Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

Agamawan Perlu Beretika Ketika Berinteraksi di Ruang Awam

Disediakan oleh:
Muhammad Ammar Harith bin Idris, Pegawai Penyelidik Pejabat Mufti Wilayah
Persekutuan

Disemak oleh:
Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah
Persekutuan

Perbezaan pendapat, pandangan dan buah fikiran merupakan lumrah dalam


kehidupan. Setiap individu mempunyai sudut pandang yang tersendiri sama ada ia
menyamai pandangan daripada individu lain ataupun sebaliknya. Antara faktor yang
mendorong kepada perbezaan pendapat ini adalah disebabkan oleh kepelbagaian latar
belakang, sejarah kehidupan, budaya setempat, pendidikan dan persekitaran yang secara
tidak langsung telah mencorak pola pemikiran tersendiri seterusnya membentuk
keperibadian dan tingkah laku.

Dalam syariat Islam, Allah SWT telah menjelaskan bahawa fitrah kepelbagaian ini
dicipta supaya manusia saling mengenali antara satu sama lain, memahami perbezaan
seterusnya mengambil manfaat demi kebaikan bersama. Hakikatnya, golongan yang mulia di
sisi Allah SWT bukanlah merujuk kepada kelompok atau jenis tertentu. Sebaliknya indikator
kemuliaan tersebut adalah berdasarkan kepada ukuran ketaqwaan di sisi-Nya. Sejajar
dengan itu, perbezaan pendapat merupakan perkara yang normal dan ia perlu diuruskan
dengan penuh berhikmah.

Pada masa yang sama, perbezaan pendapat hingga boleh mencetuskan permusuhan,
perbalahan dan pertelingkahan merupakan perkara yang dilarang oleh syarak.
Pertembungan antara kutub pandangan yang berbeza sering berlaku melalui proses interaksi
dalam ruang awam. Lebih-lebih lagi dalam era digital, kewujudan pelbagai platform media
sosial kini turut menjadi saluran untuk menyebarkan ideologi, melemparkan tohmahan,
cacian dan makian terhadap kelompok yang berbeza aliran. Tambahan pula, sejak akhir-akhir
ini golongan yang bergelar agamawan iaitu mereka yang memiliki kedudukan yang mulia dari
sudut agama dan keilmuan turut terlibat dalam gejala negatif ini sehingga boleh
menjejaskan imej, kredibiliti dan membuka ruang-ruang fitnah terhadap diri mereka. Hal ini
bercanggah dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: "Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari
kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu."
Surah Fatir (28)

Berdasarkan penjelasan dalam beberapa buah kitab tafsir, golongan yang disebutkan sebagai
ulama dalam ayat tersebut merujuk kepada golongan alim yang sebenar iaitu mereka yang
bukan sahaja memiliki ilmu, malah ilmu tersebut juga mendidik mereka untuk memahami
hakikat dan kekuasaan Allah SWT. Kefahaman yang diperoleh hasil daripada ilmu tersebut
kemudiannya menyebabkan mereka berasa takut dan gerun untuk melakukan dosa dan
maksiat kerana meyakini balasan buruk yang bakal menimpa. Sementara dari sudut yang
lain, dalil di atas juga secara tidak langsung menjelaskan bahawa hakikat ilmu menurut Islam
adalah pengetahuan yang membentuk peribadi seorang hamba untuk mentaati perintah
Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ibn Mas'ud RA menyatakan bahawa hakikat ilmu sebenarnya
bukanlah diukur dari sudut jumlah hadis yang berjaya dikuasai. Namun sebaliknya ia melihat
kepada sejauh mana ilmu tersebut menimbulkan rasa takut dan gerun kepada Allah SWT.

Selain itu, Imam Sufyan al-Thauri juga menukilkan kalam mengenai hakikat ulama
yang terbahagi kepada tiga kategori. Kategori pertama merujuk kepada golongan yang
memiliki ilmu yang baik tentang syariat dan ilmu tersebut kemudiannya menyebabkan
mereka berasa takut kepada Allah SWT. Sementara golongan yang kedua ialah mereka yang
takut kepada Allah SWT, namun tidak memiliki ilmu syariat yang baik. Manakala golongan
ketiga pula ialah mereka yang memiliki ilmu syariat yang baik, namun ilmu tersebut tidak
menyebabkan mereka berasa takut kepada-Nya.

Dalam konteks kefatwaan, sarjana Islam terdahulu telah menggariskan beberapa


adab bagi seseorang yang bergelar Mufti. Antara nilai yang penting selain daripada
penguasaan ilmu ialah mutadayyin iaitu menghidupkan syiar agama dalam segenap aspek
kehidupan. Imam al-Nawawi menukilkan pandangan fuqaha terdahulu dengan menyatakan
bahawa Mufti juga mestilah merupakan seorang yang warak dari segi zahir dan dikenali
sebagai seorang yang beragama. Beliau kemudiannya menjelaskan lagi mengenai salah satu
syarat bagi seorang Mufti ialah suci daripada sebarang unsur yang fasik dan memelihara
kemuliaan diri daripada perkara-perkara yang tercela. Hal ini demikian kerana, Mufti
merupakan pusat rujukan bagi masyarakat dalam soal keagamaan. Oleh itu, setiap individu
yang bergelar Mufti mahupun agamawan perlu menyedari bahawa masyarakat akan
menjadikan mereka sebagai tauladan dalam kehidupan.

Golongan agamawan adalah terdiri dalam kalangan intelektual yang memiliki tahap
pengajian agama yang tinggi. Setaraf dengan kedudukan sebagai agamawan, mereka perlu
membudayakan manhaj keilmuan dan penyelidikan apabila berinteraksi bersama masyarakat
dengan mementingkan etika, bersikap cermat dan tidak membuat kesimpulan secara
semberono. Begitu juga bersifat teliti dalam membuat analisa bagi setiap maklumat dan
fakta yang diperolehi serta mengenal pasti limitasi dan kelompongan yang boleh ditambah
baik pada masa akan datang. Dalam maksud yang lain, penyelidikan sebenarnya mengajar
diri untuk sentiasa merendah diri, berlapang dada dan menyedari hakikat
ketidaksempurnaan pada diri.

Oleh yang demikian, golongan yang bergelar agamawan perlu menampilkan ciri-ciri
beragama iaitu beradab dan berakhlak mulia sebagai refleksi terhadap identiti mereka.
Bertepatan dengan bidalan dalam masyarakat Melayu, ibarat resmi padi, semakin tunduk
semakin berisi. Di samping itu, agamawan juga perlu menjadikan manhaj keilmuan dan
penyelidikan sebagai sebuah kerangka yang membentuk ketertiban dari aspek pemikiran dan
membuat keputusan terutamanya ketika berada di ruang awam. Hal ini merupakan titik yang
membezakan antara golongan yang berilmu dan tidak berilmu. Oleh itu, agamawan
sewajarnya mendidik dengan berhikmah dan bijaksana dalam usaha untuk melahirkan
sebuah masyarakat yang beradab dan bertamadun.

You might also like