Kanun Keseksaan

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 19

1.

0 PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai sistem kehakiman yang


sistematik dimana terdiri dari mahkamah-mahkamah seperti Mahkamah Majistret,
Mahkamah Kanak-Kanak, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan lain-lain.
Pengendalian mahkamah-mahkamah ini dilakukan hakim yang terlantik. Kesalahan
jenayah adalah semua perbuatan yang disenaraikan dalam Kanun Keseksaan. Sesiapa
yang melakukan perbuatan salah yang disebut di bawah Kanun Keseksaan dianggap
sebagai melakukan jenayah.1

Perbicaraan di Malaysia tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya


ada konsep bagi perjalanan perbicaraan di Malaysia. Mengikut prinsip am,
pembuktian kesalahan sesorang itu hendaklah tanpa keraguan yang munasabah
barulah dikatakan bersalah dengan sesuatu jenayah. Mahkamah menggunakan
prinsip actus non facit reum nisi mens sit rea dimana sesuatu tindakan itu tidak akan
menjadikan seseorang itu bersalah kerana melakukan sesuatu jenayah melainkan
dalam fikirannya itu juga turut bersalah atau berniat salah. Selepas mahkamah
membuat keputusan, mahkamah boleh memanggil tertuduh untuk membuat
pembelaan sekiranya mahkamah mendapati adanya kes prima facie terhadap tertuduh
berkenaan kesalahan yang dipertuduhkan keatasnya. Sehubungan itu, mahkamah
hendaklah meminda kembali pertuduhan sekiranya pihak mahkamah mendapati kes
prima facie terhadap tertuduh berkenaan kesalahan lain daripada kesalahan yang
dipertuduhkan termasuklah sekiranya kesalahan lain itu satu kesalahan yang boleh
dibicarakan.

Persoalannya, bagaimanakah pembelaan boleh dilakukan di mahkamah dalam


kes kesalahan jenayah? Pembelaan boleh dilakukan dengan menggunakan kecualian
sebagai alat pembelaan dan dalihan dimana dengan menggunakannya seseorang itu
dapat mengubah keputusan, sabitan atau hukuman kesalahan jenayah terhadapnya
ataupun sekiranya bernasib baik, seseorang itu dapat bebas terus daripada sebarang
kesalahan. Perkataan “kecuali” bermaksud terkeluar daripada ketetapan umum;
diberikan pelepasan daripada sesuatu peraturan atau tidak diambil kira dengan alasan
tertentu yang dibenarkan oleh undang-undang.2 Beban pembuktian pertahanan
persendirian adalah terletak ke atas tertuduh dan adalah berbentuk imbangan
kebarangkalian untuk dilepaskan (discharged).
Dibawah Kanun Keseksaan, terdapat dua jenis kecualian iaitu kecualian am
dan kecualian khas. Kedua-duannya mempunyai kesan yang berbeza dan
pemakaiannya juga adalah dalam keadaan yang berlainan. Tujuan penggunaan
pengecualian adalah untuk memaklumkan mahkamah bahawa jenayah itu berlaku
kerana hal keadaan yang meletakkan tertuduh dalam kesusahan dan kesukaran yang
terkecuali. Antara kepentingan kecualian am adalah sebagai alasan membela diri,
prinsip Keadilan Asasi dan prinsip Common Law, sifat sistem keadilan jenayah dan
keperluan niat sebagai unsur jenayah.

Peruntukan dalihan ini dalam kanun keseksaan adalah sebagaimana yang


diperuntukkan seksyen 76 hingga seksyen 106 serta dalam seksyen 300 Kanun
Keseksaan. Kanun Keseksaan telah menyenaraikan sembilan (9) perkara yang
boleh dijadikan alasan atau dalihan bagi seseorang tertuduh melepaskan diri
daripada tanggungan jenayahnya di bawah kecualian am yang diperuntukkan. Pilihan
penggunaan mana-mana dalihan yang bersesuaian dengan kesnya yang tersendiri,
terletak pada tertuduh. Namun demikian, hal ini mestilah mengikut syarat-syarat
pemakaian kecualian am.

