Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 1

hi dayah

Masyarakat Melayu Malaysia

Tuesday, 16 September 2014

Pengenalan Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu


1.0 PENGENALAN KEBUDAYAAN DAN KESUSASTERAAN MELAYU
Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Tiga kaum yang terbesar di Malaysia ialah
Melayu, Cina dan India. Selain itu, Malaysia juga didiami oleh kaum minoriti seperti orang Asli, Iban, Bidayuh, Melanau dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, Malaysia tetap dapat hidup dengan aman dan damai dengan adanya perlembagaan negara setelah
penubuhan Malaysia pada 16 september 1963. Dengan adanya pelbagai etnik ini, maka wujudlah pelbagai budaya sesuatu
masyarakat yang diwarisi secara turun-temurun. Keadaan ini wujud kerana setiap etnik mempunyai kebudayaan dan keunikannya
yang tersendiri. Namun, Melayu merupakan kaum yang terbesar di Malaysia. Oleh itu, terdapat banyak karya kesusasteraan Melayu
yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh negara sebagai bukti bahawa bangsa Melayu merupakan masyarakat yang agung suatu ketika
dahulu. Kesusasteraan Melayu terbahagi kepada dua jenis, iaitu kesusasteraan Melayu Klasik dan Kesusasteraan Melayu Moden.

2.0 KEBUDAYAAN MELAYU


Masyarakat Melayu mempunyai banyak kebudayaan yang diwarisi secara turun temurun. Kebudayaan Melayu merupakan
keseluruhan sistem kehidupan yang yang diamalkan oleh masyarakat Melayu yang merangkumi unsur sosial, kepercayaan, sistem
simbol, teknologi, ekonomi dan organisasi yang dimiliki bersama oleh masyarakat Melayu. Kebudayaan Melayu juga boleh ditakrifkan
sebagai cara hidup masyarakat Melayu. Dalam konteks sosiologi, budaya Melayu bermaksud cara hidup yang menjadi kepunyaan
bersama dalam kalangan masyarakat Melayu. Kebudayaan Melayu meliputi bahasa, agama, kesenian, adat, peraturan dan
sebagainya.
Secara ringkasnya, kebudayaan Melayu merupakan amalan masyarakat Melayu yang menjadi kepunyaan semua orang yang
berbangsa Melayu. Kebudayaan Melayu terbahagi kepada dua jenis, iaitu budaya material dan budaya bukan material. Contoh
budaya material ialah makanan, pakaian dan rumah. Manakala, contoh budaya bukan material ialah adat resam, pantang larang dan
kepercayaan orang Melayu.

2.1 KONSEP BUDAYA


Terdapat pelbagai takrifan yang dikemukan mengenai konsep budaya. Syed Ismail bin Syed Mustafa & Ahmad Subki bin
Miskon (2012) , mengatakan perkataan budaya berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit dan Melayu yang membawa
pengertian berikut:
Buddhi ( Sanskrit ) : kecergasan fikiran dan akal
Ini membawa maksud bahawa budaya itu adalah kecergasan akal fikiran seseorang yang akan menentukan tahap pemikiran mereka
dalam menangani suatu permasalahan dan seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Daya ( melayu ) : kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh
Ini pula memberi maksud bahawa seseorang individu itu menggunakan segala kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruhyang semula
jadi bagi membantu menjana pemikiran.
Gabungan daripada perkataan tersebut membawa maksud bahawa budaya merupakan kebolehan seseorang individu
menggunakan kekuatan kuasa, tenaga dan akal fikiran ke arah meningkatkan kecergasan akal fikiran bagi menangani sesuatu
masalah seterusnya menyelesaikannya. Daripada pernyataan di atas, penyelesaian yang diterima akan dijadikan amalan dan
seterusnya dijadikan budaya dalam kelompok masyarakat.
Edward Burnett Taylor (1874) mendefinisikan kebudayaan sebagai keseluruhan cara hidup yang kompleks dan merangkumi
pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat istiadat serta lain-lain kebolehan dan tabiat yang diperolehi
oleh manusia sebagai anggota sesebuah masyarakat. Ini merujuk kepada perkataan ‘Bourdies’yang membawa maksud satu
proses sosial yang membolehkan budaya dan unsur sosial saling berinterksi. Penjelasan ini merujuk kepada setiap aspek yang
merujuk kepada pengamalan nilai dalam masyarakat yang begitu rencam dan kompleks. Proses sosialisasi turut akan
mengembangkanbudaya dalam sesebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.
Piddington (1952) menafsirkan budaya sebagai satu himpunan kelengkapan intelek dan kebendaan yang dapat memenuhi
kehendak biologi dan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya dengan kehendak persekitaran.
Menurut Kamus Dewan (2005), budaya ialah kemajuan pemikiran, akal budi(cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya.
Budaya juga diklasifikasikan sebagai satu cara hidup yang diamalkanoleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan
organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam dan nilai.
Daripada tafsiran-tafsiran tersebut,budaya boleh dikatakan sebagai cara hidup atau sesuatu perkara yang dilakukan oleh
sesebuah kelompok masyarakat yang dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Setiap kelompok masyarakat
mempunyai budaya yang tersendiri. Kewujudan budaya inilah yang dapat membezakan kumpulan sesebuah masyarakat di
Malaysia.

