Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 12

Harapan Penonton Teater Melayu1

Fazilah Husin
Universiti Putra Malaysia, Serdang
zilahusin@yahoo.com

Pengenalan

Penonton teater Melayu dalam konteks ini adalah orang ramai yang datang ke pementasan
skrip drama pentas berbahasa Melayu, atau dalam kata lain teater Melayu. Teater Melayu
pula boleh didefinisikan sebagai produksi pentas yang menampilkan persoalan, isu,
pemikiran, sejarah dan budaya masyarakat Melayu. Teater Melayu juga boleh ditakrifkan
sebagai pementasan dalam atau berbahasa Melayu sebagai medium komunikasi utamanya
dalam menyampaikan persembahan kepada penonton. Bahasa lain jika ada tidak dominan
dan digunakan dalam situasi tertentu sahaja. Skrip atau nashkah yang dipentaskan pula
tidak terhad kepada hal-ehwal orang Melayu sahaja tetapi boleh sahaja karya terjemahan
mahu pun adaptasi daripada bahasa dan budaya bukan Melayu atau luar negara. Justeru
orang ramai yang masuk ke panggung pementasan dan duduk menonton persembahan
berbahasa Melayu adalah penonton kepada teater Melayu. Kehadiran penonton ke
panggung jelas menunjukkan mereka mahu menyaksikan sebuah persembahan yang telah
masing-masing maklum akan medium komunikasinya. Selain tujuan yang jelas iaitu mahu
menonton sebuah karya seni yang dihidupkan di pentas, penonton juga mempunyai harapan
yang mereka letakkan kepada poduksi tersebut termasuklah perkaitan nashkah tersebut
dengan kehidupan mereka mahu pun persembahan yang indah dan mengkagumkan.
Memenuhi keperluan pelanggan adalah prinsip dalam perniagaan, jika prinsip ini mahu
diaplikasikan kepada teater sebagai salah satu sub bidang dalam Dasar Industri Kreatif
Negara (KPKK, 2009), maka penggiat teater juga perlu mengetahui dan memenuhi harapan
pelanggan mereka iaitu penonton dalam menghasilkan sesebuah produksi. Kewujudan
peristiwa teater kerana adanya penonton dalam acara tersebut. Sebagaimana pentingnya
nashkah, pelakon dan ruang persembahan kepada penonton, begitu juga kedudukan
penonton kepada sesebuah produksi. Penonton adalah pasangan kepada penggiat teater
(Bryan, 2011), yang mempunyai kehendak yang perlu diketahui agar hubungan tersebut
berlangsung dengan lebih baik dan memberi faedah kepada kedua belah pihak. Justeru
harapan yang mereka letakkan kepada teater Melayu tidak boleh diabaikan kerana situasi itu
akan menjauhkan penonton daripada seni persembahan itu sendiri dan akan menjejaskan
masa depan teater Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya.

Harapan dan penonton

Harapan berkaitan dengan kepuasan yang tergantung pula kepada persembahan sesuatu
produksi/penerbit. Jika persembahan tersebut bersesuaian dengan harapan penonton,
mereka akan merasa puas atau sebaliknya. Harapan penonton berdasarkan kepada
pengalaman mereka termasuklah pengalaman masa lalu, pandangan masyarakat (sahabat
dan keluarga), maklumat yang diperolehi (daripada media) dan war-war atau janji yang
dibuat oleh penerbit yang dihasilkan oleh penggiat teater Melayu (Hikmah, 2002). Penonton

1 Kertas kerja dibentangkan di 3rd Performing Arts as Creative Industries in Asia (PACIA 2013) Kota Kinabalu,
Sabah (26-28 Jun). Kertas ini akan dibentangkan oleh pelajar Sarjana Seni Kreatif, Universiti Malaysia Sabah,
Weena Samanggang.

1
mempunyai kesedaran yang jelas tentang media yang digunakan dan mengetahui kehendak
mereka ke atas media tersebut, justeru respon mereka mampu memberikan gambaran yang
tepat kepada penyelidik (West & Turner, 2004). Dalam konteks ini, teater merupakan media
yang dipilih oleh penonton kerana mereka mempunyai hubungan, pengetahuan serta
pengalaman dengan seni persembahan tersebut. Justeru mereka datang dengan harapan
yang berbeza atau mungkin sama antara satu sama lain, begitu juga dengan tahap
kepuasan masing-masing. Hanya penonton yang mengetahui nilai sesebuah persembahan,
dan mereka yang wajar memberikan pandangan; penerbit, pengarah mahu pun pelakon
yang menyediakan persembahan tersebut wajar mengetahui atau mendapatkan
maklumbalas daripada penonton jika mahu menilai hasil persembahan masing-masing.
Maklumbalas penonton yang juga ahli masyarakat akan membantu organisasi teater
mengetahui citarasa dan kehendak masyarakat untuk persediaan persembahan pada masa
hadapan. Produk persembahan yang memenuhi keperluan penonton akan memberikan
reputasi baik dan mengikat mereka dengan jenama tersebut, sebarang produk persembahan
baru akan mereka nantikan, memperkatakan dan akan membeli tiket serta menyediakan
masa untuk hadir. Pada asasnya dapat dikatakan penonton adalah nadi persembahan
(Wilson & Goldfarb, 1991) Jika penonton berpuashati dengan persembahan yang mereka
saksikan kemungkinan untuk mereka datang lagi menonton adalah lebih besar berbanding
dengan perasaan tidak puashati. Prestasi dan persembahan yang kurang
memberangsangkan akan melunturkan sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh
penonton.