Dibawah Kanun Keseksaan, terdapat dua jenis kecualian iaitu kecualian am


dan kecualian khas. 3Di dalam kes Chacho Mathai lwn State of Kerala, telah
diterangkan bahawa “hak pertahanan persendirian adalah suatu hadiah yang tertinggi
yang diberi kepada rakyat untuk melindungi mereka dengan berkesan daripada
perbuatan agresif yang bertentangan dengan undang-undang. Setiap orang diandaikan
tidak akan lari jika dia diserang. Dia boleh melawan balik…”
2.0 SEBAB PERTAHANAN PERSENDIRIAN SUATU PEMBELAAN

Hak pertahanan peribadi atau hak membela diri dari ancaman penjenayah
memang wujud di dalam Kanun Keseksaan. Pertahanan persendirian adalah suatu
perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dalam usahanya untuk mempertahankan
atau melindungi atau menyelamatkan atau mengelakkan diri dan hartanya daripada
bencana kerosakan atau bahaya yang cuba dilakukan oleh seseorang lain, iaitu
mangsa kejadian. Tindakannya menjadikan orang itu sebagai tertuduh kerana
menyebabkan seseorang lain menjadi mangsa. Berdasarkan Kanun Keseksaan,
undang-undang membenarkan tertuduh bertindak balas dengan syarat tertentu.
Tindakannya hendaklah untuk mempertahankan diri atau harta daripada sebarang
pencerobohan hak.

Perbuatan mempertahankan diri biasanya dilakukan oleh individu dalam


keadaan sedar berpunca daripada tindak balas semula jadi. Individu tersebut tahu
dan peka terhadap situasi yang sedang berlaku disekelilingnya. Dalam
mempertahankan diri atau harta, individu itu tahu dan dapat menilai apa yang perlu
dilakukan dalam situasi tersebut. Individu tersebut juga tahu dan sedar akan risiko
serta kesan daripada perbuatan atau tindakannya. Walaupun perbuatan tersebut
dikira sebagai jenayah, namun tidak ada unsur niat jahat yang boleh dikaitkan
apabila melihat kes secara keseluruhannya4. Undang-undang mengatakan bahawa
setiap individu mempunyai hak untuk mempertahankan diri apabila mendepani
penjenayah dan walaupun secara tidak sengaja membunuhnya.
Namun begitu, terdapat satu garis halus antara perbuatan mempertahankan
diri dan juga membunuh5. Dalam seksyen 96 Kanun Keseksaan ada menjelaskan
berkaitan apa sahaja perbuatan dalam pertahanan persendirian adalah tidak menjadi
satu kesalahan. Berdasarkan seksyen 96, tidak menjadi kesalahan terhadap apa apa
yang dilakukan pada menjalankan hak pertahanan persendirian. Contohnya A
melakukan suatu perbuatan dengan niat hendak membunuh B, maka B ada hak
pertahanan persendirian. Jika B melakukan suatu perbuatan seperti menikam A
dalam menjalankan hak pertahanan persendirian itu maka B tidaklah melakukan
apa-apa kesalahan.

Cara memahami pertahanan persendirian sebagai dalihan adalah dengan


melihat dari sudut tertuduh atau meletakkan diri di tempat tertuduh ketika
melakukan kesalahan itu.

Sebagai contoh, biasanya seseorang bertindak melakukan sesuatu apabila


dirasakan dirinya dalam bahaya atau hartanya diceroboh. Sesiapa yang
mempertahankan dirinya, mula-mula merasakan dirinya menjadi mangsa kepada
perbuatan jenayah. Kemudian kedudukan itu bertukar dengan dia menjadi orang
kena tuduh apabila dia bertindak mempertahankan diri sehingga mengakibatkan
penceroboh pula menjadi mangsa tindakannya. Akibatnya, tertuduh terpaksa
berhadapan dengan undang-undang kerana melakukan jenayah. Peluang untuk dia
membela diri adalah dengan mengatakan yang tindakannya itu untuk
mempertahankan diri atau hartanya6.
2.1 BILA BERLAKUNYA HAK PERTAHANAN PERSENDIRIAN

Hak pertahanan persendirian berlaku apabila adanya ketakutan yang


munasabah terhadap diri tertuduh. Ketakutan yang munasabah bahawa kematian
akan berlaku merupakan fakta yang mana mahkamah akan putuskan berdasarkan
keadaan sekeliling kes itu seperti keadaan bentuk badan serta kelakuan mangsa serta
senjata yang digunakan7. Dalam seksyen 102, hak pertahanan persendirian mengenai
tubuh bermula sebaik sahaja suatu ketakutan yang munasabah akan bahaya kepada
tubuh terbit daripada suatu percubaan atau ugutan hendak melakukan kesalahan itu,
walaupun kesalahan itu tidak dilakukan dan hak itu masih ada selagi ketakutan akan
bahaya kepada tubuh itu masih berterusan.

Seksyen 102 menyebutkan bahawa tempoh bermulanya suatu pertahanan


persendirian itu ialah apabila suatu ketakutan yang munasabah terhadap suatu
bahaya mula dapat dirasakan oleh tertuduh. Hal ini perlu dilihat dari sudut tertuduh
yang mula bertindak apabila dia mula merasakan dirinya dalam bahaya. Kesalahan
tidak semestinya terjadi dahulu bagi memulakan pertahanan persendirian sebaliknya
cukup syarat jika timbul suatu ketakutan yang disebabkan adanya sesuatu percubaan
atau ugutan. Hak ini akan berterusan selagi perasaan takut akan bahaya itu masih
dapat dirasai.

