Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 7

Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7 2022)

– Dalam Talian 22 & 23 Jun 2022 (eISSN 2811-4051)

PENGAJARAN AL-QURAN BRAILLE: ISU DAN CABARAN SEMASA

Hidayati Hairul Azman


Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: +6018-3187045 Email: yatzmn@gmail.com

Siti Mahfuzoh Ngabadi


Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: +6011-12460778 Email: sitimahfuzoh99@gmail.com

Nor Irna Syamimi Embong


Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: +601121961811 Email: ersyamimi98@gmail.com

Prof. Madya Dr. Syed Najihuddin Syed Hassan


Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: +601126395798 Email: syednajihuddin@usim.edu.my

ABSTRAK

Kod Braille adalah penting kepada orang kurang upaya pembelajaran terutamanya mereka yang
mempunyai masalah penglihatan. Braille ibarat pengganti penglihatan bagi mereka dan
penggunaan Braille ini membolehkan mereka yang tidak dapat melihat boleh membaca,
menterjemah imej malah mengira. Kepentingan pengajian Al-Quran terutama dalam Al-Quran
Braille dalam kalangan pelajar berpendidikan khas yang mengalami masalah penglihatan
sering diabaikan. Justru kajian ini dilakukan untuk mengetahui isu dan cabaran masalah
pembelajaran yang dialami oleh mereka menggunakan pendekatan Braille. Justeru, objektif
utama kajian ini adalah untuk menjelaskan senario perkembangan pengajian Braille di
Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan yang diperoleh daripada kajian kualitatif
dengan menggunakan metode analisis dokumen yang terdiri daripada buku-buku, artikel-
artikel, jurnal, internet dan bahan-bahan yang berkaitan. Kajian mendapati pengajian Braille
bagi OKU penglihatan di Malaysia masih belum berkembang secara meluas di mana-mana
institusi pendidikan. Selain itu, pengajian Braille juga amat signifikan dalam kehidupan OKU
penglihatan dan amat diperlukan. Ianya dapat membantu OKU penglihatan dalam usaha
mengenal, mencintai dan meneladani Al-Quran. Hasil daripada kajian ini mencadangkan
bahawa kerajaan Malaysia perlu membuat penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti
pendidikan untuk orang kurang upaya pembelajaran dan mewujudkan program pendidikan
khas untuk mereka. Selain itu, kaedah dan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh
golongan sebegini dianggap sebagai isu baharu dan sepatutnya ditangani oleh pihak kerajaan.

Kata kunci: Masalah Pembelajaran, Al-Quran Braille, Isu, Cabaran

202
Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7 2022)
– Dalam Talian 22 & 23 Jun 2022 (eISSN 2811-4051)

1.0 Pendahuluan

Al-Quran Braille merujuk kepada gabungan dua perkataan iaitu Al-Quran dan braille. Al-
Quran merupakan sumber rujukan utama ajaran islam yang lengkap terkandung di dalamnya
dasar utama agama islam iaitu akidah, syariat dan akhlak. Dari sudut bahasa, Al-Quran
bermaksud bacaan dan perkataan Al-Quran yang berasal daripada perkataan arab qira’ah yang
membawa maksud menghimpun huruf-huruf dan kata-kata antara satu dengan yang lain dalam
satu ucapan yang tersusun rapi (al-Zarqani 1994). Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam
surah (al-Qiyamah:75: 16-19) yang menuntut kepada muslim membaca, menghafaz,
memahami dan seterusnya mengamalkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Pendidikan Al-Quran bertujuan mendidik manusia bagi mencapai kesejahteraan di dunia dan
akhirat. Manusia yang celik Al-Quran berupaya mengenal Tuhannya, pencipta dirinya dan
alam serta seluruh isi alam dan makhluk. Para pengajar merupakan antara golongan yang
berperanan penting dalam masyarakat Islam khususnya dalam usaha menyampaikan ilmu
berkaitan pembelajaran Al-Quran. Bagi menjamin keberkesanan pengajaran Al-Quran, setiap
pengajaran Al-Quran yang disampaikan perlu dirancang dengan baik termasuk kaedah,
pendekatan, strategi, langkah dan sebagainya untuk menjamin pengajaran dan pembelajaran
berkesan dan tercapai objektifnya yang tersurat dan tersirat.

