Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

Fungsi maklum balas (feedback) dalam pembelajaran

Posted on August 18, 2011 by gyar

Dalam proses pembelajaran secara umum, maklum balas daripada guru adalah
penting. Kita boleh mengkategorikan maklum balas kepada empat jenis iaitu
maklum balas prestasi (performance feedback), maklum balas motivasi (motivation
feedback), maklum balas attribut (attributional feedback) dan maklum balas strategi
(strategy feedback) (Pintrich & Schunk, 1996).
Maklum balas prestasi merujuk kepada maklum balas guru terhadap tahap
ketepatan tugasan yang dilakukan oleh pelajar. Ia juga melibatkan pembetulan
kesilapan mereka dalam melakukan tugasan tersebut. Maklum balas yang
menyatakan bahawa tugasan pelajar adalah betul dipercayai dapat meningkatkan
motivasi pelajar. Ini kerana ia menyebabkan pelajar merasa lebih kompeten dan
mampu meneruskan pembelajaran dengan lebih jauh. Maklum balas yang
menyatakan kesilapan mereka juga dipercayai mampu meningkatkan motivasi
pelajar sekiranya disusuli dengan pembetulan yang sepatutnya. Ini kerana pelajar
percaya bahawa mereka boleh meningkatkan prestasi mereka dengan mengikuti
pembetulan yang disediakan oleh guru.

Maklum balas motivasi pula merujuk kepada maklum balas guru yang
berfungsi meningkatkan motivasi pelajar seperti membandingkan pelajar tersebut
dengan prestasi rakan lain yang lebih berjaya. Guru juga boleh mengingatkan pelajar
tentang manafaat yang bakal diperolehi oleh pelajar daripada melakukan sesuatu
tugasan sama ada ia berbentuk ganjaran jangka pendek seperti hadiah kerana
mendapat tempat pertama ataupun ganjaran jangka masa panjang seperti
memperolehi pekerjaan yang baik. Maklum balas sebegini dipercayai mampu
meningkatkan lagi tahap motivasi pelajar untuk melakukan tugasan dalam bentuk
yang lebih baik.
Maklum balas attribut pula mengaitkan pencapaian pelajar dengan faktor lain
seperti mengaitkan kesukaran belajar dengan keupayaan pelajar yang rendah. Guru
perlu peka dalam hal ini dengan melihat faktor personal dan psikologi setiap pelajar
yang mempengaruhi pembelajaran mereka. Setiap pelajar adalah berbeza antara satu
sama lain. Malah kecenderungan setiap pelajar dalam setiap pelajaran juga adalah
berbeza. Sekiranya pelajar percaya bahawa kesukaran belajar disebabkan oleh usaha
yang kurang maka mereka boleh meningkatkan lagi tahap usaha kerana ia berada
dalam kawalan pelajar. Oleh itu, maklum balas guru perlu melihat kepada aspek
sebab musabab yang mempengaruhi pencapaian tersebut seterusnya
memaklumkannya kepada pelajar.

Maklum balas strategi bermaksud guru memaklumkan kepada pelajar strategi


tertentu yang boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi mereka dalam sesuatu
tugasan. Strategi pembelajaran yang diguna pakai dalam setiap pelajaran adalah
berbeza mengikut bentuk pelajaran tersebut. Kadang-kadang prestasi pelajar lemah
dalam pelajaran tertentu adalah disebabkan oleh penggunaan strategi pembelajaran
yang tidak tepat. Sebagai contohnya, strategi yang digunakan dalam pelajaran
matematik tentunya bebeza daripada strategi yang digunakan dalam pelajaran
bahasa Malaysia. Pencapaian pelajar boleh ditingkatkan apabila strategi yang
digunakan adalah sesuai mengikut tugasan dan subjek yang berbeza.
Pintrich, P. R., & Schunk, D. H. (1996). Motivation in education: Theory, research
and applications. Englewood Cliffs: Prentice-Hall Inc.
https://ghazaliyusri.wordpress.com/2011/08/18/fungsi-maklum-balas-feedback-dalam-
pembelajaran/

You might also like