Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

1.

Datuk Lee Chong Wei

Atlet badminton no. 1 negara ini merupakan idola bagi setiap peminat sukan tanah
air. Selain memenangi beberapa kejohanan dunia seperti Kejohanan Badminton
Terbuka Malaysia, beliau juga pernah berjaya menduduki tempat pertama di tahap
antarabangsa selama 349 minggu. Antara pencapaian beliau yang paling
membanggakan di persada dunia termasuk memenangi pingat emas dalam acara
Perseorangan Lelaki di Sukan Komanwel pada tahun 2006, 2010 dan 2018 serta
memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio de
Janeiro 2016. Beliau telah mengumumkan persaraan dari sukan itu
badminton/tersebut pada 13 Jun 2019 atas faktor kesihatan dan kini dilantik sebagai
Ketua Kontinjen Malaysia (Chef de Mission) oleh Majlis Olimpik Malaysia untuk
Sukan Olimpik Tokyo 2020. Kejayaan Datuk Lee Chong Wei serta tahap komitmen
yang luar biasa beliau perlu dijadikan iktibar buat generasi muda yang ingin
mengikut jejak langkah beliau dalam mencapai kejayaan dalam bidang yang ingin
diceburi.

 
2. Datuk Nicol Ann David

Datuk Nicol Ann David merupakan pemain skuasy profesional kebanggaan setiap
lapisan masyarakat di Malaysia. Beliau adalah antara ikon sukan negara yang paling
dikasihi dengan pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa selama lebih
daripada 20 tahun. Beliau merupakan pemain pertama yang berjaya memegang
gelaran pemain skuasy no. 1 dunia selama 9 tahun berturut-turut. Beliau telah
mengecapi kesemua kejayaan dalam karier beliau, termasuk bergelar juara dunia
sebanyak lapan kali, selain memenangi lima pingat emas di Sukan Asia,
dua pingat emas di Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah Persatuan
Skuasy Profesional (PSA). Setelah membuat penampilan terakhir sebagai atlet
skuasy negara dalam Kejohanan Skuasy Terbuka British pada bulan Mei lepas,
Datuk Nicol akan terus aktif dalam membantu membangunkan pelapis-pelapis muda
sebagai jurulatih dengan berkongsi ilmu dan kemahiran bersama jurulatih yang sedia
ada.

 
3. Pandelela Rinong
 
Penerjun kelahiran Kampung Jugan, Sarawak ini merupakan atlet terjun Malaysia
pertama yang berjaya memenangi pingat dalam Sukan Olimpik 2012 di London
menerusi acara 10 meter platform individu wanita, selain menjadi pembawa bendera
wanita pertama Malaysia dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik
tersebut. Pandelela juga berjaya meraih pingat perak dalam platform seirama 10
meter bersama Cheong Jun Hoong di SSukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 di Rio de
Janeiro, sekaligus menjadi pasukan wanita negara pertama untuk memenangi pingat
perak di Sukan Olimpik. Tambahan pula, beliau merupakan penerima Anugerah Ikon
Belia Sukan sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak pada tahun
2016 serta pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan dari Universiti
Malaya. Lebih menarik lagi, nama beliau telah diabadikan di Sarawak dengan
penamaan semula “Pusat Akuatik Petra Jaya” sebagai “Pusat Akuatik Pandelela
Rinong”.
 
 
 
4. Azizulhasni Awang

 
Dikenali sebagai The Pocket Rocketman, atlet kelahiran Dungun, Terengganu ini
telah mencipta sejarah sebagai pelumba basikal pertama negara meraih pingat
gangsa di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Antara kejayaan lain beliau
termasuk memenangi pingat emas dalam Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI
2017 di Hong Kong, pingat perak pada Kejohanan Dunia 2009 dalam kategori pecut
dan pingat perak pada Kejohanan Dunia 2010 dalam kategori keirin. Selain itu,
beliau juga dinamakan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Majlis Anugerah
Sukan Negara 2017 serta menjadi pembawa bendera Jalur Gemilang dalam acara
pembukaan rasmi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. Beliau akan menyahut
cabaran dalam penyumbangan emas pertama negara di Sukan Olimpik yang akan
berlangsung di Tokyo, Jepun pada tahun hadapan!
 
 
 
5. Julian Yee

 
Julian Yee bukan sahaja telah meraih kejayaan dalam memenangi pingat emas
dalam acara luncur ais berirama lelaki di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, malah
beliau merupakan atlet luncur ais pertama negara mewakili Malaysia ke Sukan
Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan! Atlet kelahiran Petaling
Jaya tersebut telah menduduki tempat keenam pada Kejohanan Trofi CS Nebelhorn
ke-49 di Jerman pada tahun 2017 yang melayakkan beliau ke Pyeongchang 2018
selain menjadi atlet pertama negara yang berjaya menyertai Kejohanan Luncur Ais
Berbunga Dunia (World Figure Skating Championships). Tambahan pula, Julian
telah meraih kejayaan sebagai juara sebanyak lima kali dalam kejohanan negara
sebelum mewakili negara dalam Sukan SEA 2017.
 

