Antologi Puisi Semarak RIndu IAB

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 82

Antologi Puisi

Semarak Rindu
IAB
2021
Antologi Puisi
Semarak Rindu
IAB
2021

ANTOLOGI PUISI
SEMPENA MAJLIS RASMI/PERTANDINGAN
INSTITUT AMINUDDIN BAKI

KOMPILASI OLEH

DR. SAMSIAH BINTI SI-RAJAB


JABATAN KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN BAHASA
PUSAT PEMBANGUNAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN

EDITOR

Salmah binti Ismail


Nor Ishsan binti Ab. Razak

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA


Institut Aminuddin Baki
Diterbitkan oleh:
Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pendidikan Malaysia
Kompleks Pendidikan Nilai
71760 BANDAR ENSTEK
Tel:06-797 9200
http://iab.moe.edu.my
e-mel:iab@iab.edu.my

Urusan Penerbitan Oleh:


Jabatan Penerbitan dan Dokumentasi
Pusat Dokumentasi dan Sumber Pendidikan
Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pendidikan Malaysia
Kompleks Pendidikan Nilai
71760 BANDAR ENSTEK

©Hak Cipta Institut Aminuddin Baki 2021


Cetakan Pertama 2021

Hak cipta terpelihara. Tiada mana-mana bahagian daripada terbitan ini boleh
diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukarkan ke dalam
sebarang bentuk atau dengan sebarang alat juga pun, sama ada dengan cara
elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran bertulis
daripada Pengarah, Institut Aminuddin Baki terlebih dahulu.

Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan


Antologi Puisi : Semarak Rindu IAB 2020 / KOMPILASI OLEH DR. SAMSIAH
BINTI SI-RAJAB ; EDITOR Salmah Ismail, Nor Ishsan Ab.Razak.
ISBN 978-967-2996-07-1
1. Malay poetry.
2. Poetry.
3. Sajak.
4. Government publications--Malaysia.
I. Samsiah Si-Rajab, Dr. II. Salmah Ismail.
III. Nor Ishsan Ab. Razak.
899.2313

Pengurus Penerbitan
Nor Ishsan binti Ab. Razak

Reka Bentuk dan Reka Letak Halaman


Gigawise Network Sdn Bhd (640661-P)
No. 74, Jalan Kapar 27/89, Megah Industrial Park, Seksyen 27
40400 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Tel: +603-5191 1115 • Faks: +603-5191 1004
E-mel: gigawisenet@yahoo.com
www.gigaprint2u.com

iv Semarak Rindu
KANDUNGAN
Setitis Tinta vi
Selembar Kata vii
Seuntai Rasa viii

1. Bahasa Itu Indah, Halus, 23. Mampukah di Ramadan Ini 29


Tajam 1
24. Mengapa Aku Dimusnahkan? 31
2. Bahasa Jiwa Bangsa Ikatan
25. Malaysia Ku Berdaulat
Perpaduan yang Nyata 2
Tanah Tumpahnya Darahku 33
3. Hilang Kematangan Dalam
26. Milik Siapa Ramadan Ini? 35
Kedewasaan 3
27. Guru (Kau Sentiasa Hidup) 37
4. Merdekakah Kita 4
28. Akademi Ramadan 38
5. Satu Bahasa Pewaris
Merdeka 5 29. Penilaian Buat Guru 40
6. Wahai Anak Merdeka 6 30. Kini Tinggal Memori 41
7. Akulah Srikandi 7 31. Merintih Ehsannya 43
8. Indahnya Bahasa 10 32. Semarak Rindu 44
9. Aksara Bahasaku Megah 33. Murabi 45
Bangsaku 12
34. IAB Institusi Unggul 46
10. Selamat Tahun Baharu 2014 14
35. Bicara Mutiara Ilmu 48
11. Kita Unik Segala 15
36. Bahasa Jiwa Bangsa 50
12. Andai Aku Masih Boleh
Bersuara 17 37. Merpati Putih Berlalu Pergi 52

13. Tanah Ini - Kekhalifahan Kita 19 38. Perkasa Merdeka 54

14. Ramadhan Hadirmu Ku Nanti 20 39. Semerbak Wangi Jasamu 55

15. Akulah Guru Itu 21 40. Mekar Menyinari Jasa Terperi 56

16. Cikgunya Hamba 22 41. Rindu Bertamu Lagi 58

17. Generasi Baharu 23 42. Kembara Sebuah Cita 59

18. Negara Kita 24 43. Senandika Keutuhan


Pasukan 60
19. Perginya Tuan Demi Pertiwi 25
44. Di Rumah Sendiri 64
20. Gee…Mekar di Hati Kami 26
45. Warkah Kepada Aminuddin
21. Kini Tinggal Memori 27 Baki 66
22. Modal Insan Aset Hidup 46. Terima Kasih Tuan 68
Negara 28

Semarak Rindu v
Setitis Tinta
Assalamualaikum w.r.b. dan salam sejahtera.

Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT


kerana dengan izin-Nya, Buku Himpunan
sajak karya pensyarah-pensyarah IAB bertajuk
Antologi Puisi – Semarak Rindu IAB berjaya
diterbitkan. Buku ini diterbitkan sebagai
bacaan santai dan boleh dijadikan panduan
atau rujukan kepada semua penulis yang ingin
menerbitkan penulisan mereka secara kreatif
dengan penerbit IAB.

Penerbitan antologi sajak Semarak Rindu IAB mampu membantu


para pensyarah dan kakitangan IAB untuk menghasilkan karya-karya
kreatif mereka dalam genre sajak yang banyak membawa pengertian
dan makna kehidupan. Tidak sekadar penulisan akademik yang menjadi
keutamaan, IAB sentiasa membuka ruang dan memberi peluang kepada
semua kakitangan untuk berkarya secara kreatif.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada


Jabatan Kepimpinan dan pengurusan Bahasa yang berusaha untuk
mengumpul sajak-sajak yang ditulis oleh warga IAB sekaligus menerbitkan
buku ini. Usaha murni ini pasti akan membuahkan hasil yang baik kepada
semua warga IAB amnya dan kepada semua penulis khasnya. Semoga
buku ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh semua penulis
dan warga IAB.

Sekian, terima kasih


YBHG. DATO’ DR HAJI TAJUDDIN BIN MOHD YUNUS
Pengarah
Institut Aminuddin Baki

vi Semarak Rindu
Selembar Kata
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Sekali lagi tahniah kepada Jabatan Kepimpinan


dan Pengurusan Bahasa kerana berjaya
mengumpul sajak-sajak yang telah ditulis oleh
pensyarah-pensyarah IAB. Sesungguhnya
sebagai seorang pensyarah, kita tidak
sekadar berkebolehan untuk menghasilkan
karya akademik sahaja tetapi juga mampu
untuk menukil ilham dan menyusun kata-kata
dalam genre yang berbeza - sajak. Himpunan
sajak yang diilhamkan oleh pensyarah yang
kebanyakan bersempena dengan sesuatu majlis
maupun pertandingan perlulah disatukan dan dibukukan sebagai hasil
penerbitan IAB. Keupayaan dan kebolehan mereka untuk menulis sajak
perlulah dihargai di peringkat institusi.

Penulisan sajak boleh merupakan luahan hati dan perasaan tehadap


sesuatu situasi atau suasana. Malahan kehebatan mengatur dan menyusun
kata-kata dalam sajak merupakan keistimewaan yang dianugerahkan
kepada seseorang. Keistimewaan inilah yang perlu kita hargai agar nilai
estetika dalam penulisan sajak dalam kalangan pensyarah IAB tidak pupus
dan hilang dalam arus keseriusan penulisan akademik.

Usaha Jabatan Kepimpinan dan Pengurusan Bahasa dalam


menerbitkan antologi sajak ini amat dibanggakan. Adalah diharapkan jabatan
ini tidak sekadar berhenti di sini tetapi terus berusaha untuk menerbitkan
pelbagai genre lain dalam kesusasteraan yang boleh membanggakan
IAB. Pastinya kita amat bertuah mempunyai pensyarah boleh menulis
dalam pelbagai genre dan usaha penerbitan penulisan berkenaan akan
mengalakkan lagi bakat penulisan dalam kalangan pensyarah IAB.

Akhir sekali, saya mengharapkan agar ada lagi penerbitan untuk siri-
siri yang seterusnya bagi antologi sajak IAB. Penerbitan ini boleh menjadi
pemangkin dan permulaan kepada penulisan kreatif terutamanya penulisan
sajak kepada semua pensyarah. Malahan ia juga boleh menjadi bahan
bacaan sastera bagi semua yang meminati seni penuisan sajak khasnya
dan semua yang membaca amya.

Tahniah sekali lagi bagi semua yang terlibat secara langsung dan juga
tidak langsung dalam penerbtian antologi sajak IAB. Selamat berkarya kepada
semua penulis dan selamat membaca antologi sajak Semarak Rindu IAB.

ABDUL MU’TI BIN AHMAD


Ketua Pusat
Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan
Semarak Rindu vii
Seuntai Rasa
Kehidupan yang kita lalui selalunya amat sukar
dimengerti. Ada kalanya dalam melalui pelbagai
cabaran dan halangan kita bagai diajak untuk
bertatih kembali mengimbau pengajaran dan
pedoman yang kita dapati dari cabaran dan
halangan kehidupan itu. Kadang-kadang dalam
saat-saat yang tertentu kita seperti menemui
sesuatu yang amat berharga namun ada juga
ketika nya kita boleh menjadi lebih keliru. Situasi
ini bagai mengajak dan menjemput jari jemari
agar dapat laju menari menerapkan perkataan
demi perkataan ke dalam bentuk penulisan
kreatif. Bagi mereka yang berjiwa seni dan
terbabit dalam bidang sastera, aliran perkataan pasti laju membentuk
madah bicara. Namun begitu, proses penulisan tidak semudah yang
disangka kerana ia memerlukan masa, penghayatan, kematangan dan
penelitian yang mendalam. Sajak sebagai suatu bentuk penulisan kreatif
tidak terkecuali dari keperluan ini.

Himpunan sajak ini dikumpul dari pelbagai sumber seperti pertandingan


bagi acara yang disambut, perayaan-perayaan dan juga pelbagai acara
dan majlis. Malahan genre sajak turut menghias majlis-majlis yang diraikan
oleh IAB seperti majlis persaraan dan majlis harilahir. Antologi sajak ini
dikumpul sejak dari tahun 2011 sehingga 2020. Masih terdapat sajak-sajak
yang belum ditemui sepanjang tempoh itu dan pastinya IAB berhasrat untuk
menerbitkan siri kedua penerbitan seandainya pengumpulan sajak dapat
dibuat pada masa akan datang. Terdapat juga sajak-sajak dalam antologi
puisi ini yang telah memenangi pertandingan-pertandingan yang dianjurkan
oleh pelbagai organisasi. Dengan kata lain, sajak-sajak ini lebih merupakan
rakaman-rakaman kenangan penulis sempena beberapa peristiwa.

Kumpulan sajak-sajak ini diterima untuk kompilasi oleh Jabatan Kepimpinan


dan Pengurusan Bahasa, Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan
dari penulis sajak-sajak berkenaan. Pihak jabatan menyampaikan ucapan
pengharapan dan terima kasih dengan setulus-tulusnya kepada mereka.
Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih kepada semua pihak yang
turut menjayakan penerbitan antologi puisi ini.

Akhir kata, kami berharap agar antologi puisi ini dapat memberi manfaat
kepada pembaca. Semoga generasi seterusnya dapat menghargai dan
menjadikan antologi ini sebagai inspirasi untuk terus berkarya secara kreatif.

