Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 9

1.

0 PENGENALAN

Penulisan ini bertujuan untuk merumuskan dua buah bahan ilmiah iaitu artikel jurnal yang
bertajuk Transformasi Struktur dalam Persembahan Ulik Mayang dan sebuah buku yang
bertajuk Ulik Mayang Warisan Terengganu. Artikel jurnal yang bertajuk Transformasi Struktur
dalam Persembahan Ulik Mayang di tulis oleh Nurul Ain Binti Hassan dan Muammar
Ghaddafi Hanafiah (2020). Manakala buku yang bertajuk Ulik Mayang Warisan Terengganu
yang ditulis oleh Noraien Mansor (2017) telah dijadikan sebagai rujukan yang memfokuskan
kepada sejarah dan legenda Ulik Mayang, di samping itu, buku ini juga menceritakan secara
terperinci konsep dan bentuk tarian Ulik Mayang tersebut.

Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa transformasi memberi maksud


perubahan sifat, bentuk rupa, keadaan dan lain-lain. Nurul Ain Binti Hassan dan Muammar
Ghaddafi Hanafiah (2020) telah menyatakan bahawa persembahan Ulik Mayang telah
mengalami pelbagai perubahan dari sudut struktur persembahan.

Perubahan yang berlaku adalah terhadap bentuk persembahan Ulik Mayang.


Selain itu, penulis-penulis juga telah membuat kajian mengenai persembahan Ulik
Mayang dari segi bentuk asal persembahan yang membezakan element baru dalam
persembahan itu pada hari ni serta bentuk- bentuk perubahan yang dilalui.
Penulis-penulis juga telah mendapati bahawa faktor perkembangan Islam telah merubah
corak kehidupan masyarakat dan faktor ini juga mendorong masyarakat pada hari ini
mempunyai kebolehan dan kemampuan mencipta yang tinggi dalam penyesuaian
pementasan Ulik Mayang tradisional kepada sebuah pementasan Ulik mayang yang lebih
moden dan relevan. Perubahan tersebut di lakukan untuk memastikan warisan kebudayaan
ini terus kekal untuk tatapan generasi akan datang.

Noraien Mansor (2017) dalam bukunya yang bertajuk Ulik Mayang Warisan
Terengganu telah menumpukan secara keseluruhanya kepada sejarah dan lagenda Ulik
Mayang. Penulis juga telah menceritakan secara terperinci mengenai konsep dan bentuk
tarian Ulik Mayang tersebut. Penulis juga telah menemubual beberapa orang tokoh yang
terlibat secara langsung atau secara tak langsung dengan persembahan ini.

2.0 SEJARAH ULIK MAYANG


Nurul Ain Binti Hassan dan Muammar Ghaddafi Hanafiah (2020) dalam kajiannya
telah menyatakan bahawa Ulik Mayang telah mula dikaji oleh Ismadi Malaya pada tahun
1958 telah menyatakan bahawa Ulik Mayang berasal dari Terengganu yang dibawa oleh satu
kumpulan penangkap ikan kira-kira pada tahun 1924. Seni tari atau seni gerak tari telah
wujud dalam masyarakat melayu sejak dari dulu lagi. Ianya memberi kesan dalam aktiviti
harian. Menurut Ismail Hamid (1991),seni taria adalah satu bentuk tarian yang menarik yang
boleh memberikan keseronokan kepada orang lain. Ulik mayang merupakan salah satu dari
warisan lama dan mengandungi unsur pemujaan.

Menurut Siti Zainon Ismail (2008), persembahan dimulakan dengan upacara


pengubatan yang dilakukan oleh bomoh atau pawang yang bertujuan untuk mengubati
pesakit. Menurut beliau juga, penyakit tersebut adalah penyakit yang berkaitan dengan
makhluk halus atau terkena sampuk oleh hantu. Amran Kasimin (2006) menyatakan bahawa
orang melayu sebelum kedatangan tamadun islam mempunyai animism iaitu kepercayaan
yang begitu kuat terhadap kuasa ghaib seperti semangat, jin dan sebagainya. Akibat
daripada kepercayaan inilah,munculnya pawang, bomoh dukun,Poyang dan sebagainya yang
berperanan sebagai perantaraan antara manusia dengan alam ghaib.

