Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 18

BAB 5

PERBINCANGAN, CADANGAN DAN KESIMPULAN

5.1 Pengenalan

Bab ini berfokus kepada perbincangan keseluruhan dapatan kajian, implikasi kajian, batasan
kajian, cadangan bagi kajian lanjutan dan kesimpulan. Pengkaji akan membincangkan
dapatan kajian berdasarkan persoalan dan objektif kajian yang diutarakan di dalam bab 1.
Pengkaji akan membincangkan dapatan kesan aktiviti renang berstruktur terhadap
perkembangan kanak-kanak autistik dalam kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan
tingkah laku. Seterusnya, pengkaji akan membincangkan dapatan-dapatan yang diperolehi
dengan mengemukakan dapatan-dapatan daripada kajian terdahulu sama ada menyokong
dapatan ini atau sebaliknya.

Di dalam bab ini, pengkaji juga membincangkan implikasi kajian terhadap guru, ibu
bapa dan pihak berwajib. Batasan dan cadangan kajian selanjutnya turut dibincangkan oleh
pengkaji di dalam bab ini. Akhir sekali, pengkaji membuat rumusan di dalam kajian ini.
5.2 Perbincangan Kajian

Literatur tentang kesan intervensi aktiviti fizikal terhadap individu autistik menunjukkan
bahawa pembelajaran kemahiran motor dapat meningkatkan fungsi motor (Bremer et al.
2015; Casey et al. 2015) dan juga mencadangkan bahawa ia boleh membantu untuk
meningkatkan tingkah laku, kognitif dan sosial (Bass et al. 2009; Lang et al. 2010;
Macdonald et al. 2012; Sowa dan Meulenbroek 2012; Ward et al. 2013).
Salah satu aktiviti fizikal yang dikaji ialah aktiviti renang. Beberapa penemuan
menunjukkan aktiviti renang yang dilaksanakan secara teratur dan khusus memberikan
peningkatan terhadap kemahiran motor dan kecergasan fizikal individu autistik (Becker,
2009; Bass et al. 2009; Lang et al. 2010; Fragala-Pinkham et al. 2011, Macdonald et al. 2012;
Sowa dan Meulenbroek 2012; wad et al. 2013; Hall, 2013; Press, 2014; Aleksandrovic et al,
2015; Bremer et al. 2015; Casey et al. 2015). Hanya sedikit bukti empirikal yang
mencadangkan keberkesanan pendekatan ini dalam merawat gangguan yang dialami individu
autistik seperti gangguan interaksi sosial (Pan 2010; Chu dan Pan 2012) dan gangguan
tingkah laku (Press,2014; Mills, 2020)
Kajian lepas yang dijalankan secara kuantitatif menyiasat kesan aktiviti renang
terhadap individu autistik menunjukkan secara konsisten bahawa keseluruhannya penglibatan
individu autistik dalam aktiviti renang memberikan kesan yang baik. Dalam kajian ini,
pengkaji menilai keberkesanan aktiviti renang berstruktur terhadap kanak-kanak autistik
dalam kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku. Kajian ini dijalankan secara
kualitatif dengan menggunakan kaedah analisis dokumen, temubual bersama ibu bapa dan
guru serta pemerhatian daripada jurulatih renang.
Pengkaji akan membincangkan dapatan kajian hasil kutipan data yang diperolehi
melalui analisis dokumen, temubual dan pemerhatian yang telah dilaksanakan. Perbincangan
dilakukan dengan membahagikan dapatan kepada tiga bahagian berdasarkan objektif kajian
iaitu kesan aktiviti renang berstruktur terhadap :

i. kemahiran komunikasi
ii. Interaksi sosial
iii. Tingkah laku
Dapatan yang diperolehi akan disokong atau disanggah dengan kajian terdahulu.
Perbincangan di lakukan oleh pengkaji berdasarkan objektif dan persoalan kajian yang telah
di nyatakan di dalam bab 1.

5.2.1 Kesan Aktiviti Renang Berstruktur Terhadap Perkembangan Kanak-Kanak


Autistik Dalam Kemahiran Komunikasi.

Objektif kajian yang pertama ialah mengenalpasti perkembangan kanak-kanak autistik dalam
kemahiran komunikasi melalui aktiviti renang berstruktur. Pengkaji mengenalpasti
perkembangan subjek melalui analisis dokumen, temubual dan pemerhatian. Melalui dapatan
kajian analisis dokumen menjelaskan gangguan dalam kemahiran komunikasi yang dialami
subjek sebelum mengikuti aktiviti renang. Manakala melalui dapatan kajian temubual dan
pemerhatian menjelaskan perkembangan terkini subjek.

Gangguan kemahiran komunikasi meyukarkan komunikasi antara individu autistik


dengan rakan sebaya. Gangguan dalam kemahiran komunikasi pada individu autistik
menyebabkan mereka kurang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sukan (Sourvinos,
2020). Ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan keseluruhan individu autistik, tetapi ia juga
menghalang mereka daripada menyesuaikan diri bersama orang sekeliling (Zhao dan Chen,
2018). Zhao dan Chen (2018) juga menyatakan bahawa aktiviti fizikal memberi manfaat
kepada kesihatan individu autistik. Kajan Güeita-Rodríguez et al. (2021) menyatakan secara
jelas, penglibatan dalam aktiviti fizikal dapat meningkatkan kemahiran komunikasi
Salah satu aktiviti fizikal yang disarankan ialah aktiviti renang. Aktiviti renang
didapati merupakan aktiviti fizikal yang paling disukai oleh kanak-kanak autistik,
menyeronokkan dan memotivasikan dan secara tidak langsung membantu perkembangan
kemahiran komunikasi melalui pergaulan bersama rakan semasa aktiviti dilaksanakan (Zhao
dan Cheng, 2017).
Dalam kajian ini, perkembangan dalam kemahiran komunikasi dinilai dalam dua
aspek iaitu ekspresi wajah dan respons. Berdasarkan dapatan kajian bagi menjawab soalan
kajian yang pertama, pengkaji mendapati secara keseluruhan, kemahiran komunikasi subjek
didapati bertambah baik melalui aktiviti renang berstruktur sebagai terapi. Perkembangan
kemahiran komunikasi kanak-kanak autistik nampak dengan jelas apabila peningkatan ketara
ditunjukkan dalam aspek ekspresi wajah dan respons.