Misalan 1 dalam seksyen 102 dimana simati yang berbadan tegap dan kuat
telah menagih hutang daripada tertuduh dengan kasar sekali. Apabila tertuduh
berdiam diri, simati tadi terus mengambil sebilah pisau dan mengacu ke arah
tertuduh. Tertuduh kemudian mengambil sebatang kayu dan terus memukul tangan
simati dan pisau tersebut pun tercampak. Semasa pergelutan untuk mengambil pisau
tersebut, simati telah tertusuk pisau itu dan terbunuh. Di putuskan bahawa semasa
simati mengacukan pisau ke arah tertuduh, telah menimbulkan ketakutan yang
munasabah bahawa kematian akan berlaku. Maka tertuduh tidak dikenakan
hukuman atas kesalahan membunuh tadi di atas dalihan pertahanan persendirian.
3.0 HAK PERTAHANAN TERHADAP DIRI DAN HARTA

Article 126 of The Mejelle, defines property as: “a thing which naturally is
desired by man and can be stored for times of necessity. It includes movable and
immovable property”. 8From this definition, it is submitted that property is
something desired by every human being, and every man has a right to possess the
property.9

Apabila seseorang berhadapan dengan bahaya ke atas dirinya sendiri atau


terhadap hartanya dan pada masa yang sama bantuan atau perlindungan dari pihak
berkuasa tidak mungkin diperolehi dengan segera, undang-undang membenarkannya
mempertahankan tubuhnya dan hartanya. Antara jenis hak pertahanan persendirian
iaitu hak pertahanan persendirian terhadap tubuhnya sendiri, terhadap tubuh orang
lain, terhadap hartanya sendiri dan terhadap harta orang lain. Tindakan
mempertahankan diri dan harta adalah hak yang dijamin oleh undang-undang dan
disebut jelas dalam seksyen 97 Kanun Keseksaan. Maksud pertahanan peribadi
dinyatakan lagi dalam bahagian 97 yang menyatakan bahawa setiap orang berhak
kepada dua bentuk pembelaan iaitu hak untuk melindungi diri sendiri dan orang lain
dari bahaya fizikal serta hak untuk melindungi harta benda daripada bahaya10.

Berdasarkan seksyen 97, bukan sahaja perlindungan terhadap diri sendiri


tetapi juga mempertahankan orang lain adalah termasuk di bawah seksyen 97(a).
Perlindungan di bawah seksyen 97(a) diberikan sekiranya ia melibatkan kesalahan
yang dikategorikan sebagai apa-apa kesalahan mengenai tubuh manusia. Dapat
ditafsirkan yang ungkapan “apa- apa kesalahan mengenai tubuh manusia”
termasuklah kesalahan yang diperuntukkan oleh Kanun Keseksaan melalui seksyen
299 hingga seksyen 377E. Seseorang yang menggunakan belaan pertahanan
persendirian berhadapan dengan keadaan yang mana dirinya atau seseorang lain
diancam dengan perbuatan salah yang melibatkan tubuh badannya, khianat atau
pencerobohan jenayah, atau percubaan melakukan kesalahan mencuri, merompak,
khianat atau pencerobohan jenayah.
Hak mempertahankan diri atau harta yang diperuntukkan dalam seksyen 96
Kanun Keseksaan adalah luas dari segi pemakaiannya. Ia boleh digunakan walaupun
perbuatan salah yang dilakukan terhadap tertuduh itu dilakukan oleh orang yang
tidak mungkin dipersalahkan oleh undang-undang. Contohnya, perbuatan yang
dilakukan oleh seorang yang kurang waras atau tidak sempurna akal. Seksyen 98
Kanun Keseksaan telah memperuntukkan mengenai hak pertahanan persendirian
terhadap perbuatan seorang yang tidak sempurna akal. Apabila suatu perbuatan yang
boleh menjadi kesalahan, tidak menjadi kesalahan itu oleh sebab orang yang
melakukan perbuatan itubelum cukup umur, belum cukup akal, tidak sempurna akal,
mabuk atau pun sebab ia salah faham, maka tiap-tiap orang ada hak pertahanan
persendirian terhadap perbuatan itu sama seperti ia ada hak sekiranya perbuatan itu
boleh menjadi kesalahan itu.
3.1 SYARAT MEMPERTAHANKAN DIRI DAN HARTA

Membenarkan tindakan pertahanan persendirian tidak bermaksud individu itu


boleh mengambil tindakan di luar undang-undang atau bertindak sesuka hati. Ruang
yang disediakan untuk mempertahankan diri dan harta tertakluk kepada syarat di
bawah seksyen 99. Pembelaan menggunakan alasan pertahanan persendirian tidak
hanya berdasarkan seksyen 97 sahaja. Sebaliknya perlu membuktikan unsur
pembelaan sesuai dengan seksyen 99.

