Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 9

Peranan Pegawai Sulh Dalam Penyelesaian Konflik Keluarga Islam

Mohd Fuad Mohd Salleh


Universiti Teknologi Malaysia

Jamilah Othman
Universiti Putra Malaysia

Abstrak

Konflik terjadi apabila satu pihak menghalang, menekan atau memaksa pihak lain
menerima pendapatnya yang kemudiannya pihak ini terasa tergugat dengan tindakan
pihak yang pertama. Meskipun konflik boleh diselesaikan oleh pihak-pihak
berkonflik namun kerapkali ia memerlukan pihak ketiga untuk menyelesaikannya.
Pendekatan kualitatif kajian kes dipilih untuk menyempurnakan dan menjawab
persoalan kajian iaitu memahami peranan Pegawai Sulh menyelesaikan konflik.
Temuan kajian mendapati Pegawai Sulh menyelesaikan konflik dengan
melaksanakan dua asas utama iaitu (a) tidak bertentangan dengan hukum syarak dan
undang-undang dan (b) persetujuan bersama. Pegawai Sulh telah menjalankan dua
peranan iaitu mediator dan kaunselor. Oleh itu mediasi-kaunseling sebagai satu
konsep baru boleh diperkenalkan sebagai alternatif penyelesaian pertikaian untuk
menyelesaikan konflik.

Kata kunci: Konflik, Mediasi, Pihak Ketiga, Sulh

Pengenalan
Untuk memenuhi keinginan, keperluan dan kepuasan bagi mencapai kebahagiaan
manusia sering menghadapi masalah perhubungan. Kerapkali manusia berhadapan dengan
halangan yang boleh mewujudkan konflik. Akibat daripada halangan dan kritikan yang
dihadapi, individu-individu yang berkonflik mungkin memilih strategi konfrantasi langsung,
bertanding atau mengelak yang mungkin menyebabkan konflik bertambah besar dan
merenggangkan hubungan sesama individu (Rahim, 1992).
Menurut Messman & Mikesell (2000) konflik merupakan sesuatu yang nutral dan ia
adalah kesan yang tidak boleh dielakkan akibat proses semulajadi untuk perubahan dan
pembangunan. Konflik ialah satu keadaan di mana kepentingan atau matlamat dua atau lebih
individu dianggap sebagai tidak bersesuaian (Thomas & Kilmann, 1974 dan Rhoades, 1999)
Kesan daripada usaha memahami permasalahan yang dihadapi mengikut pandangan sendiri
tanpa meminta pandangan pihak ketiga, konflik tidak dapat diselesaikan dengan sempurna
dan masih terus berlaku (De Bono, 1985).

Konflik

Konflik ialah satu keadaan di mana kepentingan atau matlamat dua atau lebih individu
dianggap sebagai tidak bersesuaian (Bar-Tal, 1988; Thomas & Kilmann, 1974; Putnam &
Folger, 1988). Konflik akan menghasilkan kesan yang negatif apabila ada pihak atau kedua-
dua pihak menangani pertikaian dengan taktik “menang-kalah”. Konflik merujuk kepada
kewujudan pertembungan ini iaitu pertembungan dua kehendak yang sama tetapi tidak dapat
diperolehi dan dikongsi bersama (De Bono, 1985 dan Littlejohn, 1996). Konflik sosial pula
merujuk kepada proses interaksi sosial melibatkan perlumbaan untuk memiliki sumber, kuasa
dan status, kepercayaan dan lain-lain kepentingan yang terhad (Bisno, 1988). Konflik juga
2