Penonton dan penontonan

Penonton dan penontonan sentiasa menjadi perbincangan, keluhan malah polemik, bukan
sahaja dalam perkembangan teater Melayu moden tetapi juga kepada teater Melayu
tradisional (Ku Seman, 2000; Mariam Sulaiman, 2002; Ahmad Fahmi, 2002; Marina, 2009;
Nur Afifah, 2009;i Rosheen Fatima, 2011). Sambutan atau penolakan penonton terhadap
teater Melayu sentiasa diperhatikan dan dinilai berdasarkan ramai atau kurangnya penonton
yang datang. Prestasi teater Melayu juga diperkatakan serentak dengan sambutan penonton
ini, jika ramai yang hadir, dikatakan persembahan yang baik hebat tetapi sebaliknya jika
tidak mendapat sambutan yang sewajarnya pelbagai andaian kelemahan dan masalah
dicadangkan termasuklah persembahan yang kurang berkualiti, promosi dan publisiti yang
tidak mencukupi, dan akhirnya dikatakan juga penonton tidak menghargai sesetengah genre
teater yang dihasilkan oleh sesebuah produksi. Kekurangan penonton menyaksikan teater
Melayu sentiasa menjadi isu dan mungkin permasalahan yang telah mula diperbincangkan di
media sejak kemerosotan teater Melayu moden pada akhir tahun 1970-an. Tetapi lebih awal
daripada itu, bangsawan juga telah mengalami situasi ini sekitar tahun 1940-an, mungkin
lebih awal daripada itu kerana terpaksa bersaing dengan industri perfileman Melayu yang
sedang menuju kegemilangan ketika itu, selain faktor kewangan dan peperangan. Teater
tradisional seperti Mak Yong juga mengalami kemerosotan sambutan penonton serta
penggiat yang tidak mampu bertahan tanpa sokongan kewangan dan kehadiran penonton
(Nurul Halawati, 2010). Pada tahun 1980-an, pihak berwajib mengambil tindakan drastik
memperkenalkan teater pendek, isu ringan dan semasa serta berbentuk komedi yang
dinamakan Drama Sebabak untuk menarik kembali penonton ke teater. Krishen Jit (1986)
secara terus-terang mengaitkan kemerosotan sambutan penonton ke teater Melayu ketika
itu kerana kualiti persembahan yang dibawakan sangat rendah. Kualiti tersebut juga
dikaitkan dengan teater-teater yang bertanding dalam Pesta Drama (kini Festival Teater
Malaysia) di mana persembahannya tidak menepati harapan para juri dan sekaligus juga
merupakan faktor kepada kekurangan minat penonton. Antara faktor yang dikenalpasti

2
punca kepada situasi tersebut ialah kecenderungan penggiat teater Melayu mementaskan
karya-karya bersifat eksperimental dengan memasukkan aliran seperti absurd dan
simbolisme yang sukar untuk penonton memahaminya (Nur Nina Zuhra, 1983, Abdul
Rahman, 1987; Solehah, 1989). Ketika itu, aliran atau teater berbentuk demikian relatif baru
kepada penonton teater Melayu berbanding dengan sekarang, di mana karya-karya dalam
aliran tersebut terus menjadi pilihan kumpulan teater di universiti dan pertandingan untuk
dipertaruhkan.

Kini selepas lebih kurang 30 tahun bersama dengan pelbagai penambahan dalam
infrastruktur teater di seluruh negara walaupun bukan semuanya lengkap sebagaimana di
Kuala Lumpur,ii teater Melayu dilihat berdasarkan tulisan dan kajian yang disuarakan oleh
pemerhati dan pengkaji, masih tidak mencapai tahap kemajuan yang memuaskan.iii
Kemungkinan ada lompang dalam teater Melayu itu yang masih belum dipenuhi terutama
dari pihak penonton. Kajian ini meninjau harapan penonton teater Melayu terhadap genre ini
pada masa hadapan yang diharap dapat memberikan gambaran paling dekat kepada
kehendak penonton di negara ini. Harapan ini adalah penilaian yang diberikan oleh
penonton kepada persembahan teater Melayu berdasarkan pengalaman penontonan
masing-masing.

