Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 5

LAPORAN KAJIAN KES

ISU YANG DIFOKUSKAN


Permasalahan isu ponteng sekolah di kalangan murid-murid sekolah KAFAI Klang Gate

PERMASALAHAN KAJIAN
Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang
pelajar dianggap ponteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang munasabah dan
dibenarkan pada hari persekolahan. Maka, istilah ponteng digunakan bagi merujuk kepada apa jua
kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah. Laporan KPM
(2004) menyatakan bahawa masalah ponteng sekolah merupakan isu utama dalam rekod salah laku
pelajar. Sesuatu kesalahan yang mungkin dilakukan oleh pelajar yang sama secara berulang kali
menyebabkan jumlah kes meningkat.

Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas
tanpa kebenaran. Selain itu, ponteng juga merujuk kepada pelajar yang hadir ke sekolah akan tetapi
tidak masuk ke dalam kelas masing-masing, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas atau kesemua
kelas dalam satu hari. Pelajar yang tidak berminat untuk belajar sesuatu mata pelajaran sering kali
hilang semangat untuk belajar dan seterusnya mengambil langkah untuk ponteng sekolah. Keadaan ini
akan menjadi bertambah serius sekiranya guru tidak berusaha dan mengambil tindakan untuk menarik
minat pelajar terhadap pembelajarannya.

OBJEKTIF KAJIAN
1. Mengenal pasti faktor berlakunya isu ponteng sekolah di kalangan murid-murid sekolah
KAFAI Klang Gate
2. Mengetahui tindakan yang diambil terhadap murid-murid yang didapati melakukan
kesalahan ponteng sekolah
3. Mencadangkan langkah-langkah penyelesaian masalah isu ponteng sekolah di kalangan
murid-murid sekolah

KUMPULAN SASARAN
Murid-murid yang terlibat adalah seramai ____ orang dari kelas __________ yang terdiri daripada
_____ orang murid lelaki dan _____ orang murid perempuan. Permasalahan ini tertumpu kepada
murid-murid yang dikenalpasti berpotensi untuk melakukan kesalahan disiplin ini berdasarkan
pemerhatian yang dijalankan.
METODOLOGI KAJIAN
TINJAUAN MASALAH

Dalam kajian ini, saya telah menggunakan dua kaedah untuk mengumpul data dan memperoleh hasil
kajian, iaitu secara pemerhatian dan temu bual.

Pemerhatian

Sepanjang pemerhatian yang telah saya lakukan terhadap kelas ________ tersebut, saya mendapati
terdapat beberapa murid yang kerap kali tidak menghadirkan diri ke sekolah atas alasan-alasan yang
tidak munasabah seperti tiada kenderaan untuk ke sekolah, tidak mendapat duit belanja daripada
ibubapa mereka, dan lain-lain lagi. Isu ini bermula dengan seorang murid dan seterusnya diikuti
dengan rakan-rakan rapatnya yang lain yang turut melakukan kesalahan yang sama.

Temu Bual

Temu bual dilaksanakan bagi mengenal pasti punca masalah murid-murid yang terlibat. Saya telah
melakukan sesi temu bual bersama beberapa orang guru dan rakan-rakan sekelas, antaranya Guru
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (GPK HEM) KAFAI Klang Gate. Berdasarkan sesi temu bual yang
dijalankan, mereka memaklumkan murid-murid tersebut sering datang lewat ke sekolah. Mereka
kurang menunjukkan minat dan tidak fokus ketika aktiviti pembelajaran dijalankan di dalam kelas.
Rakan-rakan sekelas mereka juga memaklumkan mereka sering melihat murid-murid tersebut berada
di luar kawasan sekolah ketika sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

ANALISIS TINJAUAN MASALAH

Pemerhatian

Melalui analisis pemerhatian ini, saya mendapati bahawa pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan
tersebut suka dan mempunyai rakan-rakan dari kalangan yang ponteng sekolah juga, sama ada rakan
di sekolah kebangsaan mahupun sekolah agama. Mereka membentuk satu kumpulan atau ”geng” yang
mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu suka ponteng. Saya juga mendapati pelajar yang terlibat dengan
kesalahan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang sosio-ekonomi keluarga yang
rendah. Pelajar-pelajar tersebut telah melakukan kesalahan ponteng sekolah tanpa alasan yang
munasabah berulang kali tanpa merasa bersalah. Mereka juga telah diambil tindakan tegas oleh unit
disiplin sekolah dan bimbingan kaunseling ke atas kesalahan yang dilakukan.