Antara peningkatan yang ditunjukkan ialah :


i. Subjek memberikan ekspresi wajah sesuai mengikut perasaan, situasi dan
keadaan. Antara ekspresi wajah yang ditunjukkan ialah gembira, marah, sedih,
takut dan keliru.
ii. Subjek bertindakbalas terhadap ekspresi wajah yang ditunjukkan oleh orang
lain. Antaranya ialah subjek bertindakbalas apabila ibu bapa, guru dan rakan-
rakan menunjukkan ekspresi marah dan sedih.
iii. Subjek memberikan respons yang baik apabila namanya dipanggil.
iv. Subjek memberikan respons terhdap arahan-arahan ringkas.
v. Subjek memberikan respons terhadap nada suara samada nada tinggi mahupun
perlahan.
vi. Subjek memberikan respons apabila ditunjukkan sesuatu.

Hasil kajian ini adalah konsisten dengan penemuan (Pan, 2010; Chu dan Pan, 2012) yang
mengesahkan bahawa individu autistik menunjukkan peningkatan dalam kemahiran
komunikasi melalui aktiviti renang.
Kajian Pan (2010) dijalankan untuk mengkaji kesan aktiviti renang terhadap
kemahiran komunikasi pada kanak-kanak autistik. Kajian Pan (2010) yang bertujuan untuk
menyiasat keberkesanan program renang berbanding dengan aktiviti psiko-pendidikan lain
dalam meningkatkan kemahiran komunikasi pada kanak-kanak autistik. Dalam kajian Pan
(2010) kemahiran komunikasi kanak-kanak autistik dinilai sebelum dan selepas melalui
aktiviti renang menggunakan senarai semak CARS dan VABS. Hasil kajian khususnya
berdasarkan senarai semak VABS menunjukkan peningkatan umum kanak-kanak autistik
dalam kemahiran komunikasi.
Manakala kajian Chu dan Pan (2012) mendapati peningkatan kemahiran
komunikasi antara kanak-kanak autistik dengan guru dan rakan sebaya selepas 12 minggu
latihan renang.
Kajian ini mengenal pasti peningkatan dalam kemahiran komunikasi kanak-kanak autistik
selepas rawatan intervensi aktiviti renang dijalankan. Seperti yang dihipotesiskan,
penglibatan dalam aktiviti renang berstruktur berkesan untuk menangani gangguan
kemahiran komunikasi yang dialami oleh kanak-kanak autistik melalui penilaian Senarai
Semak Tingkah Laku Autistik. Kajian menunjukkan jumlah skor subjek yang terlibat
meningkat dalam semua subskala kemahiran komunikasi.
Sourvinos et. Al (2020) menunjukkan bukti yang jelas tentang keberkesanan aktiviti
renang dalam membantu perkembangan komunikasi kanak-kanak autistik. Secara ringkasnya,
hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa aktiviti renang secara amnya boleh meningkatkan
perkembangan kemahiran komunikasi. Namun begitu kajian ini mengkaji keberkesanan
aktiviti renang terhadap komunikasi lisan iaitu dalam aspek bahasa dan pertuturan.
Kajian Zhao dan Cheng (2017) juga menyokong hasil kajian ini. Namun begitu
kajian Zhao dan Cheng (2017) tidak menyiasat secara khusus kesan aktiviti renang terhadap
kemahiran komunikasi kanak-kanak autistik. Kajian ini menyiasat kesan aktiviti fizikal
berstruktur terhadap perkembangan kemahiran komunikasi kanak-kanak autistik. Zhao dan
Cheng (2017) melaksanakan perbandingan antara kumpulan eksperimen dan kawalan
melalui pengukuran berulang dua hala ANOVA. Melalui ujian yang dilaksanakan, hasil
kajian membuktikan kesan program aktiviti fizikal berstruktur menghasilkan peningkatan
dalam kemahiran komunikasi antara kumpulan eksperimen berbanding kumpulan kawalan.
Selepas aktiviti fizikal selama 12 minggu peningkatan yang ketara didapati dalam kemahiran
komunikasi untuk kumpulan eksperimen berbanding dengan kumpulan kawalan. Di samping
itu, terdapat peningkatan yang ketara antara ujian pra dan ujian pasca bagi kumpulan
eksperimen. Keputusan ini menunjukkan program aktiviti fizikal yang dilaksanakan secara
berstruktur mempunyai pengaruh yang positif terhadap kemahiran komunikasi kanak-kanak
autistik.
Secara keseluruhan, penemuan kajian ini mengesahkan keputusan penyelidikan
terdahulu yang menunjukkan kesan positif aktiviti renang dan aktiviti fizikal berstruktur
terhadap kemahiran komunikasi (Pan, 2010: Chu dan Pan, 2012; Zhao dan Cheng, 2017;
Sourvinos, 2021). Walau bagaimanapun, pengkaji terdahulu hanya menumpukan pada
kemahiran komunikasi lisan antaranya aspek bahasa dan pertururan. Berbanding kajian ini
yang menumpukan dan meneroka dengan lebih mendalam kesan aktiviti renang berstruktur
dalam aspek ekspresi wajah dan respons.

