Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

TEMA : SAYANGI MALAYSIAKU

TAJUK : FAEDAH KOKURIKULUM

Dewasa ini, isu berkaitan aktiviti kokurikulum sering dipaparkan


di media massa dan media sosial. Isu ini semakin hangat
diperkatakan oleh pelbagai pihak di seluruh pelosok negara bagai
cendawan tumbuh selepas hujan. Aktiviti kokurikulum adalah
kegiatan yang dirancang selain daripada proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah. Di Malaysia, aktiviti kokurikulum
merangkumi sukan dan permainan, persatuan dan kelab serta unit
beruniform. Persoalannya, apakah faedah-faedah aktiviti kokurikulum
kepada pelajar sekolah?
Salah satu faedah yang diperoleh para pelajar sekiranya
menyertai aktiviti kokurikulum adalah mereka dapat mengisi masa
lapang dengan aktiviti berfaedah. Dalam perkara ini, aktiviti
kokurikulum dapat membendung pelajar daripada melakukan
perkara tidak berfaedah seperti melepak dan lumba haram. Sebagai
contoh, penyertaan pelajar dalam kelab sukan memerlukan mereka
menyertai latihan yang diadakan selepas waktu persekolahan.
Tambahan pula, ibu dan bapa hari ini yang sibuk dengan kerjaya
masing-masing tidak perlu risau akan keberadaan anak-anak mereka
sekiranya mereka terlibat dengan aktiviti kokurikulum di sekolah.
Jelaslah bahawa aktiviti kokurikulum memberikan pengisian masa
lapang yang sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar.
Selain itu, penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat
menambah ilmu pengetahuan mereka. Hal ini dikatakan demikian
kerana jika mereka memberi perhatian dan tidak menyertai aktiviti
kokurikulum secara sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga,
pasti mereka sedar bahawa banyak perkara yang boleh dipelajari.
Tamsilnya, aktiviti pasukan pakaian seragam seperti persatuan
pengakap memberikan tunjuk ajar kepada pelajar tentang cara-cara
untuk hidup di dalam hutan dan sebagainya. Pembelajaran seperti
memasang khemah, menghidupkan api menggunakan kayu hutan
dan ikatan-ikatan menggunakan tali tidak dipelajari dalam bilik darjah
sebaliknya kemahiran ini khusus kepada pelajar yang menyertai
aktiviti-aktiviti pasukan seragam yang diminati oleh pelajar.
Di samping itu, pelajar juga dapat membina jati diri apabila
menyertai aktiviti kokurikulum. Dalam hal ini, pelajar yang menyertai
aktiviti seperti kawad kaki memerlukan disiplin diri serta kekuatan
mental dan fizikal bagi mengikuti arahan yang diberikan. Pada waktu
yang sama, pelajar perlu bekerjasama dengan rakan-rakan lain bagi
mendapatkan pergerakan yang seragam dan teratur. Tambahan pula,
aktiviti kokurikulum memerlukan pelajar menjawat jawatan seperti
pengerusi, setiausaha dan ahli jawatankuasa dalam persatuan dan
kelab masing-masing. Secara tidak langsung, pelajar dapat menyemai
nilai yang diperlukan bagi menjawat jawatan yang penting dalam
sesebuah organisasi dalam diri mereka. Tuntasnya, jati diri pelajar
akan menjadi semakin kukuh setelah menyertai aktiviti kokurikulum.
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat
pelbagai faedah yang akan diperoleh oleh pelajar sekiranya mereka
menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum di sekolah. Oleh itu, guru-guru
dan ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dalam
memastikan anak-anak di sekolah menyertai aktiviti kokurikulum
secara sepenuh hati agar mereka berjaya mendapat nilai yang ingin
diterapkan dalam inisiatif ini. Penerapan nilai-nilai murni dalam jiwa
generasi muda hari ini amat perlu dalam membantu melahirkan anak
bangsa yang mampu berjasa kepada masyarakat dan negara. Hal ini
dikatakan demikian kerana mereka merupakan jentera penggerak
kemajuan negara pada masa hadapan bak kata cogan kata, pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara.

You might also like