Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

KEPENTINGAN-KEPENTINGAN

SEKTOR PELANCONGAN
Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa sektor pelancongan merupakan sektor
terpenting dalam memajukan sesebuah negara. Kini, penduduk-penduduk dari
seluruh dunia membanjiri negara kita bagi melihat keindahan dan keunikan budaya
negara kita. Senario ini menjadikan sektor pelancongan yang semakin
berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan sebagai salah satu agenda
utama dalam usaha kerajaan bagi meningkatkan pembangunan negara kita.
Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada negara untuk semua
pihak di negara kita? 

   Antara kepentingan sektor pelancongan ialah peningkatan ekonomi yang


amat signifikan hasil kemasukan pelancong-pelancong dari segenap pelosok dunia.
Kemasukan pelancong-pelancong ke negara kita telah meningkatkan penukaran
mata wang ‘dollar’ kepada ringgit sekaligus meningkatkan nilai mata wang ringgit di
dunia. Hal ini dikatakan sedemikian kerana para pelancong akan menggunakan wang
ringgit mereka untuk membeli kraf tangan dan hadiah-hadiah lain di negara kita
untuk dibawa pulang ke negara masing-masing sebagai cenderahati kepada insan-
insan tercinta. Keadaan ini selari dengan hasrat kerajaan melalui ucapan
pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng
yang menyatakan bahawa industri pelancongan telah menyumbang sebanyak
rm201.4 bilion pada tahun 2017. Keuntungan yang diperoleh menjadi dana kerajaan
untuk membaikpulih infrastruktur awam negara seperti taman awam dan sekolah-
sekolah serta meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan untuk hidup dengan
lebih selesa. Izharnya, terbuktilah bahawa sektor pelancongan amat penting dalam
meningkatkan ekonomi negara kita.

   Dalam nada yang lain, sektor pelancongan juga membuka lebih banyak peluang
pekerjaan kepada para penduduk. Rentetan kedatangan pelancong-pelancong yang
semakin bertambah hari demi hari, permintaan kepada perkhidmatan penginapan
hotel dan perdagangan kraftangan semakin bertambah juga. Keadaan ini
membuatkan lebih banyak syarikat yang mengambil peluang keemasan untuk
membina hotel-hotel dan pusat penginapan bajet untuk menampung pelancong-
pelancong yang datang. Masyarakat yang juga menetap di kampung atau kawasan
pedalaman juga dapat menggunakan teknik mereka dalam memproduksikan kraf
tangan khas Melayu yang diperbuat daripada rotan dan sumber alam semula jadi
yang lain. Secara tidak langsung, ramai masyarakat yang mempunyai kesempatan
untuk menceburi industri pelancongan kerana peluang untuk mendapat keuntungan
ialah luas. Natijahnya, masyarakat akan berlumba-lumba secara sihat dalam
menyediakan perkhidmatan pelancongan yang terbaik kerana bak kata
peribahasa rezeki secupak tidak akan menjadi segantang. Sesungguhnya, sektor
pelancongan dapat membuka peluang pekerjaan yang luas bagi mayarakat kita.
   Selain itu, sektor pelancongan juga dapat memperlihatkan ketamadunan negara
kita yang gemilang dan hebat ke mata dunia. Negara kita kaya dengan sejarah nenek
moyang kita dalam proses pembentukan negara yang kita huni sekarang. Tamsilnya,
Tanah Melayu suatu  ketika dahulu amat mashyur sebagai pusat perdagangan antara
Timur dan Barat kerana kedudukannya yang strategik di antara negara India dan
China serta kebijaksanaan sultan-sultan terdahulu dalam mentadbir kerajaan. Rata-
rata pelancong yang melawat Malaysia akan singgah ke Kota Melaka untuk
menyaksikan tapak bersejarah zaman kegemilangan Kerajaan Melayu-Melaka. Kota
A Famosa menjadi bukti zahir yang suatu ketika dahulu telah menjadi kubu
pertahanan British dalam usaha menawan Tanah Melayu. Tempat bersejarah lain
seperti Tapak Warisan Arkeologi Lenggong yang terletak di hulu Perak merupakan
lembah bersejarah di mana pelbagai artifak sejarah purba seperti Perak
Man dijumpai di sini. Penemuan-penemuan artifak sejarah purba di sini
membuktikan kewujudan tamadun orang Melayu sejak zaman berkurun dulunya.
Secara tidak langsung, pelancong-pelancong dapat mempelajari sejarah
kegemilangan negara kita apabila melawat tempat-tempat bersejarah ini. Tegasnya,
sektor pelancongan dapat membuktikan ketamadunan negara kita di mata dunia
dengan bukti-bukti zahir dan kukuh.

