Norazimah Zakaria - Sejarah Melayu

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 16

Jurnal Pengajian Melayu, ]ilid 16.

2005

SEJARAH MELAYU : SEBUAH GENRE SINTESIS


YANG BAIK BAGI MEMENUHI TUNTUTAN
MORAL ISLAM DAN ASPEK
PENGAWALAN POLITIK
Norazimah Zakaria

Pendahuluan

Genre sintesis ialah karya sastera yang memperlihatkan timbal balik


pengaruh Hindu Islam kerana ia ditulis dalam latar istana yang masih
kuat pengaruh pemikiran-peIJlikiran Hindu. Walaupun Islam datang
namun ia tidak menghapuskan budaya Hindu. Corak-corak sintesis
Kesusasteraan Melayu sangat beraneka ragam. Bentuk sintesis yang paling
bagus, yang melahirkan harmoni dalam karya sastera yang selalu
"menukar warna" telah menghasilkan "kepekaan tipologi" kesusasteraan
Melayu. Maksudnya, kesusasteraan itu bukan sekadar menyatukan
fragmen-fragmen pelbagai tradisi (meskipun biasanya memang begitu'',
tetapi malah menetapkan sejenis kesepadanan antaranya, dan dengan
demikian pula menyamakannya. Justeru penyamaan itulah yang
diperlihatkan oleh karangan sejarah. 1

319
Jurnal Pmgajian Melayu, jilid 16, 2005

Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin merupakan sebuah genre


sintesis yang baik. Sebagai genre sintesis, Sejarah Melayu yang dikarang
pada zaman Islam, iaitu abad ke-15 atau ke-16 Masihi, masih
memperlihatkan unsur Hindu yang ketara sekali. Sejarah Melayu
merupakan karya warisan bangsa Melayu yang dianggap sebagai par
excellence oleh ramai sarjana moden, Barat, dan Melayu. Karya ini lahir
dari satu tradisi keintelektualan Melayu yang subur di istana raja-raja
Melayu sejak kurun ke-15. Bentuknya adalah manifestasi satu sudut
pandangan, satu persepsi seorang pengarang Melayu di kurun ke-16 dan
17, terhadap masa silam bangsanya.

Sejarah Melayu secara khususnya memerihalkan mengenai kerajaan


Melayu dan raja-raja Melayu yang bertahan memerintah dan bukan
sahaja Melaka tetapi juga menebarkan kuasanya ke negeri-negeri
persekitaran yang secara geografinya wujud dalam keadaan berserakan.
Dengan kedatangan Islam dan jatuhnya kerajaan Hindu Sri Vijaya,
negeri-negeri mula muncul secara terpisah. Keadaan ini disebabkan
kerajaan Sri Vijaya berada dalam keadaan terumbang ambing. Fenomena
ini menyumbang kepada kemunculan kerajaan-kerajaan kecil yang
dikenali sebagai kerajaan monoetnik.

Salah sebuah kerajaan yang muncul ketika itu ialah Melaka. Melaka
sebagai sebuah kerajaan kecil yang wujud telah berjaya menakluki
beberapa negeri-negeri di persisiran Sumatera di kurun ke-15 dan 16.
Melaka juga turut berjaya memaksa negeri-negeri yang terpisah ini patuh
kepadanya. Oalam lantaran geografi yang demikian, kekuasaan tentera
sahaja tidak dapat sebenarnya menuntut kepatuhan negeri-negeri yang
ditakluk. Mekanisme kuasa yang lebih bersifat non-fisikal malah
supernatural diperlukan untuk mengawal rakyat secara psikologikal,
supaya kepatuhan dan ketaatan mereka itu menjelma secara semula jadi.

Oalam Sejarah Melayu, strategi politiknya menuntut kesetiaan yang


tidak berbelah bahagi daripada seluruh rakyat dan jajahan takluknya
menyebabkan pengarang sebagai pengarang annal terpaksa kembali
kepada tradisi atau meminjam ideologi agama Hindu. Ini adalah kerana
ideologi agama Hindu adalah satu-satunya ideologi yang meletakkan raja
sebagai dewa atau supreme ruler. Genre sistesis juga dikenali sebagai genre
adab. Ia bukan sahaja bertujuan untuk menceritakan keturunan raja,
tetapi mahu dijadikan panduan kepada anak cucu dikemudian hari.

320
Sebuah Genre Sintesis Yang Baik Bagi Memenuhi Tuntutan Moral Islam Dan Aspek Pengawalan Politik

Konsep adab yang diketengahkan banyak dipengaruhi oleh pengaruh


Hindu. Waiau bagaimanapun, Idea Islam ini dapat dilihat melalui
konsep "wasiat", wa'adat, dan teladan.

