Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 16

PENA WANITA

Kelestarian dan pemerkasaan sektor pendidikan

22/07/2020 08:36 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan
pengarang.
Oleh : Dr Nurfaradilla Mohamad Nasri

‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen kerajaan untuk menyediakan akses
pendidikan yang berkualiti kepada semua murid Malaysia. Justeru, saban tahun, Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan yang besar daripada kerajaan bagi
merealisasikan aspirasi pendidikan ini demi menjamin masa depan anak bangsa yang lebih
cemerlang.

Penekanan terhadap sektor pendidikan adalah sejajar dengan pengiktirafan terhadap


potensinya sebagai satu mekanisme atau tiket bagi mereka yang ingin keluar daripada kancah
kemiskinan dan membantu masyarakat untuk bergerak ke arah mobiliti sosioekonomi
menegak.

Kesedaran terhadap kepentingan pendidikan berkualiti adalah jelas apabila kompetensi guru
Malaysia mendapat perhatian serius melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 menerusi Anjakan Transformasi 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi
profesion pilihan.

Dedikasi guru

Berpegang kepada prinsip “Guru berkualiti penjana pendidikan berkualiti” pelbagai inisiatif dan
strategi untuk peningkatan kepakaran serta profesionalisme guru telah dilaksanakan. Ini
termasuk sekumpulan penyelidik University of Cambridge yang telah menjalankan bancian
pendidikan global di sepuluh (10) buah negara iaitu Malaysia, Argentina, China, India,
Indonesia, Pakistan, Arab Saudi, Sepanyol, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat bagi menilai
tahap kompetensi dan motivasi guru serta murid terhadap pendidikan.

Dapatan kajian menunjukkan guru Malaysia merupakan antara yang paling berdedikasi untuk
menjamin kecemerlangan pelajar. Selain itu, kajian tersebut turut mendapati tiga daripada
empat guru Malaysia menzahirkan komitmen bagi membantu murid mereka mencapai
keputusan terbaik dalam peperiksaan dengan mengadakan kelas tambahan.

Ekuiti pendidikan

Selain penekanan terhadap pendidikan berkualiti, sistem pendidikan Malaysia juga kekal
komited untuk memperkukuhkan aspek ekuiti dalam pendidikan. Ekuiti pendidikan merujuk
kepada akses peluang pendidikan berkualiti kepada semua murid berasaskan prinsip
kesaksamaan dan keadilan.

Sejajar dengan aspirasi pendidikan global yang disasarkan oleh UNESCO Sustainable


Development Goals (SDG 4) untuk menjamin pendidikan berkualiti dan ekuiti, KPM melalui
Anjakan Transformasi 1 menetapkan dengan jelas sasaran yang perlu dicapai dari segi akses
kepada pendidikan berkualiti dan inklusif kepada semua murid di Malaysia.

Sebagai contoh, KPM menyasarkan peningkatan kehadiran murid Orang Asli sehingga 90
peratus pada 2019. Iltizam yang tinggi oleh KPM bagi mencapai enrolmen sejagat dengan
menjamin peluang dan akses pendidikan yang adil adalah amat kritikal sebagai satu mekanisme
untuk membasmi kemiskinan dan memacu pembangunan negara.

Cabaran COVID-19

Namun begitu, tahun 2020 menyaksikan hampir semua sekolah dan universiti di seluruh dunia
terpaksa ditutup bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Akibatnya hampir 91 peratus
atau sekurang-kurangnya 1.6 billion murid dan belia di seluruh dunia tidak dapat mengikuti
pembelajaran seperti biasa.

Situasi ini berkemungkinan meletakkan aspirasi pendidikan global menemui jalan buntu
berikutan halangan terhadap akses kepada pendidikan berkualiti yang sekaligus menjejaskan
aspek ekuiti dalam pendidikan. Bagi mendepani krisis pendidikan seumpama ini, institusi
pendidikan di seluruh dunia digesa dan terpaksa merangka pelan pendidikan berbentuk
kecemasan dan spontan.

Untuk perancangan jangka masa pendek, kebanyakkan institusi pendidikan di seluruh dunia
memilih untuk melaksanakan pembelajaran atas talian. Menyahut seruan KPM dan
Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengelakkan sesi pembelajaran tertangguh, semua guru
sekolah dan para pensyarah giat menjalankan sesi pengajaran secara atas talian.