5.2.2 Kesan Aktiviti Renang Berstruktur Terhadap Perkembangan Kanak-Kanak


Autistik Dalam Interaksi Sosial.

Objektif kajian yang kedua ialah mengenalpasti perkembangan kanak-kanak autistik dalam
interaksi sosial melalui aktiviti renang berstruktur. Pengkaji mengenalpasti perkembangan
subjek melalui analisis dokumen, temubual dan pemerhatian. Melalui dapatan kajian analisis
dokumen menjelaskan gangguan dalam interaksi sosial yang dialami subjek sebelum
mengikuti aktiviti renang. Manakala melalui dapatan kajian temubual dan pemerhatian
menjelaskan perkembangan terkini subjek.
Dalam kajian terdahulu tentang pengaruh aktiviti fizikal terhadap keupayaan interaksi
sosial individu autistik, menyatakan individu autistik mengalami gangguan interaksi sosial
yang menyukarkan mereka untuk bergaul bersama rakan sebaya (Najafabadi et al. 2018).
Melalui aktiviti fizikal yang teratur, individu autistik berpeluang berinteraksi dengan orang
lain.. Kristy Howell (2016) menjelaskan semasa aktiviti fizikal dilaksanakan antaranya
aktiviti berkuda, karate dan berenang pembelajaran tidak disengajakan akan berlaku dalam
bentuk perkembangan interaksi sosial bermula dengan peningkatan keyakinan diri di
kalangan kanak-kanak autistik. Oleh itu, terdapat potensi untuk individu autistik berkembang
dengan lebih baik apabila bersama dengan rakan sebaya. Kajian (Vonder Hulls, 2006; Pan
2010; Pan 2011; Chu dan Pan 2012; Alaniz, 2017; Caputo, et al. 2018; Kraft, 2019 &
Battaglia, 2019) menjelaskan kesan aktiviti renang terhadap interaksi sosial kanak-kanak
dengan ASD.

Dalam kajian ini, perkembangan dalam interaksi sosial dinilai dalam dua aspek iaitu
kontak mata dan pergaulan rakan sebaya. Berdasarkan dapatan kajian bagi menjawab soalan
kajian yang kedua, pengkaji mendapati secara keseluruhan, interaksi sosial subjek didapati
bertambah baik melalui aktiviti renang berstruktur sebagai terapi. Subjek menunjukkan
peningkatan minimum dalam perkembangan interaksi sosial yang boleh dilihat dalam aspek
kontak mata dan pergaulan rakan sebaya.

Antara peningkatan yang ditunjukkan ialah :

i. Subjek boleh menunjukkan kontak mata terutama dengan orang yang dikenali
sahaja.
ii. Subjek boleh mengekalkan kontak mata namun begitu masih di tahap
minimum.
iii. Subjek boleh menunjukkan kontak mata mengikut arah pergerakan dan
memahami arahan ringkas yang diberikan.
iv. Subjek boleh menunjukkan kontak mata semasa bergambar terutama ketika
‘selfie’ sahaja.
v. Kebanyakan masa subjek masih suka menyendiri.
vi. Subjek menunjukkan perasaan gembira semasa bermain bersama rakan dengan
tersenyum, ketawa dan melompat-lompat.
vii. Subjek berada bersama rakan-rakan semasa bermain, berkongsi mainan dan
boleh bermain bersama rakan antaranya permainan lari-lari, kejar-kejar, sepak
dan baling bola. Namun begitu subjek bermain mengikut caranya tersendiri
dan tidak memahami cara bermain mengikut peraturan yang ditetapkan.

Dalam aspek kontak mata, dapatan kajian Vonder Hulls (2006) yang mendedahkan
bahawa antara faedah aktiviti renang termasuk penambahbaikan rangsangan terhadap
sentuhan fizikal, peningkatan kontak mata, dan peningkatan keyakinan diri. Faedah ini
seterusnya boleh memberi kesan pada hubungan dengan rakan sebaya.
Dapatan kajian ini juga selari dengan kajian terdahulu yang menunjukkan bahawa
individu autistik yang menyertai aktiviti renang boleh mendapat manfaat apabila individu
autistik dapat mengekalkan kontak mata dan perhatian (Battaglia et al. 2019). Hasil kajian
menunjukkan peningkatan keseluruhan untuk kumpulan eksperimen berbanding dengan
kumpulan kawalan iaitu peningkatan ketara diperhatikan dalam kekerapan membuat kontak
mata apabila bercakap.
Namun begitu, Pan (2011) mendapati kanak-kanak autistik masih sukar untuk
menunjukkan dan mengekalkan kontak mata selepas mengikuti program renang. Kanak-
kanak autistik yang terlibat dalam kajian mereka menunjukkan kontak mata hanya apabila
bersama dengan ibu bapa, adik beradik, rakan-rakan di kolam renang dan jurulatih renang.
Dapatan ini adalah selari dengan kajian ini yang menjelaskan bahawa kanak-kanak autistik
menunjukkan peningkatan minimum dalam aspek kontak mata dimana subjek hanya
menunjukkan dan mengekalkan kontak mata bersama orang yang dikenali sahaja. Dapatan
kajian Pan (2011) selari dengan dapatan kajian ini yang menjelaskan peningkatan tidak
ketara dalam aspek kontak mata iaitu subjek boleh menunjukkan dan mengekalkan kontak
mata dengan orang yang dikenali sahaja.
Dalam aspek pergaulan rakan sebaya, dapatan kajian ini adalah selari dengan kajian
Chu dan Pan (2012). Penerimaan sosial yang lebih besar, juga diperhatikan dalam kajian Chu
dan Pan yang mencadangkan bahawa aktiviti renang boleh meningkatkan interaksi sosial
secara positif antara kanak-kanak autistik dengan rakan sebaya. Kajian Chu dan Pan
menjalankan aktiviti renang berdasarkan konsep Halliwick, menghasilkan penambahbaikan
dalam interaksi sosial. Chu dan Pan mencadangkan bahawa penambahbaikan ini mungkin
disebabkan oleh interaksi sosial dengan rakan sebaya atau adik-beradik, struktur program
aktiviti renang dan bimbingan jurulatih. Ia juga mungkin disebabkan oleh perhatian
berterusan yang mereka diterima sepanjang program dijalankan. Chu dan Pan
membentangkan penemuan yang konsisten menunjukkan bahawa penurunan dalam meminta
bantuan daripada ibu bapa dan adik beradik oleh kanak-kanak autistik boleh dianggap sebagai
tanda bahawa kanak-kanak autistik mula mendapat keyakinan dan kebebasan dalam interaksi
sosial.