2.2 KONSEP MASYARAKAT


Syed Ismail bin Syed Mustafa & Ahmad Subki bin Miskon (2012) dalam buku Budaya dan Pembelajaran, menjelaskan bahawa
masyarakat merupakan sekelompok besar manusia yang hidup saling berhubungan dan bergantungan berasaskan satu budaya
tertentu dan mempunyai matlamat yang sama. Perhubungan itu wujud berdasarkan satu sistem berasaskan unsur-unsur saling
berhubungan sesama manusia. Kumpulan masayarakat ini terdiri daripada manusia yang hidup bersama dan berorganisasi atas
dasar saling berhubungan dari pelbagai aspek cara hidup.
Ralph Linton (1936), melihat masyarakat sebagai “kelompok manusia yang telah cukup lama hidup bersama dan saling
bekerjasama sehingga dapat mengorganisasikan diri dan meletakkan diri mereka sebagai kesatuan sosial yang mempunyai
batas-batas tertentu.”
Lucy Mair (1955), menyatakan bahawa “ masyarakat adalah satu gagasan yang terdiri daripada manusia yang saling
berhubungan secara kolektif dengan mempunyai hak dan tanggungjawab yang saling mengiktiraf.
Menurut Kamus Dewan (2005), masyarakat ialah kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan peraturan
dan cara tertentu.
Oleh itu, masyarakat boleh didefinisikan sebagai sekumpulan manusia hidup bersama, saling berhubungan dan bekerjasama
antara satu sama lain, mempunyai kesatuan sosial, serta sentiasa membina kebudayaan demi mencapai kesejahteraan bersama.
Perhubungan ini akan mewujudkan interaksi yang harmoni dalam kalangan anggota masyarakat. Masyarakat hidup secara
berkelompok, mempunyai budaya yang tersendiri dan saling bergantung dengan golongan yang wujud bersama serta tinggal di
sebuah komuniti yang teratur.

2.3 PENGARUH LUAR DALAM MASYARAKAT MELAYU


Kedatangan pengaruh dari negara luar banyak mempengaruhi kebudayaan masyarakat Melayu pada masa kini. Antaranya
termasuklah pemberian angpau ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri. Budaya ini lazimnya berasal dari budaya masyarakat Cina.
Dalam masyarakat Cina, pemberian angpau adalah daripada golongan yang sudah berkahwin kepada mereka yang masih bujang,
tetapi, dalam masyarakat Melayu, pemberian angpau adalah daripada orang dewasa tidak kira yang sudah berkahwin ataupun
bujang kepada remaja dan kanak-kanak kecil yang masih bersekolah. Malahan ada juga yang memberi angpau kepada ibu bapa
dan datuk serta nenek.
Selain itu, pengaruh luar juga mempengaruhi adat perkahwinan masyarakat Melayu. Pengaruh adat perkahwinan Melayu
merupakan pengaruh adat perkahwinan orang yang beragama Hindu. Dalam masyarakat Melayu, pasangan yang berkahwin
dikatakan sebaga raja sehari dan diadakan upacara bersanding sebagai kemuncak upacara tersebut. Pasangan mempelai
diletakkan di atas pelamin tanpa bergerak-gerak. Penggunaan beras kunyit semasa semasa upacara persandingan bertujuan
untuk memberi semangat kepada pasangan pengantin. Dalam masyarakat Hindu, persandingan merupakan adat Hindu yang
mengagungkan perkahwinan Dewa Rama dan Dewi Sita. Begitu juga dengan amalan berinai semasa perkahwinan masyarakat
Melayu yang merupakan budaya masyarakat Hindu.
Adat membelah mulut bayi pula merupakan pengaruh dari adat Hindu yang mencecah madu dan minyak sapi ke bibir bayi
supaya bayi tersebut panjang umur dan mendapat kebahagiaan dalam hidup. Upacara ini dilakukan oleh Brahmin. Namun,
upacara mencecah garam ke dalam mulut bayi dalam masyarakat Melayu kini digantikan dengan mencecapkan air zam-zam atau
kurma. Amalan pembacaan mantera pula digantikan kepada pembacaan surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas dan lain-lain lagi.

3.0 KESUSASTERAAN MELAYU


Kesusasteraan Melayu merujuk kepada hasil karya dan ciptaan seni yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun,
perkembangan masyarakat yang pesat hari ini telah mengubah dan menjarakkan hubungan sastera dengan kehidupan. Perubahan
ini teah menyebabkan sastera menjadi satu bidang kegiatan yang khusus dan tersendiri. Sastera yang dahulunya menjadi hak milik
bersama kini telah berubah menjadi kegiatan yang berkaitan pernyataan diri dan hak cipta.

