang pelajar dari setiap kumpulan
yang sama tahap pencapaian. [Rujuk Prosedur Pertandingan TGT di bawah.]
4. Setelah tamat pertandingan, semua pelajar kembali ke kumpulan masing-masing.
Markah setiap orang pelajar dijumlahkan untuk mendapat skor kumpulan.
5. Guru mengumumkan skor-skor kumpulan dan memberi penghargaan kepada
kumpulan yang menjadi juara.

Prosedur pertandingan TGT. Setiap meja pertandingan dibekalkan dengan satu set
kad soalan, satu set kad jawapan dan satu set kad markah. Setiap orang pelajar mengambil
tiga keping kad markah sebagai bonus untuk memulakan pertandingan. Secara bergilir-gilir,
seorang pelajar akan mengambil sekeping kad soalan, membaca soalan itu dengan kuat
supaya semua pelajar dalam meja yang sama boleh mendengarnya, dan seterusnya semua
pelajar akan berusaha untuk mencari jawapan untuk soalan berkenaan secara berasingan.
Setelah semua pelajar dalam meja yang sama siap mencari jawapannya, pelajar yang
membaca soalan tadi akan menyebut jawapannya. Secara bergilir-gilir, jika pelajar-pelajar
lain memikirkan bahawa jawapan yang diberikan sebelum mereka itu adalah salah, maka
mereka boleh mencabar dengan memberi jawapan yang berbeza. Di sebaliknya, mereka juga
boleh memilih tidak mencabar (dengan menyebut pass) jika mereka tidak yakin dengan
jawapan sendiri atau jika jawapan mereka adalah sama dengan jawapan yang telah diberikan
oleh pelajar sebelumnya. Setelah semua pelajar telah mencabar atau pass, kad jawapan untuk
soalan berkenaan akan dibuka. Seorang pelajar sahaja yang memberi jawapan betul akan
mengambil sekeping kad markah manakala pelajar-pelajar yang memberi jawapan salah akan
didenda dengan mengembalikan sekeping kad markah yang sudah ada di tangan mereka.
Walau bagaimanapun, pelajar yang membaca soalan itu tidak perlu didenda walaupun
jawapannya salah. Tambahan lagi, pelajar yang sudah kehabisan kad markah tidak
dibenarkan untuk mencabar jawapan orang lain.

Numbered Heads Together

Kagan (1992) menghuraikan empat langkah asas untuk melaksanakan kaedah NHT:

1. Setiap orang pelajar dalam setiap kumpulan diberikan satu nombor.


2. Guru kemukakan soalan.
3. Semua pelajar berbincang dalam kumpulan masing-masing untuk mencari
jawapan dan memastikan semua ahli kumpulan mengetahui jawapan itu.
4. Guru panggil satu nombor secara rawak. Semua pelajar nombor berkenaan dari
setiap kumpulan menjawab soalan guru tadi.

Untuk memperkuatkan SPP, NHT boleh dijalankan dalam bentuk pertandingan antara
kumpulan. Jawapan betul daripada pelajar setiap kumpulan boleh diberikan markah.
Kumpulan yang mengumpul markah paling tinggi menjadi juara di akhir pertandingan. Selain
daripada itu, guru juga boleh panggil nombor sebelum memberi soalan supaya pelajar-pelajar
dilatih menjadi lebih berdikari.

3
Satu perkara penting dalam pertandingan TGT dan NHT ialah memastikan setiap
orang pelajar akan bertanding dengan pelajar-pelajar yang sama tahap pencapaian dengannya.
Cara paling senang untuk mencapai tujuan ini ialah dengan memberikan nombor yang sama
kepada pelajar yang sama tahap pencapaian dalam setiap kumpulan.

Kedua-dua kaedah ini mempunyai dua ciri utama untuk pembelajaran koperatif. Bagi
TGT, setiap kumpulan mempunyai matlamat yang sama, iaitu mengumpul sebanyak mungkin
kad markah. Oleh yang demikian, SPP wujud kerana semua ahli kumpulan perlu bersatu
tenaga untuk bertanding dengan kumpulan-kumpulan lain. Tambahan lagi, ganjaran
kumpulan yang diberikan dalam bentuk penghargaan untuk kumpulan juara juga
menggalakkan kewujudan SPP. Pada masa yang sama, AI wujud kerana setiap orang ahli
kumpulan perlu bertanding di meja yang berbeza. Oleh yang demikian, setiap orang ahli
kumpulan didorong untuk belajar sebelum pergi ke meja pertandingan.