 
6. Faiz Subri

Jika anda masih ingat jaringan luar biasa dalam perlawanan bola sepak menentang
Pahang pada tahun 2016, pasti anda ingat kehebatan pemain tengah bagi pasukan
Pulau Pinang iaitu Faiz Subri! Jaringan tersebut telah menjadi bualan hangat di
Malaysia serta mendapat perhatian seluruh dunia pada ketika itu dan menjadikan
beliau sebagai pemain bola sepak negara pertama memenangi Anugerah FIFA
Puskas 2016! Aksi jaringan yang dianggap ‘melawan hukum fizik’ tersebut telah
mengutip undi sebanyak 59.46%, menewaskan aksi jaringan Marlone dari Brazil dan
pemain bola sepak wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez. Malah, video jaringan
tersebut telah mencuri tumpuan peminat bola sepak di seluruh dunia dengan jumlah
tontonan sebanyak 2,362,950 kali. Kejayaan beliau dalam meraih anugerah
berprestij tersebut merupakan pencapaian yang sangat membanggakan buat
Malaysia dan menjadi pembakar semangat buat pelapis-pelapis baharu
dalam usaha untuk terus memajukan sukan bola sepak negara.

 
7. Khairul Idham Pawi

Diberi jolokan sebagai “Super Kip”, pelumba motosikal kelahiran Perak tersebut
telah melakar sejarah sukan pemotoran negara dengan menjuarai Kejohanan
MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina 2016 dan
Jerman 2016. Beliau turut mencipta kejutan selaku atlet pemotoran negara pertama
yang menaiki podium selepas tamat di tempat kedua pada Kejuaraan Dunia Remaja
Moto3 CEV Repsol 2016 di Le Mans, Perancis. Pada ketika itu, Khairul merupakan
pelumba motosikal negara termuda yang mengungguli kejayaan di peringkat
antarabangsa pada usia 17 tahun! Sebelum menyertai kejohanan peringkat
antarabangsa sebagai pelumba profesional pada tahun 2015, Khairul telah
memenangi kejuaraan pertama dalam saingan Piala Impian Asia (Asian Dream Cup)
pada tahun 2013 dan pernah menjuarai tempat pertama dalam persaingan tersebut
pada tahun berikutnya. Tahun ini menyaksikan “Super Kip” berentap dalam kategori
Moto2 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing Team dan menjadi antara
tumpuan penting pada Grand Prix Motosikal Malaysia 2019 yang akan berlangsung
di Litar Antarabangsa Sepang, 1 hingga 3 November ini. 

 
 

8. Ridzuan Puzi

Nama Ridzuan Puzi dan tarikh ‘keramat’ 10 September 2016 sememangnya


terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia apabila beliau melakar sejarah negara yang
sangat luar biasa dalam Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Sementara
rakyat Malaysia sedang tidur pada ketika itu, Ridzuan atau dikenali sebagai Mr.
Dash, berjaya meraih pingat emas pertama negara dalam acara 100m T36 (celebral
palsy). Beliau juga memenangi Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan
pada tahun 2015 susulan kejayaan meraih pingat emas dalam Kejohanan Olahraga
Dunia IPC di Qatar dan Sukan Para Asean Singapura. Kemenangan beliau di Sukan
Paralimpik 2016 tersebut juga merupakan pencapaian yang paling cemerlang dalam
arena sukan negara serta memberi makna yang sangat mendalam kepada semua
lapisan masyarakat apabila terbukti, atlet-atlet paralimpik negara seperti beliau
mampu mencapai kejayaan yang sama seperti atlet-atlet biasa!

 
9. Ziyad Zolkefli

Setelah Ridzuan Puzi meraih kemenangan pingat emas pertama untuk negara, tiba
pula Ziyad Zolkefli mencipta sejarah sukan negara pada Sukan Paralimpik Rio 2016.
Beliau bukan sahaja berjaya menyumbang pingat emas kedua negara dalam acara
lontar peluru F20 (masalah pembelajaran), malah sekaligus berjaya memecahkan
rekod dunia dengan catatan 16.84 meter berbanding rekod dunia sejauh 16.29
meter yang dicatatkan oleh Todd Hodgetts dari Australia pada Sukan Paralimpik
London 2012!  Pada tahun berikutnya, Ziyad sekali lagi berjaya memecahkan rekod
dunia pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London dengan melakukan
lontaran sejauh 17.29 meter. Kehidupan sebagai peniaga char kuey teow di Jalan
Tunku Abdul Rahman memotivasi beliau agar berusaha keras dan sentiasa gigih
tanpa kenal erti lelah demi mencapai impian menjadi atlet Paralimpik bertaraf
dunia. Melampaui batas fizikal, beliau telah berjaya memperoleh kemenangan yang
membanggakan serta mengharumkan nama negara di temasya sukan
antarabangsa.

 
 

10. Latif Romly

Semangat #KitaLuarBiasa di pentas Sukan Paralimpik Rio 2016 diteruskan oleh


kehebatan Latif Romly dengan satu lagi pencapaian luar biasa untuk negara di
temasya sukan tersebut. Beliau telah berjaya menghadiahkan pingat emas ketiga
negara dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual), setelah
menewaskan pesaing-pesaing lain dengan catatan 7.60 meter dalam lompatan
kelima. Dengan kejayaan tersebut juga, terciptanya rekod dunia baharu, mengatasi
rekod lama yang juga milik beliau iaitu 7.35 meter yang dicatat pada Kejohanan
Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar pada tahun 2015. Ramalan telah ditepati kerana
Latif merupakan antara atlet yang disebut-sebut sebagai prospek untuk memenangi
pingat dalam Sukan Paralimpik 2016 selain mencatat kejayaan pada Sukan
Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak.

You might also like