3.1 KONSEP KESUSASTERAAN MELAYU


Kesusasteraan ialah satu bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Siti Hajar Abdul Aziz (2011) dalam
buku Bahasa Melayu I edisi kedua, perkataan kesusasteraan terbentuk daripada perkataan Sanskrit, iaitu susastera yang
bermaksud huruf atau buku indah. sastera dari segi makna umu bermaksud bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab.
Menurut kamus, kesusasteraan bermaksud hasil seni atau karya tulisan dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-
ciri keistimewaan yang tertentu. Seni kesusasteraan pula ialah seni karang-mengarang bahan-bahan sastera yang berbentuk
prosa dan puisi.
Kesusasteraan dalam Bahasa Melayu juga mempunyai maksud yang sama dengan literature dalam Bahasa Inggeris.
Perkataan literature berasal daripada perkataan literate yang bermaksud huruf atau abjad. Dalam bentuk asalnya, perkataan
literature digunakan untuk tatabahasa dan puisi.
Istilah kesusasteraan yang digunakan dalam Bahasa Melayu berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu sastra. Kata
dasar sas- bermaksud mengarahkan, mengajar atau memberi petunjuk, manakala -tra merujuk kepada alat. Jadi, sastra bererti
alat untuk mengajar. Awalan su- pula bereti baik atau indah. imbuhan ke- dan -an membawa maksud yang menyeluruh iaitu,
segala yang tertulis, yang bernilai seni dan estetika serta dengan maksud memberikan panduan, petunjuk dan pengajaran (
Prof Dr Hasyim Awang, Aritkel akademik, hal 2).
Dalam konteks pendidikan pula, kesusasteraan Melayu ialah karya asal yang tertulis dalam Bahasa Melayu
berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada berbentuk novel, cerpen drama, sajak, prosa tradisioanal atau puisi
tradisional bagi mengimbangi intelek, rohani, emosi dan jasmani di samping memaparkan nilai kemanusiaan dan citra
masyarakat.
Daripada definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan Melayu merupakan hasil karya masyarakat
Melayu yang mempunyai kata-kata yang indah, memberi mesej dan menggambarkan sesuatu perasaan dan keadaan yang
tertentu sama ada mengenai diri sendiri ataupun sekelompok masyarakat. Sastera juga dianggap sebagai gambaran peribadi
berupa pengalaman, pemikiran, perasaan, idea, semangat ataupun keyakinan dalam bentuk gambaran konkrit yang
membangkitkan keperibadian melalui pengantara bahasa tidak kira sama ada bermutu atau tidak bermutu.

3.2 CIRI-CIRI KESUSASTERAAN


Kesusasteraan berbeza dengan ciptaan seni yang lain kerana ciptaan sastera menggunakan bahasa sebagai medium
penyampaiannya. Kesusasteraan Melayu tidak akan bermakna jika tidak mempunyai matlamat dan tidak ditujukan kepada
seseorang ataupun sekumpulan pembaca. Oleh itu, kesusasteraan perlu bersifat positif dan mempunyai ciri-ciri yang tertentu
yang menggambarkan keunikannya seperti yang berikut:

3.2.1 KEINDAHAN
Keindahan merupakan gaya dan lenggok bahasa yang digunakan dalam karya sastera yang dapat menyerlahkan keindahan
sesebuah hasil karya itu. Keindahan hasil sastera bergantung kepada kesatuan unsur yang membentuk suatu susunan atau
struktur karya sehingga menjadi sesuatu yang bulat dan utuh. Sebuah karya seni yang indah dan menarik jika unsur-unsur
yang terkandung di dalamnya mengandungi keutuhan, keselarasan, keseimbangan dan penekanan. Unsur- unsur yang
berbeza mempunyai cara tersendiri dalam membentuk kesatuan yang utuh bagi memperlihatkan keutuhan sesebuah karya.
Misalnya, bentuk penulisan novel berbeza dengan penghasilan puisi kerana kedua-dua hasil karya tersebut mempunyai unsur
yang berbeza.

3.2.2 MENCERMINKAN PENGALAMAN


Dalam konteks ini, pengalaman merujuk kepada tindak balas yang utuh daripada jiwa manusia yang digambarkan secara
realiti. Perkataan utuh merujuk kepada fikiran, imaginasi dan perasaan, manakala perkataan realiti pula merujuk kepada
sesuatu yang dapat memberi kesedaran kepada manusia. Dalam sastera, pengalaman diceritakan melalui bahasa. Bahasa
merupakan peranti yang dapat meneruskan fikiran, perasaan dan imaginasi pengkarya bagi membolehkan pembaca
menghayati, memikirkan dan merasakan perkara yang ingin disampaikan oleh pengkarya.

