Hubungan Etnik

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 17

Status Isu Halal Dalam Islam Di Malaysia

1.0 PENDAHULUAN

Industri halal Malaysia kini telah berkembang merentasi pelbagai arena termasuklah
kewangan Islam, makanan, produk gunaan, kosmetik, farmasi, hospitaliti dan pelancongan.
Menurut Farah et al. (2017), Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai industri
halal secara menyeluruh dan kini menjadi penanda aras kepada negara dan telah dianggap
sebagai salah satu negara pelopor dalam industri halal global. Bagi produk makanan halal,
sesuatu produk makanan itu perlu ada sijil halal yang sah. Hal ini demikian kerana, produk
makanan adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan ekoran daripada ia merupakan sesuatu
yang akan masuk ke dalam badan seseorang muslim itu dan ia perlulah dari sumber yang
halal. Disamping itu, di Malaysia pengeluar dan pengusaha makanan perlu menggunakan
logo halal yang telah mendapat pengesahan halal daripada JAKIM sebagai cara untuk
memastikan pengeluar ini mengeluarkan produk yang halal. Secara tidak langsung, pensijilan
halal ini memberi keyakinan kepada pengguna mengenai produk makanan yang dikeluarkan
oleh pengeluar. Kerajaan Malaysia telah mewajibkan pengeluar makanan atau produk lain
untuk mendapatkan pensijilan halal dari JAKIM sebelum sesuatu produk dipasarkan. JAKIM
adalah merupakan singkatan daripada Jabatan Pembangunan Islam Malaysia yang bernaung
di bawah Jabatan Perdana Menteri yang merupakan satu-satunya organisasi yang diberi kuasa
menerbitkan dan mengawasi pensijilan halal di Malaysia.

Pengambilan dan pemilihan barangan halal dalam kehidupan amat penting bagi
setiap Muslim yang beragama Islam sama ada dari segi pemakanan, pemakaian, peralatan dan
barangan. Perkara ini dipandang serius dalam Islam dan beberapa usaha serta langkah telah
diambil untuk memelihara dan mengawal perkara ini. Antaranya dengan mencadangkan
penggubalan akta dan undang-undang halal, melancarkan kempen kesedaran ke setiap negeri
melalui lawatan dan liputan media seperti buletin dan jurnal halal di televisyen, radio serta
internet (Hifza Rahimah Ibrahim & Mohd Zhafran Helmi Mokhtarudin, 2010). Malah usaha
ini juga turut dijalankan seperti mempromosikan produk halal di peringkat antarabangsa
dengan menganjurkan International Halal Showcase (MIHAS) serta Halal Festival (Halfest)
sehinggakan Malaysia dilihat berpotensi menjadi pusat halal dunia (Suhaila Abdul Rahman,
2010).

Selain itu, masyarakat Islam hari ini telah melihat penggunaan logo halal sebagai
penanda aras yang sangat penting. Namun begitu, kebanyakan pengguna tidak mempunyai

1
maklumat yang cukup untuk membuat keputusan terhadap sesuatu pembelian barangan. Oleh
itu, tidak hairanlah masyarakat awam sentiasa dalam keadaan ragu-ragu ketika menggunakan
barangan walaupun terpapar perkataan halal dari pihak berkuasa tempatan mahupun luar
negara. Pada masa yang sama berlaku peningkatan permintaan pasaran global dan peluang
perniagaan produk halal tanpa mengira agama dan budaya. Sedangkan syariat Islam yang
menjadi sandaran kepada prinsip halal memberi tawaran yang sangat istimewa terhadap
kepentingan manusia sejagat.

Oleh yang demikian, disinilah tersembunyi rahsia kekuatan maksud halal yang
dapat memenuhi keperluan fitrah manusia. Sifat murni manusia sangat cenderung kepada
kesucian, kebersihan, keselamatan, kualiti dan kesan positif terhadap pembentukan insan.
Malah mereka menolak segala sumber dan menutup segala ruang yang boleh mendatangkan
penyakit dengan berkonsepkan pengawalan lebih baik dari pengubatan. Konsep halal tidak
terbatas kepada aspek pemakanan semata-mata, malahan ia melibatkan segala aspek
kehidupan manusia.

Selain itu, ketidakfahaman terhadap konsep pemakanan yang halal telah mencetuskan
polemik hubungan Muslim dan bukan Muslim terutama dalam konteks kehidupan saudara.
Sebagai contoh, komuniti saudara baru merupakan pelaku agama (religious actor) yang bukan
dilahirkan Muslim dan mereka diterapkan ke dalam tradisi agama baharu dan tidak pernah
bersosialisasi antara satu sama lain (Suraya dan Khadijah, 2012). Oleh itu, dalam suasana
baharu, keadaan ini boleh menimbulkan beraneka pandangan dan salah faham dalam
kalangan keluarga yang terdiri daripada Muslim dan bukan Muslim sehingga mengheret isu
tersebut diperbahaskan secara terbuka. Hal ini termasuklah perihal yang menyentuh soal
makan minum yang memaparkan pelbagai bentuk pengalaman kehidupan baharu yang
berlaku kepada penganutnya