Dr. Samsiah binti Si-Rajab


Ketua Jabatan
Jabatan Kepimpinan dan Pengurusan Bahasa
Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan

viii Semarak Rindu


Antologi Puisi
Semarak
Rindu
BAHASA ITU INDAH, HALUS, TAJAM

Bahasa itu indah


dianyam cantik antara bait-bait kata
maka
mampu melerai makna yang tersirat dalam lembut satu madah
mampu merongkai babak memori dalam paparan satu ilusi
namun… andai tercalar
makna terbeza dalam intonasi tidak senada
persepsi bercanggah dalam rentak tidak selaras

Bahasa itu halus


Dijalin rapi antara baris-baris kata
maka
mampu memukau igau yang datang menyapa
mampu mencuit pesona pada lenggok alunannya
namun… andai pincang
terbias rasa mengundang gundah gulana
mengusik hati merajuk sepi

Bahasa itu tajam


Dalam lirik bidalan erti dan pengertian
maka,
mampu menghiris sinis dalam diam
membawa lara parah yang terluka perih dalam gelisah
Namun... andai dijaga
Jernih membersih kalbu yang lama pudar
Kilau menyinar jiwa yang lama muram

Bahasa itu indah… halus… tajam

dizahir antara tingkah dan wadah


mencipta wacana
tonggak sejarah bisa goyah
hanya dari
lidah yang berbicara

Nukilan:
Samsiah binti Si-Rajab
Tempat Pertama
Pertandingan Menulis Sajak sempena Bulan Bahasa Kebangsaan IAB
2017

Semarak Rindu 1
BAHASA JIWA BANGSA IKATAN PERPADUAN YANG NYATA

60 tahun negara telah merdeka


Bahasa Kebangsaan menjadi perantara
Menyatupadukan rakyat pelbagai bangsa
Hidup rukun damai tiada sengketa
Negara maju ekonomi dikongsi bersama

Bahasa Melayu ditutur semua


Baik melayu, Cina atau India semua satu bahasa
Bait-bait kata mudah difahami senang bicara
Cepat dipelajari mesra pengguna
Yong, Jamri dan Thiya senyum sekata

Terpahat di hati kita satu warga


Bicara tiada beza walau pelbagai warna
Melodi indah bergema di telinga
Lunak didiengari terpikat di sanubari senang di mata
Membuah ikatan perpaduan yang nyata
Kerana bahasa jiwa bangsa
Negara Malaysia berjaya gah dipersada

Nukilan
Wan Mimi binti Wan Omar

Tempat Kedua
Pertandingan Menulis Sajak Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2017

2 Semarak Rindu
HILANG KEMATANGAN DALAM KEDEWASAAN

Dewasa in aku melihat


Bangsaku yang kini bukan lagi bangsaku yang dahulu
Jika berkata-kata pedih menikam kalbu
Jika bercanda membawa petaka akhirnya
Apakah masih ada nilai penghormatannya di situ
Apakah bangsaku sudah hilang kehalusan budi pekertinya
Apakah bangsaku sudah hilang kesantunan bahasanya

Dewasa ini aku melihat


Bangsaku yang kini bukan lagi bangsaku yang dahulu
Mengguna pakai bahasa yang entah bagaimana
Bahasa asing dan rojak mungkin
Bukan sesuatu yang aneh jika anak-anak keturunan kita bakal mewarisi
bahasa yang bukan kepunyaan kita asalnya,
Bukan sesuatu yang aneh jika anak-anak keturunan kita tidak akan
mengenal lagi akar umbi bahasa kita yang jitu
Apakah mungkin akan terjadi
Hilang bahasa lenyaplah bangsa

Dewasa ini aku melihat


Bangsa ku yang bukan lagi bangsaku dulu
Jika dahulu menjunjung adat warisan Melayu
ibarat kata Laksamana Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia
tetapi kini kita seakan bangsa yang hidup tidak berbudi bahasa
segala perbuatan dan tutur bicara yang hilang kesantunannya
berteraskan budaya asing yang terlalu mencabar kedewasaan kita

Dewasa ini aku melihat


bangsaku yang kini bukan lagi bangsaku yang dahulu
bangsaku kini sudah hilang jiwanya dalam berbahasa
bangsaku yang kini sudah hilang kematangan dalam kedewasaannya
apakah mereka tidak melihat sepertimana aku melihat
bukahkah jika hilang bahasa maka lenyaplah bangsa
jika hilang bangsanya maka tidak akan nada lagi jiwa yang akan
mewarisi kekayaan dan kesantunan bahasa kita di bumi Melayu ini
Bukankah suatu kerugian buat bangsaku
Bukan kah…

Nukilan
Asmanurwati binti Ramli

Tempat ketiga
Pertandingan Menulis Sajak Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2017

Semarak Rindu 3
MERDEKAKAH KITA

MERDEKAKAH KITA
Derap ladam soldadu negara meningkah pikuk
Untaian jentera perang menjalar megah membelah lautan manusia kagum
Terdengar lagi di gegendang laungan keramat itu
Mengulang detik sama tahun berganti tahun
Mencecah kini angka enam puluh
Mencetus semarak jiwa menyirap meresapi rongga dada

Terkilas pandangku ke sudut itu


Lelaki tua seusia peristiwa
Menguntum senyum dalam jerih kenangan
Bergenang pilu dalam besar jiwanya
Kutahu dia bangga atas kebebasan ini
Kutahu jasanya bukan biasa-biasa

Tercerap kelihku ke sudut sana


Cucunya si tua bersorak ria
Merai gembira dalam acuan mereka tanpa rasa di raga
Menjalin menyalin budaya sang penjajah
Bebas yang serong erti merdeka terpesong.. kosong
Dan begitulah mereka hanyut menghilir waktu

Terfana tertanya aku sendiri


Masih merdekakah kita
Masih bebaskah kita
Atau tercengkamkah kembali
Dibelenggu dijarah dijajah di era baharu
Tanpa sedar
Tanpa sedar

Derap kian sayup berlalu pergi


Sorakan tetap hingar mengiringi
Belit keliru menawar rasa
Kuatur langkah meminggir acara
Pulang beriringan bersama
Persoalan yang tak pernah terungkai

Nukilan
Muhammad Rizal bin Abdullah

Pertandingan Menulis Sajak Sempena Bulan Kemerdekaan 2017

4 Semarak Rindu
SATU BAHASA PEWARIS MERDEKA

Yong, Jamri dan Thiya


Adalah serupa…tiada bezanya
Anak nusa, anak bangsa
Berwawasan, punya minda terbuka
Seharusnya kita bangga
Menjadi anak merdeka!

Yong, Jamri dan Thiya


Berlagu sama, nada seirama
Rupa paras pelbagai warna
Namun…intonasi satu suara
Gaya bahasa lenggok bunga raya
Di manapun kita…desa atau di kota
Lafaz kita seirama... MERDEKA!, MERDEKA!, MERDEKA!…
Kerana kita sehati sejiwa

Yong, Jamri dan Thiya


Hati terusik dek nostalgia lama
Cerita nenek moyang di usia muda
Dari sejarah, mulut ayah bonda
Tanah ini… tumpahnya... darah ninda
Berkorban jiwa raga, bergolak dalam bola api
Perit luka, terseksa… mereka tetap mara…
Demi satu suara, menjana maruah negara
Untuk kita… generasi mereka
Hidup tenang gembira... harmoni
Satu Bahasa pewaris merdeka

Nukilan
Wan Mimi binti Wan Omar

Pertandingan Menulis Sajak Sempena Bulan Kemerdekaan 2017

Semarak Rindu 5
WAHAI ANAK MERDEKA

Wahai anak Merdeka, senang lagi selesa…


Celik mata serba ada, makan pakai minta sahaja
Di darat, laut juga udara, angkuh bangga menikmati dunia

Wahai anak merdeka, senang lagi selesa…


Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Hanya sambutan gilang gemiliang dirasa
Apakah peperangan1 Dharurat! Juga derita!!!
Sejarah Negara yang hanya ditinda dan dibaca

Wahai anak merdeka, senang lagi selesa…


Siang malam tiada berbeza, gajet canggih putaran agenda
Sampai bila harus mimpi lena, minda dan jiwa dijajah kuasa durjana

Wahai anak merdeka, senang lagi selesa…


Ayuh bangkit sedarlah bangsa
Ubah hanyut, musnah! hanya tinggal tugu Negara
Apakah nikmat ini terus bertahta
Jika patriotik sekadar ungkapan manis di bibir sahaja

Wahai anak merdeka, senang lagi selesa…


Ayuh segera bangkit hijrahlah bangsaku
Apakah sudah tersungkur melarat baru terjaga

Wahai anak merdeka, senang lagi selesa…


Sedarlah diri, lihat kelilingmu, di mana kita?
Tinggallah si luncai dengan labu-labunya
Terima kasih pejuang bangsaku Malaysia
Keranamu, kami selesa bahagia terjaga

Wahai anak merdeka, senang lagi selesa…


Usah hilang membangun bangsa Malaysia tercinta
Kerana kitalah pewaris Negara bangsa merdeka.

Nukilan
Rosnah binti Arba’in

Pertandingan Menulis Sajak Sempena Bulan Kemerdekaan 2017

6 Semarak Rindu
AKULAH SRIKANDI

Andai mampu ku singkap kembali tabir semalam


Berlorek aneka perih, jerih,
bersama air mata dan keringat yang mengalir,
Bercampur baur tekad, azam serta semangat yang gigih
Pasti ada…
hati yang bertanya
Bagaimana bisa aku sampai di sini
Tetap gagah berdiri
Ketika ini,… saat ini

Duniaku…
penuh cabaran dugaan berliku
Menuntut luasnya pengetahuan,
tingginya kemahiran
utuhnya sebuah pendirian

Lidahku…
Mesti petah melontar bait-bait kata
agar mampu membangkit semangat,
menjana kreativiti
mencetus inovasi,

kakiku…
tidak memungkinkan aku mengundur
walau selangkah ke belakang
pasti aku mara ke hadapan

tanganku…
mengenggam erat
memimpin warga pendidik
mendaki tangga jaya

agar tidak jatuh bersama kelopak kekalahan


agar tidak sangkut di dahan kehampaan
agar tidak gugur bersama bunga kekecewaan.
Aku mesti terus mara

Semarak Rindu 7
1980
aku seorang pendidik di daerah sepi nan jauh…
Miri
Bertahun keiikhlasan baktiku
Menitip impi mengharung gelora
Generasi ini
aku gagaskan ke puncak jaya

Rezekiku…
beralas keredhaan dan ketabahan
hari demi hari
mendidik anak bangsa erti kehidupan.

2005,
Gabungan Bintulu,
jajahan pendidikan yang dahaga bimbingan dan sokongan
menuntut pembaharuan
Aku bingkas bangun
untuk khidmat berterusan
membina jambatan ilmu
Menatap wajah pendidik

Akulah pemberi paling setia itu

Akulah pemilik tiap akar ilmu itu

Akulah pelita dan lampu segala

Buat manusia sebelum menjadi dewasa


Kerana aku tahu itu adalah kewajipan

19 Ogos 2014,
Bumi kenyalang jadi taruhan kewibawaanku
Setinggi mana kenyalang bisa terbang
Menggalas ikrar pendidikan
Merempuh badai dari arus global
yang datang bertentangan
hidup ku…
dilingkari lautan ilmu berombak ganas
Aku perlu tabah dan cekal
Garang menerjah gelombang
Sarawak … tidak mungkin ketinggalan

8 Semarak Rindu
Detik berganti detik,
Masa berlalu deras… pantas
10 April 2015,
Aku bersimpuh anggun di atas persada agung
Premier Centre menjadi realiti
Kepimpinanku dianyam profesionalisme
disulam kompetensi bertaraf tinggi
Menguji akauntabiliti dan integriti
Menjunjung kredibiliti

Di sini…
Institut Aminuddin Baki
Wadah pembinaan negara bangsa
Kepimpinan pendidikan - Berpaksi jati diri

Di persada ini…
Wacana amanat agung pembentuk generasi
menempa sejarah

Hari ini…
3 Mac 2016
aku masih bisa berdiri utuh
Mendepani kemelut dunia yang gelora
kental menghadapi segala kemungkinan
Kerana…
Aku masih berjiwa pendidik
Rohku masih seorang guru

Seluas mana pun pandanganku


Sejauhmana pun kembara ku
Sekuat mana pun launganku
Aku sedar ….aku tahu
Aku masih tetap bisa
Tegar berdiri ….
bagai srikandi