Bomoh, pawang, dukun, poyang dan lain-lain dikatakan mempunyai ilmu batin yang
tinggi dan boleh menghubungkan manusia dengan kuasa ghaib. Mereka juga menjadi
peranan utama dan ketua dalam upacara dan adat istiadat masyarakat melayu pada masa
itu. Mohd Osman Taib (1988) menyatakan bahawa kepercayaan terhadap kuasa-kuasa ghaib
yang telah sebati dalam diri setiap individu masyarakat pada ketika itu menjadi perubahan
yang agak ketara. Akibat daripada pegangan kepada kepercayaan yang utuh, setiap
malapetaka atau kejadian yang berlaku mesti berkait dengan kepercayaan tersebut. Secara
tidak langsung, hubungan yang erat antara manusia dengan kuasa luar biasa dapat
dikaitkan.

Kepelbagaian upacara ritual tertentu dipersembahkan dengan seni tari melayu


menjadi asas penting dalam simbolik persembahan. Walaubagaimanapun, persembahan Ulik
Mayang pada hari ini telah banyak mengalami perubahan dan persembahan ini hanya
disajikan kepada masyarakat umum sebagai sebuah seni tarian yang berbentuk hiburan
semata-mata.

Menurut Noraien Mansor (2017) di dalam bukunya Ulik Mayang Warisan Terengganu
pula, Ulik Mayang, menurut sejarah telah wujud sekitar tahun 1839-1870 pada zaman
pemerintahan Sultan Omar. Ulik Mayang ini dikatakan telah berasal dari kepulauan Jawa dan
ada juga yang yang menyatakan bahawa Ulik Mayang ini berasal dari sebuah pulau yang
dekat dengan kepulauan Jawa. Kewujudan Ulik Mayang pada zaman dahulu adalah
bertujuan sebagai upacara perubatan masyarakat pada masa itu. Ramli Ibrahim (2017) telah
menyatakan bahawa Ulik Mayang wujud di Kampung Pasir Panjang, Seberang Marang dan
Kampung Maras yang pada asalnya mempunyai unsur perubatan dan pemujaan. Untuk
membangkitkan semangat dan asalnya, Ulik Mayang dimainkan dengan menggunakan
mayang pinang. Lirik lagu Ulik Mayang merupakan kekuatan kepada tarian Ulik Mayang yang
digunakan semasa tarian tersebut dimainkan. Ianya mengandungi unsur pemujaan yang
digunakan oleh pawang atau bomoh untuk tujuan perubatan.

Terdapat banyak versi mengenai kewujudan Ulik Mayang. Walaubagaimanapun,


peristiwa dan susunan kronologinya adalah sama iaitu mengenai sekumpulan nelayan yang
terdampar di pinggir pantai dan salah seorang daripadanya tidak sedarkan diri. Menurut
Noraien Mansor (2017), Allayarham Abdul Aziz Sulaiman telah mencipta tarian Ulik Mayang
pada hari ini berdasarkan lagu dan muzik yang telah digubah oleh Allayarham Mazlan
Embong . Perubahan serta pembaharuan dalam seni persembahan tarian Ulik Mayang ini
bertujuan untuk mengekalkan warisan ini disamping menjaga adab-adab ketamadunan Islam.

3.0 TRANSFORMASI DALAM PERSEMBAHAN ULIK MAYANG

3.0.1 PERSEMBAHAN ULIK MAYANG TRADISIONAL

Persembahan Ulik Mayang pada zaman dahulu iaitu secara tradisionalnya


berunsurkan pemujaan dan bertujuan untuk pengubatan. Fasa persembahan juga
mengandungi unsur-unsur khurafat dan ianya sangat bertentangan dengan ajaran
Islam.

3.0.1.1 STRUKTUR PERSEMBAHAN


Persembahan Ulik Mayang asalnya dapat dibahagikan kepada tiga tahap iaitu
proses membangkitkan semangat mayang, proses pementasan dan proses bersurai.
Bomoh atau peduan akan dikelilingi oleh peserta untuk membangkitkan
semangat mayang. Kemudiannya, mayang diasapkan untuk memulakan
persembahan. Bacaan doa dan al-fatihah dimulakan sebelum bomoh atau peduan
membangkitkan mayang
Sebelum bomoh atau peduan mula menyeru bangkitan asal mayang, upacara
bacaan doa dan al-fatihah dilakukan. Bacaan mantera yang digunakan untuk
membangkitkan asal mayang dilakukan. Mayang akan disapu dengan Minyak kelapa.
Kemenyan dibara dan ditambah untuk menambahkan kepulan asap. Proses ini
dilakukan untuk menyeru kebangkitan mayang.