Latar belakang Kajian

Kajian terhadap harapan penonton teater Melayu ini telah dilaksanakan menggunakan
kaedah tinjauan dengan borang soal selidik ‘self-administered‘ yang dibentuk berasaskan
teori penggunaan dan kepuasan yang diasaskan oleh Katz, Blumler, dan Gurevitch (1974)
(Miller, 2005). Kajian meliputi empat zon kajian iaitu Utara, Selatan, Timur Semenanjung
dan Tengah sahaja kerana faktor masa dan kewangan. Sebanyak 1270 borang soalselidik
diedarkan dan 673 dikembalikan oleh penonton yang hadir menonton di lokasi kajian. Proses
pengumpulan data dimulakan sekitar Julai 2009 dan berakhir pada bulan Februari 2010.
Jangkamasa yang panjang ini adalah kerana produksi teater di luar Kuala Lumpur adalah
tidak menentu serta perlu mendapatkan maklumbalas dari masa ke semasa berkaitan
sesuatu pementasan yang bakal diadakan. Soalan yang ditujukan kepada penonton bersifat
terbuka dalam konteks teater Melayu bukan terhad kepada persembahan yang telah mereka
tonton sahaja. Justeru jawapan atau pandangan yang diberikan oleh penonton ini
mencerminkan pandangan masing-masing terhadap persembahan teater Melayu ketika
kajian dijalankan atau sebelum itu. Kertas kerja ini menggunakan data tentang harapan
yang dinyatakan secara langsung oleh penonton melalui borang soal selidik yang diedarkan,
di mana di bahagian akhir borang tersebut terdapat ruang untuk penonton menuliskan
sebarang harapan (jika ada) yang mereka sandarkan kepada teater Melayu. Harapan yang
dinyatakan atau dituliskan dalam bahagian ini telah direkodkan, dikategorikan dan dianalisis
berdasarkan tema (thematic analysis) dan kata kunci yang terkandung dalam jawapan yang
diberikan. Kertas kerja ini akan menumpukan perhatian kepada harapan penonton terhadap
skrip atau nashkah yang dibawa ke pentas.

3
Dapatan Kajian dan Perbincangan

Pada keseluruhannya penonton meletakkan pelbagai harapan kepada teater Melayu bermula
daripada skrip yang dibawa ke pentas, kreativiti dan kualiti persembahan, promosi dan
publisiti, persembahan yang meluas di peringkat lokal dan global selain pendidikan dan
pembangunan teater di peringkat sekolah dan universiti serta latihan seperti bengkel dan
kursus jangka pendek yang berterusan. Daripada 673 borang soal selidik yang dikembalikan,
hanya 336 responden yang menyatakan atau menuliskan harapan mereka atau sebarang
kenyataan berkaitan soalan terbuka “Apakah harapan anda kepada teater Melayu?
Responden atau penonton lain tidak meninggalkan sebarang catatan dan situasi ini perlu
diberikan perhatian, iaitu sikap penonton sama ada mereka tidak menaruh sebarang
harapan langsung kepada teater Melayu, enggan menyatakan pandangan atau tidak
menganggap tinjauan ini memberikan sumbangan kepada perkembangan teater. Kajian
lanjut berkaitan sikap penonton wajar dilakukan pada masa hadapan demi kemajuan teater
negara ini. Berikut adalah kategori tema harapan penonton terhadap teater Melayu
termasuk kategori ‘Penilaian’ dan ‘Kurang/tiada harapan/tanpa kata kunci harapan:’

Jadual 1: Kategori tema harapan penonton teater Melayu

Tema dan k ata kunci berkaitan Bilangan


responden
Tiket – har ga/percuma 3
Filem – mencontohi industri filem Malaysia 5
Antarabangsa - global/universal/dunia/luar negara 19
Promosi/publisiti - sebar/luas/dedah/baw a 17
Penonton dan penontonan – 15
sambutan/perhatian/sokongan/sampai/minat/kenal/terima
Kemudahan teater/pe nggiat/aktiviti teater - 30
kursus/pertandingan/tek nik/tempat/penggiat
/penyelidikan/perancangan/pend edahan awal
Skrip/nashkah - 37
cerita/isu/nilai/persoalan/motif/unsur/eleme n/sifat/te
ma/
permasalahan/ciri/kisah/berkaitan/imej
Berkembang/luas/maju 60
Lebih 44
baik/perbaiki/tingkatkan/berkualiti/kreatif/bermutu
Cemerlang/berjaya 45
Marta bat/kekal/ruang/pengiktirafan 10
Persembahan diter uskan/dipentaskan 33
Penilaian: 4
agak memuaskan dan menarik
bagus bagus dan memuaskan
puas hati
sangat baik
Kurang/tiada hara pan/tanpa kat a kunci ha rapan 14
JUMLAH KESELURUHAN RESPONDEN (N) 336

