Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

INI merupakan contoh 2014, admin akan update jawapan penuh untuk tahun 2015.

Sementara itu, boleh lihat link berikut:

LINK 1: FAKTOR DAN KRONOLOGI PEMETERAIAN PERSETIAAN PERSEKUTUAN


LINK 2 :LATAR BELAKANG DAN SYARAT PERJANJIAN PERSEKUTUAN 1895

Berikut merupakan contoh jawapan bagi tugasan PT3 Sejarah tahun 2015.
Adalah dinasihatkan agara jawapan tidak disalin secara bulat-bulat. Jadikan ini cuma sebagai
panduan untuk anda menyusun isi dan ayat.

1. Tajuk rencana - Perpaduan kaum di Malaysia

2. Nama penulis – Nama kita

3. Isi kandungan: bahagikan isi kandungan berdasarkan konstruk yang dikehendaki

(a) Pengenalan

Perpaduan boleh ditakrifkan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat
dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan dalam kalangan
mereka. Perpaduan masyarakat merupakan antara aspek yang penting dalam membentuk
perpaduan negara. Malaysia kini dihuni oleh beberapa kaum dan etnik yang bersifat majmuk
yang membawa kepada wujudnya jurang perpisahan .

Pada zaman pemerintahan British di negara ini , mereka mengamalkan dasar pecah dan
perintah terutama membiarkan penduduk negara ini mengamalkan kegiatan ekonomi masing-
masing mengikut komposisinya. Orang Melayu dibiarkan berada di kampung yang terlibat
dalam bidang pertanian dan penanaman padi serta menangkap ikan manakala tenaga buruh di
ladang diambil dari negara India dan di kawasan lombong bijih timah tenaga imigran dari China
diambil. Kesannya jurang perpaduan mula timbul disebabkan kegiatan ekonomi yang
diusahakan di samping tempat tinggal yang berbeza . Keadaan ini mengurangkan
kebarangkalian penduduk Melayu , Cina dan India bersama-sama dalam satu lokaliti.Kesan
jangka panjang keadaan ini ialah wujudnya jurang pemisahan antara kaum.
Bersama-sama dengan kedatangan imigran ini ialah sistem pendidikan mereka yang dibawa ke
negara ini. Orang Cina dan India memiliki sistem sekolah vernakular sendiri yang membawa
masuk guru, buku dan sukatan pelajaran dari negara mereka. Kesannya di negara ini telah
wujud satu sistem pendidikan yang di dalamnya terdapat sekolah aliran agama , Inggeris, Cina ,
Tamil dan aliran Melayu. Kesan langsung wujudnya sistem pendidikan zaman British ini
menyebabkan terhalangnya proses asimilasi yang boleh memungkinkan pergaulan kaum dapat
dilakukan dengan sempurna.

Penaklukan Jepun di Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua iaitu pada 1941-1945 juga tak
kurang mendatangkan kesan yang hebat ke atas hubungan integrasi kaum di negara ini. Pihak
Jepun pula mengamalkan dasar anti-Cina dan pro-Melayu yang ternyata mengeruhkan lagi
keadaan semasa dengan menyebabkan timbulnya perasaan benci dan prasangka buruk
masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Orang Cina bertindak mengambil kesempatan utuk
membalas dendam dengan menganggotai Bintang Tiga atau lebih dikenali sebagai Parti
Komunis Malaya (PKM) dalam tempoh masa Jepun menyerah kalah dan sebelum kedatangan
kembali pihak British. Ketika inilah berlakunya keganasan 14 hari seperti membunuh, menculik,
membakar masjid dan bangunan sebagai cara membalas dendam . Keadaan ini menyebabkan
berlakunya persengketaan kaum antara orang Melayu dan orang Cina. Lebih memburukkan lagi
keadaan adalah apabila kebanyakan orang Cina terlibat dalam pergerakan PKM manakala orang
Melayu kebanyakannya merupakan anggota pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada
1948-1960.

Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan
parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa
Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai (Bumiputera) dan hak
kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik
yang ingin mendapatkan faedah dalam pilihanraya.
Pada pilihanraya umum 1969 Parti Perikatan yang dianggotai oleh (UMNO-MCA-MIC) telah
gagal memperolehi majoriti 2/3 diparlimen, walaupun masih berjaya membentuk kerajaan
persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar
buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun
daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.Parti Gerakan Rakyat
Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang
25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.
Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan
kemenangan mereka pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk
menimbulkan isu perkauman. Malah terdapat segelintir pengikut perarakan telah
mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan
di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei 1969 di
mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga
mendorong kepada kejadian tersebut. Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya
kaum Cina dari Democratic Action Party dan Gerakan yang menang, mendapatkan permit polis
bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun
perarakan melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan Melayu Kampung Baru,
menyorak penduduk di situ. Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu, kemudiannya
dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur, sementara yang
lain meneriak slogan mengenai tengelamnya kapal Perikatan . Orang Melayu memandang
perisitiwa ini sebagai kaduk naik junjung. Natijahnya berlaku kemarahan yang meluap-luap
dalam kalangan orang Melayu sehingga menumpahkan darah .Maka berlakulah kejadian yang
dinamakan Tragedi 13 Mei 1969. Kepanasan isu ini cepat menular sehingga ke seluruh negara
dalam masa yang begitu singkat sahaja.

Perpaduan negara ini juga diuji dengan pelbagai isu berkaitan dengan agama dan soal hak
kerakyatan dan beberapa isu sensitif lain yang mampu menjejaskan perpaduan kaum di negara
ini . Ianya dibawa dan dimainkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang cuba mendapatkan
nama dalam usaha mendapatkan sokongan berterusan sehingga ke tarikh pilihanraya akan
datang. Jika dibiarkan begitu sahaja tanpa diselesaikan atau dirungkai terlebih awal hal ini
mampu merobek perpaduan kaum sedia ada pada masa sekarang.

(b) Kepentingan perpaduan kaum

Perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik di negara kita haruslah dikekalkan untuk menjamin
keselamatan negara agar kemerdekaan yang kita kecapi sekarang ini berkekalan .Hal ini adalah
untuk mengelakkan berulangnya perkara yang tidak diingini seperti rusuhan kaum pada 13 mei
1969 yang telah berlaku di negara kita. Kesan daripada rusuhan ini kita dapat lihat betapa ramai
masyarakat negara kita yang mati dalam peristiwa berdarah ini. Oleh itu, perpaduan penting
agar kejadian yang sama tidak akan berulang. Dalam nada yang sama kita akan dapat
mengekalkan kestabilan politik jika kejadian rusuhan kaum ini dapat dielakkan oleh semua
anggota masyarakat yang memiliki semangat nasionalisme dan patriotik yang tinggi.

Selain itu, keharmonian ini juga mestilah dikekalkan untuk melahirkan perasaan cintakan tanah
air dan sanggup berkorban untuk negara kita. Perpaduan dalam kalangan etnik di negara ini
juga akan dapat mengukuhkan lagi keselamatan negara daripada ancaman luar dan dalam
negara. Warganegara yang memiliki semangat nasionalisme akan melahirkan kekuatan dalam
mempertahankan negara ini daripada campurtangan kuasa luar seterusnya memelihara
kedaulatan negara ini dan mengekalkan kemerdekaan negara ini seterusnya.
Perpaduan negara yang jitu juga dapat membina sebuah masyarakat yang saling
menghormati antara satu sama lain disebabkan faktor rasa bersama dan kekitaan yang lahir
dalam jiwa seluruh anggota masyarakat. Sifat dengki dan khianat akan terlebur begitu sahaja
jika semua anggota masyarakat memiliki sifat saling menghormati yang dipupuk sejak kita kecil
lagi.

(c) Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum ( pilih 3 sahaja )

Peristiwa 13 Mei telah menjadi catatan sejarah yang suram di negara ini. Hal ini demikian
kerana peristiwa ini memperlihatkan bahawa hubungan kaum akan menjadi rapuh jika ada
tindakan luar batasan dilakukan dan tindakan mencegah tidak dilakukan dengan secukupnya.
Peristiwa berdarah ini menjadi iktibar bahawa perpaduan kaum boleh menjadi bom jangka yang
boleh meletup pada bila-bila masa memandangkan terdapat sebahagian anggota masyarakat
yang gemar menjaja isu sensitif bagi meraih sokongan politik mudah untuk bangsa mereka.
Selepas kejadian ini lahir kesedaran untuk menyatupadukan kaum di negara ini dengan
terbentuknya Rukun Negara yang menjadi satu identiti bagi semua anggota masyarakat. Dalam
masa yang sama kekurangan orang Melayu dalam bidang ekonomi cuba diselesaikan dengan
pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada 1970.

