Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 1

KATA PENGANTAR

Laporan Survei Tenaga Buruh, Malaysia, 2022 membentangkan statistik tahunan berkaitan tenaga buruh,
guna tenaga dan pengangguran yang diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB). Laporan ini juga
membekalkan statistik utama tenaga buruh mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi antaranya
jantina, kumpulan umur, strata bandar dan luar bandar, kumpulan etnik, pencapaian pendidikan, pekerjaan
dan industri. Selain itu, indikator penduduk bekerja kurang dari 30 jam seminggu, guna tenaga tidak penuh
berkaitan masa dan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran turut dimuatkan dalam penerbitan ini.
Pelaksanaan STB adalah berdasarkan garis panduan dan syor oleh International Labour Organization
(ILO) dengan merujuk kepada Surveys of Economically Active Population, Employment, Unemployment
and Underemployment: An ILO Manual on Concepts and Methods.

Statistik tenaga buruh merupakan maklumat penting yang digunakan sebagai input untuk menganalisis
pasaran buruh, menggubal dasar serta merancang, melaksana dan memantau program berkaitan
pembangunan sumber manusia. Statistik ini juga menjadi rujukan penting kepada penyelidik, ahli ekonomi,
ahli akademik, pihak swasta dan individu dalam kajian berkaitan guna tenaga dan pasaran buruh.

Penerbitan ini mengandungi tiga bahagian utama. Bahagian pertama memaparkan statistik utama dan
ringkasan penemuan. Jadual statistik terperinci dipaparkan di bahagian kedua. Manakala, bahagian ketiga
pula menerangkan aspek teknikal seperti skop & liputan, konsep & definisi, serta pembolehubah utama
yang digunakan bagi memudahkan pengguna memahami statistik yang diterbitkan.

Jabatan Perangkaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada responden dan semua
pihak yang telah menyumbang kepada pelaksanaan survei dan penyediaan penerbitan ini. Pandangan
dan cadangan ke arah penambahbaikan penerbitan ini pada masa hadapan amat dihargai.

DATO’ SRI DR. MOHD UZIR MAHIDIN


Ketua Perangkawan Malaysia
Julai 2023

LAPORAN SURVEI TENAGA BURUH | 2022


LABOUR FORCE SURVEY REPORT | 2022 III

You might also like