Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 3

FORUM 5 – KUMPULAN K

KPD 4033: PENGAJARAN KEPELBAGAIAN PELAJAR


PROFESSOR MADYA DR. SITI RAHAIMAH BINTI ALI
MUHAMMAD RAFIUDDIN BIN RAZI (L20222013975)

Forum 5
Berdasarkan kepelbagaian pelajar, bagaimana anda merancang pengajaran
berdasarkan pendekatan induktif.

Pendekatan induktif menekankan pemerhatian terlebih dahulu, kemudian membuat


kesimpulan berdasarkan pemerhatian ini. Kaedah ini sering juga dirujuk sebagai pendekatan
untuk membuat kesimpulan daripada perkara khusus kepada perkara umum. Pendekatan
induktif ialah proses penaakulan yang bermula daripada situasi khusus kepada situasi umum.
Beberapa contoh pembelajaran dengan pendekatan induktif termasuk pembelajaran inkuiri,
pembelajaran berasaskan masalah, pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan
kes dan pembelajaran penemuan. Pembelajaran dengan pendekatan induktif bermula dengan
memerhati sesuatu dan mentafsirnya, menganalisis sesuatu kes, atau mengarang masalah
kontekstual. Murid dibimbing memahami konsep, peraturan dan prosedur berdasarkan
pemerhatian murid sendiri.

Dalam merancang pengajaran berdasarkan pendekatan induktif adalah guru perlu


mematuhi dan memahami langkah-langkah penggunaan strategi pengajaran induktif sekiranya
hendak melaksanakan suatu aktiviti mengikut pendekatan induktif berdasarkan kepelbagaian
pelajar. Langkah pertama ialah saya sebagai guru akan memberi contoh dan objektif yang
sesuai sebelum memulakan sesi pengajaran bagi membantu murid membuat rumusan.
Disamping, saya mereka bentuk aktiviti pengajaran yang terdiri daripada contoh khusus kepada
kesimpulan umum. Selain itu, saya sebagai guru juga harus menyediakan soalan dan alat bantu
mengajar untuk membantu murid membuat kesimpulan kelak. Contoh spesifik yang relevan
dan sesuai mesti dipelbagaikan untuk menerangkan sesuatu supaya generalisasi dapat dicapai
dengan mudah oleh semua murid dalam kelas. Sebagai contoh, dalam mata pelajaran Sains
tahun 4 topik sistem pernafasan, saya akan sediakan gambar haiwan hidupan air seperti ikan,
udang, sotong dan lain-lain seterusnya saya akan menyediakan soalan bagaimanakah haiwan
tersebut boleh bernafas.
Seterusnya, langkah kedua ialah guru tidak digalakkan menerangkan isi pelajaran yang
berkaitan dengan kesimpulan. Guru hanya perlu membimbing murid melalui aktiviti soal
jawab. Saya sebagai guru juga perlu menyediakan pelbagai jenis contoh khusus untuk
memudahkan murid mengenal pasti maklumat dalam contoh tersebut. Di mana, saya
membimbing untuk membuat kesimpulan dengan memberi peluang kepada murid untuk
memerhati dan menganalisis contoh supaya kesimpulan dapat dibuat. Contohnya, dalam
mata pelajaran Sains tahun 4 topik sistem pernafasan, saya akan memainkan video
pembelajaran bagaimanakah haiwan di dalam air bernafas. Melalui video tersebut saya akan
meminta murid untuk memerhati dan mengkaji bahawa haiwan seperti ikan, udang, sotong
boleh bernafas melalui insang. Apabila murid-murid dapat melihat video tersebut, mereka
boleh analisis dan boleh menjawab soalan sekiranya ditanya.

Akhir sekali, langkah ketiga ialah guru juga harus menggalakkan pelajar memberi
contoh lain yang sama. Guru tidak seharusnya memberikan contoh sekaligus tetapi perlu
diberi satu persatu supaya murid berminat dan memudahkan mereka mengenal pasti maklumat
yang terkandung dalam contoh tersebut. Kaedah ini juga akan memudahkan murid membuat
kesimpulan umum daripada maklumat yang dikumpul. Di mana, proses pengajaran dan
pembelajaran berdasarkan pendekatan induktif menekankan pengajaran secara urutan yang
tepat, iaitu contoh-contoh khusus kepada umum. Sebagai contoh, dalam mata pelajaran Sains
tahun 4 topik sistem pernafasan, satu kesimpulan dapat dibuat mengenai sistem pernafasan
haiwan hidupan laut. Misalnya, murid boleh membuat kesimpulan bahawa haiwan hidup dalam
air perlu mempunyai insang untuk bernafas. Saya sebagai guru juga boleh membuat rumusan
keseluruhan pembelajaran dengan pertunjukkan dan penerangan melalui gambar visual atau
grafik. Sekiranya terdapat murid yang belum menguasai atau kurang faham, saya akan meminta
murid menyatakan konsep awal atau perkaitan yang diperoleh semasa pembelajaran sehingga
mereka faham dan dapat menguasainya.

Tuntasnya, pendekatan induktif digunakan bergantung pada hasil pembelajaran yang


diinginkan. Jika guru inginkan setiap murid memahami proses bagaimana sesuatu konsep atau
generalisasi diperoleh, contohnya dalam pengajaran Matematik tahun 3 mengenai topik bentuk,
guru menyediakan bahan berkenaan berbentuk segiempat tepat. Pada permulaan pengajaran
guru meminta murid membuat segiempat tepat menggunakan prop dalam bentuk kertas. Pelajar
dikehendaki membentuk kertas menjadi bentuk segi empat tepat. Pelajar diarahkan
membincangkan sifat-sifat bentuk segi empat tepat. Kemudian, pada akhir pelajaran, pelajar
dan guru bersama-sama membuat kesimpulan tentang sifat-sifat bentuk segi empat tepat
tersebut.

Kesimpulannya, pelbagai pendekatan induktif yang boleh diaplikasikan oleh guru di


dalam bilik darjah supaya aktiviti yang dijalankan berjalan dengan lancar dan baik. Dengan
mengira kepelbagaian pelajar guru dapat meransang pemikiran yang kritis dan kreatif kepada
murid, selain ia dapat meningkatkan pemahaman dan perkembangan murid kerana guru
memberikan konsep pengajaran beserta contoh yang relevan dan mudah untuk mereka fahami
dan pelajari semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) dijalankan.

You might also like