Kesungguhan dan kerancakan guru Malaysia menjalankan sesi pengajaran atas talian bagi
menjamin kelestarian pengajaran dan pembelajaran terbukti apabila guru Malaysia dinobat di
tangga kedua paling aktif di dunia menggunakan aplikasi ‘Google Classroom’. Dalam konteks ini,
meskipun pandemik COVID-19 telah menghalang murid daripada mengikuti sesi pembelajaran
secara konvensional di sekolah, namun dari sisi positif, pandemik COVID-19 telah memangkin
perubahan dan memacu proses pendigitalan pendidikan.

Anjakan baharu atau diskriminasi?

Bagi membantu guru meneruskan proses pengajaran secara atas talian pada skala yang belum
diuji dan belum pernah terjadi, KPM telah menyediakan garis panduan pengajaran maya, bahan
bantu pengajaran (contohnya buku teks digital, video pengajaran interaktif) serta pelbagai
platform pengajaran atas talian dan persidangan video secara percuma (contoh Skype, Zoom,
Google Meet dan Microsoft Teams).

Usaha KPM bagi merancakkan pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara atas
talian sebagai satu norma baharu pendidikan untuk menggantikan interaksi secara berdepan di
dalam bilik darjah wajar mendapat pujian.

Namun persoalan yang timbul adalah, adakah proses pengajaran dan pembelajaran secara atas
talian merupakan satu-satunya pilihan yang ada bagi menjamin kelangsungan pendidikan di
Malaysia? Adakah semua murid Malaysia mempunyai gadjet dan akses internet yang sesuai
untuk pembelajaran atas talian dan bagaimanakah nasib murid terpinggir seperti murid Orang
Asli, murid daripada keluarga B40, dan murid berkeperluan khas.

Senario ini merupakan realiti rakyat yang harus mendapat perhatian serius pemimpin
pendidikan. Harus ditegaskan, sekiranya peluang dan akses pendidikan diambil mudah dan
tidak diuruskan dengan baik sehingga wujudnya diskriminasi pendidikan maka jurang
ketidakadilan sosial akan semakin melebar.

Kewujudan diskriminasi pendidikan yang menafikan hak murid terpinggir untuk mendapat
peluang pendidikan yang sama seperti rakan mereka semata-mata kerana tiada gadjet dan
kemudahan internet menyebabkan mereka terperangkap dalam kitaran kemiskinan. Akhirnya
yang miskin akan kekal miskin.

Relevansi buku teks

Selain pembelajaran atas talian, salah satu pendekatan pembelajaran yang harus diperkasakan
bagi menjamin akses pendidikan berkualiti buat semua murid adalah pendekatan pengajaran
dan pembelajaran luar talian berpandukan modul dan kit pembelajaran kendiri yang lengkap.

Syor modul dan kit pembelajaran kendiri yang dicadangkan adalah melangkaui kapasiti semasa
buku teks KPM yang berperanan sebagai panduan pengajaran utama. Kebergantungan
terhadap buku teks semata-mata dianggap kurang sesuai oleh ramai guru dan murid
terutamanya bagi mendapatkan maklumat serta latihan tambahan.

Lambakan buku latihan dan buku aktiviti di pasaran yang bermatlamat untuk melengkapi buku
teks merupakan indikator penting terhadap keperluan semakan semula kualiti buku teks. Hal ini
adalah kritikal kerana buku teks merupakan rujukan utama buat murid-murid terpinggir dan
sekiranya kualiti buku teks gagal mencapai standard yang tinggi maka kualiti pembelajaran
murid berkemungkinan terjejas.

Namun begitu, harus ditegaskan, tujuan artikel ini bukanlah untuk mengkritik kualiti buku teks
KPM, namun sekadar mencadangkan agar kebergantungan sistem pendidikan negara terhadap
proses pengajaran dan pembelajaran secara atas talian harus diimbangi dengan pembelajaran
luar talian melalui pembangunan bahan pembelajaran kendiri berkualiti.
Pendekatan pendidikan secara luar talian adalah amat kritikal terutamanya bagi menyokong
pembelajaran murid terpinggir yang akan semakin tersisih apabila pembelajaran dilaksanakan
secara atas talian sepenuhnya.

Pembangunan bahan pembelajaran luar talian yang merangkumi modul pembelajaran


berkualiti yang lengkap dengan informasi serta latihan yang boleh digunakan oleh murid untuk
meneruskan pembelajaran mereka secara kendiri, adalah amat wajar dan harus mendapat
perhatian ramai pakar dan pemimpin pendidikan serta KPM.