Disamping itu, pengalaman ini melibatkan hubungan antara etnik iaitu antara
saudara baru dengan keluarga asal dan hubungan sesama agama khususnya antara saudara
baru dan muslim asal (Wang, 2005). Komuniti saudara baru lazimnya akan berhadapan
masalah hubungan dengan ahli keluarga yang terdekat (Norhana, Mac 2012). Sebagai contoh,
kesalahfahaman yang sukar ialah soal-soal yang berkaitan dengan rutin kehidupan seharian
seperti makan minum, sambutan perayaan, pengurusan jenazah ahli keluarga yang bukan
Muslim dan sebagainya. Situasi yang melibatkan hubungan baharu antara umat beragama
yang seringkali menimbulkan kesalahfahaman dan prasangka sehingga mengheret kegusaran

2
dan membuahkan konflik yang berpanjangan untuk menjalin interaksi seharian dan tinggal
bersama dalam satu komuniti. Tidak menghairankan sekiranya permasalahan yang berlegar
menyentuh persoalan makan minum dalam kalangan saudara baru kadang kala mencetuskan
pergolakan yang sengit dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. Perihal ini
berkait dengan pengetahuan dan pengamalan agama Islam dalam kehidupan seharian menjadi
fokus pembinaan semula hubungan antara saudara baru dengan keluarga asal. Bagi Rahimin
et al. (2011), seandainya isu-isu yang berhubung urusan kehidupan seharian seperti persoalan
makan dan minum tidak ditandatangani dengan baik, masalah ini akan mengundang kepada
konflik dan persepsi negatif yang berpanjangan. Oleh itu, selagi permasalahan ini tidak
dirungkaikan dan diselesaikan dengan bijak, kita berkemungkinan berhadapan dengan
masalah yang lebih buruk.

1.1 Pengertian halal

Kefahaman dan pengaplikasian konsep halal yang sebenar berteraskan Islam dapat menjamin
kehidupan masyarakat Islam berlangsung selaras dengan gaya hidup Islam. Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (2011) mentakrifkan halal sebagai perkara yang
dibenarkan atau dibolehkan oleh hukum syarak sementara haram adalah sebaliknya. Hal ini
bermaksud, halal bermakna menepati hukum syarak atau dibenarkan untuk masyarakat
Muslim (Chaudry, 2006). Hayati dan Khairul (2008) menghuraikan konsep halal dalam
konteks kepenggunaan sebagai merujuk kepada kebenaran bagi orang Islam untuk mengguna,
mengambil sesuatu barangan yang dibenarkan dan diyakini sumbernya menepati hukum
syarak sama ada dari segi kebersihan, keselamatan mahupun kesihatan.

Selain itu, prinsip syariah yang lebih holistik dalam aspek halal ialah konsep
halalan toyyiban. Perkataan toyyiban berasal daripada bahasa Arab membawa pengertian
yang lebih luas berbanding dengan konsep halal, iaitu suatu yang baik, bersih, selamat dan
beretika menurut pandangan Islam (Hunter, 2012). Konsep halalan toyyiban adalah dituntut
oleh agama Islam dan wajib diterapkan dalam setiap urusan. Dalam aktiviti penggunaan,
prinsip halal dan haram bukan sahaja digunakan untuk produk makanan seperti yang lazim
diberi perhatian oleh pengguna Islam. Pengertian halal secara terperinci dibahagikan kepada
tiga jenis produk iaitu makanan, produk bukan makanan dan perkhidmatan kewangan.
Makanan halal ialah makanan yang selamat dan bersih iaitu bebas daripada najis dan
pencemaran serta tidak memudaratkan (Haroun, Zahari, Hemdi & Zulkifly, 2014; Abdul
Raufu & Ahmad, 2013).

3
Disamping itu, makanan haram pula adalah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran
iaitu bangkai, darah, binatang yang disembelih bukan dengan nama Allah, arak dan khinzir.
Selain perkara yang dijelaskan dalam al-Quran, terdapat makanan yang dinyatakan
keharamannya dalam hadis (Wan Melissa & Khairil, 2009). Selain kriteria halal pada
makanan, halal pada produk dinilai dari aspek bahan kandungan, cara pemprosesan,
kebersihan dan logistik. Bagi transaksi kewangan pula, halal dicirikan oleh sistem operasinya
yang mematuhi prinsip syariah iaitu bebas daripada unsur riba, maisir, gharar (Liaquat, 2007)
dan penipuan, sebagai contoh, sistem perbankan Islam yang beroperasi mengikut garis
panduan dan hukum syarak (Ahmad Azrin & Wan Mohd Yusof, 2008). Unsur-unsur haram
tersebut wujud dalam perkhidmatan kewangan konvensional seperti pinjaman, simpanan,
pelaburan, kad kredit dan insurans (Ahmad Azrin, 2013)

1.2 Konsep halal

Di dalam Islam konsep halal amat penting kerana ia merupakan satu garis panduan
kepenggunaan yang utama bagi pengguna Muslim. Menurut Che Hassan Pahmi Che Mamat
(2008), Mohamad Hashim Kamali (2011) dan Aznan Hasan (2011) halal dapat didefinisikan
sebagai sah menurut Syariat dan dibenarkan bagi orang Islam. Malah pengambilan produk
yang halal dan bersih adalah dituntut dan penting untuk diamalkan serta mempunyai pelbagai
kelebihan berdasarkan kepada dalil al-Quran dan al-Hadith. Hal yang sama turut diakui oleh
Yusuf al-Qaradawi (1977) dan beliau berpendapat halal mempunyai ruang lingkup yang luas
dan tidak hanya tertumpu kepada isu makanan dan minuman semata-mata. Begitu juga
dengan Aznan Hasan, namun bezanya pendapat dan pandangan beliau lebih tertumpu kepada
prinsip-prinsip Syariah yang terdapat dalam penetapan hukum halal.