Nukilan
Samsiah binti Si-Rajab

Sempena Majlis Persaraan Pn. Hjh Serina binti Sauni


Pengarah IAB 2017

Semarak Rindu 9
INDAHNYA BAHASA

Salam Sejahtera
Butiran bicara dicanang warga
Lontaran doanya dibuka
Santunnya bahasa
Dalam makna terungkai sasarnya

Apa khabar?
Tanya hati meruntun jiwa
Penuh harapan tentang waktu terlepas
Agar jaya mengharungi petaka
Waktu berlalu yang ditagih
Terungkap kisah silamnya zaman

Semoga maju jaya


Bicara penaik semangat
Menambah motivasi jiwa merdeka
Menjadi pembakar nafas
Menjadi pembuluh hidup
Menjadi pengalir darah pahlawan

Selamat jalan
Bahasa dipupuk di bibir
Menyerlahkan sopannya biasa
Agar bahasa menjadi luar biasa
Kebiasaan yang menjadi budaya
Budaya yang menjadi tiang nusa

Moga bertemu lagi


Di waktu muka yang belum pasti
Dirangkum bahasa meresap di jiwa
Tanpa rasa curiga di hati
Bahasa ditutur mengikat budi
Seperti kendi kuriknya
Seperti saga merahnya
Seperti bahasa puitisnya
Seperti warga punya identitinya
Bukan omongan kosong pembuka sandiwara

10 Semarak Rindu
Terima kasih
Budi empunya dibalas mesra
Lambang pemegang pecinta bahasa
Digenggam tidak lebur
Direndam tidak lenjun
Dijemur tidak kontang
Dipasak teguh kejap

Nukilan
Kamaruzaman bin Moidunny

Tempat Pertama
Pertandingan Menulis Sajak Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan IAB
2014

Semarak Rindu 11
AKSARA BAHASAKU MEGAH BANGSAKU

Aksara demi aksara


bergabung agar membentuk makna
sebuah jiwa bangsa dalam melakar sejarah manusia
menjadi bait-bait puisi indah
mengalun merdu menusuk jiwa nan gundah
tatkala semua orang seakan-akan berpaling daripadanya

Apabila helaian demi helaian warkah usang itu aku buka


satu demi satu memori silam menerjah kota fikiran
betapa dahulunya bangsaku lunak dalam peradaban
masyhur di persada jajahan Melayu
hanya kerana bahasamu
bangsamu menjadi jitu
hingga negaramu megah tanpa seteru

Aksara bahasaku
Walau kini menerima tamu
daripada serata dunia
menyatu membentuk kata
yang dimengertikan maknanya
bisa berdiri sama tinggi
duduk sama rendah
berlunjur melepas lelah
terpasak kukuh agar tidak ampuh
memperkasakan dan mamperindahkan bahasamu

Aksara bahasaku megah bangsaku


usah gentar pada modennya dia
usah pilu pada coretan-coretan sembilu pena
tetaplah kau di situ dan teruslah berjalan
walau langkahmu sesekali tumbang
walau tarimu seakan-akan sumbang
namun bagiku di jiwa tua ini
tidak akan sekali-kali goyah
dalam menyantunkan bahasamu
malah banggaku kerana bahasamu adalah nadiku
yang berdegup setiap kali aku melantunkan kata demi kata

12 Semarak Rindu
Aksara bahasaku megah bangsaku
antara pantun-pantunmu
antara syair-syairmu
antara sajak-sajakmu
antara gurindam dan selokamu
ada cerita yang ditempa menjadi amalan
ada teguran yang bersulam nasihat moyang
ada hitam dan putih mencorak lukisan kehidupan
maka … usahlah kau menutup pintumu yang satu itu
kerana mereka di atas sana mahu memberi salam
untuk meminangmu dan menyantunimu
agar terus megah di persada dunia.

Nukilan
Siti Monazairin binti Jelani

Pertandingan menulis sajak sempena Bulan Bahasa Kebangsaan IAB


2014

Semarak Rindu 13
SELAMAT TAHUN BAHARU 2014

2013 ...
Telah ku katakan
Jangan kau pergi
Meninggalkan noda dan dosa
Tanpa taubat nasuha
Meninggalkan bala bencana
Derita seantero dunia
Aku ... aku yang akan terima
Tinggalanmu yang porak-poranda
Adakah aku mampu
Menebus kesilapanmu
Membaiki segala

2014 ...
Aku harus pergi
365 hari begitu singkat
Apa boleh ku buat
Manusia yang haloba ... dahaga
Tiada rasa cinta sesama insan
Kepada alam dan ... kepada pencipta
Namun mengapa kau tangisi
Bukankah banyak gemilang dan jaya
Ku hulurkan padamu ... tanpa meminta apa-apa
Gemilangku gemilangmu jua
Berjanjilah ... pastikanlah
Hidup lebih indah ... bahagia
Agar kau dikenang berabad lamanya

Nukilan
Abd.Rahman bin Mohid
(Pensyarah IAB 2005 – 2014)

Sempena Kehadiran Tahun Baharu 2014

14 Semarak Rindu
KITA UNIK SEGALA

Kita unik segala


Dunia kaget tertanya-tanya
Bagaimana kita boleh bersama
Ratusan etnik bangsa berbeda
Warna kulit tidak serupa
Loghat dialek tidak sama
Budaya lain berbagai cara
Wajah ikut acuan rupa
Bumi luas bertabur merata
Namun berpadu teguh sekata

Azimat agung terpahat di dada


Wasiat raja di hari merdeka
Bahasa Melayu Bahasa Negara
Semua setuju janji setia
Paksi komunikasi paksi rasmi
Dewan Rakyat Dewan Negara
Pengamal utama

Semua bertutur hubungan antara


Walau kekok tak fasih bicara
Papan tanda iklan merata
Digantung dipakai seluruh negara
Di timur di barat selatan utara
Mengguna bahasa yang sama
Majlis rasmi senada seirama
Petah bicara bahasa serupa

Sabah Sarawak
Iban, Dusun, Kadazan, Bidayuh, Jawa
Melayu, Cina, India
Melafaz kata bahasa yang sama
Bersatu berpadu tanpa ragu
Bangga dengan bahasa Negara

Ayuh...
Pertahankan bahasa Negara
Martabatkan ia di gagasan bangsa
Jangan dirobek jangan dihina
Biar putih tulang jangan putih mata
Demi sumpah mahkota setia
Di awal merdeka muafakat bersama

Semarak Rindu 15
Dahulukan...
Utamakan...
Alat komunikasi utama
Pengantar pendidikan dibida
Bahasa ilmu bahasa maklumat
Kekal ia menjadi keramat

Rosak ia hancur Negara


Perpaduan berkecai berkecamuk bangsa
Martabatkan ia di dada nusa
Satu Bahasa Satu Bangsa Satu Negara.

Nukilan
Ustaz Kamal Ariffin Mad Jaih
AbiIab Usrotu

Johan
Pertandingan Menulis Sajak Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2016

16 Semarak Rindu
ANDAI AKU MASIH BOLEH BERSUARA

Andai aku masih boleh bersuara


Dan ruang masih ada
Akan ingin sekali aku katakan

Pengembaraanku,
Tidak sekadar hanya satu perjalanan yang hambar
Yang membisu pada persengketaan
Yang menyepi pada kebenaran
Lantaran itu kau sahabat, perlu tahu
Suara lantangku kerap menerjah
Hati-hati yang gelisah resah mencari setulus resolusi
Malahan…
Kau juga tahu
Bisikan sapaku perlu diaju berani
Kerana persoalan dalam setiap persimpangan
Perlu kukuh mempertahan maruah
Yang menguji keimanan dan takwa

Sahabat,
Andai aku masih boleh bersuara
Dan ruang masih ada
Akan ingin sekali aku katakan

Pengorbanan ku
Tidak langsung mengharapkan sekelumit pengiktirafan
Namun,
Aku ingin sekali merasa dan mengecapi
percikan kasih dalam pengertian yang sekadar cuma
Mengapa aku singgah sementara di sini
Sehingga kini.

Tenang aku sekadar cuma mengharapkan


Agar diri ini dikenali dan disedari,
Seumpama insan yang sepertimu jua
Berjuang untuk nusa dan bangsa
Dan ada kalanya
Tergelincir dari landasan perjuanganku tanpa sengaja
Kesabaran dan kesungguhanku yang tertaut, terlerai, ada ketikanya
Terburai merungkai simpulan kental yang lama kupertahankan

Semarak Rindu 17
Sahabat,
Andai aku masih boleh bersuara
Dan ruang masih ada
Akan ingin sekali aku katakan

Perjuanganku
Perlu diteruskan waima apapun halangan dan cabaran yang ditempuhi
Kutinggalkan buat kamu semangat perjuangan yang harus digenggam
tanpa gusar akan perih tirisannya
itu adalah keindahan sebuah pengembaraan
ianya tiada ada kesudahan

Namun begitu sahabat


Andai aku masih boleh bersuara
Dan ruang masih ada

Aku ingin engkau tahu


Terlalu banyak tawa ria
Terhimpun di sepanjang perjalanan ini
Yang akan ku bawa bersama

Dan
Sahabat
Kita
tidak perlu menyimpan duka

Nukilan
Samsiah binti SI-Rajab

Sempena majlis Persaraan Tn. Hj. Mohd Mujab bin Sukaimi

18 Semarak Rindu
TANAH INI - KEKHALIFAHAN KITA

Kita sedar…
landasan kehidupan ini tidak pernah lurus.
Jauh sekali tanpa ada rintangan yang menghalang,
Jauh sekali tanpa ada dinding yang menghadang,
Jauh sekali tanpa ada masa yang pastinya tidak akan pulang.

Lantaran itu..
Kita perlu, tanah yang kita pijak ini, tidak tandus tidak pupus,
Kita rindu, tanah yang kita pijak ini, tidak disambar terik mentari yang
panas membakar hangus,
Kita mahu, tanah yang kita pijak ini, nyaman dengan siraman kasih yang
kudus,
Agar landasan laluan kehidupan kita kukuh silaturahim dengan Nya,
Agar landasan laluan hayat kita tidak dibadai getaran gerhana yang derita.

Jika pun disiram kegersangan dan kepanasan


Tanah yang kita pijak ini, tidak akan bisa gegar tenggelam dalam kealpaan
Kerana dipaut kasih dan sayang, ukhwah yang berpanjangan

Bagai dituntut…
Tanah ini,
Tempat bertapak ilmuan sarjana
Tempat berlindung penuntut bijaksana
Tempat berteduh rakyat yang setia meneman
Tempat bernaung insan yang gigih mencari keredhaan

Walhal,
Kita sedia tahu dan memahami
Tidak mudah untuk menuntut pengertian
Walau diterjah dengan pelbagai hujah yang munasabah
Agar kita mampu gagah menjunjung hadis dan nas Al Quran
tanah ini, perlu terus dihuni
penuh amanah, penuh rahmah
sentiasa diberkati dan disyukuri

Alhamdullillah,
Tanah yang kita pijak ini, milik ummah sejahtera
Yang tiada leka
Mencari kekhalifahannya di dunia

Nukilan
Samsiah binti Si-Rajab

Tempat Kedua
Pertandingan menulis sajak sempena Sambutan Maulidur Rasul

Semarak Rindu 19
RAMADHAN HADIRMU KU NANTI

Ramadhan dan Malam Al-Qadr


...Ramadhan
Engkau hadir lagi
persis seorang kekasih
membawa haruman kasturi
mewangi dalam rasa iman
untuk yang menginsafi
Ramadhan tuntutan Ar-Rahman

…Ramadhan
Engkau datang lagi
bagaikan ribut pasir padang Sahara
menghambur debu-debu keperitan
membahang rasa segala sukar
untuk yang mengengkari
Ramadhan perintah Al-Jabbar

…Ramadhan
Apapun hadirmu
Aku tetap mengharapkan malam yang satu
Malam puncak
Malam Al-Qadr
Malam penuh rahmat
Malam penuh keampunan …………

Ya Rabb… berikanlah aku peluang


menghidupkan malam ini
satu malam yang lebih baik
daripada seribu bulan

Nukilan
Dr. Abang Hut bin Abang Engkeh
10 Ogos 2010
29 Syaaban 14

Sempena Kehadiran Bulan Ramadhan 2010

20 Semarak Rindu
AKULAH GURU ITU

Akulah guru itu,


dituntut segala tahap kesabaran, ketabahan, tawadhu’, empati,
dimohon setia, tenang, berdedikasi,
dijamin gelaran suci kekal abadi,
dipaksa berani, berantakan hujah melindungi diri
demi memartabatkan profesion keguruan

Akulah guru itu

Antara pertarungan pedih dan sedih, memilih untuk sembunyikan perasaan.