Sepasukan komuniti pakar pendidikan yang terdiri daripada penyelidik pendidikan universiti
dan guru cemerlang mestilah ditubuhkan bagi menggerakkan usaha ini agar sistem pendidikan
negara lebih bersedia untuk menjamin kelestarian, kualiti dan ekuiti pendidikan bagi
mendepani pandemik seumpama ini pada masa depan.

-- BERNAMA

Dr Nurfaradilla Mohamad Nasri merupakan Penolong Dekan Hal-Ehwal Pelajar Pensyarah Kanan
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak
menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)
Berita Harian

Kelestarian: Daripada Faham Kepada


Tindakan
 Puan Azrina Binti Sobian

 08/12/2014

Kelestarian secara umumnya membawa maksud pengekalan sesuatu perkara atau keadaan.
Ini bermakna, kelestarian ada kaitannya dengan usaha mengekalkan serta memelihara
keaslian. Walaupun begitu, kelestarian dalam konteks yang lebih luas sewajarnya
merangkumi bukan sahaja pengekalan tetapi turut menambahbaik keadaan sedia ada.

Sering kali, faham kelestarian ini dikaitkan dengan bidang alam sekitar iaitu melalui konsep
pembangunan lestari. Konsep ini bermaksud, satu bentuk pembangunan yang memenuhi
keperluan masa kini tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang untuk memenuhi
keperluan mereka. Dari sudut pandangan hidup Islam, konsep ini merangkumi tuntutan
untuk berlaku adil  kepada semua makhluk Allah SWT, berhemah dalam penggunaan,
berhikmah dalam membuat keputusan serta mengambil kira konsep maslahah dalam
melayari kehidupan sebagai hamba-Nya.

Selain alam sekitar, konsep kelestarian turut merangkumi bidang-bidang lain iaitu
pendidikan, ekonomi, perniagaan, pemikiran sosial, sains dan sebagainya. Malah, dikatakan
bahawa kelestarian boleh disesuaikan dengan keperluan dan tujuan pelbagai disiplin sedia
ada. Oleh itu, makna sebenar kelestarian telah berubah kepada hanya bermakna “baik” atau
“positif.” Hal ini telah menimbulkan salah faham terhadap konsep tersebut dan keadaan itu
boleh menjejaskan pemahaman dan seterusnya mempengaruhi tindakan untuk
mencapainya.

Walaupun penting untuk memahami konsep kelestarian ini namun hakikatnya tidak ramai
yang tahu atau sedar. Dalam kehidupan seharian, pernahkah pembaca bertanya kaitan
konsep tersebut dalam hidup? Apakah kaitannya dengan makanan, pakaian serta tempat
tinggal masing-masing? Apakah peranan ahli masyarakat dalam usaha-usaha kelestarian?
Bagaimana pula kelestarian boleh boleh dicapai?

Kegagalan untuk memastikan kelestarian sebenarnya secara langsung akan menjejaskan


hidup kita. Kesejahteraan, ketenangan, keselamatan, kesihatan serta kesenangan hidup
manusia akan terganggu jika kelestarian terus diabaikan.
Contoh paling mudah ialah apa yang berlaku baru-baru ini di Cameron Highlands. Akibat
kegiatan pertanian yang tidak terancang, pembukaan tanah tanpa kawalan serta
penebangan hutan yang keterlaluan, Cameron Highlands sekali lagi berhadapan dengan
masalah tanah runtuh dan banjir lumpur. Ini bukan kali pertama. Malah, mungkin juga bukan
kali yang terakhir, terutamanya jika kita terus berdegil untuk melakukan kegiatan yang tidak
menghormati persekitaran. Dalam keadaan ini, apakah tindakan yang wajar, akan hanya
diambil selepas Cameron Highland runtuh keseluruhannya?

Kes di Cameron Highlands adalah petanda kepada kegagalan memelihara, memastikan serta
mencapai kelestarian. Menurut Prof. Emeritus Shaharir Mohd. Zain, gangguan kelestarian
berpunca daripada tingkahlaku ekstremisme. Seperti mana yang kita ketahui, ekstremisme
merangkumi sikap, perbuatan atau tindakan yang melampau atau berlebih-lebihan. Dalam
konteks ini, sikap melampau dalam penggunaan sumber alam, melampau dalam
pembangunan sehingga menidakkan hak makhluk lain di bumi ini serta berlebih-lebihan
dalam kepenggunaan seperti yang ditunjukkan dalam budaya kepenggunaan moden,
merupakan antara faktor ketidaklestarian masyarakat.