Temu Bual

Melalui perbincangan yang saya telah jalankan bersama GPK HEM KAFAI Klang Gate berserta guru-
guru yang terlibat, hasil kajian mendapati purata pelajar-pelajar yang sering gagal dalam peperiksaan
adalah tinggi di kalangan pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ponteng sekolah. Mereka juga
tidak menunjukkan sebarang respons dan minat ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Mereka
akan mula bersemangat semula apabila tiba waktu rehat, di mana mereka boleh berseronok bersama
rakan-rakan mereka. Guru-guru subjek lain juga memaklumkan mereka telah memerhatikan pelajar-
pelajar yang terlibat untuk mengenal pasti punca mereka sering tidak hadir ke sekolah dan mereka
mendapati pelajar-pelajar tersebut tidak akan hadir ke sekolah sekiranya terdapat subjek-subjek yang
bagi mereka tidak menarik untuk dipelajari dan memilih untuk ponteng sekolah pada hari tersebut.
TINDAKAN YANG DIJALANKAN

Berdasarkan kajian yang dijalankan, khususnya setelah pemerhatian terhadap pelajar-pelajar yang
terlibat berserta temu bual dan perbincangan yang dilaksanakan bersama guru-guru, GPK HEM KAFAI
Klang Gate telah bertemu dengan pihak ibubapa pelajar yang terlibat untuk memaklumkan mengenai
kesalahan anak mereka dan GPK HEM memaklumkan juga tindakan disiplin dan amaran akan diambil
ke atas pelajar-pelajar tersebut sekiranya mereka tidak menyesali kesalahan yang telah mereka
lakukan. Pihak pentadbiran sekolah juga telah bekerjasama dengan guru kaunseling untuk
membimbing dan memberikan motivasi kepada mereka supaya mereka dapat menyedari kesalahan
disiplin yang mereka lakukan.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN YANG AKAN DILAKSANAKAN UNTUK MENANGANI ISU

Aktiviti 1 – Sesi Kaunseling Bersama Pelajar

Guru kelas bersama GPK HEM akan memanggil pelajar-pelajar yang terlibat bagi membimbing pelajar
secara dekat dan memberi nasihat serta teguran supaya mereka dapat membantu diri mereka demi
masa hadapan mereka. Sesi kaunseling dilakukan secara individu iaitu pertemuan dengan pelajar yang
terlibat dan secara berkumpulan iaitu pertemuan dengan kumpulan pelajar yang melakukan kesalahan
disiplin tersebut. Dalam sesi kaunseling tersebut, guru akan bertanya kepada murid untuk mengenal
pasti punca masalah ini berlaku sehingga ia memberikan kesan terhadap prestasi pembelajaran
mereka. Seterusnya, guru akan cuba untuk menasihati secara baik dan mencadangkan beberapa
langkah atau aktiviti yang ingin pelajar lakukan bagi mengelakkan mereka terus melakukan kesalahan
tersebut.

Refleksi Aktiviti 1

Saya mendapati bahawa sesi kaunseling dijalankan ke atas pelajar-pelajar yang terlibat mendapat
sambutan yang baik di kalangan guru dan pelajar-pelajar. Ia juga dilihat dapat membawa perubahan
yang baik ke atas tingkah laku pelajar-pelajar tersebut. Keberkesanan aktiviti yang dijalankan dapat
dilihat kepada perubahan murid yang mula hadir awal ke sekolah dan berada dalam kawasan sekolah
sehingga sesi persekolahan berakhir.

Aktiviti 2 – Program Solat Zuhur dan Asar Berjemaah

Guru kelas dengan kerjasama pihak sekolah menganjurkan program menunaikan solat Zuhur dan Asar
secara berjemaah bersama para pelajar. Pihak sekolah akan mewajibkan aktiviti ini kepada pelajar-
pelajar yang terlibat dalam kajian ini bagi menggalakkan mereka datang awal ke sekolah bagi
menunaikan solat secara berjemaah dan ianya digalakkan bagi pelajar lain yang ingin menyertai
program ini. Guru yang ditugaskan untuk program ini akan mengambil kehadiran pelajar yang
diwajibkan hadir. Program ini bertujuan untuk memupuk budaya solat berjemaah dan solat di awal
waktu di kalangan pelajar sekaligus membantu pelajar yang terlibat dalam menguruskan diri dan masa
mereka serta membantu mereka mengawal sikap dan tingkah laku yang tidak baik. Ia juga dapat
membantu guru untuk memantau kehadiran mereka di sekolah.