Di sebalik jerih penat dan lelah, memilih untuk menawar senyuman.
Mencari barokah dalam kembara proses menterjemah visi dan misi
Pendidikan.
Cekal meneroka wahana kesarjanaan - online, google meet, google
classroom, you tube, zoom.

Akulah jua insan yang terkadang rapuh namun tega memburu ilmu,
ku jejaki pendeta agung mempertahankan kompetensi kendiri,
mengembleng arus pemikiran positif dalam kemelut gundah kemahiran
yang ada,
waktu dan tenaga dijana keras membelah badai kemelut Revolusi 4.0
dan Pendidikan Abad ke-21.
Aku perlu mampu merealisasi trend masa hadapan yang sentiasa kabur,
peka dengan yang bakal pergi menghilang sepi dan gah menghadapi
yang datang menjengah cuma,
berupaya untuk navigasi dengan perubahan dan inovasi,
berkebolehan untuk mengurus kuasa dan mempertahankan delegasi.

Namun akulah itu yang sentiasa sedar,


muridku harus komited melangkah berani,
sebagai waris penjenang FPK.

Akulah guru itu, yang juga bersedia menerima autonomi mereka.


Suatu waktu nanti,
dalam suka dan bangga di hati,
dalam bisikan maupun laungan kuat.
mereka mengaku,

Akulah guru itu

Nukilan
Dr. Samsiah binti Si-Rajab

Penyertaan Sempena Pertandingan menulis sajak Hari Guru Kebangsaan


2020
Semarak Rindu 21
CIKGUNYA HAMBA

Asalnya dipaksa bunda


Walau telah melepasi usia
Mulakan langkah tidak ceria
Dalam paksa ada rela
Lalu di MPPM segalanya bermula

Hati mula memaut rasa


Menimba ilmu mendidik Bahasa
Pen itu untuk pena
Pencil itu pensel jua
Lalu kenapa pula
Pemadam menjadi eraser
Dan pembaris dipanggil ruler

Sembilan purnama di aras rendah


Tambah sepuluh di tahap menengah
Campur tolak tambah cuti sarjana
Dua puluh tiga tahun dipanggil teacher

Tidak terlintas di benak hamba


Institut Aminuddin Baki mengamit mesra
Rezeki tidak disangka-sangka
Seperti yang disuratkan Allah Ta’ala
Sepanjang masa ilmu ditimba
Berkongsi pengetahuan dan pengalaman jua
Seiring peserta hampir seusia

Kini masanya hampir tiba


Hari dihitung jam berbicara
Tiga puluh satu tahun usia dibelanja
In Shaa Allah cukup untuk di kira
Semuga bakti yang dicurahkan diganjari pahala

Sebelum masa hamba bersara


Hamba halalkan ilmu milik pencipta
Hamba mohon kemaafan jua
Atas khilaf sesama manusia
Titipkan doa buat hamba
Dikala rindu mengusik jiwa
Menjelma tiba…

Nukilan rasa hamba


Marina Abas
IAB2020

22 Semarak Rindu
GENERASI BAHARU

Mari kita bina generasi baharu


Generasi berilmu
Generasi tahan gelodak dan cabar
Generasi yang mengenal TUHAN dan ASAL
Generasi yang berkata benar
Generasi yang berani gagal dan berani mencuba
Generasi yang berhemah
Generasi yang tidak pernah mengalah
Generasi yang beriringan dengan perkembangan dunianya
Generasi yang hidup bersama-sama

Kerana
Masa depan dunia ini untuk mereka
bukan lagi untuk kita
mengapa mesti kita wariskan
rasa dendam dan kesumat
rasa benci bergejolak
rasa marah yang tak pernah reda
seperti yang sentiasa kita bawa dalam fikir dan jiwa kita

sama-sama kita bangunkan


satu generasi yang hebat
yang dikenang sepanjang hayat
GENERASI BERILMU DUNIA AKHIRAT

Nukilan
Dr. Redzuan bin Jantan
Senawang Perdana

Semarak Rindu 23
NEGARA KITA

Negara ku yang ku cinta


Keunikan mu… buat ku gila
Hati bergelora... bagai ombak di pantai
Melihat keindahanmu di persada

Negaraku... negara dia


Tanah tumpahnya Ali
Lahirnya Muthu… dan Ah Lee
Aku Melayu dia lain bangsa

Uniknya negara kita


Pelbagai warna bangsa
Banyaknya perayaan di suatu masa
Hidup aman dan sentosa
Susah senang diharungi bersama

Kita tiada beza…


Dia dengan caranya
Aku dengan impian mewarna
Kami teguh bersatu...
Kami ibarat isi dengan kuku
Kami kasih mengasihi...
kami bantu membantu...
kerana kami satu Malaysia
sehati sejiwa

Nukilan
Wan Mimi binti Wan Omar

24 Semarak Rindu
PERGINYA TUAN DEMI PERTIWI

11 April 2016 hari bahagia


Saat dinanti warga IAB
Pemimpin berwibawa meneraju kita
Menyusuri liku-liku sungai transformasi
Memperkasa IAB dalam era teknologi

Bulan demi bulan takwim ditempuhi


Amanat tuan bermain di telinga kami
Bagai anak manja disusui
Demi mencapi misi dikecapi
Agar IAB muncul bak mentari

18 Oktober 2017 saat mendebarkan hati


1-Tahun, 6-bulan, 7-hari, kita berlari
Memanjat tiang gagasan visi
Takwim belum habis dijelajahi
Sedih melambai tuan pergi
Namun apakan daya kami redhai
Hanya kenangan tinggal di mimpi

Perginya tuan demi pertiwi


Misi besar KPM sedang menanti
Menumpang gembira kami di sini
Segala budi tuan kami ingati
Maafkan kami yang nakal tidak terperi
Mengusik tuan mencabar sanubari
Tegarnya tuan melayan kondisi
Rezeki menanti tuan yang berbudi pekerti
Tahniah... tuan mantan Pengarah IAB
Timbalan Pengarah Pendidikan Malaysia yang kini
Selamat maju jaya bisikan hati kami
Intai-intailah kami di bawah ini
Semoga PPPM bukan lagi misteri
Agar IAB mekar di taman pertiwi

Nukilan
Wan Mimi binti Wan Omar

Sempena Majlis Lambaian Budi Tautan Hati majlis persaraan


Y.BrsDr.HajiZainalAalambinHassan,PengarahIAB(11.04.2016-18.10.2017)

Semarak Rindu 25
GEE…MEKAR DI HATI KAMI

21 Disember 2017 hari ini


Club Goft Kota Serimas jadi saksi
Pertemuan kita PPT di sini
Istimewa buat teman dirai
Bukannya titik henti
Tapi... permulaan yang dinanti
Setiap kita… pasti lalui
Bukan mimpi nyata terjadi
Hari ini Kak Gee…
Esok lusa kita alami

Gee… gelaran diberi


Orangnya lembut tapi tegas sekali
Suara manja semulajadi
Rakan taulan senang didampingi
Ilmu dimiliki mudah diberi
Tidak lokek pemurah hati

Gee…
Kerja diterima semua menjadi
Pandangan dan idea dikongsi
Visi, Misi IAB tegarnya di hati
Keguruan sebati dalam diri
Menunjuk ajar pemimpin sekolah - hingga kini
Ada sahaja kerja juga aktiviti
Cutinya banyak masih berbaki
Persaraan ini masanya untuk manjakan diri

Lihat… wajahnya tersenyum berseri-seri


Lesung pipit kanan dan kiri
Maafkan kami andai tersalah mencuit hati
Majlis ini persembahan daripada kami
Semoga lekat kenangan kita di sini
Menjadi nostalgia indah di memori

Gee...
Terima kasih daripada kami
Harapan dapat berjumpa lagi
Ya… nostalgia ini yang pasti
Gelak tawanya dirindui…
Bakti dan budi yang ditaburi
Mekar di hati kami

Nukilan
Wan Mimi Bt. Wan Omar

Sempena persaraan Nor Zilah binti Abdullah pada 8 Disember 2017

26 Semarak Rindu
KINI TINGGAL MEMORI

Shamsul Bahri…mengikut jejak Kak Gee


Meninggalkan kita bersilat mengejar misi
Datang dan balik kerja bermotosikal tinggi
Aduhai kenapa cepat nak pergi?
Gelak ketawa belum kering gusi
Banyak simpulan belum dimengerti
Penyelesaian algorithma pening kepala kami

Motosikal letak di pintu besi


Naik ke bilik lupa tanggal topi
Dalam kepala SKT menanti
Mengharapkan INSYST berfungsi
Pakar membangun Aplikasi
Perginya sukar menemukan pengganti
Algoritma INSYST banyaknya teka teki

Mulut nakal, namun hati berbudi


Buat bising memecah sunyi
Stres bekerja dapat dikurangi
Membentuk suasana harmoni
Sejahtera ditempat kerja diperolehi
Kini,.. tinggal sebagai memori
Jauh dimata…namun dekat dihati kami
Terima kasih Shamsul Bahri
Selamat bersara manja disamping isteri

Nukilan
Wan Mimi bin Wan Omar

Sempena persaraan En. Shamsul Bahri

Semarak Rindu 27
MODAL INSAN ASET HIDUP NEGARA

Kita berbeza tetapi satu suara


Nada melodi pelbagai seirama
Bertugas di kota maupun desa
Bekerja di premis atau ruang terbuka
Mencurah idea atau tenaga
Tetap bersama sehati sejiwa
Kita aset hidup ibu pertiwi
Yang unik punya identiti
Individu yang mampu berdikari
Mahir dibidang yang diceburi
Generasi pelapis yang diwarisi
Turun temurun hingga kini
Anak desa turun ke kota
Anak kota sebaliknya
Membawa bekal didada
Nilai murni semat dijiwa
Pesan guru ingat tidak dilupa
Modal insan nadi ekonomi negara
Usaha giat untuk berjaya
Kita harta negara
Tidak ternilai harganya
Ikatan ukhwah dijana bersama
Lahirnya bangsa Malaysia
Hidup rukun aman sejahtera
60 tahun telah merdeka
5 tahun sekali pilihanraya
9 Mei hari mengundi calon anda
Buatlah keputusan bijaksana
Kita Aset Hidup Negara
Modal Insan bernyawa
Melebihi emas dan permata
Setiap tahun disambut mesra
Mei 2018 sangat istimewa
1 Mei Hari Pekerja
12 Mei Hari Jururawat pula
13 Mei Hari Ibu tercinta
16 Mei Hari Guru pendidik warga
Dirai pada bulan yang sama
Mei bulan Lima

Nukilan
Wan Mimi binti Wan Omar

Sempena …9 Mei 2018

28 Semarak Rindu
MAMPUKAH DI RAMADAN INI

Mampukah di Ramadan ini


Ku tutupi telinga ini
Dendangan irama hampir melupai
Lalai alpa mengingati
Mampukah di Ramadan ini
Dirobek telinga kebal dengan melodi
Sudah sebati mendarahi
Aku Yang Tersakiti
Bahgiamu Deritaku idola diri
Keduanya terkepung disanubari
Mampukah buang jauh ke lautan api
Ayat-ayat pedoman sebagai pengganti