Selain itu, menurut Sazelin Arif (2012) pula konsep halal yang sebenar bukanlah
hanya sekadar halal dan bersih dari unsur haram semata-mata. Malah ia hendaklah mampu
memelihara lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dari mafsadah. Selain
mengutamakan makanan halal dan ṭayyib beliau turut menekankan kepentingan dan
keperluan pelaksanaan konsep ḥalalan ṭayyiban dari perspektif maqaṣid al-Syariah dalam
prosedur penentuan makanan halal berdasarkan dua skop utama iaitu prosedur penentuan
makanan halal yang dicerakinkan daripada aliran kerja menyeluruh pensijilan halal dan
peranan JAKIM sebagai badan utama pelaksana dalam pensijilan halal di Malaysia.

Oleh itu, memahami konsep halal dengan menyeluruh dari sudut teori dan praktikal
adalah perkara asas yang perlu dititik beratkan pada setiap pengguna. Hal ini kerana, isu halal

4
merupakan isu yang luas dan sangat berkait rapat dengan aktiviti harian setiap individu.
Malah pemahaman yang tepat berkenaan konsep halal seterusnya dapat mempengaruhi sikap
dan tindakan pengguna selain dapat membina budaya kepenggunaan yang sihat dan selamat.

1.3 Isu dan cabaran pensijilan halal di Malaysia

i. Ketiadaan peruntukan undang-undang halal yang khusus

Cabaran utama industri halal di Malaysia adalah dari sudut perundangan. Hal ini kerana,
sehingga hari ini, Malaysia tidak mempunyai Akta Halal yang terpakai ke seluruh negara.
Tujuan keperluan kepada Akta Halal ini adalah untuk memberi kuasa secara terus kepada
pihak agensi kerajaan pusat seperti JAKIM untuk memantau dan mengambil tindakan
penguatkuasaan undang-undang yang sebelum ini berperanan sebagai badan yang
mengendalikan persijilan halal di Malaysia. Setakat ini kuasa memantau dan penguatkuasaan
undang-undang berkaitan penggunaan logo halal terletak di bawah Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Pegawai JAKIM akan terlibat
dalam penguatkuasaan melalui perlantikan yang dibuat oleh kementerian tersebut sebagai
Penolong Perihal Dagangan (Ahmad Hidayat & Zulzaidi, 2012).

Disamping itu, sekiranya Akta Halal dapat direalisasikan seperti mana yang
dicadangkan, pegawai JAKIM akan mempunyai bidang kuasa sendiri dan tidak perlu
bergantung pada KPDNKK. Penyelarasan perkara-perkara yang berkaitan halal yang kini
berada di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan seperti kementerian kesihatan,
kementerian pertanian dan pihak berkuasa tempatan dapat dilaksanakan. Namun hal ini sudah
tentu mewujudkan isu dan cabaran lain terutama dalam perkara berkaitan aspek-aspek
teknikal kerana ia melibatkan pengambilalihan beberapa bidang kuasa yang ada dalam
agensi-agensi lain untuk diletakkan di bawah JAKIM. Menurut Ahmad Hidayat & Zulzaidi
(2012) persoalan lain yang lebih utama ialah penggubalan Akta Halal akan menyentuh
sesuatu di bawah bidang kuasa negeri iaitu berkaitan dengan agama Islam yang akhirnya
akan menimbulkan isu perlembagaan.

ii. Integriti daripada pihak pengusaha produk halal

Antara isu yang dilihat menyumbang kepada kekangan pengurusan kualiti standard halal
melalui penggunaan piawaian halal MS1500:2009 ialah mengenai isu integriti halal dalam
operasi pengeluaran makanan. Hal ini perlu diberi perhatian secara komprehensif yang
melibatkan aspek jaringan bekalan makanan iaitu daripada ladang hingga ke meja makan.

5
Integriti individu yang terdiri daripada pekerja, pengusaha atau pengurus yang terlibat dalam
mematuhi standard yang ditetapkan adalah diragui. Menurut Mohd Al’Ikhsan & Siti Salwa
(2015) kebanyakan pengusaha makanan tidak lagi mengamalkan piawaian kualiti makanan
yang ditetapkan oleh MS1500:2009 setelah produk mereka memperoleh pengiktirafan halal
daripada JAKIM.

iii. Penguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang berkaitan penggunaan logo


halal

Secara umumnya, pihak JAKIM akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan


terhadap penggunaan sijil halal. Menurut Zulkifli (2009) mendapati pemantauan yang
dilakukan oleh pihak JAKIM adalah secara berkala dan berdasarkan aduan yang dibuat oleh
pihak awam. Selain itu pemeriksaan yang dijalankan adalah mengikut tiga kategori iaitu
produk makanan, rumah sembelih dan premis makanan. Kebanyakan pemeriksaan adalah
hasil usaha inisiatif JAKIM sendiri dan hanya 20.7% berdasarkan aduan. Menurut Zulkifli
(2009) juga, dalam kes-kes aduan awam atau diklasifikasikan kes “panas” menjadi amalan
JAKIM melakukan operasi bersepadu bersama KPDNKK, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),
JAIN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bagi kes pemantauan biasa hanya
pegawai JAKIM akan melakukan penyiasatan dan pemeriksaan dan ia mesti melibatkan
Pegawai Syariah dan Pegawai Sains.