Proses pementasan merupakan proses yang kedua. Bulatan dibentuk dan saiz
bulatan dibentuk mengikut bilangan anggota yang ada.

Persembahan dimulakan dengan satu bulatan dan saiz bulatan yang mengikut
bilangan anggota yang ada.

Pementasan Ulik Mayang dianggotai seramai 11 orang iaitu 4 orang lelaki dan 7 orang
perempuan, Zamzuriah Zahari (2020).

Seorang pemegang mayang dan seorang lagi dari anggota lain akan ketuai nyanyian
yang kemudiannya akan diikuti oleh anggota penari lain ditengah-tengah bulatan.

‘Adi’ adalah ketua yang akan memulakan nyanyian.

Empat orang penari lelaki yang tidak sedarkan diri akan memulakan pementasan Ulik
Mayang. Salah seorang daripada mereka berperanan sebagai bomoh untuk memegang
mayang. Lagu Ulik Mayang dimainkan dan diserunya puteri dua.

Puteri Dua akan menari dibelakang peserta lelaki, kemudian diseru pula Puteri Empat, Puteri
Enam dan Puteri Tujuh. Lagu menghalau dan menghantar penunggu akan dinyayikan
selepas Puteri Tujuh keluar.

Bersurai merupakan proses yang terakhir. Persembahan tamat apabila nyayian tamat.
Pawang akan pulihkan pemegang mayang yang telah berhenti menari dan tidak sedarkan diri
pada ketika itu.

Sekiranya ada penari berterusan tidak sedarkan diri atau masih belum pulih atau
Puteri Tujuh kononnya tidak mahu pulang, khidmat pawang akan digunakan. Bacaan kalimah
La ilaha illa Allah di telinga kiri dan muhammad rasulullah di telinga kanan penari dan
kemudiannya ditiupkan di ubun-ubun.

Kaedah lain yang juga turut digunakan bagi memulihkan penari yang masih tidak
sedarkan diri ini, pawang akan membacakan mantera jampi menghantar semula semangat
puteri yang hadir (Amran Kasimin, 2006).

Menurut Noraien Mansor (2017) sebelum memulakan persembahan, terdapat


beberapa persediaan yang diperlukan antaranya, persediaan awal, sebelum persembahan
dan semasa persembahan. Pada fasa persediaan awal, menurut Noraien Mansor (2017)
tiada had umur dikenakan. Peserta yang diberi tanggungjawab sebagai pemegang mayang
perlulah terdiri daripada peserta yang mempunyai semangat dan keberanian yang tinggi. Hal
ini demikian kerana mayang hanya dapat dibangkit dan dihidupkan apabila seseorang
peserta itu mempunyai semangat dan keberanian yang tinggi sahaja. Pemegang mayang
akan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan akan bangun menari dengan sendirinya.
Serentak dengan proses menghidupkan mayang, lagu akan dimainkan dan aktiviti ini akan
diawasi oleh seorang guru yang mahir untuk mrngelakkan kejadian yang tidak diingini. Tiada
tempat yang spesifik untuk mempersembahkan tarian Ulik Mayang ini. Walaubagaimanapun,
persembahan Ulik Mayang tidak dilakukan pada malam Jumaat. Lagu Ulik Mayang pada
awalnya merupakan sebuah mantera untuk memanggil semangat mistik. Selepas mantera ini
diharamkan, lagu Ulik Mayang telah diubah sinonim dengan tarian tersebut. Lagu Ulik
Mayang kini tidak lagi berunsurkan unsur yang bertentangan dengan agama Islam.