Mampukah di Ramadan ini


Tutupi mata jernih ini
Panahannya tidak henti
Dedahan putih gebu berseri
Jelingan kenyitan bererti
Senyuman menguntum memberi
Goyangan tubuh melalui
Terpahat dikehidupan hari
Mampukah butakan hati
Ayat –ayat kebaikan ganti pancari

Mampukah di Ramadan ini


Kunci mulut bicara
Berbicara kosong tanpa makna
Kata nista kisah manusia
Kumat kamit ayat dusta
Omongan tanpa hala
Mampukah matikan segala
Zikir, tasbih tahmid dibibir bertahta
Pengawal utama mulut mulia

Mampukah di Ramadan ini


Ku tetapkan minda
Dari fikir dunia sementara
Hanya wang pangkat berharta
Mampukah nyahkan semua
Fikir kebesarannya pembalasannya di otak bernyala
Kekal bersemadi di minda bahagia

Semarak Rindu 29
Mampukah di Ramadan ini
Ku kempiskan nafsu selera
Bertandang ke Bazar agenda utama
Meredah asap ikan bakar
Ayam pusing sentiasa berlegar
Minuman berperisa nampak segar
Aneka kueh dan kentang putar
Murtabak siap ada ditebar
Lauk pauk air liur menggecar
Menambah rasa lapar
Semuanya dibeli tanpa sabar
Nak baham semua semasa iftar
Mampukah ia disingkirkan
Bersederhana ikut kemampuan
Ikut Sunnah junjungan
Lepas iftar dapat kekuatan
Bukan longlai lemah kekenyangan
Terawih hanya dalam igauan

Nukilan
Ustaz Kamal Ariffin bin Mat Jais
Sempena kehadiran bulan Ramadhan 2019

30 Semarak Rindu
MENGAPA AKU DI MUSNAHKAN?

Inilah rupaku
Mulanya hasilan tangan keras kasar
Digantung, digayut di tempat dimerata
Dimana saja.
Di istana, di hotel penginapan, dirumah maupun diladang, di hutan
belantara
Aku pasrah dengan rupaku yang tidak seindah rupa gadis sunti
Namun aku tetap bermakna dan bererti
Aku bersedia menerima siapa saja
Raja maupun rakyat jelata, samseng maupun alim
Aku menerima dengan rela
Semua hidup selesa
Nyenyak tidur berdengkur dan berbagai nada dan irama
Aku tak pernah pertikaikan kamu siapa?
Apa bangsa kamu dan agama kamu
Lelehan bau busuk dan masam mencuka tetap aku layani
Sekian lama aku menghambakan diri kepada semua
Aku bentengi musuh durjana
Nyamuk dan drakulla sentiasa mencari peluang
Ingin memasuki ku untuk mencari rezeki dari penghuni ku yang tersedia
Namun ada juga insan yang berusaha menjaga imej ku sebagai
pelindung maya
Mereka cari dan cari musuh durjana
Mereka kelilingi dalam ku demi menjaga imejku
Mereka musnahkan musuh durjana yang memasuki ku.

Sekian lama aku menjadi pelindung


Hampir 55 tahun aku berbakti
Wajahku dihias, di andam demikian rupa
Walaupun wajah berupa beza
Namun tugas aku tetap setia

Generasi baru sudah lupa


Datuk nenek moyang mereka aku jaga
Mereka dilahirkan dan dibesarkan dalam aku
Tergamak katakan aku sudah tidak perlu
Aku ingin dilemparkan malah ingin dirobek
Dek kerana sedikit kealpaan membiarkan musuh durjana
bermaharajalela didalam ku
Terus….
Ubat dan racun berasap sebagai pengganti
Mereka tidak sedar itu racun boleh membunuh tanpa ketika

Semarak Rindu 31
Keterlaluan!!!!!!
Kita bakar dan kita bukan generasi aku
Kita generasi racun dan asap berbisa
Aku tidak dikenang jasa
55 tahun aku berjaga
Mereka hidup selesa
Pembangunan rohani dan jasmani dan segala
Keselamatan dan keamanan yang amat berharga
Keselesaan dan kebahgiaan didakapi bersama

Jasa siapa?

Fikirkan generasi ku
Mengapa racun dan asap diutama
Malah aku kelambu lama mengapa dilupa

Memang tak mengenang jasa .


Hidup selesa
Riang ria, rumah besar mewah gagah
Makan besar, penuh nikmat syurga dunia
Kereta menjalar dijalan raya
Bangunan tinggi melangit mencakar cakerawala
Hiburan menggila
Semuanya ada
Hebat dan tersohor seantero dunia

Kerana siapa?

Akulah kelambu yang setia


Sudah dilupa .
Memang tak mengenang jasa .

Nukilan
Ustaz Kamal Ariffin bin Mat Jaih
Sempena 2012

32 Semarak Rindu
MALAYSIA KU BERDAULAT TANAH TUMPAHNYA DARAHKU

Walau hebatnya ujian melanda


Walau hebatnya serangan menduga
Walau hebatnya konspirasi direncana
Walau hebatnya serangan menggila
Serangan budaya serangan minda
Serangan fizikal kudrat kuasa
Kau tetap berdaulat utuh dipeta dunia

Musuh durjana
Luar dalam berpakat bersama
Ingin meruntuh mencabar daulat perkasa
Konfrontasi Indonesia
Bunuhan kaum 13 Mei derita
Tentera Merah Jepun memaksa
Merudum ekonomi dunia
Ancaman sesat minda dan agama
Segalanya ditangani pemimpin bijaksana

Gilanya Sulu sudah berlalu


Gilanya kongsi gelap gangster meluntur layu
Gilanya konspirasi upahan musuh sudah dihidu
Gilanya pakatan hancurkanmu semakin lesu

Malaysiaku Berdaulat
Namamu mengharum wangi didunia sejagat
Segala bidang acara kau hebat
Segala agenda kehadapan kau rapat

Ideamu tingkahmu
Jadi ikutan dunia alam
Berbagai bermacam mengikat kuat
Dek toleransi dan muafakat

Disini tumpah darahku


Mengalir semangat jati bangga denganmu
Disini tumpah darahku
Mengenggam semangat berkobar mempertahankan daulatmu

Semarak Rindu 33
Aku rela
Membanting tulang empat kerat
Aku rela
Membasahi bumi dengan keringat
Aku rela
Pecahkan minda merencana keramat
Aku rela
Gugur syahid demimu kekal berdaulat

Nukilan
Ustaz Kamal Ariffin bin Mat Jaih

34 Semarak Rindu
MILIK SIAPA RAMADAN INI?

Ku gagahi jua
Bicara tentang cinta
Cinta terhadapmu (Ramadan)
Kini…
Kau dihadapanku
Ungkapanmu…
Peluklah aku . ..Aku milikmu
Aku serahkan tubuhku untukmu
Penuhilah serakahmu terhadapku
Namun…
Aku gadis bidadari suci
Syaratnya maha tinggi

Sebelum kau kucupiku


Basahi bibirmu dengan zikir dan tasbih
Sebelum kau pelukiku
Sasakan tubuhmu dengan gerakkan solatmu
Sebelum kau temukan dahimu
Tandakan dahimu dengan kesan sujudmu
Sebelum kau sentuhiku
Sucikan tanganmu dengan wudukmu
Sebelum kau khayalkanku
Kuduskan mindamu dengan fikrah islamimu
Sebelum kau bicara denganku
Istiqomahkan lidahmu dengan tahmid dan takbir
Sebelum kau menjelingiku
Tajamkan matamu dengan renungan Al Qurán
Sebelum kau ungkap kata cintamu
Ungkapilah dengan hadith Rasulmu

Aku tak sudi !!!!!!!

Bibir basah fitnah nista


Borak kosong tanpa kerja
Al Qurán hanya hiasan cuma
Tak baca tak jadi petua
Solat sunat pun berkira
Bersedekah pun dihadapan kamera
Canang sana heboh segala
Asyik tidur …lemah berbicara
Asyik meludah ke tanah melata
Beritau aku puasa

Semarak Rindu 35
Muzik gila melodi pelupa
Masih di gendang telinga
Perangai lama
Tetap kekal selamanya

Jam 2 mula bicara


Apa juadah apa nak makan untuk berbuka
Hampir lupa kita puasa
Dihadapan TV habis segala

Jam 6 mula bercanda


Ke Bazar nak lantak semua
Semua enak semua berselera
Beli tanpa berkira
Bila berbuka pandang saja.

Rupanya hujan ditengahari


Sangkakan jimat
Rupanya joli

TAK MALU KE !
KAU BUKAN MILIK KU

Nukilan
Ustaz Kamal Ariffin bin Mat Jaih
Sempena RAMADHAN

36 Semarak Rindu
GURU
(KAU SENTIASA HIDUP)

Sentuh pandangmu ilmu


Ucap bicaramu ilmu
Tegur nasihatmu ilmu
Ganas bengismu ilmu
Gaya pakaimu ilmu
Hayun langkahmu ilmu
Imej dirimu ilmu
Segala padamu ilmu

Guruku
Kau menjadi ikutan
Padamu ilmu dan teladan
Setiap kata dan ucapan
Setiap amal dan perbuatan
Menjadi ikutan sepanjang zaman

Kau sudah pergi


Hancur berkecai jasad diri
Namun ilmu mu sudah sebati
Dipertahan warisan jati diri
Sanggup korban diri
Demi ilmu yang amat berbakti

Kau sudah tiada


Ilmumu segar sepanjang masa
Kau tidak berbicara
Ilmu bicaramu tetap membara
Dibibir murid mu petah berkata
Didewan rakyat, dipentas dunia

Kau sentiasa hidup


Kerna ilmu mu sentiasa dipaut
Generasi berzaman turut menyahut
Syurga firdaus sedia menyambut

Selamat hari guru


Al fatihah buat semua guru ku
sesungguhnya kau tetap hidup kerana ilmumu sentiasa hidup

Nukilan
Ustaz Kamal Ariffin bin Mat Jaih
Sempena Hari Guru 2014

Semarak Rindu 37
AKADEMI RAMADAN

Kau unik berbeda


Bukan fantasia tapi sebenarnya
Kau akademi agung mulia
Turun daripada yang esa
Kau terbuka seluasnya syurga
Kau terbuka untuk sesiapa saja
Syarat mutlak islam, berkuasa
waras fikiran serta niat untuk kerjakannya
Patuhi syarat pencipta

Sepurnama lamanya
Tiada gangguan syaitan durjana
Kuduskan hati sentiasa
Mengabdi kepada syarat dan adab pencipta
Kau tiada pengetua
Kau tiada saringan dan sms peminat utama
Kau tiada masa diajar dan dipaksa
Kau tidak dikurung di kamar fantasia
Kau bebas …
Kamarmu rumah pencipta
Beriktikaf, bermunajat dan berzikir kepada yang esa
Iramamu al Qur ‘an
Melodimu alunan tasbih yang takdis
Gayamu gerak solat mukhlis
Pakaianmu akhlak sistematis

Katamu ibadat
Senyummu ibadat
Panahan matamu ibadat
Bualanmu ibadat
Tidurmu ibadat
Fikirmu ibadat
Jalanmu ibadat
Langkahmu ibadat
Lecturemu ibadat
Tulismu ibadat
Nyanyianmu ibadat
Semuanya bersyarat
Betul, tepat dan ikut syariat

38 Semarak Rindu
Awal akademimu rahmat
Semua dilaku mendapat berkat
Jangan keluar daripada akademi makrifat
Akademi ramadan yang mencetak masyarakat
Masyarakat bahgia dunia akhirat

Pertengahan akademimu keampunan


Kudus persis bayi dilahirkan
Tuhan tawar kemaafan
Hidupkan akademimu jangan persiakan

Penghujung akademimu kebebasan


Dahsyatnya neraka tak sanggup dibayangkan
Mengapa dipenghujung semakin dijarakkan
Akademimu tidak serancak dipermulaan
Alunan aidilfitri, kueh raya diutamakan

Alangkah malang akademi ramadan


Tak semua mampu bertahan
Iblis syaitan masih dipenjarakan
Nafsu bermaharajalela menjadi tuan

Ya allah masukkan kami ke akademi ramadan


Syurga idaman menjadi kegilaan
Realisasikan berpaksikan amalan.
Semoga kita semua memasuki akademi ramadan
Niat puasa : “sahaja aku puasa besok hari bulan Ramadan sekaliannya
kerana Allah Taala.”