Sejarah Melayu sebagai genre sintesis yang merangkumi genre


adab

Sebagai genre adab, Sejarah Melayu telah ditempatkan di bawah sfera


faedah. Dalam buku Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam
Kesusasteraan Melayu Klasik, Braginsky telah mengkategorikan karya
dalam tiga sfera iaitu sfera keindahan, sfera faedah, dan sfera rohani.
Ketiga-tiga sfera ini wujud dalam hierarki dengan sfera rohani
menduduki kedudukan paling tinggi diikuti oleh sfera faedah, dan
seterusnya sfera keindahan. Berikut adalah hierarki sfera:

Sfera rohani

Sfera faedah

Sfera
keindahan

Ini bermakna dalam pengkategorian tersebut, Braginsky meletakkan


karya-karya dalam sfera kerohanian sebagai karya yang paling baik diikuti
oleh karya-karya dalam sfera faedah. Karya-karya dalam sfera keindahan
dianggapnya karya yang paling rendah kedudukannya. Menurut
Braginsky seorang pengarang berada di peringkat yang paling rendah
kalau dia menghasilkan sebuah karya yang penuh keindahan (keindahan
luaran) dan kerana itu mampu memulihkan harmoni perasaan dalam
hati pembaca, dalam nafsu haiwaninya.3

Karya-karya dalam sfera faedah pula meny.umbang dari sudut


keintelektualan. Yang dipentingkan dalam sfera ini ialah cerita-cerita
yang boleh merangsang aka! untuk berfikir dan memberikan nasihat
seperti dalam Sejarah Melayu:

321
jurnaf Pengajian Melayu, ji!id 16, 2005

Maka Sultan Mansur Syah pun memandang kepada anakanda


baginda, Raja Ahmad; maka titah baginda, "Hei anakku, ketahui
olehmu, bahawa dunia ini sekali-kali tiada kekal adanya. Yang
hidup itu sedia akan mati juga sudahnya, iman yang sempurna
dan pekerti yang baik, itulah yang kekal disebut orang selama-
lamanya.4

Selain itu, karya dalam sfera ini juga mementingkan peraturan-


peraturan hidup yang baik seperti mana yang terdapat dalam wa' adat.
Sebagai sebuah karya sfera faedah, teks ini memenuhi keperluan sebagai
sebuah genre yang penuh dengan moral Islam yang terkandung di
dalamnya nilai-nilai pengajaran yang baik. Waiau bagaimanapun, untuk
pengukuhan kawalan politik sosialnya maka unsur-unsur moral ini
bergabung jalin dengan unsur-unsur Hindu.

Penggabungan unsur Hindu dan Islam

Sejarah Melayu adalah satu contoh genre sintesis terbaik yang


menggabung jalinkan unsur-unsur Hindu dan Islam. Ada sebab-sebab
tertentu mengapa unsur-unsur ini bergaul dalam karya ini. Mungkin
mukadimah Sejarah Melayu dapat membantu kita memahami sintesis
ini. Merujuk kepada mukadimah teks Sejarah Melayu iaitu:

Demikian bunyi titah yang maha mulia itu, "Bahawa beta minta
perbuatkan hikayat pada Bendahara peri peristiwa dan peraturan
segala raja-raja Melayu, dengan istiadamya sekali supaya diketahui
oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita,
diingatkannya oleh mereka itu, syahadan beroleh faedahlah ia
dari padanya" 5

Mukadimah di atas merujuk kepada dua perkara iaitu tentang


peristiwa raja-raja dan kebesarannya serta sebagai petunjuk di masa
hadapan. Sejarah Melayu merupakan satu-satunya karya yang
menurunkan secara rapi geneologi raja-raja Melayu yang asal dan
berbangsa, menghubungkannya kepada tokoh-tokoh arkitaipal dalam
mitos-mitos kuno, tokoh-tokoh agung dunia yang mencakupi dunia
sebelah Barat dan India, melibatkan dunia udara dan laut, satu cantuman
geneologi yang memadukan segala ciri afdal yang perlu ada pada seorang
raja yang sahih iaitu kesucian, kedaulatan, dan kebesaran. 6 Dari

322
Sebuah Genre Sintesis Yang Baik Bagi Memenuhi Tuntutan Moral Islam Dan Aspek Pengawalan Politik

kepercayaan Hindu yang masih menebal di istana, Raja adalah Avatar,


penjelmaan dewa dari beberapa kitaran kelahirannya. Sebagai Avatar, raja
adalah takungan kepada kuasa kosmik yang menganugerahkannya
dengan kuasa sakti atau supernatural yang kemudiannya membentuk apa
yang dipercayai sebagai daulat. Konsep raja sebagai Avatar ini boleh
dijumpai dalam mitos Hindu yang dapat dicapai oleh pengarang.
Demikian itu kita lihat teks ini dimulakan dengan satu pembinaan imej
arkitaipal raja melalui mitos asal usul yang menjelmakannya sebagai
supra-manusia dengan keupayaan-keupayaan luar biasa yang
mengagumkan dan menggerunkan. 7