Maka, keadaan ini mengajak kita untuk berfikir semula tentang diri kita. Di manakah
kedudukan kita dalam hal ini? Apa sumbangan kita terhadap permasalahan “ekstremisme”
yang disebutkan tadi? Apa pula perubahan yang boleh kita lakukan untuk membetulkan
keadaan yang pincang itu?

Sebenarnya, untuk mencapai kelestarian, banyak usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak.
Undang-undang, peraturan dan dasar-dasar awam semestinya perlu untuk menyokong
kelestarian namun, usaha untuk menjadikannya kenyataan memerlukan perubahan secara
besar-besaran dalam sikap, tingkah laku dan gaya hidup masyarakat awam.

Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk menggerakkan perubahan sikap dan
tingkahlaku secara besar-besaran. Paling penting beristiqamah dalam usaha tersebut.
Sedarlah bahawa, sikap ekstremisme sehingga membawa kerosakan tidak digalakkan dalam
Islam. Apa yang perlu kita usahakan kini ialah memahami kelestarian dan memastikannya
terpancar dalam setiap kegiatan harian – daripada membuat pilihan, keputusan hinggalah
kepada segala tindakan.
Peranan  Media Sosial Dalam Pendidikan
Media sosial telah mendapat kredibiliti selama bertahun-tahun sebagai sumber
maklumat dan platform yang dipercayai boleh berinteraksi dengan audien. Oleh
itu,  institusi pendidikan turut berkembang sejajar dengan trend moden
untuk  meningkatkan kehidupan pelajar. Penggunaan media sosial dalam pendidikan
menyediakan pelajar dengan keupayaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih
berguna, untuk berhubung dengan kumpulan pembelajaran dan sistem pendidikan lain
yang memudahkan pendidikan.

Alat rangkaian sosial mampu memberi peluang kepada pelajar dan institusi  untuk
meningkatkan kaedah pembelajaran. Melalui rangkaian, kita boleh memasukkan plugin
media sosial yang membolehkan perkongsian dan interaksi. Pelajar boleh mendapat
manfaat daripada tutorial dan sumber dalam talian yang dikongsi melalui rangkaian
sosial.

Terdapat pengetahuan berharga yang dapat diperoleh melalui media sosial seperti
analisis dan pandangan mengenai pelbagai topik atau isu untuk tujuan pembelajaran.
Media sosial juga merupakan medium di mana pelajar boleh mewujudkan sambungan
yang bermanfaat untuk kerjaya mereka. Sebagai institusi pendidikan, pentingnya
menggunakan platform sosial bagi membantu mewujudkan strategi latihan pelajar yang
lebih baik dan membentuk budaya pelajar. Justeru, media sosial memainkan peranan
penting dalam bidang pendidikan.

v   Menyediakan Persekitran Pembelajaran Kondusif

Dari perspektif aplikasi sedia ada, media sosial dapat menyediakan persekitaran
pembelajaran terbuka, menggalakkan pemikiran yang mendalam dalam proses
pembelajaran, membantu untuk mencari dan menggunakan pengetahuan, membantu
mengekalkan dan meningkatkan semangat belajar, dan mencapai kemajuan bersama
peserta kumpulan kolaborasi. Selain itu, media sosial membawa kesan positif untuk
memupuk pembelajaran sosial dan kaedah dan tabiat pembelajaran sepanjang hayat.
Hasilnya, penyelidik dalam bidang pendidikan mula menyedari bahawa mereka boleh
cuba membimbing pelajar melalui pembelajaran interaktif melalui platform media sosial. 

v   Melatih Kemahiran Berlisan

       Hakikatnya, media sosial lebih sesuai untuk melatih kemahiran khas pelajar
terutamanya bercakap, mendengar dan menulis. Pembelajaran bahasa lisan berbeza
daripada pengajaran bahasa asas. Ia memerlukan pelajar bercakap berdasarkan
pemahaman dan ingin bercakap. Cara untuk membiarkan pelajar bercakap adalah satu
perkara yang sukar dalam pengajaran bahasa. Hal ini juga disebabkan oleh kebanyakan
pelajar mempunyai rasa takut dan malu. Justeru, sekiranya menggunakan media sosial
untuk pengajaran lisan, pasti dapat mengurangkan tekanan psikologi pelajar untuk
menyelesaikan tugas lisan secara bersemuka. Jika terdapat terlalu banyak pelajar di dalam
kelas, guru tidak dapat menjamin bahawa setiap pelajar dapat menyelesaikan latihan di
dalam kelas, dan memerlukan media sosial untuk menyelesaikan pelajaran.

