Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 2

Wanita Bangkit Mendepani Cabaran

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan laporan perangkaan suku pertama
2023 dan menganggarkan jumlah penduduk di Malaysia adalah 32.8 juta dengan bilangan lelaki
lebih daripada wanita. Biarpun jumlah wanita adalah kurang daripada lelaki, kita sering
mendengar kata-kata bahawa seseorang lelaki yang berjaya, sesungguhnya di belakangnya
berdiri seorang wanita yang memberikan sokongan dan inspirasi. Malah pepatah juga ada
menyatakan ‘Tangan yang menghayun buaian itu, boleh menggoncang dunia’. Demikianlah,
kaum wanita itu dilihat sebagai golongan yang bukan sahaja menggambarkan kelembutan tetapi
juga memperlihatkan wibawa dan karisma yang tersendiri. Kaum wanita sering dilihat sebagai
jantina yang lemah lalu sering dipergunakan dalam kehidupan bermasyarakat kini. Kita
sebenarnya masih belum menyedari bahawa dalam kelembutan wanita itu tersirat satu
ketabahan ketara yang mampu menyumbangkan sesuatu buat pembangunan negara. Rencana
dalam media massa telah banyak memaparkan tentang keupayaan wanita dalam aspek
membangunkan negara kini. Oleh itu, marilah kita menelusuri peranan dan cabaran wanita
dalam meneraju masa depan negara.
Perdana, wanita sebagai tulang belakang suami. Apabila suami telah penat bekerja, isterilah
yang menyambut dan mendengar segala luahan yang terbuku di hati suami. Namun, antara
cabaran yang dihadapi oleh golongan wanita hari ini juga adalah dari segi kerjaya. Kalau dahulu
peranan wanita dianggap sinonim dengan dapur dan anak, tetapi kini peranan mereka sudah
banyak berubah. Pelbagai kerja dan profesion telah diceburi oleh wanita seperti peguam, doktor,
jurutera, ahli korporat, pemimpin dan lain-lain lagi. Meskipun begitu, wanita tidak mudah mengalah
kerana ramai ibu-ibu di luar yang saling memberi sokongan antara satu sama lain. Lihatlah sahaja
mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya memimpin negara
sehingga negara disegani di persada antarabangsa kerana di belakang beliau berdiri kukuh isteri
beliau wanita pertama Malaysia, Tun Dr. Siti Hasmah bt. Mohd Ali. Dorongan, kasih sayang,
kesedaran, ilmu dan layanan mesra isteri memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada suami
untuk menumpukan tugas dengan penuh dedikasi. Golongan suami yang juga merupakan suatu
kumpulan generasi dalam negara kita, sudah pasti dapat memainkan peranan dalam memberikan
impak yang positif kepada kemajuan negara.

Seterusnya, wanita berperanan melahirkan insan yang sihat dari segi jasmani, emosi, rohani
dan intelek. Terdapat pula satu cabaran lain buat wanita sekarang iaitu pertambahan bilangan ibu
tunggal dalam masyarakat. Kini, dipercayai 3.4 juta orang wanita di negara kita berstatus ibu
tunggal. Kebanyakan mereka ialah mangsa cerai, gantung tidak bertali atau suami yang
menghilangkan diri kerana tidak bertanggungjawab. Dengan status ini, mereka menghadapi
cabaran untuk membesarkan dan mendidik anak-anak. Selain itu, ada juga kalangan masyarakat
yang membuat persepsi buruk terhadap ibu tunggal. Segala gerak-geri dan penampilan ibu
tunggal dalam masyarakat menjadi bahan bualan. Sikap negatif masyarakat ini sesungguhnya
mencabar kewibawaan mereka sebagai ibu tunggal. Namun, ramai ibu-ibu tunggal ini mampu
berdiri dengan kaki sendiri supaya dapat terus menjalankan usaha mendidik generasi muda
dengan lebih baik. Sebagai contoh, terdapat persatuan yang telah diwujudkan buat ibu-ibu tunggal
demi menjamin kebajikan ibu tunggal di Malaysia yang diketuai oleh Pn. Hjh. Nor Aini Juffery
selaku Presiden Majlis Pertubuhan Ibu Tunggal Malaysia (MPITM). Pelbagai bantuan telah
dihulurkan seperti bantuan perubatan dan bantuan kewangan. Kelembutan dan keprihatinan
mereka terhadap keperluan kasih sayang anak-anak menjadikan wanita paling sesuai dalam tugas
mendidik ini. Wanita yang saling bantu membantu inilah menunjukkan kekuatan mereka dalam
mengharungi segala dugaan. Oleh itu, kejayaan mereka mendidik anak menjamin satu kelompok
masyarakat yang lebih berjaya dalam kehidupan mereka pada masa hadapan. Jelaslah, wanita di
negara ini berperanan untuk mendidik generasi muda agar menjadi satu generasi yang memiliki
semua ciri-ciri yang diperlukan dalam kehidupan yang mencabar ini.
Di samping itu, kita juga dapat melihat peranan wanita dalam melahirkan generasi yang
cemerlang menerusi peranan mereka dalam kerja-kerja kebajikan. Kita dapat melihat imej kaum
wanita yang terpuji dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan berbentuk sukarela. Menerusi
penglibatan kaum wanita dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pasukan Bantuan
Perubatan Malaysia (MERCY) yang sentiasa meyumbangkan bakti dan tenaga dapat memberikan
inspirasi kepada generasi muda khususnya, agar terdidik ke arah kehidupan yang berkualiti.
Meskipun mempunyai keluarga sendiri, wanita masih mampu untuk mengagihkan masa dengan
baik dan membantu mereka yang memerlukan. Kita juga meyakini bahawa kerjasama yang erat
antara kaum lelaki dengan kaum wanita di negara kita ini, akan dapat melahirkan generasi yang
cemerlang, gemilang dan terbilang. Jelasnya, wanita berperanan dalam memupuk dan melahirkan
generasi yang berkualiti dan berketerampilan.