Dapatan kajian ini selari yang digariskan Alaniz (2017) yang menjelaskan kanak-
kanak autistik mendapat manfaat melalui aktiviti renang apabila menerima perhatian individu
yang berterusan daripada orang dewasa yang terlatih dan memerhatikan interaksi sosial yang
positif rakan sebaya yang terlibat. Selain itu, aktiviti latihan dalam persekitaran semula jadi
kanak-kanak nampaknya lebih berkesan dalam memupuk kemahiran sosial daripada
sokongan pengajaran yang disediakan dalam persekitaran yang berasingan.

Ianya selaras dengan perspektif yang dinyatakan oleh ibu bapa melalui temubual yang
dijalankan Caputo et al. (2018). Berdasarkan keputusan ujian pra dan ujian pos serta maklum
balas daripada guru, ibu bapa dan peserta melalui temubual menunjukkan bahawa aktiviti
renang berstruktur memasukkan elemen interaksi sosial yang disepadukan secara semula jadi
ke dalam program melalui fasa-fasa yang dijalankan adalah berkesan dalam menggalakkan
penambahbaikan positif untuk membantu perkembangan kanak-kanak autistik dalam
interaksi sosial.

Kajian Pan (2010) menjelaskan aktiviti renang memberi peluang untuk pembelajaran
melalui pemodelan di mana individu autistik dapat belajar daripada memerhati rakan sebaya.
Hasil kajian Pan (2010) menyatakan aktiviti renang membina keyakinan diri dan
menggalakkan perkembangan interaksi sosial apabila kanak-kanak autistik terlibat secara
langsung mengambil bahagian dalam permainan berstruktur, bermain sebagai pasukan yang
berlaku pada akhir setiap sesi renang melalui fasa adaptasi interaksi sosial. Kajian Pan (2010)
mendapati bahawa program renang mengurangkan tingkah laku antisosial antaranya suka
menyendiri, sukar untuk bergaul, bermusuhan dll yang dinilai menggunakan Skala Tingkah
Laku Sosial Sekolah. Dapatan menunjukkan pengurangan ketara dalam tingkah laku
antisosial (t = 7.88, df = 7, p < 0.01; t = 6.24, df = 7, p < 0.01). Namun begitu, dalam kajian
ini hasil kajian menunjukkan peningkatan yang minimum sahaja dalam interaksi sosial yang
dinilai dalam aspek pergaulan dengan rakan sebaya. Peningkatan dapat dilihat apabila kanak-
kanak autistik menunjukkan perasaan gembira bersama rakan, berkongsi mainan dan boleh
bermain bersama rakan sebaya namun masih tidak memahami kaedah bermain yang betul.
Kajian ini juga mendapati subjek masih suka menyendiri pada waktu-waktu tertentu.

Najafabadi et al. (2017) menjalankan kajian kesan aktiviti fizikal secara berstruktur
iaitu Program SPARK terhadap kanak-kanak autistik. Program SPARK juga mempunyai
kesan positif terhadap interaksi sosial dalam kalangan kanak-kanak autistik. Program ini
memberi peluang kepada kanak-kanak autistik mengembangkan interaksi sosial melalui
pergaulan dengan kanak-kanak lain.

Kajian Zhao dan Chen (2017) juga mengkaji kesan program aktiviti fizikal berstruktur
selama 12 minggu terhadap interaksi sosial kanak-kanak autistik. Selepas program aktiviti
fizikal selama 12 minggu, keputusan menunjukkan perbezaan tidak ketara pada interaksi
sosial bagi kumpulan eksperimen berbanding dengan kumpulan kawalan. Dalam interaksi
sosial, kajian telah menemui peningkatan pada kumpulan eksperimen dalam subdomain
interaksi sosial iaitu dari segi tanggungjawab dan empati. Namun begitu, hanya sedikit
peningkatan dapat dilihat dalam aspek penglibatan dan pergaulan. Melalui Temu bual ibu
bapa dan maklum balas soal selidik juga menunjukkan perubahan yang tidak ketara dalam
tahap keseluruhan interaksi sosial menjelang akhir program aktiviti fizikal selama 12 minggu
dinilai dalam aspek kontak mata, penyertaan kumpulan, dan membina hubungan dengan
guru dan peserta lain. Kanak-kanak autistik yang .terlibat adakalanya masih suka menyediri
dan tidak mampu membina hubungan tanpa bantuan orang lain.

5.2.3 Kesan Aktiviti Renang Berstruktur Terhadap Perkembangan Kanak-Kanak


Autistik Dalam Tingkah Laku.