Oleh itu, secara ringkasnya fungsi JAKIM hanya terbatas untuk mengesahkan
kesalahan dalam isu halal di samping menjadi saksi bagi kes-kes tersebut. Manakala
KPDNKK mempunyai kuasa menyita, mengkompaun dan mendakwa pemilik mana-mana
syarikat sekiranya terbukti kesalahan yang dilakukan. Sepatutnya sebagai sebuah badan yang
mengeluarkan sijil halal, ia juga patut diberikan kuasa yang lebih bagi memastikan
keberkesanan penguatkuasaan dalam ruang lingkup produk halal. Disamping itu, aspek
pendakwaan dilakukan oleh KPDNKK yang bukan sahaja melakukan pendakwaan pada kes
produk halal malahan pada pelbagai kes yang lain. Menurut Zulkifli (2009) KPDNKK juga
tidak mempunyai unit khas bahagian pendakwaan halal sedangkan JAKIM mempunyai
Bahagian Hub Halal Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan sendiri. Umumnya,
wujudnya kekurangan daripada sudut keberkesanan apabila aspek penguatkuasaan dan
pendakwaan dilakukan oleh dua pihak yang berbeza. Walaupun daripada semasa ke semasa
berlaku penambahbaikan antara lain pemberian kad kuasa oleh KPDNKK kepada pegawai
JAKIM. Kad kuasa tersebut memberi kuasa kepada pegawai JAKIM dan JAIN memasuki

6
premis atau syarikat bagi melakukan penyiasatan, pemeriksaan dan sekiranya ada pemilik
yang menghalang tugas tersebut, maka ia boleh didakwa di bawah akta sedia ada.

iv. Kesedaran pengusaha untuk memohon sijil halal

Kesedaran pengguna adalah paling kritikal apabila hal ini dirujuk kepada Bahagian
Penyelidikan dan Hab Halal di Perlis (Noor Fiteri & Masnisah, 2015). Pengusaha tidak
merasakan dengan adanya sijil halal boleh memberi manfaat yang banyak kepada mereka.
Hal ini kerana, mereka masih boleh berniaga dengan baik dan mempunyai pengguna tetap
yang tersendiri. Manakala bagi pengusaha pula, proses mendapatkan sijil halal memerlukan
pertambahan kos tertentu menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan niat
mendapatkan logo halal bagi produk atau premis mereka. Sebagai contoh, dalam kes tertentu,
bagi mendapatkan pensijilan halal perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh ahli
Jawatankuasa JAIN sekiranya permohonan mendapatkan sijil halal dikemukakan ke institusi
tersebut, Pejabat Perdagangan dalam Negeri, KPDNKK, Jabatan Kesihatan, Jabatan
Perkhidmatan Veterinar, Majlis Perbandaran dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan
Pemeriksaan Malaysia (MaQiS).

Selain itu, dalam kes pengusaha pusat penyembelihan ayam yang diusahakan oleh
orang Islam, bukan hanya perlu mendapat sijil tauliah penyembelihan tetapi perlu melepasi
ujian kesihatan dan kebersihan daripada Jabatan Kesihatan. Selain itu, perlu mendapatkan
kelulusan daripada Jabatan Veterinar dan juga mempunyai dokumen import daripada MaQiS
jika haiwan tersebut diimport daripada luar negara. Rentetan daripada kesukaran yang
mungkin timbul untuk memenuhi keperluan tersebut ditambah dengan keperluan dana
kewangan untuk mengubah premis mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh ahli
jawatankuasa pensijilan halal menyebabkan pengusaha kurang bersungguh untuk
mendapatkan sijil halal bagi produk atau premis mereka (Noor Fiteri & Masnisah, 2015).
Noor Fiteri & Masnisah (2015) juga mengetengahkan pengusaha tidak merasakan keperluan
untuk mengambil sijil halal kerana tidak ingin terikat dengan peraturan dan pengauditan yang
boleh menyebabkan sijil halal ditarik balik dan dikenakan tindakan. Jika mereka
mendapatkan sijil halal tindakan berkaitan akta yang terlibat boleh dikenakan ke atas mereka.
Selain daripada kesedaran pengusaha yang menjadi cabaran, aspek sambutan daripada
pengusaha Islam juga perlu diberi perhatian.

7
2.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABAKAN ISU TERSEBUT BERLAKU

Terdapat sesetengah masyarakat Islam yang benar-benar sensitif dengan status halal bagi
produk makanan dan minuman (Melati, 2010). Namun begitu, terdapat juga sesetengah
masyarakat yang lain kurang sensitif terhadap aspek tersebut. Mereka hanya bergantung pada
label yang bertulis ‘halal’ semata-mata tanpa membuat semakan lebih lanjut tentang kesahan
status halal yang tertera. Lebih membimbangkan lagi apabila segelintir masyarakat membuat
penilaian status halal berlandaskan keyakinan sendiri (Melati, 2010) seperti berpandukan
nama produk yang merujuk kepada nama orang Islam. Sebagai contoh, bihun cap Masjid, pau
Ahmad dan banyak lagi. Sikap yang berbeza-beza ini menunjukkan bahawa pengguna Islam
mempunyai sensitiviti yang berbeza-beza terhadap hukum halal dan haram dalam urusan
muamalat penggunaan.

