Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

Pandemik COVID-19 banyak memberi impak kepada dunia termasuklah masyarakat Malaysia.

Antara
peningkatan yang dapat diperhatikan adalah kesan pandemik daripada segi capaian Internet dan
penggunaan teknologi digital dalam kalangan pengguna. Masyarakat dilihat menjadi semakin dekat
dengan penggunaan teknologi digital terutama apabila ia menjadi keperluan wajib bagi setiap
keluarga menyediakan kemudahan pembelajaran dalam talian untuk anak-anak.

Kesannya, lebih ramai kanak-kanak pasca-pandemik yang mempunyai akses yang amat mudah
terhadap capaian Internet. Malah, semakin ramai juga ibu bapa yang membenarkan anak-anak
memiliki peranti elektronik peribadi seawal usia yang sangat muda berikutan keperluan
pembelajaran semasa tempoh pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Memetik artikel yang dikeluarkan oleh Statista Research Department, secara keseluruhannya, wabak
COVID-19 telah mencetuskan peningkatan dalam penggunaan peranti elektronik dalam kalangan
kanak-kanak dan remaja Amerika Syarikat di bawah 13 tahun. Masa yang diperuntukkan remaja
untuk skrin peranti dua kali ganda daripada masa yang digunakan secara purata oleh semua
kumpulan umur. Kajian tersebut juga mendapati 32 peratus ibu bapa memberi maklum balas bahawa
anak-anak mereka menggunakan peranti elektronik lebih daripada empat jam sehari, namun jumlah
ini telah meningkat kepada 62 peratus sejak pandemik bermula.

Kesan negatif

Perkembangan ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perkembangan kanak-kanak. Oleh itu,
ibu bapa harus sentiasa cakna dengan impak penggunaan teknologi digital terhadap anak mereka. Ini
kerana atas alasan apa sekalipun, penggunaan peranti elektronik yang berlebihan kepada kanak-
kanak boleh memberikan kesan kurang baik terhadap perkembangan mereka.

Antara kesan penggunaan peranti elektronik secara berlebihan ialah masalah psikologi dan kesihatan
mental, kesihatan mata, kesukaran kanak-kanak untuk fokus, serta masalah interaksi sosial yang perlu
diambil perhatian. Berdasarkan pemerhatian juga, mereka masih gemar berhubung dengan rakan-
rakan sekolah melalui medium dalam talian di luar waktu sekolah dengan menghabiskan masa
berjam-jam lamanya.

Selain itu, dikhuatiri kanak-kanak akan lebih terdedah kepada penggunaan aplikasi media sosial yang
secara umumnya turut memberi kesan yang membimbangkan. Ini kerana, kanak-kanak bawah umur
mudah terpengaruh dengan kandungan kurang sihat yang dipaparkan di platform media sosial.

Kesan Positif

Dari sudut positif pula, pada era pasca-pandemik ini, kanak-kanak akan terus mendapat akses yang
lebih luas bagi pengalaman pembelajaran luar bilik darjah. Anak-anak tidak lagi bergantung kepada
pengajaran guru semata-mata malah boleh merujuk kepada laman sesawang pendidikan atau
YouTube bagi memperolehi lebih maklumat berkaitan topik yang diajar di sekolah. Selain itu, dilihat
ibu bapa lebih terbuka dalam mendedahkan anak-anak kepada aktiviti berkualiti yang dijalankan
secara dalam talian contohnya seperti mengikuti kelas pengaturcaraan atau menyertai e-sukan. Anak-
anak masa kini juga lebih terkedepan dalam pelbagai sudut. Malah, kajian daripada American Cornell
University Tomoe Kanaya menunjukkan bahawa skor IQ kanak-kanak di zaman ini menjadi lebih tinggi
berbanding generasi terdahulu.

Diharapkan ibu bapa pasca pandemik akan memperhalusi keperluan teknologi dalam kalangan anak-
anak di rumah. Keperluan untuk celik teknologi maklumat (IT) adalah sesuatu yang tidak dapat
disangkal. Namun, mengawal penggunaan peranti elektronik juga masih menjadi sesuatu yang
penting untuk kebaikan bersama. Jika kawalan yang sewajarnya tidak diambil perhatian, ia
berpotensi mengganggu perkembangan anak-anak yang bakal menjadi pelapis negara.
Tanggungjawab ibu-bapa tidak seharusnya dilihat daripada penyediaan keperluan fizikal semata-
mata, malah keperluan mental dan sahsiah juga haruslah turut sama menjadi perhatian bagi
menjamin kelestarian masyarakat.

You might also like