Rentetan peristiwa tersebut juga telah terbentuknya MAGERAN pada 17 Mei 1969 yang
berfungsi sebagai pengembali keamanan dan undang-undang negara; penentu pentadbiran
yang licin dan sempurna; dan pengembali keharmonian dan kepercayaan antara kaum.
MAGERAN didapati berjaya mengembalikan keamanan kepada negara selepas dua tahun
ditubuhkan. Seterusnya, pada tahun 1969 juga, Jabatan Perpaduan Negara(JPN) dan Majlis
Muhibah Negara(MMN) telah dibentuk. JPN yang diketuai Tan Sri Mohd Ghazali Shafie telah
ditubuhkan untuk membantu kerajaan menggerakkan dan membimbing rakyat ke arah
perpaduan negara. MMN pula ditubuhkan pada 18 Julai 1969 bertujuan memulihkan
kepercayaan dan keyakinan antara kaum, mengkaji dan mengatasi masalah untuk
menghapuskan perselisihan faham, membantu dan menyusun kerja-kerja sukarela. MMN dan
JPN telah digabungkan pada 1Januari 1972 menjadi Kementerian Perpaduan Negara yang kini
bergelar Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang ditugaskan untuk
mengendalikan aktiviti-aktiviti bercorak muhibah untuk masyarakat yang berbilang kaum

Penubuhan parti politik di negara kita sebenarnya bermula pada 1940 apabila kesedaran politik
mula melonjak hasil pengenalan Malayan Union oleh Inggeris di negara ini. Penubuhan UMNO ,
MCA dan MIC pada awalnya bermaksud untuk membela masyarakat atau kaum masing-masing
dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Perpaduan kaum mula dibentuk apabila Parti
Perikatan mula ditubuhkan hasil gabungan UMNO,MCA dan MIC yang merapatkan hubungan
antara orang Melayu, Cina dan India dalam bidang politik dalam usaha memuju kerjasama
kaum ke arah mencapai kemerdekaan. Proses ini dilakkukan mulai 1948 hinggalah 1956 . Dapat
dilihat pada masa ini kesedaran pentingnya perpaduan kaum dibentuk bagi menjamin keadaan
negara yang aman dan damai dengan penduduknya dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Kerajaan telah merangka Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai landasan mewujudkan


masyarakat yang bersatu padu. Penyata Razak dan Ordinan Pelajaran yang telah termaktub
sebelum merdeka telah disemak semula menghasilkan Laporan Rahman Talib dan seterusnya
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961 merupakan antara usaha awal kerajaan dalam sektor
Pendidikan. Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan diharapkan dapat memenuhi keperluan
tenaga rakyat negara ini dalam jangka pendek dan panjang demi melahirkan masyarakat yang
bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Antara strategi yang dirancang untuk mencapai matlamat
Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah menjadikan Bahasa Kebangsaan bahasa pengantar yang
utama, mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis
sekolah, mewujudkan sistem peperiksaan yang sama dan sebagainya.

(d) Cabaran untuk mengekalkan perpaduan kaum ( pilih 3 sahaja )

Cabaran kepentingan etnik dari aspek politik iaitu politik perkauman boleh menimbulkan
perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan
diambil tanpa mendapat kata sepakat oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa,
kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan
berpolitik, pastinya, ia tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.Ianya
ditambah lagi dengan usaha parti tertentu yang mengemukakan ideologi Malaysian Malaysia
bagi mendapatkan hak yang sama rata dalam kalangan penduduk di negara ini.Sekali pandang
ianya merupakan suatu isu yang kecil tetapi sebenarnya isu ini berlawanan dengan kontrak
sosial yang dibuat sebelum negara ini mencapai kemerdekaan.

Sejak zaman penjajahan lagi, masalah integrasi telah wujud terutamanya semasa penjajahan
British. Mereka menjalankan dasar “divide and rule” iatu dasar pecah dan perintah agar dapat
memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini jugalah yang memisahkan kaum-
kaum utama negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan. Masyarakat melayu
mengendalikan pertanian dan ditempatkan di kawasan luar Bandar iaitu di kampong-kampung.
Masyarakat Cina ditempatkan dilombong-lombong bijih timah dan bandar-bandar kerana
aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan mereka. Manakala masyarakat India
pula ditempatkan di lading-ladang getah. Perubahan fungsi ini telah menyebabkan ketiga-tiga
kaum ini terpisah dan hubungan semakin terhada dan menjadi bertambah renggang.