Unsur mitos ini penting terutama sebagai pengawalan politik diraja


dan hanya melalui tradisi Hindu sahajalah taraf raja sebagai manusia
yang berdaulat, suci, dan digeruni oleh rakyat dapat di gunakan oleh
pengarang. Sebagai kesan daripada tamadun Hindu yang diwarisi oleh
masyarakat Melayu sejak awal Masihi dulu, unsur Hinduisme memang
jelas. Mitos Hindu-Buddha dapat kita lihat dari unsur Bukit Siguntang
di gunung Mahameru. "Mahaviru" adalah nama bukit suci (olyampus)
tradisi budaya Hindu yang dipercayai tempat tinggal dewa-dewa Syiva
dan Visynu. Penjelmaan semula (rein- carnation) dari dewa-dewa inilah
dipercayai munculnya raja-raja Melayu yang besar di dunia sebelah ini.
Inilah yang menjadi motif utama tulisan bagi pembukaan Sejarah Melayu
yang bertujuan untuk menghubungkan darah dan nasab raja-raja Melaka
dari dewa-dewa yang turun ke dunia ini melalui Bukit Siguntang
Mahameru. 8

Mitos penting untuk mengangkat peribadi raja sebagai "Dewa-raja"


yang mempunyai daulat dan tulah yang sangat digeruni oleh rakyat
supaya patuh dan taat kepada raja. Peribadi yang terjelma dari seluruh
kompleks mitos tersebudah dikatakan menzuriatkan keturunan raja-raja
Melayu, menjadikan mereka bukan sahaja perkasa dan berdaulat tetapi
juga kebal. Melalui peribadi yang demikianlah pemikiran rakyat dikawal
dan dikendalikan sehingga kepatuhan kepada raja itu muncul dari
kerelaan hati, bukan paksaan.9 Pengarang Sejarah Melayu telah
mensinkritisasikan (memperpadukan) unsur Hindu dan Islam.
Umpamanya tokoh Hindu Raja Suran (Raja Chola) dihubungkan
dengan tokoh Islam Iskandar Zulkarnain. Juga ketokohan Raja Suran
dengan Sayidina Hamzah lalu dituliskan, "Syahadan fasal Raja Suran itu
jikalau dihikayatkan semuanya seperti Hikayat Sayidina Hamzahlah

323
Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 16, 2005

banyak". 10 Unsur Hindu, lembu, dan Bukit Mahameru dikaitkan dengan


nama Allah, seperti yang terdapat dalam petikan berikut:-
"Maka oleh Raja Aftabu'l Ardh diberinya seekor lembu yang
amat putih, seperti perak yang terupam warnanya, maka ketiga
anak raja itupun naiklah ke atas lembu itu, lalu berjalanlah
keluar. Dengan takdir Allah Subhanahuwa Ta'ala Yang Maha
Mulia dan Maha Kuasa, teruslah ke Bukit Siguntang itu waktu
malam". 11

Iskandar Zul Karnain juga dihubungkan dengan Bukit Mahameru.


Petikan berikut menjelaskannya. "Syahadan termasyhurlah pada segala
negeri bahawa Demang Lehar Daun mendapat anak raja tiga bersaudara
dari Bukit Si Guntang dan daripada anak cucu Raja Iskandar Zul
Karnain" . 12 Raja Iskandar Zul Karnain dan Raja Suran (Raja Cho la)
adalah tokoh politik dan penakluk agung dalam sejarah awal rantau ini
dijadikan satu bentuk cereka tokoh legenda di bahagian pendahuluan
Sejarah Melayu, dengan tujuan untuk mengatakan bahawa raja-raja
Melayu di sekitar Selat Melaka awal, Palembang, Bentan, Singapura
kemudiannya Melaka, dan Johor adalah secara langsung ataupun tidak
merupakan nasab keturunan dari Iskandar Zul Karnain, tokoh legenda
Islam, dan Raja Chola, tokoh legenda Hindu. Penulis Sejarah Melayu
nampaknya dengan sengaja menggalurkan keturunan sebegitu bagi
menampakkan asal keturunan raja-raja Melayu. Malah keturunan raja-
raja Melayu juga turut bernasabkan dari Palembang (Sriwijaya dalam
sejarah) "cradle" atau pusat kebudayaan Melayu yang terawal dan pertama
sekali.