3.2.3 KARYA SENI


Karya seni terbahagi kepada dua kategori, iaitu karya sastera dan karya bukan sastera. Dalam hal ini, terdapat tiga perkara
yang dapat membezakan antara karya sastera dan karya bukan sastera, iaitu bersifat fiksyen, nilai-nilai estetik dan gaya
bahasa yang khusus.
3.2.3.1 bersifat fiksyen
Karya sastera yang dihasilkan melalui imaginasi pengkarya berdasarkan pengalaman atau tindak balasnya terhadap
alam realiti. Daya imaginasi penting dalam penghasilan sesebuah karya fiksyen kerana melalui dunia khalayan,
pembaca dapat menghayati kenyataan dan masalah sesebuah karya ke dalam bentuk konkrit.
3.2.3.2 nilai-nilai estetik
Nilai-nilai estetik membolehkan pengkarya mengungkapkan isi hati dengan jelas dan mendalam.
3.2.3.3 gaya bahasa yang khusus
Penggunaan bahasa dalam karya sastera berbeza dengan karya bukan sastera. Bahasa yang digunakan dalam karya
sastera lebih kompleks dan puitis bagi menarik perhatian pembaca membaca dan menghayatinya.

3.2.4 PENGALAMAN SENI


Pembaca dapat memahami hasil karya melalui peristiwa sastera yang dialami. Demikian juga sebaliknya. Seseorang
pengkarya mendapat kepuasan atas karyanya jika pembaca dapat memahami dan merasai perasaan pengkarya serta
menerima hasil karya karyanya. Namun, pembaca harus sedar bahawa memahami dan merasai fikiran tidak cukup. Malah,
pembaca harus sedar akan nilai-nilai yang terkandung dalam hasil sastera tersebut.

3.3 JENIS DAN BENTUK KESUSASTERAAN


Jenis dan bentuk kesusasteraan mempunyai pelbagai ragam kerana masing-masing memiliki unsur-unsur khusus yang membentuk
pola secara berbeza untuk tujuan tertentu. Kesusasteraan Melayu dari segi jenis dan bentuknya dapat dibahagikan kepada
Kesusasteraan Melayu Klasik ( tradisional) dan Kesusasteraan Melayu Moden.

3.3.1 Kesusasteraan Melayu Klasik ( Tradisonal )


Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011) , klasik bermaksud serius dan abadi nilainya.,tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada
yang lain,mempunyai gaya yang sederhana, mempunyai ciri-ciri yang lazim dan tidak berubah mengikut masa. Dalam hal ini, sastera
klasik merupakan bentuk kesusasteraan yang masih kekal hingga ke hari ini dan masih menjadi sumber pengetahuan, amalan,
pengajaran, sempadan tingkah laku atau sumber atau pengenalan masyarakat Melayu dalam kepada masyarakat di luar.
Sastera klasik berbeza dengan sastera lama kerana sastera lama bersifat sementara. Hal ini demikian kerana apabila datang
yang baharu, maka hilanglah yang lama. Namun, sastera tradisional merupakan sastera yang mempunyai sfat yang diwarisi secara
turun-temurun walaupun dari segi jangka masa sastera itu telah lama dihasilkan.
Sastera Melayu klasik pada awalnya menerima pengaruh Hindu dan Buddha. Walau bagaimanapun, pengaruh Hindu Buddha
kurang menyumbang ke arah perkembangan Kesusasteraan Melayu klasik. Hal ini demikian kerana bahasa yang digunakan dan
cerita yang dpaparkan sukar difahami. Bahasa yang digunakan adalah bahasa Sanskrit dan Melayu Kuno. Cerita dewa-dewa yang
digambarkan pula jauh dari cara hidup masyarakat Melayu.
Setelah kedatangan Islam, iaitu pada abad ke-14 hingga abad ke-16, kesusasteraan Mleyu Klasik mengalami perkembangan
yang positif. Hasilnya, muncul tulisan Jawi yang merupakan tulisan penting bagi penganut agama Islam pada ketika itu. Agama Islam
mulai bertapak di istana dan mengambil alih peranan agama Hindu dan Buddha. Istana berperanan pusat perkembangan
kesusasteraan Melayu klasik yang utama. Penulis mengarang karya baharu berdasarkan perintah raja. Hikayat yang dihasilkan tidak
terhad kepada bidang kesusasteraan sahaja malahan juga meliputi agama, perubatan, sejarah dan sebagainya. Pertambahan
keperluan terhadap karya telah Berjaya mewujudkan pusat penyalinan dan penerbitan hasil kesusasteraan.
Kesusasteraan Melayu klasik merupakan hasil karya seni yang disampaikan melalui bahasa. Tujuannya adalah untuk
menyatukan falsafah pencipta dan penerimanya pada masa iu. Kesusasteraan Melayu klasik terbahagi kepada dua genre, iaitu
sastera rakyat (lisan) dan sastera istana (tulisan).