Syarat pertama dalam seksyen 99 (1), tetuduh bertindak mempertahankan


dirinya daripada tindakan yang dilakukan ke atasnya oleh penjawat awam sehingga
mengakibatkan kesalahan. Tertuduh hilang hak kerana perbuatannya bertindak
sedemikian adalah satu kesalahan.

Syarat kedua pula dalam seksyen 99 (2), tidak memberikan perlindungan


kepada tertuduh jika perbuatan itu dilakukan atau cuba dilakukan, menurut arahan
seorang penjawat awam yang bertindak dengan suci hati atas kuasa jawatannya,
walaupun arahan itu mungkin tidak diluluskan di sisi undang-undang.

Syarat ketiga dalam seksyen 99 (3), tidak membenarkan hak pertahanan


persendirian digunakan oleh tertuduh dalam hal keadaan tertuduh sempat mendapat
perlindungan, pertolongan atau bantuan pihak berkuasa. Syarat terakhir dalam
seksyen 99 (4), hak pertahanan persendirian tidak termasuk mengenakan kerosakan
yang lebih daripada yang perlu dikenakan bagi maksud pertahanan. Tertuduh tidak
boleh bertindak melampaui batas. Tindakan yang dilakukan mesti berpatutan dan
setimpal ketika mengambil langkah-langkah pertahanan persendirian.
4.0 TAHAP PENGGUNAAN PERTAHAN PERSENDIRIAN

Seseorang itu boleh bertindak melakukan apa-apa sahaja yang munasabah


dan sesuai dengan tindak balas terhadap apa-apa yang dilakukan terhadapnya
dengan tujuan mempertahankan diri. Seksyen 100 Kanun Keseksaan menyatakan
bila hak pertahanan persendirian mengenai tubuh, di bawah sekatan-sekatan yang
dinyatakan di dalam seksyen yang terakhir sebelum ini, adalah termasuk
menyebabkan dengan sengaja kematian atau apa-apa kemudaratan yang lain dengan
penyerang itu, jika kesalahan yang menyebabkan hak itu dijalankan adalah daripada
mana-mana jenis yang berikut…11

Secara keseluruhannya, tahap penggunaan pertahanan persendirian ini


terbahagi kepada dua iaitu pertahanan persendirian sehingga menyebabkan kematian
dan pertahanan persendirian sehingga menyebabkan kerosakan selain daripada
kematian.

Pertamanya, hak pertahanan persendirian sehingga menyebabkan kematian


dimana dibawah peruntukan seksyen 100 ini, tindakan tertuduh selain
mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang menyerangnya, boleh sampai pada
peringkat mengakibatkan kematian. Dalam erti kata lain tertuduh tatkala
mempertahankan dirinya telah bertindak sehingga menyebabkan mangsa terbunuh 12.
Hal ini tertakluk kepada beberapa perkara berdasarkan ulasan seksyen kecil 100
iaitu

a) Ketakutan bahawa kematian akan berakibat,

b) Menyebabkan ketakutan bahawa cedera parah akan berakibat,

c) Niat melakukan rogol,

d) Niat memuaskan nafsu luar tabii,

e) Niat menculik atau melarikan orang dan,

f) Mengurung seseorang dengan salah.

Logiknya, seksyen kecil ini menunjukkan gambaran perbuatan yang dimana


mangsanya (penjenayah atau penyerang) telah melakukan serangan terhadap
tertuduh yang jelas dari sudut pandangan tertuduh dan situasi bahaya yang dihadapi
tertuduh telah meletakkan dalam dirinya dengan ketakutan munasabah dengan
tindakan mempertahankan dirinya sehingga mengakibatkan kematian.
Harus diingatkan bahawa, tindakan mempertahankan diri sehingga
menyebabkan kematian kepada mangsa (penjenayah atau penyerang) hanyalah
terpakai kepada kesalahan daripada jenis ini sahaja yang mana disebutkan dalam
seksyen 100. Namun begitu, melihat kepada keperluan, hak pertahanan persendirian
mengenai harta sehingga menyebabkan kematian juga boleh berlaku dalam situasi-
situasi tertentu. Buktinya, didalam seksyen 103 telah disebutkan bahawa: Bila hak
pertahanan persendirian mengenai harta termasuk menyebabkan kematian … 13

Secara ringkasnya, seksyen ini terpakai dalam situasi rompak, pecah rumah pada
waktu malam, khianat dengan api yang dilakukan ke atas mana-mana bangunan,
khemah atau perahuan yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia atau
sebagai tempat simpanan harta dan termasuklah dalam situasi kecurian khianat atau
pencerobohan rumah dalam keadaan yang munasabah menyebabkan ketakutan
bahawa kematian atau cedera parah akan berakibat jika tertuduh tidak menjalankan
hak pertahan persendirian. Adanya unsur ‘munasabah’ di atas tindakan tertuduh
kerana tertuduh berada dalam ketakutan bahawa kematian atau cedera parah akan
menimpanya dalam keadaan tersebut.