   Akhir sekali, sektor pelancongan juga dapat memperkenalkan budaya masyarakat


negara kita kepada pelosok dunia. Negara kita yang berbilang kaum mempunyai
budaya heterogen yang menjadi daya tarikan kepada pelancong-pelancong luar
untuk berkunjung ke negara kita. Di negara kita sahaja, mereka boleh menyaksikan
dan merasakan budaya yang berbagai jenis khususnya budaya Melayu, Cina dan
India. Contohnya, pelancong dapat menikmati makanan tradisional dari pelbagai
kaum seperti nasi lemak, dim sum dan nasi briyani di mana-mana sahaja. Mereka
juga dapat menyaksikan betapa tingginya toleransi antara kaum di Malaysia apabila
semua rakyat sama-sama menyambut acara kebudayaan masing-masing seperti
perayaan Hari Raya Aidilfitri untuk kaum Melayu, Tahun Baru Cina untuk kaum China
dan Hari Thaipusam bagi kaum India. Warisan kebudayaan inilah yang menjadi
khazanah nenek moyang yang patut kita pelihara dan perkenalkan kepada
masyarakat luar kerana warisan kita bagaikan kata peribahasa tak lauk dek hujan,
tak lekang dek panas. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sektor pelancongan
memberikan peluang kepada kita untuk memperkasakan dan memperkenalkan
budaya bangsa kita kepada masyarakat luar.

  
 Berdasarkan huraian-huraian di atas, terbuktilah bahawa terdapat banyak
kepentingan sektor pelancongan kepada negara. Sektor pelancongan merupakan
sektor yang dapat memajukan ekonomi negara,memberikan peluang
pekerjaan,memperlihatkan ketamadunan negara yang gemilang dan juga
memperkenalkan budaya negara kita kepada negara lain.Kesimpulannya, pihak
kerajaan dan semua rakyat  perlulah memainkan peranan masing-masing dalam
memperkasakan sektor pelancongan di negara kita kerana bertepuk sebelah tangan
tidak akan berbunyi.
Usaha-usaha memajukan sektor pelancongan

 Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam


semula jadi yang unik dengan deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita
mampu menjadikan industri pelancongan sebagai sumber utama pendapatan negara
jika alam semula jadi itu dieksploitasi sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong
yang semakin bertambah ke negara kita sejak belakangan ini, jelas menunjukkan
bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Keunikan budaya
rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menggamit
kedatangan pelancong. Mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan
Pelancongan, Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen menyarankan agar tugas menarik
kedatangan pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak
di bahu kerajaan sahaja supaya industri pelancongan dapat dimajukan. Setiap anak
watan perlu merancang usaha-usaha yang istiqamah, pragmatik dan efektif perlu
diambil untuk melihat industri ini merentasi benua dan dunia.

      Langkah prima untuk meningkatkan industri pelancongan negara ialah kerajaan


perlu memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan
di negara kita sehingga menjadi prasarana kelas pertama terutamanya destinasi
yang menjadi tumpuan pelancong. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke
sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar
memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya
untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya,
banyak  pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan
pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot
atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk
memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa kemudahan yang baik akan memudahkan para pelancong menelusuri
dari satu destinasi pelancongan ke satu destinasi pelancongan yang lain dan dapat
membangunkan industri ini.
        