Gabung jalin antara keistimewaan raja dengan kuasa supernatural


Hindu turut menyelitkan episod pengislaman raja Melaka. Pengislaman
raja Melaka dalam Sejarah Melayu dipaparkan oleh pengarang melalui
mimpi. Episod raja bermimpi bertemu dengan Rasulullah ini sekali gus
menaikkan martabat golongan pemerintah dan keturunannya. Episod
mimpi ini boleh dilihat dalam petikan Sejarah Melayu seperti berikut:
Syahadan pada malam itu Merah Silu pun tidur, maka ia
bermimpi dirinya berpandangan dengan Rasulullah salla'llahu
'alaihi wa salam. Maka sabda Rasulullah kepada Merah Silu,
"Ngangakan mulutmu!" Maka oleh Merah Silu dingangakan
mulutnya; diludahi oleh Rasulullah mulut Merah Silu. Maka
Merah Silu pun terjaga daripada tidurnya ... "13

324
Sebuah Genre Sintesis Yang Baik Bagi Memenuhi Tuntutan Moral Islam Dan Aspek Pengawalan Politik

Sejarah Melayu juga boleh dijadikan panduan dalam melihat unsur


politik bagi masyarakat Melayu ketika itu. Hal ini jelas pabila kita
melihat terdapatnya perjanjian suci raja dengan rakyat yang
memudakkan kedudukan raja dalam politik feudal dan mengkonkritkan
ideologi kelas monarki. Fenomena ini mengkanunkan secara tidak
langsung tatacara dan etika pemerintah dan rakyat sekiranya tidak mahu
bala menimpa negeri. Menepati genrenya dan tujuan penulisannya, ia
juga adalah dokumen sejarah yang cuba menjelaskan dasar-dasar
kebangkitan dan kejatuhan sebuah negara kota yang besar, berkuasa, dan
berdaulat untuk panduan generasi akan datang. 14

Berdasarkan hal ini Sejarah Melayu mempunyai pemikiran politik


yang tersendiri. Ketahanan negara kota dan kesejahteraan warganya
adalah di asaskan kepada prinsip-prinsip wa'adat yang menuntut kepada
keadilan raja dan kesetiaan rakyat yang utuh, dengan amaran balasan
yang dahsyat terhadap penderhakaan. Sejarah Melayu melafazkan dengan
seri us pendiriannya ten tang penderhakaan. Balasan-balasan
penderhakaan dicontohi dengan jelas dan konkrit dalam alur naratifnya.
Wa'adat tersebut walaupun menegaskan kepada kerahiman dan keadilan
raja, tetapi dengan pengharaman penderhakaan ia turut mengukuhkan
kemutlakan raja. Pemikiran politik inilah yang mendorong pengarang
Sejarah Melayu untuk memadukan aura kedewaan pada peribadi-peribadi
raja Melaka melalui mitos-mitos, yang kemudiannya menyerapkan
kedaulatan pada peribadi-peribadi tersebut, menjadikan mereka digeruni
dan diungguli.

Di dalam Sejarah Melayu, Seri Teri Buana sebagai pihak raja yang
berjanji "Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya
sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu
derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan
cedera, berundur hingga takluk negerinya juga ... " 15 Berdasarkan hal ini,
raja tidak boleh menganiaya rakyat dengan sesuka hatinya dan rakyat
pula diminta supaya jangan menderhaka walau bagaimana zalim seorang
raja sekalipun. Keseimbangan dalam menjaga hak antara raja dan rakyat
ditunjukkan melalui jawapan yang diberi oleh Demang Lehar Daun
kepada Seri Teri Buana "Jikalau ada seorang raja memberi aib seorang
hamba Melayu alamat negerinya akan binasa" . 16 Sejarah Melayu
meletakkan tanggungjawab kesejahteraan negara kota ke atas perilaku

325
Jurnal Pengajian Melayu, Ji/id ]6, 2005

raja dan rakyat. Peribadi raja yang rosak dan sifat-sifatnya yang mungkar
dilihat sebagai punca kepada kejatuhan pemerintahannya.

Perteguhan janji dalam wa'adat ini menjadi suatu role model kepada
kawalan politik dalam Sejarah Melayu. Pengarang Sejarah Melayu
memerihalkan kepentingan kepada wa'adat ini melalui petikan di bawah
Sejarah Melayu:
Itulah dianugerahkan Allah subhanahu wa taala pada segala raja-
raja Melayu, tiada pernah memberi aib kepada segala hamba
Melayu, jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat
dan tiada digantung, difadihatkan dengan kata-kata yang keji
hingga sampai pada hukum mati, dibunuhnya. Jikalau ada
seorang raja-raja Melayu itu memberi aib seseorang hamba
Melayu, alamat negerinya akan binasa.'7

Daripada wa'adat ini maka munculnya daulat di kalangan raja-raja.


Daulat ini boleh dihubungkan dengan kuasa supernatural. Dengan
demikian rakyat akan percaya bahawa raja-raja itu bukannya orang-orang
biasa sahaja tetapi orang-orang yang istimewa, yang mesti dipatuhi segala
titah perintahnya. Sesiapa yang menderhaka kepada rajanya, walau
bagaimana raja itu zalim, terbinasalah ia kerana kedaulatan raja itu.