Bagi NHT pula, matlamat bersama untuk kumpulan ialah memastikan semua ahli
kumpulan boleh menjawab soalan guru. Oleh yang demikian, SPP wujud kerana kumpulan
masing-masing mengehendakkan wakil kumpulan yang dipanggilkan nombornya dapat
memberi jawapan yang dikehendaki. AI pula wujud kerana guru memanggil nombor secara
rawak. Tindakan ini memastikan setiap orang ahli kumpulan mempunyai peluang untuk
dipanggil. Akhirnya, semua ahli kumpulan akan dikehendaki menjawab soalan guru.

Satu Kes Pelaksanaan TGT dan NHT

Pada awal tahun 1998, saya telah menggunakan kaedah TGT dan NHT dalam satu
penyelidikan tindakan yang tujuan utamanya ialah mempertingkatkan kualiti pembelajaran
matematik pelajar-pelajar di sebuah sekolah rendah luar bandar (Gan, 1999). Kertas ini
berfokus kepada pelaksanaan dua kaedah tersebut serta beberapa masalah yang timbul.

Latar Belakang

Saya telah berkolaborasi dengan seorang guru matematik kelas Tahun Lima untuk
mengajar kelas beliau selama hampir satu semester. Kelas berkenaan mempunyai 17 orang
lelaki dan 14 orang perempuan yang semuanya berumur 11 tahun. Semua pelajar ini berasal
dari luar bandar dan kebanyakan daripada mereka datang dari keluarga petani. Topik
pertama yang perlu saya ajar kepada mereka ialah Darab Dalam Lingkungan 500 000 (Pusat
Perkembangan Kurikulum, 1996) di mana mereka perlu menguasai kemahiran seperti: "5 219
x 72". Namun apabila saya memberi satu soalan yang jauh lebih senang seperti: "17 x 25",
hanya seorang pelajar sahaja yang dapat mendarabnya dengan betul! Tambahan pula, tidak
kurang juga bilangan pelajar yang masih tidak dapat menghafal sifir pendaraban dengan fasih
(Gan, 1999).

Pelaksanaan Pembelajaran Koperatif

Pembentukan kumpulan. Untuk melaksanaankan TGT dan NHT, saya telah


membahagikan pelajar-pelajar ke dalam lapan kumpulan heterogen dari segi tahap
pencapaian. Untuk menambahkan SPP bagi kumpulan masing-masing, setiap kumpulan telah
diminta untuk memilih satu nama kumpulan serta mencipta tepukan kumpulan masing-
masing. Seterusnya, tempat duduk disusun semula supaya pelajar-pelajar boleh duduk secara

4
berkumpulan dan berinteraksi di antara satu sama lain secara bersemuka. Ini bertujuan
memberi sebanyak mungkin peluang dan masa kepada pelajar-pelajar untuk membantu,
memberi galakan, dan seterusnya meningkatkan usaha di antara satu sama lain agar dapat
mencapai tahap pembelajaran yang maksimum.

Rangka pelajaran. Rajah 1 menunjukkan rangka asas pelajaran saya. Lazimnya,


pelajaran sentiasa bermula dengan pengajaran guru secara kelas, diikut dengan kerja
kumpulan dan diakhiri dengan pertandingan di antara kumpulan yang dijalankan secara TGT
atau NHT. Kadang-kadang, pelajaran juga pernah bermula terus dengan pembelajaran dalam
kumpulan tanpa pengajaran guru. Selain daripada itu, pertandingan antara kumpulan tidak
semestinya diadakan dalam pelajaran yang sama. Ada masanya pula, pertandingan
digunakan untuk memulakan pelajaran keesokan harinya dan pelajar-pelajar dinasihat untuk
terus memastikan semua rakan dalam kumpulan dapat menguasai kemahiran matematik yang
sedang diajar. Sebaik sahaja tamatnya setiap kali pertandignan, markah kumpulan masing-
masing dikira dan kumpulan juara diumumkan. Sebagai penghargaan, kumpulan juara
diberikan peluang untuk memberi "tepukan kumpulan" yang rentaknya dicipta oleh mereka
sendiri. Seterusnya, markah setiap pertandingan dicatat untuk menentukan kumpulan juara
keseluruhan pada akhir semester.