3.0.1.2 PERALATAN, ALAT MUZIK DAN KOSTUM

Nurul Ain Binti Hassan dan Muammar Ghaddafi Hanafiah (2020) dalam kajiannya
menyatakan bahawa persembahan Ulik Mayang turut mempunyai kelengkapan terhadap
peralatan dan pakaian yang digunakan khusus untuk persembahan Ulik Mayang. Peralatan,
alat muzik dan kostum merupakan elemen penting dalam persembahan ini yang mana
persembahan ini secara tradisionalnya banyak berunsurkan ritual. Upacara persembahan
Ulik Mayang yang digunakan pada zaman dahulu adalah mayang pinang, bubu, kemenyan,
bertih dan dupa. Dari sudut peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan pula,
secara tradisionalnya persembahan Ulik Mayang banyak menggunakan gendang, gong dan
rebana. Persembahan tradisional Ulik Mayang banyak menggunakan warna-warna
kebesaran seperti warna kuning. Penggunaan selendang teratai serta barang perhiasan lain
digunakan untuk mewujudkan imej seorang puteri. Perhiasan dan tatarias yang digunakan
juga tidak khusus kerana ianya dijadikan sebagai perhiasan bagi menggambarkan imej
seorang puteri yang rupawan dan berhias. Penggunaan baju juga tidak terlalu khusus, ianya
cukup untuk menggambarkan watak nelayan, puteri dan bomoh itu sahaja.

Manakala, menurut Noraien Mansor (2017), Ulik Mayang pada asalnya tidak
menggunakan alat muzik. Penggunaaan alat muzik pada persembahan Ulik Mayang telah
dibawa masuk oleh pengkarya seni Ulik Mayang selepas ditransformasikan untuk
memberikan nafas baharu dalam persembahan tersebut. Penggunaan alat muzik yang
mengasyikkan dapat menaikkan semangat tujuh puteri tersebut. Alat muzik yang dibawa
masuk antaranya adalah viola, akordian, rebana anak/ibu atau gendang silat, gitar biasa dan
gong. Selain daripada itu, elemen penting dalam persembahan Ulik Mayang adalah
penggunaan mayang pinang. Mayang pinang merupakan peralatan utama dalam tarian Ulik
Mayang. Mayang pinang digunakan oleh peduan atau bomoh semasa persembahan
berlangsung dan salah satu sebab utamanya adalah untuk membangkitkan semangat
mayang. Penggunaan pakaian dalam persembahan Ulik Mayang pada asalnya direka
mengikut pakaian gamelan yang mempunyai ciri-ciri baju pendek dan kain yang yang dipakai
adalah kain sarung benang emas bagi mengambarkan kebesaran puteri tersebut. Penari
memakai selendang berwarna kuning, bengkung bertatah dan mahkota pada bahagian
kepala untuk menggambarkan watak puteri. Warna kuning, hijau dan merah digunakan pada
pakaian penari yang mempunyai simbol tertentu dalam adat istiadat orang melayu. Bagi
penari lelaki, penggunaan kostum yang pakai adalah sama secara kebiasaannya nelayan
ketika turun ke laut.

4.0 PERSEMBAHAN ULIK MAYANG PADA MASA KINI

Persembahan Ulik Mayang pada masa kini berbeza dengan persembahan Ulik
Mayang pada zaman dahulu. Persembahan ini telah banyak mengalami perubahan
dari sudut struktur persembahannya. Persembahan Ulik Mayang yang ringkas
menjadikan persembahan ini relevan dan sesuai untuk dipertontonkan secara umum.
Hasil kajian penulis-penulis mengenai persembahan Ulik Mayang ini, adalah
dinyatakan bahawa persembahan Ulik Mayang yang asalnya terbahagi kepada tiga
tahap masih diamalkan, tetapi telah diubah supaya tidak bertentangan dengan
agama islam. Persembahan Ulik Mayang masa kini hanyalah sekadar persembahan
tarian yang berbentuk hiburan. Upacara persembahan tersebut tidak lagi
mengandungi unsur pemujaan kerana upacara pembacaan mantera telah dibuang.

4.0.1 STRUKTUR PERSEMBAHAN ULIK MAYANG PADA MASA KINI

Persembahan Ulik Mayang pada masa kini telah menjalani proses transformasi
struktur antaranya adalah seperti bentuk upacaranya yang tidak lagi mempunyai
unsur pemujaan, pembuangan unsur pemujaatdn, pembuangan bacaan mantera,
pembentukan gimik, probs, alat muzik dan kostum.
Pembuangan unsur-unsur pemujaan dalam persembahan Ulik Mayang pada
hari ini adalah untuk menjaga elemen-elemen asli yang menjadi teras kepada
pembentukan jati diri orang melayu. Menurut Muammar Ghaddafi (2019), Islam
menjadi teras utama kemelayuan telah lama berdifusi dalam segala adat resam dan
tradisi mereka.Pembuangan unsur-unsur pemujaan dalam struktur persembahan Ulik
Mayang adalah demi untuk menjaga warisan persembahan agar tidak melanggar
syariah Islam.