Contohnya episod tentang penderhakaan Sang Rajuna Tapa. Episod


rn1 memang dimunculkan sebagai teladan kepada rakyat yang
berkecenderungan untuk berpaling tadah kepada raja dan menyebelahi
musuh. Sang Rajuna Tapa dikatakan telah menjadi batu dan tiang
rumahnya diterbalikkan. Balasan supernatural ini dikaitkan dengan
daulat raja atau tulah raja yang berkeupayaan secara ghaib untuk
bertindak atas manusia dan ini amat menakutkan rakyat dan meyakinkan
mereka tentang wujudnya satu perhubungan ghaib di antara peribadi
raja clan kuasa kosmos.

Perteguhan janji dalam wa'adat dan daulat yang ada pada golongan
pemerintah ini menyebabkan pengawalan sistem politik secara tidak
langsung dapat dilaksana. Gabung jalin antara unsur Hindu dan Islam
dalam wa'adat menjadikan perteguhan janji ini begitu suci clan sakral.
Dalam Islam sendiri, janji adalah sesuatu yang tidak boleh dipermainkan.
Bagi membezakan golongan pemerintah dengan rakyat jelata maka
wujudnya hierarki dalam mobiliti sosial. Dalam Sejarah Melayu sendiri

326
Sebuah Genre Sintesis Yang Baik Bagi Memenuhi Tuntutan Moral Islam Dan Aspek Pengawalan Politik

wujudnya jurang di antara raja dengan rakyat. Contohnya, rakyat biasa


dilarang memakai warna kuning, memakai payung putih dan kuning,
memiliki perahu yang bertingkap dengan balai penghadapan, memakai
barang-barang dari emas dan sebagainya. Bagaimanapun, larangan
tersebut dikecualikan jika barangan tersebut dikurniakan oleh sultan.

Dalam pemikiran Islam pemerintah adalah mandat dari Tuhan. Ia


bukanlah secara semulajadi atau keturunan tetapi adalah mandat yang
telah ditentukan oleh Tuhan. Justeru segala amanah ini sekiranya tidak
dilaksanakan dengan sempurna berlandaskan nas dan hukum Allah maka
Allah akan menarik balik segala mandat yang diberi. Raja yang
menzalimi rakyat, maka raja itu akan hilang mandatnya untuk
memerintah. Seseorang raja yang adil akan mendatangkan kemakmuran
dan keharmonian kepada negaranya. Perjanjian seperti wa' adat ini
dianggap sebagai suatu ikatan yang berkaitan dengan ketenteraan
ataupun menguatkan pertahanan negara seseorang raja. Gabungan unsur
Hindu dan Islam memberi ruang kepada kita untuk memikirkan bahawa
asas wa'adat antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba dibentuk
berdasarkan lunas kepercayaan orang India tentang raja dan ia diberi
pengisytiharan atas nama Allah Subhanahuwa Ta'ala. Seterusnya
dikatakan pula perbuatan menentang raja adalah derhaka. 18

Hal ini kerana telah ada mitos iaitu "Syahadan segala anak
Melayupun dianugerahkan (oleh) Allah Subhanahuwa Ta' ala tiada pernah
derhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti
sekalipun serta aniaya" . 19 Menurut Walls Charles Bartlett yang mengkaji
karya Sejarah Melayu dari segi struktur temanya melihat "Kesetiaan
rakyat pada raja'' dan "Keadilan pemerintah'' merupakan tema sepanjang
karya ini dari awal hingga akhir. 20 Beliau yang turut membicarakan
wa'adat antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba, berpendapat
bahawa unsur agama Islam iaitu hukum yang dikenakan kepada mereka
yang melanggar perjanjian jelas merupakan faktor tambahan. Ini
dilakukan supaya wa'adat tersebut dapat disesuaikan dengan ajaran Islam.

Dalam Sejarah Melayu, taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi
kepada raja mereka dan seboleh-bolehnya cuba mengelakkan dari
melakukan perbuatan derhaka. Ini bermakna dalam kerajaannya tidak
ada kuasa yang boleh atau berhak untuk mengekang kuasa mudak
seseorang pemerintah. Persetiaan ini bukan sahaja akan menjadi ingatan

327
Jurnal Pengajian Melayu, Ji/id JG, 2005

terhadap maruah manusia ke arah hubungan di antara raja dengan rakyat


jelata, tetapi ia juga memberikan Sejarah Melayu suatu tema yang
dominan.

Sultan Muhamad, raja Melaka yang pertama memeluk agama Islam


adalah seorang Sultan yang adil dan paling lama pemerintahannya.
Kesempurnaan perilakunya menjana kesejahteraan negeri Melaka dan
ganjaran Allah kepadanya ialah dia diberi pemerintahan yang panjang.
Dalam ha! ini mesej moralnya jelas. Raja yang adil akan mendapat
kemakmuran dan kesejahteraan dalam pemerintahannya.