v   Meningkatkan Sistem Pembelajaran

Sistem pengurusan pembelajaran adalah perisian rangkaian yang menyampaikan


program pendidikan dan memberikan institusi aktiviti pentadbiran lain. Pembelajaran
media sosial boleh merangkumi fungsi sembang segera, video, forum untuk berkongsi
maklumat dan sumber pengajaran lain untuk membantu pelajar.  Sistem ini menguatkan
penyertaan pelajar dan membuat projek pasukan mudah untuk bekerjasama. Adalah
bermanfaat bagi institusi untuk menggunakan sistem pengurusan Pembelajaran yang
popular dengan integrasi media sosial untuk mencapai jangkauan dan kesan terbaik
melalui sistem. Faedah pembelajaran sosial lain adalah sistem persidangan langsung,
keupayaan webinar, ulasan kumpulan kongsi, blog dan banyak lagi.

v   Menilai Kemahiran Pelajar

Seterusnya, guru boleh menggunakan media sosial untuk menilai kemahiran


pelajar. Sebagai contoh, dalam pengajaran kelas mendengar, selepas guru selesai audio,
guru boleh menggunakan fungsi suara WeChat untuk menjalankan ujian kecil . Untuk
contoh lain, anda boleh menulis blog sebagai sebahagian daripada penilaian harian kelas
penulisan.

v   Berhubung dengan pakar ilmiah

Penggunaan media sosial dalam pendidikan turut membawa manfaat kepada


pelajar-pelajar terutamanya yang menuntut di institusi pengajian tinggi, hal ini kerana
akan mengetahui siapa pakar dalam bidang dan subjek tertentu. Apabila anda mula
mengikuti pakar-pakar ini, anda belajar lebih banyak dan mendapatkan kandungan
berguna dari mereka, ini memberi anda kuasa untuk menghasilkan hasil yang hebat.

Media sosial mempunyai keupayaan untuk memperluaskan perspektif anda


terhadap pelbagai subjek dan memberi penerangan, kandungan segera yang baru. Anda
mempunyai peluang untuk melibatkan pakar untuk mendapatkan jawapan mengenai topik
yang mungkin anda perlukan bantuan.

v    Institusi berkomunikasi dengan pelajar


Institudi pendidikan mempunyai keupayaan untuk berhubung dengan pelajar
melalui rangkaian media sosial seperti Facebook, kumpulan Google Plus, dan YouTube.
Saluran ini boleh digunakan untuk menyampaikan berita sekolah, membuat pengumuman
dan menyediakan pelajar dengan maklumat yang berguna. Ini membina hubungan antara
institusi pendidikan dan pelajar yang membantu menangani banyak masalah pelajar
melalui interaksi kumpulan.
Institusi boleh berkongsi khidmat sokongan dan positif yang menjangkau semua
pelajar yang dihubungkan dengan rangkaian media sosial. Video adalah alat yang
menonjol dalam trend media sosial yang berkesan dan kita boleh menggunakannya untuk
berkongsi video berguna yang memberi inspirasi kepada pelajar dan membantu mereka
dalam subjek kursus mereka. Melalui medium sosial seperti YouTube, Facebook atau
Instagram video secara langsung, hubungan antara pelajar dan institusi dapat dikekalkan.

v    Membantu dalam proses Penyelidikan

Media sosial merupakan salah satu platform terbaik untuk mengekstrak data. Kita
boleh mengetahui cara majoriti orang berasa tentang topik tertentu atau bagaimana pakar
melihat dan memberi nasihat mengenai isu-isu tertentu. Ini dapat membantu pelajar
mengumpul dan menghasilkan kandungan yang berguna untuk penyelidikan. Sama ada
pelajar sedang menjalankan tugasan, mengusahakan sesuatu projek atau cuba untuk
mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai subjek, beberapa maklumat dan hasil
terbaik boleh diekstrak dari media sosial.

v    Pelajar boleh membina kredibiliti sosial

Membina blog menerusi rangkaian sosial boleh membantu pelajar membina


portfolio untuk kerjaya mereka. Platform boleh digunakan untuk memulakan perkongsian
sementara pelajar masih dalam ruang pembelajaran. Ini memberi manfaat kepada kerjaya
pelajar yang menunjukkan proses pembelajaran telah berkembang melalui media sosial
mereka.

Dengan mencerminkan latar belakang pendidikan dan mendapat pendedahan di


media sosial, yakni dapat membina kredibiliti sosial pelajar dan dilihat sebagai orang
yang boleh menawarkan kepakaran mereka dalam bidang tertentu. Ini menyediakan dan
meletakkan kerjaya mereka untuk mempunyai kredibiliti sosial.