4
Harapan tertinggi (60 N) yang penonton letakkan kepada teater Melayu ialah agar bidang ini
terus berkembang, maju dan diperluaskan ke pelbagai peringkat penggiat dan masyarakat;
diikuti harapan agar teater Melayu terus cemerlang dan mencapai kejayaan (45 N); sambil
terus berusaha menjadi lebih baik, menghasilkan produksi berkualiti, kreatif, bermutu serta
memperbaiki dan meningkatkan kualiti persembahan (44 N). Kumpulan harapan kedua lebih
menjurus kepada aspek yang berkaitan langsung dengan teater itu sendiri, iaitu suatu
harapan yang memerlukan perhatian khusus daripada para penggiat teater mahu pun pihak
yang menguruskan, mengawal selia dan merancang perkembangan teater di negara ini.
Harapan tersebut ialah kandungan atau isu yang dibawakan nashkah atau skrip teater
Melayu itu sendiri yang dititikberatkan oleh para penonton (37 N); selain mengharapkan
agar teater atau persembahan akan sentiasa diadakan secara konsisten atau berterusan (33
N); dan penonton juga mahu aktiviti, kemudahan dan program berkaitan teater (30 N) akan
diperbanyakkan, ditambah serta lebih pro aktif untuk mewujudkan persekitaran dan budaya
teater kepada masyarakat. Penonton juga berharap teater Melayu akan mencapai taraf dan
terkenal di peringkat antarabangsa, diterima semua golongan masyarakat tempatan atau
Malaysia, berada di kedudukan atau martabat yang sewajarnya serta kekal atau tidak lenyap
begitu sahaja. Tidak kurang juga yang menaruh harapan agar teater Melayu mencapai
tahap industri seperti yang dicapai oleh industri perfileman negara, dipromosi dan diberikan
publisiti yang meluas agar dikenali dan diketahui oleh semua lapisan masyarakat. Dalam
masa yang sama ada juga segelintir penonton yang sama ada tidak memberi harapan
kepada teater Melayu, enggan memberikan sebarang catatan/harapan mahu pun yang
menganggap teater Melayu tidak mempunyai harapan (14 N). Walaupun jumlahnya relatif
kecil tetapi masih perlu diberikan perhatian untuk memperbaiki kelemahan yang wujud
dalam teater Melayu itu sendiri.

Nashkah/Skrip

Tumpuan diberikan kepada harapan penonton yang bertemakan nashkah/skrip kerana


kategori ini menyediakan beberapa sub tema yang wajar diketengahkan untuk makluman
komuniti teater. Berbanding tema-tema dalam tiga kumpulan pertama yang mengumpulkan
159 N, iaitu hampir 50% daripada keseluruhan jumlah responden, tetapi kategori ini lebih
bersifat mengharapkan atau mendoakan sesuatu yang terbaik berlaku kepada teater
Melayu. Jarang terdapat harapan yang terperinci sebagaimana dinyatakan dalam tiga
kumpulan kedua, yang terdiri daripada harapan penonton terhadap aktiviti berkaitan teater
dan peranan penggiat, harapan agar persembahan teater diteruskan, selain harapan
terhadap penampilan nashkah/skrip dengan kualiti tertentu dalam persembahan teater
Melayu. Kajian ini mendapati penonton telah memberikan sejumlah maklumbalas atau
harapan terhadap sesuatu yang mereka sebutkan sebagai kisah, cerita, plot, persoalan, isu
dan seumpamanya yang mereka harapkan akan dipentaskan oleh penerbit teater Melayu
pada masa hadapan. Selain itu, penonton juga mengharapkan terdapat unsur, ciri, aspek
atau kandungan tertentu yang perlu ada dalam teater Melayu. Dalam masa yang sama
penonton juga mengharapkan beberapa perubahan perlu dilakukan terhadap plot atau jalan
cerita yang akan dipersembahkan kepada masyarakat. Pada asasnya aspek ini berkaitan
dengan nashkah atau skrip yang menjadi ‘blue print’ kepada sesebuah pementasan. Berikut
adalah harapan penonton kepada nashkah teater Melayu pada masa hadapan, yang
dikategorikan kepada beberapa sub tema:

5
Jadual 2: Nashkah/Skrip Teater Melayu yang diharapkan oleh penonton
Kategori Ciri nashkah/skrip Responden
A. Peningkatan jumlah karya 1. ada motifiv tersendiri, untuk 3
dengan ciri tertentu meningkatkan harta
peninggalan yang tidak ternilai
ini
2. semoga nashkah teater
Melayu bertambah dari segi
kuantiti dan kualiti
3. banyakkan cerita-cerita
berbentuk sejarah
B. Perubahan/eksperimen 4. berubah daripada jalan cerita 3
yang stereotaip kepada yang
lebih berani, untuk mencuba
sesuatu jalan cerita yang lebih
baik dan lebih out spoken
sifatnya, untuk kesedaran dan
peningkatan kendiri generasi
kini
5. memerlukan lebih kemodenan
seperti negara Barat
6. berkisarkan isu-isu yang telah
idealistikv dan berkesan di jiwa
masyarakat
C. Perubahan untuk 7. ada perubahan terhadap 3
kesesuaian dengan tahap perjalanan cerita yang
penonton berfalsafah tinggi
8. penggiat seni teater jangan
terlalu mendalam sehingga
lupa realiti
9. jangan terlalu
bereksperimental
(bereksperimen) hingga
menggaburkan penonton
D. Sumbangan kepada 10. semoga teater Melayu 7
masyarakat semakin memberi kesedaran
secara terus (berterusan)
kepada masyarakat
11. semoga teater Melayu dapat
menjadi teladan buat
masyarakat
12. semoga lebih memberikan
kesan lagi kepada penonton
13. saya berharap teater Melayu
akan menjadi tauladan
(teladan) terhadap
masyarakat
14. dapat menjadi contoh dan
teladan kepada masyarakat
Malaysia
15. dipersembahkan dengan

6
persoalan dan beri
(memberikan) kesedaran
16. harapan saya dengan
(kepada) teater Melayu ini (:)
dapat memberi informasi yang
baik kepada semua bangsa
E. Mengandungi nilai-nilai 17. teater Melayu semakin meluas 4
tertentu (berkembang) dan menjadi
semakin kreatif dengan
penerapan nilai-nilai yang
memberi kesan terhadap
penonton
18. bagus... penerapan nilai-nilai
murni amatlah penting
19. berilah nilai mulia yang penuh
santun dan akhlak agar ia
bukan sekadar memberi
hiburan tetapi mendidik jiwa
20. lebih banyak publisiti dan
memperbanyakkan nilai
perpaduan dan sifat majmuk
dalam plot dan jalan cerita
supaya lebih banyak audiens
(penonton) dan pelbagai
lapisan budaya dapat
ditembusi
F. Memaparkan isu semasa 21. teater Melayu diteruskan 5
dengan perkara-perkara
baharu terutama isu-isu
baharu terutama (khususnya)
isu-isu gejala sosial.
22. semoga dapat memaparkan
isu-isu semasa
23. perlu ketengahkan isu semasa
, teknik persembahan yang
menghiburkan, mahukan
kejutan/pembaharuan dalam
setiap persembahan
24. saya berharap teater Melayu
dapat mengemukakan tentang
isu semasa, yang berkaitan
dengan masalah yang berlaku
dalam masyarakat, supaya
dapat menambahkan nilai
murni di dalam diri
25. diteruskan dengan isu-isu
semasa bukan setakat
adaptasi daripada novel

7
G. Kemelayuan , tradisi dan 26. teater Melayu yang saya 8
Islam harapkan ialah yang berkaitan
dengan moden (kemodenan)
dan yang berkaitan dengan
kebudayaan, yang mungkin
akan membangkitkan seni di
dalam diri kita
27. semoga lebih banyak lagi
teater akan diadakan dan
tingkatkan lagi budaya,
bahasa (dan) bangsa di dalam
teater kita. Adakan sekali
unsur keagamaan.
28. banyakkan teater Melayu yang
berunsur Islam seperti ini
29. lebih baik jika ada elemen
islamik
30. mengekalkan ciri-ciri
kemelayuan walaupun
perbelanjaan yang mahal
terhadap pementasan atau
sesekali buat (terbitkan) teater
yang melibatkan kos berjuta-
juta
31. harus diperkembangkan selari
dengan perkembangan
pembangunan negara, asalkan
mengekalkan isi-isi yang
berkaitan dengan isu, yang
berkait rapat dengan
kemelayuan
32. melangkah ke hadapan
bersama tradisi
33. perkembangkan cerita Melayu
H. Tema dan jalan cerita 34. supaya penggiat teater Melayu 4
mempelbagaikan tema
penceritaan dan konsep
penceritaan yang lebih meluas
dan tidak klise dengan mana-
mana teater di Malaysia dan
jangan hanya mementaskan
teater yang sudah dipentaskan
sebelum itu sahaja.
35. semoga dapat diperbaharui
jalan cerita kepada yang lebih
menarik tetapi tidak lari dari
(daripada) konteks asal
36. pelbagaikan lagi cerita,
tentang kisah-kisah dongeng
dan tauladan (teladan) Melayu
/isu semasa, harapan tertinggi
semoga anak-anak muda kita

8
dapat menyokong dan
menonton teater Melayu
37. memperkenalkan tema
permasalahan sosial remaja

