Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 3

Kesan Isoprena Dan Ozon Persekitaran Terhadap Fungsi Paru-Paru Pekerja

Ladang Kelapa Sawit

Penulis:

Normah Awang, Siti Aisyah Mohd Ridzuan, Siti Aishah Abd Hakim, Intan Nur A’in Mohamad
Jailani, Nur Afifah Athirah Mohd Asri, Nurul Hanani Ishak & Muhammad Salman Iskandar

Program: Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri

E-mel: norm@ukm.edu.my

Kelapa sawit adalah salah satu sumber minyak sayuran utama yang dihasilkan secara global dan ia
menyumbang satu perempat daripada penggunaan global. Malah, kira-kira 60% daripada perdagangan
antarabangsa adalah minyak sayuran. Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Choong Chee Guan dan
McKay pada tahun 2013, permintaan terhadap minyak dijangka akan terus meningkat dengan peningkatan
pengguna dan pertumbuhan penduduk. Jadi, ini sejajar dengan penanaman kelapa sawit kira-kira 15 juta
hektar di seluruh dunia dan ianya telah menjadi tanaman utama di Malaysia yang menyumbang kepada
ekonomi negara. Kelapa sawit menghasilkan dua jenis minyak iaitu minyak sawit dan minyak sawit
kernel. Minyak sawit digunakan dalam pelbagai produk makanan seperti minyak masak, lelemak dan
marjerin. Manakala, minyak sawit kernel adalah bahan mentah di dalam penghasilan produk bukan
makanan seperti sabun, bahan pencuci, kosmetik dan lilin.

Walaupun minyak kelapa sawit telah memberikan banyak faedah kepada


kita dari segi ekonomi, namun perlu diingat juga bahawa ia merupakan
sumber utama pembebasan sebatian organik meruap iaitu isoprena.
Isoprena adalah unit molekul bagi getah asli dan ia memberi kesan yang
buruk terhadap kualiti udara. Kehadiran isoprena di udara akan
menghasilkan ozon, terutama di kawasan yang mempunyai kepekatan nitrogen oksida (NOx) yang tinggi,
sebagai contoh di kawasan yang mempunyai kenderaan yang banyak. Ozon terhasil dalam jumlah yang
sangat kecil di lapisan atmosfera yang rendah iaitu lapisan troposfera. Ozon di lapisan ini terhasil akibat
daripada tindak balas di antara cahaya matahari, isoprena dan nitrogen oksida (NOx). Ozon troposfera
adalah kabut bandar yang memudaratkan kesihatan manusia. Pendedahan terhadapnya akan memberi
kesan terhadap sistem pernafasan, terutama pada fungsi paru–paru.

Isoprena ialah sebatian organik meruap biogenik (BVOC) yang dikeluarkan oleh tumbuhan. Peningkatan
pelepasan BVOC akan menyebabkan pembentukan gas rumah hijau iaitu ozon troposfera. Pembentukan
ozon troposfera bergantung kepada kehadiran nitrogen oksida (NOx). Di atmosfera, kitaran nitrogen
monoksida (NO) dan nitrogen dioksida (NO2) dipengaruhi oleh cahaya matahari. Cahaya matahari
menyebabkan proses fotolisis NO2, iaitu proses penukaran molekul NO2 kepada molekul NO dan satu
atom oksigen. Seterusnya, atom oksigen bergabung dengan molekul oksigen untuk membentuk molekul
ozon. Ini menunjukkan bahawa setiap NO2 akan membentuk molekul ozon. Dengan keadaan ketiadaan
hidrokarbon, jumlah NOx yang terdapat di atmosfera menentukan jumlah ozon yang akan terbentuk.
Namun begitu, apabila NO hadir di atmosfera, proses penguraian ozon berlaku, iaitu satu molekul ozon
bertindak balas dengan satu molekul NO untuk menghasilkan satu molekul oksigen dan satu molekul
NO2. Molekul hidrokarbon (RH) dioksidasikan oleh molekul hidroksil (OH) di atmosfera pada siang hari
untuk membentuk hidroperoksida (RO2), yang menukar NO kepada NO2, dengan itu menghasilkan lebih
banyak ozon (Millet et al., 2016). Tindak balas seterusnya membentuk radikal hidroperoksil (HO2), yang
menukarkan NO kepada NO2 dan membentuk radikal hidroksil (OH) dan NO2. Apabila molekul RH
isoprena, tindak balas kehilangan atom hidrogen (H) dalam molekul isoprena dan akan menghasilkan
tindak balas daripada satu molekul RH membentuk dua molekul ozon.