3.3.1.1 Sastera Rakyat (Lisan)


Berdasarkan konsep sastera rakyat, sastera ditakrifkan sebagai hasil-hasil kreatif yang termasuk dalamnya daya ciptaan
imaginative pencipta yang mengandungi atau menggambarkan nilai-nilai world view itu sendiri. Masyarakat pula bermaksud
kumpulan manusia yang hidup secara berkelompok dan bersifat primitif. Rakyat pula ialah orang biasa yang hidup kolektif bagi
membentuk satu sistem kekeluargaan yang besar. Mereka hidup dalam kumpulan dan mengamalkan nilai kemasyarakatan
yang tebal dan berpegang teguh pada corak budaya tradisional. Sastera rakyat merupakan hasil karya yang diinspirasikan dan
disampaikan secara lisan.
Sastera lisan, menurut Zaidan et al. (2000: 182), adalah ungkapan dari mulut ke mulut, hasil kebudayaan lisan dalam
masyarakat tradisional yang isinya dapat disejajarkan dengan sastera tulis dalam masyarakat moden. Dengan kata lain,
sastera yang diwariskan secara lisan seperti pantun, nyanyian rakyat, dan cerita rakyat. Sastra lisan menurut mereka disebut
juga sastera rakyat.
Antara ciri sastera rakyat termasuklah sastera rakyat disebar dan diwariskan secara lisan. Selain itu, sastera rakyat
juga bersifat tradisional dan lama, iaitu berada dalam sesuatu kebudayaan dalam tempoh yang lebih lama daripada dua
generasi. Sastera rakyat juga wujud dalam variasi yang berbeza-beza serta bersifat anonimi, iaitu menggunakan nama
samaran atau langsung tiada nama pencipta. Seterusnya, sastera rakyat menjadi hak milik semua masyarakat yang
menghasilkannya. Sastera rakyat turut mempunyai bentuk berpola dengan plot yang hampir sama, mempunyai fungsi tertentu
seperti memberi pengajaran serta penulisannya bersifat sederhana, spontan dan kadangkala agak kasar.
Sastera rakyat terbahagi kepada dua kategori, iaitu naratif dan bukan naratif.
sastera naratif terbahagi kepada mitos, legenda dan cerita rakyat manakala sasteranukan naratif terdiri daripada puisi rakyat.

i. Mitos
Mitos ialah cerita yang dianggap benar-benar terjadi dan dianggap suci oleh empunya cerita dan masyarakat yang
mendukungnya.mtos mengisahkan kejadian alam semesta, manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, bentuk muka bumi
dan kejadian alam. Tokoh yang terlibat pula terdiri daripada makhluk halus, dewa atau separuh dewa yang terjadi pada
zaman dahulu.
Ciri-ciri mitos termasuklah dianggap benar-benar terjadi, peristiwa yang aneh, tetapi penting, dianggap keramat
dan memberi kesan kepada masyarakat serta berlaku pada zaman lampau.
Mitos dalam sastera Melayu terdiri daripada tiga jenis,iaitu mitos asal usul, mitos institusi sosial dan mitos politik.
Mitos institusi sosial merupakan cerita yang mengisahkan asal usul sesebuah institusi sosial dalam masyarakat Melayu.
Contohnya, mitos kedatangan Islam, institusi adat, institusi bomoh yang melibatkan perubatan pemulihan, pendiding
jari, adat berandam dan semah pantai.
Namun, cerita-cerita mitos Melayu sudah banyak mengalami kecairan hingga kadang-kadang tidak lagi menjadi
mitos ekoran daripada pengaruh agama yang dianuti.

ii. Legenda
Legenda merupakan cerita yang dipercayai benar-benar berlaku tetapi tidak dianggap suci. Tokohnya terdiri daripada
manusia yang mempunyai sifat luar biasa.
Ciri-ciri lagenda termasuklah sejenis komunikasi liisan yang bercorak cerita berasaskan kisah-kisah.’latar masa
dan sejarahnya tidak semestinya masa lampau, tetapi masih ada hubung kait dengan masa silam. Selain itu, kisahnya
ada kaitan dengan zaman sekarang kerana kepercayaan terhadap keramat seperti Perigi Hang Tuah. Tokoh dan tempat
mempunyai sifat luar biasa serta dipercayai benar-benar berlaku.
Antara jenis legenda daaalm masyarakat Melayu ialah legenda keagamaan, iaitu cerita mengenai orang alim dan
penyebar agama. Tokoh tersebut memang wujud dan menjadi bualan masyarakat hingga menjadi supernatural,
misalnya Habib Noh dan Tok Kenali.
Selain itu, terdapat juga legenda tokoh seperti cerita Mahsuri. Cerita Mahsuri dianggap benar kerana ruang dan
masa berkaitan cerita tersebut dipercayai benar-benar wujud seperti makam Mahsuri yang terdapat di Pulau Langkawi.
Legenda tersebut mengisahkan Mahsuri yang dihukum sula akibat tuduhan melakukan maksiat ketika ketiadaan
suaminya. Namun, darah putih yang mengalir dari lukanya merupakan bukti bahawa Mahsuri tidak bersalah. Sebelum
menghembuskan nafasnya terakhir, Mahsuri melafazkan sumpah ke atas Pulau Langkawi bahawa Pulau tersebut akan
menjadi ‘padang jarak padang terkukur’ selama tujuh keturunan.