Selain itu, sikap pengguna iaitu masyarakat atau etnik mendapati bahawa majoriti
pengguna Islam mempunyai tahap sensitiviti yang tinggi dan menganggap pemilihan produk
makanan dan premis yang berstatus halal adalah penting bagi mereka. (Mohani et al., 2009;
Jamal & Shahira, 2009; Jeannot, Sofiah dan Zailin, 2011; Aiedah, 2012). Penilaian halal
dibuat berdasarkan beberapa kriteria iaitu keyakinan terhadap status halal premis perniagaan
yang dikeluarkan oleh JAKIM (Aiedah, 2012), status halal makanan yang dibekalkan, adanya
logo halal atau label yang menunjukkan produk sesuai digunakan oleh pengguna Islam,
kualiti kandungan makanan (Mohani et al., 2009), amalan kebersihan dan proses
penyembelihan haiwan yang mengikut syarak (Jamal & Nur Shahira, 2009). Oleh itu, hal ini
menunjukkan bahawa pengguna Islam semakin teliti dalam membuat penilaian terhadap
status halal produk makanan. Penilaian dilihat secara lebih holistik dan tidak lagi stereotaip
pada dua aspek utama iaitu bebas daripada sumber khinzir dan alkohol sebagai penentuan
halal sebagaimana yang dinyatakan (Soesilowati, 2010).

Selain sikap dan kecenderungan masyarakat Islam terhadap produk makanan,


terdapat juga tahap sensitiviti pengguna terhadap status halal produk bukan makanan.
Walaupun pengguna lebih sensitif terhadap aspek halal makanan berbanding dengan produk
bukan makanan. Namun kesedaran pengguna Islam terhadap aspek halal produk kosmetik
dan produk penjagaan diri meningkat seiring dengan kesedaran global, sekali gus
menyebabkan peningkatan permintaan kosmetik halal di seluruh dunia (Abdullah, Cheng
Wie, Mohamad Ghozali, Asma, Abdul Wahid, Jeannot, Sofiah & Zailin, 2011; Ahlam,
Azmawani & Suhaimi, 2013). Pengguna kini lebih menitikberatkan unsur kandungan dalam

8
produk kosmetik bagi memastikannya bebas daripada unsur haram seperti khinzir dan
alkohol serta tidak memudaratkan (Abdullah et al., 2011).

Disamping kesedaran yang semakin meningkat terhadap produk penjagaan diri dan
kosmetik, sensitiviti pengguna Islam terhadap produk farmasi juga penting untuk dikenal
pasti, lebih-lebih lagi apabila hal ini amat jarang diperkatakan dan diberikan perhatian
(Saleha, Azmi, Imran & Maryam, 2013). Dua aspek penting yang perlu dititikberatkan adalah
dari segi sebatian dan kandungan ubat-ubatan yang diambil (Saleha et al., 2013). Sensitiviti
masyarakat terhadap keperluan ubat halal adalah berbeza-beza mengikut kumpulan
masyarakat meskipun secara umumnya pengguna semakin sensitif terhadap produk farmasil
seperti status halal vaksin dan ubat-ubatan (Nasaruddin et al., 2011; Mohamad Nordin,
2008).

Namun begitu, walaupun sensitiviti masyarakat Islam terhadap produk penjagaan


diri, kosmetik dan farmasi menunjukkan perkembangan yang positif, namun pengguna Islam
masih kurang sensitif terhadap aspek barangan lain kerana mereka kurang mengambil
perhatian tentang pematuhan hukum syariah pada pakaian, pinggan mangkuk dan perabot
(Jeannot et al., 2011). Menurut Che Wan Jasimah, kesedaran harus timbul dalam diri setiap
pengguna Islam kerana sebahagian besar barangan yang terdapat di Malaysia merupakan
barangan import termasuklah pinggan mangkuk, peralatan persolekan, berus cat atau fabrik
yang dipakai (“Boikot Barangan Diragui Halal”, 2012).

Oleh itu, dapat dilihat bahawa masyarakat daripada kelompok sosial yang berbeza
mempunyai sikap dan kecenderungan berbeza-beza terhadap aspek yang berbeza. Hal ini
dapat digambarkan berlakunya perkembangan sikap yang positif masyarakat Islam terhadap
produk halal selain makanan, namun wujud faktor lain yang dihadapi iaitu sikap sesetengah
pengusaha yang tidak menitikberatkan keperluan barangan halal pengguna Islam. Situasi ini
memerlukan pengguna lebih berhati-hati untuk mendapatkan maklumat berkenaan produk
dan perkhidmatan halal serta mengikuti perkembangan isu halal.

9
3.0 KESAN ISU KEPADA HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

Agama Islam menuntut kita supaya menjaga setiap barangan yang digunakan setiap hari
supaya dipastikan halal dan tidak meragukan. Oleh itu, terdapat beberapa kesan secara
langsung apabila mengambil barangan atau makanan halal iaitu:

