Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

2.

1 PENDIDIKAN ISLAM

Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah


digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai perkaitan di antara satu
sama lain. Kedua-duanya mempunyai matlamat untuk melahirkan generasi Islam yang
berilmu dan berakhlak mulia.

Menurut Nurshakinah (2019), Pendidikan Islam mempunyai matlamat untuk


melahirkan insan atau pelajar yang berilmu, beriman dan berketrampilan, beramal soleh
dan berakhlak mulia berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Menurut beliau lagi, Terdapat beberapa matlamat dan falsafah lain yang telah digariskan
seperti berikut:

i. Memberi pengukuhan kemahiran membaca, memahami, menghafaz dan


menghayati Al-Quran yang diperolehi pada peringkat sekolah rendah.
ii. Memberi kefahaman tehadap konsep ibadat, memperkukuhkan dan
mempertingkatkan amalan ibadat solat dan ibadat lain yang diperolehi
pada peringkat sekolah rendah.
iii. Membentuk keperibadian serta mengamalkan akhlak mulia dan
memahami serta menghayati kandungan-kandungan hadith Rasulullah
SAW, para sahabat dan sejarah Islam.
iv. Memberi pengukuhan terhadap pegangan akidah Islamiah dan mengaitkan
konsep tauhid dalam keseluruhan aspek kehidupan serta menghayati Islam
sebagai satu cara hidup yang menyeluruh.

Berdasarkan kepada matlamat dan falsafah yang telah dinyatakan, sistem


Pendidikan Islam mempunyai matlamat utama untuk memberikan kemahiran,
pengetahuan dan membangunkan insan yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Sekolah dan guru mempunyai peranan yang sangat penting dalam memastikan
generasi muda mendapat pendidikan yang sewajarnya. Pada masa kini, tugas mendidik
anak-anak seakan-akan telah diserahkan sepenuhnya ibu bapa kepada pihak sekolah dan
guru.

1
Kamarul Jasmi (2012) menyatakan secara umumnya, Pendidikan Islam
memberikan penekanan terhadap aspek penghayatan ilmu pengetahuan dan kemahiran
bagi melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah SWT. Menurut beliau lagi, terdapat
perbezaan di antara pendidikan zaman kini dengan pendidikan zaman tradisional di
mana tugas mendidik anak-anak khususnya berkaitan dengan al-Quran dan Fardhu Ain
adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa dan dibantu oleh kelompok di sekitarnya.

Menurut Syed Ali Ashraf (1993) pendidikan Islam bertujuan untuk melahirkan
khalifah yang mempunyai perkembangan yang seimbang berdasarkan kepada aspek
rohani. Hal ini kerana aspek rohani boleh mendidik manusia untuk taat dan patuh
kepada syariat Allah SWT. Ghazali Darusalam (2004) pula menjelaskan bahawa
pendidikan hendaklah menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan
sempurna, bahagia, cintakan negara, kuat jasmani, sempurna akhlak, halus dan murni
perasaan, bekerjasama, baik bahasanya, tulisan dan lisannya serta dapat membuat
sesuatu pekerjaan dengan baik.

Jasmi (2010) menjelaskan bahawa Pendidikan Islam merupakan teras kepada


pelaksanaan syariat untuk murid-murid di sekolah. Ianya memerlukan guru yang
berkebolehan menggunakan pendekatan pengajaran yang kreatif dalam menghasilkan
pengajaran yang berkesan. Seandainya seorang guru tidak melaksanakan pengajaran
yang berkesan, justeru ia akan menyebabkan murid-murid sukar untuk menerima ilmu
yang disampaikan malah sukar bagi murid untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan
seharian.

Menurut Nazri Ahmad (2000), Pendidikan Islam dalam konteks pendidikan pada
masa kini perlu diperkenalkan sebagai “ad-deen”. Ianya bukan sahaja sebagai satu
pengenalan ilmu yang diperkenalkan secara terpisah-pisah, namun ianya harus
diperkenalkan sebagai ilmu yang memberi penekanan kepada amalan dan penghayatan
Islam kepada muridnya secara menyeluruh. Pendidikan Islam bukan semata-mata
melibatkan pengajaran yang berkaitan dengan konsep dan teori semata-mata, malah

2
ianya melibatkan amalan yang perlu dipraktikkan oleh setiap murid dalam kehidpan
seharian.

Namun begitu, Nor Hafizah dan Asnuurien (2008) menjelaskan aspirasi dan
harapan pendidikan Islam yang tinggi tidak akan tercapai sekiranya pengajaran
Pendidikan Islam masih lemah dan mata pelajaran ini kurang diberi tumpuan oleh
murid. Murid akan menganggap bahawa mata pelajaran pendidikan Islam sebagai mata
pelajaran biasa dan tidak begitu penting, tidak seperti subjek teras yang lain.