Membaca Al-Quran mempunyai banyak kelebihan dan pahalanya. Akan tetapi, tidak semua
Muslim dapat membaca Al-Quran dengan menggunakan pancaindera penglihatannya dengan
baik. Ini terjadi kerana banyak faktor yang mempengaruhi. Ada kalanya kerana tidak dapat
melihat sejak lahir, mungkin juga kerana kecelakaan atau kemalangan, sehingga dia tidak dapat
melihat sepenuhnya atau dapat melihat sedikit. Semangat mereka membuak-buak mahu turut
sama membaca Al-Quran, namun apakan daya sudah ditakdirkan Allah, mereka tiada upaya
dari segi penglihatan. Lalu hanya satu cara menjadi pilihan, sekadar mampu mendengar ayat
suci dibacakan sebelum ke dalam memori ia disimpan. Bagi yang kuat berazam dan kuat
ingatan, tiada masalah mengingati kesemua 30 juzuk isi kandungan kitab suci Al-Quran.

Oleh itu, kajian ini dilaksanakan untuk mengetahui isu dan cabaran semasa para pengajar dalam
pengajaran modul Al-Quran berbantukan Al-Quran braille sekaligus keberkesanan pelajar
OKU dalam mempelajari Al-Quran braille. Ini bertujuan untuk membantu pihak berwajib
mengatasinya di samping membuat penambahbaikkan khususnya dalam membina kualiti
pengajaran Guru Pendidikan Islam dalam program Pendidikan Khas Negara.

2.0 Latar Belakang

Seperti yang diketahui, cabaran dan isu semestinya wujud dalam proses pengajaran dan
pembelajaran Quran braille bagi pelajar OKU penglihatan. Ianya merangkumi cara penulisan
dan pembacaan bahan dalam braille. Dengan ini, guru pembimbing haruslah mempunyai
pengetahuan dalam menulis dan membaca tulisan braille khususnya quran braille. Oleh itu,
kajian tentang isu dan cabaran yang dihadapi oleh guru-guru kod braille dalam mengajar quran
braille dilakukan agar dapat menjawab segala persoalan dengan tujuan untuk memperbaiki dan
menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar OKU penglihatan.

Sebelum penciptaan tulisan braille, golongan ini bergantung sepenuhnya kepada pancaindera
telinga dalam menerima dan memproses sesuatu maklumat. Justeru, golongan ini perlu dibantu
dan diberikan bimbingan untuk membaca Al-Quran dengan menggunakan tulisan braille
kerana sebelum ini mereka hanya berupaya menghafaz Al-Quran melalui kaedah talaqqi dan

203
Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7 2022)
– Dalam Talian 22 & 23 Jun 2022 (eISSN 2811-4051)

keadaan ini telah membataskan mereka dengan hanya menghafaz surah-surah pendek sahaja.
Sungguhpun terdapat segelintir daripada mereka yang mampu menghafal dan membaca
keseluruhan Al-Quran dengan baik, namun kepuasan menghafal lebih dirasai jika dapat
menguasai Al-Quran Braille secara menyemak bacaan hafazan mereka tanpa bergantung
kepada orang lain. Selain itu, peluang untuk mempelajari, menghafal dan menguasai ilmu Al-
Quran akan lebih terbuka kepada golongan cacat penglihatan ini sekiranya mereka dilengkapi
dengan penguasaan Al-Quran braille (Mustaffa 2010).

Golongan OKU cacat penglihatan membaca Al-Quran dengan menggunakan sensitiviti kulit
jari untuk menyentuh huruf-huruf Al-Quran yang menggunakan huruf ‘Braille’. Namun,
seseorang yang cacat penglihatan ini perlu mempelajari huruf Al-Quran braille terlebih dahulu
kerana huruf Al-Quran pada tulisan alphabet dan hija’iyyah berbeza. Huruf-huruf di dalam Al-
Quran braille hanya menggunakan titik-titik sebagai simbol dan huruf. Lantas, individu OKU
cacat penglihatan itu perlu mempelajari kod-kod tulisan huruf hija’iyyah terlebih dahulu,
sebelum membaca Al-Quran.