Keduanya, hak pertahanan persendirian sehingga menyebabkan kerosakan


selain daripada kematian dimana seksyen 101 telah menggariskan bahawa jika ia
tidak termasuk dalam kategori yang digariskan dalam seksyen 100 sebelum ini,
maka perbuatan mempertahankan diri tidak perlu sampai ke tahap menyebabkan
kematian mangsa. Buktinya, seksyen 101 menyatakan: Jika sekiranya kesalahan itu
bukan dari mana-mana jenis yang disenaraikan dalam seksyen 100, maka hak
pertahanan persendirian mengenai tubuh tidaklah termasuk menyebabkan dengan
sengaja kematian kepada penyerang itu tetapi, dibawah sekatan-sekatan yang
tersebut dalam seksyen 99, adalah termasuk menyebabkan dengan sengaja kepada
penyerang itu apa-apa kemudaratan yang lain daripada kematian.14Sehubunga
dengan perkara ini, seseorang tertuduh itu harus sentiasa beringat dan berhati-hati
bahawa, walaupun ketika mempertahankan diri, apa-apa yang dilakukan tertuduh
janganlah sampai membunuh mangsa sekiranya penyerang tidak bertindak
sepertimana enam perkara yang telah tertulis di dalam seksyen 100.
Kesimpulannya, hak dan had orang awam mempertahankan diri ketika berdepan
dengan kes jenayah bukan sesuatu yang mutlak sehingga ke tahap membunuh
penjenayah sewenang-wenangnya, tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar.15
5.0 PERLINDUNGAN TAMBAHAN BAGI KESALAHAN PIHAK KETIGA

Perlindungan tambahan bagi kesalahan pihak ketiga merujuk kepada seksyen


106 Kanun Keseksaan iaitu hak pertahanan persendirian terhadap serangan yang
boleh menyebabkan kematian bila ada risiko kemudaratan kepada seseorang yang
tidak bersalah.

Jika, pada menjalankan hak pertahan persendirian terhadap sesuatu serangan


yang munasabah menyebabkan ketakutan akan kematian, orang yang
mempertahankan itu adalah sebegitu kedudukannya hingga dia tidak dapat
menjalankan hak itu dengan secukupnya tanpa mendatangkan risiko kemudaratan
kepada seseorang yang tidak bersalah, maka hak pertahanan persendiriannya
termasuklah mendatangkan risiko itu16.

Untuk memudahkan kefahaman, jika perbuatan tertuduh telah mengakibatkan


kerosakan kepada seseorang lain atau dipanggil pihak ketiga yang dikatakan sebagai
seorang yang tidak bersalah, maka tertuduh dilindungi seksyen 106 yang
memberikan perlindungan tambahan terhadap dirinya. Meskipun mangsa (pihak
ketiga) tidak ada kaitan langsung dengan kejadian yang melibatkan tertuduh dengan
mangsa sebenar, akan tetapi keterlibatan tertuduh dengan mangsa yang tidak
bersalah itu tidak dapat dielakkan atas beberapa faktor munasabah. Misalan seksyen
106 boleh dirujuk melalui Buku Kanun Keseksaan (Akta 574).

A diserang oleh sekumpulan perusuh yang cuba membunuhnya. Dia tidak dapat
menjalankan hak pertahanan persendiriannya dengan secukupnya tanpa melepaskan
tembakan ke atas sekumpulan perusuh itu, dan dia tidak dapat melepaskan tembakan
itu tanpa mendatangkan risiko kemudaratan kepada kanak-kanak yang ada bergaulan
dalam kumpulan perusuh itu. A tidaklah melakukan apa-apa kesalahan jika dengan
melepaskan tembakan itu dia memudaratkan mana-mana kanak- kanak itu.17
6.0 KES-KES BERKAITAN PERTAHANAN PERSENDIRIAN SEBAGAI
PEMBELAAN

1) KES PENDAKWA RAYA LAWAN ABDUL MANAP [1956] 22 MLJ 214.