Jangan lupa bersahur kerana Rasulullah bersabda


“Bersahurlah kerana sahur itu berkat.”

Nukilan
Ustaz Kamal Ariffin bin Mat Jaih
Sempena kehadiran bulan Ramadhan 2019

Semarak Rindu 39
PENILAIAN BUAT GURU

Oh Guru…
Betapa sukarnya dibicara
Betapa sukarnya dineraca
Betapa sukarnya ….
Luluh hancur berkecai otak minda …
Takhta mana singgahsana persada
Kau lebih mulia antara termulia
Tanpa kau jahil segenap alam maya
Tanpa kau dunia porak peranda
Tanpa kau kehidupan kosong belaka
Tanpa kau maya menjadi bengong, benak dan tolol segala

Oh Guru….

Kau hambakan segenap detik dan ketika


Mendidik anak bangsa dan nusa tercinta
Tanpa pilih tanpa beda
Semuanya dididik ikhlas sejernih mutiara

Oh Guru…

Kau tak kan biarkan mereka meraba


Kau tak kan biarkan mereka melanun durjana
Kau tak kan biarkan mereka merempit melata
Kau tak kan biarkan mereka mensyaitan celaka
Kau tak kan biarkan mereka tanpa hala
Kau tak kan biarkan mereka dibenakki musuh negara

Oh Guru….
Kau pahatkan azam memanusiakan manusia
Kau pahatkan azam mencetak akhlak mulia
Kau pahatkan azam membentuk waris negara

Oh Guru…

Ku tak mampu membalas jasamu segala


Ku tak mampu menjiwai pengorbananmu setinggi syurga
Ku tak mampu menandingimu semua perkara.
Hanya tuhan bisa mengatur balasan cuma
Setimpal jasamu nan berharga .

Nukilan
Ustaz Kamal Ariffin bin Mat Jaih

40 Semarak Rindu
KINI TINGGAL MEMORI

2009
tahun pertama yang gembira
Perut IAB Genting Highlands Haji terokai
Salam perkenalan daripadanya
Insan kecil molek dari Chukai
Cukup terkenal di kalangan warga.

Bekas guru yang berdedikasi


Garangnya haji
Ditakuti murid tetapi disayangi
Warden SMT Kuantan yang disegani
Didik anak murid pandai bawa diri
Ke mana pergi punya jati diri

Mukanya kelakar berwajah ceria


Murah senyuman mudah digauli
Sangat tegas namun lembut bicara
Lawak jenakanya tak kering gusi
Baru berjumpa seperti kenal lama

Meneraju BAKIP sebagai pengerusi


Pelbagai aktiviti kelab menjadi nyata
Naikkan imej dan sejahtera organisasi
Berkongsi ilmu tak kira rupa bangsa
Niat satu demi kemajuan ibu pertiwi

2014
Haji turun ke induk di Nilai
Tiada beza prinsipnya tetap sama
Rakan taulan senang damping
Sepuluh tahun di IAB tidak terasa
Banyak kenangan indah mencuit hati

Sebagai AJK Kelab Kebajikan dan Rekreasi


Haji cenderong menjana Ekonomi
Dana kelab terkumpul mencukupi
Untuk ahli kelab bersama menikmati
Pelbagai faedah dan juga aktiviti

Semarak Rindu 41
2 Januari 2018 tidak diduga
Berita bala bagai mimpi
Ada yang menitis air mata
WhasApp ditepis sukar dipercayai
Baharu semalam berjumpa
Pagi ini, haji yusuf telah pergi

Perginya beliau tidak kembali


Wajahnya terbayang di mata
Gelak ketawa dirasai, dirindui
Kata nasihat bermain di telinga
Nostalgia arwah segar di sanubari
Kenangan indah bersamanya
Kini tinggal memori

Nukilan
Wan Mimi binti Wan Omar
Nostalgia buat Allahyarham Tn. Haji Yusof bin Ali

42 Semarak Rindu
MERINTIH EHSANNYA

22 Disember 2017… aku terpaku


Mata merneong keluar jendela
Memori ku memutar kisah lalu
Potret demi potret muncul di minda
Tanpa ku sedari, manik jernih turunnya laju
Mengapa dikenang yang tiada

Januari 2018 semakin menghampiri


Yang pergi tetap tak kembali
Yang hilang sukar ditemui
Tidak akan sama jika berganti
Kasih sayangnya hanya dikenangi

Tahun 2018 bakal m enjelma


Alhamdullillah… aku masih bernyawa
Syukurku panjatkan doa kepadaNya
Tak pasti samada esok lusa ku masih ada
Tegar di sini meniti usia semakin manja

Ya Allah … aku tak lupa


Setiap hari aku ingat belaian mesranya
Aku bagai mimpi di alam nyata
Aku rindu kepada mereka
Insan teristimewa
Yang mengajar aku tentang dunia
Manusia itu sama tiada beza
Yang beza adalah ilmu dan amalan sahaja

Doa ku panjatkan buat ayah dan bonda


Kesalku tiada ruang membalas jasa
Bagaimanalah mereka di alam sana?
Ya Allah… yang Esa
Sepuluh jari ku susun meminta
Ampunilah dosa dosa mereka
Kasihanilah ayah dan bonda
Berderai mutiara jatuh di atas riba
Diriku adalah hamba yang hina
Merayu dan merintih ehsanNya

Nukilan
Wan Mimi binti Wan Omar

Semarak Rindu 43
SEMARAK RINDU

Selaut pandang
Saujana merentas pilu
Melangit biru
Menghijau banjaran titiwangsa bakal menyusup

Bumi nilai melambai-lambai


Gerak tari dalam terik mentari
Tiada lagi dingin bayu genting
Alahai hati
Terimalah ketentuan ini
Merintih tiada erti
Tugasan itu tanggungjawab
Patut dipikul walau dibumi asing

Asingkah diri dengan angin baru


Membahang jiwa
Tiada lagi angin sepoi menyapa
Segar udara mengiring diri

Rindu terus membara


Sesekali bayu genting menyapa
Riuh rendah dalam samar damai udara dingin

Angin mantap di sini dengan dunia tersendiri


Menggalas tugas demi dunia pendidikan
Niat diri kerana Allah
Susah payah menjadi mudah
Angin garang menjadi dingin
Reda sudah rintihan hati
Semarak rindu IAB tetap dihati

Nor Ishsan Ab.Razak


Genting Highlands 2014

44 Semarak Rindu
MURABI

Layakkah aku
Memikul amanah-Mu
Meskipun telah disuratkan
dan dinobatkan aku akan menghuni dunia intelek
berdepan dengan cabaran dan dugaan
semoga jiwaku tidak akan jemu
untuk aku bertemankan kitab ilmu

Layakkah aku,
Untuk tidak aku mendambakan anugerah
Untuk aku menghiasi jiwaku dengan bunga keikhlasan
Untuk aku gilapkan permata yang kelabu
Untuk aku jernihkan air yang keruh
Untuk aku jadikan realiti daripada fantasi
Biarpun daripada pahitnya hempedu
Akan aku gantikan dengan manisnya madu

Layakkah aku,
Menimba syurga ilmu dari sungai derita
Menghasilkan senyuman daripada tangisan
Menggali khazanah dari telaga budi
Memberi santapan untuk sama-sama merasai kenikmatan
Lantas mengunyah kesakitan
Serta menghadam kesusahan

Mampukah aku,
Melahirkan jutawan
Melahirkan negarawan
Melahirkan olahragawan
Melahirkan seniman
Melahirkan macam-macam
Yang meletakkan ihsan dan syariah di hadapan
Agar tidak tersesat dalam hutan ciptaan

MURABI … itukah yang kucari

Nukilan
Dr. Wan Zaliha Wan Othman

Semarak Rindu 45
IAB INSTITUSI UNGGUL

Kata orang-orang lama


Andai merpati jinak di tangan
hendak ditangkap terlepas lari
Maka, jemari yang bertaut perlulah kuat genggamannya

Jika terkilas ikan di air


dan tahu jantan betinanya
maka jala ditebar perlu betul halanya

IAB bukan satu institusi yang biasa biasa


Ia sebuah gedung pemikiran
Ia membentuk raut wajah unggul dan
anggun watak kepimpinan pendidikan
IAB tidak sekadar gah disebut-sebut
Realitinya ia lebih dari itu
Nadinya berdenyut pantas seiring perubahan globalisasi
Darahnya mengalir deras sepantas pacuan inspirasi dan idealisme
pendidikan
Uratnya sekeras besi menangkis tohmahan dan rintangan perubahan
Namun hatinya lembut, selembut sepoi angin yang membisikkan santun
dan budi seorang pendidik
Dan niatnya jelas - pembangunan insaniah sejagat yang perlu kita
kecapi bersama nanti

Hakikatnya jelas nyata dari dulu lagi


Mereka yang menerajui IAB
Juga menjadi tampuk sistem pendidikan negara
Menjadi teras rujukan pada lantangnya
satu suara pelbagai bicara

Maka
Tidak mungkin kita
masih leka dalam bentuk acuan generasi masa hadapan
Tidak mungkin kita
masih kabur mencari arah haluan
dalam mencipta sejarah kepimpinan pendidikan

46 Semarak Rindu
Maka demikian itu
benarlah sehingga kini
IAB kekal sebagai satu institusi unggul
dalam tanggungjawab yang kekal dipikul
merintis jalan-jalan kehebatan
sehingga ke akhir hayatnya

Nukilan
Samsiah binti Si-Rajab
Sempena persaraan Tan Sri Dr.Khair bin Mohamad Yusof, Mantan
TKPPM pada
30 November 2020 di Kota Serimas Golf & Country Club, Nilai, Negeri
Sembilan
Deklamasi oleh Mistirine binti Radin

Semarak Rindu 47
BICARA MUTIARA ILMU

Beradab menitip kalam itu petanda mulia bahasa


Bersopan melontar kata itu petanda halus pekerti
Berhemah menyusun bicara itu petanda mulus budi
Bermadah menyampai hasrat tariannya bersopan molek
Menyusun kalam menyata niat lenggoknya bersantun anggun

Perkasa bahasa menghiasi laman nurani


Rapi teliti rantaian kalimah ujar pertemuan
Tertib terurus untaian hujah laras cendekiawan
Tegap mantap bait bicara mutiara ilmu jiwa bangsa
Kemas tersimpan khazanah temurun khazanah warisan

Perkasa waja bait berkait bahasa nusa


Santun kalam penyatu jiwa damai seluruh
Halus pekerti mewarna cantik jiwa bangsa
Bahasa pertiwi madah ilmu wadah tersurat
Mekar semesta mewangi indah mutiara ilmu

Kekal utuh kata berhemah ucap nan beradab


Tegap sasa kalam bersopan kata nan santun
Kalam ini kita lestari jangan nanti ditelan zaman
Indah mulus mutiara ilmu kita pelihara jangan sampai terabai
Cantik madah bahasa warisan kita pelihara zaman berzaman

Pewaris bahasa
Hargai kalungan mutiara bahasa sejagat
Teliti cermat kalam ilmu tinggalan berhemat
Hayati murni bicara hasrat warisan berhikmat
Sanjung julang bahasa penyatu jiwa penyatu hasrat

Kita tentu tahu murni bahasa upaya menjentik minda


Kita pasti ingat lentur bahasa upaya melentur pekerti
Kita pasti tak lupa halus bahasa upaya memujuk kalbu
Kita jangan tak tahu indah bahasa upaya menjalin ukhuwah
Kita sangat tahu pernah ketika bahasa menyuntik semangat pejuang