Di antara harapan penonton ini termasuklah beberapa kenyataan yang bersifat peringatan
kepada para penerbit mahu pun pengarah teater agar mengelakkan, berhati-hati atau
mempertimbangkan perkara berikut dalam penyediaan nashkah persembahan masing-
masing:
a. penggiat seni teater jangan terlalu mendalam sehingga lupa realiti
b. jangan terlalu bereksperimental (bereksperimen) hingga menggaburkan penonton
c. diteruskan dengan isu-isu semasa bukan setakat adaptasi daripada novel
d. supaya penggiat teater Melayu mempelbagaikan tema penceritaan dan konsep
penceritaan yang lebih meluas dan tidak klise dengan mana-mana teater di Malaysia
dan jangan hanya mementaskan teater yang sudah dipentaskan sebelum itu sahaja
e. semoga dapat diperbaharui jalan cerita kepada yang lebih menarik tetapi tidak lari
dari (daripada) konteks asal

Perkataan atau kata-kata seperti ‘jangan terlalu mendalam,’ ‘jangan terlalu bereksperimen,’
jangan hanya,’ ‘bukan setakat’ dan ‘tidak lari daripada’ adalah reaksi kepada senario yang
sebilangan kecil penonton yang memberi respon dalam kajian ini terhadap peta atau corak
produksi yang dapat mereka rumuskan berdasarkan pengalaman penontonan masing-
masing. Penggunaan kata-kata seperti ini dalam konteks bahasa Melayu adalah kata
perintah (Hashim, 1993) yang berharap dapat menghalang nashkah-nashkah seperti
disebutkan di atas daripada dipersembahkan lagi kepada penonton. Jika masih mahu
membawakan, maka perlulah dipertimbangkan beberapa aspek: jika terlalu berat, abstrak,
simbolik, falsafah dan metafizik, perlu diberikan olahan yang mampu sampai atau difahami
penonton; penonton juga didapati mahukan nashkah-nashkah segar dan original selain
karya-karya adaptasi, walaupun hanya disebutkan novel, tetapi dalam perkembangan
semasa, seperti telah menjadi kemestian untuk sesebuah filem itu dibawakan ke pentas vi
ekoran sambutan yang memberangsangkan di pawagam; tema atau permasalahan yang
dibawakan perlu ada kelainan, bukan mengulangi isu dan persoalan yang sama atau pernah
dihidangkan kepada penonton; walau bagaimanapun sekiranya masih mahu mementaskan
karya adaptasi mahu pun persoalan yang telah dipentaskan sebelum ini, perlulah ada
penafsiran dan olahan semula agar lebih segar dan memberikan impak.

Merujuk kepada Jadual 2, sub tema E, F, G dan H menjurus kepada pengisian dan ciri
pembinaan nashkah teater itu yang diharap oleh penonton agar mengandungi nilai-nilai
tertentu, unsur kemelayuan, tradisi dan islamik, selain membawakan cerita dengan tema
yang pelbagai termasuklah masalah remaja, sosial dan isu semasa. Terdapat beberapa nilai
yang dinyatakan oleh penonton, yang diharap akan digembleng oleh para dramatis ke dalam
nashkah yang akan dihasilkan nanti: nilai murni/mulia, santun dan akhlak, nilai perpaduan
dan sifat majmuk, yang diharapkan dapat memberi didikan atau pengajaran kepada
masyarakat atau penonton khasnya. Penonton juga mahukan cerita atau persoalan yang
mampu diterima oleh seluruh lapisan, budaya dan etnik masyarakat Malaysia termasuklah
golongan muda dan remaja. Dalam konteks yang luas, pendekatan ini bertujuan menarik
dan membina lebih ramai lagi penonton teater Melayu, tidak hanya tergantung kepada
masyarakat Melayu sahaja. Walaupun penonton mengharapkan pembaharuan, kemodenan
dan perubahan dalam teater Melayu tetapi pada asasnya, mereka masih lagi mengharapkan

9
seni ini mempunyai identiti yang tersendiri. Penonton masih lagi mahukan ciri-ciri
kemelayuan seperti tradisi dan budaya Melayu diterapkan dalam nashkah teater Melayu
kerana seni persembahan ini dianggap mempunyai martabat dan kedudukannya yang
tersendiri dalam masyarakat.