Belajar
Daripada Guru Ö Belajar
Dalam Kumpulan Ö Bertanding
Antara Kumpulan

Rajah 1. Rangka pembelajaran koperatif.

Hasil Pelaksanaan

Secara menyeluruh, pelaksanaan pembelajaran koperatif telah membawa banyak hasil


yang menggalakkan. Hasil temubual dengan pelajar-pelajar menunjukkan bahawa
kebanyakan daripada mereka sangat suka bekerja dalam kumpulan (Gan, 1999). Mereka
melihat kerja kumpulan sebagai sesuatu yang berfaedah kerana berpeluang untuk belajar
daripada rakan-rakan yang lain. Antara sebab-sebab mereka sukakan kerja kumpulan yang
telah dikenal pasti ialah:

1. Membuat kerja dalam kumpulan nampaknya dapat memenuhi keperluan kanak-kanak


untuk berinteraksi sesama sendiri. Mereka merasa seronok kerana dapat berbincang
bersama rakan-rakan dalam kumpulan.

2. Kerja kumpulan mewujudkan suasana yang bebas daripada tekanan dalam


pembelajaran kanak-kanak. Sambil bekerja dalam kumpulan, mereka berpeluang
berjenaka dan ketawa dalam kumpulan.

3. Kerja kumpulan menyediakan suasana belajar yang lebih terjamin bagi kanak-kanak.
Mereka (semua tahap pencapaian) merasa lebih selamat bekerja dalam kumpulan
kerana berpeluang saling bantu membantu. Mereka merasa lebih senang untuk belajar
kerana ada rakan-rakan yang sentiasa bersedia untuk membantu.

Selain daripada kerja kumpulan, pelajar-pelajar juga menganggap pertandingan TGT


dan NHT sebagai aktiviti yang menyeronokkan (Gan, 1999). Sememangnya, pemerhatian
dalam bilik darjah menunjukkan bahawa waktu pertandingan merupakan masa yang

5
menyeronokkan bagi pelajar-pelajar. Mereka nampaknya begitu aktif dan melibatkan diri
dengan begitu bersungguh-sungguh. Semasa pertandingan TGT diadakan, setiap orang
pelajar, tidak kira tahap pencapaiannya , memanglah cuba menjawab soalan dan mencabar
rakan dengan sedaya upaya. Semasa pertandingan NHT dijalankan pula, seluruh kelas
memang menumpukan perhatian dan penuh minat melihat rakan-rakan sekumpulan yang
sedang menjawab soalan. Menurut pelajar-pelajar ini, pertandingan mendorong mereka
berfikir dengan bersungguh-sungguh kerana mereka dicabar untuk membawa kemenangan
kepada kumpulan

Dari segi hasil pembelajaran pula, guru matematik kelas berkenaan berpendapat
bahawa pembelajaran koperatif telah "membawa perubahan yang mendadak di atas sikap
pelajar-pelajar terhadap matematik yang dahulunya dianggap susah serta membosankan"
(Gan, 1999). Terdapat 16 daripada 31 orang pelajar kelas berkenaan telah lulus matematik
dalam peperiksaan akhir semester. Walaupun peratusan lulus hanya lebih kurang 52%
sahaja, namun menurut guru matematik kelas berkenaan, prestasi sebegini adalah
"memerangsangkan" kerana lebih daripada 80% pelajar-pelajar telah menunjukkan
peningkatan berbanding keputusan tahun lepas. Beliau juga menyatakan bahawa "terdapat
segelingir pelajar tidak sabar-sabar ingin tahu keputusan kerana mereka nampaknya begitu
yakin dengan prestasi masing-masing … ramai pelajar-pelajar rasa gembira di atas
peningkatan prestasi masing-masing."

Beberapa Masalah Pelaksanaan Yang Timbul

Beberapa masalah telah timbul semasa saya melaksanakan TGT dan NHT. Bahagian
seterusnya akan menghuraikan masalah-masalah ini mengikut kaedah yang digunakan.
Setiap masalah dibincang mengikut rangka (a) masalah yang timbul, (b) penyelesaian yang
telah dicuba, dan (c) cadangan penyelesaian alternatif.