Abdul Manap telah dituduh mencederakan ‘A’. Pergaduhan antara kedua


mereka tercetus kerana tunggakan bayaran sewa sawah padi. Perasaan marah mereka
tidak dapat dikawal dan ‘A’ telah mencabar Manap supaya menumbuknya. ‘A’
adalah seorang yang besar, tinggi dan kuat. Abdul Manap menumbuk ‘A’ tetapi
diserang balik oleh ‘A’. ‘A’ mencekik Abdul Manap. Dalam keadaan yang amat
terdesak, Abdul Manap mengambil besi tajam dan menikam ‘A’ di dadanya. ‘A’
cedera parah. Abdul Manap dibebaskan kerana ia mempunyai hak mempertahankan
dirinya.18

2) KES PENDAKWA RAYA LAWAN DATO’ BALWANT SINGH [2003] 3


MLJ395.
Si mati adalah pembuli jalan raya yang mengikuti kereta tertuduh setelah dia
marah kerana tertuduh membunyikan honnya. Semasa tertuduh ditarik ke dalam
masjid, si mati kemudian mengambil sebatang kayu besar dan berat dan mengancam
tertuduh dengan tongkat itu. Walaupun setelah tertuduh menunjukkan senjata api
kepada si mati dan melepaskan tembakan amaran, si mati bagaimanapun tidak
berhenti dan terus bertindak dengan lebih agresif. Kerana takut akan keselamatan
dan nyawanya, tertuduh melepaskan senjata apinya dan menyebabkan kematian si
mati.

Mahkamah mendapati bahawa hak mempertahankan diri di bawah Seksyen 97


& Seksyen 100 Kanun Keseksaan digunakan kerana si mati mempunyai tongkat
besar yang cukup untuk menyebabkan kemudaratan yang teruk, enggan mundur
walaupun setelah tertuduh melepaskan amaran dan terdapat kebimbangan yang
sewajarnya terhadap kecederaan tertuduh.19
3) KES PENDAKWA RAYA LAWAN MORZUKI SALLEH [2004] 5 MLJ 52.

Tertuduh (‘OKT’) menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun


Keseksaan kerana kesalahan bunuh. Pada 24 Mac 2001, OKT telah terlibat
dalam satu pergaduhan dengan si mati. Pergaduhan tersebut tidak berpanjangan.
Namun, lebih kurang satu setengah jam kemudian, si mati dan adiknya telah mencari
semula OKT, dan setelah menjumpainya di sebuah warung, mereka menyerang
OKT dengan menggunakan senjata parang dan kerusi. Malang bagi si mati, ketika
dia menetak OKT yang rebah di tanah, dia telah ditikam sekali dengan pisau oleh
OKT sekaligus menyebabkan kematiannya.

Adalah tidak perlu untuk OKT mendapati dia mengalami kecederaan


dahulu sebelum dia menggunakan hak itu OKT telah berjaya membuktikan
pembelaannya atas imbangan kebarangkalian bahawa dia dalam menikam si mati
telah menggunakan hak pertahanan persendiriannya dengan sewajarnya, dan menurut
Seksyen 96 Kanun Keseksaan, OKT tidak melakukan apa-apa kesalahan atas kematian
si mati.20

4) KES PENDAKWA RAYA LAWAN YEO KIM BOK [1970] MLJ 204.

Si mati telah meminta hutangnya dari tertuduh dalam keadaan sangat agresif.
Ia kemudiannya mengambil sebilah pisau dan terus meluru ke arah tertuduh yang
masih lagi berdiamkan dirinya. Apabila melihat keadaan tersebut yang sungguh
merbahaya, tertuduh yang mengambil sebatang kayu dan memukul tangan si mati
yang menggenggam pisau menyebabkan pisau itu jatuh lalu mereka terus bergelut.
Dalam keadaan tersebut, tertuduh telah memperolehi pisau berkenaan dan menikam
si mati.

Mahkamah menyatakan bahawa tertuduh adalah berhak mempertahankan


nyawanya dan hak tersebut bermula dari masa simati menerkam yang boleh
mendatangkan bahaya kepada keselamatan nyawa tertuduh. Sekiranya pisau itu
diperolehi oleh simati, maka besar kemungkinan simati akan menikam pihak
tertuduh. Demi mengelakkan nyawa terancam dan dibunuh maka, ia sempat
mempertahankan dirinya dengan menikam si mati.21
5) KES YA BIN DAUD LAWAN PUBLIC PROSECUTOR [1997] 4 MLJ 322.