48 Semarak Rindu
Mutiara ilmu ini kita pelihara kita jaga
Mutiara ilmu ini kita lestari kita pagari
Mutiara ilmu ini kita angkat kita julang
Mutiara ilmu penyantun budi penyatu jiwa bangsa

Dr. Rosnani Kaman (Arnina A’in)


Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara

Tempat Pertama Pertandingan Menulis Sajak


Sempena Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Tahun 2020
(7 Oktober 2020/ 19 Safar 1442 H) Alyssa- Jitra

Semarak Rindu 49
BAHASA JIWA BANGSA

Bahasa …… lingua franca


telah wujud berkurun lamanya
sebagai pusaka bangsa
gapai gemilang tika pemerintahan Kerajaan Melaka
menelusuri ke serata nusantara

Bahasa warisan
tak mungkin lut dek panahan mentari zaman
tak mungkin lenyap dek cengkaman, tikaman
tak lekang dek panas
tak lapuk dek hujan

Bahasa ibunda
mekar elok laksana bunga kembang di jambangan
beralun halus seperti dihembus sang bayu
aromamu harum mewangi bak mawar berduri
berbicara lembut bagai sutera baldu
berlagu merdu umpama kicauan unggas di rimba
mengundang seribu satu emosi dan perasaan
dalam bait-bait puisi juga lirik lagu
sarat dengan corak kosa penuh makna

Bahasa kebangsaan warisan bangsa


bagai isi dengan kuku
sentiasa tersemat dalam jiwa
sentiasa terpahat dalam sanubari

Ayuh kita bersama


semarakkan perjuangan bahasa kita
lakarkan sejarah ke pentas antarabangsa
menjadikan tonggak negara
lambang keterjalinan bangsa

50 Semarak Rindu
Andai wujud bahasa kedua, ketiga
jangan alpa bahasa kebanggaan kita
jangan lupa warisan nenek moyang kita
hormatilah bahasa kita
cintailah bahasa kita
sayangilah bahasa kita
kenapa? mengapa?
sebabnya
inilah … … …
Bahasa jiwa bangsa

Shafizah binti Saidin


Pembantu Perpustakaan
Institut Aminuddin Baki
Cawangan Utara
Tempat kedua Pertandingan Mencipta Sajak Sempena Gerakan Dekad
Bahasa Kebangsaan 2020

Semarak Rindu 51
MERPATI PUTIH BERLALU PERGI

Tika menyapa alam


ku lihat suria tersedu
maya berhiba
sendu senja berlari ke langit
malam resah kala menebarkan sayap
bintang teresak bulan menangis
desa ini bakal dipenjara virus
neraca tiada lagi bernilai
lantas merpati putih berlalu pergi

Kelmarin daratan merajuk


pantai jua menghakis diri
nyiur berhenti melambai
ombak beralun lesu
melingkar di teluk lara
gempita seluruh buana
mendengar berita hama telah mara
bermukim bermaharajalela

Pergilah merpati putih


kau lelah mengutip marah dan pedih cela
selagi langit keakuan diliputi gelap pekat
jangan kau pulang
biar sungai bermadu
biar laut bersakar
daerah ini biarkan saja haus
selagi dedalu material
tidak diragut akarnya
hama akan terus bersultan di sini

52 Semarak Rindu
Merpati putih
jika kau pulang nanti
racunkan musuh perosak sumur
bungkuslah perit luka semalam
tanam kembali benih insani
suntiklah vaksin budi
tenunkan bahasa pengikat pertiwi
sebelum kami ke darul abadi

Zaharul Arifin bin Md Zin


Tingkat 5 Selatan
Bandar Enstek, Nilai.
9 Oktober 2020
Tempat Ketiga Pertandingan Menulis Sajak
Sempena Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Tahun 2020

Semarak Rindu 53
PERKASA MERDEKA

Pewaris merdeka
Teliti luhur budi untaian bicara bonda
Hayati suci abadi rantaian amanat pejuang bangsa
Hargai murni wangi kalungan bunga pahlawan nusa
Sanjung julang muafakat erat damai merdeka

Pewaris bangsa
Kita nikmati hasil jerih payah nan luhur
Kita warisi mahsul penat lelah nan tulus
Bakti pejuang di abai jangan
Lelah pahlawan di lupa tiada
Siramkan titis hujan kedamaian
Sulamkan benang emas perpaduan
Jalinkan temali ukhuwah berzaman

Pewaris nusa
Ingat beringat pesan berpesan
Pengkhianat pembelot wajahnya tak kelihatan
Penjajah petualang derapnya tak kedengaran
Cermat kita menyusun langkah menuju masa depan
Kita pagari damai merdeka
Kita sirami aman sentosa
Kita penentu kilauan sejahtera

Kita ibarat berteduh di pohon nan subur


Pohon ini kita tongkat jangan sampai rebah
Rimbun ini kita baja jangan sampai luruh
Subur ini kita siram jangan sampai kontang
Cantum ini kita pertahan jangan sampai berderai
Perkasa merdeka perkasa selamanya
Perkasa Merdeka Malaysia Prihatin

Dr. Rosnani Kaman (Arnina A’in)


Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara

Johan Pertandingan Menulis Sajak


Sempena Sempena Ulang Tahun Kemerdekaan ke-63 Tahun 2020
(30 Ogos 2020/11 Muharam 1442 H) Alyssa - Jitra

54 Semarak Rindu
SEMERBAK WANGI JASAMU

Semerbak wangi jasamu guru


Curahan ilmu selautan jasa
Jasa nan tulus ikhlas dan mulus
Jasa nan agung kusanjung kujunjung

Kita mula mengenal huruf dan abjad


Kita mula belajar tatacara melontar kata
Kita mula mengenal tata santun mengujarkan bahasa
Kita mula mengira menulis melakar apa sahaja
Kita mula mengadun warna-warni di kanvas kehidupan
Kita mula mencorakkan aneka keindahan
Kita akhirnya menggapai kejayaan
Kita akhirnya menggenggam idaman
Kita akhirnya melestari kehidupan

Untukmu guru
Sewangi kasturi lautan kasih kupersembahkan
Untuk mu guru
Semerbak harum tautan sayang hormat berpanjangan
Untuk mu guru
Segunung bungkalan doa sejahtera ke akhir zaman

Untuk mu guru
Kami masih anak didikmu yang dulu
Kami masih anak didikmu yang dahagakan ilmu
Kami masih anak didikmu yang menyanjung jasamu

Semerbak wangi jasamu


Abadi dinubari sejati dikenangi
Melewati usia hari ke hari
Melangkaui masa tahun ke tahun
Selagi nadi menyambung hayat
Selagi kudrat mengiring jasad
Selagi mentari menerang siang
Selagi bulan menemani malam.

Johan Pertandingan Menulis Sajak


Sempena Sambutan Hari Guru Tahun 2017

Sajak untuk Cikgu


Dr. Rosnani Kaman (Arnina A’in)
Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands
(14 Mei 2017) Seri Pagi- Genting Highlands

Semarak Rindu 55
MEKAR MENYINARI JASA TERPERI

Salam kami salam junjungan kasih


Budimu tuan dikenang disanjung
Baktimu tuan diingat dijunjung
Pekertimu tuan semarak berzaman
Mekar menyinari jasa terperi

Salam kami salam terima kasih


Tiada terbalas budi dan bakti
Tiada ternilai jasa dan amanat
Tiada terucap kalam penghargaan
Curah keringat teguh diingat

Salam kami salam kemaafan


Tingkah laku jika tercuit rasa
Bicara lalu jika menyentuh hati
Lirik pandang andai menyakit mata
Menyusun jari maaf dipinta

Salam kami salam perpisahan


Jangan nanti kami dilupa
Sedih hati mengenang tuan
Jangan nanti tak ingat kami
Sayu minda mencari kenangan

Melentur hati menyusun jari


Terkasar bahasa maaf dipinta
Tercalar hati redakan kami
Terguris rasa bukan sengaja
Terlanjur santun mohon diampun

Jasamu tuan dari Sarawak


Jasamu tuan semerbak mewangi
Disanjung budi setulus hati
Dikenang bakti seikhlas nubari
Tetap nan mekar dalam ingatan.

56 Semarak Rindu
Dr. Rosnani Kaman (Arnina A’in)
Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara

Sajak dideklamasi
Sempena Majlis Persaraan
Y.Bhg. Dato’ Suliaman@ Sulaiman bin Wak
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Pembangunan
Profesionalisme Keguruan)
(5 September 2019 / 5 Muharam 1441 H) Asrama Eksekutif - Genting
Highlands

Semarak Rindu 57
RINDU BERTAMU LAGI

Saat itu, jari jemari ku menari-nari tanpa irama dan lagu


Pastinya santapan indah untukmu siap menanti
Lauk pauk sudah tersedia…
Menu santai untuk dijamah..
Sebiji kek siap tertulis..
Kalimah indah tanpa suara
Selamat hari lahir ibu..
Untuk dirimu…… saban tahun.. saban waktu…
Tak pernah alpa untukku rungkai..
Namun… baru kusedar… tiada lagi igauan indah itu…
Semuanya hanya mimpi bayangan…
Rindu datang lagi..
Pabila terpandang ruang jendela
Terimbas kenangan lalu.. bebelan mesra menggamit jiwa
Kini semuanya sudah tiada..
Andai waktu bisaku putar
Kanku pintal mesra bebelan berbisa…
Kanku dakap mesra dirimu tanpa lepas
Andai perpisahan bukan jodohnya pertemuan
Kanku hidup penuh kebahagiaan….
Andai muda tak ketemu tua
Kanku ukir raut wajahmu persis bidadari jelita
Andai hidup bukan akhirannya kematian
Pastinya kita kan bersama di pelusuk alam….
Namun …
Semuanya… andai…andai….andai……
Lumrahnya alam…..hakikat sebuah kehidupan..
Waktu kan terus berputar
Adat bertemu kan berpisah
Muda pastinya tua…
Hanya rindu …memori indah…yang mampu bertahan
Ku tahu…
Dirimu hanyalah pinjaman
Pergimu telah dijanjikan
Yang tinggal hanya kenangan..
Ikatan rindu yang tiada ketepian..
Rindunya aku padamu
Pergimu takkan kembali lagi.
Damailah engkau di sana ibu
Syurga hakiki menantimu …..
Maaf kupinta darimu ibu..
andai aku pendosa buatmu Ibu…

Maznah binti Abdullah


Jabatan Kepimpinan dan Pengurusan Bahasa (JKPBA)
Buat Ibu yang telah dijemput Ilahi.

58 Semarak Rindu
KEMBARA SEBUAH CITA

Kembara ini
Ku mulai dengan langkah nekad,
Walau bersendiri
Di arena baru suasana tiada pasti
Ragam jiwa meragui diri
Pelbagai soalan bermain di minda
Mampukah aku cuba bertahan?

Ku susun rapi langkah kecil ini


Demi mencapai impian dan wawasan
Walau arus bertingkah
Semangat ku garap gagah
Berkat iringan doa dan sokongan yang tercinta
Syukur, aku masih bertahan!

Semakin laju derap langkahku ini


Terkadang ada tersakiti
Sentiasa berpesan diri
Sematkan ikhlas di sanubari
Pasakkan nawaitu teguh dihati
Meyakini sesungguhnya hijrah itu perlu
Melakar lukisan indah di dunia baharu.

Langkah ini kukemaskan penuh waja


Satu persatu kutemui mutiara tak tertanding nilainya
Kini ku cakna
Pelangi itu berlainan warna
Mencetus harmoni, menghiasi kanvas alam
Seperti kita menyimpul ikatan
Sejahtera rakan dan taulan
Tersemat utuh kekal berzaman.

Aku akan terus melangkah


Walau ranjau meniti jalan
Walau duri menjadi halangan
Nekad kembaraku ini hanyalah satu
Melakar jaya menggilap permata malap berharga
Di puncak tertinggi cita kerjaya.

Fauziah binti Ismail


Jabatan Kepimpinan dan Pengurusan Bahasa (JKPBA)
Sempena Permulaan Kerjaya Baharu di IAB Induk, Bandar Enstek.