Sesungguhnya, sebagai interaksi rangkaian sosial yang maju dalam sistem


pendidikan, media sosial akan menjadi alat utama untuk menyelesaikan masalah
pendidikan. Manfaat penting yang membina rangkaian adalah alat dan akses berguna dan
bermanfaat yang menjadikan pembelajaran menjadi proses yang menyenangkan.
Kelayakan pemasaran digital dapat memberi inspirasi kepada pelajar untuk mengetahui
tentang peranan media sosial dalam pendidikan. Ini boleh membawa kepada pelbagai
laluan media sosial dan pemasaran pekerjaan.
MERAPATKAN JURANG PENDIDIKAN
UALA LUMPUR 28 Julai – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilihat
berjaya merapatkan jurang pendidikan antara pelajar luar bandar dengan bandar dalam usaha
kerajaan melahirkan individu yang mampu berdaya saing di peringkat global. 

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, inisiatif Kementerian
Pendidikan seperti menambah baik infrastruktur sekolah dan menempatkan guru terlatih di luar
bandar terbukti berjaya meningkatkan taraf pendidikan pelajar di semua peringkat.

Katanya, selain itu, langkah memperketatkan syarat kemasukan guru-guru dalam usaha menjaga
imej dan reputasi profesion perguruan juga mampu melahirkan pelajar-pelajar berkualiti tinggi.

“Kuasa lebih luas yang diberikan kepada Pejabat Pendidikan negeri dan daerah juga telah membantu
melaksanakan banyak program yang dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar,” katanya
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas Laporan Tahunan 2014 PPPM yang berjaya
merubah sistem pendidikan negara, membabitkan lima aspek utama iaitu kualiti, akses, ekuiti,
perpaduan dan kecekapan.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, PPPM juga dilihat dapat melahirkan modal insan yang berfikiran
kritis, kreatif dan inovatif serta mampu memajukan negara.

“Ini terbukti dengan pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang membawa perubahan
besar dalam sistem pendidikan kita bagi melahirkan individu yang mampu berfikir dengan bijak
walau dalam apa situasi sekalipun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia
(USM), Prof. Datuk Dr. Abdul Rashid Mohamed berkata, penambahbaikan cara pembelajaran dalam
bidang sains, matematik dan teknologi perlu difokuskan.

“Dianggarkan hanya 28 peratus pelajar-pelajar negara ini memilih untuk menyambung pengajian di
institusi pengajian tinggi (IPT) dalam jurusan berkaitan dengan sains disebabkan oleh kurangnya
minat dan pendedahan mengenai bidang tersebut.” katanya.
Rapat jurang pendidikan bandar, luar bandar
Rafiqah Dahali dan Hazira Ahmad Zaidi - Februari 21, 2021 @ 9:00am

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif DidikTV KPM dengan sendirinya berupaya


merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, apabila pengisian setiap
subjek dapat diikuti secara lebih menyeluruh.

Paling penting, ia membolehkan murid di luar bandar dan pedalaman melupakan


seketika halangan capaian internet yang membebankan mereka selama ini.

Di Papar, penampilan DidikTV KPM kurang seminggu sebelum peperiksaan besar


banyak membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengulang kaji dalam suasana
kondusif dan tenang.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar, Safwan
Syazwan Mohd Suprey, 18, mendapati nota dan penerangan guru menerusi saluran ntv7
itu mudah dicerna serta diingati.

"Belajar menerusi televisyen memang pengalaman baharu. Saya pernah mendengar


kaedah pembelajaran sebegini daripada mereka yang lebih berusia, tetapi sukar untuk
saya bayangkan.

"Apabila mengalaminya sendiri, saya dapati ia memang memudahkan.

"Sebagai pelajar Tingkatan Lima, saya memang ke sekolah sebelum ini, tetapi DidikTV
KPM banyak membantu saya memahami sesuatu subjek kerana ada yang berbeza cara
pengajarannya," katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Katanya, slot dokumentari dan berita mengenai pendidikan turut bermanfaat kerana
mempunyai pengisian yang berkait rapat dengan pelajar.
Bapanya, Mohd Suprey Saban, 42, berkata DidikTV KPM merungkai masalah capaian
internet di kawasan mereka yang ada kalanya menyukarkan anak belajar dengan lancar,
terutama jika perlu membuka pautan video untuk kerja sekolah.

"Itu cabaran kami di kampung dan yang tinggal di luar bandar. Kalau yang tinggal di
bandar, talian internet lebih baik dan mudah mengikuti pelajaran.