Pada 18 Disember 1993, tertuduh telah berlawan dan mencederakan seorang


bernama Yaacob bin Deris ('SP5'). Ketika pulang ke rumahnya, tertuduh telah
dihadapi oleh si mati (adik SP5) dan seorang bernama Mat Akib ('SP10' iaitu anak
saudara SP5). Kedua- dua mereka mempunyai senjata. Tertuduh telah bergegas ke
rumahnya dan telah melengkapkan diri dengan sebilah golok untuk mempertahankan
diri dari penyerangnya. Mereka kemudiannya berlawan dan si mati telah mengalami
kecederaan pada kepalanya yang membawa kematiannya di tempat kejadian itu.
Tertuduh telah menyerah diri kepada polis apabila mereka tiba di tempat kejadian.
Tertuduh telah disabit kesalahan dan dihukum penjara oleh mahkamah sesyen. Dia
telah merayu terhadap kedua-dua sabitan dan hukuman dan telah mengemukakan
pembelaan persendirian.

Diputuskan mahkamah untuk membenarkan rayuan: hak pembelaan


persendirian bermula sebaik sahaja terdapatnya perasaan bahaya yang munasabah
oleh tertuduh dan hak tersebut berterusan selama perasaan bahaya tersebut
berterusan. Di mana perasaan munasabah akan bahaya itu wujud, tertuduh tidak
mempunyai kewajipan untuk berundur diri tetapi dia boleh mencabar musuhnya
sehingga dia tidak lagi berada dalam bahaya, dan jika di dalam satu perkelahian di
antara mereka, beliau melakukan pembunuhan, pembunuhan sebegitu adalah
beralasan. Adalah tidak perlu untuk tertuduh medapati beliau mengalami kecedaraan
sebelum penggunaan hak pembelaan persendiriannya dijustifikasikan. Tertuduh
mempunyai perasaan bahaya yang lebih daripada munasabah bahawa beliau akan
didatangi kematian atau kecederaan teruk ketika dia seorang dihalang oleh
penyerangnya. Penyerang-penyerangnya telah mengakibatkan suatu keadaan
merbahaya terhadap nyawanya di mana tertuduh telah tidak mempunyai masa untuk
berfikir tetapi hanya untuk menyerangbalas untuk menyelamatkan dirinya. Tertuduh
telah bertindak dalam lingkungan haknya supaya mempertahankan dirinya dan tidak
melebihi hak itu. Ianya tidak penting bahawa tertuduh sendiri adalah punca serangan
tersebut disebabkan kecederaan yang dilakukannya ke atas abang si mati. Juga
adalah tidak penting bahawa tertuduh merupakan guru silat dan adalah lebih muda
daripada penyerang-penyerangnya.
Mengikut Seksyen 96, mahkamah mendapati perayu, Ya bin Daud, tidak
bersalah dan hakim membenarkan rayuan. Sabitan dan hukuman harus diketepikan.
Dengan ini hakim memerintahkan agar perayu dibebaskan.
KESIMPULAN

Undang-undang telah memperuntukkan peruntukan di bawah Kanun


Keseksaan mengenai hak untuk mempertahankan diri sama ada terhadap diri sendiri
atau tubuh orang lain dan hak mempertahankan harta sama ada harta sendiri atau
harta orang lain demi menjaga nama baik, maruah dan keselamatan. Tindakan segera
perlu diambil apabila berlakunya pencerobohan terhadap diri dan harta bukannya
dibiarkan begitu sahaja. Mangsa harus bertindak sesuai dengan hal keadaan sesuatu
kes itu dalam keadaan di mana pertolongan atau bantuan oleh pihak berkuasa agak
lambat dan memakan masa. Tertuduh akan dilepaskan dan dibebaskan dengan syarat
tindak balas yang dikatakan pertahanan persendirian itu berada dalam ruang lingkup
yang diperuntukkan oleh seksyen-seksyen yang berkenaan.23
Masyarakat harus faham dan mengambil perhatian terhadap perkara
berhubung dengan dalihan pertahanan persendirian. Pertamanya, sifat bahaya atau
keadaan bahaya yang sedang dihadapi tertuduh samaada berkaitan tubuh atau harta.
Selain itu, ketakutan terhadap bahaya merujuk hal keadaan bagaimana tertuduh
berhadapan dengan bahaya berkenaan samaada bahaya tersebut menjerumus kearah
kecederaan kematian. Akhirnya, tindak balas iaitu niat mempertahankan diri yang
ditunjukkan tertuduh adalah setimpal. Sebagaimana yang kita sedia maklum, beban
pembuktian pertahanan persendirian adalah terletak ke atas tertuduh dan berbentuk
imbangan kebarangkalian yang bermaksud tertuduh tidak bersalah dan hendaklah
dibebaskan sekiranya tertuduh dapat membuktikan dalihan itu.
Secara amnya, hak mempertahankan diri masih samar dalam kalangan
masyarakat Malaysia. Banyak perdebatan berlaku kerana pemahaman dari aspek
undang-undang yang kurang jelas malah penerangan akta yang tidak terperinci.
Sehubungan itu, pengetahuan masyarakat tentang hak mempertahankan diri haruslah
diperluaskan. Hal ini kerana, kekurangan pemahaman mengenai hak
mempertahankan diri akan memudaratkan diri sendiri. Sebagai saranan, kerajaan
perlu memperjelaskan kes-kes yang berlaku secara terperinci supaya rakyat tidak
terjejas dengan maklumat yang tidak benar. Undang-undang mengenai hak
mempertahankan diri haruslah selari dengan peredaran masa. Kerajaan perlu
menggunakan platform-platform media massa yang sedia ada dalam
menyampaikan informasi bermutu kepada masyarakat. Setiap individu juga perlu
mengambil inisiatif serta lebih prihatin akan hal ehwal berkaitan dengan hak
mempertahankan diri serta batasannya demi kesejahteraan diri.
RUJUKAN