Sultan Mahmud Syah adalah contoh raja yang melanggar konsep


wa'adat. Raja yang rosak peribadinya yang memungkiri tanggungjawab
sebagai pemerintah, tidak layak diberi mandat memegang negeri.
Pemerintahannya akan hanya membawa satu zaman huru hara dan
penderitaan. Peralihan kuasa dengan demikian adalah wajar dan patut
dilihat sebagai penarikan kembali mandat tersebut oleh Allah. 21
Perlanggaran etika dalam wa'adat ini menyebabkan negeri yang
diperintah akan rosak binasa sama ada melalui tindakan pengikut yang
berpaling tadah seperti contohnya Sang Rajuna Tapa ataupun kerajaan
itu akan musnah akibat peperangan yang dahsyat. Kisah kezaliman raja
kepada hamba rakyatnya akan mendapat balasan yang setimpal sebagai
memenuhi konsep dan pengertian wa'adat itu sendiri.

Contoh tentang penarikan semula mandat oleh Allah akibat


kezaliman raja adalah seperti kisah Singapura dilanggar oleh Majapahit
kerana kezaliman Paduka Seri Maharaja membunuh seorang kanak-kanak
cerdik tetapi tidak berdosa dengan tragedi serangan todak ke atas
Singapura. Ini ditambah lagi oleh kezaliman Iskandar Syah sendiri
menyula anak Sang Rajuna Tapa tanpa usu! periksa. Melaka runtuh
akibat diserang oleh Portugis gara-gara dari kezaliman Sultan Mahmud
Syah yang kaki peleser dan membunuh kesemua keluarga Bendahara Seri
Maharaja Tun Mutahir, cuma kerana Sultan terkilan tidak dapat
memperisterikan anak bendahara Melaka yang kaya ini. Raja-raja tersebut
telah menerima sanction a tau pem balasan. 22 Justeru berdasarkan
pemikiran politik Islam, amat jelas bahawa seluruh huru-hara yang
berlaku dalam negara adalah datangnya daripada raja yang mengikut
hawa nafsu dan melakukan kezaliman terhadap rakyatnya.

328
Sebuah Genre Sintesis Yang Baik Bagi Memenuhi Tuntutan Moral Islam Dan Aspek Pengawalan Politik

Terna dalam Sejarah Melayu ialah mengenai pemerintahan sultan-


sultan yang secara tidak langsung merupakan tokoh-tokoh yang unggul
walaupun mereka juga seperti manusia lain. Tetapi keseluruhannya
adalah lebih daripada itu dan kuasa dinasti adalah lebih agung daripada
kuasa individu yang memerintah. Daulat ketinggian dinasti yang absah
itulah yang menjadikan Melaka sebagai pusat yang digambarkan sebagai
dapat mempertahankan dirinya dari serangan Jawa, Siam, dan China.
Daulat raja ini diperkukuh lagi dengan adanya kesetiaan, walaupun
pernah berlaku kezaliman Sultan ke atas rakyamya dengan Bendahara
sebagai wakil mereka yang teragung.

Contohnya, bahagian cerita yang meriwayatkan bahawa Raja China


yang tidak berkelayakan menerima anugerah kehormatan dari raja
Melaka sebagai bapa mertuanya, maka terjadilah gatal seluruh badannya
dan baginda harus minum air bekas cucian kaki dari Raja Melaka,
barulah kegatalan tubuhnya akan sembuh kembali. Natijahnya Raja
China bersumpah sehingga ke anak cucunya tidak akan menerima
sembah dari Raja Melaka. Peristiwa ini adalah sebahagian daripada
strategi pengarang untuk membina karisma raja Melayu. Patudah ia
menjadi "Maharaja" di sepanjang negeri-negeri selat, berjaya
menundukkan Siam dan Majapahit tanpa perlu berperang.

Terna dan plot pokok Sejarah Melayu kelihatannya menyebelahi


takdir yang baik bagi pihak raja dan sebaliknya buruk bagi rakyat jelata.
Raja telah ditakdirkan untuk memerintah dan rakyat untuk patuh kepada
raja. lni ada kaitannya dengan konsepsi darjat ketinggian yang diwarisi
daripada titisan darah dewa yang asalnya adalah daripada kepercayaan
Hindu. Rakyat juga tidak berhak untuk menunjukkan kebijaksanaan
terutamanya di hadapan raja kerana raja akan menjatuhkan hukuman
kepadanya seperti yang terjadi kepada kanak-kanak yang dihukum mati
dalam peristiwa Singapura dilanggar todak.