Pembuangan unsur-unsur yang melibatkan segala element upacara yang


bertentangan dengan islam untuk menjaga warisan tarian tradisional melayu.
Pembentukan gimik semasa persembahan Ulik Mayang dapat memberikan
gambaran sebenar suasana persembahan pada zaman dahulu. Pada hari ini,
persembahan Ulik Mayang menggunakan mayang pinang yang di awet, colok, bekas
biasa dan bubu.
Walaubagaimmanapun, persembahan Ulik Mayang kini telah menjadi satu seni persembahan
kebudayaan dan tidak lagi bertujuan untuk pengubatan seperti mana tujuan asalnya.

4.0.2 PERALATAN, ALAT MUZIK DAN KOSTUM


Menurut penulis-penulis juga persembahan Ulik Mayang bukan sahaja mengalami
perubahan dari segi upacara persembahan, tetapi peralatan, alat muzik dan kostum juga
turut mengalami perubahan. Aspek pemakaian kostum juga mengalami proses transformasi.
Persembahan tradisional Ulik Mayang banyak menggunakan warna-warna kebesaran seperti
warna kuning, namun pada hari ini, warna kuning tidak lagi menjadi satu warna kewajipan
yang perlu ada pada kostum Ulik Mayang.

Selain daripada itu, menurut penulis-penulis, akibat daripada faktor perkembangan


tekstil dan perkembangan era teknologi yang telah dapat menghasilkan pelbagai jenis tekstil
dan perhiasan untuk tujuan peragaan dan kebudayaan, banyak reka bentuk dan tata rias
kostum yang lebih moden dapat dihasilkan. Namun, menurut penulis-penulis, pada hari ini
terdapat perubahan pada penggunaan alat muzik. Persembahan Ulik Mayang pada zaman
moden kini, terdapat banyak penambahan pada alat muzik disamping mengekalkan alat
muzik yang sedia ada seperti gendang, seruling, akordian, gong, biola dan minus one. Ada
sesetengah penganjur persembahan ini juga menggunakan minus one sahaja.

5.0 FAKTOR-FAKTOR BERLAKU TRANSFORMASI

Menurut penulis-penulis, beberapa faktor berlakunya transformasi ini adalah faktor


perkembangan islam, faktor perubahan corak hidup, faktor penjagaan seni warisan budaya
terkini, faktor perkembangan kreativiti dan daya cipta. Secara amnya, dapat dilihat bahawa
masyarakat melayu pada hari ini masih menyayangi dan menyanjungi budaya warisan
bangsanya agar tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

6.0 KESIMPULAN

Didalam buku Kisi-kisi Warisan Terengganu (2014), penulis telah menyatakan


bahawa Ulik Mayang merupakan satu warisan dan peradaban negeri Terengganu
yang mempunyai nilai seni yang sangat tinggi. Hal ini kerana, Ulik Mayang
merupakan satu produk anak tempatan yang berkretiviti tinggi dan sukar dicabar
yang mana mempunyai nilai keindahan yang sangat tinggi.

Persembahan Ulik Mayang pada masa kini adalah berbeza bentuk dengan
tarian Ulik Mayang yang ditarikan pada zaman dahulu. Bentuk persembahan Ulik
Mayang yang dipentaskan pada hari ini adalah sebuah tarian yang ringkas,
Zamzuriah Zahari (2020)

Menurut Noraien Mansor (2017) di dalam bukunya Ulik Mayang Warisan


Terengganu pula, Ulik Mayang telah mengalami perubahan dari segi persembahan
pada masa kini. Persembahan tarian ini tidak lagi menggunakan unsur-unsur
pemujaan didalam persembahannya. Sebagai contoh, penggunanan mantera pada
masa kini adalah berbeza dengan penggunaan mantera pada zaman dahulu.

Kedua-dua buah bahan ilmiah ini telah memberikan maklumat yang sama berkenaan
persembahan ulik mayang. Artikel jurnal dan buku ilmiah yang dirumuskan juga memberikan
huraian yang sangat terperinci dan seterusnya dapatan kajian dapat dicapai dengan baik
seperti mana yang dinyatakan pada awal kajian. Pengkaji telah mengkaji dan menganalisis
data maklumat dengan baik dan seterusnya menjadikan kajian ini sebagai rujukan dan
contoh kepada pengkaji lain yang ingin mengkaji mengenai persembahan ulik mayang.

You might also like