RH + OH + O2 RO2 + H2O

RO2 + NO RO + NO2
RO + O2 R’CHO + HO2
HO2 + NO OH + NO2
2 (NO2 + O2 NO + O3)
Hasil akhir: RH + 4O2 R’CHO + 2O3 + 2H2O

Antara golongan yang berisiko terhadap ozon adalah kanak-kanak, orang tua yang berumur 65 tahun dan
ke atas, orang yang bekerja atau bersenam di kawasan luar rumah dan orang yang mempunyai penyakit
paru-paru. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Yang et al. (2003), ozon mempunyai kaitan dengan
kemasukan ke hospital bagi masalah pernafasan di kalangan kanak-kanak dan orang tua. Ini kerana sistem
imun kanak-kanak masih belum membentuk dengan sempurna. Oleh hal yang demikian, mereka tidak
berupaya untuk bertindak balas terhadap sebarang agen luaran seperti ozon. Selain itu, orang tua yang
berumur 65 tahun dan ke atas juga merupakan salah satu golongan yang senang mendapat kesan akibat
daripada pendedahan ozon. Ini disebabkan oleh sistem ketahanan badan mereka yang semakin lemah.
Dalam hal ini, kepekatan ozon persekitaran yang meningkat mempunyai kaitan dengan kemasukan ke
hospital bagi masalah pernafasan di kalangan kanak-kanak yang berumur kurang daripada 3 tahun dan
orang tua yang berumur 65 tahun dan ke atas.

Pendedahan terhadap ozon boleh membawa kepada kesan serta merta terhadap sistem pernafasan
termasuk gejala batuk, rasa kerengsaan di tekak atau ketidakselesaan di dada. Bukan itu sahaja, ozon
mengakibatkan kesukaran untuk bernafas secara normal dan ketidakselesaan untuk bernafas. Apabila
seseorang melakukan senaman atau aktiviti di luar rumah, pernafasan menjadi cepat dan cetek dari
kebiasaannya. Paras ozon yang tinggi juga akan menyebabkan seseorang menjadi lebih sensitif terhadap
alergen yang merupakan punca kepada serangan asma. Fungsi paru-paru yang berkurang dan kerengsaan
pada sistem pernafasan akan membuatkan keadaan pesakit asma menjadi lebih teruk. Sel-sel yang
melapisi bahagian ruang udara dalam paru-paru juga berpotensi untuk rosak akibat ozon. Kerosakan sel
paru-paru yang berlaku berulang kali akan membawa kepada kesan jangka panjang termasuk keradangan
paru-paru.

Satu kajian telah dilakukan oleh penyelidik UKM mengenai persekitaran di ladang kelapa sawit ASPA,
Sungai Miang, Pekan, Pahang sepanjang Disember 2016 sehingga Februari 2017 dan data kepekatan
isoprena dan ozon telah dikumpul. Pada bulan Disember 2016, kepekatan isoprena telah menunjukkan
bacaan yang tertinggi iaitu 10.2 ppb dengan kepekatan ozon sebanyak 10.5 ppb. Namun, bulan Januari
2017 telah menunjukkan kepekatan ozon yang tertinggi iaitu 37.0 ppb dengan kepekatan isoprena
sebanyak 0.2 ppb. Berdasarkan keputusan ujian korelasi Spearman yang digunakan untuk menentukan
korelasi di antara isoprena dan ozon, ianya menunjukkan tidak terdapat korelasi yang signifikan di antara
kepekatan isoprena dan ozon di mana nilai p = 0.177 (p>0.05).

Menurut sumber dari American Lung Association, pendedahan terhadap ozon mampu menyebabkan
masalah pernafasan seterusnya menyumbang kepada risiko kematian pramatang. Simptom akibat daripada
pendedahan kepada ozon termasuklah sesak nafas, batuk, serangan asma, rasa kerengsaan di tekak serta
mengalami ketidakselesaan di dada. Namun begitu, berdasarkan keputusan ujian yang telah dijalankan
oleh penyelidik UKM, perkaitan diantara ozon ambien dengan fungsi paru-paru adalah tidak signifikan di
ladang kelapa sawit ASPA. Manakala ujian fungsi paru-paru merekodkan kebanyakan pekerja ladang
tersebut mempunyai fungsi paru-paru yang normal. Namun berkecuali bagi individu yang merokok.
Kepekatan ozon yang dicatatkan di ladang kelapa sawit ASPA adalah berada di paras yang dibenarkan
apabila dibandingkan dengan Standard Baru Kualiti Udara Ambien Malaysia. Kepekatan ozon yang
rendah adalah berikutan kawasannya yang luas dan mempunyai permukaan tanah yang landai. Hal ini
menyebabkan bahan pencemar lebih tersebar.

You might also like