merujuk kepada tekanan emosi yang dialami oleh seseorang individu (Oxford Talking
Dictionary, CD-ROM, 1999).
Konflik bermaksud kepincangan dalam piawaian makanisma pembuatan keputusan
yang akan menjadikan seseorang individu atau kumpulan menjadi sukar untuk membuat
keputusan (March dan Simon, 1958 dalam Rahim, 1986). Konflik adalah tindakan
menghalang (Rahim, 1986). Coser (1964, dalam Messman & Mikesell, 2000) memberi
definisi konflik sebagai perjuangan mengenai nilai dan tuntutan terhadap status, kuasa dan
sumber terhad yang mana tujuan penentang ialah untuk menutral, melukai atau
menghapuskan pesaing. Sementara itu Tjosvold (1991) memberikan definisi konflik sebagai
tindakan atau tingkahlaku yang tidak bersesuaian (incompatible). Apabila seseorang
melakukan sesuatu yang tidak bersesuaian dengan orang lain sama ada di dalam keluarga, di
tempat kerja atau di mana-mana sahaja, maka ia boleh mencetuskan konflik.
Deutsch (1973) melabelkan konflik sebagai sesuatu yang tidak bersesuaian dan
memperincikannya sebagai tindakan yang tidak bersesuaian dengan tindakan lain untuk
menjaga, menghalang, mencampuri, melukai atau pada ketika lain menjadikannya kurang
digemari atau kurang efektif. Menurut Karl Marx konflik kerapkali mengundang risiko,
namun ia merupakan sebahagian daripada keadaan yang perlu dihadapi dalam tugas seharian
dalam usaha untuk mencari keharmonian (Coser and Rosenberg, 1982 dan Bisno, 1988).

Mediasi

Mediasi ialah proses yang dilakukan dalam usaha untuk menyelesaikan konflik antara
orang yang berkonflik dengan bantuan pihak ketiga (Kressel, 2000). Mediasi melibatkan
pihak ketiga yang tidak memihak yang akan membantu dalam perbincangan mengenai
konflik dalam kalangan orang yang berkonflik untuk membolehkan mereka menyatakan
keprihatinan mereka agar isu-isu utama dapat diselesaikan (Umbreit, 1995). Donna (2001)
memberi definisi mediasi sebagai proses yang dilakukan untuk mendapatkan penyelesaian
terhadap isu yang menjadi perbalahan. Kekuatan utama mediasi ialah ia menyerlahkan
harapan untuk memperbaiki hubungan melalui pernyataan dan pemahaman faktor emosi
terhadap konflik yang terjadi (Lulofs dan Cahn, 2000).
Mediator membawa pihak-pihak berkonflik untuk duduk bersama, membantu mereka
menceritakan keinginan atau faedah yang boleh dirunding, kemudiannya akan membantu
mereka menyusun secara relatif mengikut merit setiap pilihan yang berbeza dan kemudian
merangka perjanjian yang boleh menjadi alat untuk memuaskan kepentingan setiap pihak dan
seterusnya membuat keputusan (Dana, 2001). Meskipun wujud tekanan sosial untuk
menyelesaikan konflik, sekiranya rangka perjanjian itu tidak memuaskan hati salah satu pihak
maka pihak-pihak berkonflik mempunyai kebebasan untuk menolak perjanjian tersebut
(Moore, 2003). Sekiranya ini terjadi maka pihak-pihak berkonflik boleh mencuba alternatif
penyelesaian konflik lain seperti tindakan undang-undang, perang, atau lain-lain pilihan
(Carnegie Commission, 1997).
Ini bermakna mediasi bukan jalan terakhir. Melalui mediasi pihak-pihak berkonflik
akan menentukan sendiri keputusan yang akan diambil untuk kedua-dua belah pihak. Mediasi
boleh memperbaiki komunikasi antara pihak berkonflik. Ia juga mengizinkan mereka yang
berkonflik merangka penyelesaian sendiri yang bermula sebagai satu perbincangan dan
perundingan yang dipermudah dengan adanya pihak ketiga (Umbreit, 1995). Mediasi juga
telah terbukti sesuatu yang berkesan dalam menangani konflik dan ini disokong oleh kajian
secara empirikal selama lebih dua dekad (Kresel, 2000 dan The Ohio Commissions, 2001)