         Selain itu, kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, tandas,
bekalan air dan elektrik turut menjadi faktor penting dalam menarik banyak
pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana situasi
ini akan menentukan sama ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau
sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap,  hal ini akan mendorong
seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan
negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah
penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di seluruh negara
membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke
negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa
dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. Masalah tandas yang terhad dan berbau
busuk selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam perlu diatasi. Prasarana ini
hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini. Tegasnya,
keselesaan pelancong ketika menginap di negara kita perlu dititikberatkan agar
industri ini dapat dibangunkan.
         
          Bukan itu sahaja, kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan
Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap tentang sesuatu destinasi
menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat-tempat baharu yang dikenal
pasti boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama
ada menerusi media cetak seperti risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau
media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan kewujudan halaman
pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan
Malaysia sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing.
Contohnya,usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan mengiklankan negara kita
pada dinding 60 buah bas di kota London pada suatu ketika dahulu menandakan usaha
serius pihak terbabit dalam menarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini. Jika
maklumat yang lengkap sampai ke pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan
datang melawat negara kita pada suatu hari kelak. Pendek kata, komitmen kerajaan
dengan badan-badan tertentu dalam menyebarkan keunikan negara kita ke peringkat
global turut merancakkan perkembangan industri ini.

            Di samping itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi


menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Unit
Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani
jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol,peras ugut, rompak dan tipu harus
ditangani secepat mungkin. Kejadian seumpama ini akan membimbangkan pelancong
untuk melancong di negara kita dan sekali gus akan mengancam industri ini. Oleh itu,
pihak berautoriti perlulah menambahkan bilangan anggota keselamatan terutamanya
di destinasi tumpuan pelancong agar keselamatan dan kesejahteraan pelancong akan
terjamin. Sebagai bukti yang kukuh,rondaan perlu dilakukan dengan lebih kerap dan
lebih banyak pondok keselamatan didirikan. Dengan ini, pihak yang ingin melakukan
perbuatan yang jahat tidak dapat dilakukan kerana adanya kawalan dan pemantauan
yang ketat oleh pihak berkuasa. Ringkasnya, aspek keselamatan perlu dititikberatkan
agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini dan memelihara imej negara.
             
          Seperkara lagi, pelbagai aktiviti yang menarik perlulah diadakan oleh pihak
kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan. Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti
pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara
Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu dan Kejohanan Lumba Basikal
Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan
teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan
meluas. Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa dapat
memperkenalkan negara kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara seterusnya
dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada
mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan
bertaraf antarabangsa tetapi juga terbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya,
kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan tanpa menunggu musim-
musim tertentu sahaja. Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan ekonomi negara dan
mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita.
Hal ini dapat diibaratkan sambil menyelam minum air. Jelaslah bahawa industri
pelancongan dapat dimajukan dengan mengadakan pelbagai aktiviti negara yang
menarik.

     Masyarakat juga seyogianya boleh bersama-sama membantu memartabatkan


bidang pelancongan negara. Sikap ramah dan suka membantu pelancong harus
diutamakan oleh rakyat Malaysia. Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan
melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi yang
dianggap sebagai duta pelancongan negara haruslah bersikap ramah, mesra dan
menjauhi amalan ingin mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing bagi
mengaut keuntungan dengan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun
dan lembut bahasa kerana budi bahasa budaya kita. Rakyat negara ini harus
mengubah sikap mereka dengan melayan para pelancong dengan lebih baik agar
kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberikan memorabilia sepanjang hidup
mereka. Masyarakat Malaysia perlulah mengelakkan sikap bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing. Deduksinya, sinergi daripada pelbagai lapisan
masyarakat dapat membantu meningkatkan bidang pelancongan negara seterusnya
dapat menyumbang kepada kemajuan negara.

       Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa terdapat pelbagai cara yang


dapat  dilakukan untuk memajukan industri ini,iaitu melalui (cara-cara yang
dijelaskan) Segala usaha yang direncanakan itu memerlukan obligasi dan komitmen
jitu daripada semua pihak serta perlu dijalankan secara bijaksana umpama menarik
rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak agar industri
pelancongan di Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
negara-negara lain..

You might also like