3.0 Objektif Kajian

Kajian ini mensasarkan beberapa objektif utama, iaitu:


1. Menghuraikan perkembangan pengajaran Al-Quran braille di Malaysia.
2. Mengenal pasti isu dan cabaran Guru Pendidikan Islam dalam pengajaran Al-Quran braille.

4.0 Metodologi Kajian

Metodologi merupakan kaedah dan teknik mereka bentuk, mengumpul dan menganalisis data
supaya dapat menghasilkan bukti yang boleh menyokong sesuatu kajian. Ia menerangkan cara
sesuatu masalah yang dikaji dan sebab sesuatu kaedah dan teknik tertentu digunakan.
Oleh itu, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan menjadikan kaedah
pemerhatian, rujukan dan kaedah temu bual untuk mendapatkan data dan maklumat.
Responden kajian terdiri daripada lima orang tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan
Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur. Seterusnya, pengkaji telah merujuk internet di
mana kemudahan internet digunakan bagi mencari bahan-bahan tambahan.

5.0 Dapatan Kajian

Bahagian ini menerangkan keputusan dapatan kajian berdasarkan tindak balas responden
secara temu bual terhadap isu dan cabaran semasa dalam pengajaran Al-Quran braille pada
masa kini. Pengkaji memilih lima orang responden untuk ditemu bual yang terdiri daripada
tenaga pengajar Guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu,
Kuala Lumpur.

5.1 Perkembangan Pengajaran Al-Quran Braille di Malaysia

Braille merupakan sistem tulisan berasaskan sentuhan yang paling meluas digunakan oleh
masyarakat dunia pada hari ini. Istilah Braille diambil sempena nama Louis Braille, seorang
warga Perancis yang mengalami masalah penglihatan. Beliau merupakan pengasas tulisan
berasaskan penggunaan titik timbul bagi menggantikan huruf dan nombor (Norakyairee et.al,
2013). Al-Quran braille ialah mushaf Al-Quran braille yang menggunakan asas kod braille
Bahasa Arab yang mewakili huruf-huruf hijaiyyah, tanda baris seperti fathah, dammah, dan
kasrah serta simbol-simbol seperti shaddah, sukun dan mad. (Ahmad Kamel et al. 2009).

204
Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7 2022)
– Dalam Talian 22 & 23 Jun 2022 (eISSN 2811-4051)

Golongan istimewa cacat penglihatan seringkali tercicir dalam bidang pendidikan. Ini kerana
ramai yang tidak menitikberatkan pendidikan kepada golongan istimewa ini kerana kekurangan
yang ada pada diri mereka. Namun, kekurangan dan keterbatasan yang terdapat pada golongan
istimewa ini tidak sesekali melemahkan semangat mereka untuk terus belajar dan mendekatkan
diri dengan pencipta-Nya. Mereka juga tidak ketinggalan ingin memahirkan diri mereka dalam
mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Oleh itu, mereka perlu dibantu dan diberikan
bimbingan untuk membaca Al-Quran dengan menggunakan tulisan braille.

Di Malaysia, terdapat beberapa negeri yang mengadakan kelas Al-Quran braille dan kelas ini
telah diusahakan oleh pihak PERTIS. Sebagai sebuah badan yang berperanan menjaga
kebajikan golongan cacat penglihatan yang beragama Islam, PERTIS amat mengambil berat
berkaitan pengajian kelas Al-Quran braille dalam kalangan ahli-ahlinya. Sehingga kini,
terdapat beberapa buah negeri yang terlibat dalam program pengajian Al-Quran braille dan
antara negeri yang terlibat ialah seperti Terengganu, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri
Sembilan, Kedah dan Perlis. Bagi golongan OKU cacat penglihatan di sekitar Kuala Lumpur,
mereka dapat mempelajari Al-Quran Braille dengan menghadiri kelas Al-Quran braille di
beberapa sekolah Pendidikan khas termasuklah Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala
Lumpur.

