Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 3

Ulasan Artikel 5

Wujudkan garis panduan sistem kerja 4 hari tanpa mengikat majikan


Oleh Prof Madya Dr Subramaniam Sri Ramalu - Ogos 12, 2022 @ 12:57pm bhrencana@bh.com.my
(https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/08/987545/wujudkan-garis-panduan-sistem-kerja-4-hari-tanpa-mengikat-majikan)

Selaras pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) berkuat kuasa 1 September ini,
timbul saranan supaya kajian dibuat untuk meneliti kebolehlaksanaan sistem kerja empat
hari merentasi semua sektor ekonomi negara, termasuk perkhidmatan awam. Hal ini
bermakna pekerja bekerja empat hari seminggu dibayar gaji dan faedah kerja sama, tetapi
dengan beban kerja sama atau produktiviti sama perlu dikekalkan. Sebenarnya, keadaan
ini bukan baharu di negara ini tetapi kilang besar sudah lama melaksanakannya menerusi
sistem kerja giliran (syif). Dalam aturan kerja ini, pekerja akan bekerja selama 12 jam sehari
selama empat hari dan berehat selama tiga hari. Namun, dari segi waktu operasi,
kebanyakan kilang beroperasi sepanjang tahun menerusi sistem kerja syif tidak
menjejaskan pengeluaran mereka.
Seksyen 60A Akta Kerja 1955 memperuntukkan majikan tidak boleh memaksa
pekerja bekerja lebih 12 jam sehari, termasuk kerja lebih masa atau melebihi 10 jam secara
berterusan serta tidak melebihi 48 jam seminggu (dikurangkan kepada 45 jam berkuat
kuasa 1 September ini). Bagi perkhidmatan awam, Perintah Am BabG1974
memperuntukkan waktu bekerja penuh adalah dari jam 8 pagi hingga 4 petang (tidak
termasuk satu jam 15 minit rehat) dan tidak boleh melebihi 12 jam sehari, manakala
sebarang perubahan waktu bekerja perlu mendapat kelulusan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam (KPPA).
Peruntukan undang-undang sedia ada hanya menetapkan tempoh masa maksimum
waktu bekerja dalam sehari dan seminggu, justeru sistem bekerja empat hari bukan
mustahil dilaksanakan, sebaliknya bergantung kesediaan majikan untuk melakukan kajian
kebolehlaksanaan dan membuat pengubahsuaian sistem kerja sedia ada. Pelaksanaan
sistem kerja empat hari rata-rata masih dalam skala kecil dan berada pada peringkat kajian
rintis dengan Iceland antara mendahului, iaitu hampir 90 peratus pekerjanya menikmati
kemudahan hari bekerja lebih singkat.
Belgium, United Kingdom (UK), Scotland, Wales, Ireland, Sweden, Jerman, Jepun, Emiriah
Arab Bersatu (UAE), Sepanyol, New Zealand, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada agak
terbuka dengan dapatan kajian rintis. Ironinya, tempoh bekerja agak terkehadapan dalam
pelaksanaan sistem kerja empat hari, terutama di Eropah berada pada purata antara 35
hingga 40 jam seminggu, sedangkan Malaysia baharu sahaja memendekkannya kepada
45 jam seminggu.

Kepuasan pekerja, kebimbangan majikan


Tinjauan firma Qualtrics mendapati 62 peratus pekerja sepenuh masa di negara ini
lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu. Kajian itu melaporkan
kebanyakan responden percaya bekerja empat hari seminggu meningkatkan
keseimbangan hidup pekerja (86 peratus); kesejahteraan mental (82 peratus) dan
produktiviti (83 peratus), selain meningkatkan kesetiaan kepada majikan. Namun,
pandangan majikan juga perlu diambil perhatian sebelum sebarang dasar diperkenalkan.
Rata-rata majikan di negara ini berpandangan situasi ekonomi semasa tidak sesuai untuk
pelaksanaan idea itu.
Kaji selidik Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendapati 60 peratus
daripada 170 syarikat tidak mempunyai kerja syif dan 78.6 peratus daripada 112 syarikat
mempunyai kerja syif tidak bercadang melaksanakan amalan minggu bekerja lebih singkat.
Kajian juga melaporkan sebanyak 55 peratus daripada 111 syarikat mempunyai kerja syif
dan 38.3 peratus daripada 162 syarikat dengan kerja syif berpandangan tidak dapat
melaksanakan sistem itu. Diakui, kebanyakan perniagaan masih belum pulih sepenuhnya
selepas bergelut pandemik COVID-19. Syarikat dalam industri tertentu masih belum
beroperasi dalam kapasiti penuh disebabkan kekurangan pekerja, terutama pekerja asing.