iii. Cerita Rakyat


Cerita rakyat berbentuk prosa dan tidak dianggap benar-benar terjadi. Crita rakyat merupakan sumber hiburan,
menegakkan kebenaran dan mengandungi moral atau sindiran.
Antara jenis cerita rakyat ialah cerita binatang. Cerita ini ditokohi oleh binatang yang mempunyai gambaran
sikap dan tingkah laku seperti manusia. Tamsilnya, cerita Sang Kancil menipu Gergasi mengisahkan kecerdikan Sang
Kancil menggunakan helah untuk menghalau gergasi yang mengganggu ketenteraman tempat tinggal mereka.

iv. Puisi Rakyat


Puisi rakyat muncul pada zaman sebelum wujudnya sistem tulisan. Karya ini menggambarkan manusia pada zaman itu
static dan terikat dengan peraturan, adat dan undang-undang. Puisi rakyat mempunyai kalimat yang tidak bebas, iaitu
setiap jenis sudah terikat dengan bentuk dan pola tertentu.puisi mempunyai bahasa yang indah, berirama dan
mempunyai bentuk tertentu. Puisi merupakan karangan berangakap dan mempunyai kalimat yang tidak terbatas. Puisi
ialah ekspresi daripada karangan imaginative manusia yang terjelma dan tersusun dalam kata dan bahasa.
Penggunaan bahasa dalam puisi adalah padat dan mempunyai makna yang mendalam. Penghasilan karya puisi
memerlukan keterlibatan perasaan yang sensitive, pemilihan diksi, rima dan suku kata yang tertentu.
Antara puisi rakyat ialah pantun. Pantun ialah karangan berangkap yang terbentuk secara berpasangan dalam
jumlah baris yang genap, iaitu dari dua baris serangkap hingga pantun 16 baris serangkap. Bilangan suku kata pada
setiap baris adalah antara 8-12. Setiap rangkap pantun terdiri daripada satu unit pembayang dan maksud serta diakhiri
dengan rima akhir abab atau aaaa. Contohnya, pantun nasihat dan pantun berkait.
Puisi rakyat yang kedua ialah syair, iaitu puisi yang terdiri daripada empat baris serangkap. Tujuannya adalah
untuk dilagukan dan diperdengarkan. Rima akhirnya adalah sama, iaitu aaaa. Keseluruhan rangkap syair ialah maksud
dan merupakan idea yang berlanjutan. Contoh syair ialah syair nasihat dan syair agama.
Puisi rakyat yang seterusnya adalah gurindam. Gurindam merupakan sejenis puisi yang tidak tentu bentuknya.
Gurindam yang bentuknya terikat kebiasaannya terdiri daripada dua baris serangkap dengan rima akhir yang sama.
Gurindam ini memerlukan beberapa rangkap untuk melangkapkan maksud keseluruhannya. Gurindam yang bentuknya
tidak terikat pula selalunya tidak berpasangan dan tidak berangkap. Gurindam digubah dalam bahasa yang indah untuk
dinyanyikan sebagai hiburan serta memberi pengajaran untuk pedoan hidup.