Sulh
3

Sulh menurut istilah adalah “penamatan sesuatu pertikaian” manakala dari segi syara’
pula ia bermaksud “satu aqad yang dengannya tamat sesuatu pertikaian secara sukarela”
(Nazzam & Qadri Basha, 1909, dalam Raihanah, 2005). Definisi yang sama juga diberi oleh
al-Zuhaili (1999). Berdasarkan pemahaman dari segi istilah dan syara’ ini maka Sulh
merupakan satu proses di mana pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu pertikaian terhadap
satu atau beberapa tuntutan di Mahkamah Syariah, dipanggil dan dipertemukan di dalam
suatu majlis perundingan terpimpin secara rasmi. Pertemuan ini diatur oleh mahkamah
berdasarkan prosedur tertentu dan jika perdamaian tercapai maka keputusan perdamaian akan
dikeluarkan sebagai satu perintah mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan biasa
(Mahkamah Syariah Selangor, 2001).
Tuntutan melaksanakan sulh telah dinyatakan di dalam Al-Qur’an di dalam Surah al-
Hujurat ayat sembilan yang bermaksud: “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman
berperang maka damaikanlah di antara keduanya.” Ia juga ada disebut di dalam Hadis Nabi
SAW yang bermaksud: “Perdamaian (sulh) itu diharuskan (dalam urusan) di antara kaum
Muslimin, kecuali sulh dalam hal mengharamkan sesuatu yang halal dan menghalalkan
sesuatu yang haram.” (Hadis riwayat at-Tarmizi).
Berdasarkan kepada peraturan yang dinyatakan dalam Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam Selangor (EUKI) 1984, antara tuntutan atau permohonan yang boleh
diselesaikan melalui kaedah sulh adalah (1) tuntutan kerana melanggar janji untuk berkahwin
atau bertunang (seksyen 15) (2) tuntutan berbangkit daripada isu-isu perceraian iaitu muta’ah
dan nafkah ‘iddah (seksyen); (3) nafkah tertunggak (seksyen 69); (4) harta sepencarian
(seksyen 58); (5) hutang maskahwin (seksyen 57); (6) tuntutan nafkah anak (Seksyen 72, 73,
77); dan (7) tuntutan hak jagaan anak (hadanah) (seksyen 81). Walau bagaimanapun, tuntutan
hak jagaan anak hanya boleh diperakukan keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah
namun ia tidak menghalang perundingan dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah.
Penyelesaian konflik merujuk kepada pendekatan konstruktif untuk mencapai
penyelesaian konflik yang boleh diterima bersama. Antara pendekatan penyelesaian konflik
yang diamalkan ialah dengan melibatkan pihak ketiga yang berkecuali yang membantu
pihak-pihak yang berkonflik berunding untuk mencapai persetujuan bersama. Proses
perundingan yang lebih memberi kesan ialah mediasi di mana pihak ketiga akan
menyediakan ruang untuk berbincang dan membantu pihak-pihak berkonflik mencari
alternatif penyelesaian dan seterusnya merundingkan penyelesaian yang boleh diterima.
Dalam program Sulh, seorang Pegwai Sulh dilantik untuk menangani konflik ini
(Gambarajah 1).
4

Peranan Pegawai Sulh

Matmalat
Sulh Berjaya/Sulh Gagal

Persetujuan
Pilihan yang ada Bersama Pilihan yang ada

Pegawai Sulh

Suami Konflik Isteri

Peranan Pegawai Sulh dalam menangani konflik 25

Gambarajah 1: Peranan Pegawai Sulh


Penyelesaian luar mahkamah atau penyelesaian tanpa melalui perbicaraan di hadapan
Hakim merupakan antara matlamat program Sulh dilaksanakan. Sejak kaedah Sulh
diperkenalkan, banyak kes dapat diselesaikan di luar mahkamah. Dari Mei hingga Disember
2002, daripada 803 kes yang dirujuk kepada Pegawai Sulh, 492 kes (61.7 peratus) berjaya
diselesaikan, 235 kes (29.26 peratus) dibawa ke hadapan hakim untuk perbicaraan, manakala
baki 76 kes (9.46 peratus) masih dalam perundingan proses Sulh (Zohdi, 2003). Sehingga
April 2004 sebanyak 66 peratus kes dapat diselesaikan melalui proses perundingan Sulh. Ini
menunjukkan keberkesanan sistem Sulh dalam mempercepat penyelesaian kes di luar
mahkamah. Kejayaan penyelesaian kes di luar mahkamah akan dapat mengurangkan kes
yang perlu dibawa kepada pengadilan di hadapan hakim Mahkamah Syariah dan seterusnya
dapat mengurangkan kes-kes tertangguh. Jadual 1 menunjukkan pecahan kes mengikut
daerah di Selangor.