Semarak Rindu 59
SENANDIKA KEUTUHAN PASUKAN

Kata Kunci Bil. Ceritera


“Kena Patuhi Etika” 1. Kursus yang dirangka
Kena patuhi etika
2. Kita berkumpul bersemuka
Kena patuhi etika
3. Saya karang senandika
Kena patuhi etika
4. Untuk merakam cereka
Kena patuhi etika
5. Sekadar suka-suka
Kena patuhi etika
6. Ada gelagat mereka
Kena patuhi etika
7. Menjadi bahan jenaka
Kena patuhi etika
8. Bukan cerita yang direka
Kena patuhi etika
9. Semua hebat belaka
Kena patuhi etika
10. Jangan ada yang terluka
Kena patuhi etika

Kata Kunci Bil. Ceritera


“Tak Terfikir Kita” 1. Nak khabarkan berita
Tak terfikir kita
2. Gelangang aktiviti kita
Tak terfikir kita
3. Peralatan lengkap melata
Tak terfikir kita
4. Tempat melatih kita
Tak terfikir kita
5. Pusat koko tercipta
Tak terfikir kita
6. Berada di depan mata
Tak terfikir kita
7. Satu antara sejuta
Tak terfikir kita
8. Masyhur serata-rata
Tak terfikir kita
9. Sedia apa dipinta
Tak terfikir kita
10. Tapi belum diwarta
Tak terfikir kita

60 Semarak Rindu
Kata Kunci Bil. Ceritera
“Menegakkan Tiang Bendera” 1. Aktiviti dalam acara
Menegakkan tiang bendera
2. Semacam kena dera
Menegakkan tiang bendera
3. Semangat tetap membara
Menegakkan tiang bendera
4. Panas macam bara
Menegakkan tiang bendera
5. Fokus hendaklah segera
Menegakkan tiang bendera
6. Sikap bekerjasama tertera
Menegakkan tiang bendera
7. Ada nak tunjuk terror
Menegakkan tiang bendera
8. Cuba pelbagai cara
Menegakkan tiang bendera
9. Ketua kurang berbicara
Menegakkan tiang bendera
10. Awal bermula huru-hara
Menegakkan tiang bendera

Kata Kunci Bil. Ceritera


“Mendaki Gunung Jerai” 1. Tak dapat nak hurai
Mendaki Gunung Jerai
2. Peluh menitik berderai
Mendaki Gunung Jerai
3. Taka ada sebuah gerai
Mendaki Gunung Jerai
4. Urat perut nak terburai
Mendaki Gunung Jerai
5. Kumpulan tidak bercerai
Mendaki Gunung Jerai
6. Kekusutan fikiran terlerai
Mendaki Gunung Jerai
7. Siapa pun boleh try
Mendaki Gunung Jerai
8. Kokok berderai-derai
Mendaki Gunung Jerai
9. Balik buat minit curia
Mendaki Gunung Jerai
10. Mulut jangan murai
Mendaki Gunung Jerai

Semarak Rindu 61
Kata Kunci Bil. Ceritera
“Keletihan masih Terasa” 1. Aktiviti lasak sentiasa
Keletihan masih terasa
2. Berlarutan esok lusa
Keletihan masih terasa
3. Kami tak putus asa
Keletihan masih terasa
4. Sesi memasak biasa
Keletihan masih terasa
5. Aktiviti air luar biasa
Keletihan masih terasa
6. Apa pun jangan tergesa-gesa
Keletihan masih terasa
7. Berserah kepada yang esa
Keletihan masih terasa
8. Datang bukan nak selesa
Keletihan masih terasa
9. Pasukan nak perkasa
Keletihan masih terasa
10. Waspada setiap masa
Keletihan masih terasa

Kata Kunci Bil. Ceritera


“Demi Membina Pasukan” 1. Semua tenaga diperlukan
Demi membina pasukan
2. Setiap peranan dimainkan
Demi membina pasukan
3. Pangkat darjat ditinggalkan
Demi membina pasukan
4. Kerja sepasukan dibudayakan
Demi membina pasukan
5. Segala kepakaran dicurahkan
Demi membina pasukan
6. Buah fikiran disatukan
Demi membina pasukan
7. Kesegeraan tindakan
disepadukan
Demi membina pasukan
8. Kebajikan ahli diutamakan
Demi membina pasukan
9. Ruang dan peluang
diperluaskan
Demi membina pasukan
10. Suri teladan diaplikasikan
Demi membina pasukan
62 Semarak Rindu
Kata Kunci Bil. Ceritera
“Adakan Kursus Lagi” 1. Harapan tak berbelah bagi
Adakan kursus lagi
2. Bergerak awal-awal pagi
Adakan kursus lagi
3. Peruntukan kena tinggi
Adakan kursus lagi
4. Yang tak hadir rugi
Adakan kursus lagi
5. Bernafas dah ikut gigi
Adakan kursus lagi
6. Mantapkan pelbagai segi
Adakan kursus lagi
7. Kurangkan ego tinggi
Adakan kursus lagi
8. Hajat nak datang lagi
Adakan kursus lagi
9. Kita berpisah sat lagi
Adakan kursus lagi
10. Sehingga berjumpa lagi
Adakan kursus lagi

Abdullah Hassan
Sempena Bengkel Pembinan Pasukan IAB - 2018
IAB Cawangan Utara
Residen IABCU

Semarak Rindu 63
DI RUMAH SENDIRI

Watak kita dicipta


Perwatakan kita disusun
Menjadi epilog cerita
yang dijadikan kronologi mimpi yang ngeri
Meskipun babak-babak itu
disusun dan ditulis oleh bangsa sendiri
yang disambut gembira oleh si lupa diri

Melayu itu bijaksana


Melayu itu cukup berbahasa
Itulah klausa kata rakaman Usman Awang
Melayu juga
Mengajar kita bersopan
Mengajar kita bersantun

Namun,
Adakah ini yang kita mahu
Apabila mahligai kita diceroboh
Apabila tanah kita diteroka
Apabila laman kita dirosakkan
Apabila maruah kita diinjak-injak

Apakah tiada lagi


Tiupan seruling bahagia
Apakah tiada lagi
kicauan gembira
daripada beburung riang
Apakah tiada lagi
rebusan ubi
di gelegar petang
Apakah tiada lagi aroma haruman kopi
Di anjung muafakat
Menyantuni tetangga
Tanpa mengira warna bangsa
Apakah tiada lagi
Jati diri sendiri
Apakah tiada lagi
Alur budaya disantuni

64 Semarak Rindu
Semoga ada jawapan nanti
Semoga tidak akan berakhir khazanah bangsa
Yang disemai sejak berabad lama
Yang dibaja setiap ketika
Semoga dapat dituai sampai bila-bila
Semoga bercambah subur muafakat di jiwa
Agar kita kekal
Menjadi tuan yang dihargai
Di rumah yang kita bina sendiri

Dr. Wan Zaliha binti Wan Othman


IAB Induk, Enstek, Negeri Sembila

Semarak Rindu 65
WARKAH KEPADA AMINUDDIN BAKI

Kepangkuan Aminuddin Baki


Ku mulakan warkah ini dengan salam keramat
salam perjuangan kerana engkau adalah pejuang
Engkau pejuang bangsa, pejuang terbilang, pejuang ternama
Engkau perjuangkan Pendidikan pribumi
Engkau perjuangkan kedaulatan bahasa bonda
Sayangnya
engkau dipanggil pulang dalam usia muda

Aminuddin Baki pejuang ternama


Sebut saja namamu, gah seantero dunia
Namamu tercatat dimana-mana
Semaklah dalam catatan di UNESCO
lihatlah dalam pangkalan data di ISESCO
namamu terpahat di situ
Tanyalah kepada Linda Lambert
tanyalah kepada Ann Kilcher
tanyalah kepada Micheal Fullan
tanyalah kepada para akademia dari King College, atau
tanya saja kepada kepala-kepala sekolah dari Medan
Mereka kenal nama ini
nama pejuang ternama Aminuddin Baki
tidak pernah terpisah dari arus perdana perjuangan
meletakkan pendidikan negera ke taraf dunia

Aminuddin Baki pejuang bangsa


Perjuangan kita sebenarnya tidak pernah selesai, dan
tidak akan selesai, kerana
perjuangan adalah pengisian kepada zaman yang berubah
Justeru
engkau usah khuatir
meski engkau telah pergi meninggalkan kami
perjuanganmu tidak terhenti di sini!
Percayalah pejuang terbilang
kamilah anak watan yang meneruskan
perjuanganmu memperkasa pendidikan di tanah ini
Di dada ini
Kami sematkan semangat perjuanganmu yang kental, teguh dan padu
Tidak akan luntur sampai bila-bila
Percayalah pejuang bangsa
akan kami lahirkan di sini lebih ramai
pejuang pendidikan setaraf perjuanganmu

66 Semarak Rindu
Aminuddin Baki pejuang yang telah pergi
Itulah semangat perjuangan kami yang sentiasa mekar membara
Namun hakikat perjuangan mesti ada cabaran
Begitulah perjuangan ini
Kami dicabar oleh kelemahan peribadi
Sifat-sifat mazmumah menguasai diri
Ada dalam kalangan kami
tidak mahu berubah, masih ditakuk lama, kerjanya tidak seberapa
Ada dalam kalangan kami
bijak mencari helah, beralasan menolak amanah
Ada dalam kalangan kami
meski ilmunya hanya setitik air di lautan, tetapi mendabik dada
yang benar hanya dia, salah orang dicari sentiasa
Ada dalam kalangan kami
pemburu pangkat dan kuasa, cantas sahaja setiap halangan yang ada
Ada dalam kalangan kami
tak sedar diri, duduknya di bawah tetapi suaranya melangit tinggi
Ada dalam kalangan kami
dalam sejuk pendingin hawa
masih mengipas orang di atas untuk sedikit keperluan peribadi

Aminuddin Baki
Warkahku berhenti di sini
Apapun yang telah kucoretkan adalah cetusan rasa bangga dan kecewa
Bangganya aku
kerana dapat meneruskan perjuangan mu
demi martabat pendidikan tanah ini
Kecewanya aku
kerana dalam perjuangan yang suci ini
masih ada dalam kalangan kami yang menjadi racun berbisa

Nukilan
YBrs. Dr. Abang Hut bin Abang Engkeh
Sempena Jubli Perak IAB di IAB Genting Highlands pada tahun 2009
Sempena kunjungan YBrs. Dr. Khair bin Mohamad Yusof (Pengarah
IAB) ke
Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara pada 11 Disember 2008

Semarak Rindu 67
TERIMA KASIH TUAN

Terima kasih tuan


Terima kasih kerana menghantar aku pulang
Ke tanah tumpah darah ku nun jauh di seberang
Meskipun berbelah bahagi aku
Antara kekal di sini atau melangkah pergi
Namun naluriku berkata;
”Pulanglah!
Telah lama engkau di sini,
di sana ramai yang menanti
jasa dan baktimu menyirami bumi”

Terima kasih tuan


Terima kasih kerana melepaskan aku pergi
Iringi keberangkatan ku dengan doa dan harapan
Agar kepulanganku seperti sirih pulang ke gagang,
Seperti pinang pulang ke tampok
Serasi aku, serasi jiwaku

Terima kasih tuan


Terima kasih kerana melepaskan aku berangkat
Sedar aku hebatnya cabaran mendatang
Berat rasanya amanah yang kupegang
Tidak aku berjanji, khuatir tidak tertunaikan
Tidak aku menyusun harapan, takut nanti tidak kesampaian
Tapi, tunggulah
Bersaksikan puncak Santubong lagenda negeri
Akanku julang perjuangan IAB
melahirkan pemimpin pendidikan berkualiti

Terima kasih tuan


Kerana menghantar aku pulang

Nukilan
YBrs. Dr. Abang Hut bin Abang Engkeh
Sempena kunjungan YBrs. Dr. Khair bin Mohamad Yusof (Pengarah
IAB) ke
Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara pada 11 Disember 2008

68 Semarak Rindu
Terima kasih
atas segalanya

You might also like