Dengan adanya kelas al-qurn braille ini, golongan OKU cacat penglihatan dapat belajar
membaca Al-Quran dengan cepat dan mudah dari bimbingan guru yang mahir. Ini kerana,
tanpa mempelajari kod-kod Braille terlebih dahulu, mereka tidak akan dapat membaca Al-
Quran braille dengan baik. Melalui kelas Al-Quran braille ini juga, seorang individu yang cacat
penglihatan dapat menikmati indahnya Kalam Ilahi dan mengetahui isi kandungan Al-Quran
yang menjadi pedoman hidup para muslim.

Sungguhpun demikian, pendidikan Al-Quran secara tidak formal pada umumnya telah mula
dilaksanakan di Sekolah Princess Elizabeth, Johor Bahru, iaitu seiring dengan penubuhannya
pada awal Oktober 1948 dan kemudiannya telah berkembang sehingga terbina Sekolah Agama
Puteri Elizabeth di bawah pentadbiran Jabatan Agama Johor. Meskipun di Malaysia terdapat
beberapa buah sekolah pendidikan Khas di setiap negeri, namun tidak semua sekolah tersebut
menawarkan pengajian Al-Quran braille.

5.2 Isu dan Cabaran Semasa Al-Quran Braille

Dapatan temubual yang dijalankan mendapati terdapat beberapa isu dan cabaran yang dihadapi
oleh Guru Pendidikan Islam dalam melaksanakan pengajaran Al-Quran braille terhadap
pelajar-pelajar bermasalah penglihatan.

5.2.1 Masalah Guru yang Tidak Mahir Kod Al-Quran Braille

Isu dan cabaran utama yang sering dihadapi oleh guru, terutamanya guru yang baru mula
mengajar ialah mereka tidak menguasai kod Braille Al-Quran. Tiga orang guru yang
ditemubual menyatakan bahawa mereka tidak ada asas langsung untuk membaca Al-Quran
menggunakan Al-Quran braille pada peringkat awal menjadi guru kerana tidak pernah
mendapat pendedahan semasa mengikuti latihan perguruan. Seorang daripada guru yang
terlibat adalah pengkhususan dalam bidang Bahasa Arab, seorang guru lagi adalah
pengkhususan dalam bidang Pendidikan Islam tetapi kesemuanya tidak pernah mengikuti
latihan perguruan pengkhususan dalam bidang Pendidikan Khas. Walau bagaimanapun,
apabila ditempatkan di sekolah pendidikan khas, mereka terpaksa belajar sendiri bagi

205
Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7 2022)
– Dalam Talian 22 & 23 Jun 2022 (eISSN 2811-4051)

memastikan pengajaran dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Seorang guru sahaja pernah
mendapat pendedahan asas tentang Al-Quran braille walaupun tidak secara mendalam. Beliau
mendapat pendedahan tersebut semasa mengikuti latihan perguruan dalam bidang Pendidikan
Islam – Pendidikan Khas. Hasil temubual mendapati tiga orang guru tidak mengajar Tilawah
Al-Quran menggunakan Al-Quran Braille, hanya dua orang guru sahaja yang mengajar
menggunakan Al-Quran Braille.

5.2.2 Daya Sensitiviti Jari OKU

Cabaran kedua yang dapat dikenal pasti ialah di mana golongan cacat penglihatan bergantung
sepenuhnya kepada deria sensitiviti jari mereka dalam mempelajari dan membaca al-Qur’an.
Tanpa deria ini, mereka tidak akan dapat membaca Al-Quran braille. Namun begitu, terdapat
juga dalam kalangan pelajar yang mempunyai masalah kekurangan daya sensitiviti jari.
Menurut kajian, ada sesetengah OKU penglihatan yang kurang daya sensitiviti jari mereka.
Kadang-kadang, mereka terpaksa menyentuh satu-satu huruf, perkataan atau baris ayat Al-
Quran dengan lama kerana otak mereka tidak dapat memproses huruf tersebut walaupun huruf
itu pernah dijumpai dan dibaca sebelum ini. Namun, jika mereka tidak dapat mengenal juga
huruf tersebut, guru perlu menggunakan kaedah alternatif lain, iaitu ‘kaedah hafalan’.