3.3.1.2 Sastera Istana (Tulisan)


Sastera tulisan mula diperkenalkan setelah penerimaan Islam sekitar abad ke-15 dan berkembang dalam istana.
Sastera hikayat terbahagi kepada tiga jenis berdasarkan unsur-unsur yang terdapat di dalamnya, iaitu unsure Hindu,
Islam dan Hindu-Islam. Contoh sastera hikayat ialah hikayat Gul Bakawali, Hikayat seri Rama dan Hikayat Raja Pasai.
Sastera undang-undang pula dijadikan sebagai bahan kajian tentang sistem pemrintahan, sistem pentadbiran dan
susun lapis masyarakat lama. Genre ini terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu adat temenggung dan adat perpatih. Contoh
sastera undang-undang ialah Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka dan Undang-undang Pahang. Manakala
sastera undang-undang adat perpatih yang hanya diamalkan di Negeri Sembilan adalah Undang-undang 99 Perak.
Sastera epik juga disebut sebagai sastera pahlawan dan bersifat sejagat. Sastera epik mementingkan ciri
kepahlawanan dan keperwiraan yang unggul. Tokoh ini diberi gambaran secara berlebih-lebihan sehingga menjadi sempurna
dan disanjung oleh masyarakat. Genre ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu epik kebangsaan yang diwakili oleh Hikayat Hang
Tuah dan epic berunsur Islam seperti Hikayat Amir Hamzah.
Sastera panji merupakan karya yang isinya berkisar sekitar kisah pengembaraan, percintaan dan peperangan. Watak
utamanya bergelar Panji. Selam berkelana, panji mengalami pelbagai peristiwa hingga akhirnya bertemu dengan kekasihnya.
Contohnya, Hikayat Cendawan Putih.
Sastera agama kebanyakannya berfokus pada cerita-cerita yang menggambarkan kehebatan Nabi Muhammad saw
dalam menyebarkan agama Islam ke suluruh dunia walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan tentangan. Buktinya dapat
dilihat dalam Hikayat Bulan Berbelah.
Salah satu kitab sastera ketatanegaraan bertajuk Kitab Nasihat Segala Raja-Raja. Kitab ini digunakan oleh al-Sultan
Zainal Abidin III sebagai panduan dalam pemerintahan baginda.

3.3.2 Kesusasteraan Melayu Moden


Menurut Annas Hj Ahmad (1988:152), hasil karya sastera selepas tahun 1800 Masihi digolongkan dalam sastera moden.
Pembahagian dari segi masa ini semata-mata bertujuan untuk memudahkan kita untuk memahami bentuk dan unsur
perbezaan dalam sastera Melayu. Sebagai contoh, sajak bebas pada hari ini merupakan suatu penyimpangan daripada bentuk
puisi lama seperti pantun dan syair. Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi merupakan pengkarya sastera Melayu Moden. Hasil
karya beliau yang terkenal adalah Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah.
Cerpen ialah gabungan dua perkataan, iaitu cerita dan pendek. Cerpen berkembang apabila kegiatan persuratkhabaran
Melayu mencapai zaman kegemilangannya sekitar tahun 1930-an. Cerpen bukan sahaja menjadi alat yang menggambarkan
sikap, perasaan, pandangan dan fikiran pengarang malahan juga memberi gambaran tentang suatu zaman, sama ada
berhubung masalah sosial, politik atau ekonomi. Cerpen biasanya berkisar mengenai sesuatu kejadian atau peristiwa yang
menjadi fokus utama. Cerpen membawa satu tema sahaja dan beberapa persoalan bagi menghasilkan kesan tertentu dan
mendalam kepada pembaca. Dari segi perwatakan, cerpen memusatkan perkembangan watak kepada beberapa orang
tertentu sahaja. Watak-watak lain hanyalah bertujuan untuk memperkukuhkan kewibawaan watak utama Pertentangan antara
watak protagonis dan antagonis akan mencetuskan konflik yang dianggap penting sebagai unsur dramatik. Dalam penulisan
cerpen, hanya terdapat satu plot sahaja dan plot inilah yang dikembangkan dengan rapi, teliti dan tidak rumit. Pencetusan
perasaan dan penyemarakan emosi dalam cerpen menerbitkan ketegangan dan menarik pembaca untuk merasai pengalaman
yang digammbarkan dalam cerpen.
Novel pula ialah prosa rekaan yang panjang yang di dalamnya termuat sebahagian daripada sebuah kehidupan. Istilah
novel berasal daripada bahasa Itali, iaitu novella yang bermaksudsatu benda kecil yang baharu. Novel mengisahkan kejadian
yang dipusatkan kepada sebahagian daripada kehidupan manusia pada suatu tempat dan masa tertentu. Menurut Shahnon
Ahmad (1972:4), novel merupakan satu bentuk pentafsiran rencam hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera cereka.
Cerpen merangkumi tiga factor utama yang saling berkait, iaitu pengalaman peribadi, realiti rencam hidup dan imaginasi. Idea
yang tercetus daripada ketiga-tiga rangkuman ini bukan sahaja berkisar mengenai tahap kehidupan manusia bahkan boleh
berlegar di sekitar kehidupan selain daripada manusia itu sendiri.
Novel yang bercorak kemasyarakatan telah dihasilkan oleh Harun Aminurrashid. Antara novelnya termasuklah Cinta
Gadis Rimba (1947), Darah Kedayan (1947) dan Minah Joget Moden (1949).novel Minah Joget Moden ini dianggap menarik
kerana mempamerkan sikap negatif masyarakat terhadap penari-penari joget. Sikap masyarakat yang sebegini diperbetulkan
oleh pengarang melalui watak anak wayang, iaitu Minah yang petah bercakap dan bersyarah tentang kesucian para seniman
dan seniwati Melayu.
Selain itu, novel yang bercorak semangat kebangsaan juga lahir pada pertengahan tahun 1940-an, iaitu novel Pahlawan
Rimba Malaya (1946). Novel ini memberi persoalan tentang semangat kebangsaan pejuang gerila Melayu menentang
penjajahan Jepun. Harun Aminurrashid pula telah menghasilkan novel yang berjudul Siapakah Yang Bersalah (1949) yang
menceritakan mengenai pengalaman sendiri yang terpaksa bekerjasama dengan Jepun. Melalui pengalaman ini, beliau
mendapat idea untuk memajukan bangsanya sendiri.
Zaman kegemilangan novel Melayu adalah pada tahun 1960-an, iaitu tahun-tahun mengisi kemerdekaan. Hasil karya
dipertingkatkan dari segi kualiti dan kuantiti. Peraduan mengarang yang telah diadakan berjaya melahirkan beberapa naskah
novel yang baik dan tinggi nilainya seperti Salina oleh A Samad Said, Lingkaran dan Sandera oleh Arena Wati, Merpati Putih
Terbang Lagi oleh Khadijah Hashim dan Pulanglah Perantau oleh Ibrahim Omar. Peraduan ini sekaligus melahirkan pengarang
baharu seperti A Samad Said, Arena Wati, Shahnon Ahma dan ramai lagi pengarang.
Sajak merupakan puisi Melayu moden yang muncul pada zaman Angkatan 45. Pada zaman ini, tiada ukuran tertentu
dalam penghasilan puisi kecuali isinya sahaja. Perkara yang menjadi landasan adalah ekspresi jiwa, iaitu bahasa, rima dan
pensajakan harus berdasarkan jiwa pengarang. Sajak merupakan puisi Melayu moden yang terlepas dari ikatan puisi melayu
tradisional. Sajak mempunyai falsafahnya yang tersendiri, iaitu tidak terkonkong dan tidak terikat dengan bentuk puisi lama
yang dianggap ketat dan mengongkong. Perasaan dapat dilahirkan dengan yakin dan puas serta segala yang diucapkan
terasa lancer, segar, indah dan bebas.
Cara penulisan yang baharu telah menimbulkan beberapa sifat sajak, antaranya termasuklah balada, iaitu puisi yang
mengandungi cerita, kisah atau hikayat yang berkaitan dengan perasaan sedih atau satu-satunya kisah yang pernah dialami
oleh pengarang. Misalnya, sajak Hang Tuah yang merupakan hasil karya Amir Hamzah menceritakan keperwiraan Hang Tuah
dalam bentuk puisi. Selain itu, terdapat juga sajak roman, iaitu sajak tentang cinta kasih atau curahan kasih sayang yang
diinterpretasikan dalam bentuk sajak. Sajak jenis ini bukan sahaja merangkumi ungkapan cinta terhadap kekasih, malahan
juga menunjukkan kasih terhadap Tuhan, agama, tanah air dan bangsa. Contohnya dapat dilihat dalam sajak Terima Kasih
Kekasih.