Penonton juga didapati mengharapkan agar teater Melayu moden ini memainkan peranan
tertentu dalam masyarakat termasuklah mendidik melalui nilai-nilai yang diterapkan,
menghubungkan dan mendedahkan masyarakat dengan budaya dan tradisi bangsa, sebagai
ruang seni dan kreatif yang bermutu tinggi, serta berperanan memberikan maklumat atau
menjadi sumber rujukan terhadap sesuatu isu dan fakta sejarah sebagaimana teater Melayu
tradisional yang berperanan sebagai alat perhubungan dalam masyarakat Melayu tradisi
(KKKP, 2003). Penonton mengharapkan agar teater Melayu lebih matang dan peka kepada
keperluan dan perubahan semasa tanpa mengenepikan identiti atau keperibadian
kemelayuan itu sendiri. Kemodenan, ekpserimentasi, kreativiti serta pembaharuan sangat
diharapkan tetapi dalam masa yang sama juga, mereka menyedari bahawa sebahagian
khalayak atau masyarakat khususnya penonton yang datang ke teater Melayu masih belum
mampu atau bersedia untuk menerima wajah atau penampilan baru teater Melayu secara
mendadak. Justeru penonton mengharapkan agar proses perubahan dapat dilakukan
bersesuaian dengan sasaran khalayak. Khalayak dalam konteks nashkah ini disebutkan
beberapa kali termasuklah ‘generasi kini,’ ‘masyarakat Malaysia,’ ‘semua bangsa,’ pelbagai
lapisan budaya,’ ‘anak muda’ dan remaja.’ Skrip atau nashkah pementasan yang dibawakan
oleh teater Melayu diharapkan diterima oleh semua golongan masyarakat ini dengan
mempertimbangkan kesesuaian isu, nilai, persoalan, subjek penceritaan, strategi naratif dan
sebagainya.

Kesimpulan

Penonton masih lagi meletakkan harapan yang tinggi kepada teater Melayu sambil
mengharapkan penampilan persembahannya dalam pelbagai aspek mempunyai
peningkatan. Bilangan penonton yang memberikan pandangan adalah kecil tetapi harapan
yang mereka sandarkan kepada teater Melayu adalah besar dan banyak. Usaha dan
tumpuan berserta sokongan pelbagai pihak berkepakaran dalam bidang dan disiplin
berkaitan mampu merencana semula jika masih kabur. Pemikiran dan idea digabungkan
dengan strategi dan perlaksanaan yang mantap tanpa sokongan padu penonton, tidak akan
memberi makna kepada segala usaha memartabatkan teater. Penonton perlu dibangunkan,
dibina atau dicipta untuk mendapatkan hasilnya dalam jangka masa panjang, justeru itu,
ada responden yang menekankan tentang pendedahan dan hubungan generasi muda
dengan teater Melayu, kerana mereka berharap teater Melayu kekal dan diwarisi.

10
Bibliografi
1. Ahmad Farami B. Abd. Karim.”Hubungan Penonton Dengan Berita Televisyen: Satu
Pendekatan Uses And Gratifications.” Tesis Ijazah Sarjana Komunikasi, Universiti
Sains Malaysia, 2002.
2. Bryan, Victoria K. 2011. “Listening to the Audience: An Examination of the Audience's
Experience of Theatre.” Disertasi. Akses pada 16/5/2013 di
http://udini.proquest.com/view/listening-to-the-audience-an-pqid:2332244971/.
3. Cody, Gabrielle H. & Evert Sprinchorn, editor. The Columbia Encyclopedia of Modern
Drama. Columbia University Press. New York: Chichester, West Sussex, 2007.
4. Hashim Haji Musa. Binaan dan Fungsi Perkataan dalam Bahasa Melayu. Kuala
Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.
5. Hikmah Endrawati. “Mutu Produk, Nilai, dan Kepuasan Pelanggan dalam Pandangan
Islam. www.mui.or.id (pdf format), 2002. Akses pada 22/6/2010.
6. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Wayang Kulit. Akses
pada 26/5/2013 di http://www.kpkk.gov.my/pdf/buku/wayang_kulit.pdf, 2003.
7. Khalid Salleh. 29/9/2006. “Sorotan 2006: Teater Malaysia Perlu Rangsangan.” Berita
Harian Online. http://www.bharian.com.my. [29/9/2006]
8. Krishen Jit. Membesar Bersama Teater. Nor Azimah Shehidan, penterjemah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.
9. Ku Seman Ku Hussain. “Bayangkan Teater Melayu Tanpa Bintang.” Utusan Malaysia
Online, 19/09/2000. Akses pada 3/9/2008 di
http://www.utusan.com.my/utusan/keyword_search.asp.
10. Mariam Sulaiman. “Campuran Pemasaran dan Profil Audiens: Penemuan Empirikal
Seni Persembahan di Malaysia.” Tesis M.A, Universiti Sains Malaysia, 2002.
11. Marina Mahathir. Malaysian musicals rock. Akses pada 14/5/2013 di
http://www.thenutgraph.com/malaysian-musicals-rock/, 13/11/2009.
12. Miller, K. Communication Theories: Perspectives, Process, and Contexts , 2nd ed. New
York: McGrawHill, 2005.
13. Nurul Halawati Azhari. “Penggiat Makyung Sedia Bereksplorasi.” Bernama.com,
25/6/2010. Akses pada 30/6/2010 di
http://www.bernama.com/bernama//v5/bm/newsfeatures.php?id=508631.
14. Nur Afifah Vanitha Abdullah. 2009. “Status, Perubahan dan Penerimaan Bangsawan
di Sarawak Sepanjang Dekad 80-an dan 90-an.” Jurnal Aswara. Bab 7 (127-146).
15. Rosheen Fatima. “Breaking bahasa barriers.” Timeoutkl.com, 2011. Akses pada
15/5/2012 di http://www.timeoutkl.com/performance/articles/Breaking-bahasa-
barriers.
16. Solehah Ishak. Histrionic of Development: A Study of Three Contemporary Malay
Playwrights. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.
17. “Teater Melayu Yang Miskin.” Utusan Malaysia Online, 05/01/2004. Akses pada
3/9/2008 di http://www.utusan.com.my/utusan/keyword_search.asp.
18. West, R. & L. H. Turner. Introducing Communication Theory: Analysis and
Application, 2nd. ed. New York: McGraw-Hill, 2004. Akses pada 17/5/2013 di
http://www.public.iastate.edu/~mredmond/uses.doc.
19. Wilson, E. & Alvin G. Theater: The Lively Art. New York: McGrawHill, 1991.