Walau bagaimanapun, dalam keseluruhan tema dan plot Sejarah


Melayu, moral Islam berkaitan dengan takdir digunakan sebagai amanat
suci. Kejatuhan Melaka, dan merempatnya Sultan Mahmud di akhir
cerita itu, merupakan satu pengajaran yang nyata tentang bala yang pasti
akan dijatuhkan kepada negeri yang tidak lagi mengendahkan sunnah
Allah yang telah ditunjukkan berulang-ulang kali di dalam kitab suci
Al-Qur'an. 23 Ali Ahmad mengatakan dalam Sejarah Melayu menerapkan

329
jurnal Pengajian Melayu, Jilid 16. 2005

istilah "wasiat" kepada suruhan atau arahan yang disampaikan oleh raja
kepada pengarang Sejarah Melayu (Pada bahagian mukadimah) untuk
mengarang sebuah kitab tentang istiadat raja-raja Melayu. Dalam Sejarah
Melayu contoh wasiat yang diberikan oleh Sultan Mansur Syah yang
sedang geri.og mempunyai pesanan yang dipenuhi oleh unsur-unsur
pemikiran keagamaan dan ajaran tentang akhlak yang baik.

Daripadanya kita dapat menyimpulkan bahawa rugas-rugas seorang


raja atau pemerintah bukanlah mudah. Di sebalik segala istiadat dan
permainan diraja yang menghiburkan dan menyeronokkan, tersirat suatu
tanggungjawab yang amat berat yang boleh dihisab di hadapan Allah
s.w.t. Menurut M. Khalid Taib, imbangan antara idealisme dalam wasiat
dan tindak tanduk sebenar golongan diraja seperti berikut:

The sense of justice and forebearance are declared as the


superior qualities to strive for the history of Melaka as
documented in the Sejarah Melayu soon shows that very rarely
do kings attain that ideal of Justice". 24

Adalah jelas kepada kita bahawa dalam wasiat, terdapatnya mesej


yang jelas antara pemerintahan seorang raja itu hanyalah suatu amanah,
suatu bentuk khulafa' yang dipegang hanya untuk suatu tempoh masa
yang terhad. lnstitusi beraja seperti ini tidaklah secara intrinsik
mengandungi kecacatan menurut persepsi pengarang sastera sejarah,
tetapi watak-watak tertentu yang menduduki takhta kerajaan itulah yang
kadangkala mendatangkan keburukan kepada institusi tersebut.
Madamat terunggul bagi jawatan atau kedudukan seseorang raja itu
adalah untuk melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan penuh
keadilan dan kesabaran.

Kesimpulan

Sebagai genre sintesis, unsur-unsur seperti mitos, legenda, dan dongeng


turut mempunyai fungsi yang tersendiri dalam Sejarah Melayu. Fungsi-
fungsi itu adalah berkaitan dengan kebudayaan Melayu. Adalah
berbahaya untuk seorang pengarang mengecam sultan-sultannya dengan
cara terbuka dan terus terang walaupun sultan itu kejam dan zalim.
Kalau dibuat demikian akibatnya buruk sekali dan kerana Sejarah Melayu
Sebuah Genre Sintesis Yang Baik Bagi Memenuhi Tuntutan Moral Islam Dan Aspek Pengawalan Politik

itu ditulis atas titah sultan supaya "diketahui oleh segala anak cucu kita
yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu. Syahadan
beroleh faedahlah ia daripadanya dan supaya menyukakan duli hadrat
baginda'', maka sudah tentulah pengarang tidak boleh membuat sebarang
kecaman dengan terang-terangan. Sejarah Melayu jika dilihat sebagai
memenuhi tuntutan moral Islam menyebabkan pengarang menggunakan
teknik kesan akibat dan sindiran secara halus ke atas setiap perlakuan
raja yang tidak disukainya supaya menjadi pengajaran kepada anak cucu
yang kemudian. Kesimpulannya, maka adalah jelas bahawa Sejarah
Melayu adalah sebuah genre sintesis yang baik kerana terkandung di
dalamnya pengawalan politik yang menggunakan idea Hindu dan
tuntutan moral Islam yang menggunakan idea Islam dan telah
disintesiskan sebagai menjelaskan adab raja dan geneologi raja-rajanya
yang penuh dengan kedaulatan.

No ta

Braginsky, V.I., 1994. Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam


Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, him. 69.
2 Noriah Taslim, 1997. "Sejarah Melayu dalam Tuhfat Al-Nafis: Sikap
Raja Ali Haji terhadap warisan tradisi", dalam jurnal Ilmu
Kemanusiaan. Universiti Sains Malaysia, him. 1.
3 Braginsky, V.I., 1994. Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam
Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, him. 48.
4 A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, him. 172.
5 A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, him. 3.
6 Noriah Taslim, 1997. "Sejarah Melayu dalam Tuhfat Al-Nafis: Sikap
Raja Ali Haji terhadap warisan tradisi" dalam jurnal Ilmu
Kemanusiaan. Universiti Sains Malaysia, him. 1.