Jadual 1. Sulh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, April 2004.


DAERAH BAKI DAFTAR BERJAYA BICARA TANGGUH
Mah. Tinggi 88 25 16 12 85
Shah Alam 31 14 7 11 27
Klang 6 36 20 6 16
Kuala Langat 6 12 5 6 7
Kuala Selangor 3 13 9 3 4
Sabak Bernam 5 5 7 1 2
Petaling Jaya 2 24 16 12 18
Gombak Barat 7 8 2 7 6
Gombak Timur 13 8 15 3 3
Hulu Langat 11 25 12 4 20
5

Sepang 1 5 3 0 3
Hulu Selangor 6 6 9 0 3
JUMLAH 199 181 121 65 194
PERATUS 100 32 17 51
JUMLAH TERDAHULU 3,045 2,017 829 199
JUMLAH KESELURUHAN 3,226 2,138 894 194
PERATUS 100 66 28 6

Rukun Sulh
Dalam melaksanakan perundingan Sulh, terdapat empat rukun yang perlu diikuti. Ini
dinyatakan dalam Manual Perundingan Sulh yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah
Selangor. Rukun-rukun tersebut ialah: (1) pernyataan tawaran dan penerimaan (sighah), (2)
pihak-pihak yang bertikai, (3) hak yang dipertikaikan, (4) gantian terhadap objek yang
dipertikaikan. Kesemua elemen ini mesti wujud dalam sesuatu proses sulh untuk
membolehkan sesuatu persetujuan bersama boleh dianggap sah dan memenuhi prinsip sulh.
Para ahli hukum berpendapat bahawa kontrak yang terpakai untuk kebanyakan kontrak
muamalat juga terpakai dalam sulh (al-Hattab, 1992, dan Raihanah, 2005). Selain dari itu
terdapat tiga syarat yang perlu diikuti dalam menjalankan sulh iaitu: (1) syarat berkaitan
pihak-pihak yang berdamai (sulh), (2) syarat bagi sesuatu yang dijadikan sulh dan (3) syarat
bagi hak yang dipertikaikan. (Sheikh Ghazali, 2000). Berdasarkan kepada rukun dan syarat
sulh ini maka sekiranya sulh telah dipersetujui ianya akan mengikat dan tidak boleh diubah
tanpa persetujuan dan tidak boleh didengar dakwaan yang menuntut buat kali kedua (Atras,
2005).

(1) Pernyataan tawaran dan penerimaan (Sighah).


Dalam melaksanakan proses sulh, pihak-pihak yang bertikai perlu menyatakan tawaran dan
penerimaan bagi menamatkan atau menyelesaikan pertikaian. Menurut undang-undang Islam,
pernyataan tawaran dan penerimaan ini menunjukkan adanya kerelaan dalam urusan
perjanjian dan bukan atas dasar paksaan (Yasin, 1978, dalam Raihanah, 2005). Tawaran dan
terimaan ini pula mestilah dijalankan sertamerta dan tidak ada penangguhan kerana sekiranya
ada penangguhan ini menunjukkan wujudnya keraguan. Elemen penawaran ini juga menjadi
suatu elemen dalam mediasi di mana ada tawaran ada penerimaan dari pihak-pihak
berkonflik. Jelasnya Sulh juga mengamalkan konsep yang serupa seperti diamalkan mediasi.

(2) Pihak-pihak yang bertikai.


Ulamak dalam kalangan mazhab Syafie dan Maliki berpendapat bahawa persetujuan sulh
merupakan satu kontrak yang melibatkan barangan dan juga kebajikan (Idris, 1983 dan
Raihanah, 2005). Oleh itu mereka berpendapat bahawa syarat-syarat jualbeli terpakai dalam
sulh. Untuk membolehkan persetujuan sulh terpakai dan tidak terbatal, maka mereka yang
berhak sahaja boleh membuat tawaran dan melakukan penerimaan.

(3) Hak yang dipertikaikan.


