Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 4

Ketika wanita mula mendapat tempat dalam badan kehakiman, persoalan mengenai kelayakan dan

kebolehan wanita mendapat pandangan yang berbeza. Di negara-negara majoriti Islam, pelantikan
hakim wanita telah mencetuskan perdebatan hangat di kalangan masyarat Islam seluruh dunia. Ia
sering dipertikaikan bahawa pengkibatan wanita dalam badan kehakiman melanggar syariat Islam,
kerana majoriti ulama’ berpendapat bahawa wanita tidak layak untuk menjawat jawatan yang
melibatkan tindakan membuat keputusan terhadap orang lain atau pihak-pihak yang bertikai.

Ada sekumpulan yang berpendapat bahawa tidak patut adanya perlantikan hakim di
kalangan wanita mendakwa dan menuduh Barat bahawa permulaan pelantikan wanita dalam badan
kehakiman adalah hasil daripada persidangan antarabangsa mengenai wanita yang memaksa
kerajaan Islam untuk memulakan langkah yang menjurus ke arah kesaksamaan jantina. Di samping
itu, ada yang berpendapat bahawa wanita yang dilantik sebagai hakim lebih empati dan sensitif
daripada lelaki. Bahkan kualiti ini dianggap sebagai satu kelebihan dan ia juga digunakan untuk
menimbulkan keraguan tentang kesesuaian dan keupayaan wanita dalam menilai sesuatu isu
dan/atau pertikaian.

Walaupun mendapat banyak tentangan dari masyarakat global, pelantikan hakim wanita di
negara-negara dengan majoriti Islam telah mengambil insiatif untuk melantik hakim wanita bagi
memenuhi kepakaran, kelompongan dan keperluan masyarakat sosial. Mesir antara negara Islam
yang terawal bagi melantik hakim wanita pertamanya iaitu pada tahun 2003 diikuti Bahrain pada
tahun 2006, UAE pada 2008, Kuwait pada 2010 dan Mauretania pada 2013. Di Pakistan, peratusan
hakim wanita meningkat kepada 35% selepas pelantikan beramai-ramai pada tahun 2009. Dalam
nada yang sama, peratusan hakim wanita Algeria melonjak kepada lebih 1/3 selepas kerajaan
Bouteflika melantik 121 wanita untuk jawatan hakim pada musim panas tahun 2010.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mengambil langkah untuk melantik wanita sebagai
hakim. Pelantikan wanita sebagai Hakim Syarie di negara ini bermula pada tahun 2010 di mana
dua (2) orang Pegawai Syariah wanita telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah di
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pelantikan tersebut telah mengubah landskap sistem
kehakiman Syariah di Malaysia kerana selepas daripada pelantikan itu beberapa Negeri telah turut
mengambil inisiatif yang sama dengan melantik beberapa orang Pegawai Syariah wanita yang
berkhidmat di Negeri tersebut sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Penerimaan ini disusuli
negeri Melaka pada tahun 2011 dan beberapa negeri lain pada tahun berikutnya. Pada 27 Jun 2016,

1
negeri Selangor juga telah melakar sejarah tersendiri apabila telah melantik dua (2) orang Pegawai
Syariah wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Lebih membanggakan pada tahun 2017,
Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
pada ketika itu telah dilantik sebagai salah seorang ahli Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah
Terenganu berkuatkuasa pada 17 Oktober 2017.

Secara amnya, tiada peruntukan undang-undang Syariah di Malaysia yang melarang wanita
untuk dilantikan sebagai hakim. Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1993 memperuntukkan syarat-syarat bagi pelantikan hakim dan tiada satupun
jawatan yang berkaitan yang mewajibkan penjawatnya terdiri dari lelaki sahaja. Lebih menarik,
jawatan Ketua Hakim Syarie juga tidak diwajibkan kepada lelaki sahaja tetapi dibiarkan terbuka
berdasarkan kelayakan dan kearifan mengenai undang-undnag dan hukum-hakam agama. Begitu
juga menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang tidak menjadikan
jantina sebagai salah satu kriteria bagi pelantikan hakim termasuklah bagi jawatan Ketua Hakim
Syarie

Penerimaan perlantikan hakim wanita disambut dengan baik apabila terdapat fatwa rasmi
yang menyatakan keharusan perlantikan hakim wanita. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Jemaah
Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Jawatankuasa Fatwa Negeri
Sarawak, Jawatankuasa Fatwa Ngeri Kedah dan Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutan telah
memutuskan bahawa pelantikan wanita sebagai hakim mahkamah Syariah adalah harus bagi
perkara-perkara yang tidak melibatkan Hudud dan Qisas.