Refleksi Aktiviti 2

Saya mendapati bahawa program yang dijalankan ini mendapat sambutan yang baik di kalangan guru
dan pelajar. Para pelajar yang lain juga dilihat memberikan sokongan terhadap program ini. Mereka
bersama-sama pelajar yang terlibat menunaikan solat berjemaah bersama. Program ini juga mendapat
sokongan penuh daripada pihak ibu bapa pelajar yang terlibat dan turut membantu dalam memastikan
anak-anak mereka menyertai program ini.
REFLEKSI KESELURUHAN KAJIAN
Setelah menjalankan kajian kes semasa PBS di sekolah, secara keseluruhannya, saya dapat
menyimpulkan beberapa kekuatan dan kelemahan terhadap kes yang dijalankan dalam refleksi
keseluruhan ini.

Hasil daripada kajian tindakan, terdapat beberapa kekuatan yang dijalankan, iaitu
memudahkan pihak sekolah untuk mengetahui dan mengenal pasti punca masalah kesalahan ponteng
sekolah yang berlaku di kalangan pelajar-pelajar sekolah KAFAI Klang Gate berdasarkan kajian yang
dijalankan. Selain itu, program yang dijalankan oleh pihak sekolah dapat membantu dan mengetahui
langkah-langkah untuk membendung masalah ini daripada menjadi lebih kritikal di masa hadapan.
Usaha yang dijalankan pada peringkat awal membawa perubahan dan memberikan pendekatan yang
positif dalam membentuk semula tingkah laku dan sikap pelajar-pelajar yang terlibat.

Setiap usaha yang dijalankan dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku pasti akan
berhadapan dengan kelemahan dalam tindakan, antaranya guru terpaksa berkorban mengagihkan
waktu dan tenaga dalam memastikan pelajar-pelajar yang diwajibkan terlibat dalam program yang
dianjurkan oleh pihak sekolah bagi memastikan mereka menyertai program tersebut dan memantau
pelajar-pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin ini. Seterusnya, terdapat sedikit masalah dalam
menyampaikan dan menyalurkan maklumat antara guru dan pelajar-pelajar berserta pihak ibubapa
yang terlibat. Keterbatasan ini memerlukan guru untuk mencari inisiatif yang lain untuk maklumat
sampai kepada pihak-pihak yang terlibat. Akhir sekali, komunikasi yang baik dan jelas sukar dicapai
sekiranya pelajar-pelajar dan ibu bapa mereka tidak memberikan kerjasama yang baik terhadap usaha
yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk membendung kesalahan ini daripada terus berlaku dan
mengubah sahsiah anak-anak mereka menjadi lebih untuk kepentingan masa hadapan mereka.

CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA


Setelah saya menjalankan kajian akan permasalahan ponteng sekolah di kalangan pelajar
sekolah dengan mencadangkan beberapa aktiviti dan program dalam menangani isu ini, antara
cadangan kajian lain yang boleh dilakukan selepas ini seperti menjalankan kajian mengenai prestasi
pembelajaran murid sepanjang sesi pembelajaran di atas talian dijalankan. Ini kerana peratusan murid
yang mengikuti sesi pembelajaran di atas talian mendatangkan sedikit kegusaran dan kebimbangan di
kalangan pihak guru dan sekolah kerana ia dijalankan di rumah.

Seterusnya, cadangan kajian kedua yang boleh dijalankan untuk masa akan datang iaitu
kajian dalam menggunakan pendekatan sesi kaunseling dalam menyelesaikan masalah disiplin yang
berlaku di sekolah. Kebanyakan sekolah di Malaysia menggunakan pendekatan sesi kaunseling antara
guru kaunseling dan pelajar yang bermasalah untuk mengelakkan dan membendung permasalahan
ini daripada berterusan berlaku. Oleh itu, kajian ini dapat melihat sejauh mana kaedah pendekatan
ini dapat mengurangkan peratusan masalah disiplin yang berlaku di sekolah.
RUJUKAN
TINGKAH LAKU REMAJA PONTENG SEKOLAH, Noremy Md Akhir, Nur Syafawani Matderis &
Mohammad Rahim Kamaluddin, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

PERSEPSI PELAJAR MENGENAI PUNCA-PUNCA MASALAH PONTENG. SATU KAJIAN KES DI


SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN UNIVERSITI 2, JOHOR BAHRU, Mohamed Sharif Bin
Mustaffa & Hazni Binti Abdul Ghani, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

PERANAN KAUNSELOR DALAM MENANGANI MASALAH PONTENG SEKOLAH, Siti Hajar Johari,
Dharatun Nissa, Siti Nor Aisyah, Restu Nabila, Jeffery, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia.

LAPORAN PBS (KHAIRUNNISA BINTI KASA), https://anyflip.com/yvsyi/leaf/basic/51-69

PRKA2031 PENGALAMAN BERASASKAN SEKOLAH, https://anyflip.com/tdsdk/udqk/basic

You might also like