Objektif kajian yang ketiga ialah mengenalpasti perkembangan kanak-kanak autistik dalam
tingkah laku melalui aktiviti renang berstruktur. Pengkaji mengenalpasti perkembangan
subjek melalui analisis dokumen, temubual dan pemerhatian. Melalui dapatan kajian analisis
dokumen menjelaskan gangguan dalam tingkah laku yang dialami subjek sebelum mengikuti
aktiviti renang. Manakala melalui dapatan kajian temubual dan pemerhatian menjelaskan
perkembangan terkini subjek. Berdasarkan dapatan kajian bagi menjawab soalan kajian yang
ketiga, pengkaji mendapati secara keseluruhan, tingkah laku subjek didapati bertambah baik
melalui aktiviti renang berstruktur sebagai terapi.

Perkembangan dalam tingkah laku dinilai dalam dua aspek iaitu tingkah laku berulang
dan tingkah laku agresif. Dalam aspek tingkah laku berulang, subjek menunjukkan perubahan
positif yang tidak ketara iaitu :

i. Tingkah laku berulang menyusun objek telah berhenti.


ii. Subjek masih melakukan pengulangan tingkah laku fizikal namun kekerapan
telah berkurang berbanding sebelum mengikuti aktiviti renang berstruktur.
iii. Subjek masih melakukan pengulangan ayat atau perkataan namun begitu ayat
dan perkataan yang di ulang boleh di fahami dan subjek hanya melakukan
pengulangan ayat atau perkataan pada masa-masa tertentu dan pada masa yang
sesuai sahaja.
iv. Subjek boleh menerima perubahan atau rutin baharu namun begitu mengambil
masa yang lama untuk menerima perubahan dan rutin baharu tersebut dengan
latihan yang berterusan.
v. Subjek tidak lagi memilih makanan.

Manakala dalam aspek tingkah laku agresif, subjek menunjukkan perubahan positif
yang ketara. Antara perubahan positif yang ditunjukkan ialah :

i. Subjek boleh mengawal emosi


ii. Subjek tidak lagi melakukan tingkah laku agresif sehingga mencederakan diri
sendiri.
iii. Subjek tidak lagi melakukan tingkah laku agresif sehingga mencederakan
orang lain.
iv. Tingkah laku agresif memusnahkan objek berkurang dengan ketara.
v. Tingkah laku agresif menjerit tiba-tiba berkurang dengan ketara.

Tingkah laku berulang adalah salah satu kecacatan teras individu autistik, yang
merupakan satu siri pengulangan tingkah laku fizikal, pengulangan ayat dan perkataan yang
tidak bertujuan dan tidak bermakna [27].Walaupun kajian terdahulu telah menjelaskan kesan
positif senaman kardiovaskular terhadap tingkah laku berulang individu autistik (Lang, et al.,
2010; Yilmaz, 2004), hanya sedikit yang meneliti kesan aktiviti renang.
Kajian Yilmaz (2004) menunjukkan kanak-kanak autistik boleh mengalami
pengurangan yang tidak ketara dalam tingkah laku berulang selepas program aktiviti renang
selama 10 minggu. Tingkah laku berulang diukur sebelum dan selepas melalui aktiviti
renang. Yilmaz mendapati bahawa tingkah laku berulang seperti berputar, goyang menurun
berdasarkan jumlah kekerapan. Dapatan kajian Yilmaz juga menunjukkan penurunan
kekerapan individu autitsik melakukan ekolalia (pengulangan ayat atau perkataan) selepas
intervensi dilaksanakan. Dapatan kajian ini selari dengan kajian Yilmaz (2004) yang
menunjukkan perubahan positif yang tidak ketara dalam tingkah laku berulang selepas
mengikuti aktiviti renang. Kemungkinan tempoh latihan yang lebih lama diperlukan untuk
penambahbaikan dalam domain gejala tingkah laku berulang ini.
Keputusan kajian ini juga adalah selaras dengan keberkesanan aktiviti fizikal
berstruktur dalam mengurangkan tingkah laku berulang seperti yang ditunjukkan kajian
terdahulu (Lang et al. 2010; Sorensen dan Zarrett 2014).
Kajian Sorensen dan Zarret (2014) yang mengkaji kesan aktiviti fizikal terhadap
tingkah laku berulang melaporkan terdapat penurunan yang minimum pada kekerapan
tingkah laku berulang. Kajian mencadangkan penambahbaikan dari aspek tempoh masa
intervensi dilaksanakan bagi memastikan penurunan yang ketara dalam kekerapan tingkah
laku berulang.
Kesan aktiviti fizikal terhadap pengurangan tingkah laku berulang individu autistik
mungkin dijelaskan oleh fakta bahawa rangsangan yang diperolehi oleh aktiviti fizikal
mempunyai mekanisme tindakan dalaman yang boleh membawa rangsangan deria yang lebih
baik kepada individu autistik. Individu autistik dapat mengurangkan kekerapan tingkah laku
berulang melalui rangsangan dan penyesuaian deria (Lang et al., 2014)
Dalam aspek tingkah laku agresif, dapatan kajian ini selari dengan kajian oleh Ennis
(2004) yang menunjukkan terdapat penurunan dalam skor Peds-QL dalam 67% kanak-kanak
yang menunjukkan perubahan positif dalam aspek emosi. Perubahan positif ini dilihat pada
kebanyakan subskor Peds-QL antaranya 50% menunjukkan peningkatan dalam kawalan
emosi.
Kebanyakan penambahbaikan yang ditunjukkan oleh kumpulan eksperimen pada peringkat
kedua cenderung berterusan 6 bulan kemudian, terutamanya dalam pengurangan tingkah laku
agresif.
Keputusan kajian ini menunjukkan kecenderungan ke arah emosi yang lebih positif
seterusnya memberikan kesan kepada penurunan tingkah laku agresif. Penemuan ini adalah
selaras dengan kajian terdahulu yang menjelaskan peningkatan kanak-kanak autistik dalam
tingkah laku pada akhir sesi aktiviti renang antaranya mereka lebih tenang dan penurunan
dalam tingkah laku agresif juga dapat dilihat (Pan, 2010).
Penemuan ini juga adalah selaras dengan kajian Bass et al. (2009) yang mendapati
penurunan ketara dalam tingkah laku agresif seperti menentang, mengganggu selepas
mengikuti aktiviti renang berstruktur. Tingkah laku agresif yang dinilai berkurang (garis
dasar M = 2– 0.36) dengan ujian t dua ekor menunjukkan bahawa aktiviti renang telah
mengurangkan keagresifan dengan ketara (t = 3.03, p > .01)
Di samping itu, aktiviti renang boleh meningkatkan aspek kognisi dan kesihatan
mental (Yilmaz et al. 2004; Pan, 2010). Menurut Yilmaz (2004) dan Pan (2010) persekitaran
semula jadi air, boleh membawa seseorang ke arah peningkatan mental seterusnya
peningkatan ini membantu individu autistik untuk mengawal emosi dan tingkah laku agresif.
Melalui kajian terdahulu yang menjelaskan kesan program aktiviti fizikal
berstruktur terhadap tingkah laku. Menurut Güeita-Rodríguez et al. (2021), terdapat
hubungan positif antara aktiviti fizikal dan tingkah laku kanak-kanak autistik. Aktiviti fizikal
bermanfaat dalam meningkatkan hubungan interpersonal. Keputusan SSIS daripada kajian ini
menunjukkan bahawa intervensi program aktiviti fizikal mempunyai pengaruh positif ke atas
kanak-kanak autistik. Keputusan menunjukkan perbezaan ketara secara statistik dalam
subdomain kawalan diri.