Masalah Pelaksanaan TGT

Bilangan ahli kumpulan yang tidak seragam. Terdapat 31 orang pelajar di dalam
kelas saya. Saya telah membentuk tujuh kumpulan yang ada empat orang ahli, manakala
kumpulan kelapan hanya ada tiga orang sahaja. Untuk memudahkan pelaksanaan pengajaran,
pelajar yang tinggi tahap pencapaian dalam setiap kumpulan diberikan nombor satu dan
seterusnya nombor empat diberikan kepada pelajar yang paling rendah tahap pencapaiannya
dalam setiap kumpulan. Ini bermaksud kumpulan kelapan berkenaan tidak mempunyai ahli
bernombor empat. Semasa berlangsungnya pertandingan TGT, disebabkan kumpulan
kelapan hanya ada tiga orang ahli, maka jumlah skor kumpulan tidak dapat digunakan untuk
menentukan keputusan pertandingan. Cara yang telah saya gunakan untuk menyelesaikan
masalah ini ialah mengambil purata skor sebagai penentu keputusan pertandingan antara
kumpulan. Cadangan penyelesaian alternatif ialah membentuk kumpulan yang ada lima
orang ahli (bukannya tiga) dan memberi nombor empat-(a) dan empat-(b) kepada ahli
keempat dan ahli kelima. Dua orang ahli ini boleh bekerja sama untuk bertanding dengan
kumpulan lain di meja pertandingan yang sama.

Persedian kad-kad soalan dan kad-kad jawapan. Menyediakan lapan set kad soalan
dan lapan set kad jawapan untuk pertandingan TGT memakan masa yang lama. Justeru itu,
satu perkara yang telah saya berikan tumpuan ialah memikirkan cara-cara yang dapat

6
menyediakan kad-kad soalan dan jawapan dalam masa yang singkat. Cara yang telah saya
gunakan ialah sediakan lapan set kad soalan dan lapan set kad jawapan (secara fotostat) pada
kertas A4 yang boleh dipotong terus. Untuk mengelakkan pelajar-pelajar melihat jawapan
sebelum menjawab soalan, saya telah menyediakan papan berpoket (seperti buku menyimpan
stamp) untuk meletak kad-kad jawapan secara tertutup. Kelebihan papan berpoket ialah ia
dapat digunakan secara berulang-ulang kali. Walau bagaimanapun, memotong lapan set kad
soalan dan lapan set kad jawapan sahaja boleh memakan masa lebih kurang 1 jam. Cadangan
penyelesaian alternatif untuk tidak perlu memotong kad-kad soalan dan kad-kad jawapan
ialah (a) sediakan satu senarai soalan yang dituliskan nombor; (b) sediakan satu set kad
nombor soalan yang boleh digunakan secara berulang-ulang dan pelajar-pelajar akan
mencabut kad nombor serta merujuk soalan berkenaan pada senarainya; dan (c) sediakan
sampul berpoket yang boleh dimasukkan senarai jawapan dan poket boleh dibuka untuk
melihat jawapan soalan tertentu.

Penjelasan tentang prosedur pertandingan TGT. Peraturan yang berkait dengan


prosedur pertandingan TGT adalah agak kompleks bagi pelajar-pelajar sekolah rendah.
Justeru itu, saya dapati adalah tidak mudah untuk menjelaskan prosedur ini dalam masa yang
singkat. Apa yang telah saya lakukan ialah memberi penjelasan sambil mendemonstrasikan
prosedur berkenaan. Namun demikian, satu masalah biasa yang sering diperhatikan ialah
semua pelajar di meja pertandingan yang sama akan mencabar dengan memberi jawapan
yang sama. Sekiranya jawapan itu betul, maka mereka semua akan mengambil sekeping kad
markah seorang. Satu lagi masalah berkait dengan prosedur pertandingan TGT ini yang telah
saya perhatikan ialah, kadang-kadang, pelajar-pelajar mengambil masa yang agak lama untuk
membuat keputusan sama ada hendak mencabar atau tidak. Apabila hanya seorang pelajar
sahaja yang masih menyemak jawapannya, pelajar-pelajar lain dari kumpulan yang sama
sering menunjukkan perasaan tidak sabar menunggu kerana terlalu lama menunggu. Seorang
rakan saya, En Phui Chun Jin telah mencuba satu penyelesaian alternatif yang menarik
dengan mengubahsuai prosedur pertandingan TGT. Beliau telah menyediakan satu "kawasan
parking" yang berbentuk jalur kad yang terbahagi kepada empat petak (untuk empat orang
pelajar). Petak pertama dilorekkan. Setelah kad soalan dibuka, pelajar-pelajar akan
menjawab soalan itu pada sekeping kertas kecil yang disediakan dan kemudiannya
meletakkan kad jawapan mereka pada petak-petak parking. Petak berlorek adalah petak
parking yang dikhaskan untuk pelajar yang membaca soalan. Pelajar-pelajar yang lain pula
akan meletak kad jawapan mereka pada petak-petak seterusnya mengikut prinsip "siapa cepat
dia dapat". Sekiranya mereka tidak mahu mencabar (kerana tidak yakin atau sudah ada
jawapan yang sama pada petak sebelumnya), mereka tidak perlu meletakkan kad jawapan
pada petak parking. Apabila kad jawapan dibuka, setiap jawapan pada petak-petak parking
akan disemak dan pelajar-pelajar akan mengambil atau mengembalikan kad markah mengikut
peraturan TGT yang sedia ada.