i
“Bangsawan di Sarawak juga mula hilang nilai komersial pada tahun 1982. Pementasan Bangsawan 1980-an
dipentaskan untuk tontonan percuma dan ini bererti bayaran masuk tidak dikenakan sama sekali ke atas
penonton. Apabila perubahan ini berlaku maka tauke atau penganjur Bangsawan tidak mementingkan cita rasa
penonton dalam aspek-aspek pementasan Bangsawan. Tema-tema yang dipentaskan lazimnya disesuaikan
dengan penganjuran pementasan Bangsawan pada 1980-an dan bukannya cita rasa dan kehendak penonton.”

11
ii
The Columbia Encyclopedia of Modern Drama. Edited by Gabrielle H. Cody & Evert Sprinchorn. 2007. Columbia
University Press. New York: Chichester, West Sussex. (863): “During the 1990s, Malaysian theatre as as whole
flourished once again. The government recommitted substantial support to performing arts – contributing to
English as well as Malay theatre. New theatre venues opened, including the impressive National Theatre (also
called Palace of Culture). New, short Malay comedies, more realistic in form, successfully wooed Malay audiences
back to the theatre. Large-scale productions of Malay plays, including efforts to revive bangsawan, grew
increasingly evident. New Malay theatre groups, such as The Alternative Stage, a politically and socially attuned
company, herealso recently emerged.”
“Memanglah zaman moden ini serba-serbinya duit. Teater kecil di Stor Teater yang dikelolakan oleh Wahab
iii

Hamzah dengan pelakon beberapa kerat itu pun perlukan RM10,000. Lepas itu pula, hendak harapkan kutipan
hasil jualan tiket, tidak perlulah mengharap sangat. Kalau nasib baik beruntunglah. Maka penuhlah dewan
pementasan diserbu penonton... Masalah penonton teater Melayu pun satu topik permasalahan juga. Tidak tahu
apa masalahnya sehingga mereka sanggup membiarkan kerusi-kerusi di dewan pementasan terbiar kosong
(Utusan Malaysia, 05/01/2004);” Khalid Salleh. 29/9/2006.
iv
Motif: Akses pada 26/5/2013 di http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=motif, 2008: sebab yang mendorong
seseorang melakukan sesuatu atau bertindak; dasar fikiran atau pendapat; pokok (dasar, tema) dalam sesebuah
cerita dan lain-lain; sesuatu yang dijadikan dasar atau corak pada lukisan (ukiran dan lain-lain).
v
Idea. Akses pada 26/5/2013 di http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=ideal, 2008: (dianggap) sempurna
atau paling sesuai, sesuai dengan yang dicita-citakan, unggul, wujud dalam fikiran sahaja; idealistik: bersifat
idealis atau berasaskan idealisme (bukan pendirian, pandangan, cita-cita dan sebagainya)
vi
Teater Muzikal Terima Kasih Cinta (2011) – filem Cinta; Cuci the Musical (2009) – filem Cuci; Teater Muzikal
Impak Maksima (2008) – filem Impak Maksima; Muzikal Puteri Gunung Ledang (2006) – filem Puteri Gunung
Ledang (akses pada 26/5/2013 di: http://ajamihashim.blogspot.kr/2011/02/terima-kasih-cinta-teater-muzikal-
atau.html; http://resam-melayu.com/2009/12/persembahan-teater-di-istana-budaya-tahun-2010.html; &
http://www.istanabudaya.gov.my/web/guest/mpgl

12

You might also like