Hak yang dipertikaikan hanya terhad kepada hak individu manusia yang berbentuk benda
atau objek seperti wang tunai atau manfaat atau hak bukan benda seperti giliran bermalam
dengan syarat individu tersebut mempunyai kuasa mutlak ke atas hak-hak yang dipertikaikan
untuk membuat tuntutan atau persetujuan (Idris, 1983 dan Raihanah, 2005). Hak yang
dipertikaikan ini mestilah dimiliki oleh yang menuntut atau dituntut dalam perundingan Sulh.
Hak ini mestilah diperakukan oleh kedua-dua pihak yang bertikai di dalam perundingan Sulh.
6

Sekiranya persetujuan sulh melibatkan gantian atau pertukaran hartabenda atau manfaat, ia
mestilah sesuatu yang diharuskan di sisi Islam. Ini juga bersesuaian dengan konsep yang
dilaksanakn dalam mediasi.

(4) Gantian terhadap hak yang dipertikaikan.


Sebagai agama yang lengkap mencakupi semua bidang, untuk menjaga kepentingan semua
pihak dan untuk menjamin keadilan, Islam membenarkan gantian atau pertukaran terhadap
hak yang dituntut melalui proses sulh. Gantian atau pertukaran ini boleh dilakukan dengan
tiga syarat iaitu: (i) ia mestilah sesuatu yang diizinkan di sisi syarak, (ii) gantian atau
pertukaran itu mestilah sesuatu yang dimiliki oleh pihak-pihak yang menganjurkan sulh
(pihak berkonflik), (iii) gantian atau pertukaran tersebut mestilah sesuatu yang dimaklumi
atau diperakui oleh kedua-dua belah pihak (Raihanah, 2005). Syarat-syarat ini diletakkan
untuk mengelakkan berlaku ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

Temuan Kajian dan Perbincangan

Secara keseluruhannya amalan sulh di Selangor tidak jauh berbeza dengan amalan
mediasi yang diamalkan sekarang. Namun terdapat beberapa perbezaan jelas yang
membezakan antara mediasi barat dengan sulh. Perbezaan pertama ialah sulh meletakkan
agama sebagai ciri terpenting dalam penyelesaian sulh sedangkan dalam mediasi masyarakat
barat peranan agama tidak pernah diketengahkan sebagai salah satu syarat penyelesaian
konflik apa yang penting ialah mediator mesti membantu pihak berkonflikuntuk
menyelesaikan konflik.
Perbezaan kedua ialah kaedah kokus. Dalam sesi mediasi, perundingan hendaklah
dilakukan dengan pihak-pihak berkonflik hadir dalam satu forum yang sama. Perbincangan
secara sebelah pihak tidak digalakkan. Dalam Majlis Sulh, kokus digalakkan kerana ia boleh
memberi lebih banyak maklumat kepada Pegawai Sulh untuk memahami situasi konflik dan
seterusnya menyediakan alternatif penyelesaian kepada konflik. Ia bersesuai dengan budaya
dan adat resam Melayu yang walaupun pihak-pihak berkonflik sudah berpisah, perasaan
hormat kepada pihak-pihak ini masih ada. Oleh itu untuk mendapatkan maklumat lebih
banyak maka perundingan secara berasingan diperlukan.
Pegawai Sulh telah melaksanakan peranannya untuk membantu pihak-pihak
berkonflik dengan melaksanakan beberapa peranan sebagai mediator dan juga kaunselor
untuk mendapat persetujuan bersama bagi menyelesaikan konflik. Ini dibuktikan dalam
keadaan di mana pihak-pihak berkonflik cuba membangkitkan peristiwa lalu, Pegawai Sulh
telah menghentikan perbincangan yang tidak produktif ini dengan menekankan pentingnya
tumpuan diberi kepada masa depan, bukan masa lampau. Pegawai Sulh seterusnya bertindak
mengingatkan pihak-pihak berkonflik bahawa mereka perlu berunding untuk mencari
penyelesaian dengan memberi tumpuan kepada isu-isu penting untuk diselesaikan.
Ada ketikanya Pegawai Sulh perlu mengadakan pertemuan berasingan dalam sesi
kokus untuk membincangkan secara sebelah pihak mengenai tuntutan pihak satu lagi apabila
mereka berpendapat bahawa pihak-pihak berkonflik tidak boleh berunding secara bersemuka
kerana ada perkara-perkara yang tidak mahu disebut di hadapan pihak lain. Dalam sesi ini
Pegawai Sulh telah memberi nasihat dan ingatan kepada setiap pihak mengenai pentingnya
mematuhi prinsip-prinsip keadilan Islam dalam menyelesaikan pertikaian. Sesi ini juga
digunakan untuk memberi pemahaman mengenai pentingnya setiap pihak patuh kepada
prinsip-prinsip keadilan Islam. Setiap tuntutan yang dikemukakan mestilah tidak
bertentangan dengan hukum syara’. Sesi konflik juga dilaksanakan untuk mendapat seberapa
banyak maklumat tambahan yang tidak dapat dinyatakan secara berdepan oleh kedua-dua
pihak berkonflik.
7