1
Kebimbangan akan berlaku peningkatan kos operasi mendadak ada asasnya bagi
kebanyakan syarikat yang sudah pun terbeban dengan penguatkuasaan dasar gaji
minimum RM1,500. Kebanyakan majikan berpandangan pertambahan kos pengeluaran
dalam bentuk kos upah kerja lebih masa dijangka akan berlaku mengambil kira keperluan
menjaga kepentingan pelanggan sepanjang masa, selain faktor tenaga kerja berbeza di
setiap bahagian dan syarikat. Kaji selidik MEF mendapati 65 peratus syarikat
berpandangan khidmat pelanggan mungkin terjejas sekiranya waktu bekerja empat hari
seminggu dilaksanakan.
Jumlah cuti umum di negara ini dikatakan antara terbanyak di dunia mengatasi purata
global, iaitu lebihan 11 hari dan sekiranya kerja empat hari turut dilaksanakan, wujud
kebimbangan operasi organisasi akan turut terjejas. Walaupun produktiviti di tempat kerja
tidak ditentukan masa bekerja diperuntukkan, rata-rata majikan mengambil kira hal itu.
Dengan tahap produktiviti semasa agak rendah, pengurangan hari bekerja dijangka
menjejaskannya, seterusnya memberi impak kepada pulangan syarikat. Terdapat juga
pandangan keperluan bekerja untuk masa panjang dalam sehari (12 jam) selepas jumlah
hari bekerja dalam seminggu dikurangkan, akan menjejaskan produktiviti dan kualiti kerja
kerana faktor lesu upaya. Majikan juga berpandangan tiada keperluan mendesak untuk
melaksanakannya kerana dasar AKF bakal memberi peluang kepada pekerja untuk
memohon kemudahan seperti perubahan waktu dan hari bekerja serta tempat kerja.

Kesediaan syarikat, sektor awam


Dasar ini membenarkan pekerja membuat surat permohonan kepada majikan yang
pula perlu memberi jawapan dalam tempoh 60 hari secara bertulis mengenai status
permohonan sama ada menerima atau menolak dengan alasan. Pihak berkepentingan juga
mengesyorkan AKF seperti bekerja dari rumah, penggiliran kerja, waktu kerja anjal atau
kerja secara hibrid boleh diteruskan atau ditambah baik. Bagaimanapun, masih ada
harapan untuk merealisasikan sistem itu kerana dalam kaji selidik MEF, 20.4 peratus
syarikat tidak mempunyai syif dan 11.7 peratus syarikat mempunyai syif, menyatakan
kemungkinan akan melaksanakan minggu bekerja empat hari. Walaupun jumlah syarikat
kecil, kesediaan melaksanakan idea itu harus dilihat positif.
Sektor awam pula dilihat lebih terbuka dengan cadangan pelaksanaan kerja empat
hari. Media melaporkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan pasukan khas
mengkaji cadangan bekerja empat hari seminggu yang akan melihat bidang mana dalam
perkhidmatan awam bersesuaian untuk pelaksanaan masa kerja itu dan jumlah waktu
bekerja dalam sehari. Turut akan dikaji, aspek pulangan pelaburan, sama ada relevan untuk
dilaksanakan atau tidak. Ruang dan masa secukupnya perlu diberikan kepada majikan
mengkaji kesesuaian pelaksanaan sistem itu, termasuk kebebasan menentukan jenis
perniagaan, peringkat dan pekerjaan sesuai melaksanakannya tanpa menjejaskan operasi.
Satu garis panduan bersifat tidak mengikat majikan untuk melaksanakannya,
sebaliknya memberi pilihan kepada majikan menentukan kesesuaian pelaksanaan
mengambil kira model perniagaan adalah wajar dibangunkan untuk rujukan masa hadapan.
Lambat-laun desakan menyediakan kemudahan kerja empat hari mungkin akan berlaku,
terutama apabila berlaku persaingan mendapatkan bakat dan mengekalkan mereka di
organisasi. Keterbukaan majikan dalam hal ini adalah penentu kebolehlaksanaan idea
sistem kerja empat kerja pada masa hadapan.

Penulis adalah Pensyarah Pengurusan dan Gelagat Organisasi, Pusat Pengajian Pengurusan Perniaaan, Universiti Utara
Malaysia (UUM)
Penulisan Ulasan
1. Sila baca artikel yang dilampirkan dan tulisan satu ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 150
patah kata.
2. Ayat permulaan ulasan adalah seperti berikut:

Artikel yang dirujuk bertajuk “…………………………”. Berdasarkan artikel tersebut, ……….

2
3. Isi kandungan ulasan berkisar kepada isi penting pada artikel serta berkait dengan fokus
soalan esei (Definisi/Jenis/Ciri-ciri/Rasional/Faktor/Potensi/Halangan/Kesan/Peranan/Langkah)

4. Sila tulis ulasan yang lengkap pada ruangan yang disediakan.


Nama: Kelas: Tarikh:
Ulasan Artikel 5

(______________ patah kata)

You might also like