331
jurna! Pengajian Melayu, ji!id 16, 2005

7 Noriah Taslim, 2002. Sulalat-us-Salatin dan Strategi Ketahanan


Politik Melayu abad ke-17, hlm. 2.
8 Yusoff Iskandar, 1986. "Sejarah Melayu Sebagai Teks Sastera Yang
Bercorak Sejarah" dalam Sastera Sejarah. (Peny) Zahrah Ibrahim.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 121.
9 Noriah Taslim, 2002. Sulalat-us-Salatin dan Strategi Ketahanan
Politik Melayu abad ke-17, hlm. 3.
10 A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 21.
11 Ibid. hlm. 17.
12 A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka. him. 22.
13 A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 57.
14 Noriah Taslim,1997. "Sejarah Melayu dalam Tuhfat Al-Nafis: Sikap
Raja Ali Haji terhadap warisan tradisi" dalam Jurnal Ilmu
Kemanusiaan. Universiti Sains Malaysia, hlm. 1.
15 A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 25.
16 A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, him. 26.
17 A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, him. 26.
18 M. Rajantheran, 1999. Sejarah Melayu: Kesan Hubungan
Kebudayaan Melayu dan India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka., him. 196.
19 A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, him. 26.

332
Sebuah Genre Sintesis Yang Baik Bagi Memenuhi Tuntutan Moral Islam Dan Aspek Pengawalan Politik

20 M. Rajantheran, 1994. Sejarah Melayu: Kesan Hubungan


Kebudayaan Melayu dan India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
21 Noriah Taslim, 1997. "Sejarah Melayu dalam Tuhfat Al-Nafis: Sikap
Raja Ali Haji terhadap warisan tradisi" dalam ]urnal I/mu
Kemanusiaan. Universiti Sains Malaysia, hlm. 12.
22 Yusof Iskandar, 1986. "Mitos dan Lagenda Sebagai Penulisan Sejarah
Melayu" dalam Sastera Sejarah. (Peny) Zahrah Ibrahim. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 157.
23 Ali Ahmad, 2002. "Takdir di dalam Kesusasteraan Melayu Lama
dan Baru" dalam Tradisi dan Modeniti. (Peny) Lalita Sinha. Pulau
Pinang: U niversi ti Sains Malaysia, hlm. 67.
24 M. Khalid Taib, 1994. "Motif-motif Signifikan dalam Karya Sastera
Sejarah Berbahasa Melayu: Ke Arah Mendalami Pemikiran Penulis
dan Amanat Yang Tersirat untuk Khalayaknya" dalam Pengarang Teks
dan Khalayak. (Peny) Sahlan Mohd Saman. Kuala Lumnpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, hlm. 121.

Rujukan

Ali Ahmad, 2002. "Takdir di dalam Kesusasteraan Melayu Lama dan


Baru" dalam Tradisi dan Modeniti. (Peny) Lalita Sinha. Pulau
Pinang: Universiti Sains Malaysia.

A. Samad Ahmad (peny), 1996. Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka.

Braginsky. V.I., 1994. Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam


Kesusasteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

M. Khalid Taib, 1994. "Motif-motif Yang Signifikan dalam Karya Sastera


Sejarah Berbahasa Melayu: Ke Arah Mendalami Pemikiran Penulisan
dan Amanat Yang Tersirat untuk Khalayaknya" dalam Pengarang Teks
dan Khalayak. (Peny) Sahlan Mohd Saman. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka

333
jurna/ Pengajian Melayu, Ji/id 16, 2005

M. Rajantheran, 1994. Sejarah Melayu: Kesan Hubungan Kebudayaan


Melayu dan India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriah Taslim, 1997. "Sejarah Melayu dalam Tuhfat Al-Nafis: Sikap Raja
Ali Haji Terhadap Warisan Tradisi" dalam ]urnal !!mu Kemanusiaan.
Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

- - - - - - , 2002. Sulalat'l Salatin dan Strategi Ketahanan Politik


Melayu Abad ke 17 dalam Seminar Lanjutan Sulalat-us-Salatin.
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia.

Sanusi Samid, 1986. "Sejarah Melayu Sebagai Satu Sumber Sejarah"


dalam Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian. (Peny) Zahrah
Ibrahim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yusoff Iskandar, 1986. "Sejarah Melayu Sebagai Teks Sastera Yang


Bercorak Sejarah" dalam Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian.
(Peny) Zahrah Ibrahim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

- - - - - - , 1986. "Mitos dan Lagenda Sebagai Unsur Penulisan


Sejarah Melayu" dalam Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian.
(Peny) Zahrah Ibrahim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

334

You might also like