5.3 Implikasi Kajian

Implikasi dapatan kajian membincangkan tentang peranan beberapa pihak dalam


meningkatkan perkembangan kanak-kanak autistik dalam kemahiran komunikasi, interaksi
sosial dan tingkah laku. Hasil perbincangan dan dapatan kajian telah menunjukkan bahawa
aktiviti renang berstruktur boleh meningkatkan perkembangan kanak-kanak autistik dalam
kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku.

Oleh itu, berdasarkan hasil yang diperolehi dalam kajian ini dapat memberi implikasi
kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap kanak-kanak autistik secara langsung
atau tidak langsung. Implikasi dapatan kajian ini dapat ditujukan kepada beberapa pihak yang
utama iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia, guru-guru Pendidikan khas dan ibu bapa.
Beberapa cadangan dikemukakan kepada semua pihak terlibat.

5.3.1 Kementerian Pendidikan Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya telah merangka program dan pelan khusus
pengajaran dan pembelajaran untuk kanak-kanak autistik di peringkat rendah dan menengah
bagi membantu kanak-kanak ini berkembang selari dengan kanak-kanak lain. Sukatan
pelajaran merangkumi empat komponen iaitu bidang pengurusan kehidupan, bidang
akademik berfungsi, bidang kerohanian dan nilai-nilai murni serta bidang sosial, riadah dan
kreativiti.

Antara penekanan dalam bidang sosial, riadhah dan kerativiti ialah penglibatan kanak-
kanak autistik dalam aktiviti fizikal melalui matapelajaran Pendidikan jasmani. Pendidikan
Jasmani adalah matapelajaran yang merangkumi aspek psikomotor, kognitif dan afektif yang
dapat membina perkembangan sosial, emosi, komunikasi, tingkah laku dan kemahiran motor.
Penekanan terhdap aspek-aspek ini dapat membangun kemahiran manipulatif dan fungsi
ekskutif kanak-kanak autistic.

Aktiviti renang berstruktur boleh diterapkan dalam komponen bidang sosial, riadhah
dan kreativiti ini kerana ianya merupakan aktiviti fizikal yang boleh memenuhi keperluan
kanak-kanak autistik untuk berkembang dengan optimum. KPM boleh merangka program
aktiviti renang berstruktur secara berkala ataupun memperuntukkan belanjawan untuk
program ini supaya dapat dilaksanakan di peringkat sekolah. Pelaksanaan program ini secara
berkala dapat megatasi kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa untuk menghantar kanak-
kanak autistik menyertai aktiviti renang berstruktur antaranya kekangan tempat, masa dan
kewangan.

5.3.2 Guru Pendidikan khas

Kajian ini juga dapat dijadikan sebagai panduan kepada guru pendidikan khas untuk
mengenalpasti gangguan kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku yang
dialami oleh kanak-kanak autistik. Guru pendidikan khas boleh menggunakan instrumen
kajian iaitu prosedur temubual dan senarai semak kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan
tingkah laku yang telah dibina dalam kajian ini sebagai teknik pengesanan untuk mengenal
pasti gangguan yang dialami dalam kalangan kanak-kanak autistik secara lebih sistematik.

Dengan memahami gangguan yang dihidapi oleh kanak-kanak autistik, guru dapat
merangka kaedah terbaik yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran
seterusnya bersedia menghadapi setiap masalah semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
dijalankan. Malah instrumen yang dihasilkan dalam kajian ini merupakan satu instrumen
penting yang boleh dirujuk dalam bidang pendidikan khas dan boleh dijadikan sebagai
panduan dalam menetapkan matlamat yang perlu dicapai oleh kanak-kanak autistik dalam
aspek kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku.