Tindakan perbincangan dalam sesi kokus ini merupakan satu tindakan mengurangkan
halangan bagi memudahkan persetujuan bersama. Sesi kokus juga telah memudahkan
perundingan dan serentak itu juga menunjukkan kepercayaan yangtinggi oleh pihak-pihak
berkonflik kepada Pegawai Sulh untuk membantu menyelesaikan konflik.
Jelasnya sulh memiliki ciri-ciri tersendiri yang tidak terdapat dalam sesi mediasi
mengikut amalan Barat. Ciri-ciri unik ini adalah bersesuaian dengan amalan masyarakat
Melayu yang terkenal tinggi kesantunannya kerana pengaruh ajaran Islam. Penyelesaian yang
disandarkan kepada Islam dilihat sebagai jalan paling sesuai dan mutlak kerana tidaka ada
sesiapapun di kalngan umat Islam yang memeprtikaian peranan ajaran Islam yang betunjang
kepada Al-Qur’an dan Sunnah Rasul.

Implikasi Kajian

Kajian yang dilakukan mendapati bahawa Pegawai Sulh telah menjalankan tugas
untuk mencari penyelesaian dengan cuba menyelesaikan konflik di dalam majlis sulh dengan
mengamalkan dua prinsip penting iaitu (1) tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam
dan (2) persetujuan bersama. Hasil kajian juga memberi implikasi bahawa mediasi menurut
fahaman Barat perlu disesuaikan dengan masyarakat Melayu yang terikat dengan agama
Islam dan budaya Timur. Oleh itu pendekatan sulh yang sebahagiannya menggunakan konsep
mediasi boleh diperkukuhkan dan satu konsep baru boleh diperkenal dengan mengambil kira
peranan Sulh dalam menyelesaikan konflik untuk memperkaya teori-teori sedia ada.
Berdasarkan kepada kemampuan sulh mengurus konflik, ia sepatutnya diperkenal di
peringkat awal sebelum perceraian berlaku kerana usaha ini boleh mengurangkan bilangan
perceraian yang berlaku dalam kalangan suami-isteri Melayu. Jika ini dapat dilakukan,
dengan sendiri ia akan dapat mengurangkan kes yang dirujuk ke mahkamah, sekaligus
mengurangkan kes-kes tertunggak di Mahkamah Syariah. Hasil kajian menunjukkan bahawa
perbincangan dalam sesi kokus telah memberi kesan besar dalam perkongsian maklumat. Ini
memberi implikasi bahawa kaedah kokus amat sesuai dipraktikkan terutama dalam
masyarakat Melayu yang masih berpegang kepada budaya Melayu yang penuh dengan
kesantunan kerana kokus mampu menjadi kaedah untuk berkongsi maklumat melalui orang
tengah.
Kesimpulannya ialah sesi kokus banyak membantu dalam proses penyelesaian
konflik. Oleh itu satu konsep baru iaitu mediasi kaunseling yang merupakan kaedah baru
dalam mediasi yang menggabungkan unsur kaunseling di dalam perbincangan kokus untuk
menjadikan mediasi lebih berjaya perlu diperkenalkan. Mediasi-kaunseling memerlukan
pihak ketiga menjalankan dua fungsi iaitu sebagai mediator dalam perundingan bersemuka
dan kaunselor dalam sesi kokus.
8