i. Pengambilan makanan halal memberikan ketenteraman pada jiwa yang diperlukan


setiap manusia. Pengambilan sesuatu yang haram atau seringkali menyebabkan jiwa
tidak tenteram dan tidak seimbang kerana bertentangan dengan naluri fitrah manusia
yang suci. Hati mereka juga sukar menerima kebenaran dan hilang rasa sensitif
terhadap perkara-perkara kebaikkan. Menurut al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulum al-
Din, sesiapa yang memakan barang haram selama 40 hari hatinya akan kelam.
Pengambilan yang halal dan berkualiti mendorong individu melakukan kebaikan dan
kebajikan. Pengambilan makanan haram seperti arak juga boleh memberikan kesan
buruk kepada masyarakat lain. Sebagai contoh, baru-baru terdapat seorang pemandu
mabuk warga cina telah melanggar pemandu lain dan menyebabkan kemalangan
berlaku. Hal ini juga telah memberikan kesan hubungan negatif antara etnik melayu
dengan etnik cina.
ii. Membina sikap dan semangat juang yang tinggi dalam menegakkan kebenaran ajaran
Islam. Sesiapa yang sentiasa menjaga makanan daripada yang haram bermakna ia
berjuang menegakkan agama Allah.
iii. Pengambilan makanan halal dapat membersihkan hati dan menjaga lidah dari
bercakap sesuatu yang tidak berfaedah. Makanan dan minuman halal yang digunakan
akan membentuk darah daging dan meningkat kualiti kesolehan zahir dan batin
seseorang. Individu yang sentiasa mengambil makanan halal dalam hidupnya akan
mendekatkan diri kepada Allah dan Allah memakbulkan doa dan permohonannya.
Selain itu, menurut pakar psikologi menyentuh secara langsung mengenai
pengambilan makanan haram terhadap keturunan dan zuriat manusia. Beliau meminta
kita memberi perhatian terhadap makanan halal yang diberikan semenjak anak masih
kecil lagi. Kesannya bukan sahaja anak itu dibentuk menjadi seorang yang bijak,
pintar, cergas dan berguna, malah menjadikan seseorang itu soleh dan budiman.
Sebaliknya seorang anak yang dibesarkan dengan makanan haram dan kotor akan
membentuk watak anak tersebut sebagai anak derhaka. Ini adalah kerana makanan
dan minuman yang diambil semenjak kecil lagi akan mempengaruhi dan menjejaskan
jiwa dan akal budi seseorang setelah dewasa.

10
4.0 CARA MENGATASI ISU

i. Penguatkuasaan logo halal

Isu halal merupakan isu sensitif bagi pengguna Muslim di Malaysia. Oleh itu, pengawalan,
pemantauan dan penjagaan khas telah dikuatkuasakan dengan melantik beberapa badan
bertanggungjawab untuk menjaganya. Antara badan yang terlibat ialah Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM). Menurut Lokman Ab. Rahman (2012), Omer Abdu Zerai (2011),
dan Azliza Muhammad (1999), konsep industri makanan halal yang telah ditetapkan oleh
JAKIM adalah selari dengan konsep halal dalam Islam bahkan ianya memenuhi syarat-syarat
halal dalam penyediaan makanan. Disamping itu juga, mereka turut mencadangkan beberapa
penambahbaikan terhadap sistem, usaha dan peranan JAKIM dalam melakukan penyelidikan,
pensijilan dan pengurusan halal di Malaysia.

Selain itu, Lokman Ab. Rahman (2005) pula menyatakan, Malaysia telah
mengamalkan penggunaan label, tanda atau logo halal yang di pantau oleh pihak JAKIM
sebagai satu standard budaya sebelum ianya menjadi satu strategi utama pemasaran dan
perniagaan masa kini. Logo halal ini banyak mendatangkan manfaat seperti memudahkan
pengguna Muslim kerana barangan yang berlogo halal disifatkan sebagai halal dan selamat
untuk digunakan.

Disamping itu, Wan Azrin Izani Wan Mohd. Zain (2008), Mohamad Sofee Razak
(2010), Zalina Zakaria (2004), Ahmad Hidayat Buang dan Zulzaidi Mahmod (2012) serta
Hifza Rahimah Ibrahim bersama Mohd Zhafran Helmi Mokhtarudin (2010) pula memberi
cadangan penambahbaikan terhadap undang-undang dan penguatkuasaan yang berkaitan
dengan halal agar masalah dan isu berkenaan halal dan haram dapat diatasi. Mereka
menerangkan keperluan dan kepentingan akta halal serta cabarannya dari sudut jangka masa
panjang dan keperluan semasa selain turut mengulas berkaitan penguatkuasaan logo halal dan
peruntukan undang-undang yang sedia ada di Malaysia.

Zalina Zakaria (2007) dan John Pointing et al. (2011) pula membincangkan tentang
masalah yang berlaku dan akta yang berkaitan dalam pemalsuan pensijilan halal serta
tindakan yang dikenakan kepada pesalah. Maklumat tersebut disokong oleh Zulzaidi
Mahmod (2011) yang turut memberi pendedahan maklumat kepada pengguna bagi
mengetahui badan-badan pengeluar sijil pengesahan halal di Malaysia menerusi sumber
undang-undang. Malah beliau juga turut mendapati bahawa pentadbiran undang-undang

11
berkaitan halal di Malaysia adalah selaras dengan metodologi perundangan dan pengawalan
berkaitan makanan halal menurut perspektif Islam.