Kajian ini telah menjelaskan bahawa aktiviti renang berstruktur dapat membantu
perkembangan kanak-kanak autistic dalam kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan
tingkah laku. Maka, guru pendidikan khas boleh merancang aktiviti renang secara berkala
sebagai terapi kepada kanak-kanak autistik. Selain itu, kajian ini memberi implikasi kepada
guru pendidikan khas dari segi adaptasi dan penerapan terapi cara kerja yang berasaskan
aktiviti fizikal berstruktur yang boleh diterapkan khususnya dalam matapelajaran pendidikan
jasmani dan kemahiran manipulatif. Kajian ini turut memberikan idea kepada guru
pendidikan khas untuk meneroka pelbagai jenis aktiviti fizikal berstruktur yang boleh
diaplikasikan kepada kanak-kanak autistic selain aktiviti renang.
5.3.3 Ibu bapa

Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik dapat menggunakan hasil kajian ini antaranya
instrument kajian iaitu prosedur temubual dan senarai semak pemerhatian sebagai panduan
untuk mengenalpasti gangguan yang dihidapi oleh kanak-kanak autistic dalam kemahiran
komunikasi, interaksi social dan tingkah laku. Ibu bapa kanak-kanak autistik perlulah peka
dan prihatin terhadap perkembangan kanak-kanak autistic dalam ketiga-tiga aspek.

Kajian ini dapat menimbulkan kesedaran para ibu bapa tentang faedah aktiviti renang
berstruktur yang dapat membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, interaksi social
dan tingkah laku seseorang kanak-kanak autistik. Kajian ini turut menjelaskan kepentingan
dan keperluan terapi awal kepada kanak-kanak autistic. Dengan adanya kesedaran ini, ibu
bapa boleh menjadikan aktiviti renang berstruktur sebagai terapi untuk mengatasi gangguan
yang dihidapi seterusnya membantu perkembangan kanak-kanak autistik ke tahap optimum.

5.4 Batasan kajian dan cadangan kajian lanjutan

Dalam pengetahuan pengkaji, ini adalah kajian pertama yang memfokuskan pada kesan
aktiviti renang berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak autistic dalam kemahiran
komunikasi, interaksi social dan tingkah laku menggunakan kaedah kualitatif. Walaupun
terdapat batasan yang dijelaskan dalam bahagian seterusnya, kajian ini boleh mendorong
penyelidikan lanjut memfokuskan kepada kesan aktiviti renang terhadap perkembangan
kanak-kanak autistik. Penyelidikan kuantitatif semasa menunjukkan faedah aktiviti renang
untuk meningkatkan tingkah laku, kemahiran, atau kesihatan kanak-kanak autistic.
Menggunakan metodologi kualitatif untuk mengenalpasti kesan aktiviit renang berstruktur
terhadap kanak-kanak autistic merupakan kaedah terbaik yang dapat meneroka dengan lebih
mendalam melalui dokumen di sekolah, pandangan dan perspektif daripada ibu bapa dan
guru kanak-kanak autistic mengenai perkembangan kanak-kanak autistik selepas mengikuti
aktitiviti renang berstruktur.

Kajian ini memberikan Implikasi untuk penyelidikan masa depan dimana hasil kajian
menyokong kesan aktiviti renang berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak autistik
dalam kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku. Walau bagaimanapun,
batasan penyelidikan yang ketara juga telah dikenalpasti sebagai ,panduan untuk
penyelidikan akan datang. Sepanjang kajian dijalankan, pengkaji mengenalpasti beberapa
batasan kajian yang perlu ditambah baik. Oleh itu, kajian lanjutan yang berkaitan dengan
skop kajian ini amat digalakkan untuk dijalankan pada masa hadapan.

Batasan pertama kajian ini ialah, kajian ini merupakan kajian terawal di Malaysia
yang mengenalpasti kesan aktiviiti renang berstruktur terhadap perkembangan kanak-kanak
autistic. Sehingga kini, masih kurang kajian sebegini dijalankan di Malaysia. Kajian ini juga
menggabungkan dua bidang iaitu sains sukan dan pendidikan khas. Oleh itu, penyelidik
berharap kajian ini menjadi panduan dan dapat memberi galakan kepada pihak-pihak yang
berkaitan dalam bidang sains sukan dan Pendidikan khas untuk bergabung tenaga dan idea
bagi menjalankan lebih banyak kajian seperti ini pada masa hadapan untuk kebaikan kanak-
kanak autistik.

Batasan kedua kajian ini ialah, kajian ini menggunakan saiz sampel yang kecil. Saiz
sampel yang lebih kecil adalah tipikal dalam kajian penyelidikan kualitatif. Untuk
mendapatkan pemahaman yang mendalam tentang tingkah laku manusia, adalah perkara
biasa untuk melihat maklumat yang lebih terperinci mengenai bilangan peserta yang lebih
kecil (Patton, 2002). Ia boleh menjadi perkara biasa untuk mengkaji satu atau dua peserta
lebih lama tempoh masa untuk melihat perubahan (Patton, 2002). Kajian ini hanya
melibatkan empat subjek kajian dari kalangan kanak-kanak autistik di sekolah rendah dan
melibatkan empat orang guru Pendidikan khas dan empat orang penjaga sahaja sebagai
responden. Maka, sampel kajian ini adalah terhad dan tidak dapat menggambarkan populasi
yang sebenar. Untuk penyelidikan masa depan, pengkaji mencadangkan untuk menjalankan
kajian dengan kumpulan peserta yang lebih besar dan tempoh masa yang lebih lama bagi
mendapatkan perbandingan yang lebih besar serta memperoleh pandangan dan perspektif dari
sudut yang lebih luas.

Seterusnya, subjek dalam kajian ini hanya terdiri daripada kanak-kanak autistik yang
berumur antara tujuh hingga empat belas tahun sahaja. Sedangkan intervensi lebih awal dapat
membantu kanak-kanak autistik berkembang secara optimum. Maka, cadangan lanjutan bagi
kajian akan datang, pengkaji perlu melibatkan subjek berumur tujuh tahun ke bawah.