Namun, bagi Negeri Pahang pula hanya mengharuskan perlantikan hakim wanita bagi
menguruskan kes-kes kekeluargaan (Mal) sahaja manakala Negeri Pulau Pinang mengharamkam
perlantukan hakim wanita.

Walapun terdapat fatwa-fatwa negeri mahupun pandangan ulama’ yang mengehadkan


peranan hakim wanita kepada kesalahan selain Hudud dan Qisas, ia tidak akan menjejaskan kuasa
hakim wanita di dalam sistem kehakiman Syariah di negara kita memandangkan kesalahan jenayah
yang dibicarakan di mahkamah syariah hanya melibatkan kesalahan ta’zir semata-mata.

2
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kedudukan hukum Syarak, fatwa dan undang-
undang yang wujud, inisiatif pelantikan wanita sebagai Hakim Syarie telah dilaksanakan di
beberapa Negeri di Malaysia. Pelantikan ini bukanlah semata-mata kerana isu gender, sebaliknya
ia disebabkan oleh keperluan yang wujud dan setelah semua syarat-syarat kelayakan yang
ditetapkan dipatuhi terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, pabila wanita mula dilantik sebagai Hakim Syarie, masyarakat,
pihak yang berurusan dengan mahkamah dan orang di sekeliling akan cenderung untuk membuat
perbandingan dalam semua aspek antara hakim lelaki dan juga hakim wanita. Perbandingan ini
termasuklah dalam perkara-perkara yang melibatkan kemahiran dan tahap kemampuan dalam
mengendalikan sesuatu kes, kemahiran dalam menguasai semua aspek perundangan termasuk
prosedur dan hukum Syarak, kebijaksanan dalam membuat sesuatu keputusan, kekuatan dalam
mengawal emosi dan tekanan semasa berhadapan dengan karenah pihak-pihak yang hadir di depan
hakim tersebut. Tidak kurang juga golongan yang masih memandang rendah dan sangsi dengan
kemampuan wanita untuk menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Hakim Syarie.

Adapun begitu, terdapat golongan femenisme yang berpendapat bahawa terdapat


diskriminasi jantina dalam sistem kehakiman Syariah dimana tidak ramai wanita yang dilantik
sebagai hakim dan/atau apabila wanita dilantik menjadi hakim ia menimbulkan ketidakselesaan di
kalangan masyarakat. Mereka menjadikan isu ini sebagai gerakan untuk menekan insitusi Islam
terutamanya dalam bidang kehakiman Syariah.

Namun, apabila diteliti pandangan ulama’ yang mengharuskan wanita menjadi hakim dan
peruntukan undang-undang yang ada serta fatwa-fatwa rasmi negeri menunjukkan tiada
diskriminasi terhadap wanita terutamanya dalam bidang kehakiman Syariah. Perlu diingat bahawa
Malaysia merupakan negara yang mementingkan kredibiliti serta kepakaran seseorang dalam
menggalas tanggungjawab dan amanah tanpa mengira jantina. Bukti berkenaan dengan
kesamarataan boleh dilihat pada Perkara 8 (1) dan (2) Perlembanggan Persekutuan dimana:-

Perkara 8. Kesamarataan.

(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat
perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

3
(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak
boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras,
keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam
pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa
awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan
pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan
penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya
atau pekerjaan.

Oleh itu, secara hakikatnya tiada diskriminasi dalam sistem kehakiman Syariah mahupun
system pentadbiran negara tetapi yang ada hanyalah anggapan dan pendapat dari masyarat awam
bagi mengganggu keharmonian negara serta membuka ruang kepada kumpulan-kumpuan yang
dikatakan kononnya memperjuangkan hak-hak asasi manusia untuk mencabar autoriti yang sedia
ada.

Di sini penulis ingin menegaskan bahawa perlantikan hakim wanita ini dilihat sebagai
suatu tindakan tranformasi dalam sistem perundangan dan kehakiman Syariah dan inisiatif
pelantikan Hakim Syarie wanita juga dilihat menjadi satu keperluan maqasid bagi membantu
menyelesaikan masalah kekurangan calon Hakim Syarie yang layak di hegeri-neger seterusnya
telah membantu menyelesaikan masalah kekurangan hakim yang menyumbang kepada masalah
kes-kes tertunggak di Mahkamah Syariah dengan penambahan pelantikan Hakim Syarie yang
terdiri dari kalangan wanita.

You might also like