Cabaran dari segi ekonomi yang paling nyata ialah perbezaan dari segi pekerjaan di mana
perbezaan ini diwujudkan oleh pihak British melalui pecah dan perintah sepertimana
dinyatakan sebelum ini. Masalah ini telah mewujudkan perasaan curiga dan telah mewujudkan
jurang ekonomi antara kaum-kaum terbabit. Akibat daripada dasar yang dicipta oleh British itu,
kesannya masih lagi dapat dilihat sampailah sekarang di mana sektor perniagaan masih lagi
didominasi oleh orang Cina dan kebanyakkan orang India masih lagi tinggal di lading-ladang.
Perbezaan pekerjaan ini telah membataskan interaksi sosial antara mereka kerana masa banyak
diluangkan ditempat kerja dan sekiranya rakan sekerja terdiri daripada kaum atau etnik yang
sama maka interaksi dan komunikasi hanya berlaku dan berada dalam lingkungan kaum yang
sama sahaja. Kesannya adalah di mana perasaan prasangka dan perkauman akan menjadi
semakin kuat dan menebal di antara sesama kaum terbabit.

Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan sistem Barat yang
diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, Pelajaran Cina telah memberi
kesedaran kebangaaan pemuda –pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya menggunakah
bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara China, buku teks diimport
dari negara China dan berkiblatkan China.
Sekolah Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal.
Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya dibiayai oleh
syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Kerajaan sebelum merdeka
menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah
Inggeris terdedah kepada pemikiran Barat. Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan
sekolah-sekolah lain bukan dari segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak
sama dan sekolah Inggeris juga memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam
masyarakat. Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan penting
mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu, mewujudkan dua
golongan terdidik – berpelajaran Inggeris dan berpelajaran vernakular yang tidak mempunyai
pandangan dunia (world – view) yang sama. Pihak Inggeris tidak memberatkan objektif
perpaduan dalam sistem pelajarannya. Tidak ada satu dasar pendidikan kebangsaan
sepertimana yang kita lihat hari ini. Yang penting bagi mereka ialah memberi pelajaran kepada
segolongan rakyat untuk membolehkan sebahagian mereka memenuhi keperluan tenaga dan
ekonomi.
Penyalahgunaan media sosial telah mula menular sejak akhir-akhir ini. Media sosial seperti web
dan blog serta face book menyebabkan timbulnya kerenggangan kaum kerana banyak
menimbulkan isu sensitif . Beberapa laman web yang bebas bergerak telah memperkatakan
begitu banyak isu bersifat sensiti di samping menaburkan fitnah serta berita palsu
menyebabkan wujudnya keresahan dalam masyarakat di negara ini. Beberapa kenyataan
bersifat rasis dan berunsur perkauman begitu berleluasa pada masa sekarang. Keadaan ini pula
tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana pertindihan tugas dan bidang kuasa antara
badan penguatkuasa dan badan pengawal komunikasi. Penyebaran berita palsu dan tohmahan
juga menjadi punca perbalahan dan persengketaan terhadap anggota masyarakat di negara ini.
Isu kalimah Allah dalam bible yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu contohnya menyebabkan
berlaku pertentangan pendapat dalam kalangan rakyat di negara ini. Ianya bakal menyebabkan
wujudnya rasa benci dan dendam dalam masyarakat yang mampu mengguggat keamanan
negara.

Campurtangan kuasa luar juga boleh menlunturkan perpaduan di negara ini.Beberapa individu
yang dikenalpasti sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada Amerika Syarikat dan
Australia dalam usaha mendapatkan sokongan dan dokongan terhadap permasalahan yang
mereka hadapi. Kehadiran beberapa pemimpin dari luar ini boleh dianggap cuba mencampuri
urusan negara ini kerana cuba mempertikaikan isu hubungan sesama jenis dan hak golongan
lesbian, gay dan transgender di negara ini.Segelintir anggota masyarakat juga mengaitkan isu di
atas sebagai isu hak asasi manusia di negara ini. Dengan menjadikan isu ini sebagai isu hak asasi
maka ianya mendapat sokongan sebahagian daripada anggota masyarakat.

(e) langkah-langkah untuk mengekal dan memantapkan perpaduan kaum di Malaysia ( pilih 3
sahaja )

Beberapa kempen dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan mampu mengekal dan
memantapkan perpaduan kaum di negara ini. Pelan Tindakan Perpaduan & Integrasi Nasional
telah dirancang oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Ia merupakan
rancangan lima tahun iaitu dari 2005-2010 yang merancang pelbagai usaha untuk memupuk
dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Pelan ini mengandungi pelbagai
strategi yang dirancang dari pelabagai aspek seperti strategi politik, ekonomi, pendidikan,
penggunaan Bahasa Kebangsaan, Agama, Kebudayaan, Integrasi Wilayah, Keselamatan,
Pembangunan Kawasan, Penggunaan Tenaga Manusia, Media Massa, Kesukanan,
Pemasyarakatan Perpaduan, Pertubuhan Sukarela, Penyelidikan Dan Penerbitan Bahan Bacaan,
Pemantauan Isu-isu Semasa dan Konflik, Penubuhan Panel Penasihat Perpaduan Negara
(PANEL) dan Jawatankuasa Penasihat Perpaduan Peringkat Negeri (JKPPN), program dan aktiviti
perpaduan, Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara. Kesemua program, pelan
dan aktiviti yang dirancang telah dijalankan dengan bertujuan supaya masyarakat dapat
melibatkan diri dan memupuk hubungan etnik yang erat antara rakyat di negara ini.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan program


Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) sejak tahun 1986. Program ini pada
awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah
rendah dan menengah pada tahun 2005. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin
hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan
perpaduan antara mereka. Dengan adanya persefahaman dan berbaik sangka maka akan timbul
suasana hormat-menghormati terhadap agama, budaya dan adapt resam sesuatu kaum dengan
kaum yang lain. KPM menyediakan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk bergaul mesra
secara sedar dan terancang. Proses perpaduan ini dapat dipupuk dan dibina agar semangat
tersebut dapat diamalkan dalam masyarakat. Usaha ini dijana semula kea rah merealisasikan
hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni.Antara
aktiviti yang dilaksanakan ialah lawatan sambil belajar, kursus motivasi, kem perpaduan ,
sambutan hari perayaan , pameran kebudyaan dan persembahan pentas.

Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur
17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN
sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja
daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin negara. Selaras dengan modul
kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan
tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang
dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan
peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.

Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap
kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk
semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap
mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Namun, sikap negative
masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang hanya bekerja tidak tentu
masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha memupuk semangat perpaduan sukar
untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti
gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut
supaya perpaduan secara maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan
dapat menjadi wadah yang terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam
diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu
padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama

Satu daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah menjaga budi bahasa serta akhlak
dalam pergaulan. Perbezaan agama serta kepercayaan tidak mengurangkan kepentingan
pemupukan budi bahasa. Adat istiadat adalah peraturan yang sentiasa dlpatuhi dan diamalkan
dalam masyarakat Malaysia terutamanya pada hari perayaan. Adat istiadat ini mencirikan
Kebudayaan Kebangsaan. Antara hari-hari perayaan yang sama-sama dihormati ialah Hari
Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos, Hari Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Sambutan
Maulud Nabi Muhammad s.a.w,

Slogan 1Malaysia atau 'Satu Malaysia' adalah satu gagasan peribadi yang diperkenalkan
oleh Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 April 2009. Intipati
gagasan ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.
Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat
semalaman tetapi secara evolusi.Ia adalah ramuan serta formula pentadbiran dalam proses
negara menuju Wawasan 2020 serta menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang
diperjuangkan perdana menteri keempat dan kelima iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun
Abdullah Ahmad Badawi
Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu
sama lain.Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui '1Malaysia'. Hubungan kaum
dipereratkan bagi jangka masa panjang. Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah
kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar. Oleh yang demikian slogan ini sudah
tentu menjadi satu pemangkin kepada perpaduan rakyat di negara ini.

Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah
melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan
persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan
rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di
negara ini.

(f) Rumusan

Pengetahuan
Keamanan negara ini sangat penting dalam usaha negara ini menginjak menjadi sebuah negara
maju menjelang tahnun 2020. Antara faktor utama kejayaan ini boleh dicapai ialah melalui
situasai keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terjamin atau tidak boleh dikompromi
oleh sebarang faktor lain.
Berdasarkan peristiwa 13 Mei 1969 kita wajar memperkuat semula perpaduan kaum di
negara ini agar semua anggota masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni di
negara yang kita cintai ini.
Dalam nada yang sama kita seharusnya memahami dan menghayati peristiwa sejarah negara
negara ini yang terjajah sekian lama dan memerlukan kekuatan segenap sudut bagi menjamin
penjajahan ke atas negara ini tidak lagi akan berlaku .

Iktibar
Kita juga seharusnya mengambil iktibar bahawa perpaduan hanya dapat dicapai jika semua
rakyat bersatu padu , bertolak ansur, hormat menghormati antara sesama angota masyarakat

Harapan
Saya berharap agar semua warga negara ini akan sentiasa mematuhi undang-undang/
peraturan, tidak terpengaruh dengan anasir luar dan menghargai jasa tokoh yang telah banyak
berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dan memenuhi kemerdekaan ini agar menjadi lebih
bermakna akhirnya.

SUMBER : CIKGU RAZAK

ARTIKEL LAIN : CARA MENULIS SUMBER RUJUKAN SEJARAH PT3

http://babab.net/out/contoh-lengkap-jawapan-tugasan-pt3-sejarah-2015.html

You might also like