5.2.3 Masa Pembelajaran yang Amat Terhad

Masa pembelajaran yang terhad juga merupakan salah satu cabaran getir yang perlu dihadapi
oleh pelajar dan guru pendidikan khas penglihatan. Kebanyakan tenaga pengajar menggunakan
masa yang sedikit ini untuk memberi fokus penekanan kepada komponen‐ komponen yang
terlibat dengan peperiksaan sahaja. Manakala kemahiran bacaan al‐quran tidak diberi tumpuan
kerana tidak diuji dalam sistem peperiksaan kebangsaan. Oleh sebab itu, penambahan waktu
untuk memperbaiki bacaan dan kemahiran al‐quran pelajar‐ pelajar bermasalah penglihatan
perlu diberi perhatian bagi meningkatkan penguasaan kemahiran mereka dalam Tilawah al‐
Quran. Kesuntukan masa ini juga memerlukan kepada guru yang lebih semasa pengajaran dan
pembelajaran Tilawah al‐Quran memandangkan guru terpaksa mengajar pelajar secara ‘one to
one’, maka guru yang lebih ramai dan pengecilan kumpulan pembelajaran adalah perlu bagi
meningkatkan penguasaan bacaan al‐quran pelajar bermasalah penglihatan ini.

5.2.4 Kekurangan Alat Bahan Bantu Mengajar dalam Al-Quran Braille

Kebanyakan bahan rujukan dalam tulisan braille hanya didapati untuk matapelajaran lain, bagi
mata pelajaran Pendidikan Islam khususnya teks-teks al‐quran dan bahan rujukan tajwid tidak
didapati dalam tulisan braille. Cuma naskah al‐quran braille yang bilangannya agak terhad
sahaja diguna pakai oleh pelajar‐pelajar di sekolah menengah pendidikan khas. Buku teks
Pendidikan Islam juga tidak ditulis dalam tulisan braille berbanding buku teks mata pelajaran
yang lain. Hal ini akan menambahkan lagi kesukaran penerimaan pembelajaran pelajar
golongan ini di sekolah, ini kerana mereka hanya belajar Al-Quran dalam kemampuan mereka
yang sangat terbatas. Berdasarkan masalah yang dinyatakan di atas, pelbagai cabaran yang
pelajar OKU Penglihatan terpaksa hadapi sepanjang melaksanakan proses pembelajaran. Ini
secara tidak langsung, kebolehan pembacaan braille masih di tahap membimbangkan kerana,
kebanyakkan individu tidak dapat menguasai Braille dari peringkat sekolah rendah hingga di
peringkat dewasa berpunca daripada masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi. Berikutan,
laporan UNICEF (2017) yang dijalankan di Malaysia, tiga skop penambahbaikan yang
diperlukan segera di Malaysia bagi membantu OKU penglihatan adalah dari aspek bantuan
kewangan, bantuan pendidikan dan pemulihan berasaskan komuniti.

206
Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7 2022)
– Dalam Talian 22 & 23 Jun 2022 (eISSN 2811-4051)

5.2.5 Pelajar Tidak Mempunyai Asas yang Kukuh

Cabaran pembelajaran dalam memberi pendedahan asas yang kukuh kepada pelajar OKU
penglihatan juga merupakan masalah yang perlu di beri perhatian. Kelemahan dalam
memahirkan bacaan al‐ quran dilihat berpunca dari penekanan pembelajaran di peringkat
sekolah rendah lagi. Ini kerana ada di sesetengah sekolah mempunyai guru yang berkemahiran
menggunakan Al-Quran braille dan mempunyai teknik dan kemahiran pengajaran yang
memberi penekanan yang lebih kepada penguasaan bacaan al‐quran murid‐muridnya. Justeru,
penguasaan kemahiran bacaan al‐quran di peringkat menengah adalah rentetan daripada
pelaksanaan pengajaran Tilawah al‐Quran (KBSR) di peringkat sekolah rendah lagi.
Kelemahan yang berlaku di sekolah rendah dibawa ke sekolah menengah yang menyebabkan
mereka terus tidak dapat menguasai kemahiran Al-Quran dengan baik.