1
Shamsuddin Suhor, Jenayah dan Kanun Keseksaan (Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2016) hlm. 80.
2
Kamus Dewan, 1966. Edisi ke-3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.
597, “kecuali”-ertinya melainkan, selain daripada.
3
Kanun Keseksaan, seksyen 96 memperuntukkan bahawa;“Apa-apa jua yang
dilakukan dalam pertahanan persendirian tidak menjadi suatu kesalahan.”
4
Shamsuddin Suhor, Jenayah dan Kanun Keseksaan (Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2016) hlm. 191.
5
The Star. (2 Januari 2016). Hak Pertahan Diri Ada Batas: Pakar Undang-
Undang. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/01/02/hak-pertahan-diri
6
Shamsuddin Suhor, Jenayah dan Kanun Keseksaan (Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2016) hlm. 193

7
M Cheng. Private Defence in Singapore and Malaysia. Journal of Malaysian and
Comparative Law. 2019
8
Michael J.Allen, Textbook on Criminal Law, 156, (1991).
9
Akmal Binti Mohamad. The Right of Private Defence Of property: A
Comparative Study of Malaysia, English and Islamic Criminal Laws. International
Islamic University. 1994. Halaman 3.
10
Akmal Binti Mohamad. The Right of Private Defence Of property: A
Comparative Study of Malaysia, English and Islamic Criminal Laws. International
Islamic University. 1994. Halaman 3.
11
Sila lihat seksyen 100 Kanun Keseksaan.
12
Shamsuddin Suhor, Jenayah dan Kanun Keseksaan (Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2016) hlm. 204. 13 Sila lihat seksyen 103 Kanun Keseksaan.
14
Seksyen 101 Kanun Keseksaan.
15
(31 Disember 2015) IGP: Hak pertahan diri bukan maksud boleh bunuh orang.
BERNAMA online.
16
Seksyen 106 Kanun Keseksaan.
17
Seksyen 106 Kanun Keseksaan.
18
Naim Almashoori, 2016, Kanun Keseksaan (Akta 574), 41.
19
Arraf Attaf, 2018, Criminal Law (UTM) halaman 1-3.
20
Aimi Azemi, 2019, Defences (IIUM) halaman 15.
21
Mei Hui Low, 2008, Defences in Criminal Law Malaysia, 27.
Akmal Binti Mohamad, 1994. The Right of Private Defence Of property: A
Comparative Study of Malaysia, English and Islamic Criminal Laws. International
Islamic University.

Arraf Attaf, 2018, Criminal Law, Universiti Teknologi MARA.


Aimi Azemi, 2019, Defences, International Islamic University Malaysia.
Faculty of Law of the University of Malaya, 1988. “Private Defence in Singapore
and Malaysia” Journal of Malaysian and Comparative Law. Vol. 15.

Kamus Dewan, 1996. Edisi ke-3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka. Kanun Keseksaan Akta 574.
M Cheng, 2019. Private Defence in Singapore and Malaysia. Journal of Malaysian
and Comparative Law.

Michael J.Allen, 1991. Textbook on Criminal Law.


Mei Hui Low, 2008. Defences in Criminal Law Malaysia.
Naim Almashoori, 2016. Kanun Keseksaan (Akta 574).
Shamsuddin Suhor, 2016. Jenayah dan Kanun Keseksaan (Kuala Lumpur, Dewan
Bahasa dan Pustaka).
The Star. (2 Januari 2016). Hak Pertahan Diri Ada Batas: Pakar Undang-Undang.
https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/01/02/hak-pertahan-diri dicapai 20
Julai 2021

BERNAMA (31 Disember 2015) IGP: Hak pertahan diri bukan maksud boleh bunuh
orang. https://www.malaysiakini.com/news/325117 dicapai 22 August 2021

https://ejournal.um.edu.my/index.php/JMCL/article/view/15992

You might also like