4.0 PENUTUP
Kesimpulannya, kaum Melayu mempunyai keunikan dan kelebihannya yang tersendiri. Keunikan dan kelebihan ini telah membawa ke
arah perkembangan kebudayaan dan kesusasteraan Melayu. Kebudayaan dan kesusasteraan Melayu ini banyak dipengaruhi oleh
unsur-unsur yang datang dari luar dan diserap masuk dalam amalan kebudayaan dan hasil kesusasteraan masyarakat Melayu.
Pada awalnya, kebudayaan Melayu sama ada berbentuk material mahupun bukan material lebih banyak dipengaruhi oleh
unsur Hindu. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu pada zaman awal tidak mempunyai agama sebelum kedatangan agama
Hindu. Setelah kemunculan agama Hindu, mereka mulai mengamalkan adat masyarakat Hindu dan masih ada segelintir daripada
adat tersebut yang masih menjadi kebudayaan masyarakat pada masa kiini.
Kesusasteraan Melayu juga menerima pengaruh dari luar seperti Hindu dan Islam. Sastera Melayu bertukar konsep mengikut
peralihan zaman. Misalnya pada zaman peralihan antara Hindu dengan Islam, sastera Melayu pada mulanya banyak dipengaruhi
oleh unsur Hindu. Namun, kedatangan Islam menyababkan banyak berlaku pertembungan yang membawa kepada perkembangan
baharu dalam sastera Melayu.
Keunggulan dan kemegahan kebudayaan dan kesusasteraan Melayu mencerminkan kreativiti dan gaya hidup masyarakat
Melayu. Justifikasinya, masyarakat Melayu disarankan agar terus menjaga dan memelihara warisan kebudayaan dan kesusasteraan
Melayu agar warisan Melayu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Unknown at 14:58

Share

1 comment:

qal 20 July 2019 at 14:22


Mane rujukan dia?
Reply

‹ Home ›
View web version

About Me

Unknown
View my complete profile

Powered by Blogger.

You might also like