5.2.6 Komitmen Pihak Sekolah

Sokongan pihak pentadbiran sekolah dan rakan sejawat merupakan antara faktor utama dalam
meningkatkan kualiti dan motivasi dalam kalangan tenaga pengajar dan seterusnya kepada ibu
bapa yang dianugerahkan anak istimewa ini. Dalam hal ini, pihak sekolah perlu memberi
galakkan dan dorongan sama ada sokongan moral mahupun kewangan kepada GPI dalam
menganjurkan aktiviti-aktiviti, kajian tindakan, dan inovasi dalam PdP. Pihak sekolah boleh
mengadakan satu bilik gerakan di mana kumpulan sokongan ibu bapa (parents support group)
boleh memainkan peranan mereka dalam membantu dan memberi sumbangan terhadap aktiviti
yang dijalankan oleh pihak sekolah.

6.0 Kesimpulan

Secara kesimpulannya, segala isu-isu dan masalah yang timbul tidak sesekali menjejaskan
proses PdP Al-Quran braille dalam kalangan pelajar. Malah semua guru dan pelajar dapat
menjalani PdP dengan baik dan tenang. Kelas Al-Quran braille ini diharapkan dapat terus
digiatkan pada masa akan datang dan tidak terhenti dalam jangka masa tertentu sahaja. Dengan
demikian, golongan OKU cacat penglihatan dapat mempelajari Al-Quran secara berterusan dan
dapat ditambah baik dalam sistem pendidikan negara.

Golongan ini sangat mengharapkan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak untuk menarik
minat lebih ramai OKU cacat penglihatan mempelajari al- quran terutama diperingkat sekolah
lagi. Pelbagai usaha boleh digemblengkan oleh pihak sekolah khasnya serta pelajarpelajar yang
telah mengikuti kelas Al-Quran braille secara amnya. Secara tuntasnya, perkembangan
pendidikan OKU Penglihatan di Malaysia adalah masih di tahap rendah dari aspek pelaksanaan
dasar dan deklarasi di peringkat antarabangsa. Tidak salah corak di peringkat global
digunapakai dengan cara penyesuaian betul secara berperingkat di Malaysia. Ini bertujuan
untuk menambah baik sistem pendidikan khas negara. Satu pelan jangka panjang diperlukan
bagi meningkatkan literasi braille dikalangan OKU Penglihatan melalui program dan latihan
sepanjang hayat.

Akhir sekali, kita tidak ingin melahirkan pelajar khas yang hanya mampu mengurus diri, tetapi
kosong dari sudut jiwanya kerana kesilapan masyarakat khususnya golongan agama yang tidak
mengambil berat dan tidak memikirkan tentang keperluan dan kepentingan mereka untuk juga
menguasai perkara tersebut. Semoga akan lahir ramai qari-qari yang terbilang dari golongan
pelajar bermasalah penglihatan dengan adanya tumpuan masyarakat terhadap mereka.

207
Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan ke-7 (PASAK 7 2022)
– Dalam Talian 22 & 23 Jun 2022 (eISSN 2811-4051)

RUJUKAN

Ahmad Kamel Mohamed, M. Mustaqim M. Zarif, K. Anuar Mohamad, M. Alwi Yusoff.


(2009). Metode pengajian Braille Al-Quran. Laporan Penyelidikan USIM
PPPP(H)/2005. Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.

Al-Quran Al-Karim

al-Zarqani, Muhammad Abd al-`Azim. (1994). Manahil al-`Irfan fi Ulum al-Qur’an. . Beirut:
Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.

Mustaffa Abdullah. 2010. Pengajian Al-Quran dalam kalangan warga cacat penglihatan di
Malaysia. alBayan: Jurnal Al-Quran & al-Hadith 8: 21-34.

Norakyairee Mohd Raus, Mohd Nur Adzam Rasdi, Norazman Alias, Norhasnira Ibrahim,
Norullisza Khosim, Noor Najihan Jaafar, Ab. Halim Tamuri, Norshidah Mohamad
Salleh & Hajarul Bahti Zakaria. 2013. Pengajian Al-Quran Braille: Isu dan cabaran
semasa. International Journal on Quranic Research (IJQR) 3(4): 79-94.

UNICEF. (2017). Kanak-kanak Kurang Upaya di Malaysia: Kajian mengenaiPengetahuan,


Sikap dan amalan. Kuala Lumpur: UNICEF.

208

You might also like