Selain itu, kajian ini hanya melibatkan kanak-kanak autistic yang mengikuti kelas
renang di daerah Kuala Kangsar, Perak sahaja, iaitu hanya melibatkan satu latar belakang
demografi. Maka, penyelidik mencadangkan agar kajian lanjutan pada masa hadapan dapat
diperluaskan ke seluruh negara bagi mewakili subjek dan responden kajian yang mempunyai
pelbagai latar belakang demografi, untuk melihat sama ada dapatan yang bakal diperoleh
adalah selari dengan dapatan yang telah diperoleh dalam kajian ini seterusnya dapat
memberikan gambaran terhadap populasi sebenar.

Menerusi kajian ini, penyelidik hanya mengenalpasti kesan aktiviti renang berstruktur
terhadap kanak-kanak autistic dan pengkaji mendapati aktiviti renang berstruktur telah
memberi kesan positif terhadap kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku.
Namun begitu, kajian ini tidak mengkaji kaedah dan teknik pengajaran aktiviti renang
berstruktur yang dilaksanakan. Penyelidikan masa depan harus berusaha untuk mengenal
pasti kaedah pengajaran aktiviti renang berstruktur terbaik kepada kanak-kanak autistic
dengan membandingkan kaedah pengajaran renang yang berbeza untuk menentukan kaedah
yang paling berkesan untuk meningkatkan perkembangan kanak-kanak autistic. Sehubungan
itu, penyelidik mencadangkan agar kajian lanjutan pada masa hadapan dapat dijalankan untuk
mengenalpasti kaedah dan teknik yang digunakan seterusnya membangunkan satu modul
aktiviti renang berstruktur yang dapat didokumentasikan dengan lebih terperinci dan boleh
dijadikan panduan kepada pusat-pusat renang, KPM, guru Pendidikan khas dan ibu bapa.

Proses pengumpulan data melalui analisis dokumen, temu bual dan pemerhatian
hanya dilakukan sekali sahaja iaitu pengkaji menggunakan analisis dokumen sebagai rekod
perkembangan kanak-kanak autistic sebelum mengikuti aktiviti renang dan temubual dan
pemerhatian sebagai perkembangan kanak-kanak autistic selepas mengikuti aktiviti renang.
Oleh itu, penyelidik mencadangkan proses pengumpulan data bagi analisis dokumen,
temubual dan pemerhatian dapat dijalankan sebelum dan selepas kanak-kanak autistic
mengikuti aktiviti renang berstruktur.

Seterusnya kajian ini dilaksanakan secara kualitatif sahaja. Manakala banyak kajian-
kajian lepas dilaksanakan secara kuantitatif sahaja. Penerokaan hubungan antara aktiviti
renang dan perkembangan kanak-kanak autistik memerlukan kedua-dua analisis kualitatif dan
kuantitatif. Maka, pengkaji mencadangkan bagi kajian lanjutan kaedah campuran perlu di
laksanakan. Gabungan kaedah kualitatif dan kuantitatif akan menghasilkan dapatan kajian
yang lebih menyeluruh.

Walau bagaimanapun, pengkaji tidak menganggap ini sebagai batasan yang ketara
kerana pengkaji menggunakan pelbagai kaedah untuk pengumpulan dan analisis data bagi
meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan hasil kajian. Selain itu, kebanyakan kajian
terdahulu hanya melibatkan individu autistik berfungsi tinggi. Antaranya kajian Pan, 2010,
Pan 2011 dan Alaniz et al. 2017, manakala kanak-kanak autistik dalam kajian ini melibatkan
ketiga-tiga kategori iaitu autistik ringan, autistik sederhana dan autistik berat.

5.5 Kesimpulan

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti kesan aktiviti renang berstruktur terhadap
perkembangan komunikasi kanak-kanak autistic dalam kemahiran komunikasi, interaksi
social dan tingkah laku. Hasil dapatan kajian yang diperoleh menerusi pemerhatian, temu
bual guru dan laporan sesi intervensi telah mendapati bahawa aktiviti renang berstruktur
adalah berkesan sebagai medium untuk membantu perkembangan kemahiran komunikasi,
interaksi social dan tingkah laku kanak-kanak autistik. Hal ini kerana secara keseluruhannya,
kanak-kanak autistik menunjukkan peningkatan dalam ketiga-tiga aspek berdasarkan dapatan
analisis dokumen, temubual dan pemerhatian.

Kajian ini memberi impak kepada pelbagai pihak iaitu guru pendidikan khas, murid
autistik, ibu bapa, pihak JPN dan KPM dengan memberikan kesedaran kepada semua pihak
yang terlibat berkenaan kepentingan aktiviti renang berstruktur dalam meningkatkanma
perkembangan kanak-kanak autistic. Pihak yang terlibat seterusnya boleh merancang aktiviti
renang terhadap kanak-kanak autistik.

Berdasarkan pengetahuan pengkaji melalui literatur kajian, ini adalah kajian


pertama yang memfokuskan untuk mengenal pasti kesan aktiviti renang berstruktur terhadap
kemahiran komunikasi (ekspresi wajah dan respons), interaksi sosial (kontak mata dan
pergaulan rakan sebaya) dan tingkah laku (tingkah laku berulang dan tingkah laku agresif).
Kajian ini juga merupakan kajian pertama yang dijalankan secara kualitatif. Walaupun
terdapat limitasi seperti yang dinyatakan, kajian ini boleh mendorong penyelidikan lanjut
dalam bidang ini, memfokuskan pada perkembangan kanak-kanak autistik melalui aktiviti
renang berstruktur sekaligus memenuhi keperluan kanak-kanak autistik

You might also like