Oleh itu, hal ini menunjukkan bahawa undang-undang dan penguatkuasaan


berkaitan halal yang dijalankan di Malaysia telah mempunyai asas yang tepat dan baik namun
dalam masa yang sama masih memerlukan beberapa penambahbaikan untuk mengukuhkan
lagi penguatkuasaan tersebut. Sebagai contoh seperti usaha penyelarasan pemakaian logo
halal yang telah dilaksanakan oleh pihak JAKIM. Pelaksanaan ini melambangkan usaha
murni pihak bertanggungjawab dalam menjaga kemaslahatan dan keselamatan pengguna
Muslim.

ii. Pandangan dan persepsi

Setiap manusia mempunyai pandangan, persepsi dan penilaian tersendiri yang berbeza antara
satu sama lain. Kepelbagaian pandangan dan penilaian ini dipengaruhi oleh faktor dan sebab
tertentu. Menurut pandangan Mohani Abdul et al. (2009) dan Baizuri Badruldin et al. (2012),
sasaran persepsi dan situasi contohnya dilihat menjadi pengaruh terhadap pandangan pihak
tertentu ke atas pensijilan halal di Malaysia dan juga JAKIM. Manakala Nordin Ahmad
(2007), Zainalabidin Mohamed et al. (2008), Sharifah Zannierah Syed Marzuki et al. (2012)
dan Tawfik Salah Mohammed al-Nahdi bersama Md. Aminul Islam (2011) pula secara
amnya berpendapat bahawa sikap dan keadaan merupakan faktor penting yang
mempengaruhi pandangan terhadap sesuatu perkara.

Selain itu, agama juga menjadi faktor penyumbang kepada wujudnya kepelbagaian
pandangan dan penilaian. Pendapat ini turut diterima oleh Ernest Cyril De Run et al. (2010),
Wan Musa Wan Ibrahim (2004) dan Munyaradzi Mutsikiwa bersama Clay Hutama Basera
(2012) yang mana mendapati agama memainkan peranan penting dalam mempengaruhi sikap
dan pandangan individu, malah tahap keprihatinan dan pandangan individu itu berhubungkait
dengan didikan agamanya. Bahkan menurut Suzanah Abdul Rahman et al. (2013) agama
adalah faktor terbesar yang mempengaruhi pengguna terutamanya dalam pemilihan makanan
harian mereka. Pandangan ini turut dipersetujui oleh Angela Ho Suet Fong (2010) dari fokus
yang berbeza iaitu terhadap pengguna bukan beragama Islam. Namun begitu, Faryal Salman
dan Kamran Siddiqui (2011) pula berpendapat sebaliknya dengan mendapati bahawa agama
semata-mata tidak berupaya mempengaruhi sikap dan pandangan individu.

12
Seterusnya persepsi dan pandangan orang ramai ini adalah penting sebagai satu nilai
positif ke arah penambahbaikan. Sebagai contohn, usaha penguatkuasaan halal yang
dijalankan oleh pihak JAKIM. Menurut Mohani Abdul et al. (2009), sebahagian pengusaha
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tidak berpuas hati dengan pengurusan pihak JAKIM
terutamanya dalam proses pemohonan Sijil Pengesahan Halal (SPH). Mereka mendakwa
bahawa proses tersebut rumit, memenatkan dan terlalu ketat di samping perkhidmatan yang
tidak mesra pengguna. Baizuri Badruldin et al. (2012), seterusnya mendapati bukan hanya
pengusaha sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sahaja, malah pengusaha dari sektor
lain turut sama kecewa dengan pengurusan pihak JAKIM kerana perkhidmatan yang
disediakan oleh pihak JAKIM gagal mencapai jangkaan dan permintaan mereka.

iii. Mengikuti program-program produk halal

Pembeli disarankan agar dapat melibatkan diri ke program-program yang dapat


menambahkan ilmu pengetahuan tentang produk halal. Antaranya seperti, program kesedaran
tentang pentingnya memilih makanan halal, program-program anjuran JAKIM, ceramah
agama tentang makanan halal dan sebagainya. Dengan adanya program-program seperti ini
dapat membantu masyarakat muslim membuat pilihan yang bijak untuk memilih produk
halal. Menurut Ahmad dan Zulzaidi (2012), menyatakan bahawa pihak JAKIM atau pihak
berkaitan perlu memberi latihan kesedaran dan kefahaman halal kepada pengusaha dan
pengguna. Hal ini kerana, dapat membantu serta memupuk sikap yang positif dalam diri
pembeli mahupun pengeluar tentang kepentingan produk halal ini.

iv. Mengeluarkan produk halal yang diiktiraf

Pengeluar perlu mengeluarkan produk makanan halal yang telah diiktiraf dari pihak JAKIM
agar mengelakkan berlakunya keraguan dan kebimbangan para pembeli. Hal ini disebabkan
oleh logo halal ini amat penting dalam setiap produk makanan halal yang dikeluarkan
pengeluar kerana dengan adanya logo halal, pembeli terutama yang beragama islam akan
membeli produk tersebut. Pengeluar produk makanan halal perlu mengikut kursus yang
diadakan oleh pihak JAKIM. Hal ini juga dapat mengetahui standard piawaian yang telah
ditetapkan oleh JAKIM dalam mengeluarkan produk makanan halal. Pengeluar juga perlu
peka terhadap pembungkusan produk makanan halal ini agar dapat menyakinkan pembeli
untuk membeli produk makanan halal tersebut. Pembungkusan yang menepati piawaian yang
ditetapkan di mana pengeluar perlu memaparkan logo halal, isi kandungan bahan yang
digunakan serta kelulusan dari mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Hal ini penting

13
bagi membuktikan produk makanan tersebut adalah halal. Selain itu, pihak Kementerian
Pengguna dan JAKIM perlu bekerjasama bagi mengetatkan lagi peraturan agar dapat
melarang pengeluar bukan Islam menggunakan jenama yang berciri Islam bagi produk yang
diragui kesuciannya. Menurut Sanep Ahmad et al. (2014), penggunaan jenama seperti cap
masjid, cap songkok dan cap kurma perlu dipantau. Hal ini kerana, penggunaan jenama yang
berciri Islam secara sewenang-wenangnya boleh mengelirukan pengguna Islam.