Rujukan

al-Zuhaili, Wahbah (1999). Fiqh dan Perundangan Islam Jilid VI. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Atras Mohamad Zin (2005). Penyelesaian konflik keluarga di mahkamah syariah: peranan
sulh dan keberkesanannya. Kertaskerja di Seminar Isu-isu Mahkamah Syariah,
Gombak: Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM, 29 Januari 2005.
Bar-Tal, D. (1998). Societal beliefs in times of intractable conflict: The Israeli case.
International Journal of Conflict Management, Jan 98, Vol. 9 Issue 1, h. 22
Bisno, H. (1988). Managing conflict. Newbury Park: Sage Publications.
Carnegie Commission (1997). Preventing deadly conflict, New York: Carnegie Corporation.
Coser, L. A. & Rosenberg, B. (ed.) (1982). Sociological theory 5th. ed. New York: Macmillan
Publishing Co., Inc.
Dana, D. (2001). Conflict resolution. New York: McGraw-Hill.
De Bono, E. (1985). Conflicts: A better way to resolve them. London: Harrap Limited.
Deutsch, M. (1973). The resolution of conflict: constructive and distructive processes. New
Haven: Yale University Press.
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2/2003
Idris Ahmad (1983). Fiqh Syafi’i Jilid 2. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (2002). Manual Kerja Sulh. Putrajaya: Jabatan Perdana
Menteri
Kressel, K. (2000). Mediation in Deutsch, M. & Coleman, P.T: The handbook of conflict
resolution: theory and practice. San Francisco: Jossey-Bass Publishers. h522-545.
Littlejohn, S. W. (1996). Theories of human communication. New York: Wadsworth
Publishing Company.
Lulofs, R. S. & Cahn, D. D. (2000). Conflict: from theory to action. Boston: Allyn and
Bacon.
Messman, S. J. & Mikesell, R. L (2000). Competition and interpersonal conflict in dating
relationships. Communication Reports, Winter 2000, Vol. 13 Issue 1, h21 – 35
9

Moore, C. W. (2003). The mediation process : practical strategies for resolving conflict 2nd
ed. San Francisco: Josey-Bass Publisher.
Negeri Selangor. Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor 1991. Kaedah-kaedah
Tatacara Mal (Sulh.) Selangor: Warta Kerajaan Selangor 2001.
Putnam, L. L. & Folger, J. (1988). Communication, conflict, and dispute resolution: the study
of interaction and the development of conflict theory. Communication Research 15
(1988). h349.
Rahim, M.A. (1986). Managing conflict in organizations. New York: Praeger Publishers.
Rahim, M.A. (1992). Managing conflict in organizations. 2nd. Edition. New York: Praeger
Publishers.
Raihanah Azhari (2005). Konsep sulh dalam Islam. Penyelesaian konflik keluarga di
mahkamah syariah: peranan sulh dan keberkesanannya. Seminar Isu-isu Mahkamah
Syariah VII. Gombak: Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM, 29 Januari,
2005.
Rhoades, J. A. (1999). The cognitive representation of responses to social conflict: the
development of an integrative taxonomy. International Journal of Conflict
Management, 1999, Vol. 10 Issue 4, h360 - 385.
Sheikh Gazali Abdul Rahman (2000). Sulh dalam perundangan Islam. Jurnal Undang-undang
IKIM, Vol. 4 No. 2 (Julai-Disember 2000) h 11-12.
The Ohio Commission on Dispute Resolution and Conflict Management (2001)
http://www.state.oh.us/cdr/Brochures/truancybrochure.htm. Dilayari pada 28 January,
2003.
Thomas, K. W. & Kilmann, R.H. (1974). Thomas-Kilmann conflict mode instrument.
Tuxedo, NY: Xicom.
Tjosvold, D. (1991). The conflict-positive organization. Massachusetts: Addison-Wesley
Publishing Company.
Umbreit, M. (1995). Mediating interpersonal conflicts: a pathway to peace. USA: CPI
Publishing.
Zohdi Tohir. (2003). Isu-isu terkini Mahkamah Syariah dan wanita. Kertas-kerja di Seminar
Memahami Hak Wanita di Dalam Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor
(Pindaan Terbaru). Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan surau As-Sobah, Hulu
Langat.

You might also like