"Bila anak saya dapat belajar dengan menonton televisyen, ia benar-benar melegakan
kami kerana dapat mengurangkan jurang kalau ketinggalan sebelum ini," katanya.

Di Kota Bharu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Jedok, Tanah Merah, Zakaria Yusoff,
52, mendapati inisiatif DidikTV KPM dapat menangani masalah keciciran pelajar dan
merapatkan jurang pendidikan mereka di bandar, luar bandar serta pedalaman.

"Cabaran pendidikan termasuk mendapatkan talian internet hingga ada yang terpaksa
mendaki bukit, memanjat pokok dan sebagainya.

"Sebagai guru, DidikTV KPM amat melegakan semua pihak, malah jadual boleh disusun
dengan baik supaya tiada pertindihan

"Ibu bapa tak perlu risau, manakala guru boleh meneliti kandungan pengajaran sebagai
nilai tambah untuk diseragamkan dengan kelas dalam talian," katanya.

Pelajar SMK Sultan Yahya Petra 2, Kuala Krai, Muhammad Hafiz Mohd Razali, 13, dari
Kampung Pasir Era di sini berkata, DidikTV KPM membantu proses pengajaran dan
pembelajaran di rumah (PdPR) secara lebih berkesan.

"Sebagai murid di luar bandar, kemudahan seperti pembelajaran di hadapan televisyen


memang memudahkan, manakala kalau ada yang tidak difahami, boleh rujuk dengan
cikgu," katanya.

SEKOLAHKU SEJAHTERA
Konsep Sekolahku Sejahtera lahirkan generasi berdaya saing
TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN | | 21 Februari 2022
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/188897/BERITA/Nasional/Konsep-
Sekolahku-Sejahtera-lahirkan-generasi-berdaya-saing
PUTRAJAYA - Penerapan konsep Sekolahku Sejahtera bakal melahirkan generasi berdaya saing
di peringkat dunia.Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata,
ia boleh dicapai menerusi 14 elemen Sekolahku Sejahtera yang diketengahkan kementerian.
Elemen penting berkenaan adalah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan,
harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi."Konsep Sekolahku Sejahtera
digagaskan sebagai satu kerangka yang memayungi pelbagai tema, inisiatif dan program sedia
ada KPM berteraskan penerapan nilai murni," katanya.Menurutnya, elemen tersebut tidak akan
membebani murid dan guru sebalik diterap secara semula jadi dalam sesi pembelajaran dan
pengajaran."Ini bukan mata pelajaran baharu, bukan juga sisipan serta tidak akan
membebankan guru," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Sekolahku Sejahtera di
sini, pada Isnin.Beliau berkata, elemen Sekolahku Sejahtera terdapat daripada selamat,
seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi,
rasional dan artikulasi."Konsep ini merupakan penjiwaan dan penerapan di sekolah yang perlu
diberi penekanan khusus bagi membentuk generasi akan datang," katanya.Mohd Radzi berkata,
sekiranya guru mengajar mata pelajaran Sejarah dan mempunyai kaitan dengan 14 elemen, ia
boleh diperjelaskan kepada murid."Begitu juga dengan elemen artikulasi, di mana murid diajar
keupayaan untuk mengolah dan menyampaikan pandangan, hujahan atau huraian mengenai
sesuatu perkara dengan jelas serta teratur berdasarkan fakta," katanya.Ujarnya, sekiranya
proses penerapan konsep Sekolahku Sejahtera dibuat awal, ia akan membentuk generasi akan
datang yang lebih hebat."Pelaksanaan konsep ini akan dimulakan pada sesi persekolahan akan
datang," katanya.Konsep Sekolahku Sejahtera yang dilancarkan dirangka berteraskan prinsip
dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan,
membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.Konsep ini juga akan
memayungi pelbagai tema, inisiatif dan program KPM yang berteraskan penerapan nilai-nilai
murni.

Konsep 'Sekolahku Sejahtera' tidak beban, ganggu tugas hakiki


guru
BERNAMA

Putrajaya: Konsep 'Sekolahku Sejahtera' yang akan diperkenalkan di sekolah tidak lama
lagi, tidak akan membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru, kata Menteri Kanan
Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, pelaksanaannya tidak membabitkan kewujudan mata pelajaran baharu


sebaliknya guru akan menyelitkan elemen dalam konsep 'Sekolahku Sejahtera' itu
sewaktu sesi mengajar dan aktiviti kokurikulum.
Radzi pada Isnin lalu berkata, konsep 'Sekolahku Sejahtera' bersifat penerapan nilai
murni antara lain bertujuan membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Ia mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak
langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami.