Mata pelajaran Pendidikan Islam seringkali dianggap sebagai satu mata pelajaran
yang sukar dan membosankan. Terdapat sesetengah murid mengambil mudah akan
kepentingan mata pelajaran Pendidikan Islam. Hal ini terjadi disebabkan oleh proses
pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam yang lebih menekankan pengajaran
berpusatkan guru, penghafalan dan kemahiran menjawab soalan peperiksaan. Justeru
itu, adalah amat penting bagi guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab satu strategi
ataupun pendekatan yang dapat menarik minat murid untuk menghayati keindahan mata
pelajaran Pendidikan Islam seterusnya dapat mengaplikasikan pengetahuan yang
mereka perolehi dalam kehidupan seharian.

Justeru itu, sebagai guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, terdapat beberapa
aspek yang perlu di ambil kira sewaktu melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran. Abd Halim (2006) menjelaskan beberapa asas yang perlu diambil kira
untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam berkesan. Antaranya
ialah penguasaan ilmu yang luas dan mendalam, kemahiran komunikasi berkesan dalam
pengajaran yang merangkumi kemahiran komunikasi lisan dan bukan lisan dan
pembelajaran teraputik, kaedah dan teknik pengajaran, kemahiran-kemahiran khusus
bidang Pendidikan Islam dan profesionalisme guru.

Kelemahan pencapaian pengajaran Pendidikan Islam masih lagi diperkatakan oleh


ramai pihak. Penghayatan nilai dan akhlak serta keberkesanan Pendidikan Islam dalam
melahirkan seorang murid Muslim masih lagi dipertikaikan oleh pelbagai pihak (Nor
Hafizah, Asnuurien, 2008). Dalam konteks pengajaran Pendidikan Islam, seringkali
ianya dikaitkan dengan kaedah pengajaran yang digunakan oleh seseorang guru. Ianya
amat berkait rapat dengan konsep fitrah seorang kanak-kanak. Sebagai seorang
pendidik, guru perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak muridnya.

3
Menurut Kamarul Azmi dan Ab. Halim Tamuri (2007), pengajaran Pendidikan
Islam bukan sekadar menyentuh hal berkaitan dengan aspek kognitif semata-mata,
malah ia turut menyentuh aspek yang berkaitan dengan aspek afektif dan juga
psikomotor murid di mana aspek paling penting dalam Pendidikan Islam ialah akhlak.
Dr. Haron Din (1988) menjelaskan, memberi pengetahuan sahaja akan melahirkan
manusia yang hanya mengetahui sesuatu („arif), tetapi tidak dapat melahirkan seorang
manusia yang patuh („abid). Sedangkan menurut beliau, matlamat Pendidikan Islam
adalah jelas untuk menjadikan manusia seorang yang „abid sebagaimana yang telah
diperintahkan oleh Allah S.W.T melalui firmanNya dalam surah al-Zaariyat ayat 56
yang bermaksud :

Maksudnya : “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan


supaya mereka menyembahKu”.

Apa yang boleh kita lihat pada masa sekarang, penghayatan Pendidikan Islam
dalam diri murid semakin berkurangan. Che Noraini Hashim (2005) dalam kajiannya
bertajuk Keruntuhan Akhlak di Kalangan Remaja telah mengulas berkaitan dengan
peningkatan kes-kes gejala keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja walaupun
pelbagai usaha telah digerakkan untuk membendung perkara ini. Penglibatan remaja
dalam gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, jenayah bunuh, rompakan dan rogol
seperti yang dilaporkan oleh pihak media telah menimbulkan persoalan tentang
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam sama ada di sekolah
mahupun di rumah.

Johan Jaaffar (2006) menyatakan melalui laporan-laporan akhbar tempatan


mengenai masalah akhlak dan disiplin murid atau remaja yang melibatkan diri dalam
gejala negatif seperti mengasari guru dan terlibat dalam jenayah seksual merupakan satu
gambaran yang jelas yang menunjukkan bahawa pendekatan penghayatan Islam yang
ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah belum dapat dihayati
sepenuhnya oleh sebahagian murid.

4
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Che Noraini Hashim (2005), ia
menunjukkan punca murid atau remaja terlibat dalam gejala negatif adalah
disebabkan kurangnya penghayatan agama dalam kalangan masyarakat. Menurut
beliau, sekiranya ajaran Islam itu diamalkan dan dihayati sudah tentu gejala negatif
dapat dihindarkan dari mempengaruhi kehidupan murid atau remaja tersebut.

Kajian Fadzliyah Hashim (2004) berkenaan dengan Kesan Pendidikan Islam


Terhadap Cara Hidup Murid menunjukkan bahawa murid memperolehi pencapaian
cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Islam mampu membentuk peribadi
yang baik serta dapat menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain. Pernyataan ini
menunjukkan bahawa betapa pentingnya peranan guru Pendidikan Islam dan
Bahasa Arab dalam menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran mata
pelajaran Pendidikan Islam agar intipati Pendidikan Islam itu sendiri boleh
difahami dan dihayati oleh murid seterusnya membolehkan mereka mengamalkan
apa yang dipelajari di dalam kehidupan seharian.

You might also like