14
5.0 KESIMPULAN

Mendalami konsep halal dari aspek yang berbeza dapat memberi impak positif kepada sikap
dan tindakan pengguna. Bagi merealisasikannya beberapa usaha dan tindakan telah
dijalankan oleh pihak JAKIM. Usaha tersebut bagaimanapun diterima dengan pandangan dan
persepsi yang berbeza oleh masyarakat Islam di Malaysia, sekaligus menunjukkan bahawa
kebanyakan pengguna Islam amat peka dan sensitif terhadap isu halal. Dalam masa yang
sama juga pihak JAKIM perlu menambahbaik dan mempertingkatkan lagi sistem pengurusan
dan perkhidmatan halal yang sedia ada sebagai satu langkah progresif ke arah menjadikan
Malaysia sebagai pusat halal dunia.

Pengambilan dan pemilihan barangan halal dalam kehidupan amat penting bagi
setiap Muslim yang beragama Islam sama ada dari segi pemakanan, pemakaian, peralatan dan
barangan. Perkara ini dipandang serius dalam Islam dan beberapa usaha serta langkah telah
diambil untuk memelihara dan mengawal perkara ini. Antaranya dengan mencadangkan
penggubalan akta dan undang-undang halal, melancarkan kempen kesedaran ke setiap negeri
melalui lawatan dan liputan media seperti buletin dan jurnal halal di televisyen, radio serta
internet. Malah usaha ini juga turut dijalankan seperti mempromosikan produk halal di
peringkat antarabangsa dengan menganjurkan International Halal Showcase (MIHAS) serta
Halal Festival (Halfest) sehinggakan Malaysia dilihat berpotensi menjadi pusat halal dunia.

Oleh itu, hal ini menunjukkan bahawa undang-undang dan penguatkuasaan


berkaitan halal yang dijalankan di Malaysia telah mempunyai asas yang tepat dan baik namun
dalam masa yang sama masih memerlukan beberapa penambahbaikan untuk mengukuhkan
lagi penguatkuasaan tersebut. Sebagai contoh seperti usaha penyelarasan pemakaian logo
halal yang telah dilaksanakan oleh pihak JAKIM. Pelaksanaan ini melambangkan usaha
murni pihak bertanggungjawab dalam menjaga kemaslahatan dan keselamatan pengguna
Muslim.

15
Rujukan

Ahmad Hidayat Buang & Zulzaidi Mahmod. 2012. Isu dan Cabaran Badan Pensijilan Halal
di Malaysia. Jurnal Syariah, vol. 20 (3), 271-288.

Anas Mohd Yunus, Wan Mohd Yusof Wan Chik & Mahani Mohamad. 2010. The Concept of
Halalan Tayyiba and Its Application in Products Marketing: A Case Study at Sabasun
HyperRuncit Kuala Terengganu, Malaysia. International Journal of Business and Social
Science, vol. 1(3), 239-248.

Azliza Muhammad. 1999. Konsep Halal Haram dalam Makanan: Kajian Khusus Terhadap
Peranan JAKIM. Latihan Ilmiah, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.

Burhan Adnan. 2000. Consumer Behavior and Religiosity of Muslim Community in Klang
Valley: Consumer Perception on Halal and Non-Halal in Products and Services. Disertasi
Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.

Lokman Ab. Rahman. 2012. Penilaian Terhadap Pelaksanaan Pensijilan Halal Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Tesis Kedoktoran, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti
Malaya.

Mohamad Hashim Kamali. 2011. “The Principles of Halal and Haram in Islam”, dalam The
Essence of Halal, ed. Halal Industry Development Corporation (HDC). Kuala Lumpur: MDC
Publisher Sdn Bhd.

Mohd Hamdan Adnan. 1985. Kepenggunaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Tarmizi Abdul Rahman. 2003. Etika Kepenggunaan Islam: Rujukan Khusus
kepada Amalan di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Disertasi Sarjana, Jabatan Fiqh
dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Nordin Ahmad. 2007. Persepsi Persatuan Pengguna di Malaysia Terhadap Status Pengesahan
Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Tesis Kedoktoran, Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Nor Aini Haji Idris et al. 2007. Malaysia ke Arah Hab Makanan Halal Dunia. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

16
Wan Musa Wan Ibrahim. 2004. Sikap Masyarakat Terhadap Halal Haram Makanan: Satu
Kajian di Kampung Paya Rambai, Kota Bharu Kelantan. Latihan Ilmiah, Jabatan Fiqh dan
Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Zulzaidi Mahmod. 2011. Pelaksanaan Pemantauan dan Penguatkuasaan Undang-undang


Produk Halal di Malaysia: Kajian Terhadap Penyalahgunaan Logo Halal. Disertasi Sarjana,
Jabatan Syariah Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

https://www.bharian.com.my/node/100315

https://www.sinarharian.com.my/article/12112/KOLUMNIS/isu-halal

https://www.hmetro.com.my/node/28281

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/05/565301/salah-guna-logo-halal-jakim

17

You might also like