Selain itu juga, dalam bidang pendidikan, terbukti kaum wanita telah memainkan peranan
seiiring dengan kaum lelaki dalam membentuk warganegara dan generasi yang sihat dan
berkebolehan dalam pelbagai aspek sebagaimana yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Kaum wanita mampu mendidik anak-anak ini sejak di peringkat Kelas Tadika
hinggalah ke peringkat Pusat Pengajian Tinggi. Kaum wanita dikatakan begitu berjaya mendidik
anak-anak di peringkat sekolah rendah kerana sifat keibuan semula jadi. Kaum wanita juga
setanding kemampuannya dengan kaum lelaki dalam mendidik pelajar-pelajar di peringkat
sekolah menengah dan di Pusat Pengajian Tinggi. Kita juga dapat melihat peranan wanita dalam
memupuk generasi yang berkualiti dalam kerjaya yang lain seperti bidang kejururawatan.
Jururawat lazimnya terdiri daripada wanita. Antara cabarannya iaitu mereka bekerja menjaga
kebajikan pesakit tanpa mengira erti penat dan lelah. Usaha mereka dalam memberikan rawatan
dan ketabahan mereka dalam melayani pesakit dapat melahirkan generasi yang sihat dan ceria.
Pada masa yang sama wanita juga berperanan untuk menimba ilmu pengetahuan yang
sebanyak mungkin. Usaha memperoleh ilmu ini menjadikan wanita terdedah terhadap pelbagai
perubahan teknologi yang menjadikan diri wanita itu lebih baik dan berkeyakinan pula. Sudah
ada banyak wanita yang memiliki ilmu yang tinggi ini berjaya mendirikan pelbagai perniagaan
yang kemudiannya menghasilkan pelbagai produk yang berkualiti untuk pasaran dalam dan luar
negara pula. Sesungguhnya, mencari ilmu itu menjadi tugas utama wanita kerana dunia yang
penuh persaingan ini memerlukan wanita yang berilmu tinggi pula. Malahan, wanita juga boleh
mencurahkan tenaga mereka dalam aspek keselamatan negara yang begitu penting itu. Sudah
ramai wanita yang menyertai perkhidmatan tentera dan polis dengan mempamerkan keupayaan
yang serupa dengan kaum lelaki. Kewujudan kaum wanita dalam perkhidmatan keselamatan ini
juga memberikan peluang kepada kaum lelaki untuk memastikan semua tugas dapat
diselesaikan dengan baik kerana ada tugas-tugas yang memerlukan tangan wanita sahaja.
Justeru, wanita juga berupaya menyumbangkan tenaga mereka dalam bidang keselamatan
negara yang amat penting.
Kesimpulannya, peranan atau tugas wanita terhadap negara ini begitu luas dan amat
diperlukan. Kita semua hendaklah memandang tinggi dan memberi peluang kepada wanita untuk
membuktikan kemampuan mereka ini. Sikap memandang enteng keupayaan wanita bukanlah
satu tindakan yang tepat dalam kehidupan dunia penuh cabaran ini. Slogan “pemuda harapan
negara pemudi tiang negara” harus menjadi peringatan kepada kita betapa besarnya
sumbangan wanita terhadap kemajuan negara itu.

You might also like