"Konsep ini bukan suatu perkara retorik tapi ia satu perjuangan untuk memastikan
murid-murid ada sikap nilai murni sejak dari usia muda," kata Radzi pada Majlis
Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021, di sini hari ini.

Guru Pempengaruh Digital


Perkasa guru era pembelajaran digital
Suliati Asri

suliati@hmetro.com.my

MEMPERKASA dan meningkatkan kemahiran guru antara perkara yang paling penting
dalam memastikan pendidikan berkualiti disampaikan dalam apa juga pendekatan
terutama Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Google Malaysia bekerjasama


melatih sehingga 5,000 guru sekolah kebangsaan untuk menjadi pendidik mempunyai
Pensijilan Google yang juga sebahagian daripada Program Pensijilan DELIMa.

Google Malaysia menyokong KPM dalam menjadikan program DELIMa sebagai satu
program pembelajaran digital rasmi sejak 2019 sekali gus menjadikan Malaysia salah
satu pengguna aktif tertinggi dalam kalangan murid dan pendidik di rantau ini.

Program Pendidik Pensijilan Google ini juga menawarkan penguasaan pendidik dalam
penggunaan produk dan alat Google yang menyokong pengalaman bilik darjah yang
kuat serta hasil pelajar.

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Maznah Abu Bakar dalam
ucapannya berkata, program-program itu bertujuan untuk menjangkau guru-guru yang
mungkin tidak mempunyai peluang latihan dan untuk menyokong pendidik dalam era
pembelajaran digital dan bilik darjah maya.

"Menyokong, membolehkan dan memperkasakan guru adalah penting dalam landskap


digital ini di mana guru diperlukan untuk memimpin, bekerjasama dan menyematkan
perubahan di sekolah mereka.
"Melalui perubahan ini, kami boleh memastikan pelajar Malaysia berkompeten secara
digital untuk menghadapi norma baharu persekolahan dan pekerjaan pada abad ke-21,"
katanya.

Terbaharu, Google Malaysia menganjurkan satu sesi perbincangan maya bertajuk Guru
Pemangkin Transformasi Pendidikan yang menampilkan empat ahli panel
mengetengahkan perspektif mereka mengenai pembelajaran digital dan keperluan
Pensijilan Google yang dikendalikan pengasas bersama Arus Academy, Alina Amir.

Guru Malaysia tambah baik kemahiran digital - Radzi Jidin


Mei 16, 2021 @ 1:21pm

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata ada hikmah di
sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19
apabila guru di negara ini mula menambah baik kemahiran digital mereka demi
menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Beliau berkata senario itu berlaku sejak PKP 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu
selepas sekolah terpaksa ditutup dan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
(PdPR) perlu dijalankan.

"Nyata guru-guru kita ini hebat. Sebelum PKP ramai guru belum terdedah dengan
pendigitalan, tetapi kita lihat dari PKP 1.0 hingga PKP 3.0, Alhamdulillah, guru-guru mula
menggunakan ruang ini mengambil inisiatif menambah baik dan mempelajari kaedah
digital demi memastikan ilmu dapat disampaikan," katanya dalam rancangan Bual
Bicara Khas Hari Guru bersama Menteri Kanan Pendidikan, hari ini.

Program berkenaan disiarkan menerusi FB Live dan Saluran DidikTV Kementerian


Pendidikan Malaysia (KPM) bersempena Hari Guru ke-50 bertemakan 'Berguru Demi
Ilmu, Bina Generasi Baharu'.

Guru perlu kuasai teknologi digital penuhi tuntutan PdP


Julai 24, 2020 @ 10:06am

JIKA dahulu, peranti telekomunikasi seperti telefon pintar dan gajet dilarang untuk
dibawa ke sekolah. Kini, perkara sebaliknya berlaku apabila dunia pendidikan perlu
diakses secara dalam talian dan kelas boleh dilaksanakan di mana-mana tempat yang
mempunyai capaian internet.
Krisis global akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja menyebabkan
pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka tertangguh, bahkan menjadikan
tugasan guru semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan kebiasaan
baharu.

Ia menuntut proses PdP dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan


pelbagai aplikasi tersedia. Contohnya WhatApps, Zoom dan Cisco Webex.

Mengambil kira konteks pendidikan masa kini, ia memerlukan guru untuk memiliki
tahap literasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

You might also like