Tahap kesukaran soalan. Pada peringkat awal pelaksanaan TGT, saya dapati
bahawa semua kumpulan pelajar begitu berminat dan bersungguh-sungguh untuk menjawap
soalan. Satu pemerhatian yang menarik ialah kadar menjawab soalan di kalangan kumpulan
pelajar yang pencapaian tinggi nampaknya sangat lambat kerana mereka menjawab soalan
dengan berhati-hati. Mereka ini selalu berfikir secara mendalam sebelum mencabar jawapan
rakan-rakan. Di sebaliknya, bagi pelajar-pelajar dari kumpulan pencapaian rendah pula,
mereka begitu sibuk dengan cabar mencabar di antara satu sama lain. Yang positifnya ialah
mereka ini nampaknya begitu bersemangat untuk berusaha menjawab soalan. Namun,
masalah yang saya perhatikan ialah kebanyakan masa itu, semua jawapan yang diberikan itu
adalah jawapan yang silap! Walaupun saya gembira dengan tahap motivasi yang tinggi di

7
kalangan pelajar pencapaian rendah, namun saya mula memikirkan isu bagaimana saya dapat
membantu mereka belajar. Hakikat yang perlu saya terima ialah soalan-soalan yang
diberikan adalah terlalu sukar untuk tahap mereka. Justeru itu, saya membuat keputusan
untuk merendahkan tahap kesukaran soalan supaya selaras dengan tahap kebolehan mereka.
Apa yang telah saya lakukan ialah menyediakan dua set soalan yang berbeza bagi kumpulan
pencapaian tinggi dan kumpulan pencapaian rendah. Semua soalan kumpulan pencapaian
tinggi adalah soalan yang selaras dengan tahap kesukaran topik yang sedang diajar, manakala
kumpulan tahap pencapaian rendah pula diberikan dua atau tiga soalan yang begini dan yang
lain pula adalah soalan-soalan yang senang seperti fakta-fakta asas pendaraban sahaja. Selain
daripada itu, saya juga telah membekalkan satu kad sifir dua hingga sifir sembilan kepada
setiap kumpulan. Semasa pertandingan, salah seorang sahaja dari ahli kumpulan boleh
membawa kad sifir berkenaan bersama sebagai rujukan semasa menjawab soalan. Secara
umum, kedua-dua tindakan ini telah mendatangkan kesan yang baik.

Masalah Pelaksanaan NHT

Bilangan ahli kumpulan yang tidak seragam. Semasa menjalankan pertandingan


NHT pula, bagi kumpulan kelapan yang hanya ada tiga orang ahli, sekiranya nombor empat
dipanggil, saya akan memanggil ahli bernombor tiga (yang lebih kurang sama tahap
pencapaian dengan ahli bernombor empat) untuk menjawab soalan. Ini bermaksud pelajar
berkenaan, yang rendah tahap pencapaiannya, lebih kerap dipanggil untuk menjawab soalan.
Apa yang berlaku ialah dua orang ahli yang lain dari kumpulan kelapan itu selalunya nampak
begitu kecewa sekali apabila ahli nombor tiga dipanggil untuk menjawab soalan kerana
pelajar berkenaan sering tidak dapat menjawap soalan dengan betul. Akibatnya, pelajar
berkenaan nampaknya seolah-olah menghadapi tekanan yang sangat besar apabila dipanggil
untuk menjawab soalan. Pada masa itu, saya tidak dapat membuat apa-apa tentang masalah
ini. Merenung kembali apa yang telah berlaku, apa yang boleh saya lakukan pada masa itu
mungkin memberi alternatif kepada kumpulan kelapan. Salah satu alternatif yang boleh
diberikan ialah sekiranya nombor empat dipanggil, kumpulan kelapan boleh membuat
keputusan sendiri untuk menentukan ahli yang akan menjawab soalan.

Ruang sempit. Untuk menggalakkan pelajar-pelajar memahami langkah-langkah


mencari penyelesaian bagi soalan-soalan matematik yang diberikan, saya meminta mereka
menunjukkan langkah-langkah penyelesaian bersama jawapan masing-masing. Pada
mulanya, saya meminta wakil dari semua kumpulan menjawab soalan di papan hitam di
depan kelas, namun tindakan ini menimbulkan masalah ruang yang begitu sempit bagi lapan
orang pelajar. Oleh yang demikian, saya telah membuat lapan keping papan tulis kecil yang
boleh dipegang oleh pelajar. Walaupun demikian, ruang di depan kelas masih sempit untuk
untuk lapan orang berdiri di depan dan kumpulan yang duduk di depan sering cuba untuk
memberi bantuan kepada ahli kumpulan mereka untuk menjawab soalan. Akhirnya, saya
telah mengubah tempat berdiri untuk lapan orang pelajar yang perlu menjawab soalan. Tiga
orang dari kumpulan belakang sekali berdiri di depan sekali; dua orang dari kumpulan depan
sekali berdiri di tengah kelas; dan tiga orang lagi dari kumpulan tengah berdiri di belakang
sekali. Tempat berdiri sedemikian adalah untuk memastikan tidak ada pelajar yang berdiri
berdekatan dengan kumpulan sendiri.

8
Rumusan

TGT dan NHT sangat sesuai digunakan untuk menangani masalah penguasaan
kemahiran asas matematik kerana dua kaedah pembelajaran koperatif ini dapat dilaksanakan
secara luwes dalam kelas yang terdiri daripada pelajar-pelajar pelbagai tahap pencapaian.
Pengajaran biasa mengikut sukatan pelajaran boleh dilaksanakan, tetapi soalan latihan
kumpulan dan soalan pertandingan TGT dan NHT boleh diselaraskan mengikut tahap
pencapaian pelajar yang berbeza-beza. Justeru itu, latihan kemahiran asas matematik dapat
diselitkan dalam pengajaran kelas yang biasa agar pelajar-pelajar tahap pencapaian rendah
berpeluang mempertingkatkan kemahiran asas yang berkenaan.

Rujukan

Gan, T. H. (1999). Mencari titik perseimbangan di antara keunggulan teori dan kenyataan
praktis: Satu kes pelaksanaan pembelajaran koperatif dalam pengajaran matematik
sekolah rendah. Jurnal Penyelidikan Pendidikan MPS, 2, 68-85.
[Online]. Available: www2.moe.gov.my/~mpsmiri/6gth.htm
Jacobs, M. G. (1993). Thw sweet smell of learning: Adding lots of honey to small group
activities. Guidelines, 15(1), 29-36.
[Online]. Available: www.geocities.com/Athens/Thebes/1650/guidelin.htm
Jacobs, M. G., Gan, S. L. & Ball, J. (1995). Learning cooperative learning via cooperative
learning: A sourcebook of lesson plans for teacher education on cooperative learning.
Singapore: SEAMEO, Regional Language Centre.
Johnson, D. W., Johnson, R. T. & Holubec, E. J. (1990). Circle of learning. Cooperation in
the classroom (3rd ed.). Edina, Minnesota: Interaction Book.
Kagan, S. (1992). Cooperative learning. San Juan Capistrano, CA: Kagan Cooperative
Learning.
Pusat Perkembangan Kurikulum. (1996). Huraian sukatan pelajaran KBSR: Matematik
Tahun 5 - Draf. Kuala Lumpur: Author.
Slavin, R. E. (1982). Cooperative learning: Student teams. What research says to the teacher.
Washington, D. C. : National Education Association.
Smyser, B. M. (1998). Active and cooperative learning. [Online]. Available: www.wpi.edu
[1998, February 20th].

You might also like